Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Monday, October 20, 2014

NOMBOR 23 - BAB 5


Teratak Nur Karmila
NURIN QISTINA membelok memasuki pintu pagar hadapan Teratak Nur Karmila. Dia angguk kepala kepada ‘Pak Guard’ yang sedang berdiri di hadapan pintu. Selepas itu, dia menjeling ke belakang melalui cermin pandang belakang. Cahaya lampu jalan membuatkan dia perasan ada sebuah kereta Proton Waja warna hitam sedang pegun di bahu jalan. Agaknya… itu penyiasat dari pasukan polis. Sejak ayahnya ditembak dan tercedera beberapa hari lepas… rumahnya asyik diperhatikan sahaja. Naik rimas juga kadang-kadang…
Sebenarnya, dia baru pulang dari melawat ayahnya di SDMC. Sudah beberapa hari asyik berulang-alik ke situ. Mujur hari ini, keadaan ayah nampaknya semakin stabil. Perkembangan tu, melegakan semua orang termasuk dia.
Tiba-tiba, secara automatik, badannya terasa merinding. Dia menjeling ke belakang melalui cermin pandang belakang. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Dia menggeleng kepala perlahan. Entah kenapa sejak dari tadi, dia terasa seperti sedang diperhatikan. Rasa seram sejuk semacam saja. Kalau diikutkan, perjalanan dari Subang Jaya ke Shah Alam itu, tak adalah jauh sangat pun. Namun sejak dari tadi bulu roma di belakang tengkuknya asyik berdiri saja. Terasa seperti dia tidak berseorangan. Hisy! Dia menggeleng kepala lagi. Takkanlah ada ‘benda’ yang menumpang kut?
Nurin memilih untuk parkir di ruang bersebelahan rumah. Untuk ke situ, dia perlu memandu melepasi pintu hadapan. Dewi, pembantu rumah warga Indonesia sudah sedia menunggu dan menjengah di sebalik tingkap. Dewi tersengih melihat Nurin ketika kereta dipandu perlahan melepasinya.
Usai parkir, Nurin bergerak ke belakang lalu membuka booth kereta. Terasa angin lembut bertiup menampar mukanya tiba-tiba. Dia terkesima, kembali panggung kepala lalu menoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat tiada kelibat sesiapa di situ, dia kembali mendapatkan beg yang mengandungi barang-barang pemberian pelawat yang datang melawat ayah.
 ‘ Pap!’ Bunyi seperti pintu kereta ditutup.
Nurin terlompat. Menjengah perlahan ke arah pintu sebelah kanan. Namun dia mengurut dada sebaik menyedari orang yang berdiri tidak jauh dari pintu keretanya adalah Wak Seman, tukang kebun yang tinggal di rumah pekerja di belakang rumah.
“ Ada apa Wak?”
“ Cik Nurin lupa tutup pintu.”
“ Ye ke?” Hairan! Kalau tidak silap, dia sudah menutupnya tadi.
Nurin kemudiannya mengeluarkan semua beg, mengangguk kepalanya kepada Wak Seman. “ Saya masuk dulu Wak.” Tanpa melihat Wak semula, dia menjinjing beg ke arah rumah. Sebaik sampai di muka pintu, Dewi sudah sedia menyambutnya…
 “Cik Nurin, banyaknya barang…” sapanya sambil menghulur tangan dan mengambil beg-beg tersebut lalu membawa kesemuanya masuk ke dapur.
Nurin melangkah masuk, mencampakkan beg sandangnya ke atas sofa. Dia melabuhkan punggung di situ lalu  mengeliat. Rasa lengoh sungguh seluruh badan kerana sejak pagi tadi, dia temankan mami di hospital.
“ Mana kawan Cik Nurin tadi?” Soal Dewi tiba-tiba. Dia buat muka hairan.
“ Kawan?”
Dewi angguk.
“ Maksud kamu?”
“ Iya… kawan yang ikut Cik Nurin tadi…”
Nurin mula rasa tidak sedap hati. Dia bangun lalu menjengah ke arah kereta yang diparkir di luar rumah. Tiada sesiapa di situ. Dia kemudiannya berkalih memandang Dewi.
Dewi masih buat muka polos menanti jawapan.
“ Kenapa pula kamu tanya tentang kawan saya? Saya kan… pulang seorang saja,” balas Nurin sambil mengurut belakang lehernya. Entah kenapa… rasa seram tadi, kembali menghantui dirinya semula.
“ Masa sih… tadinya, saya lihat ada penumpang di belakang kereta.”
Nurin bulatkan mata.
“ Benar… saya nampak kelibat perempuan di tempat duduk belakang. Rambutnya panjang, dia pakai baju…” Dewi tak jadi meneruskan ayat. Dia telan air liur. Badannya jadi kaku tiba-tiba.
“ Pakai baju apa…” suara Nurin menyoal antara dengar dan tidak.
Mata Dewi masih terkebil-kebil memandang Nurin.
“ Pakai baju… pakai baju… baju…” Badan Dewi merinding lagi.
“ Baju apa?”
“ Baju warna putih…” balas Dewi lalu terus berlari memeluk Nurin.
Nurin telan air liur. Lututnya terasa lemah.



PUKUL 2:30 PAGI.
Di dalam bilik di tingkat atas, Nurin baru sahaja tenggelam dalam mimpi setelah menggelisah untuk beberapa jam. Sejak peristiwa awal malam tadi, dia terus masuk tidur dan sudah cuba bermacam cara untuk tidur. Namun matanya seakan merajuk dan otak seperti tidak mahu berhenti berfikir. Mujurlah tanpa sedar… dia perlahan-lahan terlena…
Di luar bilik, kelihatan lembaga berbaju putih dengan rambut mengurai panjang, bergerak menghampiri sofa high back jenama Ekornes Stressless berwarna putih. Ia berdiri di situ dan merenung sayu. Renungan itu lama kelamaan bertukar menjadi tangisan sayu.
Lembaga itu mengambil tempat duduk di atas sofa high back tersebut. Mengangkat kakinya yang tidak kelihatan itu dan kemudian kembali menangis sayu di situ…
Di dalam bilik, tidur Nurin nampak terganggu. Dia berkalih beberapa kali…
Dia bermimpi.
Mimpi yang sukar dimengerti…



Di suatu bilik. Lokasi dirahsiakan…
TIDAK terlalu jauh dari Teratak Nur Karmila, seorang lelaki sedang bercakap melalui telefon. Dia berbisik. Bimbang jika didengari oleh orang lain. Dalam berbisik itu, dia sebenarnya sedang cuba mengawal marahnya. Tidak lama selepas itu, dia mematikan talian. Telefon dicampak ke atas tilam. Lelaki itu berdengus keras.
Dia bimbang. Setelah sekian lama dia merasa sangat selesa dengan hidupnya, kini… satu demi satu insiden terjadi dan membuatkan dia resah serta tak senang duduk. Tajuk surat khabar hari ini, membuatkan hatinya resah.
Beberapa bulan lepas, tawanan yang sudah sekian lama di dalam ‘jagaan’nya… melarikan diri. Dan kini, seseorang yang disangkanya mati, tiba-tiba timbul dan menjadi tajuk utama akhbar. Sudah 18 tahun dia menghilangkan diri. Entah di mana lelaki itu menyembunyikan diri selama ini. Dan entah di mana lelaki itu menyembunyikan ‘harta terpenting’ yang dirampas darinya dahulu? Tiba-tiba lelaki itu muncul dan mati tanpa sempat dia bertanya tentang itu. Dia bimbang. Kematian itu bakal membuatkan sejarah lalu dikorek semula. Dia juga tersangat bimbang, ‘hartanya’ yang satu itu akan lenyap begitu sahaja.
Dia memandang siling. Berfikir.
Kematian lelaki itu, sepatutnya lebih baik. Kalau dia hidup… cerita tentunya akan menjadi lebih panjang lagi. Dia sedar, dia kini perlu lebih berhati-hati. Semua itu, kalau tidak dibendung… pasti akan membawa pihak polis kepada kisah yang sudah terlalu lama dipendamkan dan dilupakannya.
Tidak! Dia tidak akan benarkan semua itu terjadi. Dia menghentak kepala ke penyandar katil.
Dia tahu dia harus bertindak segera. Cuma buat masa ini, dia buntu mahu mengatur strategi. Dia bimbang… jika tersalah langkah, segala yang dia usahakan selama ini, akan menjadi sia-sia. Berantakan! Dan, paling teruk… dia bimbang dia akan dipenjarakan akibat jenayah yang telah lama dia simpan…

Dia menggepal penumbuk. Rahang mula bergerak-gerak.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU