
DEENA TERPEGUN memerhatikan rumah banglo dua tingkat yang kedudukannya sedikit tersorok
dari jalan utama. Pokok-pokok besar yang ditanam berderet di bahagian sempadan
jalan, melindunginya daripada pandangan. Cantik sungguh reka bentuknya yang
bercirikan moden dengan sedikit sentuhan tradisional.
Rumah besar itu walaupun sedikit terbiar, nampak amat cantik dikelilingi
pagar yang dilitupi pohon menjalar berbunga warna ungu. Kalau tak silap Deena,
itu bunga kembang pagi. Lebih terkenal dengan panggilan Morning Glory. Terdapat pula deretan pasu-pasu yang ditanam dengan
pokok bunga kertas beraneka warna.
Lebih menarik lagi, apabila terdapat dua buah pasu sebesar dua pemeluk
orang dewasa di kiri dan kanan pintu pagar utama. Pasu itu juga turut ditanam
dengan bunga kertas warna merah muda bercampur putih. Pokok bunga kertas yang
dibentuk seperti bonsai itu tumbuh merimbun dan sedang sarat berbunga. Suasana
yang pastinya mencuri tumpuan sesiapa saja. Ranting-rantingnya pula sengaja
diikat bersambung, dan dibiarkan menjalar di palang besi sehingga membentuk
pintu gerbang untuk laluan. Di bahagian tengah pintu gerbang tersebut
tergantung papan tanda seperti ukiran kayu yang tertulis ‘Rumah Bougainvillea’.
“Rumah Bougainvillea. Fuhh!
Cantiknya mak... redup pulak tu.”
Deena mula bersuara. Dalam hati, Deena mula mengagumi susun atur dan suasana di
sekeliling, boleh dikatakan dia sudah jatuh cinta pandang pertama. Diam-diam
dia berdoa supaya semua orang akan sepakat memilih rumah ini untuk diduduki.
Amar berjalan memasuki kawasan rumah. Laluan tersebut sedikit menurun dari
bahagian laman. Kawasan lapang bersebelahan dengan pasu besar itu, mencuri
tumpuannya. Di sebelah kanan pintu pagar ada ruang kosong yang redup dengan
udara yang cukup nyaman, ini kerana sebatang pokok payung Indonesia yang
merimbun daunnya menghalang panahan cahaya matahari daripada sampai ke situ.
“Ayah... kalau buat gazebo kat sini okey jugak, kan? Cantik, redup dan nyaman. Sesuai kalau nak lepak-lepak
dan minum petang.” Amar memberi cadangan.
“Bagus juga idea tu, tapi apa-apa pun elok kita masuk tinjau kat dalam
dulu. Boleh bang?” Encik Hisyam bertanya kepada Pak Mat, orang yang diamanahkan
menjaga rumah tersebut dan menunjukkan keadaan sekeliling kepada mereka.
Melihat kepada perwatakannya, Encik Hisyam kira umur Pak Mat itu tidak jauh
berbeza dengannya. Sebab itu dia memanggil Pak Mat itu dengan panggilan abang.
Pak Mat mengangguk dan menunjukkan isyarat mempersilakan yang lain-lain
masuk. Deena perasan yang Pak Mat selalu mencuri pandang ke arahnya jika dia
terleka. Mungkin Pak Mat terpesona dengan kecantikan wajahnya yang ala-ala
Vanida Imran. Perasan! Deena tersenyum mengusik diri sendiri.
Pak Mat membuka pintu. Gerakan pintu itu mengeluarkan bunyi berkeriuk. Pak
Mat tersenyum sumbing ke arah Encik Hisyam. Ada rasa serba salah tergambar di
wajahnya.
“Maaf, Encik Hisyam... macam ni la apabila dah lama tak dak orang duduk. Nanti saya tambah minyak okeylah.”
“Tak apa, saya faham.”
“Bunyinya menakutkan... macam dalam cerita hantu.” Amar menambah.
“Isy! Angah ni... celoparnya mulut!” Deena menjeling ke arah Amar. Geram
betul dengan tingkah adiknya yang suka cakap lepas. Mulut tu memang tak pernah
ada insurans… ikut suka hati kalau nak bercakap.
“Alah Along ni… orang gurau je
la.”
“Kenapa tuan rumah tak duduk rumah yang cantik macam ni?” Deena teringin
nak tahu.
“Hmm... tuan rumah sekeluarga kat
luar negeri. Cuma ada sorang anaknya yang sekarang ni, tinggal kat KL.” Jawab
Pak Mat, sambil tangannya menolak daun pintu luas-luas.
Apabila seluruh daun pintu dikuakkan, kelihatan ruang tamu yang luas
menyambut mereka. Ada pintu gerbang memisahkan di antara ruang tamu dan ruang
tangga menuju ke tingkat atas. Manakala ruang seterusnya ialah ruang makan.
Ruang tamu itu kosong dan berhabuk, cuma dindingnya saja digantung
dengan beberapa buah lukisan yang ditutup
dengan kain untuk mengelakkan habuk.
Bagi Deena, suasana di luar… sudah lulus. Ruang dalam juga menarik hati.
Cukup luas dan amat selesa kalau hendak mengadakan kenduri-kendara.
Puan Nora pula, terus saja ke dapur. Adat orang perempuan, semestinya ingin
memastikan ruang dapur menepati cita rasanya. Senang kalau nak ‘bersilat’ waktu
memasak nanti. Puan Nora melahirkan rasa suka dengan keadaan dapur yang luas
dan terbuka.
Puan Nora sibuk membuka dan menutup pintu kabinet. Perbuatannya itu
mengeluarkan bunyi bising kelentang-kelentung di ruang dapur. Encik Hisyam,
Amar dan Pak Mat sudah keluar ke kawasan belakang rumah. Kawasan belakang rumah
redup dan ditanami dengan pokok rambutan. Ada pangkin kecil berdekatan dengan
pintu… tempat merehatkan badan sambil mengambil udara bersih. Deena pula, berkalih
dari dapur ke ruang tamu. Teringat pula hendak menjenguk lukisan yang
tergantung di dinding tadi. Deena sememangnya berminat dengan apa sahaja yang
berkaitan dengan seni, terutamanya apabila terjumpa lukisan yang cantik-cantik,
habis benda lain dia terlupa.
Ketika melepasi ruang makan, dan memasuki ruang yang menempatkan tangga ke
tingkat atas, Deena perasan ada pintu yang boleh dibuka untuk keluar ke laman
sebelah kanan rumah. Terus sahaja dia membuka pintu yang hanya berselak itu.
Matanya terbeliak, mulut pula separuh ternganga. Sesungguhnya… dia sangat
suka dengan suasana yang menyambutnya. Dia berpusing-pusing melihat
sekelilingnya. Ruang berturap batu dan berbumbung itu dipenuhi dengan
pokok-pokok berdaun hijau di dalam pasu. Ada yang diatur di bahagian bawah dan
ada yang tergantung pada bumbung. Ada bangku laman daripada jenis besi dan juga
batu. Suasana yang sangat tenang dan damai di matanya. Agaknya, ruang ini
digunakan untuk minum petang, nampak selesa kerana ia terlindung daripada
pandangan sesiapa saja. Kalau tak menutup aurat pun, masih boleh bersenang dan
bersantai di luar. Lama memerhati sekeliling, dia akhirnya menutup semula pintu
itu dan berkalih ke ruang tamu untuk meneruskan niatnya melihat lukisan di
dinding tadi.
Sedang Deena cuba membuang kain yang melitupi salah satu lukisan di
dinding, tiba-tiba terasa kakinya dilanggar sesuatu. Sekilas pandang, dia
perasan ada seekor kucing berlari laju ke tingkat atas. Deena, yang memang
menyayangi haiwan tersebut, pantas saja mengekori kucing itu ke tingkat atas.
Sebaik sampai di atas, Deena memandang sekeliling. Dia berkira-kira…
terdapat tiga bilik tidur di tingkat atas. Pintu salah satu bilik, sedikit
terbuka. Agaknya di situlah kucing tadi bersembunyi. Deena menguak pintu itu
luas-luas. Bilik tersebut agak berbau dan berhabuk, mungkin kerana telah sekian
lama tidak dihuni manusia. Puas menghendap ke sana sini. Namun, kucing tadi tak
kelihatan di mana-mana. Tak tahan dengan bau yang kurang menyenangkan, Deena
berjalan menghampiri tingkap. Dia menguak daun tingkap untuk membiarkan angin
masuk. Rupa-rupanya bilik ini menghadap jalan.
Hmm… cantiknya suasana. Deena dapat melihat dengan jelas bougainvillea
berbentuk bonsai di pasu besar yang menghiasi pintu pagar utama. Terpanar sebentar matanya memandang
suasana yang cantik dan menyegarkan itu. Tiba-tiba, dia seperti merasakan ada
angin sejuk bertiup dari arah pokok bougainvillea tersebut dan menerobos masuk
melalui tingkap yang terbuka. Bunyi geseran ranting-ranting bougainvillea yang
bergesel sesama sendiri kedengaran seperti suara berbisik. Telinganya seperti
dapat menangkap satu suara.
“Toloooonnng... tolooonngggg
aku....” Bisikan itu seakan dekat dengan telinga kirinya.
Sekilas itu, Deena pantas berpaling. Ketika itu jantungnya seperti berhenti
berdenyut. Matanya hanya menangkap objek hitam, betul-betul di hadapan mukanya.
Selebihnya, dia hanya mampu menjerit.
Dari tingkat bawah, Encik Hisyam dan yang lain-lain terkejut mendengar
jeritan Deena yang nyaring dan seperti orang ketakutan itu.
DEENA SEPERTI ORANG hilang akal. Walaupun sakit tapak tangannya, tetapi dia masih tidak
berhenti menampar Amar. Amar pula sedang tergolek di atas lantai. Sedang ketawa
sambil menekan perut. Budak Amar ini, kalau bab nak menyakat orang… memang
nombor satu. Tengok muka macam serius orangnya, tapi kuat mengusik. Deena cuma
berhenti apabila ada tangan yang kuat memeluknya dari belakang. Terdengar suara
emaknya melarang.
“Deena, kenapa pukul adik macam tu. Dah la tu... berhentilah!”
Deena tak ada pilihan. Itu arahan emak. Namun sebelum berhenti, sempat juga
dia membuat tamparan terakhir dengan sekuat hati. Amar menggeliat menahan
sakit. Mukanya berkerut, namun tidak lama… kerana dia kemudiannya, kembali
tersengih.
Sebaik Deena sudah berhenti dan memandang sekeliling, barulah dia perasan
yang semua orang sudah pun berada di dalam bilik itu. Agaknya, jeritannya tadi
membuatkan semua orang berlari naik. Deena mengesat air mata yang berbaki di
pipi. Dia menoleh kepada Amar yang masih terbaring di atas lantai sambil tersenyum
kambing. Cepat saja tangan Deena menampar Amar sekali lagi... tak sempat
dihalang emaknya.
Deena lihat, ayahnya hanya tersenyum. Tentu Encik Hisyam sudah dapat
mengagak yang Amar baru lepas mengusik Deena. Itu agenda Amar sejak mereka
kecil. Mengusik, bergaduh dan berbaik semula. Kalau waktu kecil dahulu, mereka
berdua pernah bergaduh sehingga bingkai gambar yang tergantung di dinding jatuh
berderai. Cuma semenjak menginjak dewasa, pergaduhan mereka lebih kepada
usik-mengusik. Namun Deena sedar, kalau tidak ditangani dengan cepat,
kadang-kadang boleh meletus perang. Macam perang Korea Selatan dengan Korea
Utara.
“Mak, tengoklah anak kesayangan mak ni! Deena sedap-sedap duk menghayati
hembusan angin nyaman dari luar, dia main bisik-bisik pula kat telinga Deena.
Bunyinya macam orang minta tolong. Lepas tu apabila Deena berkalih, muka dia
betul-betul kat depan muka Deena. Mana Deena tak terperanjat!” Deena merenung
Amar yang sudah pun bangun dan tersengih-sengih. Cepat pula dia berdiri di
belakang emak. Hmm... cari perisailah
tu! Tahu pun takut. Dijegilkan biji mata ke arah Amar sambil tangannya
menggenggam penumbuk.
“Mana ada orang bisik... orang tengok Along tu asyik sangat. So… orang cuma stand by muka orang supaya apabila Along berkalih… betul-betul bertentang
mata dengan orang. Mana ada angin, bau hapak rumah lama… adalah." Amar
mempertahankan dirinya sambil tersenyum-senyum. Puas hati dapat mengenakan
Deenalah tu.
“Hesy, sudahlah tu! Tak habis-habislah kamu berdua ni. Dari kecil sampai
dah besar panjang, perangai masih macam budak-budak.” Encik Hisyam meredakan
keadaan. Dia mengerling ke arah Puan Nora. Mereka cuma tersenyum sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
Apabila pandangan Deena berkalih ke arah Pak Mat, dia perasan yang Pak Mat
kelihatan gelisah. Gelagat Pak Mat itu turut disedari oleh ayah. Tanpa berkias,
terus saja ayah bertanya Pak Mat,
“Kenapa bang? Ada apa-apa masalah?”
“Tadi masa Cik Nina ni naik kat atas, pintu bilik ni memang terbukakah?”
“Bukan Nina. Saya Deena,” balas Deena.
Hairan! Lagi seorang memanggil namanya dengan nama Nina. Yang pertama tu,
masa buat adegan filem Hindustan dengan Mamat Handsome yang selamatkan dia
daripada terjatuh di Kompleks Pertama.
“Oh, maaf. Pakcik tersilap nama. Tersilap dengar agaknya tadi.”
“Tak apa… biasalah. Selalu jugak
orang silap panggil nama saya. Hmm…
masa saya ikut kucing putih tadi, memang dah terbuka. Kenapa pakcik? Ada yang
tak kena ke?” Deena bertanya.
“Hmm... tak ada apa-apa. Agaknya
pakcik terlupa nak mengunci pintu kelmarin. Kucing putih yang Cik Nina, eh...
Deena nampak tadi, ada tompok hitam di atas kepala ke?” Pak Mat menyoal lagi.
“Deena tak pastilah… laju sangat dia lari. Apabila sampai kat atas, tak
nampaklah pula. Tapi memang ada warna putih hitam gitu.”
Deena tengok muka Pak Mat terkulat-kulat apabila diperhatikan oleh semua
orang. Muka macam orang takut pun ada. Macam muka sangsi pun ada. Muka penuh
misteri pun ada. Hmm... apabila dah
terlampau banyak membaca cerita misteri, menonton Crime Scene Investigatins, Bones, Criminals Mind dan semua cerita
misteri yang ada di TV, semuanya dipandang misteri saja. Deena tersenyum
sendiri. Semenjak dari kecil dulu, dia memang meminati cerita-cerita misteri
dan penyiasatan. Hingga kini… minat tu masih melekat.
“Tak! Kucing orang kat rumah hujung sana selalu datang ke sini. Mungkin
kucing itulah. Pak Mat kena pastikan semua tingkap ditutup lepas ni, takut
dimarahi tuan rumah... itu saja.” Pak Mat menjawab perlahan.
Encik Hisyam dan Puan Nora hanya mengangguk.
Perkara itu berhenti di situ saja. Mereka semua meninggalkan bilik tersebut
dan bergerak memasuki bilik yang lain.
Setelah berpuas hati melihat keadaan sekeliling, Encik Hisyam meminta diri
dan berjanji akan menghubungi Pak Mat jika dia berminat. Pak Mat cuma
mengangguk dan sekali lagi pandangannya singgah di wajah Deena. Namun kali ini,
dengan pandangan yang agak tajam dan menakutkan. Tak tahu mahu bereaksi macam
mana, Deena terus beredar ke kereta mendahului yang lain.
Setelah kereta mereka meluncur keluar dari kawasan rumah tersebut, Deena tiba-tiba
terasa ingin berpaling. Dia sedikit tersentak apabila terpandang tangan
seseorang sedang menarik daun tingkap. Yang lebih membuatkan Deena merinding,
ada seekor kucing putih bertompok hitam, sedang bertenggek di kayu tingkap
sebelah kanan. Kucing itu menghantar pandangan tajam ke arah kereta mereka yang
sedang bergerak.
Dia mencari kelibat Pak Mat. Namun, orang tua itu tidak kelihatan di
mana-mana. Mungkinkah tangan Pak Mat yang menutup tingkap tersebut? Hairan!
Bagaimana Pak Mat boleh bergerak begitu cepat ke tingkat atas? Deena mendiamkan
diri dan sekadar menyimpan kesangsian hatinya sendirian.
SEWAKTU KERETA Encik Hisyam mula bergerak menjauhi rumah tersebut dan memasuki jalan
utama, kelihatan seorang lelaki sedang memerhatikan mereka dari bawah sebatang
pokok. Pokok yang tumbuh di kawasan belakang Rumah Bougainvillea yang
bersempadan dengan jalan utama. Dia berkalih merenung ke arah Rumah
Bougainvillea. Kedengaran dia melepaskan nafas berat.
“Mungkin akan ada penghuni baharu... aku kena pastikan mereka tak lama di
sini. Ini tempat aku dan Nina. Jangan ada yang kacau!” Dia mendengus. Dia
paling benci kalau ada yang cuba menghuni rumah ini. Penghuni baharu hanya akan
mengganggu aktiviti malam harinya. Namun dia kembali tersenyum. Dia tahu… yang menyewa
sebelum ini, tidak pernah akan kekal lama.
Ini rutin mingguannya pada siang hari. Kalau mahu berlebih-lebih, dia akan
datang semula pada waktu malam. Di saat semua orang sedang beradu. Kunjungan
malam harinya selama ini, belum dapat dihidu sesiapa. Kalau ada penyewa baharu
tentu sukar untuknya berkunjung sesuka hati. Segalanya terpaksa dilakukan
secara sembunyi-sembunyi. Walaupun itu bukanlah satu perkara yang sukar
baginya, kerana dia mahir akan setiap inci dan setiap ceruk rumah ini.
Rumah ini banyak menyimpan kenangan. Juga menyimpan segala rahsia yang
hanya dia sahaja yang tahu. Sesuatu yang dia tak pernah lupa dan selain dia…
tentunya Allah Yang Maha Mengetahui. Dia tersenyum lalu menggelengkan kepala.
Orang seperti dia, mungkin tidak layak menyebut nama Tuhan Yang Maha Besar itu.
Dia sedar, dia sudah jauh tersasar… dan tak pernah mungkin bertemu jalan
kembali.
No comments:
Post a Comment