Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, September 30, 2011

CERPEN - Sinaran Syawal

Berehat sebentar dari cerita misteri, kalau sudi jemput baca cerpen yang ditulis sewaktu Ramadhan dan hanya mampu disiapkan selepas Syawal habis....

Maaf atas kekurangan...SAYA ORANG TUA YANG BARU BELAJAR....
_______________________________________________________

SINARAN SYAWAL



Aku terbangun tiba-tiba. Telingaku menangkap bunyi batuk Nek Yah yang sedang menggila. Aku gosok mata perlahan…diam dan berfikir. Kenapa pula Nek Yah sibuk-sibuk di dapur awal pagi begini. Rasanya sekarang ini…masih belum subuh. Aku ambil lampu picit yang selalu aku letakkan di sebelah bantal, menyuluh jam loceng buruk yang setia mendiami meja buruk di dalam bilik aku. Hmm…baru pukul 4 pagi.

      Entah bagaimana, aku tiba-tiba teringat, patutlah Nek Yah sibuk…esok hari pertama berpuasa. Macam manalah aku boleh terlupa. Dengan perlahan aku bangun dan menjenguk ke dapur. Kelibat tubuh tua Nek Yah yang sedang memasak di dapur mengundang sebak di hatiku. Kesian Nek Yah, walaupun tidak berdaya, dia terpaksa menjaga kebajikan aku. Sepatutnya, diusia tua sebegini, dia berehat dan beribadat sahaja. Macam Nek Uda yang tinggal di simpang jalan tu.

      Kalau boleh, aku tidak mahu menyusahkan Nek Yah. Tetapi sejak Ayah dan Emak meninggal akibat kemalangan jalanraya enam tahun lalu, hanya Nek Yah yang simpati dengan nasibku. Waktu itu, umur aku baru 8 tahun. Bukan aku tiada saudara lain, ada! Anak-anak Nek Yah, kalau dicampur dengan ayah…semuanya lima orang. Pak Long dan Pak Lang, tinggal di Kuala Lumpur. Dan, dua orang lagi, Mak Teh dan Pak Ngah tinggal berdekatan. Namun, mereka semua sibuk dengan urusan sendiri. Kalau aku yang hanya anak saudara ini tidak dikasihani, aku faham. Aku mengerti. Tetapi, Nek Yah kan, ibu yang melahir dan membesarkan mereka. Sampai hati mereka membiarkan Nek Yah tanpa pembelaan.

      “ Maman! Dah bangun rupanya. Nenek baru nak kejut.” Tegur Nek Yah sebaik nampak kelibat aku.

      “ Teruk nenek batuk, kenapa tak kejut Maman aja, biar Maman yang masak. Kesian nenek.”

      “ Nenek batuk sikit saja…” Nek Yah berhenti sebentar, menahan batuk. “ Mari makan, nasi dah siap.” Ada riak sedih di wajahnya, dia termenung seketika.

      “ Kenapa Nenek termenung dan nampak sedih?”

      " Nenek sedih. Hanya ada lauk ni untuk Maman." Matanya memandang telur goreng mata kerbau dengan cili kicap yang sudah terhidang.

      " Tak apa, itupun dah syukur ada makanan. Maman tak kisah." Aku tersenyum. Aku seka airmata di pipi Nek Yah.

      " Nenek bertuah...ada cucu macam Maman."

      " Maman pun bertuah juga, ada nenek yang baik hati dan sanggup jaga Maman."Aku tersenyum padanya.

      " Jomlah makan...nanti imsak, tak sempat pula." Nek Yah segera sendukkan nasi ke pingganku. Namun pinggannya dibiarkan kosong.

      Aku pandang muka Nek Yah, mohon penjelasan.

      Nek Yah tersenyum, jelas garis-garis tua di wajahnya." Makanlah! Nenek tak sedap perut, tak boleh makan banyak."

      Aku gelengkan kepala. Nasi di dalam pinggan, aku bahagikan sama rata ke dalam pinggannya yang masih kosong.

      " Kita makan sama banyak. Kalau nenek tak mau, Maman nak sahur dengan air saja. Dulu, masa mak dan ayah meninggal, nenek sudah janji nak pelihara Maman. Nenek kata, kalau nenek makan ikan, Maman pun makan ikan. Kalau nenek makan ayam, Maman pun makan ayam. Sama-sama susah, sama-sama senang."

      Aku lihat air mata Nek Yah berderai jatuh. Aku urut bahu Nek Yah. Aku sayang Nek Yah, tiada orang lain di dunia ini yang lebih aku sayang selain dia. Dan, sekian lama berkongsi keperitan hidup…aku sudah faham isi hatinya.

      " Ya lah! Nenek makan lah ni," balas Nek Yah sambil mengusap lembut pipi aku. Aku cuma tersenyum, lantas membaca doa makan. Selesai berdoa, aku meneguk air dan mula menjamah nasi.

      Aku berhenti mengunyah sebentar, memandang Nek Yah. " Nenek tahu tak?"

      “Apa dia?”

      " Nenek tak boleh tipu Maman. Maman tahu. Semua isi hati nenek tu, ada dalam kocek Maman." Sambil bercakap, aku capai botol kicap dan terus menuangnya ke atas telur..

      Nek Yah tersenyum, sayu matanya merenung aku.
     
*****
BULAN puasa tahun ini, cuacanya panas sungguh. Belum sampai ke petang, tekak sudah terasa kering. Walaupun keletihan, aku gagahkan juga melangkahkan kaki, menyusuri bahu jalan untuk pulang ke rumah. Aku risaukan Nek Yah. Mengingatkan batuk Nek Yah pagi tadi, tak mustahil kalau dia demam semula. Mujur juga jarak antara sekolah dan rumah tidaklah sejauh mana, berjalan kakipun boleh sampai.

      “ Hoi! Budak cacat!”

      Aku kenal suara itu. Itu suara Zul, anak Pak Ngah. Aku menoleh ke arah bunyi suaranya. Kelibat Zul bersama gerombolan kawan-kawannya, jelas kelihatan di bawah pohon Ubi Tiga Bulan. Tak ada kerja lain, setiap hari asyik melepak di situ dengan geng motornya.

      Aku angguk kepala, dan kemudian mula meneruskan perjalanan. Malas aku mahu melayan panggilan yang sekadar mahu menghina dan menjatuhkan semangat aku untuk hidup.

      “ Hoi! Sudahlah cacat, sombong pulak.” Tingkah suara Jali, sahabat baiknya.

      “ Betul tu. Tak payahlah nak belajar rajin-rajin. Orang cacat macam kau tu, tak ada siapa nak ambil bekerja.” Zul menambah, diikuti ketawa yang terbahak-bahak.

      Aku pekakkan telinga. Sudah kebal dengan kata-kata hinaan mereka yang hampir setiap hari itu. Aku sedar diri aku, kalau berlawanpun…belum tentu aku menang.

      Langkah aku percepatkan menjauhi mereka. Mujur juga sudah hampir sampai. Aku menapak memasuki selekoh berhadapan dengan rumah Nek Uda. Kelibat Nek Uda yang sedang duduk di buaian besi menyambut pandanganku.

      “ Assalamu’alaukum Nek Uda! Nenek Sihat ke?”

      “Alaikum salam! Alhamdulillah! Nek Sihat. Singgah dulu minum air, “ pelawa Nek Uda.

      “ Tak apalah Nek Uda. Nak balik cepat ni. Nenek tu, bukan sihat sangat dua tiga hari ni,” balas aku berbahasa. Nek Uda hanya tersenyum.

      Aku menapak perlahan menghampiri rumah Nek Yah. Dari jauh, aku nampak kelibat Nek Yah menolak basikal keluar dari bawah rumah. Ini mesti Nek Yah mahu keluar berniaga lagi. Tak boleh jadi ni, badan Nek Yah kan masih belum sihat.

      Sebaik sampai, aku terus memberi salam. Lantas aku pegang kuat handle basikal Nek Yah. Dia nampak terkejut. Kemudian, aku terus bergerak ke depan basikal dan mengepit tayar hadapan. Aku mahu menghalang Nek Yah dari keluar berniaga.

      “ Maman! Janganlah macam tu…Nenek kan kena berjual. Kalau tak, kita nak makan apa?”

      “ Tak mau! Nenek belum sihat lagi. Nanti nenek kena dengan peragut macam minggu lepas. Maman tak mau nenek susah. Kita makan aja apa yang ada.”

      Nek Yah menggeleng kepalanya. Dia tertunduk, entah apa yang dia fikirkan.

      “ Nenek tahu Maman cucu yang baik. Walau semua orang tak sayang nenek…” Nek Yah berhenti menahan sebak. “ Tapi nenek bertuah…sebab nenek ada Maman. Maman jangan risau, nenek dah sihat.

      Aku tahu Nek Yah berbohong. Aku kerap kali melihat dia mengaduh sewaktu mahu bangun. Sejak  diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal minggu lepas…badan Nek Yah selalu sakit-sakit. Geram sungguh aku! Lelaki yang sihat dan segar bugar, badan pula muda belia, tetapi malas bekerja. Sanggup pula menyamun duit jajaan Nek Yah yang sudah tua. Tak malu betul! Sudahlah tak malu… memalukan bangsa pulak tu.

      “ Nenek dah sihat. Nenek dah kuat.”

      “ Nenek tipu. Maman dengar nenek batuk teruk pagi tadi. Lagipun, Maman dah janji dengan Pak Tam Razak. Hari ini… Maman mula kerja membasuh pinggan di kedainya. Dapat juga duit buat belanja. Nenek rehat ya!” Aku memujuk Nek Yah.

      “ Macam mana Maman nak basuh pinggan di kedai orang, tangan Maman kan tak kuat. Pecah pinggan Pak Tam Razak nanti…” Nek Yah merenung tangan kiri aku. Tangan yang cacat akibat terlibat kemalangan dulu. Kemalangan sama yang mengorbankan emak dan ayahku.

      “ Tak apa, Maman boleh buat pelan-pelan. Pak Tam Razak dak kata OK.”

      Nek Yah hanya menggeleng kepala. Dia akhirnya menongkat semula basikalnya di tepi tiang rumah. Barang jajaan yang disediakan Nek Uda sekeluarga itu di angkatnya dari pelantar. Aku tersengih kemenangan.

*****
MALAM ini, malam ke dua puluh Ramadhan. Sejak waktu berbuka tadi, hidung aku sudah dapat mencium bau semerbak ini. Terkemut-kemut aku menghidu bau yang menyelerakan, terliur sungguh rasanya. Aku memandang Nek Yah yang sedang bersandar di kusyen buruk. Dia nampaknya tidak terkesan langsung.

      “ Nenek bau tak?”

      Nek Yah angguk kepala.

      “ Pak Ngah beli durian lagi ya? Bagus juga kalau dia beri sebiji…” ujar aku sambil menjilat bibir. Ayat itu tak dapat aku habiskan kerana air liur sudah mula mencurah macam air terjun.

      “ Maman! Berapa kali nenek cakap, jangan harapkan sangat…”

      Aku terdiam. Memang sudah banyak kali Nek Yah berkata begitu setiap kali Pak Ngah membeli sesuatu dan melintasi rumah kami. Sepanjang bulan puasa hinggalah ke hari ini, rasanya sudah empat kali Pak Ngah membeli buah durian. Namun kami sekadar menghidu baunya. Seulaspun tak dihulurkan pada kami. Masa awal-awal puasa dulu, Nek Yah ada juga mengalirkan air mata. Namun hari ini, dia seperti sudah kebal. Sudah redha dengan perangai Pak Ngah agaknya.

      Kadang-kadang, aku hairan dengan Pak Ngah. Tidak ada langsungkah sekelumit sayangnya pada Nek Yah? Bukan sekadar buah durian yang tak pernah diberi, malah sepanjang enam tahun aku tinggal dengan Nek Yah…sebiji beras pun dia tidak pernah sumbangkan. Nek Yah macam orang asing yang menumpang di sebelah rumahnya. Yang sedihnya, bukan hanya Pak Ngah…seluruh keluarganya begitu. Aku yang cuma bergelar anak saudara ini pun boleh terasa, entah apalah yang Nek Yah rasa, entah apalah yang terbuku di dalam dada Nek Yah.

      Nek Yah jarang bercerita apa-apa pada aku. Kadang-kadang sahaja, itupun jika dia terlalu sedih. Mungkin bagi dia, aku masih mentah untuk memahami semuanya. Namun aku tahu, Nek Yah selalu mencurahkan rasa sedihnya pada Nek Uda. Selama ini pun, Nek Uda anak beranaklah yang banyak membantu hidup kami. Anak-anak Nek Uda juga kerap menghulurkan bantuan dalam berbagai bentuk. Ada sumbangan zakat, sedekah dan juga barangan dapur. Barang-barang jajaan Nek Yah pun, mereka yang beri…tanpa mengambil satu sen pun hasil jualan. Hinggakan kadang-kadang Nek Yah jadi malu mahu ke rumah Nek Uda. Terlalu banyak budi Nek Uda pada kami berdua.

      Aku mula membatalkan angan-angan untuk mendapat durian percuma. Aku toleh memandang Nek Yah, dia nampaknya sedang bersedih.

      “ Nenek sedih sebab perangai Pak Ngah?”

      Nek Yah geleng kepala.

      “ Habis tu?”

      “ Tahun ni Nek Uda beraya di rumah Pak Su Jee di Putrajaya. Petang tadi dia dah bertolak ke sana.”

      “ Oh! Nenek sedih sebab tak ada kawan ke?”

      “ Bukan! Selalunya…Nek Uda yang tolong persiapan hari raya kita. Dia selalu beri kita macam-macam kueh. Tahun ni…nenek tak tahu macam mana…” belum sempat menghabiskan ayat, Nek Yah menangis.

      Aku bangun menghampiri Nek Yah, lantas menggosok bahunya. Dia mengusap rambutku lembut.  Aku sendiri tak tahu mahu berkata apa. Bagaimana hendak menyambut raya tanpa pakaian baru dan makanan untuk dimakan dan dihidangkan kepada tetamu. Boleh sahaja buat rumah tertutup, tetapi perasaan sedih itu tentu ada bila melihat kegembiraan orang lain.

      “ Mungkin ada orang lain yang akan kasihankan kita…”

      “ Jangan terlalu berharap, Mamat. Orang tengah bergembira membuat persiapan raya, mereka tak ada masa nak memikirkan kita.”

      Aku terdiam. Betul juga kata Nek Yah…selama ini pun, hanya Nek Uda yang simpati pada kami.

      “ Kenapa Allah bagi kita hidup susah ya Nenek? Kenapa Allah bagi orang lain hidup senang?” Tanpa sedar kata-kata itu keluar dari mulut aku.

      Nek Yah menggelengkan kepalanya. “ Shhh! Tak baik cakap begitu. Jangan sangsikan Allah. Setiap yang terjadi…ada hikmah yang tersembunyi. Siapa tahu, disebabkan Nek Uda tak tolong kita tahun ni, ada sinar yang lain untuk kita…Entahlah! Nenek pun tak tahu nak cakap. Tapi nenek tak mahu Maman cakap macam tadi lagi. Faham!”

      Aku angguk kepala. Tapi mulut masih mahu berkata-kata, “ kalau tak ada juga orang ingatkan kita, tolong kita…dan kalau sampai malam raya tu kita masih tak ada makanan, Maman tak mahu rayalah nenek.”

      “ Kita tutup pintu, duduk diam-diam kat dalam rumah.”

      Aku geleng kepala.

      Tak guna tinggal di dalam kampong yang warganya tak prihatin begini. Aku merasa jauh hati. Aku mahu pergi jauh di hari raya nanti. Mahu memencilkan diri dari melihat keseronokan dan kebahagiaan orang lain.

      “ Maman tak mahu duduk di kampong. Kita keluar pagi-pagi…masa orang belum bangun. Kita pergi ke tempat yang kita tak akan nampak suasana raya…” aku tiba-tiba mendapat idea itu.

      “ Nenek mahu?”

      “ Adak ke tempat yang macam tu?” Soal Nek Yah lagi.

      “ Ada! Nenek ikut Maman ye?”

      Nenek menganggukkan kepalanya. Dia menangis dan mencium dahi aku.

*****
      “ NENEK rasa tenang tak?”

      Nek Yah hanya mengangguk. Dia tersenyum memandang aku.

      Aku menyambut reaksi Nek Yah dengan ketawa kecil. Sekilas aku menjeling baju kurung kedah Nek Yah yang kusam. Kemudian aku pandang pula baju kemeja bertampal yang tersarung di badanku.

      “ Lawakan…baju raya kita!”

      Nek Yah ketawa kecil, dia memiat lembut telinga aku, “ macam-macam la Maman ni. Mana Maman tahu tempat ni?” Tangan Nek Yah menggenggam semula batang buluh yang sudah tersedia di tangannya.

      “ Masa Pak Su Jee balik hari tu, dia bawa Maman ke sini. Maman suka tempat ni…” Aku menjawab, sambil mataku meliar menyoroti kehijauan dan ketenangan yang menyelubungi sekelilingku.

      Muka Nek Yah tiba-tiba berubah cemas. Dia menjerit…

      “ Maman! Maman! Cepat! Rasanya umpan nenek dah kena makan.” Nek Yah mula menguatkan genggamannya, aku pula cepat-cepat menolong Nek Yah menaikkan kailnya yang sudah dimakan ikan. Ikan Haruan sebesar betis aku, meronta-ronta tersangkut di mata kail.

      Tiba-tiba aku terdengar bunyi tapak kaki berlari-lari. Dan, kelihatan susup sasap beberapa orang lelaki berlari melepasi tempat kami memancing. Lagak mereka seperti sedang berlari menyelamatkan diri dari sesuatu. Aku dan Nek Yah, masing-masing tercengang kehairanan.

      “ Hah! Di sini ada dua orang!” Tiba-tiba sahaja, muncul beberapa lelaki berpakaian seragam lalu memegang tangan aku dan Nek Yah. Aku terkejut. Begitu juga dengan Nek Yah. Hairan! Tak kan lah, memancing pun menjadi satu kesalahan!

      “ Maaf Pakcik. Saya dengan nenek tak buat apa-apa…kami tak salah…”

      “ Jangan banyak cakap. Ikut kami.”

      Aku dan Nek Yah ditolak kasar ke hadapan dan dipaksa mengikut mereka.
*****

PEGAWAI yang mengetuai Ops PATI itu, memandang ke arah aku dan nenek. Dia menggelengkan kepalanya. Kad Pengenalan kami yang masih ditangannya ditenung berkali-kali.

Dia bangun menghampiri kami. Aku jeling kartu nama yang tersemat di dadanya. Namanya, Muhammad Aminuddin Amin.

      “ Kenapa mengail di Hari Raya ni? Sepatutnya…nenek dengan adik ni, duduk kat rumah. Bergembira…”

      “ Macam mana nak bergembira Tuan? Kami tak mampu nak berhari raya macam orang lain.” Dan aku pun menceritakan kenapa aku bawa Nek Yah ke sini. Nek Yah yang mendengar, sesekali menambah sambil menyapu airmata yang jatuh. Pegawai dan beberapa orang yang lain, mendengar dengan kusyuk, ada yang bertanya soalan, dan ada juga yang hanya menggelengkan kepala mereka.

      Habis aku bercerita, Encik Muhammad Amin bangun dan memandang jam di tangannya. Matanya kemudian terarah kepada sekumpulan pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan. Ada orang Indonesia, India, Bangladesh…dan entah muka warganegara mana lagi, aku tidak pasti. Mujurlah aku ingatkan Nek Yah supaya membawa Kad Pengenalannya, kalau tidak…kami pun mungkin akan terpaksa tidur di lokap.

      “ Shuib!”

      “ Ya Tuan!”

      “ Kamu pastikan semua PATI diproses ikut prosedur sepatutnya. Apa-apa perkembangan, lapur balik kepada saya.”

      “ Baik Tuan!”

      Encik Muhammad Aminuddin berkalih ke arah kami, lama dia terdiam memandang aku dan Nek Yah.

      “ Makcik dengan Maman, ikut saya beraya di rumah!”

      Aku dan Nek Yah terpinga-pinga. Tak kan lah nak beraya di rumah orang yang entah di mana dengan baju buruk macam ini.

      “ Tak apalah Encik, kami balik ajalah. Lagipun…macam tak sesuai nak ikut Encik…” Nek Yah bersuara.

      Walaupun memberi berbagai alasan, akhirnya kami dengan berat hati terpaksa mengikutnya. Kami di bawa menaiki kereta dengan perjalanan hampir setengah jam sebelum sampai ke rumah besar dua tingkat yang sangat cantik. Aku merasa sangat terharu kerana kami disambut mesra oleh keluarga kecil Encik Muhammad Aminuddin. Isterinya, Puan Nurina juga seorang yang sangat baik hati. Walaupun segan dengan keadaan kami, layanan baik mereka sekeluarga…membuatkan aku terlupa kekurangan diri. Nek Yah juga nampak gembira berbual dengan Puan Nurina.

      Hampir ke waktu menghantar kami pulang, Encik Muhammad Aminuddin meminta aku dan Nek Yah duduk di meja makan. Katanya ada perkara yang nak diberitahu…

      Dia berdehem beberapa kali sebelum berkata,“ Makcik! Saya dengan isteri dah sepakat. Anak-anak pun dah setuju. Mulai hari ini, saya dan isteri berbesar hati nak menjadikan Makcik dan Maman, keluarga angkat kami. Insyallah! Saya akan cuba menjaga kebajikan Makcik dan Maman termasuk semua perbelanjaan sekolah Maman.”

      Aku membulatkan mata. Terkejut. Nek Yah pula tak mampu menahan airmatanya. Dia menangis teresak-esak macam budak kecil. Aku urut bahu Nek Yah. Aku faham Nek Yah terharu. Sekian lama mengharapkan kasih sayang dan perhatian dari anak-anaknya, orang lain yang  pula yang lebih prihatin.

      Aku sedar, inilah hikmah tersembunyi yang Nek Yah maksudkan. Allah menguji kami untuk menemukan kami dengan insan berhati mulia seperti Encik Muhammad Aminuddin. Aku bersyukur. Sangat-sangat bersyukur kerana insyallah selepas ini, Nek Yah tak perlu bekerja kuat lagi.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU