Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, July 3, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - Prolog


PEREMPUAN itu membuka matanya perlahan. Gelap. Di manakah dia berada… dia sendiri tidak pasti. Puas dia cuba mengingati apa yang terjadi sebelum dia tidak sedarkan diri, namun mindanya masih gagal mencerna. Dia cuba untuk bangun, namun gagal kerana yang pasti, dia tidak boleh bergerak ke mana-mana. Tangannya dapat menyentuh dinding di hadapan, di kiri dan juga di kanannya. Ternyata dia dikurung, dan tempat kurungan itu memanjang seperti keranda. Cuma saiznya lebih besar berbanding keranda biasa. Terasa badannya yang masih terbaring itu, beralun ke kiri dan ke kanan. Rasa seperti sedang di bawa menaiki kenderaan. Sesekali badannya dihentak mengikut gerakan kenderaan itu, dan dia yakin… kenderaan itu semestinya bergerak di atas jalan darat.

Kepalanya terasa berdenyut. Tangan dibawa memegang dahi di sebelah kiri. Aduh! Sakit itu terasa menjalar ke serata badan. Dia mengalami luka rupanya. Dia melagakan dan memainkan jari jemari yang baru menyentuh dahinya tadi, ada rasa melekit. Jari-jemari itu kemudiannya di bawa ke arah hidung. Dia cuba menghidu, ada bau hanyir darah yang membuatkan dia rasa ingin termuntah. Dia semakin hairan. Mungkinkah dia sudah hilang ingatan kerana luka itu? Ya Tuhan! Kenapa semua ini terjadi kepadanya. Jiwanya tiba-tiba terasa kosong. Dada menjadi sebak dan perlahan-lahan dia mula menangis tersedu-sedu. Tangisan yang kemudiannya menjadi bertambah kuat.

Tangisan itu mengundang rasa takut yang tiba-tiba mengisi segenap perasaan. Kegelapan itu membuatkan dia merasa lemas, dan nafasnya mula terasa semakin semput. Dia mula meraung dan menendang-nendang dinding tempat kurungannya. Cuba berteriak sekuat hati. Dia menjerit-jerit sehingga terasa pedih di kerongkongan. Tangan dan kaki mula menghentam dinding selaras dengan lontaran suara yang semakin dikuatkan.

Kenderaan diberhentikan tiba-tiba. Impak dari keadaan itu menyebabkan badannya tergolek menghentam dinding, tepat pula mengenai luka yang sedia ada. Terasa darah mula mengalir mengenai telinga. Darah dan airmata yang sudah bercampur itu disekanya. Entah kenapa, ada rasa lega bila mengetahui, kenderaan itu kini dalam kedudukan pegun tidak bergerak. Sekurang-kurangnya usahanya tadi mengundang tindak-balas dari entah sesiapa sahaja yang menjadi pemandunya. Dia menanti dengan sabar, dia pasti… lambat laun, kurungan ini akan dibuka.

Terdengar bunyi pintu di buka, kemudian ada bunyi derap kasut menghampiri. Kotak tempat kurungannya ditarik kasar, dan kemudiannya dilontarkan dari kedudukan yang tinggi ke bawah. Tindakan itu menyebabkan badannya turut menghentam dinding mengikut pergerakan kotak tersebut. Nampaknya, siapa sahaja yang sedang melaksanakannya sekarang tidak akan perduli walau apa pun yang bakal terjadi kepadanya. Dadanya mula berdebar, mindanya mula berfikir… entah apalah nasibnya selepas ini.

“Buka penutup tu! Biar aku ajar betina sekor ni!” Dia terdengar suara garau itu membentak kasar.

Jantungnya mula berdegup kencang, degupan yang mula menghentak kerangka dada. Dia sudah redha, datanglah apa sahaja, kerana dia tahu dia tak akan mampu melakukan apa-apa. Pasrah adalah perkataan yang paling tepat, kerana dia sudah tidak punya apa-apa.

Kedengaran bunyi besi berlaga, diikuti oleh bunyi mangga dan kunci yang saling melengkapi mula diputarkan. Kemudian ada pula bunyi rantai besi dihempas ke atas papan. Dia semakin hairan. Gaya dia dikurung seperti dia seorang pesalah berbahaya, sedangkan dia hanya seorang wanita.

Pintu penutup kurungan dibuka perlahan. Cahaya lampu suluh yang sangat terang menyambutnya. Dia memejamkan mata. Silau. Sekian lama bergelap, dia tak mampu membuka mata. Panahan cahaya itu seperti membutakan matanya. Rambutnya ditarik kasar, dia dipaksa bangun tanpa memperdulikan apa yang dia rasa.

“ Tadi kau kuat sangat buat bising dan menendang di dalam. Sekarang, kau bangun! Perempuan sundal!” Suara kasar itu bergema lagi. Terasa badan yang besar dan tegap itu memegangnya dari belakang. Sakit kulit kepalanya ditarik begitu.

“ Jangan kasar sangat. Kesian dia. Dah lama dia dalam peti tu,” suara seorang lelaki lain mencelah. Lelaki yang seorang ini lebih lembut suaranya.

‘Kau diam! Kau sedar apa tugasan kita? Kalau Boss sudah beri arahan, kau berani nak buat sebaliknya?” Sergahan itu membuatkan lelaki yang seorang lagi diam membisu. Badannya terus ditolak ke tanah, tersungkur menyembah bumi.

Dia membuka matanya perlahan. Lampu yang menyuluh tepat ke mukanya sudah dialihkan. Yang dapat diperhatikan hanya samar-samar cahaya bulan dan dua susuk tubuh sederhana besar dan tegap. Mereka berpakaian serba hitam. Muka mereka kurang jelas, terlindung kerana membelakangkan cahaya bulan.

“ Tolong! Tolong lepaskan aku. Kamu berdua siapa? Apa salah aku pada kamu haa..?” Tiba-tiba, terasa ada keberanian untuk bersuara.

“Hahahaha….” Lelaki bersuara kasar itu ketawa kuat.

Lelaki itu kemudian, menyambar lampu picit dari tangan kawannya. Menyuluh tepat ke arah muka perempuan yang bertanya itu. Dan, kemudian ketawa lagi dengan hilai yang semakin menjengkelkan. Cahaya lampu picit itu kemudian disuluh ke muka sendiri.

“ Kau tak kenal aku? Tak ingat aku?” Lelaki itu bertanya sambil tersenyum menyeringai.

Perempuan itu cuma menggelengkan kepala. Memang dia tidak kenal pada lelaki itu. Fikirannya terasa kosong. Kedua-dua tangan di bawa ke sisi kepala. Ditekupnya telinga, mata turut dipejamkan semula. Terasa suasana sekeliling berpusing tiba-tiba. Dia cuba mengingati, namun tidak berdaya. Neuron yang berselirat di otak, seperti tidak berfungsi apa-apa.

“ Hah! Hei kawan! Kau tengok… kau pukul dia sampai hilang ingatan. Dia tak ingat apa-apa,” lelaki itu ketawa lagi. Menyakitkan telinga. Kawannya yang seorang lagi, hanya bercekak pinggang sambil kepala digelengkan beberapa kali. Seperti menyesali tindakannya sebelum ini.

“ Menyedihkan bukan! Sebab kau memang tak salah apa-apa, cuma, kau hanya berada di tempat yang salah, pada masa yang salah dan melihat sesuatu yang tak sepatutnya kau lihat. Kau faham!”

“ Tolong! Tolong jangan apa-apakan aku. Apapun terjadi sebelum ni, aku dah tak ingat apa-apa.” Perempuan itu merayu lagi, memohon simpati lelaki bersuara bengis itu.

“ Lepaskanlah dia. Aku tak sanggup…” kawannya yang bersuara lembut itu mencelah, namun belum sempat dia menghabiskan ayat, muncung pistol dihalakan ke kepalanya. Ada bunyi klik menyusul. Kawannya itu terkejut, dan terus mendiamkan diri.

Lelaki bengis itu ketawa lagi. Ketawa yang semakin menggila. Mungkin terasa seronok bila hanya dia yang menguasai suasana.

“ Kau nak aku lepaskan dia? Baiklah…” Dia mula menurunkan pistol tadi, muncungnya sudah terhala ke arah bumi tempat berdiri.

“ Aku bagi kau lima minit. Kalau kau mampu lenyap dari pandangan mata aku dalam jangkamasa itu… kau bebas. Kalau tak…” lelaki itu berhenti sebentar, membawa muncung pistol dekat ke kepala perempuan itu, “ penggg!!! Kau mati.” Kata-katanya itu membuat perempuan tadi tersentak.

Perempuan itu terus berkalih memandang sekeliling, hanya ada kawasan lapang. Terasa kerongkong menjadi kering, air liur yang ditelan seperti kesat berpasir. Nampaknya, kemungkinan untuk hidup… semakin tipis.

“ Bangun! “

Perempuan itu bangun dengan perlahan, lutut mula terasa lembik.

“ Sekarang… kau bersedia. Bila aku kata lari! Kau lari… lepas itu nasib engkau di kaki engkau. Dan juga… di tangan aku…” dan lelaki bengis itu ketawa lagi. Kawannya hanya mendiamkan diri.

Dada perempuan itu mula berdebar, namun dia sedar, dia perlu berpantang maut sebelum ajal. Kalau ditakdir matipun, sekurang-kurangnya dia sudah berjuang untuk hidup. Dia berdiri membulatkan hati. Cuba bersedia sebaik mungkin… walau hati tidak keruan.

“ Lari!” Suara lantang lelaki itu membelah kesunyian malam.

Perempuan itu mula berlari, namun belum berapa jauh dia pergi, dia tersungkur jatuh. Persekitaran yang cuma diterangi cahaya bulan yang malas, membataskan pergerakannya. Dia bangun semula, dan telinganya menangkap bunyi tawa dari arah belakang. Ahh! Persetankan.

Dia mula melangkah, namun baru selangkah bergerak, bunyi tembakan dilepaskan menangkap gegendang telinga. Detik itu juga, ada rasa sakit tertanam di kepala. Dia meraba tempat tumpuan rasa sakit yang kini menjalar. Basah. Matanya membulat setelah tersedar apa yang telah terjadi.

Seluruh anggota tiba-tiba seperti lumpuh, tidak mampu mengatur langkah lagi. Dan, dia kemudiannya rebah….menyembah bumi.

3 comments:

Bekazon said...

agak menarik untuk membaca..

Packy Sidique said...

Soul JS, trima kasih. Saya budak baru belajar...

Bekazon said...

teruskann... saya harap awak dapat keluarkan produk yang bermutu tinngi...^_^

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU