Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, December 21, 2012

CERPEN

Salam,
Saya memang lemah bila datang bab memberi tajuk kepada cerita atau cerpen. So... saya main belasah aje. Selamat membaca cerpen kat bawah ni. Kisah ini adalah adaptasi dari cerita sebenar dan ditambah perisa untuk menyedapkan cerita. Tentunya ia berkenaan dengan yang hidup dan kebanyakan yang terlibat... masih panjang umur.

Sekadar hiburan dan renungan dalam menempuh ranjau kehidupan.


CINTA BUAYA


AKU tekan minyak kuat-kuat, sambil mulut aku menyumpah kereta Honda Civic warna hitam yang bersaing di sebelahku. Gila! Dari tadi, bila aku pandu perlahan untuk memberi ruang supaya dia memotong… dia pun pandu berlahan. Bila aku tekan minyak macam Micheal Schumacher… dia pun pandu dengan cara yang sama. Dan, bukan hanya hari ini dia begitu, dia seperti mengekoriku setiap pagi sewaktu aku mahu ke tempat kerja. Yang tak sedapnya… aku hanya nampak kelibat dia di sebalik cermin gelap keretanya.

Gila! Terasa macam nak sondol aja kereta dia!

Huh! Mujur ada kereta datang dari depan. Kalau dia masih degil nak bersaing dengan aku, dia akan berdepan dengan ‘head on collision’! Pilihan di tangan dia!

Aku kaget, mulut hampir ternganga kerana dia seperti enggan mengalah.

Hampir mahu masuk ‘wad kecemasan’ jugalah jantung aku bila dia cuma mengelak di saat-saat akhir. Entah bagaimana dia melakukannya, tahu-tahu… dia sudah mengekor aku di belakang. Kali ini… cuma mengekor saja hingga ke tempat kerja aku.

Gila! Dia memang gila!


“ CIK SUFFI SOFEA BT MUHAMMAD SOFFIAN!” Tanya seorang seorang lelaki yang sedang menggendong jambangan bunga ros merah.

“ Ya, sayalah orangnya,” jawab aku tersenyum.

“ Bunga ni untuk cik Sofea. Tolong sain kat sini.”

Aku membulatkan biji mata. Bunga? Untuk aku? Siapa yang hilang akal main hantar bunga untuk aku ni? Aku pandang staf aku, Nini, di sebelah. Dia buat isyarat ‘thumbs-up’. Aku mencebek.

“ Untuk saya? Adik tak salah address ke?”

“ Betullah ni! Cuba akak tengok, ini yang diisi oleh penghantar.”

Aku tenung resit penghantaran. Memanglah alamat aku, siap dengan nombor telefon ofis sekali. Akur, aku mengangguk perlahan, menurunkan tandatangan dan jambangan itu pun bertukar tangan.

“ Wah! Bos ada peminat!” Jerit Nini. Disambut dengan laungan ‘yeay’ dari Yana yang sedang membersihkan barangan di rak.

Aku buat muka ‘boring’. Walaupun hati aku waktu itu turut kembang berbunga seperti jambangan yang aku terima. Orang perempuan, kalau dapat bunga… tentulah suka. Seperti diberi penghargaan yang tak terkira besarnya. Cuma… yang membuatkan rasa itu hambar kembali ialah kerana aku tak tahu siapa pengirimnya.

“ Banyaknya kuntuman! Jap! Nak kira,..” dan Nini mula menghitung. Aku hanya memerhatikan gelagatnya.

“ Berapa kuntum?” Laung Yana dari belakang.

“ Tiga belas! Apa maksudnya?” Soal Nini perlahan.

“ Ada maksud ke?” Soal aku. Aku memang lemah kalau masuk bab bercinta dan segala erti dan lambang cinta.

Yana bergerak ke depan. Dia turut membelek jambangan itu sambil tersengih. “ Kalau 13 kuntum, maksudnya… orang yang hantar tu, minat dengan bos.” Dia tersengih.

“ Isy! Siapalah yang nak minatkan saya ni? Bukan versi wanita idaman lelaki pun!” Balas aku cuma mahu mematahkan usikan mereka. Tapi itu kenyataan yang cuba aku pegang. Aku sedar diri, aku bukanlah cantik sangat. Aku cuma macam kata P. Ramlee… ‘lawa tiada manis ada’. Manispun, bukanlah setara gula. Sekadar manis-manis buah aja.

Ring! Ring! Ring!

Telefon berbunyi dari dalam ofis kecilku. Aku segera bergerak sambil menggendong jambangan yang baru aku terima.

“ Hello! Assalamu’alaikum!” Ucapan biasa ketika menjawab telefon itu aku lafazkan.

“ Wa’alaikum Salam!” Jawab orang sebelah sana. “ Dah dapat bunga kiriman saya?” Soalnya kemudian.

‘Dug dag dug dag’, dada aku berdebar tiba-tiba. Namun aku cuba mengawal diri. “ Oh! Jambangan ros tu, awak yang kirim? Saya kenal awak ke? Banyak duit awak hantar sampai13 kuntum!”

“ Awak kira? Awak tahu apa makna 13 kuntum tu?”

“ Staf saya yang kira. Entah! Saya malas nak ambil tahu. Anyway, terimakasihlah… sebab baik hati sangat kirim bunga untuk saya.”

“ Bunga tu, ada dua makna. Satu… tanda saya meminati awak. Dan kedua, sebagai tanda permohonan maaf.”

“ Mohon maaf? Awak ada buat salah kat saya ke?”

“ Sebab sayalah orang yang selalu ikut awak tiap-tiap pagi waktu awak pergi kerja tu.”

Aku terdiam. Dia rupanya.

“ Helo! Helo!” Suara dia bergema di sebelah sana.

“ Ya… saya masih di sini. Awak owner Honda Civic warna hitam tu?”

“ Sayalah orangnya.”

Hmm… lain kali kalau awak ikut saya macam pagi tadi, saya langgar kereta awak biar kemek!” Tanpa menunggu dia menjawab, aku meletakkan gagang telefon.

Aku tersenyum sendiri. Dada menjadi kembang tiba-tiba. Aku ada peminat rupanya.

Biar betul! Macam susah nak percaya!



AHMAD SHAUKI. Itu nama dia. Nama yang dia perkenalkan pada aku. Kalau dia tipu, maka tertipulah aku. Dia tidak pernah mengalah dan tidak nampak tanda-tanda mahu mengalah walaupun puas aku cuba menolak salam perkenalan darinya. Sehingga hari ini, aku masih menolak untuk mengenali dan menatap wajahnya. Kacakkah dia? Rongakkah dia? Aku tidak ingin ambil tahu.

Bukan aku tidak tersentuh dengan kiriman bunga dan ‘teddy bear’ besar yang mengiringi kesungguhannya. Bukan aku tidak terbuai dengan usikan dan jenakanya lewat panggilan yang dibuat ke tempat kerjaku. Harus aku mengaku… rasa itu kadang-kadang menjelma juga. Mengusik-ngusik minda. Cuma… aku memang jenis yang tidak mudah percayakan lelaki. Pengalaman kawan-kawan dan cerita-cerita yang aku baca, membuatkan aku sangat berhati-hati terutamanya terhadap seorang lelaki seperti dia. Naluri hati aku kuat mengatakan yang dia spesis ‘buaya darat’ yang memang mahir mengayat. Pakar jual ‘minyak urat’. Kalau dia boleh melakukan semua itu pada aku, dia boleh saja melakukan perkara yang sama kepada gadis-gadis lain.

“ Bos fikir apa?” Soal Yana tiba-tiba dari belakangku.

Terperanjat aku. Si Yana ni memang suka muncul tiba-tiba di mana-mana. Macam magik pula kadang-kadang.

“ Tak ada yang serius… tengah mengadap nasi ni, otak mula ingat itu, ingat ini,” balasku.

Dia tersengih. “ Lama tak dapat call dari secret admirer, rindu kut!” Giat Yana. Nini yang sedang duduk di kaunter depan ketawa mengekek.

Haila… staf aku ni, potong gaji nanti, baru tahu!

Tak dapat dinafikan, telahan itu ada benarnya. Kalau dia terlalu telefon… aku muak kerana aku seperti dapat mengesan aura buaya darat dalam setiap ayat yang dituturkannya. Bila dia senyap… aku seperti tertunggu-tunggu suaranya. Pelik! Sedangkan aku sedar… itu memang modul operandi pakar ayat se antero dunia.

“ Bos! Ada customer nak jumpa!” Teriak Nini dari kaunter depan.

Aku bangun, dengan tangan belum berbasuh… bergerak ke depan. Tangan itu aku sembunyikan di belakang badan.

Seorang pelanggan lelaki sedang tersenyum ke arahku. Matanya menyorot tangan yang aku sembunyikan.

“ Maaf! Saya sedang makan.” Teruknya aku! Kenapalah tak basuh tangan dulu?

“ Mengganggulah saya ni, ya!”

Aku tersenyum. “ Ada apa yang boleh saya bantu?”

“ Saya nak beli ubat untuk baby sakit mulut. Lidah dia putih dan dia tak selesa nak menyusu.”

Selepas bertanya soalan yang perlu, aku berikan dia ubat yang sesuai dan kembali menyambung makan tengahari. Sebaik bangun untuk mencuci tangan, telefon pejabat berbunyi. Aku isyaratkan Yana menjawabnya.

“ Untuk bos!” Dia tersengih. Dan, aku faham makna sengihan tu, tentu dia kenal siapa di talian dan sedang mengusik aku.

Aku sambut gagang dari tangan Yana, lalu buat aksi seperti mahu mengetuk kepalanya. Dia ketawa mengekek lalu berlari ke depan. Inilah penangan kalau tidak meletakkan garisan sempadan antara perhubungan majikan dan pekerja.

“ Assalamualaikum!”

“ Alaikum salam. Tengah rindukan saya?”

“ Mana ada… kirim salamlah nak rindukan awak.”

“ Tapi saya nampak isyarat rindu di mata awak tadi.”

“ Tadi? Awak mengendap saya dari mana?”

“ Tak mengendaplah. Saya baru aja keluar dari kedai awak.”

Mulut aku ternganga. Baru keluar tadi itu maksudnya…

“ Awak yang beli ubat untuk baby tu? Baby awak ke?”

“ Isy! Itu yang buat saya suka. Soalan yang belakang tu berbunyi cemburu…” giatnya.

“ Ye lah tu, tak ada maknanya!”

“ Handsome tak saya?”

“ Bolehlah… macam orang. Ada mata… ada hidung.” Balas aku bersahaja. Cuma dalam hati berkata, kalau pelanggan yang tadi tu… boleh tahanlah juga.

Erk! Boleh tahan aja ke? Aku garu kepala.



SUDAH SEBULAN BERLALU selepas bermula fasa mengenali hati budi antara aku dan dia. Fasa yang aku syaratkan padanya, setelah dia tidak henti-henti mengganggu aku. Aku setuju untuk memberi ruang dan peluang. Tapi fasa pertimbangan itu aku tetapkan selama 3 bulan. Bunyi macam perasan sangatlah aku, kan! Aku bukan perasan, aku cuma mahu berhati-hati dan menjaga diri. Tiga bulan itu, aku kira… cukuplah masa untuk aku membuktikan rasa cuak di hati.

Setelah siri kiriman bunga dan hadiah-hadiah, dia mengharapkan sebuah pertemuan. Sesuatu yang aku tidak gemar untuk lakukan. Namun aku mengalah, berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah. Dan aku katakan… jika dipertemuan pertama ini, aku dapati hati aku tidak boleh menerimanya… aku mahu dia akur. Berhenti mengganggu aku dan biarkan aku lalui hidup aku dengan tenang.

Dia menerimanya kerana katanya dia yakin, yang aku akan terus jatuh cinta padanya.

“ Kenapa diam?” Soalnya ketika aku duduk bertentangan dengannya di restorant The Original Chicken Chop.

Aku tersenyum segaris. Tak tahu bagaimana mahu menjawab. Aku sudah sejam berdua-duan dengannya di sini. Aku perhatikan bagaimana dia melirik matanya, cara dia tersenyum dan gaya dia melayani aku. Entah kenapa, aku merasakan segala yang aku sangsikan, yang aku bimbangkan… ada kebenarannya.

“  Apa pendapat Sofea tentang saya? Saya mahu jawapan telus dan jujur.”

Aku berdehem. Tersenyum segaris.

Diam sebentar seperti berfikir. Dia mengangkat kening.

“ Harus saya akui, awak lelaki yang ada karisma, kacak dan pandai melayan wanita.” Dia tersengih bila aku berhenti di situ. “ Cuma… setiap kali melihat awak… saya seperti melihat seekor buaya yang terkodek-kodek ekornya. Serius! Awak nampak macam pakar mengayat perempuan!” Aduh! Macam mana aku boleh beri jawapan tanpa berlapik langsung! Dan, waktu itu juga… aku nampak jiran kakak aku, Kak Syida baru melangkah memasuki pintu restoran.

Kak Syida seperti terkejut melihat aku, aku angkat tangan melambai! Dia senyum. Tapi… kenapa aku rasa senyumnya seperti terpaksa aja?

“ Siapa?” Soal Ahmad Shauki membuatkan mata aku berkalih memandang dia.

“ Jiran kakak saya.” Balasku menunding ke arah itu.

Hairan! Kelibat Kak Syida hilang tiba-tiba.



“ LAMA KENAL AHMAD SHAUKI?” Soal Kak Syida melalui panggilan yang dibuatnya kepadaku petang hari yang sama.

“ Tak lama. Kenal gitu-gitu aja.”

“ Serius ke dengan dia?” Ada nada risau dalam suaranya.

“ Taklah! Baru aja kenal. Yang akak nampak tadi tu… pertemuan pertama. Kenapa?”

Aku dengar dia melepaskan nafas kelegaan.

“ Thanks God! Dia ada ayat Sofea?”

“ Ada…  siap bagi bunga dan hadiah. Akak macam risau. Kenapa dengan dia?”

Diam. Hanya kedengaran deru nafasnya.

“ Akak! Saya tanya kenapa dengan dia?”

“ Dia suami kawan baik akak. Kawan akak tu, baru sebulan bersalin. Pantangpun belum lepas.” Walaupun aku sudah dapat mengagak perangai sebenar Ahmad Shauki, namun aku masih terperanjat mendengar kenyataan itu.

“ Oh! Dia ada beli ubat sakit mulut untuk baby… anak dialah tu…” balas aku mendatar.

Aku masih memegang telefon selepas Kak Syida mematikan talian. Apa aku rasa? Aku sendiripun tidak pasti. Namun aku bersyukur… kerana Allah telah memberikan aku jawapan yang aku minta. Kini aku ada alasan kukuh untuk mengakhiri segalanya.



Dua belas tahun kemudian;

Aku terpempan tatkala melihat dia melangkah masuk ke premis kepunyaanku. Terkejut sebenarnya. Dia juga nampak terkejut. Di sebelahnya ada seorang remaja perempuan dalam umur 12 tahun.

“ So… finally, you start your own business!”

Aku tersenyum. “ Just a small business. Nak beli apa?”

“ Demam, I mean ubat demam… untuk anak,” sambil memegang bahu anak perempuannya.

Aku senyum segaris. “ Berapa umurnya?”

“ Dua belas tahun.” Jawabnya ringkas.

Aku mengangguk. Di dalam kepala mula mencongak. Kalau ikut umurnya, inilah ‘baby’ yang sakit mulut 12 tahun yang lalu. Aku cuba sembunyikan senyum yang mula terukir di bibirku.

Setelah selesai urusan pembelian, dia melangkah keluar. Aku memandang dia berlalu sambil tersenyum. Alhamdulillah! Perhubungan yang dia mulakan dulu, berjaya aku akhiri dengan menggunakan kebijaksanaan kurniaan Allah. Dia tidak pernah tahu yang aku tahu status dirinya. Aku cuma katakan yang, aku sudah berjumpa dengannya dan sudah ada pandangan sendiri tentang dia. Aku enggan meneruskan apa yang dia mulakan dan mohon diberi ketenangan menjalani hidup aku dengan aman.

Alhamdulillah juga, dia menurut tanpa sebarang masalah. Dan, kami tidak pernah terserempak hinggalah selepas 12 tahun.

Aku tidak pernah marahkan dia. Aku juga tidak pernah mendendami dia. Perhubungan itu berakhir tanpa meninggalkan apa-apa kesan pada hati aku. Cuma… ia membuatkan aku amat berhati-hati untuk menerima salam perkenalan dari makhluk bernama lelaki. Terlalu berhati-hati sebenarnya.

4 comments:

Nash Azly said...

kalau dah nampak muncung panjang, gigi tajam dan ekor terkedek2.. kalau bukan buaya apa pulak lagi kan?

Reeani Annur said...

Menyampah betul kalau ada lelaki macam ni. Dah ada isteri dan anak masih nak menggatal mengurat perempuan lain. Pernah mengalami hal yang sama tapi syukurlah tak hanyut. Nice Kak Packy.

Packy Sidique said...

Nash,
Hee... nak kata apa lagi, sudah terang lagi bersuluh.

Packy Sidique said...

Nor,
Ramai yang macam tu la... depa macam boya, nak tunggu ngap jer kalau ada yang sudi masuk perangkap.

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU