Babak 1
SEWAKTU MEMULAKAN PERNIAGAAN tiga tahun lepas, Farmasi Chinta
beroperasi tujuh hari seminggu. Biasalah, semangat memang tinggi bila baru mula
berniaga. Namun lama kelamaan, masing-masing sedar yang mereka perlu ada masa
dengan keluarga. Bak kata mama, kalau nak kejar wang ringgit… sampai ke matipun
tak akan cukup dan tak pernah puas. Maka setelah berbincang, mendalami
kebaikannya… kata sepakat dicapai untuk menutup kedua-dua premis perniagaan pada
setiap hari Ahad.
Sememangnya, mama lah orang yang paling gembira. Kata mama
sejak pencen dari menjadi Guru Besar, dia hanya terperuk di rumah. Maka hari
Ahad merupakan hari yang selalu dinantikannya. Mama tidak kisah kalau perlu
memasak sampai ke malam, asal ada anak-anak yang mahu menjamah makanan yang dimasaknya
dan menceriakan harinya. Biarlah walaupun hanya sehari. Kesian mama! Orang muda
selalu tenggelam dalam kepentingan diri sendiri, sampai terlupa membahagiakan
ibubapa yang sudah tua.
Chinta melepaskan nafas berat. Chinta sedar… mama juga
perlukan perhatian sebenarnya.
Cuti-cuti begini, dia
bukan boleh duduk di rumah seharian. Dia mahu juga bertemu Beto.
Menonton wayang atau makan-makan di tempat eksklusif. Bukan dia mahu mengetepikan
mama. Cuma, dia rindu pada Beto. Sukar mahu melawan rasa rindu itu. Sudah
seminggu mereka tidak berjumpa dan tidak berhubung melalui telefon. Dia rindu
mahu menatap wajah Beto.
Benito Benjamin yang semua orang panggil Beto itu adalah
cinta pandang pertamanya. Mereka bertemu secara tidak sengaja ketika menghadiri
majlis perkahwinan Liana, anak Uncle Khir, kawan baik babah. Ketika mula-mula
terpandang Beto, dia merasakan seperti dunia berhenti berpusing. Segala objek
di sekelilingnya turut menjadi pegun. Wajah Pan-Asia bermata coklat sedang
tersenyum padanya sambil berjalan menghampiri tempat dia berdiri. Sejak hari
itu, dia mula belajar jadi P.I. dan cuba mencari apa sahaja maklumat tentang
Beto.
Perkara pertama yang dia tahu, Beto anak kacukan Itali di
sebelah ayahnya dan Melayu di sebelah ibu.
Namun kebanyakan maklumat yang lain, agak kurang enak ketika mencecah
gegendang telinganya. Chinta tidak kisah semua itu. Orang yang baik,
kadang-kadang mempunyai masa lalu yang hitam. Orang yang kurang baik pula, mungkin
mempunyai masa depan yang gilang gemilang. Manusia boleh berubah kalau kena
dengan caranya. Alhamdulillah! Kerana menerima Beto seadanya itulah, Beto
akhirnya menjadi kekasihnya dan kini, sudah rasmi menjadi tunangannya.
Chinta tersenyum. Dia menyapu gincu bibir warna merah muda
dan meratakan warna dengan melaga-lagakan bibirnya. Kemudian dia menyikat
rambut yang sengaja digulung supaya berombak melepasi bahu itu. Sememangnya
rambutnya yang diwarnakan perang itu sangat sesuai dengan warna kulitnya yang
putih kuning. Rambut yang sering dipuji Beto, namun sering dileter mama kerana di
dalam rumah mereka… hanya dia yang masih degil dan tak mahu bertudung. Kalau
mama berleter, yang dia selalu katakan adalah, ‘nantilah!’. Dia masih muda. Masih
mahu enjoy. Masih mahu berfesyen ikut
trend terkini. Mama sendiripun pakai tudung bila umur sudah tua. Kenapa pula dia
tidak boleh? Namun ayat yang terakhir itu hanya bergema di dalam mindanya
sahaja.
Hari ini ada temu janji dengan Beto. Mahu menonton wayang di Pacific
Mega Mall, Perai. Kemudian kata Beto, dia mahu membawa Chinta berjalan-jalan ke
Pulau Pinang. Chinta tidak kisah sangat, kalau dengan Beto, ke bulan atau ke
bintang pun dia sanggup.
Dia bangun melihat figuranya di cermin. Baju blouse warna
biru turquoise yang bergetah di pinggang dan sedikit sendat itu memang
membuatkan dia nampak bulat. Hmm… memanglah! Ada lebihan lemak sudah mula
nampak di sana sini. Seluar jeans yang dipakainya hari ini juga, sudah mula ketat.
Dia mengeluh.
Bunyi suara Amoi Jepun sedang membuat pengumuman tiba-tiba
memecah kesunyian. Itu bunyi nada mesej yang sudah ditetapkan untuk telefon
bimbitnya.
Sebaik membaca mesej itu, Chinta berdengus. Dia melemparkan
telefonnya ke atas katil lalu terduduk di
birai katil. Menangis tanpa dapat ditahan-tahan.
Pintu diketuk tiba-tiba. Tanpa menunggu isyarat dari Chinta,
pintu itu dikuak hingga terbuka luas.
Chinta mengangkat muka. Nampak jelas matanya yang merah dan berair.
Dia hanya memandang ke arah Mawar yang sedang berdiri memegang tombol pintu. Mawar
membulatkan matanya.
“ Kau kenapa?” Soal Mawar lalu meluru masuk dan memegang bahu
Chinta.
“ Beto hantar mesej. Dia tak dapat jumpa aku petang ni. Ada
hal katanya.” Jawab Chinta lalu terus menagis teresak-esak.
Mawar hanya melepaskan nafas berat lalu berteleku di birai
katil di sisi Chinta.
*****
*****
“ TAK JADI NAK JUMPA BETO?” Soal mama sebaik nampak kelibat
Chinta.
Chinta hanya menggeleng kepala. Dengan malas dia melabuhkan punggongnya
di sofa berhadapan mama. Kesedihan membuatkan dia malas untuk bercakap. Mama
yang sedang membelek majalah Wanita keluaran terbaru menutup majalah lalu merenung
wajah Chinta yang sedang memandang entah
ke ruang mana.
“ Kenapa monyok aje yang sorang ni? Masalah dengan Beto
lagilah tu…” celah Qaseh yang kebetulan sedang menonton TV bersama mama.
Biarlah semua orang main teka-teki, Chinta sudah malas hendak respon.
Mama angkat kening ke arah Mawar, isyarat bertanya.
“ Beto ada hal. Kami nak keluar kejaplah, mama. Nak singgah
kejap kat rumah sewa tu. Penyewa tu nak minta tambah awning kat belakang rumah.” Celah Mawar. Dia mengenyit mata ke arah
mama. Mama mengangguk tanda faham.
Mereka buat aksi depan Chinta, macam dia itu patung tak
bernyawa. Biarlah! Rasanya, mama sendiripun sudah perasankan mata dia yang
bengkak akibat menangis tadi. Kalau ikutkan hati, dia mahu memerap aja dalam
bilik. Sebal betul dengan Beto, suka hati mak bapak dia aja batalkan janji di
saat-saat akhir. Lepas tu Mawar pula ikut suka hati paksa dia temankannya
keluar. Kononnya nak beli kain, padahal dia tahu, Mawar sekadar mahu buang rasa
sedih yang sedang beraja di hatinya.
“ Okay! Pergilah! Tapi jangan balik lewat pulak,” balas mama
memberi kebenaran.
“ Alamak! Teringin nak ikut, tapi Abang Nan nak ajak balik ke
rumah mertua!” Rengek Qaseh sambil menarik muka masam.
“ Dah! Kamu duduk rumah diam-diam. Temankan mama sementara Nan
sampai balik kemari.” Mama menjegil matanya. Qaseh dan Mawar terus ketawa.
Hanya Chinta saja yang masih diulit rasa tidak puas hati dan terus diam tanpa
riak.
“ Kejap saja, bukan lamapun. Lepas singgah kat rumah tu, kami
nak ke Pacific sekejap. Ingat nak beli kain cotton, nak buat tempahan tote bag.
Nak ikut ke?” Soal Mawar pada Qaseh di akhir ayat.
“ Taklah kut, nanti kalau dah keluar… panjang pula kaki.”
“ Kalau macam tu, kami gerak dululah, mama, Kak Qaseh! Jom Chinta!”
Mawar bangun dahulu. Chinta mengikut dengan malas lalu
bersalam dengan mama. Qaseh tersengih di belakang.
“ Ada bawa payung?” Soal Qaseh pada Mawar. Sengihnya sudah
sampai ke telinga.
“ Eh! Cerah aja langit, bukan nak hujan pun!” Komen Mawar
menjengah ke langit.
“ Tu, ada orang tu… asyik mendung jer. Takut karang
terjangkit pula cuaca di luar. Kalau tengok kepada mendungnya. Akan lebatlah
hujan nanti.”
Chinta berkalih memandang Qaseh. Menjegilkan matanya sebelum
berjalan memasuki kereta. Dia menghempaskan badan lalu terus bersandar. Hari
ini hari angin pegun sedunia. Katalah apa saja, dia malas mahu membalasnya.
No comments:
Post a Comment