KIMI MEMBELEK kad walimatulurus yang sudah
sedia diletakkan emaknya, Mak Minah, di atas meja di biliknya. Tertera nama
pengantin perempuan, Nur Jamiah binti Muhammad Nazari yang dikenali sebagai
Jamie di kalangan kawan-kawan. Jamie, orang Terengganu yang sudah lama
menyimpan rasa cintanya pada Kimi, akhirnya pasrah menyerah kalah. Di bahagian
bawah kad tertulis,
Aku dah letih mengharap dan menanti... and I choose to
put a full stop to this crazy feeling. Kalau kau masih anggap aku kawan kau,
usahakanlah untuk meraikan majlis ni.
Alhamdulillah, I'm happy for you,
Kimi berbisik dalam hatinya. Hmm... Jamie
akhirnya faham. Sama ada faham atau sudah letih untuk faham… Kimi tidak pasti.
Namun Kimi bersyukur kerana akhirnya Jamie menemui seseorang yang boleh
dikasihi selayaknya.
Ada sedikit sebak di hati Kimi. Kalaulah dia tidak kenal Nina, tidak
bercinta dengan Nina, dan Nina tidak pergi dengan cara sebegitu... mungkin
Jamie adalah pilihan yang terbaik untuknya. Tidak ada cacat celanya Jamie di
mata Kimi. Cuma dia masih dibelenggu perasaan yang sama dan perasaan itu masih
tidak berubah. Kenapa? Di mana? Apa yang terjadi pada Nina? Soalan-soalan yang
jawapannya belum ditemui dan perlu dia cari.
Menginjak ke bulan-bulan akhir tahun pengajian, suatu hari Kimi menerima
satu mesej daripada Jamie. Kata Jamie dia ingin berbincang tentang sesuatu.
Turut dinyatakan waktu dan tempat berjumpa. Kimi sedikit hairan! Kerja kursus
semua sudah siap... cuma menunggu peperiksaan akhir saja. Mungkin Jamie ingin
berbincang tentang kertas peperiksaan yang pertama nanti. Siapa tahu Jamie
dapat soalan bocor. Namun lain yang Kimi fikirkan, lain pula yang menantinya….
Malam ini, sewaktu Kimi mengenang kembali peristiwa bersama Jamie, jauh di
Terengganu, Jamie juga sedang melakukan perkara yang sama….
REDUP POHON-POHON tua di perbukitan Minden, bersebelahan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
menyambut Kimi. Jamie duduk sambil tersenyum, menunggu di salah satu bangku
kayu yang dibina bersambung dengan meja. Tempat ini selalunya menjadi tempat
mereka berbincang dengan beberapa orang kawan sekursus.
“Assalamualaikum! Mana yang lain, tak datang lagi?”
“Yang lain tak akan datang. Ini perbincangan antara kita berdua aja.” Jamie
mendongak memandang Kimi yang sedang mengambil tempat duduk berhadapan
dengannya.
Jamie waktu tu menahan rasa sesak nafas macam orang mahu semput. Jamie yang
sudah lama menimbang untuk mempertaruhkan perasaan malunya demi perasaan halus
yang sudah lama bertapak di hati. Apa nak jadi pun jadilah, Jamie sudah nekad.
Biarlah! Kalau orang mahu kata yang dia macam perigi mencari timba… dia terima
saja. Dia sudah tak larat main aci sembunyi rasa hati.
Sakit sungguh! Kena pisau pun tidak sebegitu sakit.
Jamie sedang mengira pelajar yang mengangkat tangan untuk mengundi. Sampai
ke giliran mengira Kimi, jantung Jamie terasa macam hendak luruh. Pandangan
mata Kimi yang bersinar itu, macam mata Rashidi Ishak. Mungkin tak semua orang
kenal akan anggota kumpulan muzik The Dead Mushroom itu. Jamie pun, cuma kenal
setelah melihatnya di dalam sekeping poster. Poster iklan jean yang terlekat di
tingkat empat, bahagian lelaki, di Sunshine Square Bayan Baru. Poster yang
Jamie lihat sewaktu dia dibawa membeli-belah oleh Pak Longnya yang menetap di
Pulau Pinang.
Jamie masih ingat bagaimana terpesonanya dia dengan renungan mata Shidee di
dalam poster itu. Renungan yang panahan matanya, terus sampai ke hati. Dalam
hati Jamie sewaktu itu berkata-kata, kalaulah dia berjumpa lelaki seperti itu
di alam realiti... memang sah-sah dia akan jatuh cinta.
Bunyi Kimi memetik-metik jari di
hadapan muka Jamie, membuatkan Jamie kembali ke alam nyata. Dia tersenyum kelat
ke arah Kimi.
“Kau kenapa? Macam orang sakit aja aku tengok. Macam di awang-awangan pun
ada.”
“Hmm... aku memang dah lama
sakit. Kau aja yang tak perasan.” Jamie mengeluh. Mulutnya dimuncungkan. Hmm... Kimi yang semedang dingin
seolah-olah tak mengerti. Atau mungkin memang sengaja tidak pernah mahu
mengerti.
“Kau biar betul! Kalau kau sakit, jom aku bawa kau ke klinik. Exam dah nak dekat ni. Nanti… tak
fasal-fasal kau tak boleh habiskan exam.
Ini final ni!” Muka Kimi keruh
menggambarkan kerisauan hatinya. Hati Jamie terasa kembang berbunga menerima
perhatian daripada Kimi. Rupanya tidaklah beku sangat Si Kimi ni.
“Kimi, kau masih ingatkan Nina yang kau cerita dulu?” Tiba-tiba soalan tu
yang terpacul daripada mulut Jamie.
Lain yang Kimi tanya, soalan lain pula yang Jamie timbulkan. Muka Kimi
kelihatan sedikit berkerut. Tanda tidak suka apabila soalan tentang Nina
ditanya.
“Kenapa kau tanya? Susah aku nak cakap... dia macam hantu yang selalu
menghantui aku.”
“Tentu dia sangat istimewa... sebab boleh ikat cinta kau sampai sekarang.”
“Kau ni kenapa Jamie? Angin tidak, ribut tidak… tiba-tiba aja tanya fasal
Nina ni?”
“Tapi Nina kau kan dah tak ada! Kenapa kau masih nak tunggu dia?” Suara
Jamie berubah nada. Mukanya ditundukkan.
“Kau tak akan faham Jamie... dan ia tak semudah yang kau sangka!” Kimi
mempamerkan muka hairan. Kepalanya digaru-garu beberapa kali.
Namun muka hairan tadi secara perlahan sudah bertukar rona. Kimi seperti
dapat meneka kenapa Jamie berperangai sedemikian. Dia melurut rambut ke
belakang kepala. Berpusing ke belakang sebentar dan kemudian kembali berpaling
menghadapkan muka ke arah Jamie.
Waktu itu juga, Jamie dengan perlahan mendongakkan kepalanya memandang
Kimi. Ada air mata bergenang dan turun sedikit membasahi pipi. Jamie sudah
gagal mengawal takungan air mata yang cuba disembunyikan. Tiba-tiba, empangan
air mata itu pecah lalu jatuh deras membasahi pipinya. Matanya masih tidak
berkedip memandang Kimi.
Kimi kelam kabut. Tidak tahu apa yang patut dibuat. “Jamie, kau okey ke?
Aku minta maaf kalau aku buat kau sedih.”
“Aku okey! Aku cuma dah penat simpan rasa hati aku. Aku tak kisah apa kau
nak kata. Aku cuma nak kau tahu, selama ni aku ada menyimpan hati pada kau. Aku
rasa, aku faham… kau tak akan dapat terima aku. Selagi Nina masih ada di
sini….” Tangannya dibawa ke dada, ditepuk ke dada beberapa kali.
Kimi masih terdiam. Dia kehilangan kata-kata.
“Aku dah cuba anggap kau sebagai kawan. Tapi aku tak boleh nak bohong hati
aku. Aku sayang kau Kimi! Sayang sungguh-sungguh!” Sehabis saja ayat itu, Jamie
bangun dan berlari meninggalkan Kimi.
Kimi pula, macam orang bodoh. Sekadar memerhatikan Jamie mengatur langkah
dan pergi.
Semuanya macam cerita Shah Rukh Khan, Rani Mukherjee dan Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Cuma, dalam kisah
Kimi, Rani Mukherjee adalah Nina, dan ia cuma bayang-bayang yang merosakkan
ikatan persahabatan dan rasa hati Jamie.
Selepas peristiwa itu, Jamie cuba menjauhkan diri… sehingga selepas tamat
pengajian pun, dia diam membisu. Dia cuba melupakan Kimi dan memutuskan
hubungan persahabatan antara mereka.
Segala berita tentang Kimi, hanya diketahui melalui kawan-kawannya yang
lain. Jamie masih setia menyimpan rasanya hinggalah dua bulan lepas, apabila
Kimi tiba-tiba menerima panggilan daripada Jamie.
Agak terperanjat juga Kimi. Namun dia gembira kerana Jamie sudah mengakhiri
fasa perang dingin terhadapnya. Kata Jamie, ibunya sedang cuba mengatur
jodohnya dengan seorang ustaz lulusan al-Azhar. Dia cuma ingin memberitahu Kimi
yang dia mungkin akan mengikut sahaja kemahuan ibunya.
Kimi ikhlas mengatakan yang dia rasa itu yang terbaik untuk Jamie. Sehabis
ayat tu, Jamie memberi salam lalu mematikan talian.
Yang Kimi tidak tahu, selepas tu... semalaman Jamie menangis hingga bengkak
matanya. Dia juga melancarkan ‘mogok lapar’ selama dua minggu. Mujur juga waktu
itu… musim cuti sekolah. Kalau tidak, tak tahu bagaimana mahu memberi alasan
kepada fenomena mata bengkak dan fasa hilang selera makan pada kawan-kawan dan
anak-anak muridnya.
Sungguh! Dia mengharapkan ayat lain yang keluar daripada mulut Kimi. Namun
nampaknya, rasa hati Kimi pada Nina masih tak berubah. Maka dia sedang
menimbang untuk meletakkan titik noktah kepada sebuah penantian.
Mencintai tidak semestinya memiliki. Kalau itulah kebahagiaan Kimi, dia harus meredainya. Siapa
tahu ada yang lebih baik menantinya... Ustaz Mustafa.
No comments:
Post a Comment