Semua orang gelar dia Mael Burung Unta. Mael tahu! Tapi
dia tak kisah. Dia suka! Sebab kata Mat Pon kawannya, burung unta tu kuat. Larinya
pula laju. Apa saja yang ada di badan burung unta, boleh dibuat duit. Pendek
kata, sebagaimana berharganya burung unta itu, begitulah berharganya Mael.
Makanya, setiap kali mendengar nama burung unta di belakang namanya, Mael jadi
kembang dada. Rasa seperti diberi penghormatan yang tidak terperi layaknya.
Namun yang dia
tak tahu, Mat Pon bukan gelar dia burung unta sebab dia tu bernilai sangat. Mat
Pon dengan Lan Keron kawannya, ada agenda tersembunyi sebenarnya. Lagipun
gelaran burung unta tu sesuai sangat dengan Mael kerana setiap kali dia
berjalan, kepalanya akan bergerak ke kiri dan kanan. Berubah arah dalam gerakan
lambat macam ‘slow motion’. Mata Mael besar dan bulu matanya melentik. Bibir
mulutnya pula memuncung tinggi, sama mancung dengan hidungnya. Betullah macam
burung unta, kan! Tapi takkanlah Mat Pon nak beritahu perkara sebenar. Rosaklah
agendanya!
“ Hang nak pi mana pulak ni,
Mael? Tiap-tiap hari kerja merambu. Cubalah cari kerja sikit. Ni tak, duit aku jugak
yang hang pau selalunya!” Leter Mak Teh Biah, emak Mael di satu petang sewaktu
Mael membetulkan ‘remosnya’. Mak Teh Biah pun dah pandai guna perkataan ‘pau’
akibat selalu bersembang dengan Mat Pon dan Lan Keron yang sejak kebelakangan
ni, kerap benar melepak di rumah mereka.
“ Mak ni bisinglah! Mael ada
projek dengan Mat Pon dan Lan Keron. Projek ribu-ribu sempena Ramadhan dan
Syawal. Kalau projek ni jalan. Sapa senang? Maaakkkk juga, kan!” Mael tersengih
ke arah emaknya. Mak Teh Biah mencebik bibir.
“ Ya lah tu!” Pendek aja ayat Mak
Teh Biah.
Malas mahu melayan
angan-angan Mat Jenin anaknya tu, Mak Teh Biah bangun ke dapur. Namun di dalam
hatinya, dia cukup risau. Naluri keibuannya mengatakan yang Mat Pon dan Lan
Keron tu, bukan iklas mahu berkawan dengan anaknya. Dia bimbang jika mereka
menggunakan sifat bodoh-bodoh alang anaknya tu untuk kepentingan sendiri. Si
Mael pula, kalau dipuji sangat, dia mudah jadi lupa diri!
*****
“ MAEL mai dah!
Mael mai dah!” Bisik Lan Keron.
Segera Mat Pon bangun dari
baringnya. Dia mengambil kepiah putih dari dalam beg plastik. Satu dia pakai,
satu lagi dia beri pada Lan Keron. Cepat-cepat Lan Keron pakai atas kepala dan
terus pejamkan mata. Lakonan mereka perlu mantap untuk mempengaruhi Mael kali
ini.
Mat Pon capai gitar buruk yang
sedia menemaninya. Dia mula memainkan lagu Maher Zain, Insyallah versi Melayu.
Boleh tahan jugalah suaranya. Kalau uji bakat rancangan Mentor tu, untuk
dipilih jadi mentee tu, mungkinlah tidak. Tapi ada harapan dipanggil menyanyi
dalam acara mingguan.
Mael bergerak menghampir. Dia
nampak tertarik dengan alunan suara Mat Pon. Terus saja dia melabuhkan
punggongnya di atas pangkin yang terletak bawah pokok Ceri tu. Dia pejamkan
mata untuk menghayati liriknya kerana sejak dulu, Mael memang suka dengan
lagu-lagu berunsur ketuhanan. Mat Pon pandang Lan Keron lalu mengenyit mata.
Cepat-cepat Lan Keron mengambil telefon bimbit dari koceknya. Menekan butang
untuk menulis mesej lalu terus menghantarnya. Sebaik selesai, Lan Keron angkat
ibujari pada Mat Pon.
Entah angin apa hari ini, Mael
yang memang selama ni tak pandai menyanyi, tiba-tiba terus menyanyi bersama.
Sumbangnya, susah nak terangkan macam mana. Sampai Lan Keron menutup telinga
dengan tangan dan tangan Mat Pon yang sedang memetik gitar, berhenti tiba-tiba.
“ Hek eleh! Ente buat ana
terperanjat la… jangan potong stim ana la… Ana tau ente memang handsome, memang
gagah dan tampan bergaya. Tapi ana kena cakap ikhlas la… bab nyanyi, ente
memang fail. Fail lah… fail lah!” Kata Mat Pon sambil mengajuk cara P. Ramlee
bercakap dalam filem Ahmad Albab. Lan Keron ketawa ala-ala cerita ‘Betty La
Soy’ yang akhir bunyinya, seperti lendir disedut masuk ke hidung.
Mael tersengih. Suka sangat kalau
orang kata dia kacak. Dalam kampong ni, cuma Mat Pon dan Lan Keron saja yang
sedar kelebihan dirinya. Sebab itu dia suka berkawan dengan mereka. Cuma dia
hairan, selalunya… tak begini pula cara Mat Pon bercakap!
“ Aku heran la… pasai apa yang
hangpa dua orang ni buang tebiat? Pakai kepiah, nyanyi lagu Maher Zain, lepas
tu… cakap ana sama ente pulak? Cuba cerita mai!” Dia tersengih menampakkan giginya
yang putih bersih.
Mat Pon pandang Lan Keron. Lan
Keron angguk kepala.
Mat Pon berdehem dua tiga kali. Terbatuk-batuk
kecil. Meniru gaya ustaz-ustaz mahu memulakan ceramah. “ Bismilah….” Dia
membaca Bismillah. “ Begini, ente kan, dah beberapa hari tak ikut kami!
Kebelakangan ni, ana dengan Lan pi belajaq agama kat kampong seberang. Ni pun
baru balik dari sana. Ente nampak ana punya kepiah?” Tanya Mat Pon sambil
mengangkat kepiah di kepala. Lan Keron pun buat aksi yang sama. Mael hanya angguk
kepala. Masih menunggu cerita seterusnya.
“ Tadi, ada ustaz kata, kalau
orang kedekut tak keluar zakat. Kita boleh tolong keluarkan kat dia. Kita buat
kebajikan untuk dia. Lagi dia tak tau, laaaagi bagus. Kan, nak buat kebajikan
tu kena senyap-senyap!” Mat Pon mulakan ceramah versi ‘ sesat lagi
menyesatkan’.
Mael garu kepala. Seingat dia,
tak pernah pula dia belajar perkara begitu. Waktu arwah ayahnya masih ada,
selalu jugak dia mengikut arwah ayahnya berguru di serata masjid. Kata ayahnya,
dia tahu Mael kurang menjadi dalam ilmu dunia. Jadi, dia mahu dada Mael penuh
dengan ilmu akhirat. Namun sejak ayah meninggal 10 tahun lalu, dia turut
berhenti berguru. Lagipun, sudah tak ada orang yang sudi memberi semangat
padanya. Tiba-tiba saja, ada rasa syahdu menyusup ke hati Mael. Teringat pesan
ayahnya supaya membuat kebaikan selagi hidup di dunia.
“ Ada ke macam tu? Nak buat macam
mana?”
“ Macam
ni, hang ingat Pak Long Pi’ee?” Soal Mat Pon. Mael mengangguk. Siapa tak kenal
Pak Long Pi’ee yang maha kedekut seantero kampong tu.
“ Apa kata, kita tolong
keluarkan zakat untuk dia. Kita tangkap lembu dia dalam lima ekor. Kita serah
kat ustaz tu.”
“ Ish! Tak ke mencuri namanya
tu?” Soalan Mael tu, buat Mat Pon dan Lan Keron tersedak tiba-tiba. Mat Pon
geleng kepala. Isy! Dalam bodoh-bodoh alang, boleh pakai juga otak Mael Burung
Unta ni rupanya.
Belum sempat Mat Pon menjawab,
tiba-tiba terdengar orang memberi salam. Sebaik berkalih, seorang lelaki gaya
seperti ustaz… sedang menapak ke arah mereka.
Mat Pon dan Lan Keron segera
bergerak turun dari pangkin. Tertunduk-tunduk sebelum bersalam dan mencium
tangan ustaz tersebut. Mael pun turut bersalam juga.
“ Mael, aku kenalkan… ini Ustaz
Hasyim Al- Jawari. Guru mengaji kami kat kampong seberang sana."
Mael mengangguk. Matanya merayap
ke wajah ustaz tersebut. Mukanya putih bersih. Pakaiannya juga dari jubah putih
seperti selalu dipakai orang Arab. Memang macam gaya orang beriman.
“ Panjang umur ustaz, kami baru
terangkan pasal zakat tu pada kawan kami, Mael ni. Dah ustaz ada ni, ustaz
sajalah terangkan,” ucap Mat Pon.
Mael mengangguk lagi.
Ustaz Hasyim memandang Mael. Dia
tersenyum pada Mat Pon dan Lan Keron. Mereka memberi laluan kepada Ustaz Hasyim
untuk mengambil tempat duduk.
Sebaik duduk, Ustaz Hasyim
memulakan ceramahnya. Tutur katanya lembut dan perlahan. Sepatah demi sepatah
dia menuturkan ayat. Pembawaannya memang menarik hati Mael. Dia teringat
ustaz-ustaz yang dia pernah berguru bersama dengan ayahnya dulu.
Yang Mael tak tahu, sebenarnya
muka ustaz tu sudah di’make-up’ dengan beberapa lapis bedak sebentar tadi. Dan
gaya percakapan serta aturan ayat tu sudah dibuat latihan berulang kali sejak
semalam. Tambahan gelaran Al-Jawari itu pula, datang dari keturunan Jawa di
sebelah bapanya. Sesungguhnya ‘ Ustaz Hasyim Al-Jawari’ itu sebenarnya adalah
peraih lembu curi yang terkenal di kalangan rangkaian pencuri-pencuri lembu
seantero kawasan Baling.
“ Mael faham dak? Dari apa yang
ustaz tengok, Mael ni budak baik, lawa dan suka buat kebajikan. Sama macam ayah
Mael dulu.” Kata ustaz tu sambil mengurut belakang Mael.
“ Faham ustaz! Ustaz kenal ayah
saya?”
“ Kenal. Ayah hang mesti bangga
ada anak yang sukakan kebajikan macam hang.” Dia berhenti sebentar tersenyum
pada Mael sebelum berkalih dan mengenyit mata pada Mat Pon dan Lan Keron.
“ Kalau macam tu, bila kita
boleh mula?” Lan Keron mencelah. Lebih lama mereka membiarkan Mael berfikir,
lebih kemungkinan untuk Mael menolak idea mereka.
‘Ustaz Hasyim’ menggaru dagunya
sebentar. Berkerut seperti sedang mengira tarikh yang sesuai. “ Hangpa buat minggu
kedua puasa. Dah ada… panggil ustaz ambil lepas Terawih.”
Mael nampak kurang senang. “
Kita buat waktu malam, boleh ustaz?”
“ Pasai apa?”
“ Saya takut pahala puasa saya
kurang. Arwah bapa saya kata… kalau kita ambil barang tanpa pengetahuan tuan
dia, kira macam kita mencuri. Saya tak mau mencuri waktu puasa!”
Jawapan Mael buat ‘Ustaz Hasyim’
menggaru kepala.
*****
Hari ini, Kampung Titi Lebai
Tahir gempar dengan kehilangan lembu Pak Long Pi’ee. Bukan seekor dua, tetapi
enam ekor semuanya. Seperti biasa, Mat Pon dan Lan Keron memasang telinga
ketika bermain dam di gerai makan Jon Superman. Sejak lepas waktu berbuka,
dekat situlah mereka ‘berterawih’. Macam mana nak berterawih, kalau puasa pun
tidak!
“ Haa… satu… dua… tiga, habis aku baham hang
punya.” Lan Keron menggerakkan buah dam haji dari tudung botol minuman lemonade.
Gerakan yang terus naik ke kedudukan ‘haji’. Mat Pon tepuk kepala. Baru
tersedar yang dia telah tersilap langkah.
“Aduh! Macam mana aku tak nampak
tadi?” Mat Pon garu kepala. “Bang Jon, tambah teh ais satu!” Mat Pon membuat
isyarat jari tunjuk nombor satu.
“ Oder bertambah, hutang bertambah. Asyik masuk
buku tiga lima saja. Bila nak bayar ni?” Jon Superman merungut. Gelaran Jon
Superman itu dia dapat bukan kerana dia kuat. Tapi kerana sifat beraninya
ketika remaja. Semuanya kerana peristiwa cuba menyelamatkan Mael yang terperangkap
atas pokok sedangkan dia cuma berkain pelikat. Sudahnya, dia sendiri tersangkut
di dahan pokok dalam keadaan tergantung seperti sedang terbang. Sebab itulah
lekat gelaran ‘Superman’ di belakang namanya hingga hari ini.
“ Namanya pun penanam anggur!”
Suara Haji Said tiba-tiba kedengaran menambah dari belakang. Mat Pon berkalih,
kurang senang dengan kata-kata Haji Said yang sedang mengambil tempat duduk.
Haji Said baru balik dari masjid agaknya.
“ Haji janganlah perli kami.
Jangan pandang kami tak dak mata…” Mat Pon bersuara tanpa memandang Haji Said. Dia
memang tak berapa suka dengan Haji Said yang suka menegur segala perbuatannya.
Haji said tersenyum. “ Aku
bergurau saja. Pasai apa pulak hang nak marah. Hangpa dua orang ni, tak
berterawih ke?” Haji Said yang juga Imam kampong itu tersenyum manis. Mat Pon
berdengus. Wajah Haji Said masih kekal tersenyum walaupun mendengar dengusan
dari Mat Pon. Sebagai orang tua kampong yang penuh ilmu, tahap kesabaran dalam
dirinya juga… amat tinggi.
“ Bagi aku teh tarik kurang
manis satu. Haa… Jon, hang tak dengar apa-apa ke pasai lembu Pak Long Pi’ee
yang kena curi semalam? Tanya Haji Said tiba-tiba. Ekor matanya mengerling ke
arah Mat Pon dan Lan Keron. Entah kenapa, nalurinya kuat mengatakan yang mereka
memang terlibat.
“ Dengar juga Haji.” Jawab Jon
Seperman, belum sempat membalas soalan Haji Said, kedengaran riuh suara
beberapa pemuda baru pulang dari masjid. Haji Said turut berkalih. Dia
tersenyum bila melihat Mael burung Unta pun turut ada bersama.
Belum sempat Mael menapak ke
arah Mat Pon dan Lan Keron, Haji Said sudah memanggil namanya.
“ Mael! Ke sini sekejap. Aku ada
perkara nak bincang.” Mael berhenti terkebil-kebil sambil tangannya menggaru
kepala. Mael cukup segan dengan Haji Said kerana dia pangkat datuk saudara di
sebelah emaknya. Dengan rasa terpaksa, dia menapak ke meja Haji Said.
“ Jon, hari ni tak ada moreh,
jadi kira aku belanjalah semua yang ada di sini. Mael, hang nak makan apa?”
“ Nescafe panas ajalah, Tok Cik.
Mee goreng sepinggan pun bolehlah juga.” Mael sengih lagi. Kata orang, rezeki
jangan ditolak, bala jangan di cari. Tapi entah kenapa, Mael terasa seperti dia
sudah mengundang bala dalam hidupnya baru-baru ini.
“ Hmm… yang lain-lain nak makan
apa, bolehlah oder.” Mendengar pelawaan
Haji Said, riuh-rendahlah bunyi mereka memesan makanan.
Yang tidak senang hanya Mat Pon
dan Lan Keron. Mat Pon menumbuk meja tiba-tiba. Habis buah dam bertaburan di
atas tanah. Segera dia menarik tangan Lan Keron beredar dari situ. Sebelum
beredar, dia sempat memandang ke arah Mael dengan pandangan yang tajam.
Haji Said menggeleng kepala.
Mael pula terkulat-kulat memandang. Hairan benar dia, Mat Pon lain benar
anginnya kalau dibandingkan dengan beberapa hari lepas. Aura pemuda alim yang sudah bertaubat, hilang
tiba-tiba. Mael garu kepala.
“ Biarkan saja mereka tu.” Kata
Tok Cik sambil menolak gelas Nescafe supaya lebih dekat dengan Mael. Mael
menyambut lalu terus membawa gelas ke mulut. Dia mula menghirup.
“ Haa… ni, Tok Cik nak tanya,
hang ada dengar apa-apa ke pasal Lembu Pak Long Pi’ee tu? Tok Cik tengok,
kebelakangan ni, hang rapat benar dengan budak berdua tu…” soal Tok Cik bersahaja.
Dia memandang tepat ke muka Mael.
Mael yang sedang menghirup air,
tersedak tiba-tiba. Menyebabkan air tersembur. Percikan Nescafe panas yang
mengenai tangannya, membuatkan dia
terlepas gelas secara tidak sengaja. Gelas itu pecah sebaik mencecah tanah.
Mael pucat memandang Haji Said.
Namun Haji Said hanya tersenyum tanpa berkata apa. Haji Said tidak bertanya
lanjut kerana dia yakin, dia sudah mendapat jawapan yang dicari-carinya.
*****
“ Sumpah! Aku tak cerita
apa-apa!” Mael angkat tangan kanan gaya orang bersumpah. Tangan kirinya pula
mengelap mulutnya yang sudah berdarah ditumbuk Mat Pon sebentar tadi.
“ Aku tak percaya!” Bentak Mat
Pon. Dua malam lepas, dia dan Lan Keron mengintai Mael lepas balik dari gerai
Jon Superman. Mael dengan Haji Said berbual lama. Lepas tu, berjalan balik
beriringan dan masuk ke rumah Haji Said. Mat Pon tak tahu apa yang Mael
ceritakan pada Haji Said. Namun apa yang dia nampak sewaktu mengintip melalui
tingkap rumah Haji Said itulah yang lebih penting.
Lan Keron mengangguk. “ Betul
tu. Kalau kau tak cerita apa-apa, apasal lama sangat kau berbual?” Badan Mael
ditolak ke depan, memasuki kawasan rumah Haji Said.
“ Hangpa nak buat apa kat rumah
Tok Cik ni, dia kan, tak ada! Dia ke Kuala Lumpur.”
“ Aku tau dia ke KL. Dia upah
hang suruh jaga kebun dia, kan! Yang bagusnya, kami nampak kat mana dia simpan
duit dia, masa dia nak ambik duit tu...” Mat Pon ketawa kuat. Bunyi ketawa itu
kedengaran jahat seperti gaya Salleh Dol, samseng Kampung Dusun dalam cerita P.
Ramlee.
Mael pucat. Dia sudah tertipu
sekali. Dan kerana itu, dia sudah bersetongkol mencuri lembu Pak Long Pi’ee.
Dua malam lepas, sengaja dia bertanya pada Tok Cik tentang zakat. Penerangan
Tok Cik tentang zakat membuat Mael sedar yang dia sudah ditipu oleh Mat Pon dan
kawan-kawannya. Dia tak mahu terlibat lagi.
“ Tolong! Aku tak mau dah ikut
hangpa. Aku nak balik!”
“ Kalau hang nak hidup, hang
baliklah!” Ugut Mat Pon sambil mengeluarkan pisau Rambo dari sarung yang
terselit di pinggangnya. Dia tahu Mael akan mengikut saja jika melihat pisau
itu. Mael perlu ada untuk melaksanakan misi mereka malam ini. Dia dan Lan Keron
sudah merangka pelan itu sejak dua malam lepas.
Mael telan air liur. Seriau
melihat ketajaman pisau yang berkilat membias cahaya bulan. Mahu tak mahu,
kakinya dipaksa melangkah memasuki rumah Haji Said melalui tingkap yang sudah
siap diumpil oleh Mat Pon.
Sebaik semua berada di dalam, cahaya
lampu suluh mereka mula menerangi ruang. Rasanya, kalau tidak silap Mael, itu
bilik sembahyang atau surau kecil dalam rumah Tok Cik. Jantung Mael berdetak
kencang. Dia tidak suka dengan apa yang sedang terjadi.
“ Kat mana kita nampak malam
tu?” Bisik Lan Keron ke telinga Mat Pon.
“ Atas almari kitab. Kalau tak
silap aku… bawah Al-Quran yang bersusun tu. Hang panjat!”
“ Apasal aku pulak! Suruh Mael
ajalah!” Lan Keron membantah. Kalau ikut pemerhatian mata kasarnya, tinggi juga
almari kitab tu. Kena panjat meja tulis dulu, lepas tu panjat almari kain kat
sebelah dan berdiri di situ. Dari situ, barulah tangannya boleh mencapai rak
yang diisi kitab-kitab dan Al-Quran. Mahu ketar juga lutunya nanti. Hairan
sungguh! Macam manalah Haji Said mampu memanjat dengan mudah malam sebelumnya.
Mendengar namanya disebut, Mael
mula menggelisah. Dia sudah bertekat, dia tak akan benarkan anggota badannya
bersetongkol membuat kejahatan kali ini. Kalau nak mati pun, biarlah. Dia mahu
mati dalam iman.
“ Hang lupa ka? Mael kan, takut
tinggi! Pasai tu Jon dapat nama Jon Superman!” Bisik Mat Pon lagi.
Lan Keron akhirnya mengangguk.
Menghulurkan lampu picit pada Mat Pon. Mat Pon hulur lampu tu pada Mael. Mael
menyambut macam orang bodoh. Terketar-ketar lutut Lan Keron memanjat dengan
berpandukan cahaya lampu picit Mat Pon. Lan Keron akhirnya berjaya menjejakkan
kaki di atas almari kain. Dia menghela nafas lega.
“ Cepat ambil duit bawah kitab
tu!” Arah Mat Pon. Namun Lan Keron masih berdiri sambil menggaru kepalanya.
“ Pasai apa? Cepatlah sikit!”
Mat Pon mula hilang sabar.
“ Ada masalah sikit! Aku tak ada
air sembahyang. Macam mana nak pegang Al-Quran!”
Jawapan Lan Keron tu buat Mat
Pon terduduk sambil bertinggung. Dia turut garu kepala. Sebal betul dia dengan
perangai Lan Keron malam ini.
“ Ambil ajalah! Mengada-ngada
betullah hang ni!” Sergah Mat Pon.
Namun Lan Keron masih tegak
berdiri di situ. “Tak boleh! Tok guru mengaji pesan, haram pegang Al-Quran
tanpa air sembahyang. Ambil sejadah kat aku!”
Malas bergaduh dengan Lan Keron,
Mat Pon mengikut saja. Dia mengambil sejadah yang kebetulan terhampar di hujung
kaki lalu menghulurkan pada Lan Keron.
Lan Keron membalut Al-Quran yang
letaknya di atas kitab-kitab yang lain lalu menghulur pada Mat Pon. Mat Pon
menyambut dan terus menghulur pada Mael. Namun sambutan Mael kurang kuat
menyebabkan Al-Quran terus jatuh dalam keadaaan terbuka.
Mael rasa bersalah dan berdosa.
Kitab Allah itu patut dihormati dan dijaga kesuciannya. Mana boleh
campak-campak ikut suka… walaupun tanpa niat. Sewaktu mahu mengambil semula
Al-Quran itu, lampu suluhnya menyuluh mukasurat yang terbuka. Ayat terjermahan
yang terletak di bahagian atas sebelah kiri, bagai besi berani menarik
pandangan matanya. Dia membaca… itu surah Al-Maidah. Ayat 38;
‘Dan orang lelaki yang mencuri
dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai
satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu
hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.’
Entah kenapa, membaca ayat itu
membuatkan badan Mael berpeluh tiba-tiba. Lututnya jadi lemah. Namun dia
gagahkan juga menutup A-Quran terjermahan yang masih dilapik sejadah itu lalu
mendakapnya ke dada. Rasa seram sejuk dan berpeluh itu makin kuat terasa. Dia
sudah tidak kisah apa yang Mat Pon dan Lan Keron buat. Perlahan-lahan dia
mengesot lalu bersandar di sudut bilik. Dalam keadaan terketar-ketar dia terus
memeluk kitab Al-Quran itu lalu terus menangis dan menangis.
Mat Pon dan Lan Keron pula,
sudah tidak nampak apa yang terjadi di belakang mereka. Mereka sedang teruja
melihat berhelai-helai not lima puluh ringgit yang tersimpan dalam sampul
surat. Sampul surat yang telah berjaya diambil dari bahagian bawah kitab-kitab
tadi. Namun kegembiraan itu tidak lama kerana tiba-tiba, telinga mereka telah
menangkap bunyi siren kereta polis
berhenti di luar rumah.
Kelam-kabut Mat Pon dan Lan Keron
berlari menyelamatkan diri dengan meninggalkan Mael. Niat awal mereka
sememangnya mahu memukul Mael hingga tidak sedarkan diri selepas mendapat apa
yang mereka hajatkan. Mereka mahu Mael dipersalahkan atas kejahatan yang mereka
lakukan. Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana ditangkap polis sebaik
sahaja keluar dari rumah Haji Said.
“ Berapa orang semuanya?” Tanya
anggota polis kepada Haji Said.
Haji Said terdiam lama. Dia
memerhatikan Mat Pon dan Lan Keron di depannya. Dari perancangan dan intipan
yang dia buat, dia tahu mereka bertiga semuanya. Dan dia juga tahu, Mael
kelihatannya seperti dipaksa. Mulut Haji Said menjadi berat mahu mengatakan bilangan
sebenarnya. Namun dia juga tahu, mereka sudah memeriksa seluruh rumah. Memang
tiada langsung kelibat Mael di mana-mana.
“ Tiga orang!” Perkataan itu
terbit dari mulut Lan Keron tiba-tiba. Mat Pon tersenyum sumbing pada Haji
Said. Haji Said melepaskan nafas berat.
“ Tak ada siapa-siapa lagi. Kami
dah cek semuanya. Confirm, memang hanya 2 orang!” Kata anggota polis yang
memeriksa kawasan.
“ Kalau bertiga, mustahil
terlepas, Tuan! Saya sudah kunci pintu bilik tu dari dalam. Tak mungkin ada
yang boleh lepas!” Jelas Haji Said. Dia kehairanan. Kesemua anggota polis hanya
menggeleng kepala. Pemeriksaan telah dibuat dan sememangnya tiada tanda-tanda kehadiran
orang ketiga.
Sebaik pihak polis meninggalkan
perkarangan rumahnya, Haji Said memasuki
surau rumahnya. Dia hairan bagaimana Mael mampu melepaskan diri. Namun apa yang
dia lihat di dalam surau, memang mengejutkannya…
Mael sedang terduduk sambil
menangis di sudut bilik dengan memeluk Al-Quran yang dibaluti sejadah.
*****
Topik dan isu utama yang menjadi
perbincangan warga kampong Titi Lebai Tahir kebelakangan ini adalah isu
penangkapan Mat Pon dan ‘partner in crimenya’ Lan Keron. Di masjid, di simpang
jalan, di padang permainan dan yang paling meriah sekali adalah di gerai makan
Jon Superman. Maka terbitlah bermacam-macam versi penceritaan dan teorinya. Setiap
kali mendengar mereka berhujah, Mael sering diburu rasa bersalah. Dia ada
menyuarakan hasrat mahu menyerah diri. Namun dihalang oleh Tok Ciknya, Haji
Said. Kata Haji Said, dia yakin… Allah mahu memberi peluang untuk Mael
bertaubat. Sebab itulah kewujudan Mael malam itu, dihijabkan dari pandangan
manusia.
Apabila penduduk kampong
bertanya tentang desas-desus pengelibatan Mael, Haji Said hanya tersenyum. Lebih menghairankan mereka,
kebelakangan ini… Haji Said kelihatan akrab dengan Mael Burung Unta yang sering
menemaninya walau ke mana sahaja.
“ Haji! Mael! Mai singgah minum
dulu!” Laung Jon Superman sebaik nampak kelibat Haji Said dan Mael yang sedang
berjalan pulang dari masjid.
“ Assalamu’alaikum, Jon! Apa
cerita?” Soal Haji Said.
“ “Alaikum Salam Haji! Ini, hari
ni pendakwaan. Ni, jadi tajuk muka depan. ‘ Dua pemuda, Muhammad Saiful Hamdi
dan Azlan Khairun Abdullah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencuri.” Jon
Superman membaca tajuk akhbar.
“ Tak apalah! Biar jadi
pengajaran untuk depa. Tak semua orang yang masuk penjara itu jahat. Dan tak semua
orang yang bebas di luar tu, baik. Allah bagi hidayah dengan bermacam-macam
cara. Ada orang, Allah bagi hukuman dunia… baru dia sedar. Ada orang, Allah
tunjukkan kekuasaannya… baru dia berakal. Itu semua cara Allah merahmati
hamba-Nya. Dia tak mau kita terus sesat. Tapi, yang paling menyedihkan ada dua
golongan. Golongan pertama adalah orang yang Allah tak bagi peringatan
langsung. Dia leka dengan dosa dia sampai mati. Dan golongan kedua, iaitu orang
yang Allah dah bagi peringatan, masih tak mau sedar-sedar. Itu yang
menyedihkan!” Panjang lebar Haji Said beri ‘tazkirah’ lepas Isyak di dalam
gerai Jon Superman. Beberapa orang yang ada di situ mengangguk kepala mereka.
Mael turut terkesan dengan
kata-kata Haji Said tu. Dia bertekad untuk menyambung keinginan arwah ayahnya
dengan memenuhi dadanya dengan ilmu akhirat. Lagipun, dia kini ada Haji Said
yang sedia memberi semangat dan tunjuk ajar ke arah menjadi Muslim dalam
ertikata sebenar-benarnya.
2 comments:
Sangat sangat menarik....
Hai Anonymous, terima kasih! :)
Post a Comment