Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Saturday, November 17, 2012

CCPC - BAB 5



SEJAK TERSEREMPAK DENGAN BETO SEMALAM, Chinta masih belum berhenti menangis. Matanya sudah mula bengkak-bengkak. Dan dari detik itu juga, dia melancarkan mogok lapar. Perut sudah terasa pedih, kembung dan berangin. Rasa mahu muntah pun ada. Gastriknya, bakal menyerang lagi nampaknya. Namun dia masih tidak berselera mahu menjamah walaupun hanya sedikit makanan.
Sampai hati Beto! Meninggalkan dia begitu tanpa ada rasa simpati. Walaupun ada riak serba-salah pada wajah Beto, tetapi tindakannya itu memang sepatutnya tidak boleh dimaafkan. Itu kata Mawar. Namun Chinta ada cara berfikirnya sendiri…
Semalam, sepanjang perjalanan balik, Mawar sudah bertukar menjadi pakar kaunseling tak bertauliah. Kata Mawar, hidup ini terlalu singkat untuk menyesali takdir. Jadi mulai hari ini, dia mahu Chinta berhati-hati menyintai lelaki. Menyintai hanya orang yang mengambil berat dan pandai menjaga hatinya sahaja. Lupakan saja lelaki tak guna seperti Beto tu. Setiap sesuatu yang Allah jadikan dan takdirkan itu, sudah tentu ada hikmahnya. Chinta tahu kata-kata Mawar itu betul. Namun senang untuk Mawar yang bercakap, tetapi tidak mudah untuk Chinta untuk melaksanakan.
Rasa cinta pada Beto itu sudah bertapak di dalam hatinya terlalu dalam. Semestinya ia perasaan yang bukan boleh dicampak buang begitu sahaja. Chinta sayangkan Beto. Dia menunggu 5 tahun untuk memenangi hati Beto. Dan, kerana itulah dia bersedia menerima segala kekurangan Beto. Dari dulu lagi, dia  memang sedia maklum sikap Beto yang Buaya Darat. Bukan dia tidak tahu yang selama ini, Beto curang di belakangnya. Namun Beto hanya keluar berpoya-poya, dia akan kembali kepada Chinta juga akhirnya. Namun peristiwa semalam cukup menyakitkan hatinya. Tindakan Beto itu menunjukkan betapa tidak berharganya dia di mata dan di hati Beto.
Chinta mengeluh. Sudah bencikah Beto padanya? Sudah buruk sangatkah rupanya bila terlebih isi macam sekarang?
Dia tahu, dalam menyusuri kehidupan, kadang-kadang ada perkara yang kita tidak mahu ia terjadi, tetapi terpaksa menerima dan menghadapinya bila ia terjadi. Ada perkara yang kita tidak tahu, tetapi terpaksa belajar menerimanya. Dan ada orang yang kita tidak boleh hidup tanpanya tetapi akan tiba waktunya, kita akan terpaksa belajar melepaskan dia pergi dari hidup kita.
Chinta sedar, dia tidak tahu dan tidak dapat mengagak masa depan hubungannya dengan Beto. Tapi dia tunangan Beto. Selagi Beto tidak memutuskannya, dia masih ada harapan untuk bersama Beto. Dan hari ini, dia juga tahu dan sedar, walau betapa teruk peristiwa semalam, dia masih tidak mampu berhenti menyintai Beto.
Hebat, kan! Bagaimana Beto boleh menghancurkan hatinya dan dia masih mampu menyayangi Beto walaupun berbekalkan serpihan perasaannya yang masih ada itu. Bodoh sangatkah dia?
Bunyi pintu diketuk, mematikan lamunannya.
“ Chinta! Mama ni. Chinta okay ke? Boleh mama masuk?” Lembut suara mama menyebabkan Chinta tak sampai hati untuk menolak.
“ Masuklah, mama! Chinta tak kunci pintu pun!”
Mama melangkah masuk lalu duduk di atas sofa bertentangan dengan katil. Lama dia memandang Chinta.
“ Masih tak nak makan?”
Chinta geleng kepala. “ Tak ada selera…”
“ So, kiranya… hari ni, ponteng kerja lah?”
Chinta angguk. Dia tersenyum lemah.
“ Beto ada telefon? Atau Chinta ada telefon Beto?”
“ Tak. Beto sibuk kut. Chinta pun tak telefon Beto, nak beri dia masa fikirkan betul ke apa yang dia buat semalam tu. Beto akan balik pada Chinta. Selalupun macam tu.”
Mama geleng kepala. Dia tahu apa yang mama fikir. Memang kata mama, dalam semua anak-anak mama, dia yang paling degil. Dia cinta Beto! Kenapa susah sangat semua orang mahu faham!
“You wanna hear my piece of advice?” Soal mama selepas melepaskan nafas berat.
Hmm… mama sudah mahu masuk jarum.  Aura guru bahasa Inggeris merangkap bekas guru besar sudah keluar. Chinta tahu mama tidak begitu sukakan Beto. Namun dia juga tahu, mama tidak pernah memaksa dia meninggalkan Beto. Dia mengangguk lemah, walaupun dia seperti sudah boleh mengagak apa yang mama mahu khutbahkan nanti.
“ Macam mama selalu cakap, siapapun pilihan Chinta… mama akan terima. Babah pun sama. Kami tak akan tentukan siapa yang patut Chinta pilih. Tapi, lepas dengar cerita Mawar semalam… mama tak sedap hati. Seperti, telahan mama selama ni memang tepat. Maaf mama cakap, tapi mama rasa… Beto bukan seorang lelaki yang bertanggungjawab,” ucap mama sebelum berhenti sebentar…
 “Lepas dengar jawapan Chinta tadi, lagilah mama tak sedap hati. Mama tak mahu anak mama kecewa. Adakalanya perhubungan itu sebenarnya macam sekeping kaca. Kadang-kadang, adalah lebih baik bagi kita untuk biarkan ia pecah berderai daripada melukakan diri dengan cuba mencantumkan ia semula,” ucap mama lalu dia berhenti sekali lagi.
Mama bangun dari atas sofa lalu beredar duduk di atas katil bersebelahan dengan Chinta. Mama raih tangan Chinta lalu menggenggamnya erat. Mama pandang anak mata Chinta. Chinta lihat mata mama berair. Mama mahu bercakap namun suaranya seperti tersekat di kerongkong. Chinta sendiri rasa sebak melihat mama begitu. Dengan suara tertahan-tahan, mama seperti menggagahkan diri bercakap…
“ Chinta tahu mama dan babah sayang Chinta, kan?” Soalan mama itu dibalas dengan anggukan. Dia memang tak pernah sangsikan semua itu.
“ Kerana sayang juga, tak ada ibubapa yang mahu melihat anaknya kecewa. Tak ada ibubapa yang mahu menyerahkan anaknya untuk dikecewakan. Chinta ingat Auntie Mimi dengan Uncle Khir?”
Chinta mengangguk. Mana boleh lupa pasangan yang sama cantik sama padan tu. Sampai umur tua pun masih nampak keindahan ciptaan Allah pada wajah mereka. Itu kawan baik mama dan babah merangkap rakan kongsi suatu ketika dulu. Sejak mereka berpindah balik ke Kelantan, Rumah Auntie Mimi semestinya menjadi rumah persinggahan wajib jika mereka bercuti di sana.
“ Chinta nampak surface hubungan mereka macam bahagia, kan!”
Chinta angguk lagi.
“ Sebenarnya, masa study dulu… mama memang tak pernah berkenan dengan perangai Uncle Khir. Sebab dia kacak, dia memang buaya darat. Semua perempuan dia nak angkut. Tapi Auntie Mimi sabar. Mungkin jodoh dia dengan Auntie Mimi kuat, mereka kawin juga dan kekal sampai sekarang. Tapi, yang Chinta tak tahu dan mama tak pernah beritahu, isteri Uncle Khir bukan hanya Auntie Mimi sorang jer. Dia ada lagi dua isteri, yang paling muda umurnya sama dengan Kak Qaseh. Dah ada dua isteri pun, dia masih pasang kekasih hati.”
Bulat mata Chinta mendengar apa yang mama katakan.
“Tapi… mereka nampak bahagia…”
“ Sebab Auntie Mimi seorang yang sabar. Bukan dia tak pernah menangis dan mengadu dengan mama. Mama pun tak boleh nak kata apa, mereka dah jadi suami isteri, kena terima ajer kekurangan pasangan. Mujur Auntie Mimi tu memang terkenal dengan sifat sabar dia sejak muda. Walaupun makan hati, demi anak-anak… dia bertahan juga.”
Chinta tunduk merenung lantai. Dia tahu apa yang mama cuba mahu sampaikan. Uncle Khir dengan Beto, memang banyak persamaannya. Kedua-duanya kacak dan kaki perempuan.
“ Maksud mama, Beto sama macam Uncle Khir?”
Mama mengangguk. Dia menarik nafas dalam-dalam. “ Chinta sudah dewasa untuk faham apa yang mama cuba nak sampaikan. Tak ada masalah kalau Beto sama macam Uncle Khir. Mama bukan against poligami. Macam Uncle Khir, Beto pun boleh kawin sampai empat. Dia boleh lakukan samada dengan kebenaran Chinta atau senyap-senyap…” mama berhenti sebentar apabila melihat Chinta mula menarik muka masam. Mama ketawa kecil.
Chinta tahu, mama mahu dia melihat isu itu dari perspektif lain. Bukan hanya berdasarkan cinta bulan bintangnya terhadap Beto. Tidak pernah ada dalam kamus hidupnya mahu berkongsi kasih. Lebih-lebih lagi dengan Minah Terlebih Botok semalam. Tentu hidupnya tak akan pernah aman.
“ Macam mama cakap tadi, bukan satu masalah kalau Beto sama macam Uncle Khir. Yang akan jadi masalah ialah, sebab mama kenal anak mama. Mama tahu Chinta tak mungkin jadi sesabar Auntie Mimi. Chinta tak mungkin akan bertahan macam Auntie Mimi. Mama juga tak mahu anak mama lalui apa yang Auntie Mimi lalui. Selama lebih 20 tahun, mama dengar Auntie Mimi mengadu dan menangis. Mama lihat bagaimana Auntie Mimi terseksa menahan rasa. Sudah tentu mama tak mahu perkara yang sama terjadi pada Chinta. Mama mahu Chinta fikir dalam-dalam sebelum terlambat.” Mama berhenti memandang Chinta.
Chinta mengangguk lagi. Dia faham, nasihat itu tanda mama sayangkan dia.
“ Tapi mama, Chinta tak boleh buang rasa tu macam buang baju, buang kasut. Chinta dah sayang Beto lama sangat.” Dia hampir mahu menangis.
“ Mama faham. Mama bukan suruh Chinta terus lupakan Beto begitu. Mama tahu, kalaupun Beto yang minta pisah, anak mama akan sakit dekat sini,” mama bawa tangan ke bahagian dadanya. “ Mama cuma mahu Chinta beri peluang pada hati dan minda Chinta berfikir. Melihat cinta itu bukan hanya pada rupa Beto. Kalau semalam Beto boleh buat tak perduli bila Chinta jatuh… cuba bayangkan kalau lepas dah kawin nanti. Mama tak pandai nak cakap tentang falsafah cinta. Tapi mama pernah baca satu quotes yang bunyinya, ‘find arms that will hold you at your weakest, eyes that will see you at your ugliest, and heart that will love you at your worst. Then you have found your true love’. Dan mama rasa, Beto bukan cinta sejati Chinta. Beto tak ada ketiga-tiga ciri ni. Mama tak pernah nampak keikhlasan Beto!”
Kata-kata mama membuat Chinta menangis. Kebenaran itu memang menyakitkan. Selama ini, dia cuba membohongi dirinya sendiri. Bukan dia tidak nampak kekurangan Beto. Bukan dia tidak sedar. Mungkin mama betul, wajah tampam Beto itu sudah menutup rasional pemikiran yang masih ada dalam dirinya.
Mama sapu airmata yang jatuh di pipi Chinta. Memegang kedua-dua pipi Chinta dengan telapak tangannya. "Dan yang lebih penting, mama tak nampak ciri-ciri seorang Islam yang beriman pada Beto. Mama dengan babah sudah lakukan kesilapan semasa mendidik kamu semua dulu. Mama tak mahu kamu lakukan kesilapan yang sama dengan anak-anak kamu.” Sehabis bercakap mama turunkan tangan yang memegang pipi Chinta.
Chinta mengangguk lagi. Dia mengeluh perlahan. Mama menggosok lembut bahu Chinta apabila mendengar keluhan itu.
"Jangan paksa diri. Cuma, bukalah minda. Bila solat, minta Allah tunjuk yang terbaik. Beri jodoh yang terbaik. Mama hanya beri nasihat kerana mama sayangkan Chinta dan tak mahu anak mama terluka. Selebihnya… keputusan ada di tangan Chinta. I’ve said what needs to be said. So, I rest my case.” Mama bangun lalu menuju ke pintu. Namun dia berhenti sebelum menutup pintu.
“Lepas ni, turun makan. Jangan jadi bodoh! Chinta kat sini tak makan, Beto kat sana… entah keluar makan dengan siapa…”
Chinta tarik muka masam. Namun dia masih mampu menghadiahkan mama segaris senyuman sebelum mama menutup pintu.
Selepas mama keluar, Chinta bangun menuju ke tingkap. Melihat ke luar, ke arah hijaunya deretan pohon kelapa sawit yang melatari pemandangan. Dia menggelengkan kepala memikirkan kata-kata mama yang tidak dapat ditolak kebenarannya. Dia mengeluh. Keliru dengan perasaan yang beraja di hati dan rasional yang mula menjengok di minda.



1 comment:

kak cik said...

wah...pandainyer hang bab-bab cinta dan kasih ni.hehe. kena siapkan citer ni yer jadi novel meletops.

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU