Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, September 23, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - BAB 5



JAM di dinding sudah  menunjukkan pukul 2 pagi, namun mata Dira masih belum mahu tidur. Dira menarik selimut tebal itu hingga ke bawah dagu sambil terkebil-kebil di dalam bilik yang separa cerah kerana diterangi lampu beranda. Jemu menelentang, dia bergolek ke kiri dan kanan. Habis lunyai cadar yang menutupi katil akibat asyik bergerak dan berubah kedudukan.
      
Segala yang terjadi di awal malam tadi masih jelas terbayang di matanya. Dira kesal. Sangat-sangat kesal. Kalaulah dia berusaha mencari Nini lebih awal…tentu Nini masih boleh diselamatkan. Airmata tiba-tiba mengalir membasahi tepi mata dan turun ke telinganya. Dia bingkas bangun lalu mengesatnya.
      
Dira duduk berteleku di atas katil. Rasa sedih mengenangkan Nini itu tak dapat dibuang dari mindanya begitu sahaja. Dia hairan. Kenapalah Nini boleh memilih jalan sebegitu. Sedangkan jalan itulah yang paling Nini benci sejak dahulu. Nini yang mendapat gelaran pelajar contoh sewaktu zaman persekolahan boleh berubah seratus peratus. Itu yang paling Dira hairan. Tak tahulah sejauh mana Nini sudah terlibat. Harap-harap janganlah sehingga menjual tubuh badan atas nama kemewahan. Seram pula Dira memikirkannya.
      
Sehingga kini, sebab utama yang terfikir di benaknya hanyalah kekangan hidup dan masalah kewangan sahaja. Hanya itu yang mampu membuat Nini berubah begitu. Sejak bersekolah dulu pun, masalah keluarga Nini serupa sahaja. Dan, itu antara sebab mengapa Dira dan Nini menjadi rapat. Terlalu rapat…
      
Dira masih ingat dengan jelas akan peristiwa yang terjadi sewaktu dia di tahun 6. Sewaktu Dira tinggal bersama Nek Yah di kampong. Suatu hari, ketika itu… loceng tanda waktu rehat tamat, sudah dibunyikan. Dan, kebanyakan murid sudah mula melangkah meninggalkan kantin. 

Dira pula, entah bagaimana…terseliuh kakinya ketika mahu berlari. Dia terduduk, dan mula menggosok kakinya sambil menahan sakit. Dan, waktu itu jugalah dia ternampak Nini, yang sedang bergerak dari satu meja ke meja yang lain mencari sisa makanan yang ditinggalkan orang. Hatinya rasa tersentuh. Hairanpun ada…kerana, dia tidak pernah tahu ada orang yang serba kekurangan sehingga sampai ke tahap itu.  Nini berhenti menjamah sisa makanan selepas sedar akan kehadiran Dira. Dan, Ninilah yang memapah Dira pulang ke kelasnya selepas itu.
      
Pulang dari sekolah, Dira menceritakan apa yang dilihat kepada mamanya. Dan, atas nasihat mama…setiap hari selepas itu, Dira selalu memerhatikan Nini. Apabila setiap hari melihat Nini mengutip sisa makanan orang, Mama arahkan Dira membelikan makanan untuk Nini tiap-tiap hari.
      
Sejak itu, Dira dan Nini menjadi rapat dan Dira mula kenal latar belakang keluarga Nini. Sejarah hubungan Dira dan Nini bermula di situ, dan bantuan demi bantuan selepas itu… makin mengeratkan hubungan kedua buah keluarga. Memang keluarga Dira banyak membantu Nini, namun segala bantuan yang Dira beri pada Nini tidak dapat menandingi apa yang telah Nini korbankan untuk Dira. Dan, Dira akan kenang semua itu sampai mati…
      
Dira bangun dari katil dan berbaring di sofa lembut yang mama letakkan di tepi pintu beranda. Dia termenung lagi… mengimbau masa lalu. Dira sedar, Nini berubah selepas keputusan SPMnya kurang memuaskan. Kata Nini, dia rasa bersalah kerana menghampakan papa dan mama. Bukan setakat Nini, Mak Chu Kina, emak Nini pun terus berhenti dari bekerja dengan mama. Padahal, papa dan mama… tak pernah berkira dengan apa yang mereka sumbangkan. Mereka ikhlas dan menganggap keluarga Nini seperti keluarga sendiri.
      
Dira mengeluh lagi. Kenapalah Nini terlalu ego untuk menerima bantuan Papa selepas itu, sedangkan Papa tidak pernah berkira sesen pun tentang apa sahaja yang berkaitan dengan Nini. Kalaulah Nini  bersabar dan memberi peluang kepada diri sendiri, tentu semua ini tidak akan pernah terjadi. Ya Allah! Dira harap sangat… dia masih diberi kesempatan untuk menyelamatkan Nini. Dan malam ini dia bertekad… dia akan terus berusaha untuk mengembalikan Nini ke pangkal jalan…

*****

“ HAA…Dira jumpa Nini?”
      
Mata mama tak berkelip memandang Dira. Papa pula nampak terkejut. Papa yang sedang mengunyah sarapan, berhenti tiba-tiba… menunggu ayat Dira seterusnya.
      
“ Betul mama, Dira ajak dia datang rumah…tapi, dia menolak,” Dira pura-pura tersenyum. Dia sebenarnya sudah mengambil keputusan untuk tidak memberitahu Papa dan Mama tentang apa yang Nini buat semalam.
     
“ Hmm…cepatnya Dira locate Nini. Kat mana Dira jumpa Nini?  Nini sihat ke? ” Soalan papa, macam peluru…tak sempat Dira nak jawab walaupun satu...
      
“ Papa ni…sabarlah. Dira nak ceritalah ni... Dira terserempak dengan Nini kat hotel. Masa tu, dia dengan pakwe dia. Ada dinner katanya. Tapi pakwe Nini tu kerek betul la…tak sempat nak minta nombor talipon. Kalut semacam aja…” Dira memasamkan muka.
     
“ Habis tu…macam mana nak contact dia? Mama ni…rindu kat Nini setengah mati tau.” Ucap  Mama pula…muka Mama sedikit masam. Menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
      
“ Mama janganlah sedih. Dira dah tahu rumah Nini kat mana, nanti Dira ajak dia datang rumah. OK? ” Pujuk Dira, walaupun dia sendiri tak tahu samada Nini akan sudi berjumpa dia lagi atau tidak.
      
Mama kembali tersenyum. Papa pula cuma menggeleng kepala…
      
“ Merajuk macam budak-budak…” ayat itu yang keluar dari mulut Papa.
     
“ Biarlah! Saya nak merajuk dengan anak saya. Nak merajuk dengan awak…awak bukannya ada masa. Asyik sibuk 24 jam”
      
Dira tersenyum melihat gelagat Mama. Dia mengenyit matanya kepada Papa sambil ketawa kecil. Papa juga turut ketawa.
     
“ Elok lah tu, anak beranak berkomplot gelakkan saya…” masih belum habis angin merajuk Mama rupanya…
     
“ Hmm…sudahlah tu. Saya kalau awak merajuk, senang nak ubat. Bawa jer ke Habib Jewel atau mana-mana Jewelery outlet or any other branded outlet. Settle masalah.” Sambil itu, Papa bangun untuk ke pejabat sambil tersenyum dan mengenyit matanya kepada Dira.
     
Mama pula menarik muka masam. Tapi cuma sebentar, sebelum tersenyum semula dan bangun mengiringi Papa keluar.

*****

DIRA berlegar-legar di kawasan rumah Nini. Sudah puas mengetuk pintu dan memberi salam, namun tiada jawapan. Walaupun Dira merasakan dia sudah tersangat awal bergerak ke sini,  nampaknya baik Nini, mahupun Aisyah… tiada di rumah. Lama menunggu, tekak pun sudah terasa kering. Maka Dira mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke kedai serbaneka Seven Eleven. Lama juga dia tak merasa Mr. Slurphy yang menjadi kegemarannya dulu.
     
Sebaik kembali ke rumah Nini sambil memegang Mr. Slurphy, Dira melihat dua orang lelaki berjaket hitam dan berkacamata hitam, berdiri berhampiran pintu rumah Nini. Hmm…macam Man In Black lah pulak. Hairan! Siapa pulak tu? Perwatakan merekapun…macam ada udang di sebalik mee aja. Tak boleh jadi ni…baik Dira siasat. Bila lagi nak menggunakan ilmu penyiasatan yang Dira tonton selama ini. Dira pura-pura berjalan melepasi mereka, kononnya… dia adalah penghuni di situ.
     
“ Cik! Boleh tumpang tanya?” Lelaki yang lebih tinggi dan berperawakan seperti bintang sinetron Indonesia itu, menahannya untuk  bertanya.
      
Dira hanya mengangguk, buat muka serius dan bercekak pinggang. Gaya orang tak mahu diganggu. Namun di dalam hati terpanah juga dengan ketampanan lelaki di depannya walaupun muka lelaki itu serius yang amat. Macam ‘Cold blooded Killer’.
      
Lelaki itu menghulurkan sekeping gambar, dan gambar itu ialah gambar Nini tanpa bertudung, sedang tersenyum manis. “ Pernah tengok perempuan ini? Betul ke rumah ni… rumah dia?” Tanya lelaki itu sambil masih menghulurkan gambar tadi.
     
“ Entah! Tak tahu…sayapun baru pindah ke sini. Kenapa cari dia…saudara awak ke?” Soalan itu ditanya sekadar untuk melihat samada mereka berdua bercakap benar atau tidak.
     
“ Kalau dah tak kenal, tak payah tanya banyak soalan…” lelaki tanpa senyuman itu tiba-tiba membentak. Dira sedikit terperanjat.
      
“ Saya abang dia…saya nak bawa dia balik ke kampung. Ayah kami sakit kuat.” Lelaki yang lebih pendek dan hanya mendiamkan diri dari tadi, tiba-tiba mencelah. Dira lihat dia menggenggam tangannya seperti orang menahan marah. Lelaki tanpa senyuman itu tiba-tiba menikus, tertunduk merenung kasut.
      
Sudah terang lagi bersuluh… ada yang tidak kena dengan kedua-dua lelaki ini. Dira tahu yang Nini anak sulung dan ayah Nini, Pakcik Latif sudah meninggal dunia. Meninggal sewaktu Nini dan Dira bakal menduduki peperiksaan SPM dan itulah satu-satunya sebab kenapa Nini gagal mendapat keputusan cemerlang.
      
Lelaki-lelaki di hadapannya ini, menipu untuk satu tujuan yang Dira tak tahu. Dan, tujuan itu nampaknya bukanlah sesuatu yang baik untuk Nini. Dira juga sedar yang dia tidak boleh berlama di sini. Dia perlu mencari Aisyah… hanya Aisyah dapat membawanya bertemu Nini. Dira perlu tahu masalah Nini dan yang pasti… apapun masalah Nini, dan sejauh manapun keterlibatan Nini, Nini perlu diselamatkan segera…

*****

“ APA…Harian Metro? Belum baca, kenapa?  Ya lah! Aku beli sekarang.”
      
Sudah beberapa kali Dira cuba menghubungi Aisyah, tetapi gagal. Sedang dia asyik berleter sendiri, tiba-tiba sahaja… panggilan dari Ain pula yang masuk. Pelik sungguh Ain ni! Lepas beri salam aja, Ain menyoal samada dia sudah membaca Harian Metro. Bila jawapan Dira adalah ‘belum’, Ain minta Dira mencari Harian Metro. Kata Ain… sekarang jugak! Nasib baik ada kedai runcit berhampiran dengan tempat dia sedang berhenti berehat.
      
Sebaik membayar harga surat kabar, Dira berjalan ke keretanya. Dia menghamparkan Harian Metro itu di atas bonet kereta dan kembali bercakap dengan Ain.
      
 “ Haa…aku dah beli. Muka depan? Ya aku baca sekarang…’PASANGAN KEKASIH MATI DI BUNUH’…  Dira terus membaca berita itu, sambil talipon bimbitnya masih melekat di telinga dan mendengar celoteh Ain. Mata Dira tiba-tiba membulat sebaik membaca nama yang tertera di mukasurat itu.  Jantung Dira tiba-tiba berdegup kencang, apalagi bila mendengar ayat yang Ain tuturkan di talian sebelah sana…
      
“ Tadi, Aisyah talipon dari bilik mayat dekat tempat aku. Entah macam mana, Polis minta dia kenal pasti kedua-dua mayat tersebut..aku dalam perjalanan ke sana. Kau datang sekarang…kami tunggu.”
      
Dira memaut bonet keretanya, dan bergerak dengan perlahan ke arah hujung bonet dan melabuhkan punggong di atas tembok batu  yang melatari dataran parkir di situ. Rasa tidak bermaya untuk bergerak, namun Dira tahu… dia harus bergerak segera…

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU