Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, October 5, 2014

NOMBOR 23 - BAB 2



Lebuhraya KESAS.
APRIL menguatkan pegangan stereng kereta. Dia memandang ke hadapan, ke arah perjalanan yang dia tidak pasti akan membawanya ke mana. Sama seperti hidupnya yang tiba-tiba sahaja jadi tunggang terbalik. Sesekali, dia melepaskan nafas berat. Masih tidak pasti dengan keputusan yang dia buat. Yang dia tahu, hanya itu sahaja pilihan yang dia ada. Mujurlah Ti’ah sudi temankan dia ke sini. Itupun setelah mendapat kebenaran dari Mek Ani. Natrah yang dia panggil Ti’ah sejak kecil itu, memang sahabat setia yang sukar dicari ganti. Sahabat Lima Bintang!

“ Ini Lebuhraya KESAS, kan!” Soal Ti’ah mematikan lamunan April.

April angguk perlahan.

“ Kalau ikut peta google yang aku tengok semalam… bila kita nampak bangunan Impian Meridian Condominium yang tinggi tu, tandanya… kita dah sampai Subang Jaya.”

“ Kau nak risau apa, Ti’ah! Cewek GPS kita kan boleh terus tunjuk jalan ke sana. Kita cuma ikut aje arahan dia,” balas April sambil buat muka ‘boring tahap gaban’.

Ti’ah mencebek.

April geleng kepala. Tersungging senyum di bibir. Ti’ah ini memang kepoh! Apa nak risau, teknologi zaman sekarangkan, serba canggih. Senang saja mahu ke mana-mana walaupun tidak tahu tempat. Masukkan alamat, cewek GPS (Global Positioning System) yang cakap orang putih slanga British itu, terus beri kita arahnya.

April pula, malas mahu berfikir. Kepala dia tengah berserabut. Hati pula asyik tidak tenteram. Kalau boleh, dia mahu diam sahaja sepanjang perjalanan. Mahu tenangkan hati. Namun terpaksa juga mendengar Ti’ah yang asyik ‘pok pek pok pek’ tidak berhenti semenjak memulakan perjalanan tadi.

“ Pendapat aku la… kita tak boleh bergantung sangat dengan teknologi. Ada juga kes yang orang sesat berhari-hari sebab terlalu bergantung pada GPS. Sebab tu aku google jugak peta Subang Jaya…” Ti’ah tersengih.

“ Suka hati kaulah!”

“ Kau ni… itu kira langkah keselamatan tau!” Getus Ti’ah sambil kepalanya menjengah cermin depan melihat keadaan langit yang kelihatan mendung.

“ Mendung aje cuaca ni. Kokni cakap… GPS ni, kalau mendung kadang-kadang dia buat hal.” Mata Ti’ah tiba-tiba dipincingkan ke depan.

“ Kalau tak silap aku, ikut imej gambar yang aku tengok… tu lah bangunan kondominium Impian Meridian.” Ti’ah sudah jadi tak senang duduk. Sekejap-sekejap, dia memfokus pandangannya ke arah bangunan yang nampak semakin jelas.

Melihat aksi Ti’ah, April pun, ikut tak senang duduk. Bukannya apa… sejak tadi, Cewek GPS sudah mula mendiamkan diri. Entah apa yang tidak kena, April pun tidak tahu. Yang saspensnya, mereka semakin menghampiri bangunan yang dikatakan Ti’ah tadi.

“ Ti’ah! Cuba kau cek GPS tu, senyap jer…”

“ Biar betul.. kan aku dah cakap, GPS ni… bukan boleh pakai sangat,” bebel Ti’ah menjeling April. Pantas tangannya dihalakan ke arah telefon yang melekat kepada pemegang di papan pemuka kereta. Jarinya menekan beberapa butang, kemudian menunggu sebentar dengan muka pucat penuh keresahan.

‘Recalculating! Recalculating!’

Perkataan itu kedengaran berulang beberapa kali. April telan air liur. Bahagian yang tak bagusnya, mereka kini dalam jarak tak sampai 200 meter dari kondominium Impian Meridian. Dengan kelajuan kereta mereka sekarang, tak sampai 5 minit, mereka akan melepasi bangunan yang Ti’ah maksudkan.

“ Kalau ikut google, kita kena ambil susur kiri, naik ke atas… lepas tu, ambil arah kanan pula. Macam mana ni April?”

Kondominium Impian Meridian semakin dekat. Susur ke kiri tu pula terletak selepas bangunan kondominium itu. Alahai! Cewek GPS pula asyik duk ‘recalculating’ tak berenti sejak tadi.

“ Aku nak buat apa?” Tanya April. Mereka semakin menghampiri susur ke kiri.

Dia sudah keliru. Dia kini berada di lorong paling tepi sebelah kanan. Tentu sukar kalau tiba-tiba saja  mahu bergerak ke lorong paling kiri dalam jeda masa dan jarak sesingkat itu. Tapi, kalau teruskan juga, mereka akan terus sampai ke Shah Alam. Itu lagilah kes berat!

Tangan April sudah keras di stereng. Muka berubah pucat.

“ Ambil kiri! Cepat!” Ti’ah tiba-tiba memberi ultimatum.

Seperti gaya pemandu professional F1, April membuat gerakan garisan condong 45 darjah, merentasi dua lorong. Mulutnya tidak berhenti membaca ‘Bismillah’ dan segala ayat yang dia ingat. Mata pulak bergerak dari cermin pandang belakang ke cermin sisi bersilih ganti. Bimbang jika menerima hentaman dari belakang.

Ti’ah sudah keras di kerusi sebelah. Mulutnya asyik beristighfar sejak tadi. Sesekali terdengar dia mengucap syahadah.

“ Fuhh!!!”April melepaskan nafas lega. Ti’ah buat aksi sapu peluh di dahi.

Mereka hampir berjaya sampai ke lorong yang paling kiri. Mujur tak ada insiden yang tak diingini. Dia perlu memintas sebuah kereta waja untuk segera masuk ke susur keluar. Mujur sempat! Walaupun terlalu dekat dan menerima bunyi hon bertalu-talu dari pemandunya. Namun kelegaan itu tidak kekal lama, kerana tiba-, dia ternampak kelibat hitam muncul dari sebelah kiri kereta yang dipotongnya…

“ Motor! Elak! Elak!” Jerit Ti’ah.

April kejang kaku. Tidak mampu berbuat apa-apa.

‘ Dam! Sreeettt… Dam!’

Bahagian belakang sebelah kiri Honda Citynya  dihentam oleh sebuah motosikal yang memotong kereta waja tadi dari sebelah kiri. Impak perlanggaran itu menyebabkan motosikal itu terjatuh lalu terseret memasuki laluan susur lalu menghentam benteng di bahagian tepi jalan. Penunggangnya jatuh bergolek di atas jalan. Mujur April sempat menekan brek, dia berhenti hanya beberapa meter dari lokasi penunggang itu terbaring.

April dan Ti’ah berpandangan.

“ Mati aku! Aku langgar orang ke?” April sudah mahu menangis.

“ Kalau ikut bunyi tadi tu… memanglah! Jomlah keluar! Tengok keadaan dia tu!”

“ Aku dah macam nak pengsan ni! Jantung aku dah macam orang lari pecut. Kaki aku dah terketar-ketar, nak berdiripun tak larat. Tolong aku!”

“ Habis tu, kau nak biarkan dia terbaring kat situ… sampai petang nanti?”

Isy! Tak adalah macam tu! Aku takut. Kalau mati orang tu, macam mana?”

“ Ceh! Cabul betul mulut kau!” Ti’ah buka pintu tanpa menunggu April. Kalau tunggu April, pakai matilah orang tu kalau masih hidup lagi. Kalau tidak pun, pakai pengsan sampai ke petanglah nampak gayanya. Apabila melihat Ti’ah keluar, April segera menurut. Terkocoh-kocoh dia berlari sambil bersembunyi di belakang Ti’ah.

Arghhh!!! Bunyi erangan yang kuat menyambut mereka.

Lelaki itu sedang berusaha sedaya upaya untuk bangun. Nampaknya, macam taklah teruk sangat. Tetapi motosikal yang sedang ‘landing’ di tepi benteng jalan tu, nampak teruklah juga. Makan ribu juga kalau nak dibaiki.

Masih bertopi keledar ‘fullface’, lelaki itu akhirnya berjaya berdiri. Namun masih perlu menampung badannya pada penghadang jalan.

 “ Encik okay ke? Maaflah! Saya betul-betul tak nampak encik!” Entah dari mana datangnya keberanian, cepat saja mulut April memohon maaf.


“ Ya encik! Betul tu… kami tak biasa jalan kat sini. Kami tak sengaja.” Sampok Ti’ah.

Lelaki itu menoleh ke arah motosikalnya. Dia berdengus. Kedua-dua tangan dikepalkan tanda menahan marah. Dia menundukkan muka. Dengan perlahan, dia menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Perkara pertama yang tertangkap dek pandangan mata April adalah ‘sideburn’ di pipi kanannya. Rambut di depan dahi jatuh berjurai sebaik topi keledar itu dibuang dari atas kepala. Jatuh dan panjangnya sekadar menutup sebahagian dari mata kirinya. Orangnya berkulit putih. Tinggi! Tegap. Macam model.

Oh! Oh! Muka itu! Wajah itu! Mulut April separuh ternganga.

“ Macam yang selalu aku bayangkan…” bisiknya antara dengar dan tidak di telinga Ti’ah.

Lelaki itu pula, kini dalam kedudukan sedang bercekak pinggang memandang April. Dia menunding jari ke arah April. Baru hendak menunding jari sebenarnya. Niatnya terhenti apabila melihat April yang tiba-tiba menjadi lembik macam kain buruk dan terus pengsan di hadapannya.
“ April!” Jerit Ti’ah. Terus mendapatkan April yang sudah terjelepuk di atas jalan.

“ Aik! Belum marah dah pengsan!” Ucap lelaki itu perlahan sambil kehairanan membelek jari telunjuknya.

“ Dia langgar aku, aku yang teruk… dia pulak yang pengsan?” Lelaki itu bercakap sendiri sambil geleng kepala lagi.

Ti’ah pula… sedaya upaya sedang menyembunyikan senyumnya.

Pengsan konon! Pengsan sebab nampak lelaki yang wajah dan penampilannya… ada ‘aura kursani’.


AKMAL FIRDAUS memerhati proses memuat-naik Mat Top ke dalam lori. Sedih melihat keadaan Mat Top, memang patah riuk. Sesekali, dia menjeling ke arah April. Geram benar dia. Sudah langgar orang… pura-pura pengsan pula. Dia ingat dia boleh lepas agaknya? Nantilah kau wahai April! Dia menjongket senyum. Pertama kali dia berjumpa orang dengan nama April. Nasib baik bukan Ogos atau September.

Tiba-tiba, dia garu kepala. Dia teringatkan sesuatu. Terus telan air liur. Diapun salah juga. Kenapalah dia tak gunakan lorong motosikal? Aduh! Macam mana boleh bawa motor sampai tidak sedar ambil lorong kereta. Nampaknya kena buat bodoh ajelah.

Mula-mula tadi, dia ingat dia sudah nampak bidadari. Mana tidaknya, perempuan secantik April muncul dengan baju kurung putih sebaik sahaja dia kemalangan. Ingatkan, dia sudah selamat masuk syurga! Walaupun dia tidaklah alim sangat, sebagai orang Islam, dia tetap mahu masuk syurga. Dia tersenyum sinis pada diri sendiri.

 Geram juga apabila memikirkan insiden tadi. Tak pasal-pasal ‘buah hati’ kesayangannya kena masuk bengkel. Lepas itu, kena fikirkan pula bagaimana mahu ke tempat kerja sementara Mat Top okay. Mula-mula macam mahu herdik aja perempuan itu. Tapi… baru angkat jari telunjuk saja… terus pengsan. Terus dia batalkan niat mahu menghamburkan kemarahan. Apabila sudah sedar yang dia juga bersalah, dia pendamkan saja. Cuma, dia hairan sungguh! Orang kena langgar tidak pengsan. Orang yang melanggar pula yang pengsan? Adakah itu akal mahu melepaskan diri?

Awalnya tadi, dia risau jugak. Bimbang jika dia benar-benar tersilap mengeluarkan pistol. Itu yang lama benar dia membelek jari telunjuk. Manalah tahu, dalam pening-pening, dia buat kesilapan bodoh begitu. Mujur lepas itu dia teringat yang pistolnya ditinggalkan di tempat selamat di ofis kecilnya. Dan, dia menjadi lebih yakin, apabila melihat gelagat kawan si April yang berbaju warna ceria itu, asyik tersenyum saja gayanya. Ada ke patut! Kawan dia pengsan, dia asyik senyum-senyum sejak dari tadi…

Dia mengerling plat kereta Honda City. Oh! Plat ‘D’.  Orang Kelantanlah...

Kata kawan yang berdiri di sebelahnya tadi, mereka pertama kali datang ke Selangor dengan berkereta. Patutlah. Senasiblah dengan dia. Dia pun, baru sampai dari Pulau Pinang hampir sebulan. Masih terkial-kial mencari jalan dan memilih lorong ketika di lebuhraya. Dia mula faham situasi mereka. Faham tu satu hallah, dan sedar salah sendiripun satu hal jugak. Cuma, siapa nak bayar kos baik-pulih Mat Top nanti? Lagipun, dia macam tidak boleh menerima lakonan April tadi. Dia tidak mahu tertipu. Perempuan sekarang gemar menggunakan wajah cantik mereka untuk mengenakan lelaki. Maaflah ye! Dia tidak mudah terpengaruh dan tertipu, okay!

Yang makin membuatkan dia tidak percaya, April itu pengsannya tidak lama. Lepas kena renjis air… bangunlah dia. Selepas bangun… terus jadi bisu. Tapi matanya asyik pandang muka Akmal, pandang arah Akmal. Entah kenapa, dia sendiri juga, asyik terasa mahu pandang perempuan itu. Cantik!

Akmal berkalih dan menjengah laluan lebuh raya. Dari jauh, dia nampak kereta Waja miliknya berhenti di bahu jalan. Sebentar tadi, dia sudah menelefon Syuhada. Cepat sungguh Syuhada sampai. Syuhada berlari-lari anak mendapatkan Akmal. Terus dibeleknya badan Akmal dari atas sampai ke bawah dan berhenti di bahagian betis yang cedera akibat terseret.

“ Ouch! Adeh… adeh…” Akmal mengaduh bila bahagian luka itu disentuh Syuhada. “Sakitlah Dada!”

“ Abang okay ke? Mak dah duk teriak kat rumah bila dengaq abang accident. Tu lah! Sapa suruh doa benda pelik-pelik pagi tadi? Haa… kan dah jadi!” Dia bercakap dalam loghat Pulau Pinang.

“ Abang okay. Sikit saja lukanya. Tu… buah hati abang tu yang teruk…” Akmal buat muka sedih. Memohon simpati.

“ Orang risau kat dia, dia pulak duk risau kat Mat Top dia!” Rajuk Syuhada.

Akmal tersengih. Dia menyentuh lembut pipi Syuhada. Rasa terharu sebab adik kesayangan nampak sangat risaukan keadaannya.

“ Tak dak apa aih! Abang okay!” Dia naikkan tangan menunjukkan otot lengannya.

“ Sapa langgaq abang? Mai adik nak pi haria dia! Perempuan?” ‘Haria’ itu maksudnya marah teruk-teruk dalam bahasa Pulau Pinang.

“ Isy! Kan tadi abang doa minta terlanggar marka! Tu… markalah yang abang dapat.” Akmal memuncungkan mulut ke arah April dan Natrah yang terduduk di bahu jalan. Muka April nampak sedih sungguh!

“ Oh! Ya ka? Kira doa pagi tadi, makhbullah?”

“ Tau tak per!” Akmal tersengih. “Tapi, macam tak boleh percaya je. Dia siap berlakon pengsan! Ingat abang nak kesian kat dia? Salah dia tadi tu!”

“ Jangan nak dera budak tu pulak! Lagi satu, kalau nak menyakat tu… jaga sikit bahasa abang. Orang utara ni kasar. Kadang-kadang melawak bagi kita… orang dengar macam kasar dan menyakitkan hati. Faham!”

“ Mana ada nak sakat, nak marah lagi ada…” Akmal memaut bahu Syuhada. “ Kesian kat Mat Top. Sah-sah kena masuk ICU.” Dia buat suara sedih melihat motosikalnya sudah siap dimuat-naik. Motosikal itu akan dihantar ke mekanik di seksyen 16. Tak adalah jauh sangat dari tempat dia tinggal.

“ Jom! Kita jumpa budak berdua tu sebelum balik.” Ajak Akmal.

Syuhada mengangguk. Membontoti Akmal yang sudah mula bergerak ke arah kereta Honda City yang sudah kemek bahagian belakangnya. Kedua-dua perempuan itu, bangun sebaik melihat Akmal bergerak mendekat.

“ Macam mana? Dah okay?” Soal Akmal pada April.

April senyum sedikit sebelum kemutkan hidung. Tiada jawapan.

Hisy! Comel pula Akmal tengok. Tetapi dia tidak mahu tertipu dengan lakonan untuk melepaskan diri. “ Okay ke pengsan awak tu?” Soalnya lagi sekali. Dia menyebut perkataan pengsan dengan menggerakkan kedua-dua jari telunjuk dan jari hantu, dua kali seperti menulis tanda koma.

Riak muka April berubah. Dari bajet comel tadi, sudah ada aura mahu bertukar menjadi singa. Dia bercekak pinggang. Sedang menahan marah. Mengherotkan mulut ke sebelah kanan sehingga menampakkan lesung pipit dalam terbenam. Cantik! Walaupun sedang mengawal marah, dia masih kelihatan cantik. Jantung Akmal tiba-tiba terasa seperti tersentak. Libang-libu pula getarannya.

“ Maksud awak… saya pura-pura pengsan?”

Akmal angkat bahu. Tersenyum sinis sambil mata melilau ke arah lain. Menggambarkan yang dia sedang ‘boring tahap gaban’. Terasa jari Syuhada sedang mencuit pinggangnya. Mesti adik kesayangannya itu tidak bersetuju dengan tindakannya.

“ Awak ingat, saya ni miskin sangat ke sampai nak lari dari menanggung kesalahan yang saya buat? Awak ingat… motor cabuk awak tu, kalau saya baiki boleh buat saya jatuh miskin ke? Eh! Kapal terbangpun saya boleh baiki tau! Awak ingat…” dia terhenti di situ apabila sahabat di sebelahnya menarik tangan bajunya sekaligus menggeleng.

Huh! Sekali bercakap, macam rifel memuntahkan peluru. Hek eleh! Kaya sangatlah sampai ada duit mahu baiki kapal terbang. Dia ingat… dia tu kaum kerabat Sultan Brunai kut?

“ Isy! Saya berlanggar dengan anak jutawan rupanya. Baguslah kalau macam tu. Jadi, saya harap… jangan hanya cakap saja.”

April mahu membuka mulut, namun ditahan oleh sahabatnya, dia menarik April ke belakang dan dia sendiri bergerak ke depan.

“ Saya Natrah. Pembantu April. Jangan risau! Kami akan bayar. Encik tinggalkan nombor telefon atau kad. Ataupun…” namun sebelum dia sempat habis bercakap, Akmal sudah meningkah.

“ Saya yang perlu beri nombor telefon?” Akmal menyoal.

 Natrah mengangguk.

“ Lepas saya beri, awak balik rumah awak, lepas tu… hilang. Awak ingat saya nak percaya. Pikiaq pakai otak sikit la. Senang hangpa nak laghi, kan!” Dia bercakap dalam loghat Pulau Pinang pekat. Sengaja menekan sesetengah perkataan sambil mengikut cara Mami Saira Banu menggerakkan dagunya.

“ Pulak!” Natrah geleng kepala.

April menghela nafas. “Wey la...geraenyo aku dge mung ni. Bakpo yae payoh bbaso gak? Mung ingat kito nih jenih ggapo? Nah...ambik kad ni. Ado alamat tepat nego denge numbo telefon skali. Ghoyatlah bilo muto mung nih doh siap. Tok soh runsing la...aku bayar dari A sapa Z. Kalu mung tok cayo, mung gi ler puko gamba keto aku skali. Puah hati?” Dia membalas dalam loghat Kelantan. Maksudnya, ‘Wey la… geram betul dengan kau ni. Apa yang payah sangat? Kau ingat, kami ni orang jenis apa? Nah! Ambil kad ni. Ada alamat perniagaan dan nombor telefon sekali. Hubungi bila motor awak tu dah selesai. Jangan risau! Kami akan bayar dari A sampai Z. Kalau tak percaya, encik boleh ambil gambar kereta saya. Puas hati?’, dan jawapan itu buat Akmal menelan air liurnya.

Kini giliran Akmal pula ternganga. Minah cantik ini, beri jawapan dalam loghat Kelantan? Dia faham suku ayat aja, yang selebihnya kedengaran seperti bahasa siam. Padan muka sendiri! Nak ajak orang bergaduh sangat.“ Korang cakap siam ke?” Tingkahnya. Di waktu yang sama, kad yang dihulur, disambut dan dimasukkan ke dalam kocek belakang.

“ Abang, sudahlah tu. Settle elok-elok.” Celah Syuhada setelah lama diam menjadi pemerhati. “ Maaf ye! Jangan gaduh-gaduh. Kita selesai baik-baik.” Syuhada memandang April. Tersenyum.

“ Tak apalah… saya bukan nak bergaduh sangat. Suami puan ni yang mula dulu. Nanti puan contactlah saya. Saya akan bayar kos baik-pulih motor suami puan tu” balas April. Dia mengelak dari memandang Akmal.

Akmal pandang Syuhada. Syuhada hanya mengangkat bahu.

 “ Tak apa, jangan risau. Saya akan call. Kalau tidak… rugilah saya,” celah Akmal cepat-cepat sebelum sempat Syuhada meneruskan kata-kata.

 “ Lagi satu, saya harap… suami puan tak payahlah buat repot polis, nanti NCB saya kena potong. Lagipun, saya baru kat sini, susah pulak nak ke sana sini untuk segala urusan kalau tak tahu jalan. ” Sehabis bercakap, April memaksa diri untuk tersenyum pada Syuhada.

Aiseh! Manisnya senyuman walaupun kelihatan terpaksa. Manisnya macam madu lebah.

Hmm… Lain kali, hati-hati sikit. Itu mujurlah saya tak perlu masuk hospital. Awak pandu kereta macam Formula One. Mengalah Formula One sebenarnya. Ini pertama kali saya jumpa Micheal Schumacher versi perempuan. Ganas betul!” Selamba Akmal menuturkan ayat itu. Namun ia telah mengundang riak masam kembali di wajah April.

Syuhada cuit pinggang Akmal.

“ Encik tak patah riuk atau apa-apa kan! Janganlah nak panjang-panjangkan pula. Nak gelar-gelar saya pula.” Balas April dengan tona suara yang mula berubah.

Hek eleh! Tiba-tiba Akmal rasa, perempuan cantik di hadapannya ini… dah kerek semacamlah pulak. Memang benar apa yang dia kata tu! Nak marah apa pulak? Memanglah April bawa kereta tadi, ganas tahap tak hengat!

 “ Kami minta diri dululah, cik berdua ni… nak ke mana? ” Syuhada berbasa basi. Mungkin dia cuba menyelamatkan keadaan. Akmal pula berpusing ke arah belakang kereta. Melihat kemek yang terhasil. Dia mengeluarkan telefon dan merakamkan gambar. Sempat lagi menjeling ke arah April yang semakin masam wajahnya. Sambil bergerak kembali ke sebelah Syuhada, dia mencebir bibir. “ Sekadar kemek, tak akan mengganggu keadaan enjin rasanya.”

Syuhada senggong pinggang Akmal lagi sekali. “ Minta diri dululah,” ucap Syuhada segera menarik tangan Akmal.

April angguk. Menjeling ke arah Akmal. Mukanya masih kekal masam…

Akmal sengaja sumbingkan senyum. Harus dia mengaku, dalam masam wajah April tu, tetap ada manisnya!

Dan getar di hati semakin laju tiba-tiba…


3 comments:

MONALITA MANSOR said...

Kuntau mulut ha ha ha. Lawaklah si Tiah. Suke2

Packy Sidique said...

Monalita mansur, kena request trade mark untuk 'kuntau mulut' ni... haha...

Unknown said...

Sambung lg plzzzzz

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU