MELAKAR PELANGI CINTA
AKU tidak pernah melihat Mimi Syuhada menangis. Sejak
sepuluh tahun bersahabat, Mimi sentiasa gembira, ceria dan mudah ketawa. Bagi Aku,
Mimi adalah gadis tanpa masalah. Namun, hari ini, Mimi menjadi makhluk Allah
yang paling sedih di dunia. Ini kali yang pertama Mimi menangis di depan aku.
Hati aku turut jadi sebak, tanpa aku sedar…airmataku turut luruh. Aku paut bahu
Mimi, dan dia akhirnya tersedu dalam sandar di bahuku.
“ Siap orang
tua tu, kalau jumpa dia… aku potong
lapan belas kerat.”
Geram betul aku
dengan Datuk Tajul, dia buat Mimi macam kain persalinan. Suka dia pakai, tak
suka dia buang macam sampah. Paling aku geram, selepas dia arahkan Mimi
berpindah ke sini, dia ceraikan Mimi cuma melalui talipon. Begitu sahaja.
Mimi semakin
kuat menangis bila mendengar kata-kata yang terlontar dari mulutku, Bahunya
terhinjut-hinjut. Aku makin tak tahu hendak
buat macam mana lagi.
Sudah berbuih
mulut aku nasihatkan dia sebelum dia ambil keputusan mahu berkahwin dengan
Datuk Tajul. Namun, kata-kata aku hanya
seperti mencurah air ke daun keladi. Sepatahpun tidak memberi erti. Aura Datuk
Tajul sungguh kuat, Dia memang pandai berkata-kata. Ibarat menanam tebu di tepi
bibir… janjinya semua manis-manis belaka. Dia juga melambakkan kemewahan untuk
memerangkap Mimi, dan akhirnya Mimi terpedaya. Aku, hanya mampu menjadi
pemerhati…dalam rasa sakit hati yang amat sangat.
“ Kau nak buat
apa sekarang? Nak balik ke Kelantan semula?” Soal aku, dan aku hanya melihat
Mimi menggeleng kepala. Lama dia mendiamkan diri.
“ Aku nak duduk
kat sini, dah tak ada siapapun di sana. Dan aku nak cuba selamatkan perkahwinan
aku. Dia bukan jatuhkan talak tiga. Aku masih ada peluang kan!”
“ Kau masih
harapkan dia lepas apa yang dia buat pada kau?” Aku makin tidak faham dengan
pendirian Mimi. Geram sungguh bila Datuk Tajul menceraikan Mimi dalam keadaan
Mimi sarat mengandung lima bulan.
Mimi
mengangguk. Masih ada cinta di hati Mimi rupanya.
“ Melia, kau
temankan aku, boleh?”
“ Ke mana?”
“ Jumpa bomoh.”
Jawapan Mimi
membuatkan mata aku terbeliak.
*****
SUDAH lebih empat bulan berlalu, usaha Mimi untuk
menyelamatkan perkahwinannya ternyata tidak berhasil. Dan, aku jadi manusia
yang paling sensitif bila mendengar nama Datuk Tajul. Apalagi bila mengetahui
yang dia menceraikan Mimi cuma kerana isterinya Datin Rubiah, sudah dapat
menghidu segalanya. Dulu, bila Mimi bangkitkan hal bermadu dan keizinan Datin,
Datuk Tajul kata, dia ketua keluarga…dia yang berkuasa menentukan segalanya.
Sekarang, tahu pulak dia takutkan Datin Rubiah. Memang dasar cakap tak serupa
bikin!
Mimi pula,
sejak itu… sudah berubah menjadi ratu airmata. Sikap yang berlawanan dengan
Mimi yang aku kenal sebelumnya. Keceriaannya sudah hilang. Apalagi bila Daniel Hakimi
lahir ke dunia tanpa seorang ayah di sisinya. Setiap kali melihat wajah putih
mulus Daniel Hakimi, dia pasti menangis. Keadaan menjadi lebih teruk lagi… bila
Mimi tiada pekerjaan. Dan, aku makin geram dan benci bila Datuk Tajul mengambil
sikap berlepas tangan. Kebajikan Mimi langsung tidak diperdulikan.
Kerana
kasihankan Mimi dan bimbang akan tekanan emosi yang bakal dihadapi Mimi, aku
bawa dia tinggal bersama. Ayah dan emak pun tidak kisah, kerana Mimi sudah
biasa mengikut aku pulang. Kebetulan pula, sekolah tempat aku mengajar perlukan
guru sandaran…maka aku usahakan agar tempat itu diisi oleh Mimi.
“ Ini meja kau.
Meja aku kat situ.” Kata aku sambil menunding jari ke arah meja di sudut bilik
guru.
Beberapa orang
guru mula melangkah masuk ke bilik guru. Mataku menangkap kelibat Ustaz Fitri
di antara yang ramai. Jantung aku berdebar. Itulah yang aku rasa setiap kali
memandang dia. Namun rasa itu aku simpan kemas-kemas di dalam hati. Ketenangan
wajahnya dan pembawaannya yang warak tetapi masih bergaul mesra dengan semua
orang begitu menarik hati aku. Dalam diam, aku menganyam impian untuk memenangi
hatinya.
“
Assalamualaikum!” Sapa Ustaz Fitri. Cikgu Zizan yang kuat mengusik tersengih di
belakangnya. Mereka berdua memang berkawan baik dan tinggal serumah. Bukan jauh
pun, bertentang dengan rumah aku saja.
“ Wa’alaikum
Salam! Cikgu Zizan! Apa yang happy
sangat pagi-pagi ni?” Sengaja aku menegur Cikgu Zizan untuk menutup gemuruh di
dadaku.
“ Teringat
mimpi semalam. Saya mimpi bawa Cikgu Melia jalan-jalan bonceng motor saya. Tu
yang saya senyum aja. Dapat loteri dalam mimpi.” Cikgu Zizan ni, kerjanya
menyakat semua orang. Kalau dia di bilik guru, akan riuh rendahlah keadaan.
Aku menarik
muka masam. Geram betul bila Cikgu Zizan mengusik aku begitu di depan Ustaz
Fitri. Kalaulah Ustaz Fitri tersalah terima, dan disangkanya aku ada hubungan
istimewa dengan Cikgu Zizan…habislah peluang aku.
Aku lihat Ustaz
Fitri tersengih dan pandangannya terarah kepada Mimi. Dia mengangkat dagu dan
keningnya serentak, isyarat bertanya. Dan, setiap kali Ustaz Fitri berbuat begitu,
aku terasa seperti di awang-awangan. Entah kenapa, di mata aku…dia cukup comel
bila beraksi begitu.
“ Cikgu Melia!
Tak nak kenalkan ke orang sebelah tu?” Sapaan Cikgu Zizan mematikan lamunanku.
Aku tersengih macam kerang busuk.
“ Ini Mimi
Syuhada, guru sandaran yang bakal menggantikan Cikgu Saemah selama dia cuti
bersalin. Kawan saya juga, dan sementara ni, dia tinggal dengan saya.”
“ Cikgu Mimi
Syuhada…cantiknya nama tu, macam orangnya.” Cikgu Zizan tersengih, “Saya, Cikgu
Zizan. dan yang tak berapa handsome
kalau nak dibanding dengan saya ni, Ustaz Fitri.” Ustaz Fitri hanya tersenyum dan mengangguk
kepada Mimi. Selepas itu, pandangannya singgah di wajah aku. Dia tersenyum
manis. Senyuman yang membuatkan debar di dada aku semakin tidak keruan.
*****
Nak tahu sambungannya?
Beli lah....jangan tak beli.......Insyallah! Tak akan merasa rugi.
2 comments:
ambik kisah akulah pulak wat novel...mesti lencun novel tu dek airmata...
Kakcik,
Serius hang...kokna pun nak suruh buat novel tajuk kerongsang ungu. Hang punya...aku tak tau cerita la...
Post a Comment