
NURDEENA HANANI Muhammad Hisyam, itu nama dalam kad pengenalan. Dalam kalangan kawan-kawan,
semua orang panggil dia Deena. Gadis manis berperawakan kecil molek itu
mempunyai ketinggian tak sampai lima kaki. Dia selalu merasakan dirinya serba
kekurangan disebabkan faktor itu.
Kata kawan-kawan, dia adalah Vanida Imran versi Sheila Majid. Apabila ada
yang berkata begitu, kira kembang jugalah hatinya. Namun Deena cepat sedar. Dia
tahu… sipi-sipi Vanida Imran pun dia tak mungkin serupa. Malah kata Eton kawan
baiknya… belakang badan Vanida Imran pun dia tak ada. Ada ke patut! Si Eton
memang begitu, nak kutuk orang… asal sedap mulut saja. Namun dia tidak pernah
ambil hati. Dia tahu Eton memang suka bergurau kasar. Yang dia pasti, kata
ayah… dia merupakan ‘salin dan tampal’ wajah emak sewaktu muda dahulu.
Deena mendongak ke langit. Panas sungguh cuaca bandar raya Kuala Lumpur
hari ini. Panas yang membahang hasil daripada kesan pemanasan global di seluruh
dunia. Hmm... apa lagi yang mampu
dikatakan. Semua inikan hasil daripada kerja tangan manusia merosakkan bumi
yang didiami sendiri. Apabila sifat tamak dan nafsu menjadi raja, faktor lain
sudah tak diambil kira. Maka habislah digondol segala hutan belantara dan
bukit-bukau menjadi rata. Sudah semakin berkuranganlah kehijauan yang
menyumbang kepada kestabilan cuaca.
Lebih meletihkan minda… apabila cuaca panas begini, turut diiringi oleh
hiruk-pikuk kenderaan yang bertali arus. Jika tak disebabkan keperluan mencari
sesuatu di sini... rasanya, dia memang tak berminat hendak keluar ke KL. Dalam
setahun, boleh dikira dengan jari berapa kali saja dia keluar membeli-belah ke
KL. Tak suka dan... merimaskan! Malah, tak mendamaikan langsung!
Sambil menjinjing beg plastik, dia berjalan menghala ke Kompleks
Pertama. Riak wajahnya masam mencuka. Sebal betul dengan suasana sekeliling.
Apalagi apabila sedari tadi, terpaksa membuntuti dua orang gadis bergaya moden.
Mereka berjalan teramat lambat sambil bergelak
ketawa yang bunyinya sedikit gatal...
membuatkan hatinya merasa getik.
Sejak tadi, Deena memerhatikan pakaian mereka. Baju sendat yang tergantung
hingga menampakkan pusat. Berseluar jean
ketat yang pinggangnya seperti hampir terlondeh. Seperti tak berpakaian pula
layaknya. Hmm… pemandangan begitu
sememangnya sudah lumrah pada zaman kini. Apabila melihatkan cara mereka
berpakaian… memang menakutkan. Seksi nak mampus! Rambut mereka pula diwarnakan
perang, sedangkan kulit sawo matang. Tak kena langsung! Dia mengomel-ngomel di
dalam hati.
Teringat pada nasihat Tok Wan sewaktu Deena masih belasan tahun dulu. Waktu
itu, dia mahu mengikut penampilan kawan-kawan. Walaupun bertudung, dia mahu
mewarnakan rambutnya. Kononnya mahu mengikut perkembangan semasa. Apalagi,
memang sesaklah telinga menerima leteran daripada Tok Wan. Kata Tok Wan, Allah
sudah ciptakan kita orang Melayu ini, sesuai sangat warna rambut dengan warna
kulit. Pandai-pandai pula mahu mengubah. Mahu jadi lebih kreatif daripada Sang
Maha Pencipta agaknya.
Walaupun Tok Wan tidak suka, Tok Wan selalu berpesan pada Deena, kalau
melihat perkara begitu, jangan kutuk dan jangan cerca. Tugas kita bukan untuk
‘menerakakan’ orang, tetapi mengajak manusia ke jalan kebaikan. Doakanlah
mereka berubah. Semoga suatu hari nanti, mereka itu akan tersedar. Siapa tahu
mereka boleh jadi Muslim yang lebih baik. Entah-entah lebih baik daripada orang
yang mengutuk itu. Mengingatkan semua itu, Deena beristighfar beberapa kali.
Tiba-tiba, terkenang pula pada Tok Wan dan Tok Yam di kampung. Itu tempat
dia dilahirkan dan dibesarkan. Rasa rindu serindu-rindunya pada kedamaian rumah
Tok Wan yang dikelilingi sawah bendang dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.
Apabila cuaca cerah begini, ia akan bertambah cantik dengan berlatarbelakangkan
langit membiru serta dihiasi awan yang putih bersih. Bilalah agaknya dapat
balik ke kampung lagi. Rasanya sudah tiga bulan tidak menjenguk ke sana. Tok
Yam dan Tok Wan pun tentu sedang rindu pada dia.
Lamunan Deena bersepai apabila dikejutkan oleh alunan lagu Ruang Rindu daripada telefon bimbitnya.
Kalut dia mencari telefon yang tersembunyi di dalam beg sandang yang besar dan
sarat dengan barangan itu. Dia menarik nafas lega apabila menemui telefon yang
terselit di dalam salah satu poket beg. Tertera perkataan ‘Mak’ di skrin
telefon. Dia lantas menekan butang berwarna hijau untuk menjawab panggilan.
Selepas berbalas salam dan bertanya lokasi, emak mengarahkan Deena pulang
segera. Bunyinya macam penting sangat… dan tanpa banyak kerenah, dia mengiakan
sahaja.
Sambil memasukkan telefon ke dalam beg sandang merah yang dibelinya di
Pacific Hypermarket sewaktu pulang ke kampung tiga bulan yang lalu, Deena
menapak ke arah tangga Kompleks Pertama. Di dalam kepalanya tertanya-tanya,
semestinya ada berita penting yang ingin emak sampaikan….
Terkocoh-kocoh Deena menaiki tangga sambil menundukkan kepalanya untuk
mencari kunci di dalam beg sandang. Tiba-tiba, salah satu beg kertas yang dipegang terlepas daripada genggaman. Dia cuba untuk
menyambar beg tersebut. Namun terus hilang imbangan dan hampir melayah ke
belakang. Mujur tak jadi buah nangka luruh… kerana ada tangan sasa seseorang
yang menyambutnya dari belakang. Sebiji macam adegan yang ada dalam drama dan
filem.
Aduh malunya! Orang yang menyambutnya sendiri pun seperti dalam keadaan
tidak seimbang. Tanpa disengajakan, orang itu terpeluk Deena dari belakang. Dia
kemudiannya terus cuba mendudukkan Deena di atas salah satu anak tangga. Untuk
menyembunyikan rasa malu, Deena pura-pura mengurut buku lalinya yang terasa
sakit.
“Cik duduk dulu… cik okey ke? Kaki cik nampak macam terseliuh?” Terdengar
suara seorang lelaki dari belakangnya. Lelaki itu, menuruni tangga dan mengutip
beg-beg yang bertaburan. Dia akhirnya berdiri di hadapan Deena dan meletakkan
kesemua barangan yang dikutip di sebelah Deena.
Menyedari yang dia masih belum menjawab soalan tadi, Deena akhirnya dengan
perlahan menjawab, “Tak apa… tak apa.
Saya okey! Saya rasa tak ada yang serius kut. Terima kasih.”
Mukanya sudah berubah menjadi merah padam. Seumur hidupnya, tak pernah dia
dipeluk lelaki. Entah lelaki manalah yang kena loteri hari ini. Namun dia tahu…
itu bukanlah disengajakan. Digagahkan hati mengawal rasa malu. Mengangkat
mukanya lalu memandang wajah orang yang sudah menyelamatkannya tadi.
Huh! Tiba-tiba… Deena rasa seperti filem Hindustan yang babaknya hero
bertemu heroin. Muka hero berpusing-pusing mengelilinginya. Dan dunia keliling
seperti berhenti berputar. Mak datuk, kacaknya dia! Tinggi, tegap dan yang
penting ada ciri-ciri Chinese look.
Ada juga iras-iras pelakon Rashidi Ishak. Badannya tinggi dan tegap… macam
Salman Khan. Rambutnya kemas, macam potongan
askar. Ada pakej lelaki idaman Malaya yang lengkap. Sama seperti
yang selalu dibayangkan dan diimpikan olehnya selama ini.
Orang itu pula, tengok Deena macam nampak hantu. Seperti melihat kekasih
lamanya yang sudah berpuluh tahun tak bertemu. Mulutnya pula separuh
ternganga... mungkin ingin menyebut nama seseorang yang dia kenal.
“Nina?” Akhirnya terpacul perkataan itu dari mulut Mamat Handsome itu. Aduhai! Sudahlah kacak, suaranya pula serak-serak basah. Ada
geseran, sampai terasa getarnya hingga ke dalam hati Deena. Jantung Deena pula,
tiba-tiba terus saja gatal nak bekerja kuat. Laju macam baru lepas berlari
seratus meter berpagar. Kerja lebih masa!
“Bukan Nina, saya Deena.” Lantas dia bangun sambil membetulkan pakaiannya.
Entah kenapa, tiba-tiba, ada rasa peka tentang penampilan diri. Rasanya, seumur
hidup dia tak pernah berjumpa makhluk kacak
macam makhluk yang di depan matanya ini.
Kalaulah pernah terjumpa, semestinya dia sudah jatuh cinta lama dulu. Ini
tidak, selama bersekolah pun, sekolahnya hanya untuk pelajar perempuan sahaja.
Makanya, kalau tengok ke kiri… nampak perempuan. Pandang ke kanan pun… asyik nampak perempuan. Kalau ada
lelaki pun, cuma cikgu-cikgu, pembantu makmal dan tukang kebun. Cikgu lelaki
pula, yang ada… hanya yang lembut macam Cikgu Sazali, yang botak dan buncit
macam Cikgu Zul Yahya atau yang kurus dan terlebih umur macam Cikgu Mat
Panjang.
Di kolej pula, memanglah ramai pelajar lelaki. Namun, tak ada sorang pun
yang berjaya mencuri hatinya. Lagipun, Deena takut mahu bermain dengan hati dan
perasaan. Nanti tak fasal-fasal jadi Minah Jiwang yang setiap kali balik dating, akan kembali memutarkan video
pertemuan di dalam mindanya. Macam perangai teman sebilik Si Bella tu, sampai
tersengih-sengih di atas katil. Sudahnya, pelajaran ke mana, cinta pula ke
mana.
Apabila Deena sudah berdiri dan memandang ke arah Mamat Handsome itu. Dia dapat melihat muka mamat
itu… tiba-tiba berubah rona. Dari teruja macam nampak hantu, bertukar pula ke
riak kecewa. Hairan! Kenapa pula?
“Maaf, saya tersilap orang. Harap cik tak apa-apa. Maaf juga tentang
insiden yang tadi tu, tindakan yang tak disengajakan…” ujar Mamat Handsome itu
lagi. Cair lagi hati Deena apabila mendengar suaranya. Matanya masih tidak
lepas memandang wajah tampan itu. Hati tiba-tiba jadi terlalu gatal sungguh!
Ingatlah wahai Deena, pandangan kedua adalah renungan syaitan!
Tiba-tiba menjerit lagi lagu Ruang
Rindu. Isy! Siapa pulalah yang telefon
masa adegan baik macam ini. Potong betullah!
Kalut dia mencari telefonnya di dalam beg. Apabila dia mengangkat kepala, mamat tadi sudah hilang
daripada pandangan. Puas dijengah ke sana ke mari... namun kelibatnya sudah tak
kelihatan di mana-mana.
Kecewa!
Di mana lagilah akan berjumpa
‘pemandangan indah’ macam tadi. Jantungnya tiba-tiba berubah jadi malas,
hinggakan dia seperti tak bermaya mahu melangkah.
Matanya memandang skrin telefon, tertera nama Eton. Siaplah budak Eton
nanti. Tiba-tiba, pandai pula Si Eton menjadi penyumbang kepada insiden
terlepas peluang tadi. Aduhai hati! Nasib kaulah. Sudahlah payah hati hendak
tersangkut. Apabila sudah tersangkut, begini pula jadinya. Seperti memandang
awan yang cantik di langit... terpaksa
biarkan dia berlalu pergi. Sedih sungguh!
PON… PON… PON...
Deena membunyikan hon kereta kelisanya sebaik memasuki halaman rumah.
Kereta kecil itu ayah Deena, Encik Hisyam yang belikan untuk memudahkan proses
Deena berulang-alik ke kuliah. Emak Deena, Puan Nora yang sedang menyiram pokok
bunga di laman rumah, kelihatan sedikit terperanjat. Dia berhenti menyiram lalu
mengurut dada, kemudian berjalan ke arah paip air. Diputarnya kepala paip
hingga aliran air terhenti.
Sambil tersenyum simpul, Deena berjalan dalam keadaan sedikit terhincut
mendapatkan emaknya. Dia bersalam dan mencium kedua-dua pipi, kiri dan kanan.
Ketika itu juga dia merasakan telinganya dipiat lembut. Deena terus menjerit
walaupun sebenarnya, tidaklah sesakit mana pun. Dia sekadar bertindak balas terhadap
gurauan emaknya.
“Adoi mak! Sakitnya!” Senget kepala Deena ditarik begitu. Deena faham,
emaknya memang suka memiat telinga anak-anak jika ada yang melakukan kesalahan.
Sekadar piat manja tanpa memudaratkan.
“Lain kali jangan bagi mak terkejut macam tu. Kalau mak
ada heart
problem... mau masuk
hospital! Kamu suka ke?” Terbuntang
Puan Nora menjegilkan matanya.
Deena tersengih lagi sambil menggaru-garu kepala.
“Yang jalan macam tu, kenapa?” Puan Nora memandang Deena sambil bercekak
pinggang. Namun akhirnya dia tersenyum juga. Kalah dengan perangai ceria anak
daranya yang seorang itu.
“Mak... janganlah cakap macam tu, Deena kan
sayang kat mak!” balas Deena. Dia terus memeluk emaknya. “Kaki Deena ni, sakit
sikit. Terjatuh lepas mak telefon tadi. Terkehel sikit rasanya. Tapi masih
boleh jalan, okey le kut.”
Encik Hisyam yang sedang menghadap makanan petang di kerusi taman, asyik
tersenyum memerhatikan mereka berdua. Namun perlahan-lahan pandangannya
seolah-olah terarah ke ruang kosong. Tak pasti ke mana tumpuannya. Entah apa
yang Encik Hisyam fikirkan sambil masih tersenyum begitu. Deena dan Puan Nora
berpandangan… Encik Hisyam tidak sedar langsung yang isteri dan anaknya semakin
menghampiri.
“Yang abang tersenyum sorang-sorang
ni kenapa... ada teringat perempuan mana pulak ni?” Puan Nora bergurau, sekadar menduga.
“Teringat perempuan cantik yang saya jumpa dua puluh dua tahun dulu, yang
hampir diganggu kutu jalan akibat tertinggal bas,” jawab Encik Hisyam sambil
tersenyum memandang emak. Tangannya pula sibuk mengibas seekor lalat yang
tiba-tiba muncul. Agaknya lalat tu tercium bau manis bengkang tumis yang emak
buat. Bengkang tumis itu dipanggil Qasidah di negeri kelahiran emak.
Deena menelan air liur sebaik melihat hidangan yang emaknya sediakan. Namun
dia terus menutup mulut menahan ketawanya apabila mendengar apa yang ayahnya
katakan. Dia sedia maklum bagaimana ayah dan emaknya bertemu sewaktu muda
dahulu. Cerita yang selalu diulang-siar jika mahu mengusik emaknya.
“Mulalah tu! Malulah sikit dengan anak-anak. Asyik ulang cerita lama yang
dah basi tu.” Puan Nora meningkah.
“Ehh! Tadi awak juga yang tanya perempuan mana yang saya ingat. Saya memang
tak pernah ingat perempuan lain, perempuan tu sajalah yang ada dalam hati
saya.” Sambil tersenyum, Encik Hisyam mengenyit mata kepada Deena.
Amar yang baru menyertai mereka, melabuhkan punggungnya di kerusi yang
bertentangan dengan Deena. Amar pandang muka Encik Hisyam yang masih tersenyum
menjeling ke arah Puan Nora. Geli hati pula Deena apabila melihatkan muka Amar yang
kehairanan sambil mengangkat dagu kepadanya. Deena hanya ketawa tanpa berkata
apa-apa.
“Am I
missing something? Kenapa semua orang senyum semacam ni? Ayah
kenakan mak lagilah ni….” Matanya
memandang Deena memohon jawapan.
“Alah Angah, biasalah… cerita dua puluh dua tahun lepas yang ayah suka
korek tu….” Jawapan Deena disambut dengan ketawa oleh Amar. Amar tersengih lagi
dan menampakkan lesung pipit yang terbenam.
Walaupun baru 17 tahun, adik Deena ni… besar dan tegap. Olahragawan
sekolahlah katakan. Peminatnya pula keliling pinggang. Hmm… sebenarnya, bukan sahaja keliling pinggang, tapi seantero
Malaysia. Amar kerap mengikut ibu bapa Deena berpindah ke serata negeri. Pendek
kata ‘sudah pusing satu Malaya’. Maka koleksi peminatnya pun, kira seluruh
Malaysialah juga. Berbeza dengan Deena, Amar lebih mirip rupa ayahnya dan
seorang yang sangat serius. Kiranya, ada ciri lelaki misteri idaman Malaya.
“Ayah tak kerja ke hari ni? Pagi tadi… Deena tak nampak ayah pun?” soal
Deena mengubah topik. Takut pula dimarahi jika masih terus-terusan mengusik
emaknya dengan cerita lama.
“Kerja... tapi ayah kerja half day sebab nak sampaikan berita gembira pada kamu semua.”
Encik Hisyam memandang isterinya sambil tersenyum. Puan Nora membalas senyuman
suaminya, tangannya ligat memotong kuih Qasidah dan memasukkan ke dalam piring
kecil.
“Alamak! Lain macam je... kenapa ni mak?” Amar bertanya.
“Sebenarnya ayah baru dapat surat pertukaran pagi tadi. Jadi, kita cuma ada
sebulan untuk bersiap-siap pindah ke tempat baharu.” Tenang sahaja ayah Deena
berkata sambil memandang wajah anak-anaknya bergilir-gilir. Pekerjaan ayahnya
sebagai seorang pegawai tinggi kastam memang menuntut mereka supaya selalu
bersedia jika diarahkan untuk berpindah.
“Hmm... ke mana pula kali ni,
ayah?” Deena bertanya.
Deena sedikit terkilan dengan berita yang baru diterima. Ini kerana selama
ini Deena merasa selesa berulang dari rumahnya ke universiti setiap hari. Kalau
keluarganya berpindah, sudah tentu dia terpaksa menghuni asrama atau menyewa.
“Ke Pulau Pinang... kampung mak
kamu.” Ayah sengaja menjawab lambat-lambat.
Amar membulatkan mata, manakala Deena terus melompat mengelilingi kerusi
taman. Kemudian memeluk emaknya dengan erat. Tiada tempat yang Deena lebih suka
selain tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Maka tak kisahlah kalau dia
terpaksa menyewa atau menghuni di hostel nanti.
Ayah hanya tersenyum sambil menjeling ke arah emak. Mungkin sudah dapat
mengagak penerimaan semua orang sewaktu mendapat berita pertukaran itu pagi
tadi.
BILIK DEENA dicat dengan warna hijau epal. Warna yang dia pilih sendiri sewaktu
ayahnya ingin mengecat semula seluruh rumah. Hijau itu kan warna syurga. Hijau
juga warna alam ciptaan Allah dan hijau juga mendamaikan jiwa. Tetapi, dia cuma
menyukai warna hijau lembut dan warna hijau epal. Hijau yang lain… maaflah, dia
tak berapa berkenan.
Deena membetulkan kemeja petak yang dipakainya, kemudian menyarung ‘tudung
ekspres’ ke kepala. Kalau kawan-kawan lain sibuk membelit selendang dengan
pelbagai gaya, dia pula lebih suka gaya yang sederhana. Janji dia selesa!
Jarum jam yang sedang merangkak ke pukul dua belas setengah tengah hari
direnungnya. Hari ini ada kuliah pukul dua petang. Niat di hati mahu ke kolej
lebih awal. Tak sabar rasanya mahu bercerita tentang insiden semalam pada
kawan-kawan. Sebentar tadi, dia dah dapatkan persetujuan mereka untuk adakan
mesyuarat tergempar.
Wajah tampan Si Mamat Handsome
semalam tiba-tiba menerpa di ruang mata. Telinga Deena pula, masih terdengar
suara serak-serak basah yang menggetarkan jiwa. Dia tersenyum. Gila! Semuanya
bagai pita video yang diulang tayang, entah untuk kali yang ke berapa. Lebih
baik bergerak sekarang daripada melayan rasa hati yang entah apa-apa ni.
Sebaik sampai di hadapan dewan kuliah, Eton dan Bella sudah sedia menanti.
Eton seperti biasa, sentiasa dengan kod etika berpakaiannya. Berkurung kapas
warna biru segar dan bertudung biru lembut. Bella pula selesa mengenakan jean
dan kemeja labuh hingga paras lutut. Tudungnya dibelit mengikut fesyen semasa.
Kedua-duanya tersengih sambil berbisik sesama sendiri.
“Assalamualaikum!” Ucap Deena. “Dah lama sampai? Apasal senyum-senyum? Mengumpat aku ye?”
“Wa’alaikumsalam! Baru je. Memang
tengah mengumpat pun. Gelakkan jalan kau yang macam minah rock tu. Bila le
nak berubah?” Balas Bella sambil menggeleng kepala perlahan.
“Cubalah langkah pelan-pelan sikit!” Celah Si Eton tersengih di belakang.
“Dah memang macam tu cara aku jalan, nak ubah macam mana?” Balas Deena,
melabuhkan punggung di sebelah Bella. Bella ni, memang tak habis-habis kritik
cara Deena berjalan. Fail yang dibawa hendak diketuk ke kepala Bella. Bella
buat aksi pangkah Ultraman untuk mengelak.
Ketawa mereka terburai.
“Ada apa teruja sangat nak jumpa
kami? Kata ada baeekkk punya story….” Eton pula mencelah.
“Itulah, excited sangat ni. Aku
ada dua berita sebenarnya….”
“Cakap satu, satu. Kita ada banyak masa lagi sebelum kelas mula.” Eton
bangun lalu duduk di kerusi yang bertentangan.
“Famili aku kena pindah!”
“Pindah?” Kedua-dua sahabatnya terbeliak. Deena mengangguk lantas menceritakan
lokasi perpindahan mereka.
“Balik kampung mak hang? Maaakaaiihhh!
Toooodia, jauhnya! Hah! Kan cek dah
cakap Penang….” Bella mengajuk loghat
Pulau Pinang sambil tersengih.
Deena bangun bercekak pinggang. “Tu bukan cakap Penang. Tu… bunyi macam cakap siam!”
Ketawa mereka terburai lagi.
“Okeylah tu, balik kampung. Cuma susahlah kita nak jumpa masa cuti nanti.
Tak boleh nak lepak-lepak macam selalu.” Eton mencelah. Kernyihnya masih belum
habis dek aksi Bella mengajuk loghat Pulau Pinang.
“Itu yang aku fikirkan pun. Tapi, aku suka… sebab balik dekat rumah Tok
Wan. Kau orang pun tau aku besar kat sana.” Senyuman tidak lekang daripada
bibirnya. Kedua-dua kawannya turut mengangguk.
“Hmm… yang tu aku faham dari dulu
lagi. Kau kan cucu Tok Wan!” Eton mengangkat keningnya. “Eh! Story yang lagi satu tu, apa kes
sebenarnya?”
“Yang satu ni, kau orang kena janji. Jangan gelakkan aku tau!”
Bella dan Eton mengangguk. Seperti berpakat, kedua-duanya mengangkat tangan
kanan gaya orang bersumpah. Bersungguh betul mereka.
“Ni yang saspens ni….” Mata Bella membulat. Dia memandang tepat ke arah
Deena tanpa berkelip.
“Tau tak? Semalam, aku rasa… aku jatuh cinta pandang pertama la.” Memanglah
kalau ikutkan hati, malu nak mengaku sukakan seseorang begitu cepat. Tapi
dengan Bella dan Eton, dia tak kisah sangat. Mereka banyak berkongsi rahsia.
Suasana senyap.
Deena menanti respons daripada mereka. Namun kedua-duanya masih dalam
posisi tadi. Cuma dua pasang mata itu kini terbeliak memandangnya. Beberapa
saat kemudian, mereka berkalih memandang antara satu sama lain sebelum ketawa
mereka tiba-tiba meledak dengan kuat. Masing-masing menekan perut.
“Ni yang aku malas nak share ni!
Gelakkan aku sampai macam tu sekali. Lucu sangat ke kalau aku jatuh cinta?”
Deena buat muka cemberut.
Dia sedar selama ini pun, dia memang tak pernah ambil pusing nak bercinta
macam orang lain. Memang tak ada lelaki yang pernah buatkan jantungnya berdegup
kencang macam semalam. Tapi itu tak bermakna dia tak ada perasaan!
Ketawa Bella dan Eton terhenti. Masing-masing berdeham dan kembali serius.
“Ala… janganlah marah!” Pujuk Bella, masih tersengih-sengih. “Aku susah nak
hadam kalau kau cakap fasal cinta. Dekat tiga tahun kenal kau… ni pertama kali
tau!”
“Same here!” Eton angkat tangan
separuh dari belakang. “By the way,
siapa lelaki yang malang tu? Kau jumpa dia kat mana?” soal Eton masih mengulum
senyum. Dia memandang Deena sambil mengangkat kening beberapa kali.
“Semalam… aku buat adegan Kuch Kuch
Hota Hai dekat Kompleks Pertama. Masa tu, memang macam scene filem Hindustan….” Macam bertih, dia mula bercerita tentang
peristiwa semalam.
“Jumpa macam tu aja? Tak minta contact
number ke? Habis tu… macam mana kau nak cari dia?” tanya Bella.
“Sebab tu hari ni, aku rasa macam nak kuntau Si Eton ni. Fasal dialah,
Mamat Handsome yang jadi Superman tu
tiba-tiba hilang macam biskut Chipsmore.” Deena bangun membuat aksi kuntau di
kepala Eton. Eton tersengih, sambil angkat tangan memohon ampun.
“Habis tu, tak ada maknalah cinta pandang pertama kau. Nama dia kau tak tahu.
Nak contact dia pun tak tahu… macam dead end,” celah Bella menyedarkan
Deena.
“Tulah fasal… tapi aku ada strong
feeling kat sini.” Dia membawa tangan ke dada sambil merenung
kawan-kawanya. “Takdir aku dan dia sangat kuat,” ucap Deena dengan penuh drama.
Namun selepas itu, dia melepaskan nafas berat.
Entahlah! Dia sendiri tak tahu kenapa dia berfikiran begitu.
No comments:
Post a Comment