Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, October 12, 2012

CCPC - BAB 2



KATA ORANG, HUTANG EMAS BOLEH DIBAYAR, HUTANG BUDI DIBAWA MATI. Peribahasa Melayu itu akan Mawar pegang dan ingat hingga ke akhir hayat. Sememangnya dia sudah banyak terhutang budi kepada keluarga Chinta. Terlalu banyak sebenarnya. Tak tahulah bagaimana mahu membalasnya nanti.
Sewaktu Ummi dan Walid kemalangan dan diambil Allah secara tiba-tiba 12 tahun lalu, dia fikir kehidupannya juga sudah tamat. Dia seperti orang hilang pedoman, tiada semangat untuk meneruskan hidupnya. Dia mahu mati sahaja sebenarnya waktu itu. Kerana itulah dia enggan meneruskan pelajaran, sekadar berkurung dan menangisi nasib diri. Namun Allah itu Maha Kaya, DIA mencampakkan rasa kasih sayang yang tidak bertepi di hati mama dan babah Chinta untuk menerima dan menyayanginya seperti anak sendiri. Selama 12 tahun menghuni rumah Chinta, tidak pernah sekalipun dia terasa disisihkan. Mama dan babah melayannya sama rata seperti anak-anak mereka yang lain. Bahkan dia diterima seperti ahli keluarga oleh kesemua ahli rumah itu.
Maka sepertimana mereka menjaga dan melindunginya, seperti itu juga dia mahu melakukan yang sama untuk mereka. Dia mahu berbakti kepada keluarga yang sudah memberikan erti kehidupan untuknya selepas dia hilang segala-galanya. Dia tahu itu bukannya mudah. Dia juga tahu mama dan babah, malah Chinta atau sesiapa sahaja tidak pernah mengharapkan balasan apa-apa. Namun dia mahu melakukannya dengan caranya sendiri tanpa diketahui sesiapa.
Mawar mengeluh. Ada rasa sesak sedang menghimpit dada.
Bolehkah dia melakukan itu semua sedangkan sekarang ini, dia seperti berlepas tangan melihat Chinta sedang merosakkan dirinya secara perlahan? Bagaimana mahu menangani ketagihan Chinta pada kek cawan dan juga masalah hubungan Chinta dengan Beto? Tanpa sedar, dia menghempaskan tiub pembersih muka St. Ives yang baru selesai dilekatkan harga. Tiub itu bergolek lalu jatuh di atas lantai.
“ Kak Mawar susah hati ke? Dari tadi Nurul tengok, asyik diam aja. Macam sedang berfikir masalah negara ajer,” soal Nurul yang segera tunduk lalu mengutip tiub pembersih muka yang jatuh itu.
“ Tak ada apalah! Jangan kacau orang tua-tua tengah berfikir,” jawabnya dalam nada bergurau. Nurul tersengih, mengangkat bahu lalu beredar ke rak. Ketara sangatkah riak mukanya hingga ditegur Nurul begitu? Dia menggeleng kepala perlahan.


Seorang wanita menghampiri kaunter jualan. Mawar segera tersenyum.
“ Ya kak, boleh saya bantu?”
Wanita itu meletakkan sebotol ubat gastric jenama Gaviscon di atas kaunter. “ Kenapa mahal sangat, dik? Saya beli dekat farmasi Green Health baru RM 18.00. Kau orang letak harga sampai RM 22.00. Potong leher betul ni!”
Mawar capai botol Gaviscon itu lalu membelek kod harga yang tertera. Dia menggeleng kepala. Macam mana nak beri harga seperti yang dipinta sedangkan harga modal pun sudah tinggi.
“ Maaf kak, kalau kurangpun… hanya dapat berikan harga RM 20.00. Sebab kos kamipun dah tinggi.”
Wanita itu menarik muka masam. “ Kalau macam tu… saya beli kat sana ajalah. Ingatkan datang kedai orang Melayu, sebab nak tolong orang Melayu. Tapi letak harga… mahal nak mampus!” Dia bergerak keluar tanpa menunggu jawapan dari Mawar.
Mawar terkedu. Dia hanya mendiamkan diri dan memandang wanita tu berlalu keluar. Sudah tiga tahun beroperasi, dia sudah mangli dengan semua ini. Namun tak dapat dinafikan… walaupun berpuluh kali perkaara itu terjadi, ayat penolakan seperti tadi, terutamanya dari bangsanya sendiri… tetap meninggalkan rasa terkilan di hati. Dan dia sedar, tiada gunanya memberi penjelasan kerana mereka tidak akan mahu faham.
“Taraa…” Suara ceria Chinta kedengaran sebaik loceng pintu berbunyi tanda pintu dikuak.
Tangan kanan Chinta menjulang plastik beg yang sudah pastinya berisi kek cawan Red Valvet. Tangan kirinya memegang bekas aluminium yang selalunya digunakan untuk mengisi puding yang dimasak Mak Teh. Senyum Chinta sudah melebar sampai ke telinga.


Dia berhenti sebaik melihat muka teduh Mawar.
“ Kau kenapa? Macam orang mati laki aje?”
“ Tu, kakak yang baru keluar tadi tu… biasalah, masalah harga. Sejak Farmasi Green Health buka kat hujung simpang tu, dia asyik potong harga kita jer. Susahlah macam ni!”
Leha yang sedang menyusun barang, bangun menyampuk, “ Mak Long saya cakap, hari kita tutup kedai minggu lepas, dia ke sana. Orang sana siap tanya, dia dapat harga berapa kat sini, lepas tu… murahkan harga seringgit dari harga kita. Dia pesan pula dekat Mak Long, lain kali beli dengan dia, dia akan cuba bagi harga lebih murah. Main kotor betullah dia!”
Chinta letak barang yang dikendongnya atas meja. “ Hmm… kos dia murah, sebab tu dia boleh bagi. Mereka beli dengan bonus yang besar lah tu. Kita perlu beli berdozen-dozen untuk boleh jual macam harga dia. Masalah utama kita adalah, buying power kita kecil. Kalau simpan banyak-banyak dan movementnya slow… lama-lama nanti, takut expired pulak. Kalau expired yang berdozen tu… nak buat apa? Tiap-tiap hari… kau makan sebotol, aku makan sebotol… sampai habis?”
“ Hmm… aku faham tu, masalahnya… dia orang yang tak faham. Siap kutuk kata kita cekik darah pulak tu. Sakit telinga aku.”
“ Biarlah. Lain kali kau cakap jer, sebagai orang bisnes… kita memang tak mahu rugi. Sebab tu kita tak boleh bagi harga yang dia minta. Dan sebagai customer, kita pun faham… dia mesti nak harga murah. Pilihan di tangan dia. Cuma, janganlah cakap yang sarcastic sangat dekat kita.”
“ Hmm… kalaulah mereka tu, nak bagi peluang kita explain. Selalunya, lepas kata sedap-sedap… terus jer blah macam tu.” Mawar melepaskan nafas berat. Sakit hatinya masih berbaki. Dia menjeling bekas puding di atas meja.
“ Sudahlah makan kek cawan, nak makan puding lagi?” Mawar berdiri bercekak pinggang mengadap Chinta.
Chinta hanya tersengih. Bekas puding itu dihulur pada Mawar. “ Tolong suruh Nurul simpan dalam peti ais. Ini untuk petang nanti. Aku kidnap dari Mak Teh. Mesti dia tengah urut dada akibat mild heart attack,” ulas Chinta lalu bercerita tentang insiden tadi. Walaupun geram dengan perangai Chinta yang ‘tak makan saman’ tu, namun Mawar tak mampu menahan geli hatinya.
Tanpa menyuruh Nurul, Mawar sendiri ke ruang belakang untuk menyimpan puding roti tadi. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia sembunyikan di mana-mana. Namun dia pasti Chinta akan dapat meneka itu angkara siapa.
Sebaik menjengok ke bilik Chinta selepas itu, lima daripada ruang yang menempatkan 10 biji kek cawan itu sudah kosong. Bibir Chinta berpalit dengan lebihan krim putar. Chinta hanya tersengih. Mawar menggeleng kepala. Kalau dibiarkan Chinta begitu, lambat laun saiz Cinta akan bertambah menjadi dua kali ganda. Aduh! Rasanya dia perlu buat mesyuarat tergempar dengan Qaseh dan Mak Teh untuk membincangkan masalah Chinta ni.
“ Yang lima biji lagi ni, bak aku simpan dulu…”
“ Langkah mayat aku dahulu. Hari ni, kek cawan ni… lunch aku. Kau jangan mengada-ngada nak sekat selera aku. Aku janji… aku tak akan makan nasi.” Chinta angkat tangan gaya orang bersumpah.
Nurul tiba-tiba tersengih di pintu. “ Ada orang nak jumpa Pharmacist!”
Chinta segera bangun mahu keluar. Namun Mawar sempat menarik tangannya lalu menghulurkan sekeping tisu sambil mengisyaratkan supaya Chinta mengelap mulutnya terlebih dahulu.
Sebaik Chinta berlalu, Mawar mengeluarkan dua biji kek dari kotak dan memberikannya kepada Nurul dengan isyarat jari telunjuk diletakkan di mulut. Nurul mengangguk tanda faham. Mawar tersenyum. Wah! Selepas ini, bolehlah masukkan nama Nurul dan Leha dalam senarai konspirasi menentang ketagihan kek cawan di pihak Chinta.
 *****

ALAMAK! BESARNYA! Itu perkataan pertama yang terlintas di mindanya sebaik melihat Seorang lelaki bertubuh besar dengan ketinggian lebih kurang 180cm sedang menanti di hadapan kaunter. Lelaki itu tersenyum sebaik melihat kelibat Chinta. Walaupun gemuk, rupa parasnya boleh tahan juga kacaknya. Namun sudah pastilah tidak sekacak Beto buah hati Chinta.
“ Ya Encik! Boleh saya bantu?”
“ Puan, Farmasi?” Soalnya. Chinta mengangguk. Malas mahu membetulkan gelaran Puan itu. Lantaklah! Asal pada Beto dia tetap Cik, dia tidak kisah mahu dipanggil apa.
“ Saya nak dapatkan ubat gatal.”
“Siapa yang gatal?”
“ Sayalah yang gatal.” Jawapan itu membuatkan Mawar yang berdiri di belakang Chinta ketawa kecil.
Chinta berkalih memandang Mawar. Mulanya mahu marahkan Mawar yang kurang sopan, namun dia akhirnya tersenyum apabila sedar apa yang menyebabkan Mawar ketawa. Bila berkalih ke arah lelaki tadi, orang itupun sedang tersenyum simpul menahan malu.
“ Ops! Saya yang tersilap tanya soalan rupanya.” Chinta turut tersenyum. “ Untuk siapa sebenarnya, Encik sendiri?”
Lelaki itu mengangguk.
“Gatal macam mana? Kat bahagian mana tu?”
“ Alamak! Kena tunjukkan ke? Kalau tak tengok, tak boleh ke?” Muka lelaki itu berubah pucat.
Ish! Nak kena lepuk betul mamat seorang ni. Kalau tak tengok tempat gatal tu, macam mana nak beri ubat. Macam mana nak bezakan samada itu jangkitan bakteria atau jangkitan kulat. Atau mana tahu mungkin ia merupakan alahan pada sesuatu. Tapi kalau tempat tu ‘terpencil’, memang Chinta akan ‘angkat tangan’ dari awal lagilah. Cukuplah kena sekali dengan orang gila yang ada agenda tersembunyi suatu waktu dulu. Memang seram sejuk bila teringatkan peristiwa itu. Sejak hari itu, dia memang berhati-hati dengan pelanggan lelaki.
“ Kalau boleh tunjuk, lebih baik tunjuk. Kalau tak boleh… mungkin boleh terangkan nature gatal tu, macam mana,” jawab Chinta.
Lelaki itu tersenyum lagi. Setiap kali dia tersenyum, akan nampak ketara lesung pipit di kedua- dua belah pipi. Matanya pula, tajam merenung setiap kali mereka bertentang mata. Setelah bercerita tentang masalahnya, Chinta memberikan krim dan sabun antikulat serta tablet untuk mengawal kegatalan jenama Carin. Dia menerangkan cara penggunaan dan pengambilannya. Chinta sedar, setiap gerak gerinya sewaktu menyediakan dan memberi penerangan diperhatikan dengan khusyuk oleh lelaki tersebut.
“ Kenapa pandang saya begitu? Tak faham ke?” Soal Chinta. Ada rasa kurang selesa diperhatikan begitu.
“ Cantik!”
“ Apa yang cantiknya? Ubat ni?”
Seperti baru tersedar yang dia tersilap. Lelaki itu menjadi kelam kabut. “ Tak, farmasi ni, dengan tuannya sekali… semua cantik!” Dia tersengih macam kerang busuk.
Chinta menggeleng kepala. “ Encik faham penerangan saya tadi?” Lelaki itu mengangguk. “Kalau faham, encik kena rekod nama encik dalam buku ni. Nama, alamat dan I.C. sekali ye, ruangan ubat ni… nanti pembantu saya yang cantik ni akan isikan.  Boleh?” Lelaki itu mengangguk. Tersenyum lagi. Chinta mengisyaratkan Mawar supaya mengambil alih. Dia selalu rasa muak apabila pelanggan lelaki mahu berlebih-lebih. Dia kemudiannya bergerak masuk ke dalam biliknya.
Tidak lama selepas itu, Mawar masuk sambil tersengih. Dia duduk di kerusi berhadapan dengan Chinta.
“ Apa yang funny sangat? Syok kat mamat tadi ke?”
“ Taklah! Sebenarnya, dia yang syok kat kau. Ini bukan pertama kali dia masuk ke sini. Selalunya dia akan tanya tentang produk over the counter. Aku perasan dia asyik jengah ke dalam selalunya. Rupanya, dia cari engkau. Mesti dia ikut kau masuk ke sini tadi. Gatal kulit konon! Padahal… hati dia yang gatal.” Mawar ketawa di hujung ayat. Chinta turut tersenyum mengingatkan peristiwa tadi.
“ Nama dia Ikmal Hisyam. Tua 3 tahun dari kita.”
“ Dah tu kenapa? Aku dah ada Beto aku. Kau yang single-mingle ni… sesuai sangatlah. Aku kasi free, nak? Lagipun, kalau gemuk macam tu, tangan aku ni… nak pelukpun tak sampai. Hee… minta simpang!” Dia membuat aksi geli-geleman.
“ Jangan menghina orang macam tu. Kau tu, kalau tiap-tiap hari dok makan cupcakes macam sekarang ni. Tak mustahil satu hari nanti, akan bejalan sama besar, bergolek sama bulat dengan mamat tadi tu. Masa tu akan sama cantik dan sama padan. Beto pun, dah tak sudi nak pandang kau. Nak Red Valvet cupcakes lagi? Meh aku pi oder tambahan 20 biji.” Komen Mawar yang sudah bangun dan berdiri.
Chinta mencapai pembaris lalu cuba mengetuk kepala Mawar. “ Kau ugut selera aku tu! Masa aku sakit mulut dulu, kau yang bagi idea suruh aku makan cupcakes. Ni semua salah kaulah. Sekarang, aku dah tak boleh nak berenti makan,” jawab Chinta sambil tangannya mencapai kotak kek cawan yang diletak di meja tepi seketika tadi.
Memang benar, semuanya bermula akibat fasa sakit mulut yang berpanjangan tahun lepas. Langit-langit Chinta bengkak teruk akibat tabiat Chinta yang suka menghisap gula-gula jika memandu jarak jauh. Dia berbuat begitu untuk menghilangkan rasa mengantuk. Entah berapa banyak gula-gula yang dihisap, dia sendiripun tak tahu. Hinggakan bengkak-bengkak lelangit jadinya. Mawarlah yang mencetuskan idea untuk menggantikan nasi dengan kek cawan. Sudahnya, dia jadi terlalu suka sampai tak boleh berenti.
“ Hmm… memang senang nak salahkan aku, dari mengaku kau silap, kan! Dahlah… malas nak layan kau lagi,” balas Mawar. Entah kenapa, dia kelihatan kelam kabut mahu keluar.
Sebaik membuka kotak, Chinta dapati 2 biji kek cawanya sudah hilang. Dia tahu itu kerja siapa…
“ Maawaaarrr!!!” Chinta menjerit nyaring lalu keluar mendapatkan Mawar. Namun kelibat Mawar sudar tiada di situ.

*****

IKMAL HISYAM TERSENYUM KETIKA BERJALAN KELUAR DARI FARMASI CHINTA. Rasa lega kerana hari ini, dia dapat bercakap dan bertentang mata dengan pujaan hatinya. Sejak pertama kali terpandang gadis putik melepak yang bernama Chinta itu, dia memang sudah jatuh hati. Namun dia sedar diri. Lelaki gemuk macam dia, mana mungkin dapat memikat perempuan cantik seperti Chinta.
Selama ini, dia hanya memandang dari jauh. Cuma beberapa hari kebelakangan ini, dia memberanikan diri memasuki premis tempat Chinta bekerja. Itupun setelah terserempak dengan Chinta dan teman lelakinya di sebuah restoran mewah ketika dia sedang makan bersama sepupunya, Kimi. Apa yang diceritakan sepupunya tentang lelaki itu membuatkan dia rasa bertanggungjawab untuk menyampaikannya. Masalahnya, siapalah yang mahu percayakan dia yang datang entah dari mana dengan cerita buruk tentang orang yang sudah mereka kenal begitu lama?
Ketika merangka-rangka pelan tindakan, dia sedar... cara paling sesuai adalah, mendekatkan diri dengan Chinta , atau dengan orang yang dekat pada Chinta. Maka hari ini sebagai langkah pertama, dia memberanikan diri untuk menjadi pelanggan untuk membolehkan dia berbual dengan Chinta.
Gatalkah dia? Dia tersenyum sambil menggeleng kepala. Itu bukanlah alasan yang dibuat-buat. Masalah gatal itu memang sudah wujud. Orang gemuk macam dia, sudah tentu ada masalah itu di antara lebihan dan lipatan isi. Namun tak dapat dinafikan, hatinya pun turut gatal bagai digaru-garu ketika itu.  Bertemu, bercakap dan bertentang mata dengan Chinta pada jarak sedekat itu, memang membuatkan jantungnya berdegup kencang. Dan, tak kisahlah harga apa yang perlu dibayar untuk mendekati dan menyelamatkan Chinta, dia akan terima… hatta jika perlu melukakan hatinya sendiri.


1 comment:

ZaHusNa Collections said...

Bestnya cerita ni....jadikanlah novel ya...

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU