Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, November 2, 2012

CCPC - BAB 4




HONDA STREAM KEPUNYAAN CHINTA yang dipandu oleh Mawar melungsur laju menghampiri rumah lama milik keluarga Mawar yang terletak di Taman Seberang Jaya. Setelah ibubapa Mawar meninggal, keluarga Chinta berpindah ke rumah yang lebih besar. Iaitu rumah yang mereka duduki kini yang terletak di kawasan Bertam Golf Resort. Rumah milik Walid, babah sewakan kepada orang lain. Duit sewa bulanan itu babah kreditkan ke dalam akaun Mawar dan Mawar hanya gunakannya apabila ada kecemasan. Keperluan makan pakai Mawar semuanya di bawah tanggungan babah. Babah tidak pernah meminta walaupun sesen pun dari Mawar. Bila mengenangkan bagaimana babah dan mama menjaga kebajikannya, Mawar jadi sebak. Keluarga Ummi dan Walid sendiripun tidak pernah kisah akan nasibnya. Hidup mati dia, tidak ada yang pernah bertanya hinggalah ke hari ini.
“ Kau tunggu kejap. Aku nak masuk ke dalam.” Tanpa menunggu jawapan Chinta, Mawar bergegas ke dalam. Urusan dengan penyewa hanya mengambil masa yang singkat. Sesudah semuanya selesai, dia masuk semula ke dalam kereta.
 Emosi Chinta nampaknya masih belum pulih sepenuhnya. Mulutnya bagai dikunci dengan kunci Solex yang beratnya bagai bertan-tan. Asyik membungkam tanpa kata.
“ Kau okay ke?””
“ Okay…” mendatar aja bunyinya. “Cepatlah jalan! Tolong bawa aku shopping kat mana-mana. Buat masa sekarang, terapi yang paling mujarab untuk aku adalah shopping. Kau jangan cakap apa-apa lagi!”
Mawar tergelak kecil mendengar jawapan Chinta. Kalau masih ingat agenda nak mengabiskan duit tu, kira okay lagilah. Tak adalah parah benar kawannya yang seorang ni rupanya.
Dia terus memecut ke arah lebuhraya, mengambil susur ke Butterworth lalu terus memandu memasuki susur ke Pacific Hypermarket.
Mawar mematikan enjin sebaik memasuki petak parkir di ruang basement. Dia menarik nafas lega kerana berjaya memperolehi ruang parkir. Selalunya, di hari Ahad begini… susah mahu mendapatkan ruang yang kosong. Kadang-kadang terpaksa berpusing-pusing beberapa kali.
“ Alhamdulillah! Walaupun cuaca mendung, nasib kita kira baiklah juga. Senang juga dapat parking, kan!” Mawar tersengih memandang Chinta.
“ Amboi… amboi! Kaupun dah pandai kenen aku macam Kak Qaseh buat. Karang aku suruh balik naik teksi, baru kau tahu!”
“ Ada aku kesah! Kunci kereta ada pada aku, tau!” Balas Mawar sambil menggoncang gugusan kunci di tangannya. Namun matanya tiba-tiba membulat apabila melihat imej di depan matanya. Biar betul! Rasanya, matanya masih belum kelabu lagi.
“ Kenapa?”
“ Kereta Beto, kan!” Soalnya sambil menunding jari ke arah BMW warna putih dengan plat pendaftaran yang amat dikenalinya.
Chinta berkalih. Dia menggangguk perlahan. Ada riak sangsi pada wajahnya.
Gulp! Mawar menelan air liur. Dia berkalih memandang Chinta, kemudian memuncungkan mulutnya ke arah kelibat sepasang kekasih yang sedang berjalan menghampiri kereta tersebut. Sah! Itu Beto bersama perempuan cantik yang Mawar kerap nampak sejak kebelakangan ini. Selama ini, dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu Chinta. Sayang dan kasih Chinta pada Beto tak akan mampu digugat dengan hanya kata-kata tanpa bukti kukuh. Nampaknya, sudah terang lagi bersuluh. Beto tidak akan mampu mengelak lagi.
Sebaik melihatkan pasangan yang asyik berkepit tu, Chinta menegakkan badannya. Dada Chinta berombak dan dia kelihatan tidak tentu arah.
“ Tadi dia kata ada hal kerja. Kena selesaikan hari ni jugak. Penipu!”
“ Sabar, Chinta! Kau jangan bertindak ikut perasaan. Ingat Allah, tarik nafas dalam-dalam. Be rational, okay!” Mawar cuba memberi nasihat. Dia tahu situasi begini perlu ditangani dengan berhemah. Kalau tersilap percaturan… boleh meletus perang dunia ketiga. Kalau ikutkan hati, mahu saja disuruhnya Chinta kuntaukan Beto barang sebiji dua. Namun dia tidak mahu Chinta menjatuhkan maruah perempuannya di tempat awam sebegini.
“ Aku memang tengah sabar. Kalau tidak… aku memang dah berlari ke luar dan ganyang perempuan gatal tu.”
Sudah! Chinta bukan nampak kesalahan Beto, Dia cuma mahu meletakkan kesalahan itu pada perempuan di sebelah Beto.
Mawar tidak mahu Chinta terluka. Dia tidak mahu Chinta membazirkan masanya dengan lelaki hidung belang seperti Beto. Namun adalah lebih baik bagi Chinta mengetahui dan menyedari sendiri tembelang Beto itu sebelum semuanya terlambat.
“ Perempuan tu tak akan keluar dengan Beto, kalau Beto tak layan dia. Dan Beto tak akan keluar dengan perempuan tu, kalau dia setia cintakan kau! Cuba kau rasional sikit!”
Tanpa menjawab, Chinta buka pintu kereta lalu terus meluru ke arah Beto dan pasangannya yang sedang memasukkan barangan ke dalam bonet kereta. Mawar segera menyusul. Bimbang jika Chinta bertindak di luar kesedaran hingga memalukan diri sendiri.
“ Beto!”
Tubuh Beto menjadi pegun tiba-tiba. Suara ‘merdu’ Chinta sewaktu marah itu, memang akan diingat oleh sesiapa sahaja.
Perempuan yang memiliki wajah dan tubuh yang cantik seperti model itu terus berkalih. Huh… bukanlah cantik sangat pun! Ini spesis yang ‘beauty from far’ bila datang dekat sudah jadi ‘far from beauty’. Mukanya lebih macam orang terlebih suntik botok. Sesuai sangat kalau panggil dia Minah Terlebih Botok. Dengan gaya sombong, dia bergerak beberapa tapak lalu berdiri sambil bercekak pinggang berhadapan dengan Chinta.
“ Hei perempuan! Kau siapa haa… terjerit-jerit nama buah hati aku macam orang meroyan ni?” Dia bercekak pinggang. Badannya digerak-gerakkan macam gaya Seniwati Mariani bercakap di dalam filem P. Ramlee.
Beto pulak, macam harimau hilang taring. Dia berkalih memandang Chinta dengan gerakan yang begitu perlahan sekali. Menggaru kepalanya yang sudah pastinya bukan gatal disebabkan kelemumur, uban ataupun kutu. Itu lebih kepada aksi orang tengah mencari alasan atau jalan keluar.
Chinta melepaskan nafas berat. Air mata sudah mula bergenang dan pastinya akan tumpah bila-bila masa sahaja.
Mawar kaget. Dia menarik siku Chinta.
Chinta menggeleng kepalanya perlahan. Matanya merenung Beto yang masih berdiri seperti orang bodoh. Dia mengangkat kening sambil menjegilkan matanya pada Beto. Ketika itu, beberapa butir air mata jatuh membasahi pipi. Kalau ikut fahaman Mawar, Chinta mahu Beto yang menjawab soalan itu bagi pihak dirinya. Namun Beto yang pura-pura bendul itu hanya buat muka bodoh. Mawar yang melihat pun sakit hati. Apatah lagi Chinta yang diperlakukan begitu. Sampai tunang sendiri kena sergah begitupun, dia masih berdiri macam orang tak ada perasaan. Ikut rasa hati, memang terasa nak kuntaukan Si Beto ni.
“ Untuk pengetahuan engkau, aku tunangan Beto. Hei! Kau sedar tak yang kau tu keluar dengan tunang orang!” Marahnya tak dapat ditahan lagi.
Si Minah Terlebih Botok itu tiba-tiba ketawa kuat. Mengejutkan Chinta dan Mawar. Hingga Beto sendiripun terkejut. Huh! Tak ada tata susila langsung!
“ Ohhh! Jadi inilah perempuan gemuk yang you cakap tu?” Dia berkalih memandang Beto yang kelihatan serba salah. Kemudian tersenyum sinis sambil tangan dikiam. “ Hei! Perempuan gemok! Tunang baru, belum kahwin tau! Aku pulak, kekasih lama dia. Huh… kalau bentuk badan macam kau yang gedempol ni… aku gerenti, tak lama lagi…” dia tidak meneruskan kata-katanya, namun membuat aksi memutuskan sesuatu dengan tangannya sambil mulut menyebut perkataan putus tanpa mengeluarkan suara.
“ Kurang asam! Beto, you say something please!” Chinta mengepal tangannya menahan marah. Mawar sekali lagi memegang siku Chinta. Bimbang jika Chinta tak dapat menahan sabar lalu menyerang Minah Terlebih Botok itu.
“ Kau baliklah dulu Chinta. Nanti kita bincang.” Ayat itu tiba-tiba keluar dari mulut Beto.
Ayat itu mengejutkan Chinta. Chinta sepatutnya sudah dapat mentafsir tindakan Beto. Sejak tadi, haram sepatah pun tidak keluar dari mulutnya. Tiba-tiba yang keluar, hanya perkataan seperti itu! Kini Mawar sudah tahap dapat sakit mata dan sakit hati.
 “ Mari Chinta! Biarkanlah! Tak luakpun kalau kau hilang lelaki poyo macam ni. Jomlah! Tak payah layanlah Minah Terlebih Botok yang tak ada adab ni. Padan sangatlah tu.” Laju saja ayat itu keluar dari mulut Mawar.
Ayat itu membuatkan Chinta yang sedang menahan marah tu, ketawa tiba-tiba. Sudah tentu ketawa itu kedengaran lebih manis berbanding yang keluar dari mulut Minah Terlebih Botok tadi. “ Gemuk-gemuk akupun, original. Kau yang kononnya kurus dan cantik tu, semua palsu. Entah-entah, hati dan cinta engkaupun palsu jugak.”
“ Hei! Jaga mulut kau sikit! Sergahnya. Dia bergerak ke depan lalu menolak Chinta dengan kedua-dua tangannya. Tindakan tanpa amaran itu menyebabkan Chinta terundur ke belakang lalu jatuh dengan punggong terhempas ke simen. Chinta mengaduh. Memandang Beto mohon simpati dan perhatian.
“ Padan muka!”
Minah Terlebih Botok itu menarik tangan Beto lalu bergerak ke kereta. Walaupun berkalih melihat Chinta beberapa kali, Beto tetap mengikut perempuan itu tanpa mahu mengambil berat tentang  Chinta, sakitkah Chinta, cederakah Chinta?
Mereka masuk ke kereta lalu memandu keluar dari kawasan parkir meninggalkan Chinta yang seperti masih seperti tidak percaya dengan tindakan Beto itu.
Chinta menangis. Dan Mawar hanya mampu memandang dengan rasa sakit hati yang membungkam.



KERETA YANG DIPANDU BETO MELUNCUR LAJU MEMBELAH LEBUHRAYA BORR. Sesekali, Beto menghentak stereng kereta dengan tangannya. Tak sangka boleh terkantoi hari ni setelah sekian lama dia menipu Chinta.
Di sebelahnya… Nazira, yang Mawar panggil ‘Perempuan Terlebih Botok’ sedang memerhatikan Beto dengan muka hairan.  Dia menggeleng kepala setiap kali Beto menghentak stereng kereta.
“ Yang kau susah hati kenapa? Tinggalkan aja dia! Sejarah dan hubungan kita yang lebih penting. Kau sendiri mengaku yang kau masih tak dapat melupakan aku.”
“ Kau tak faham! Jadi baik kau duduk diam-diam.”
“ Kalau aku tak faham! Kau kenalah fahamkan aku! Tapi awas, kalau kau main-mainkan dan tinggalkan aku macam dulu, aku akan buka pekung kau pada dia, pada semua!” Ayat berupa ugutan itu keluar laju dari mulut Nazira.
Lagu P.S.Y. Gangnam Style berkumandang membuatkan Beto yang baru membuka mulut berhenti tiba-tiba. Dia berdengus. Mencapai telefon yang diletakkan di atas dashboard, menjeling skrin lalu berdengus lagi sekali. Memang dia dah agak, orang itu pasti telefon lagi.
“ Hello!” Sergahnya
“ Hello! Kita kena berbincang.” Kata orang sebelah sana.
“ Aku dah tak ada benda nak bincang. Kau tak beri apa yang aku minta. Kan aku dah kata, sebutharga aku dah naik!”
Beto melafazkan kata-kata tu, sambil menjeling pada Nazira. Nazira membulatkan biji matanya. Senyum terjongkit di bibir. Dia mengangguk kepala perlahan. Beto mengenyit mata pada Nazira. Dia tahu… hanya Nazira yang mengenalinya luar dan dalam.
Mulut Beto tiba-tiba ternganga. Dan dengan perlahan, apa yang diucapkan oleh orang sebelah sana telah mengundang senyum di bibirnya. Dia mengangguk seolah-olah orang sebelah sana nampak perlakuannya itu.
Hmm… Not bad! Plan ni aku suka. Aku terima.” Beto mengangguk beberapa kali sebelum mematikan talian. Dia kemudian menjeling ke arah Nazira sambil tersenyum senget. Nazira membalas senyuman itu. Ternyata antara Beto dan Nazira, sudah lahir kesefahaman sejak beberapa lama dahulu.
“ Kau faham sekarang?”
Nazira mengangguk. Dia tersenyum mengulum. 

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU