Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, June 5, 2013

CERPEN : BERTAMU DI ALAM SANA



BRENG! BRENG! BRENG!

Mat memulas minyak motosikal Yamaha RXZnya sehingga mengeluarkan bunyi bising. Padahal dia masih di simpang tiga jalan mahu memasuki jalan besar. Motornya bergerak ke depan dan ke belakang setiap kali dia berbuat begitu. Sejak menonton cerita Mat Rempit dua malam lepas, terasa benar mahu beraksi seperti apa yang ditontonnya.

Pagi tadi emak sudah pesan, lepas habis sekolah… mesti pulang awal. Manan pula, mengajak dia melihat kawan-kawan berlumba motor. Namun bila ingatkan pesan emak… Mat hanya menggeleng apabila ditanya Manan. Walaupun tidak dapat mengikut Manan melihat orang berlumba motor, dia tidaklah rasa terkilan sangat… bagi dia mentaati ibubapa itu, lebih utama dan lebih perlu didahulukan dari segala yang lain. Itu pesan arwah Tok Wan sebelum ke Mekah dan meninggal di sana.

Dari jalan utama, dia nampak sebiji motosikal berkuasa tinggi sedang memecut. Hatinya teruja. Dia sangat suka setiap kali melihat motosikal berkuasa tinggi bergaya di atas jalanraya. Nampak sungguh gah di matanya. Cuma, dia risau akan kelajuan motosikal itu. Kelihatannya tersangat laju, sebelum tiba-tiba membelok masuk ke arah simpang tempat dia sedang menanti…

Dia jadi panik dan hanya terpempam saat menyedari motosikal itu hilang kawalan dan menuju tepat ke arahnya.

Dum! Screet…

Terasa tubuhnya dihentam dan terseret di atas jalanraya…




MAT TERJAGA DARI TIDURNYA. Dia bangun perlahan.

Kepalanya terasa sakit dan berdenyut. Dia membawa kedua-dua tangan ke kepala. Berbalut? Dan dia segera teringat insiden di simpang tiga itu. Dia melihat sekeliling, mencari wajah emak dan ayah.

Suasana sekeliling nampak sangat berbeza, di sekelilingnya dipenuhi oleh manusia-manusia berpakaian putih. Yang lelaki berselepang di dada, seperti pakaian Tok Wan ketika mahu mengerjakan Haji dahulu Yang perempuan pula semuanya bertelekong. Ada gema ayat-ayat suci Al-Quran dilagukan memenuhi ruang. Ini bukan hospital. Sudah matikah dia?

Dia bangun mahu mencari ayah dan emak, berpusing-pusing di antara manusia-manusia yang muka mereka… bercahaya. Semua orang tersenyum saat matanya menyapa wajah mereka. Melihat mereka, membuatkan dia merasa tenang. Ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata…

“ Mat cari siapa?”

Dia terkejut lalu berhenti menatap wajah orang yang bertanya. Terasa amat kenal.

“ Cari mak dengan ayah. Makcik siapa? Muka makcik macam mak… suara pun macam mak.” Memang benar. Cuma hidungnya lebih mancung berbanding hidung emak.

Orang di depannya tersenyum. “ Ini Tok Munah, emak kepada mak kamu. Kamu tak kenal sebab kamu tak sempat jumpa tok.”

‘Tak sempat jumpa?’ Soal dia dalam hati. Namun kata-kata itu tidak terkeluar dari mulutnya. Sekadar berlegar-legar di kerangka minda.

“ Jom tok bawa jalan-jalan.” Ajak Tok Munah.

Dia melihat sekeliling. Di mana dia sebenarnya? Di alam barzakh? Tanpa mahu banyak bertanya, dia mengangguk lalu hanya mengikut seperti orang bodoh.





“ MAT KENAL PAKCIK TAK?” Soal seorang lelaki kepada Mat.

Mat geleng kepala. “ Mat tak kenal. Kepala Mat ni, macam sakit. Kena bedah agaknya.” Lantas Mat kembali memegang kepalanya.

“ Tak apalah. Memang Mat tak kenalpun dengan mamu. Ini Mamu Chet. Adik beradik Mat jugak.” Mamu Chet tersenyum.

“ Adik-beradik Mat?” Soal dia perlahan… sekadar mmenyoal tanpa mengharapkan apa-apa jawapan. Dia sedang bingung sebenarnya.

Dia lihat lagi sekelilingnya. Tenangnya suasana di sini. Terlalu sukar mahu digambarkan dengan kata-kata. Kemudian, dia berkalih semula… mahu bertanya satu soalan kepada Mamu Chet. Dia hampa kerana Mamu Chet sudah tiada di tempat dia berdiri tadi.

“ Kemari, kita teruskan!” Tok Munah menarik tangannya.

“ Mamu Chet?”

“ Mamu Chet sudah pergi.”

Dia ikut Tok Munah berjalan. Melalui taman bunga yang teramat cantik. Ada alur-alur sungai yang alirannya berbunyi tenang. Sehingga perjalanan mereka terhenti apabila bertemu seorang wanita cantik.

“ Mat?”

Mat mengangguk. Perempuan itu tersengih, menunjukkan sebatang gigi yang sudah hilang di bahagian depan.

“ Makcik siapa?”

“ Adik beradik Mat juga.”

“ Maaf, Mat tak kenal.”

“ Tak apa,” jawab perempuan itu tersenyum tenang dan berlalu.

“ Siapa tu Tok Munah?”

“ Nanti Mat akan tahu juga…”

Mereka berjalan lagi, menghamprir sebuah istana yang binaannya cukup indah. Di keliling istana terdapat taman-taman indah beraneka warna bunga yang tak pernah dia temui sebelum ini. Mereka melalui laluan yang di bawahnya ada aliran anak sungai yang cantik sekali pemandangannya.

“ Rumah siapa ni tok?”

Tok Munah hanya senyum sambil mengisyaratkan Mat supaya masuk. Mat melangkah masuk, kemudian berpusing-pusing memandang sekeliling. Terpesona dengan keindahan binaan dan hiasannya. Beberapa orang puteri yang entah dari mana datangnya bergerak mendapatkan Mat. Mendudukkan Mat di atas kerusi yang sangat cantik bentuknya.

“ Assalamu’alaikum, Mat!”

Mat dikejutkan oleh seorang lelaki yang memberi salam tiba-tiba…

‘Yang ini, siapa pula,’ soal Mat dalam hati.

“ Yang ni, Pakcik Pijun.” Jawab lelaki itu seolah-olah dapat membaca apa yang sedang difikirkan Mat di dalam hatinya.

“ Adik-beradik kita juga ke?” Soal Mat berkalih memandang Tok Munah.

Tok Munah geleng kepala.

“ Bukan. Nanti Mat tanyalah ayah. Ayah Mat kenal dengan pakcik,” balas lelaki tadi tersenyum lagi.

Mat makin pening. Kenapalah semua orang nampak misteri tetapi dalam misteri itu, muka mereka… tenang dan bercahaya.

“ Mat nak makan?” Soal Tok Munah.

“ Mat tak rasa nak makan. Kalau ada minuman… boleh juga.”

Bagai silap mata, sehabis Mat bercakap sudah ada cawan yang sangat cantik bentuknya tersedia di genggaman tangan kanannya. Mata Mat terbuntang. Dia pandang muka Tok Munah minta penjelasan.

“ Minumlah! Mat kan… dahaga.”

Mat angguk lalu meneguk air yang tersedia di tangan.

Masya-Allah! Subhanallah! Air yang diminum itu terasa amat lazat tatkala ia mengalir membasahi kerongkong. Lazatnya… tiada taranya berbanding dengan segala minuman yang pernah diminum selama hidupnya.

“ Masya-Allah! Lazatnya…” ungkap Mat berkalih mencari wajah Tok Munah.

Tok Munah senyum.

“ Kalau macam ni, Mat tak mahu baliklah… nak duduk di sini sampai bila-bila.”

“ Tak boleh! Sebab… waktu Mat, masih belum tiba.”

Sehabis sahaja Tok Munah tuturkan ayat itu, Mat rasa dunia kelilingnya berpusing. Badan Mat terasa terapong dan ringan. Dia seolah-olah dibawa merentasi terowong masa…

“ Mat… Mat… buka mata, Mat!”

Mat membuka matanya perlahan. Silau dengan cahaya yang menerangi ruang. Namun perlahan-lahan… dia nampak muka emak dan ayah, sedang tertunduk merenung ke arahnya. Mata emak berair dan airmata itu jatuh menitis mengenai wajahnya.





“ BERAPA LAMA MAT KOMA, AYAH?” Soal Mat suatu hari, seminggu selepas dia sedar dari koma.

“ Tiga minggu. Ayah dan mak… tak pernah berhenti berdoa untuk Mat” Ayah Mat mengurut kepala Mat yang masih berbalut.

“ Mak pun, selalu bacakan Mat yaasin.”

Mat angguk. “ Mak dan ayah nak tahu?”

Soalan itu buat emak dan ayah mengangkat muka serentak.

“ Mat dibawa ke alam lain dalam masa koma tu,” kata Mat lalu mula menceritakan semua yang dilaluinya.

Ayah mendengar dengan khusyuk. Sesekali, ayah menggosok belakang lehernya. Emak pula, kerap mengesat airmata yang masih tidak mahu berhenti sejak tiga minggu lalu.

“ Betul ke Tok Munah tu, ibu mak?”

Emak mengangguk dalam sedu.

“ Macam muka mak, tapi hidung Tok Munah… lagi mancung.” Mendengar ayat Mat itu, membuatkan emak mengangguk lalu menangis tersedu di bahu ayah.

“ Mamu Chet tu, siapa?”

Ayah tarik nafas dalam-dalam.

“ Mamu Chet tu, adik ayah. Dia meninggal sewaktu umurnya sebaya Mat. Kemalangan juga.”

“ Ohh…” Hanya itu yang mampu dia ungkapkan.

Mat lepaskan nafas berat. Dia teringat perempuan tanpa gigi sebatang yang dia turut temui di alam sana.

“ Ada sorang perempuan, gigi atas sebelah sini, tak ada sebatang,” Mat tunjukkan ke arah gigi sendiri. “ Siapa dia?”

Ayah pandang emak. Ayah angkat bahu tanda dia tidak tahu siapa. Emal pula, pejam mata sambil angguk kepala perlahan.

“ Kalau tak silap mak. Onyang mak… ada gigi emas sebatang sebelah yang Mat cakap tu. Masa onyang meninggal… Pak Ndak Li yang ambil simpan gigi dia tu.”

“ Dia kata dia adik beradik kita… betullah agaknya tu…”

“ Agaknyalah.” Balas emak perlahan.

“ Kat dalam sana ada istana dan puteri-puteri yang cantik. Semua cantik. Mereka layan Mat dengan baik.”

“ Bukan puteri, Mat. Itu bidadari. Mat bertuah… Mat mungkin dibawa melawat salah satu taman-taman syurga. Wallahhu A’lam.” Ayah menyampuk. Sesekali mengesat matanya yang berair.

Mat tunduk memandang lantai.

“ Oh ya! Ayah! Pakcik Pijun tu siapa?”

“ Kawan ayah. Mat jumpa dia juga?”

Mat angguk kepala. “ Dia yang duduk di istana besar yang ada bidadari tu. Dia cakap, ayah kenal dia.”

“ Pakcik Pijun tu kawan lama ayah. Selama hayat dia… dia banyak tolong ayah setiap kali ayah dalam keesusahan. Bukan ayah saja… semua orangpun dia tolong. Allah balas setimpal dengan amalan yang dia buat…”

“ Subhanallah! Mat dah tengok apa yang kami tak tengok… kalau Mat nak kekal di sana, Mat kena banyakkan amalan yang baik. Semua orang yang Allah temukan dengan Mat tu, semuanya orang baik-baik sewaktu hayat mereka. Contoh dah ada… pilihan ditangan kita. Mahu buat atau tidak saja…” emak menyampuk setelah lama terdiam mendengar cerita Mat.

Mat pandang emak. Mata Mat terasa berair. Mat tiba-tiba teringatkan sesuatu yang belum diceritakan kepada emak dan ayahnya.

“ Ada lagi satu yang Mat tak boleh lupa…”

“ Apa dia?” Soal ayah.

“ Mat sebut saja nak minum… sudah ada air tersedia di tangan. Macam magik. Air tu… masya-Allah, lazatnya sukar nak dicerita. Lazat selazat lazatnya…”

Emak dan ayah merenung Mat. “ Mat dah minum air syurga?”

Mat angkat bahu. “ Wallahhu a’lam.”


Mat tiada ilmu. Mat tidak tahu kenapa dia terpilih untuk melalui peritiwa begitu. Mat juga tidak tahu samada di mata orang lain, pengalamannya itu boleh dikira anugerah dari Allah atau tidak. Namun dia percaya… semua itu ada hikmah untuk kehidupannya. Dia sudah ditunjukkan jalan yang seharusnya dia ikuti. Dan macam kata emak… pilihan di tangan dia.





TAMAT




Seperti diceritakan kepada saya oleh seorang lelaki yang baru diuji dengan kemalangan anak lelakinya. Saya menambah sedikit rencah untuk menyedapkan cerita. Tetapi secara dasarnya... cerita asal yang cuba disampaikan... tetap tidak berubah! Mohon maaf kepada keluarga yang berkenaan.
Setiap orang berhak mentafsir kenapa dan mengapa ianya terjadi... namun yang pastinya, ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.

1 comment:

Anonymous said...

Allahuakbar...

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU