Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, April 22, 2011

BAB 35

Bilik kecil yang menempatkan Daniel, terletak di hujung tingkat 2, Hospital Seberang Jaya. Kimi dan Sarjan Adli sedang berdiri memandang tubuh Daniel yang terbaring di atas katil. Kepala dan tangan kiri Daniel berbalut, manakala kaki kirinya yang patah, telah disimen dan berada dalam keadaan tergantung. Muka Daniel pula luka dan lebam di sana sini, ada juga tanda jahitan di bahagian dahi, hanya matanya yang separuh terbuka dan berkedip sekali sekala sahaja menunjukkan dia dalam keadaan sedar.

Seorang doktor wanita, kelihatan sedang menulis sesuatu pada fail pesakit. Sehabis menulis, Doktor yang cantik manis itu berkalih memandang dan tersenyum kepada mereka. Kalaulah semua doktor di hospital mempunyai senyuman semanis dan seikhlas doktor ini, tentu semua pesakit cepat sembuh. Kimi pernah terbaca satu artikel yang mengatakan, pesakit yang dikelilingi oleh keceriaan dan kegembiraan, akan lebih cepat sembuh.

” Assalamualaikum! Saya Doktor Ismaliza. Ada apa yang boleh saya bantu?" tanya Doktor muda itu sambil masih tersenyum manis. Bila dia menghampiri dan berdiri di sebelah Kimi, barulah Kimi perasan, Dr. Ismaliza ini sangat tinggi orangnya...ketinggian mereka hampir sama.

" Wa'alaikum Salam! Saya ASP Hakimi, ini Sarjan Adli. Kami dari Jabatan Siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Pesakit doktor ni, sebenarnya dalam perjalanan bertemu kami sewaktu terjadi kemalangan beberapa hari lepas. Jadi, kami perlu menyoal beliau berkait dengan kes yang sedang kami siasat sekarang."

Senyuman di bibir doktor Ismaliza mengendur tiba2, dia berkalih dan merenung ke arah Daniel. "Sebenarnya, Encik Daniel ni...belum stabil 100 peratus. Dia belum boleh bercakap, sekadar berinteraksi dengan isyarat mata. Saya tak boleh beri kebenaran untuk dia disoal siasat...saya bimbang, ia akan mengganggu emosi beliau."

" Hmm...maklumat yang bakal diberi sangat penting untuk siasatan kami. Kami mohon kebenaran untuk mencuba, doktor boleh turut serta dan hentikan tindakan kami, jika ia membahayakan pesakit doktor. Saya janji, kami akan buat seringkas mungkin," tegas suara Kimi memohon budi bicara dari doktor muda itu.

Doktor Ismaliza terdiam sebentar, mungkin sedang cuba mempertimbangkan keputusannya. Kepalanya ditoleh memandang Daniel, kelihatan Daniel memejamkan matanya...mungkin memberi persetujuan. Lama dia memandang keadaan Daniel sebelum berkalih semula kepada Kimi.

" Baiklah, saya akan hadir sama, cuma 15 minit...bergantung kepada tindakbalas pesakit saya. Bila saya arahkan Encik Hakimi berhenti, tolong berhenti. Boleh?" tegas lagi bunyi suaranya, Kimi hanya mengangguk sambil tersenyum. Diberi kebenaran pun, sudah cukup bagus. Hmm...garang juga Dr. Ismaliza ni, tak padan pulak dengan fizikalnya yang kurus dan tinggi.

Tanpa membuang masa, Dr Ismaliza membawa Kimi dan Sarjan Adli menghampiri katil Daniel. Kelihatan mata Daniel bergerak, memandang Dr. Ismaliza dan kemudiaan Kimi dan Sarjan Adli.

" Daniel, Saya rasa...kamu dengar apa yang pegawai Polis ni cakap," Daniel memejamkan matanya, tanda faham. " Kamu boleh beri kerjasama?" sekali lagi matanya dipejamkan. Setelah berpuas hati, Dr. Ismaliza bergerak ke tepi...memberi ruang kepada Kimi meneruskan kerjanya.

Kimi membongkokkan badannya, kedua-dua belah tangan memegang besi katil. Matanya tepat merenung mata Daniel. Ada senyum yang cuba diukir di bibir, namun yang terzahir kemudiannya hanya kerutan muka dan erangan lemah menahan sakit. Kemungkinan pergerakan otot muka ketika cuba tersenyum telah mengundang rasa sakit yang tidak mampu ditahan.

" Daniel, saya ASP Hakimi yang awak talipon haritu. Saya cuma ingin tahu maklumat apa yang kamu nak beri tahu kami sebelum ni. Kalau kamu tak boleh cakap, mungkin kamu boleh berbisik atau..." belum habis Kimi bercakap, Daniel sudah memejamkan matanya beberapa kali. Kimi terhenti, berdiri tegak semula sambil memandang ke arah Dr. Ismaliza. Dr. Ismaliza hanya mengangkat bahu, tanda dia sendiri pun, tidak pasti.

" Tuan!" Sarjan Adli menepuk bahu Kimi, dan Kimi berkalih memandangnya.

" Tu...tangan sebelah kanan..." ujar Sarjan Adli sambil mulutnya dimuncungkan ke arah sebelah kanan katil tempat Daniel berbaring.

Tangan kanan Daniel digerakkan beberapa kali, walaupun tidak diangkat tinggi, ianya kelihatan seperti gerakan melambai. Apabila Kimi memandang ke wajah Daniel, kelihatan Daniel memejamkan matanya lagi sekali.

Kimi bergerak ke arah sebelah kanan katil. Mengangkat tangan kanan Daniel dan menggenggamnya erat, Daniel memejamkan matanya, dan tampak lehernya bergerak menelan air liur.

" Apa yang Daniel nak beri tahu sebenarnya?" Kimi menyoal lagi.

Sebaik habis menyoal, Kimi dapat merasakan gerakan jari Daniel di telapak tangannya...seperti sedang menulis sesuatu. Kimi kembali memandang ke arah Daniel.

" Nak tulis sesuatu?" soal Kimi. Daniel memejamkan matanya. " Sarjan! Awak catit ya...saya akan cuba tafsirkan apa yang ingin diberitahu, bila awak tengok Daniel pejamkan mata...baru catit," arah Kimi sambil memandang Sarjan Adli yang dengan pantas mengeluarkan buku nota dari koceknya.

Jari Daniel mula bergerak lemah di atas tapak tangan Kimi, " Ok..D?" tiada tindakbalas, " P?" Daniel memejamkan matanya, Kimi mengangguk dan serta merta Sarjan Adli mula mencatat.

Daniel berhenti sebentar, menelan air liurnya sekali lagi. Dr. Ismaliza kelihatan resah...nampak jelas dia tidak suka pesakitnya diberi tekanan sebegitu. Baru sahaja hendak bersuara, jari Daniel bergerak lagi sekali.

" D..." dan serta merta Daniel memejamkan matanya, tekaan Kimi tepat kali ini. Proses menulis dan meneka itu berulang beberapa kali sehinggalah Daniel sudah tidak mahu menyambung lagi dan terus memejamkan matanya...mungkin dia sudah keletihan. Hingga setakat ini, apa yang diberitahu Daniel kelihatan seperti nombor plat sebuah kereta.

" Saya rasa...kamu berdua boleh berhenti setakat ini. Dia sudah keletihan," arahan itu terbit dari mulut Dr. Ismaliza. Walaupun belum dapat memahami apa yang cuba diberitahu Daniel, Kimi tiada pilihan lain...sekadar terpaksa mengangguk.

Sebaik sampai di luar Kimi mengucapkan 'terima kasih' dan meminta keizinan untuk kembali lagi jika keadaan Daniel beransur pulih. Dr.Ismaliza hanya mengangguk sebelum beredar dari situ.

" Hmm...'PDU 6281', nombor plat kenderaan. Memang tak salah lagi." ujar Sarjan Adli sewaktu mereka bergerak ke kawasan parkir.

" Cuma...kita tak tahu samada nombor itu, untuk kereta penjahat atau untuk kereta yang melanggar Daniel. Dia tidak boleh menerangkan apa2 kepada kita."

" Ya tak ya jugak. Saya hampir overlook kemungkinan yang lagi satu. Habis tu...macam mana, Tuan?"

" Tak apa...buat sementara, Sarjan proses info ni, dapatkan jenis kereta dan pemilik yang berdaftar. Kemungkinan yaang lain tu...kita ignore dulu."

" Baik, Tuan." Jawab Sarjan Adli yang telah mula mengundurkan kereta untuk keluar dari parkir dan memandu untuk pulang ke IPK Pulau Pinang.

Sebaik sampai ke pejabat, Kimi bergegas ke biliknya, mengambil beberapa kertas dan segera menuju ke bilik Tuan Rasyid. Dengan beberapa petunjuk terbaru, Kimi perlu memaklumkan perkembangan kes kepada Tuan Rasyid. Namun, dia perlu berhati-hati untuk mengaitkan faktor mimpi dan psikik dan hubungannya dengan kes yang sedang di siasat. Dia tidak tahu pendirian Tuan Rasyid mengenai isu ini...nanti tak pasal-pasal kena ‘kuntaw’ dengan sindiran sinis, baru ' makan tak habis' nanti!

*****


" Apa yang saya nak cakap ni, mungkin kedengaran pelik. Saya sendiri masih tidak percaya dengan semua ni. Saya ingin minta pendapat Tuan." Kimi memandang Tuan Rasyid.

" Hmm...tentang apa tu?

Kimi menghulurkan 2 helai kertas yang dibawanya kepada Tuan Rasyid." Ok! Ini gambar yang saya snap di suatu lokasi baru2 ini, dan ini pula lukisan yang dilukis oleh seseorang, dan diberikan kepada saya beberapa bulan lepas. Saya akan ceritakan nanti, kenapa lukisan ini ada dalam simpanan saya," kata Kimi.

Tuan Rasyid meneliti segala yang terzahir di kedua-dua kertas itu, " Hmm...nampak serupa, satu lakaran tangan, dan yang satu lagi...real photo. Apa kena mengena dengan kes kita?"

Kimi menarik nafas, merenung ketuanya...sekadar cuba mencari riak di wajah Tuan Rasyid itu. Lama dia terdiam sebelum mula menerangkan segalanya tentang siasatan yang dilakukan diluar waktu kerja, mimpi Deena yang membawa kepada pertemuan mereka dengan Yasmin. Dan, bagaimana lukisan itu dilihat oleh Sarjan Adli sehingga membuatkan dia berkunjung ke rumah tersebut dan mengambil gambar lokasi asal seperti yang dilukis oleh Yasmin.

“What are you trying to imply...saya tak faham." Tuan Rasyid merenung tajam ke arah Kimi.

" Saya rasa, kes ini berkait dengan kehilangan Nina, kawan saya semasa remaja. Unsolved case until now...macam yang pernah saya cerita sebelum ni."

" Awak nampak yakin sangat!"

" Keyakinan tu semakin kuat kebelakangan ini. Saya nak minta Tuan beri keizinan untuk teruskan siasatan dengan mengambil kira posibility ini."

Tuan Rasyid menganggukkan kepalanya beberapa kali, " semasa serbuan tempoh hari, kamu ikut saya ke Kuala Lumpur, kan!" Kimi mengangguk. " Inspektor Ganesan yang saya assigned ke sana. Dia dah tengok lukisan ni?"

" Belum, Tuan. Hanya saya dan Sarjan Adli saja yang tahu. Saya dah minta Sarjan Adli simpan cerita ni...nak dapatkan pandangan Tuan dulu."

Tuan Rasyid terdiam sebentar, kemudian mencapai gagang talipon dan terus mendail. Dia
meminta Inspektor Ganesan untuk datang ke biliknya. Tak sampai lima minit, sudah terdengar bunyi ketukan di pintu.

" Masuk!"

Inspektor Ganesan menjengah kepalanya lalu masuk, " Tuan!" sambil memberikan tabik hormat. Dia kemudiannya, melemparkan senyum kepada Kimi.

" Duduklah," arah Tuan Rasyid, sambil menunjukkan ke arah kerusi yang kosong di sebelah Kimi. Inspektor Ganesan segera melabuhkan punggongnya, mukanya beriak bimbang. Kimi hanya tersenyum, dia sedar yang pegawai kanannya itu keresahan dan bimbang.

Kertas di tangan Tuan Rasyid dihulurkan kepada Inspektor Ganesan, dia yang masih kehairanan, segera menyambut dan meneliti imej yang terpapar di situ

" Apa pendapat awak tentang imej tu?" soal Tuan Rasyid

" Tuan, Kalau tak silap saya...ini lokasi di mana Edelene dikurung. Rumah teres dua tingkat yang kita serbu dua minggu lepas." Muka Kimi dipandangnya, mohon penjelasan. Namun bila Kimi hanya terdiam, dia menyambung, " dan, yang ini, lukisan ni, an artist impression of the actual photo. Hasil seni siapa ni...ada kena mengena dengan kes ke?"

" Kalau saya kata, lukisan tu ada pada ASP Hakimi beberapa bulan sebelum kita temui lokasi tu, apa pendapat awak?"

" Ish! Mustahil, Tuan. Kecuali, pelukis tu...pernah ke sana. Kalau macam tu, kita boleh letakkan pelukis tu sebagai suspek, ataupun salah seorang mangsa yang terselamat."

Tuan Rasyid berkalih kepada Kimi semula, sambil tersenyum sinis," see Hakimi, don't jump into conclusion, there are hundred's of reason why that particular drawing and photo carry the same image."

Kimi mula menggaru kepalanya yang tidak gatal, " betul jugak apa yang Inspektor Ganesan katakan tu." ujar Kimi, dia menunjukkan isyarat thumbs-up. " Nampaknya, saya terpaksa mengaku yang saya overlook kemungkinan yang lagi satu tu. Cuma...saya pasti yang Yasmin tu, tak berbohong. Kalau Tuan izinkan...saya akan buktikan."

"Hmm...kalau pun kamu betul, kita tak boleh gunakan info psikik ke, mimpi ke...saya tak setuju. Kalau nak bawa semua ni ke mahkamah, tak akan diterima, " Tuan Rasyid merenung Kimi. " Saya rasa, kamu pun faham semua tu..."

" Maksud saya, kita cuma gunakan info siasatan...buka ruang kemungkinan. Gunakan info ni, cuma sebagai accessory siasatan je. Lagipun...sampai sekarang, siasatan kita asyik menemui jalan buntu. Tak salah kan kalau kita cuba..." balas Kimi, cuba meyakinkan Tuan Rasyid.

Apabila melihat Tuan Rasyid masih terdiam, Kimi mula menceritakan tentang Zekry dan apa yang dilihatnya semalam. Dan, bagaimana dia mengesyaki ada orang terdekat dan yang dikenali terlibat dalam semua ini.

“ Ganesan, apa pendapat kamu?”

“ No harm trying. Lagipun, macam Tuan Hakimi cakap tadi…semuanya macam kena block je, always a dead end.”

Tuan Rasyid terdiam seketika, lantas mengangguk perlahan."OK! Buat sementara ni, kita ambil kira possibility tu. Tapi, kamu kena pastikan, kamu jangan terlalu bermain dengan masa lalu kamu. Saya tak mau siasatan ni jadi kelam kabut, bila kamu hanya berfikir dan memproses bukti ikut kemahuan kamu. Kalau kes ni betul betul berkait, dan kamu bertindak di luar kawalan...saya akan gantikan kamu dengan Pegawai lain. Kamu faham!" Keras bunyinya amaran itu.

Kimi terkedu sebentar, memandang Inspektor Ganesan dan akhirnya cuba tersenyum nipis. “ Saya terima teguran Tuan, dan saya janji akan beri tumpuan untuk menyelesaikan kes ini,” ujar Kimi lagi.

“ OK, sekarang…berbalik kepada siasatan kes. Apa perkembangan terbaru?” Tanya Tuan Rasyid memandang muka anggota bahawannya itu bersilih ganti.

Kimi membetulkan sandar, rasa tidak selesa ditegur Tuan Rasyid tadi, masih berbaki. Namun, dia sedar dan akur…teguran itu ada betulnya. Itu tugas Tuan Rasyid, dan dia membuat teguran atas kapisitinya sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah.

“ Saya dan Sarjan Adli sebenarnya baru pulang dari Hospital Seberang Jaya. Dah cuba soal siasat Daniel, tetapi keadaannya belum cukup stabil, tapi Alhamdulillah…dia ada beri nombor plat kereta.” Kimi kemudiannya melahirkan kesangsiannya yang kemungkinan juga nombor itu hanya sekadar nombor kereta orang yang melanggar Daniel.

“ Belum dapat feedback?”

“ Belum, Sarjan Adli sedang uruskan.”

“Sudah trace waris terdekat, dan siapa yang lunaskan cukai pintu rumah teres tu?”

“ Hmm…nampaknya, semuanya menuju jalan buntu, Tuan.”

“ Teruskan mencari, jangan tunggu semua info tu lalu depan mata…macam kes Daniel ni. Usaha!
Saya tak kisah dengan cara apa pun. Dah lebih 5 bulan tanpa hasil yang memberangsangkan…tak masuk akal. Harap-harap jangan ada mangsa terbaru lagi …nanti masak kita kena kritik dek press dan orang ramai." Ada nada marah bercampur kesal di situ, dan dia mula mencapai fail yang terletak di atas meja.

Tuan Rasyid menggelengkan kepalanya. Tanpa berkata apa-apa, dia mengisyaratkan Kimi dan Inspektor Ganesan supaya keluar.

*****


Zekry memberhentikan keretanya di bahu jalan, mematikan enjin lalu menurunkan tempat duduk untuk bersandar. Matanya merenung langit yang separa gelap, kalau tidak silap, hari ini dah menghampiri 15 haribulan, di bulan Islam, apa nama bulannya…dia tak pasti. Sejak dahulu, dia kurang ambil pusing akan tarikh bulan Islam, yang dia tahu, bila menghampiri pertengahan bulan dan beberapa hari selepas itu, cahaya bulan akan terang benderang di waktu malam. Bukan sahaja tidak ambil tahu tentang bulan, bahkan dia kurang melakukan suruhan Allah seperti bersolat dan berpuasa, mungkin kerana itulah dia menjadi dirinya yang sekarang ini.

Pandangannya dilontar ke arah padang yang diterangi cahaya bulan, jelas kelihatan pohon Beringin di sudut kanannya. Tiba-tiba, memori sewaktu kecil menerjah ruang ingatan, di waktu dia dan Kimi sangat akrab bersahabat…seperti isi dan kuku. Kalau malam bulan terang begini, mereka pasti akan berbasikal keliling kampung dan akhirnya berhenti melepak di bawah pohon itu, pohon yang masih tegak hingga kini. Sayangnya…persahabatan mereka tidak seteguh pohon itu. Disebabkan pertengkaran kecil di padang bola, mereka bergaduh dan bermasam muka. Pergaduhan itu menjadi lebih teruk apabila remaja, bila hati mereka telah dicuri oleh gadis yang sama.

Hmm…anehnya hidup! Dan, entah kenapa…tiba-tiba, Zekry merasakan yang dia telah menpersiakan separuh dari perjalanan hidupnya, dengan dibelenggu dendam kesumat. Namun, nasi sudah pun menjadi bubur, seperti kata pepatah Inggeris ‘ the damage has been done’, untuk berpatah balik…tentunya amat payah. Zekry amat berharap, rencananya malam ini berjalan lancar. Dia sudah puas berfikir, dan dia merasakan hanya itulah langkah terbaik yang perlu dilakukan.

Zekry melihat jam di tangan, hmm…hampir ke pukul 10:30 malam, masih ada setengah jam sebelum temujanji dengan Kimi. Terasa hendak mengambil angin di bawah pohon Beringin itu sambil mengimbau memori lama. Dadanya terasa berdebar, ada hentakan kencang setiap kali darah dipam ke jantung. Hatinya terasa hambar, rasa tidak enak menguasai badan. Ahh! Mainan perasaan sahaja agaknya. Tiada apa yang perlu dirisaukan…segalanya sudah dirancang dengan baik.

Pintu kereta dibuka, dan Zekry melangkah keluar. Baru beberapa tapak mengatur langkah melintasi jalan, terasa ada cahaya lampu kereta menghampiri. Hmm…awal pulak Si Kimi ni. Dia menoleh ke belakang, meletakkan tangannya di hadapan mata untuk menghalang silau cahaya. Kereta itu bergerak perlahan, namun dia belum mampu meneka apakah jenis keretanya, dan dia masih gagal menangkap imej pemandunya. Kereta itu bergerak kian perlahan dan berhenti di sebelah tempat dia berdiri. Hmm…sebuah Satria lama rupanya, dan kereta itu, seperti pernah dilihatnya.

Cermin kereta sebelah pemandu diturunkan. Sebaik melihatkan wajah itu, muka Zekry beriak cemas, namun dia cuba mengawal dirinya.

“ Kau buat apa di sini,” soalan itu terbit dari mulutnya.

Pemandu kereta itu tersenyum sinis.

“ Kebetulan…aku lalu di sini. Salah?”

“ Tak! Aku sekadar bertanya.”

“ Kau tunggu siapa?” Renungan mata lelaki itu tajam menikam.

Entah kenapa, ada kelainan dari renungan itu, bukan seperti yang selalu Zekry lihat. Namun begitu, renungan itu seperti tidak asing baginya. Dia cuba memerah otaknya.

“ Tak…aku cuma nak ambil angin.” Jawapan yang diberi Zekry, disambut dengan ketawa sinis.

Bunyi nada dering talipon tiba-tiba memecah kebekuan bicara mereka. Huh! Muzik Linkin Park itu seperti lari dari bunyi yang selalu Zekry dengar, berubah betul lelaki yang sedang berada di depannya kini, muzik itu tak sepadan dengan umur dan cara hidupnya. Lelaki itu mencapai talipon yang sedang menjerit lalu menjawab. Sambil itu, dia masih sempat mengisyaratkan tangannya, tanda Zekry tidak perlu menunggu untuk berbual dengannya lagi.

Zekry menarik nafas lega, lantas dengan pantas dia kembali mengatur langkah. Lebih lama bersoal jawab, lebih mendedahkan kenapa dia di sini, dia berharap sangat supaya Kimi akan lambat tiba. Buat sementara ini, dia ada rancangannya sendiri.

Akibat terlalu khusuk memerah otak, Zekry tidak perasan yang lampu kereta di belakangnya sudah diletakkan di posisi high beam sehingga menerangi suasana di sekeliling padang yang sunyi sepi itu. Kereta yang berada di kedudukan pegun itu mula bergerak dengan perlahan, namun seketika kemudian, gerakan itu menjadi semakin pantas.

Semuanya sudah terlambat sebaik Zekry menyedari keanehan itu, telinganya dapat menangkap bunyi enjin menderum. Dia pantas berkalih ke belakang, namun silau cahaya dari gerakan lampu high beam itu seperti membutakan matanya. Minda dengan pantas memproses duduk sebenar keadaan waktu itu, dan dia mula melajukan langkah untuk menyelamatkan diri. Namun, semuanya sudah terlambat. Kereta itu Berjaya merempuhnya dengan kuat, sehingga menyebabkan badannya terdorong ke depan dan tertiarap di atas jalan. Terasa sakit berdenyut di bahagian kaki, namun dia gagahkan diri untuk bangun.

Kereta itu tiba-tiba berundur, namun lampunya masih menerangi segenap ruang. Berundur hanya sekadar untuk bersedia melajukan pemanduannya semula, dan, tanpa ada sekelumit pun rasa kasihan, tubuh Zekry dirempuhnya sekali lagi dan diseret sehingga memasuki longkang yang memisahkan padang itu dan jalan.

Longkang yang dipenuhi air itu, menenggelamkan tubuh Zekry dengan perlahan. Segala rasa sakit sudah tidak dirasainya, kerana mindanya waktu itu sedang memainkan imbasan masa lalu. Dan, dia sudah tahu kenapa lelaki itu bertindak begitu. Hakikat yang disedari seiring dengan tenggelamnya seluruh tubuh badannya ditelan cecair busuk longkang, yang tinggal hanya kaki kiri yang terlujur naik ke tepi dinding longkang.

Di dalam kereta yang dipandu laju meninggalkan kawasan itu, lelaki itu tersenyum puas. Satu-satunya manusia yang berkemungkinan tahu rahsianya, sudah dihapuskan dari muka bumi ini. Dan, senyuman itu dengan perlahan bertukar menjadi ketawa yang menjengkelkan.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU