![]() |
| http://gambr.wordpress.com/2011/05/30/jalan-pengkalan-chepa/ |
Pengkalan Chepa, Kelantan.
APRIL NUR KARMILA menarik nafas lega sebaik keluar dari dewan
peperiksaan.
Betapa siksanya menunggu
peperiksaan tamat. Lebih siksa dan ‘stress giler’ melalui minggu peperiksaan sejak
beberapa minggu kebelakangan ini. Alhamdulillah! Setelah dua tahun setengah mengikuti
kursus Diploma Seni Fesyen dan Grafik di Faizah Fesyen College, Pengkalan Chepa…
hari ini adalah hari penamat kepada segalanya.
Hari ini hari merdeka.
“ April! Lepas ni dah tak perlu
muntah-muntah lagi.” Komen Natrah kawan baiknya. Natrah yang lebih selesa dipanggil
Ti’ah.
April tersenyum. Kemudian
mengemutkan hidungnya.
“ Betul tu. Habis segala siksa
dunia.”
Ti’ah tersengih. Angguk tanda dia
amat memahami. Bff (best friend forever)
sungguh mereka berdua ni. Tak boleh berenggang langsung sejak dari sekolah
rendah lagi. Ke sana ke sini, macam belangkas.
“
Leganya aku… tak payah jalani exam
lagi, unless kalau aku nak sambung
buat degree. Tapi bila ingat perlu
lalui semua tu. Memang tak sanggup nak sambung lagilah…” April tersengih lagi. Kali
ini… macam kerang busuk.
Hmm… kalaulah ada kursus yang tak payah lalui peperiksaan? Kan
Bagus!
Cuma, macam mana mahu menilai
kemampuan seseorang kalau tiada peperiksaan? Takkanlah nak beri semua orang
lulus dengan ‘flying color’ tanpa diuji kemampuannya! Maka periksa itu tetap
perlu walaupun setiap kali periksa, dia perlu lalui fasa ‘nervous breakdown’
yang sudah sebati dalam diri. Sejak dulu, dia pantang bersarapan pagi sebelum
peperiksaan bermula. Kalau sarapan juga, pasti akan terpaksa berulang-alik ke
tandas selepas itu. Satu masalah lagi, dia mudah rasa loya dan berangin. Fasa
ni selalu terjadi betul-betul sebelum masuk ke dewan. Maka Ti’ah akan jadi
tukang urut belakang dan tukang sapu Minyak Cap Kapak untuknya. Siksa sungguh
nak melalui fasa begitu. Hmm… bukan siksa, tapi serik sebenarnya!
April renung Ti’ah yang sedang
tersengih.
Ti’ah ni, walaupun sangat peka dengan
perkembangan fesyen, dia tetap menutup aurat dalam ertikata sebenarnya. Apa
saja yang Ti’ah pakai, pastinya memenuhi kod etika berpakaian ala muslimah. Lengkap
dengan sarung kaki dan sarung lengan. Namun dia tetap nampak cantik dan anggun.
April pula, belum mampu mahu buat begitu. Dia sedar, dia bukan alim sangat pun.
Dia tak mahu sekadar mengikut. Dia mahu melakukannya dari hati. Kalau ikut
cakap orang sekarang, belum sampai serulah rasanya.Buat sementara ini, dia okay
saja dengan gaya tudung yang dia pakai. Bertudung tanpa pernah pakai baju
ketat, baju singkat atau baju tangan pendek. Bagi dia, dia sudah berusaha
menutup aurat dengan tahap keimanan yang dia ada. Itu kira okaylah kan!
Tiba-tiba aje Ti’ah mencuit
pinggang April. Betul-betul dekat poin sensitif pulak tu. Mujur dia tak
menjerit akibat terkejut.
“ Apa?”
“ Tu… seberang jalan.” Ti’ah
muncungkan bibir.
April berkalih. Serta merta dia
kemutkan hidung sebab dia nampak kelibat Hafizzudin sedang melintas jalan.
Aksi tu, buat Ti’ah ketawa
mengekek.
Hafiz yang memang tampan, kacak,
lawa dan merangkumi apa saja perkataan yang sewaktu dengannya. Hafiz mempunyai
ketinggian seperti seorang model. Badannya sasa. Kulitnya putih dan senyumannya…
memang amat menawan. Namun… Hafiz bukan lelaki idaman hatinya. Hafiz tak ada ciri-ciri lelaki yang dia
impikan.
Maka sebab itu, walau setampan
manapun Hafiz, walau segila manapun orang lain. Yang nyata… dia tidak pernah
anggap Hafiz itu istimewa. Dia hanya anggap Hafiz sebagai kawan dan tidak
pernah berniat untuk serius dengan Hafiz.
“ Hai sayang!” Sapa Hafiz. Beberapa orang
pelajar menjeling ke arah mereka.
April kemutkan hidung pada Ti’ah.
“ Tak reti-reti nak beri salam
ke? Kita ni kan orang Islam!” Tiba-tiba saja, kata-kata itu terbit dari mulut Ti’ah.
April tergelak. Padan muka! Ti’ah
ni, kalau tengok gaya dia bertudung, memang tak sangka dia akan sergah orang
macam tu. Tapi kalau sudah kenal, orang akan faham yang… dia akan jadi begitu
jika ada yang buat perangai yang dia tak boleh terima. Contohnya, macam yang
Hafiz buat sekarang.
“ Assalamu’alaikum wahai si manis
berdua!” Tersengih-sengih Hafiz membetulkan ayatnya. “ Kau ni Ti’ah. Tak beri
peluang langsung untuk aku. Kan, sayang kan!”
April menggeleng kepala. “ Alaikum
Salam! Banyaknya you punya sayang.
Dua hari lepas, ada sorang perempuan cantik datang marah-marah pada I. Katanya,
dia ‘sayang’ you.”
Hafiz telan air liur.
“ Eh! Mana ada… salah faham
agaknya. Sayang I, hanya you sorang jer
tau.” Hafiz membuka cermin mata hitamnya. Gayanya… sebijik macam model iklan
cermin mata hitam jenama terkenal.
“ Dah habis exam, kan? Jom I belanja you all berdua makan.”
April menggeleng.
Ti’ah buat muka ‘ boring tahap
gaban’ dengan menjulingkan mata memandang bumbung bangunan.
“ Hmm…
tak payahlah Hafiz. I tak rasa nak celebratelah.
Entah sebab apa, I rasa tak sedap hati sejak pagi tadi. Kami berdua ni dah
bercadang nak makan nasi kukus ayam berempah kat dataran tu aje.” Tegas April.
Memang benarpun, hatinya asyik berdebar sejak
semalam. Dia sendiri tak tahu kenapa. Segala yang dia buat hari ini, bagai
serba tak kena. Papa pun tegur tentang sikap kelam kabutnya pagi tadi.
Ti’ah mengangguk. Menyokong kata-kata April. Hafiz
nampak kecewa.
“ Anak orang kaya macam you, celebrate birthday dekat stall tepi jalan tu jer? Jomlah I bawa ke tempat special
sikit.”
“ Taknaklah! Kami nak makan kat
situ jugak. Kalau you nak… you ikut. Kalau tak… you balik sambung kerja you.”
Hafiz menjatuhkan bahunya. Tangan
kirinya masih bercekak dipinggang. Tangan kanan memegang kaca mata hitam yang
ditanggalkan tadi.
“ Kalau macam tu, marilah… naik
kereta I.” Pelawa Hafiz.
Ti’ah pandang April.
April mengangguk.
Dataran Selera, Pengkalan Chepa.
“ KENAPA? Tak selesa makan di warung?” Soal April.
Dia geram bila melihat Hafiz
tertoleh-toleh melihat sekeliling. Makan di warung, manalah nak sama dengan
makan di restoran. Lebih-lebih lagi di restoran ekskusif seperti yang selalu
dikunjungi Hafiz.
“ Taklah! I okay. Saja
tengok-tengok tempat ni.”
“ Makan di warung, mana sama
dengan tempat you selalu makan.
Kerusi pun plastik. Sudahlah plastik, berkerutu dan berkulat pulak tu,” tambah Ti’ah
sambil mengenyit mata pada April.
“ Taklah! Okay jer. Cuma I masih hairan. Papa April ni
orang kaya kat Kelantan. Ada syarikat bagai… dia pulak tak kisah makan tempat
macam ni.”
“ Yang kaya tu, papa I. Bukan I.
Tak ada satupun harta dia yang dia sudah letak nama I. Jadi I masih orang
biasa, macam Ti’ah… macam you. Tak
gitu?” April geleng kepala. Inilah antara sebab kenapa dia berat untuk menerima
Hafiz. Hafiz terlalu memikirkan tentang status, sedangkan… dia bukanlah kaya
sangat pun.
Hafiz sengih terkulat-kulat. “
Macam perli I jer. I pun bukan orang
kaya sangat pun.”
“ Hmm… tau takper! Kalau nak ikut status, April tak akan sambung
belajar kat Kelantan ni aje. Dia boleh aje pergi Paris nun untuk belajar
fesyen. Dia cuma tak mahu. Jadi sedar-sedar la diri you tu. Macam mana kami berdua sedar diri,” celah Ti’ah bersahaja.
Kena lagi Hafiz. Padan muka!
Hari ini saja… dah dua kali Hafiz
kena ‘kuntau mulut’ dengan Ti’ah. Nasib baik dia sedar diri yang dia tu
bukanlah kaya sangat pun. Cara hidup dia sekeluarga aja yang nampak kaya.
Bapanya naik kereta mengalah Datuk. Mamanya berpakaian mengalah Datin. Arwah
mama April pun tak berpakaian sebegitu hebat. Arwah mama jenis yang masuk
kandang kambing mengebek, masuk kandang singa mengaum. Sebab itulah April
begitu. Dia sudah dididik oleh arwah mama begitu.
“ Apa plan you lepas ni?” Soal Hafiz, mengubah topik.
April tidak terus menjawab tapi
mengemutkan hidungnya. Dia menjeling Ti’ah di sebelahnya. Sengaja mahu
membiarkan Hafiz tertunggu-tunggu, dia menyuap sesudu nasi lalu mengunyah
perlahan.
Hafiz masih menanti, pandangan
matanya masih kekal di wajah April. Inilah sifat Hafiz yang selalu buatkan
April terpaksa mengalah.
“ Belum tahu dan belum fikir.
Kerja kat mana-mana butik maybe…”
April menjawab, bahunya diangkat beberapa kali.
“Aku ikut kau, boleh?” Pinta Ti’ah.
Dia nampak teruja benar.
“ Kau ni, aku baru kata mungkin
aja… bukan betul lagi.” April tersengih.
Hafiz geleng kepala.
“ Kau ni Ti’ah, kalau April masuk lubang,
kaupun masuk lubang sama? Asyik nak berkepit dengan April tu, buat apa?” Hafiz
jegil mata pada Ti’ah sebelum berkalih memandang April. “ Lagipun April, I tak
berapa setuju kalau you kerja kat
butik. Macam sales girl jer. Cubalah you minta papa you bukakan butik untuk you.
Dia kan, mampu buat semua tu…”
Ti’ah tarik muka masam. Mata
Ti’ah membuntang ke arah Hafiz.
Siaplah Hafiz. Nampaknya dia
bakal kena kuntau mulut kali yang ketiga.
“ Kau ni Hafiz, kena sedar sikit. Kau tu belum
apa-apa dengan April. Tak payah nak sekat-sekat aku nak baik dengan April. Dan
tak payah nak atur-atur hidup April. Dia tahulah apa yang dia nak. Selama ni
pun, kau bukan tak perasan, citarasa kau dengan kehendak April memang jauh
berbeza. Bila kau balik nanti, masa nak tidur malam, letak tangan kat atas dahi
kau sambil baring. Lepas tu, kau fikir balik apa aku nak kata ni, betul ke
tidak?” Ti’ah bersandar sebaik menghabiskan ayatnya. Matanya tajam merenung
Hafiz.
April tersenyum. Penyedut minuman
dipusing-pusingkan di dalam gelas.
Dia merenung wajah Hafiz. Jauh di
sudut hati, ada rasa simpati pada Hafiz. Kali ini ‘ kuntau mulut’ tu memang
kena ‘kaw-kaw punya’. Kalau Hafiz tak terasa, tak tahulah nak kata apa lagi. Memanglah
dia jenis yang hemoi agaknya. Atau jenis tak malu yang kulit mukanya setebal
tembok bangunan.
Hafiz tersenyum sumbing. Dia
geleng kepala lagi.
“ Kau ni Ti’ah, kalau pasal kutuk
aku, macam berceramah politik. Kutuk rapat-rapat pulak tu. Tak padan dengan
cara kau berpakaian. Mujur hati aku ni, jenis yang payah nak cedera. Itulah, pasal
tu lah tak ada orang yang nakkan kau. Kau tu benak sangat pasal cinta. Cinta tu
tak semestinya tentang persamaan saja. Cinta itu sebenarnya saling melengkapi.
Saling menerima kekurangan pasangan masing-masing. Dan saling memberi ke arah
kesempurnaan. Lain kali, kalau bab cinta… kau jangan nak pandai-pandai bagi
pendapat. Pakwe pun belum ada… ada hati nak nasihat orang. Yalah. mana ada
orang nak berkenan, garang kau tu mengalahkan singa betina!”
Ti’ah bangun berdiri tiba-tiba...
Hafiz yang terkejut, terundur ke
belakang. Mujur tidah terjatuh akibat ketidakseimbangan kerusi plastik yang
tidak begitu kuat untuk menampung berat Hafiz.
April segera bangun. Bimbang juga
kalau-kalau perang dunia keempat bakal meletus pulak. Malulah nanti dengan
orang sekeliling.
“ Dah… dah… jangan gaduh-gaduh
sebab aku pulak. Hari ni Birthday
aku, hadiah paling bermakna untuk aku, ialah bila korang berdua berdamai. Dua-dua pun kawan aku.” April meregangkan
kedua tangannya di antara Ti’ah dan Hafiz.
Ti’ah kembali melabuhkan punggung.
Dia tersenyum sumbing, memandang Hafiz dengan ekor matanya. “ Aku baru gertak,
kau dah gabra…”
“ Mana tak gabra, macam singa
betina terlepas dari kandang.” Hafiz tersengih.
“ Oklah! Berbalik pada suggestion you tadi, suruh papa I bukakan sebuah butik untuk I tu… mungkin tak
kut… I lebih suka berusaha sendiri. I tahu papa sayang I. I tahu papa akan…”
Percakapan April terhenti bila
telefon bimbitnya berbunyi. Entah kenapa, dadanya berdebar tiba-tiba…
Segera dia melihat skrin telefon.
Mememekkan mukanya apabila melihat nama Along tertera di skrin. Entah apa hal
sampai buat Along yang tak pernah anggap dia seperti adik tu, telefon
tiba-tiba. Di tengah hari rembang pulak
tu. Takkanlah nak ajak makan tengah hari pulak!
“ Ya Along, adik tengah makan
dengan Ti’ah. Kenapa?”
“ Kau balik rumah sekarang!
Papa…” suara Along tiba-tiba bertukar sebak.
“ Kenapa dengan papa?” April
cemas. Dada berdetak semakin kencang.
“ Papa meninggal. Kena serangan
jantung waktu mensyuarat…” hanya itu yang April dengar. Apa yang dituturkan
Along selepas itu seperti angin lalu di telinganya. Air mata April gugur laju
tanpa dapat ditahan. Dia memandang Hafiz, kemudian kepada Ti’ah.
“ Papa aku meninggal…”
