
Nina menundukkan mukanya, hatinya jadi tidak keruan...mimpi itu datang lagi, makin kerap kebelakangan ini. Mimpi yang muncul setahun lalu, yang sudah dilupakan atas nasihat Kimi. Dan Nina merasakan yang mimpi itu akan benar-benar terjadi seperti yang dia lihat di dalam buku tafsir mimpi milik mummy. Mungkinkah umurnya tidak panjang? Hmm…entahlah. Hatinya makin mendesah.
Kadang-kadang bila difikirkan, mungkin lebih baik begitu dari perlu hidup dalam kesedihan. Sedih kerana perlu memilih perpisahan walaupun Nina amat menyayangi Kimi, walau Nina tahu yang dia tidak akan sanggup berpisah dengan Kimi. Kimi sudah menjadi sebahagian dari hidupnya terlalu lama. Ahh! Mana mungkin mereka dapat bersatu lagi selepas apa yang terjadi, dan dia tak mampu untuk menceritakan perkara sebenar.
Airmatanya mula mengalir, tetapi disekanya perlahan, bimbang dilihat oleh kawan-kawan yang masing-masing menunggu dijemput oleh keluarga. Hatinya semakin resah bila mengingatkan kandungan SMS tadi, kebelakangan ini Nina telah mencuba menghindarkan diri dari bertemu dengan Kimi, bukan dia tidak rindu…separuh mati dia menyimpan rasa itu dalam hati. Tapi Nina takut dia tidak akan mampu menyembunyikan gelisah rasa di hati. Ditambah pula dengan rasa bersalah, maka panggilan demi panggilan dari Kimi dibiarkan sepi…tidak berjawab.
Namun begitu, semakin Nina mengelak, semakin Kimi tidak mahu mengalah dan Nina tahu…dan teramat pasti yang Kimi tidak akan mengalah langsung. Nina sedikit tersenyum, sekurang-kurangnya dia tahu yang dirinya disayangi, kenyataan yang tidak pernah Nina sangsikan sejak dahulu dan sampai bila-bila. Tapi senyum itu bergaris cuma sebentar...kemudiannya menghilang apabila menyedari kenyataan diri. Air mata turun lagi membasahi pipi. Laju, bagaikan hujan lebat.
Beg sandang dilabuhkan di atas riba, diselongkarnya isi beg mencari talipon bimbit. Hmm...talipon terselit diantara poket beg di sebelah dalam. Jari jemarinya mula bermain dengan butang-butang sambil mencari mesej yang diterimanya petang tadi. Mesej yang membuatkan Nina tidak tentu arah. Dibacanya mesej itu sekali lagi;
' Saya jemput awak lepas kelas, pukul 11 kan! Kereta biasa'
Mesej yang sedikit pelik kerana menggunakan perkataan 'saya' dan 'awak'. Ahh! mungkin sikap Nina sekarang membuatkan Kimi tidak betah berbahasa seperti selalu. Namun…Nina perlu membuat keputusan, perlu berani berhadapan dengan Kimi, tidak kiralah apapun harga yang perlu dibayar kemudiannya. Beberapa hari ini mindanya ligat berfikir, dan dia sudah nekad...masalah ini perlu diselesaikan.
Terdengar hon kereta dibunyikan, Nina menoleh. Proton Satria kelabu itu sudah menunggu di seberang jalan. Sedikit jauh ke hadapan dari tempat dia menunggu. Pelik! Selalunya Kimi tidak sebegini, kalau boleh Kimi akan pastikan Nina cuma perlu melangkah masuk bila pintu kereta dibuka. Nina tersenyum lagi…Kimi terlalu memanjakannya.
Nina memandang sekeliling, rupa-rupanya kawan-kawannya tadi semuanya sudah berlalu tanpa dia sedari...terlalu jauh rupanya dibawa berkelana dalam minda. Nina bangun dan melemparkan senyuman ke arah satu-satunya kawan yang masih menunggu berhadapan pintu pagar. Jantung Nina berdebar kencang secara tiba-tiba, tak pasti kenapa...tapi tak mengapalah! Nina sudah nekad… segalanya perlu diselesaikan malam ini juga.
Pintu kereta sebelah penumpang dibuka perlahan, Nina tidak memandang Kimi yang duduk di tempat pemandu, terus sahaja dia melabuhkan punggung dan pintu kereta ditutup. Tiada sapaan seperti selalu. Sepi. Deria baunya menangkap bauan yang berlainan sekali. Ini bukan wangian yang selalu dipakai Kimi. Sudah bertahun menjalin hubungan, Nina kenal benar dengan wangian yang tidak pernah sekalipun bertukar. Ini bukan wangian pilihan Kimi, Nina cukup pasti.
Dengan perlahan kepala ditoleh ke kanan, dan matanya menangkap imej yang paling dibenci. Nina cuba untuk menjerit dan tangannya kalut mencari pintu. Terasa tangan yang sasa dan kasar itu menekup hidungnya dengan sehelai sapu tangan. Detik itu juga, segala fungsi badannya seperti kaku perlahan-lahan. Namun telinganya masih dapat menangkap ucapan yang berbalam-balam, ' Bukan Kimi yang hantar sms tu, tapi aku..hahaha...' dan bunyi ketawa itu perlahan-lahan hilang, bersama hilangnya Nina malam itu...
2 comments:
wow... menarikkk.. adakah ada kena mengena dengan cerita kupu-kupu
Tak totally a different story.
Post a Comment