Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, July 25, 2010

BAB 3


KIMI DUDUK bersandar menghadap Tuan Rasyid. Dia kelihatan tenang dan santai menerima renungan tajam Tuan Rasyid yang tertancap ke mukanya.
“Jadi, kamu yakin perempuan tu memang betul-betul bukan dia?” Tuan Rasyid tersenyum segaris memandang Kimi.
“Yakin seratus peratus tuan.”
“Kecewa? Yalah! Seingat saya.. sejak kamu bercerita dengan saya dulu, kamu memang tak pernah terserempak dengan sesiapa yang seiras dia.”
“Sedikit kecewa,” Kimi membalas sambil menemukan ibu jari dengan jari telunjuk menunjukkan isyarat sedikit. Dia tersenyum memandang Tuan Rasyid, ketuanya.
“Apa yang menyebabkan kamu terlalu yakin?”
“Oh! Hmm… saya terlalu excited apabila nampak persamaan tu, sampai tak perasan perbezaan yang ketara. Nina saya ‘Vanida Imran’ versi Nasha Aziz. Yang saya jumpa tu, ‘Vanida Imran’ versi Sheila Majid. Ketinggian mereka sangat berbeza.” Kimi terbayang peristiwa di tangga Kompleks Pertama semalam. Memang gadis semalam hampir 90 peratus seiras Nina. Kalau tidak betul-betul mengenali Nina, pasti akan ada yang keliru.
Tuan Rasyid tersenyum mengangguk, “Yalah… orang tinggi mana boleh tiba-tiba jadi pendek macam tu.”
Kimi mengangguk lagi. Masih tersenyum.
Sebaik memulakan kerja pagi tadi, Kimi dipanggil ke pejabat Tuan Rasyid. Semalam, sewaktu dalam perjalanan balik dari KL, dia sudah pun menceritakan insiden tersebut, secara kasar sahaja. Hanya Tuan Rasyid yang tahu kisah lama tentang Nina. Itu pun terlepas cakap sewaktu awal penglibatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kimi sudah dapat mengagak ayat yang akan keluar daripada mulut Tuan Rasyid. Ayat power yang selalu dia dengar sejak peristiwa kantoi waktu pertama kali dulu.
“Saya tahu, dah banyak kali saya ingatkan awak tentang ni, apa pun alasan awak masuk PDRM, jangan biarkan ia mengganggu tugas awak. Faham?” Perkataan ‘faham’ itu sengaja dikeraskan bunyinya.
Muka Tuan Rasyid kembali serius. Dia terus mencapai fail di sebelah kirinya. Menyelak dua tiga muka surat dan terus mengangkat muka memandang Hakimi.
“Kes mayat dekat tapak pelupusan tu, macam mana setakat ni?”
“Alhamdulillah! Setakat ni kita tengah usahakan siasatan terhadap leads yang kita ada. Macam yang tuan boleh baca di dalam fail tu, selain daripada nombor telefon tu, kita ada button and thread, traces of blood and flesh pada kuku mangsa dan kesan tapak kasut di sekitar lokasi.” Kimi menerangkan.
“Dah kenal pasti identiti mangsa?”
“Kita dah trace nombor tu... belongs to a lady, kawan baik kakak mangsa. Dia akui ada terima panggilan lima hari lepas.”
Hmm... dia ada jumpa mangsa?’’
“Tidak. Katanya, dia dapat call tengah malam… dikejutkan daripada tidur. Dia cuma sempat berbalas helo je dan talian putus tiba-tiba. Sebenarnya perempuan tu dah dapat call daripada kakak mangsa, beritahu yang mangsa mungkin akan contact. Penjelasan dia selari dengan rekod panggilan.”
Tuan Rasyid berhenti seketika... mengetuk-ngetuk meja dengan jari. Ia menghasilkan satu muzik tabla yang perlahan apabila jari menghentam meja berturut-turut mengikut giliran. Kimi sudah biasa dengan tabiat Tuan Rasyid yang satu itu.
“Lokasi panggilan, dibuat dari mana?”
“Panggilan dibuat dari Long Kuan Hotel, kita dah buat siasatan di sana. Malangnya bilik didaftarkan atas nama mangsa. Menurut pekerja yang bertugas hari itu, mangsa datang bersama seorang lelaki. Pekerja tu dah selesai buat fotofit wajah suspek semalam.”
“Dah contact famili mangsa?” soal Tuan Rasyid lagi.
“Sudah tuan. Rasanya mereka dalam perjalanan dari Shah Alam untuk pengecaman mayat.”
“Saya nak awak siasat secara terperinci dari setiap sudut. Jangan ada apa-apa yang terlepas.” Tuan Rasyid menutup fail dan Kimi faham yang perbincangan mereka tamat di situ. Dia bangun dan bergerak untuk keluar.
“Hakimi, jangan hilang tumpuan, okey?” Langkah Kimi terhenti. Dia berpaling memandang Tuan Rasyid.
“Insya-Allah tuan! Saya akan beri tumpuan.” Kimi memutar tombol pintu untuk keluar.
Hmm… Tuan Rasyid tak habis-habis sangsi akan kredibiliti Kimi sejak dia buat perangai macam budak tidak cukup akal semasa zaman Tok Kaduk dulu. Seingat Kimi, itulah kali pertama dan harap-harap yang terakhir. Dia sudah berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut. Malah Kimi bersyukur, kalau tidak kerana nasihat Tuan Rasyid dulu, mungkin hingga kini dia masih tidak boleh mengawal perasaan dan tidak bertindak secara rasional.



SAMBIL BERJALAN kembali ke mejanya, Kimi menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Dia teringat insiden di tangga Kompleks Pertama semalam waktu keluar makan tengah hari dengan beberapa orang kawan. Mereka yang sesekali berjumpa beria-ia hendak belanja makan. Siap promosi ayam madu dekat kedai mamak yang kononnya sedap sangat.
Mati-mati Kimi ingat perempuan itu ialah Nina. Entah bagaimana matanya terpandang wajah yang seiras Nina sewaktu menghadap makanan di kedai makan. Lepas itu dia terus buat alasan nampak kawan lama dan menonong keluar mengikut gadis itu dari arah belakang. Mujur juga gadis itu berjalan perlahan, jadi Kimi cuma berjalan santai di belakangnya.
Sempat juga dia menangkap butir percakapan si gadis sewaktu berbual melalui telefon. Daripada loghat dan cerita yang dibualkan, macam orang dari utara. Kira datang sekapallah dengannya. Namun, dia hampa sungguh! Rupanya, si gadis itu bukan Ninanya yang hilang tanpa kesan. Yang hingga kini, turut membawa hatinya sekali.
Ketika dia menyelamatkan gadis itu daripada terjatuh, dia tidak sempat untuk berkenalan dengan gadis itu. Belum sempat hendak bercakap, telefon si gadis tiba-tiba berbunyi dan dalam waktu yang sama juga, Kimi mendapat mesej daripada Tuan Rasyid. Maka, macam mana dia menonong mengejar gadis itu tadi, begitu jugalah dia menonong untuk bergegas balik.
Ah! Tak mengapalah rasanya meninggalkan si gadis begitu tanpa pamit. Bukan kenal pun! Dah sah salah orang walaupun bentuk wajah hampir sama… hampir 90 persen. Namun ketinggian mereka berbeza. Nina, tingginya macam model. Sedangkan gadis semalam, macam tak cukup ketinggian. Rasanya, tak sampai lima kaki pun! Hairan! Macam mana dia tidak perasan tentang itu pada awalnya?
Lagu My Baby You tiba-tiba bergema, serta-merta imbasan itu berkecai bagai cermin pecah. Kimi kalut bangun menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon yang disimpan di situ.
“Helo! Ya… wa’alaikumsalam! Kat mana? That’s good! Okey… okey, saya ke sana sekarang.”
Dia bangun sambil mencapai kunci kereta. Memutar tombol pintu dan keluar. Senyum terukir di bibir.
Nampaknya ada perkembangan positif dalam siasatan kes kali ini. Panggilan daripada Sarjan Adli tadi meminta dia segera ke Hospital Pulau Pinang. Menurut Sarjan Adli, keluarga mangsa ada di sana untuk menuntut mayat. Apabila ditunjukkan hasil fotofit suspek, mereka pernah melihat suspek dan yakin yang suspek adalah teman lelaki yang baru dikenali mangsa.
Kimi boleh saja mengarahkan Sarjan Adli menyiasat semua itu. Namun dia ingin menyoal beberapa soalan tentang suspek dan pergerakan mangsa sebelum hari kematiannya. Dalam kes-kes yang melibatkan kehilangan dan pembunuhan mangsa wanita, dia seboleh mungkin ingin berinteraksi secara terus dengan keluarga mangsa. Dia mahu rasa lebih dekat dengan kes-kes sebegini. Dan yang Tuan Rasyid tak pernah tahu... selama ini, dia mengkaji setiap kes dan selalu membandingkan dengan kes Nina. Manalah tahu, dia akan terjumpa sesuatu yang selama ini tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Sewaktu hendak menuruni tangga, Kimi berselisih dengan Inspektor Edelene. Inspektor Edelene tersenyum manis sungguh sambil menegur Kimi.
“Assalamualaikum! Selamat pagi tuan, ada kerja luar ke?”
“Wa’alaikumsalam! Ha’ah, nak ke Hospital Pulau Pinang. Sarjan Adli tunggu saya di sana,” balas Kimi yang kemudiannya terus terkocoh-kocoh menuruni tangga.
Itu saja. Tidak ada sesi pemanis bicara dan main-main mata. Kimi seboleh mungkin ingin menjarakkan diri daripada mana-mana anggota wanita. Bimbang ada yang tersalah tafsir kebaikannya. Menyimpan rasa hingga ada yang terus berharap. Dia takut jika apa yang terjadi antara dia dan Jamie akan berulang sehingga melukakan hati seorang yang dia anggap sahabat.
Sungguh! Dia amat sedih kerana terpaksa mengecewakan Jamie, seorang yang sangat sempurna di matanya. Tetapi, selagi dia tidak mendapat jawapan tentang apa yang terjadi kepada Nina dan selagi nama Nina masih mengisi sepenuhnya ruang hati dan mindanya, adalah tidak adil untuknya menerima sesiapapun buat sementara ini. Sampai bila? Kimi sendiri pun tidak tahu!
Dan, yang Kimi tidak tahu, kala dia terkocoh-kocoh turun cuba mengelak, Inspektor Edelene pula sedang mengukir senyum. Jantungnya bergerak macam orang berlari pecut. Membawa aliran darah ke seluruh badan. Membawa cinta ke dalam hati dan membawa harapan ke minda dan rasa. Sudah lama dia rasa begitu apabila bertemu ASP Hakimi. Rasa sesak nafas macam mahu mati. Tetapi ASP Hakimi selalu beku macam ketul ais… tanpa rasa.
Inspektor Edelene melepaskan keluhan berat. Ternyata amat sakit menanggung rasa sendirian. Senyum di bibir Inspektor Edelene tiba-tiba mati. Kolam air matanya pula mula bergenang….



SEBAIK MEMASUKI pekarangan bilik mayat, Kimi melihat seorang perempuan tua, dalam lingkungan umur enam puluhan sedang menangis. Seorang perempuan yang lebih muda sedang menenteramkannya. Kalau dulu, sewaktu baru menyertai PDRM, menyampaikan berita kematian dan melihat kaum keluarga meratapi kematian mangsa, akan buatkan dada Kimi sesak. Kini, semua itu sudah dapat ditangani. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa.
Kimi berjalan mendapatkan Sarjan Adli yang sedang berdiri tidak jauh dari kedua-dua perempuan tersebut. Sarjan Adli sedang berbual dengan seorang lelaki, mungkin itu salah seorang anggota keluarga mangsa. Dia yang menyedari kehadiran Kimi, menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.
“Tuan, assalamualaikum! Kenalkan, ini bapa mangsa, Encik Muhammad Harris. Di sana tu, ibu dan kakak mangsa.”
Kimi mengangguk. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Encik Harris.
“Saya ingin mengucapkan salam takziah daripada kami. Kami faham perasaan pakcik sekeluarga dan kami akan cuba sedaya upaya untuk menangkap orang yang bertanggungjawab. Kami cuma ingin tahu dengan siapa anak pakcik berkawan dan pergerakan dia sebelum hari kematiannya.”
Encik Harris mengangguk tanda faham. “Pakcik tahu dan pakcik memang nak orang tu ditangkap. Namun begitu, macam pakcik beritahu kat sarjan ni tadi, pakcik tak tahu bila anak pakcik datang ke Pulau Pinang. Kali terakhir dia balik ke rumah ialah kira-kira tiga minggu lepas.” Sehabis ayat, dia menyeka air matanya.
“Maksud pakcik, dia tinggal berasingan?”
“Ya, baru tiga bulan lepas. Dia berpindah keluar sebab kami marah dia. Pakcik tak boleh tahan lagi apabila dengar orang bercakap tentang dia. Dia suka hidup bebas, sedangkan kami beri dia didikan agama yang secukupnya. Dia kata kami kolot… sebab tu dia keluar menyewa dengan kawan-kawannya.”
Kimi mengangguk mendengar penjelasan Encik Harris. Kebanyakan remaja sekarang cuma tahu hendak berseronok dan mereka merasakan diri dikongkong keluarga jika dihalang. Mereka sebenarnya tidak sedar akibat yang menanti dan naif tentang permainan dunia.
“Alhamdulillah! Saya bersyukur sebab masih ada anak seperti Rina. Dia kakak kepada Yani tu. Selama ini dia yang menjaga kebajikan kami sekeluarga. Dia banyak beralah. Dia tak mahu berkahwin cuma kerana nak menjaga kami dan memberi pendidikan yang terbaik untuk adiknya. Tapi, tuan tengoklah apa yang dia dapat. Saya tahu… dia sangat kecewa.” Ayat itu terhenti di situ. Encik Harris gagal meneruskan kata-katanya.
Kimi masih mengangguk, dia menepuk bahu Encik Harris. Matanya terarah kepada dua orang wanita yang sedang duduk di bangku berdekatan. Kedua-dua mereka tenggelam dalam runtunan emosi.
“Tuan, kakak mangsa yang kenal pasti fotofit tersebut. Tuan nak bercakap sendiri dengannya?” Sarjan Adli bertanya setelah lama melihat Kimi diam. Kimi mengangguk, lantas mengikut Sarjan Adli menghampiri mangsa.
Kedua-dua orang perempuan yang masih bersedih itu, terus menyapu air mata apabila dihampiri. Namun esakan tangis ibu mangsa makin kuat apabila soalan mengenai anaknya ditanya. Encik Harris terus memujuk isterinya dan mengisyaratkan Kimi dan Sarjan Adli supaya bergerak sedikit jauh untuk bercakap dengan kakak mangsa.
“Cik Rina, maaf ya… kerana terpaksa mengganggu cik sebentar. Ini ASP Hakimi, dia ingin menyoal cik tentang apa-apa saja yang cik tahu tentang adik cik, contohnya siapa kawan-kawannya, kenapa dan bila dia datang ke sini,” ujar Sarjan Adli.
Kimi mengangguk, Rina juga mengangguk sambil menyeka air mata yang masih berbaki di pipi. Mengikut pemerhatian Kimi, Rina mungkin berumur dalam lewat tiga puluhan. Cantik, bertudung dan berperawakan baik.
“Mangsa tu, adik saya… Ismayani Muhammad Harris. Saya dah banyak kali nasihatkan dia, dah berbuih mulut saya ni.” Rina berhenti sebentar, mungkin cuba menahan sebak.
“Dia tak macam tu dulu-dulu. Kami didik dia ikut acuan Islam. Ajar dia sembahyang. Suruh dia bertudung dan hantar dia ke setiap summer camp apabila tiba musim cuti sekolah. Tapi, dia berubah selepas masuk ke kolej swasta. Dari situ, dia berubah jadi degil, mula buka tudung dan yang paling teruk… gagal meneruskan pengajian.”
Kimi hanya mendengar, apabila bercakap tentang masalah remaja sekarang, memang menyakitkan hati dan menyesakkan minda. Entah di mana silapnya. Kalau nak dipersalahkan ibu bapa yang kurang memberi didikan agama, rasanya untuk kes mangsa bunuh ini, mereka sudah buat yang terbaik dalam memberi didikan. Kes ini lebih kepada pengaruh kawan-kawan dan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Lebih-lebih lagi, dunia moden kini sarat dengan segala keseronokan yang melalaikan.
“Kata Sarjan Adli, Cik Rina kenal orang yang dalam fotofit tu. Boleh cerita kepada saya?” Kimi menyoal lagi.
Rina mengangguk. Dia diam sebentar sebelum menarik nafas dalam-dalam. Dia menjengah ke arah ibunya yang masih cuba ditenangkan oleh Encik Harris. Ada air mata mengalir keluar dan jatuh membasahi pipi lagi. Kimi faham dan dapat mengagak, Rina memang seorang anak yang baik, seperti mana yang diceritakan oleh Encik Harris.
“Tiga minggu sebelum ni, saya terserempak dengan adik saya bersama seorang lelaki yang di dalam fotofit tadi. Waktu tu, saya tengah shopping kat Parkson Grand, Subang Jaya. Saya marah betul, sebab dah banyak hari saya telefon… dia tak jawab. Apabila jumpa dia dengan lelaki dalam keadaan yang menyakitkan mata, saya memang marah kat dia. Saya tampar dia.”
“Sebelum ni, awak memang tak pernah jumpa lelaki terbabit?” Celah Kimi, disambut dengan gelengan kepala daripada Rina.
“Masa saya tampar Yani, lelaki tu cuba juga nak leraikan. Saya dengar Yani panggil dia Shah. Tapi, saya minta dia jangan campur hal keluarga saya dan dia akur. Saya tak nampak dia macam orang jahat atau ganas.” Rina diam sebentar, mungkin sedang berfikir, apa lagi yang relevan untuk diceritakan.
“Saya cuma suruh Yani balik jumpa ibu saya, sebab saya tak tahan tengok ibu tiap-tiap hari menangis rindu pada dia. Dia balik ke rumah, tiga hari lepas tu. Masa tulah dia bercerita yang lelaki tu nak bawa dia ke Penang. Dia minta nombor telefon kawan saya… Zura. Katanya kalau emergency, bolehlah dia minta tolong. Itu kali terakhir saya jumpa dia.” Sehabis ayat itu, Rina tunduk memekap muka dengan tangan. Bahunya terhinggut-hinggut menahan sendu.
Kimi dan Sarjan Adli berpandangan. Inilah satu-satunya perkara yang Kimi tidak gemar apabila menyoal siasat keluarga mangsa iaitu apabila terpaksa menyentuh emosi orang lain. Nak buat macam mana, demi tugas dia terpaksa. Mungkin dia patut berhenti setakat ini dulu… buat sementara waktu.
“Hmm… tak mengapalah Cik Rina. Buat sementara, itu sajalah yang kami nak tahu. Kalau ada apa-apa yang awak rasa penting untuk kami tahu… hubungi kami,” ucap Kimi sambil menghulurkan kad nama kepada Rina.
Rina cuma mengangguk. Dia mengesat air mata yang masih belum mahu berhenti mengalir. Kepalanya diangkat memandang Kimi dan Sarjan Adli kemudian menyambut kad kecil dari tangan Kimi sambil memaksa diri untuk senyum. Mata Rina merah dan bengkak akibat terlalu banyak menangis.
Kimi dan Sarjan Adli memohon diri, bergerak untuk bersalam dengan Encik Harris. Mereka bercakap sebentar dan mula melangkah untuk meninggalkan pekarangan bilik mayat.
Tiba-tiba terdengar suara Rina memanggil mereka. Kedua-dua mereka berkalih serentak. Kelihatan Rina berlari-lari anak menghampiri mereka.
“Maaf, saya baru teringat. Saya pernah berbual dengan kawan serumah adik saya sebelum dia ke Penang. Kata kawannya tu, adik saya ada berkenalan dengan seseorang melalui Internet. Kalau tak silap, kata budak tu… adik saya selalu refer orang tu sebagai Mr. Macho. Katanya lagi, Mr. Macho ni orang Penang.”
Kimi memandang Sarjan Adli yang sedang mengeluarkan buku notanya dan mencatatkan maklumat baharu itu di situ. Sekarang mereka ada petunjuk baharu. Siapa tahu maklumat ini boleh membantu di dalam siasatan mereka.
“Boleh awak beri nama dan nombor telefon kawan adik awak tu? Kami ingin menyoalnya. Siapa tahu… mungkin dia boleh membantu kami.” Balas Kimi.
Rina mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg sandangnya, mencari nombor telefon di dalam daftar nama panggilan dan terus membaca nombor itu supaya dapat dicatat oleh Sarjan Adli.
Kimi sekali lagi mengucapkan terima kasih dan bergerak meninggalkan pekarangan hospital itu.



SEORANG LELAKI sedang berdiri memegang tin minuman ringan sambil memerhatikan skrin televisyen. Berita yang sedang dibaca oleh pembaca berita itu, menarik perhatiannya.

Ini berita yang baru kami terima tentang penemuan mayat seorang wanita di tapak pelupusan sampah di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Pihak polis telah mengenal pasti mangsa sebagai Ismayani Muhammad Harris berusia 24 tahun, berasal dari Shah Alam. Menurut pihak polis, mereka sudah pun menemui beberapa bukti pada mayat mangsa dan sedang berusaha untuk memberkas suspek kes tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Abdul Rahman Abdullah juga menyeru orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat tentang kejadian terbabit untuk tampil membantu pihak polis.

Suara pembaca berita daripada rangkaian TV paling popular itu membuatkan lelaki itu berhenti meneruskan kerjanya sebentar tadi. Matanya membulat sebaik memandang skrin televisyen. Wajah Ismayani seperti merenung tepat ke arahnya. Suara pembaca berita itu perlahan-lahan hilang daripada tumpuan pendengarannya. Dia mengeluh. Nampaknya mereka sudah dapat mengenal pasti mayat perempuan itu.
Ismayani, yang dia panggil Yearn di alam siber itu sememangnya tidak seperti yang diharapkan. Dia nampak dengan matanya sendiri, perempuan itu bercakap dengan seorang lelaki. Yang lebih menjengkelkan… lelaki itu seperti bebas memasuki bilik hotel yang dihuninya. Lama pula tu! Entah apa yang mereka lakukan di dalamnya. Pantang benar, jika orang yang disukai, ada lelaki lain selain dia. Dia tidak mahu apa yang terjadi sebelum ini berulang lagi. Dia tidak mahu kecewa lagi.
Lelaki itu, yang kebelakangan ini menamakan dirinya Mr. Macho di alam siber, menumbuk meja dengan kuat. Mukanya merah menahan marah. Marah pada dirinya sendiri. Ini kali pertama keadaan seperti ini terjadi. Kenapalah dia terlalu cuai? Dia tidak pasti apakah bukti yang dia tinggalkan pada mayat itu. Rasanya, dia sudah teramat teliti dalam melakukan pekerjaannya. Kenapa boleh jadi begini? Dia mula mengatur langkah mundar-mandir. Ke kiri dan ke kanan. Resah sedang bertamu di hatinya.
Mr. Macho tiba-tiba berhenti. Dia bergerak masuk ke dalam bilik. Fikirannya sudah menjana sesuatu. Dia perlu melupuskan segala bukti. Apa sahaja yang dipakainya pada malam itu. Dia cuba mengingati semuanya secara terperinci. Dia perlu lebih berhati-hati selepas ini. Dia tidak boleh tersilap langkah lagi. Mulai hari ini, dia perlu menukarkan modus operandinya. Dia perlu menjadi orang yang berbeza karakter daripada selalunya.
Dia menganggukkan kepalanya perlahan. Ada senyum terukir di bibir.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU