Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Tuesday, July 26, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - Bab 2


SUASANA di dalam dewan kuliah mula bising apabila pelajar-pelajar bersedia mengambil tempat duduk. Nini dan Aisyah memilih barisan ketiga, tidak terlalu di depan dan tidak juga tersangat jauh ke belakang. Selamat sedikit dari disoal oleh pensyarah nanti. Hanya ada lagi lima minit sebelum kelas bermula.

Mereka mengambil tempat sebelah menyebelah, dan Nini perasan yang Aisyah asyik memandang ke arahnya. Mungkin dia ingin bertanya sesuatu, sesuatu yang sudah dapat Nini agak.

“ Nini, kau ke mana semalam? Pukul 2 pagi baru balik…” soal Aisyah.

“ Keluar dengan Rasyid.” Nini menjawab sambil memasamkan muka.

Perkara yang paling dia tidak suka, bila Aisyah menyibuk tentang hal peribadinya. Setiap kali Aisyah buat kepoh begitu, memang terasa nak pelangkung kepalanya, biar biul terus.

“ Tak baik kau keluar dengan lelaki sampai larut malam. Assignment kau siap tak lagi?”

“ Belum. Nanti pandai-pandailah aku jawab dengan Dr. Ariff. Kau jangan sibuk boleh tak.”

“ Kau ni…aku mengingatkan aja. Tu pun kau nak marah.”

Nini buat muka jelak. Malas hendak melayan Aisyah. Mentang-mentang mereka tinggal sebilik, Aisyah nak berlagak macam Mak Nenek pula. Merimaskan betul lah. Hidup dia, ikut suka dia lah. Kalau nak tungging terbalik pun, dia sendiri yang nak menanggung. Selama ini, susah senang dia, dia sendiri yang menelan. Nini sudah berjanji dengan diri sendiri, dia tidak mahu lagi mengharap ihsan dan pertolongan orang seperti dulu.

“ Kau memang macam tu, asal aku tegur… kau tarik muka empat belas.”

“ Tahu tak per.” Jawab Nini sambil membetulkan tudung kepalanya.

Aisyah menggeleng kepalanya. Dia menarik nafas sambil menjatuhkan bahu, tanda sudah mengalah dengan sikap acuh tak acuh Nini.

Nini mencebik bibir. Rasa puas di dalam hati dapat mematahkan soal siasat Aisyah yang mengalahkan Polis Siasatan Jenayah. Namun, ada rasa tidak enak bertandang di hati yang cuba disembunyikan. Walaupun Nini pura-pura tidak peduli, tetapi dia sedar, setiap patah perkara yang Aisyah bangkitkan ada kebenarannya. Dan, dia tahu Aisyah menegur untuk kebaikannya. Suatu waktu dahulu, dia juga pernah menjadi seperti Aisyah. Menjadi penasihat tak bertauliah kepada kawan-kawannya. Itu kenangan manis ketika di zaman persekolahan. Kenangan yang tidak bisa diulang semula, kerana kini… scenarionya sudah berbeza.

Mengingatkan zaman sekolah membuatkan dadanya rasa sesak. Ada rindu datang bertamu. Dan, kebelakangan ini semakin kuat. Nini mencongak-congak. Hmm… kalau ikut betul perhitungannya, Dira sekarang sudah tamat pengajian. Sudah tentu Dira sudah pulang ke tanah air. Dan, kemungkinan untuk Dira mencarinya semula, sangat besar.

Suasana bising yang tiba-tiba bertukar senyap mengejutkan Nini dari lamunan. Kelibat Dr Ariff yang kacak, kelihatan sedang berjalan memasuki dewan. Walaupun sudah menjangkau usia lewat empat puluhan, Dr Ariff kelihatan masih tegap. Apalagi bila susuk tubuh yang tegap itu, dilengkapi dengan wajah iras ‘Mat Saleh’ dan kulit putih kemerahan. Boleh dikatakan, Dr Ariff memang menjadi kegilaan pelajar perempuan, termasuklah Nini. Namun bila mengetahui Dr. Ariff sudah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak yang sudah besar panjang, Nini angkat tangan mengalah. Lagipun, miang keladi yang ditunjukkan selama ini membuatkan Nini seram sejuk.

“ Assalamu’alaikum! Selamat Pagi Kelas!” Sapaan itu disambut oleh riuh rendah suara pelajar yang menjawabnya mengikut sedap mulut masing-masing.

Dr. Ariff meletakkan tangannya di permukaan meja, matanya meliar merenung pelajar yang kini sedang berada di depannya. Pandangan itu akhirnya berhenti bila dia menemui wajah Nini di antara ramai-ramai pelajar. Habit yang selalu berulang setiap kali kelas bermula. Nini menundukkan mukanya. Ada suara bisikan berdengung perlahan, suara para pelajar yang membuat ulasan selari, bergossip perlahan setiap kali Dr Ariff bertindak begitu. Semua orang sudah sedia maklum, Nini memang pelajar kegemaran Dr Ariff.

“ Date line untuk assignment saya tamat semalam. Namun ada lagi yang masih belum menghantar…” belum sempat Dr Ariff menghabiskan ayatnya, suara-suara berdengung seperti lebah kembali kedengaran. Kepala pelajarnya mendongak ke kiri dan ke kanan.

Dada Nini berdebar tiba-tiba, bila mengangkat muka memandang ke depan. Matanya bertembung dengan pandangan tajam Dr Ariff. Terasa darahnya berhenti mengalir. Mungkinkah hanya dia seorang yang gagal memenuhi tempoh tamat penghantaran…

“ Nurul Arianni!”

Sergahan kuat nama penuh Nini menyebabkan dia terkejut hingga menjatuhkan pen yang sedang dipegang.

“ Awak satu-satunya pelajar yang belum menghantar assignment. Tolong jumpa saya lepas kelas, pukul 2 petang, di bilik saya.” Arahan itu kedengaran tegas. Namun disambut dengan bunyi dengungan komen-komen yang dibuat para pelajar. Mungkin ada yang menganggap, arahan itu mengandungi agenda tersendiri.

“ Diam! Siapa yang nak bercakap sangat tu, sila ke depan.” Sergah Dr Ariff.

Dewan tiba-tiba menjadi senyap. Hinggakan kalau terjatuh sebatang pen pun, mungkin boleh didengar. Dr Ariff memandang ke kiri dan ke kanan, kononnya seperti mencari jika ada pelajar yang mahu menawarkan diri. Pandangan itu akhirnya jatuh ke muka Nini sekali lagi.

“ Nurul Arianni. Awak ada masalah dengan tetapan masa saya?”

“Tidak. Saya akan hadir.” Nini menjawab perlahan.

Hmm…entah apalah olah gatal yang akan menyusul nanti. Nini sudah maklum dengan karenah Dr Ariff yang sejak dahulu, cuba menggodanya. Namun selalunya, dia mampu menepis. Tetapi waktu itu dia tidak memerlukan ihsan dari Dr. Ariff seperti sekarang. Matilah dia kali ini. Kertas kerja itu bakal menyumbangkan enam puluh peratus markah bagi kertas pengajian Business Management ini nanti.

“ Baik kelas, kita mula kuliah sekarang. Hari ini kita ke tajuk Retail and Small Business Management. Tajuk ini akan memperlengkapkan kamu dengan solid retail basis…”

Kata-kata Dr Ariff itu perlahan-lahan hilang dari pendengaran. Nini sudah tidak mampu menumpukan perhatian. Mindanya sedang bekerja mencari alasan dan memikirkan cara yang tepat untuk menangani pertemuan dengan Dr Ariff nanti.

*****

“ Kenapa masam?” Soal Rasyid sebaik Nini menghampirinya. Matanya tertanam merenung Nini.

Nini tidak menjawab. Beg sandang diletakkan di atas meja. Dia melangkah ke mesin minuman ringan, memasukkan beberapa keping siling dan menekan butang yang menunjukkan lambang Pepsi. Gedegang! Kedengaran bunyi air tin jatuh melalui laluannya. Nini mencapai tin Pepsi itu, lalu terus membuka penutupnya. Dia meneguk minuman itu sambil berdiri sebelum berjalan mendapatkan Rasyid.

Sambil melabuhkan punggongnya bersebelahan dengan Rasyid, Nini mengeluh. Muka masih kekal dimasamkan. Mengalah perempuan dimadukan dek suami.

Rasyid mencebik bibir. Matanya masih tidak lepas memandang wajah Nini.

“ Macam mana petang nanti, jadi ke nak shopping baju glamour?”

Nini menggelengkan kepalanya. Dia yang tengah berserabut, jadi semakin berserabut dengan kehadiran Rasyid.

“ Kenapa pulak. Malam esok kan ada projek besar.”

“ Petang ni kena mengadap Dr Ariff. Tak tahu berapa lama nak kena melayan perangai ulat bulunya tu.” Nini mengetuk-ngetuk meja. Perutnya lapar namun seleranya hilang. Waktu rehat cuma ada sejam sebelum kena mengadap Dr. Ariff di biliknya.

“ Aku temankan…aku tak percaya dengan lelaki macam tu.”

Nini tergelak kecil mendengar komen Rasyid. Dia mencebik bibir. “ Oh! Tak percaya dengan lelaki macam tu… habis yang dekat kelab ramai-ramai tu, kau percaya? Kau ingat bab-bab kerja kursus ni, boyfriend boleh main teman-teman pulak…” Nini memandang Rasyid tanpa berkelip, teringin sangat hendak mendengar jawapan Rasyid. Kadang-kadang, dia sendiri hairan… macam manalah dia boleh terperangkap dengan lelaki seperti Rasyid.

“ Kan tiap-tiap kali, aku ada kat situ nak jaga kau. Selama ni, aku belum pernah gagal jalankan kerja aku, kan!”

“ Huh! Maksudnya, aku kena berterima kasih pada kau sebab kenalkan aku dengan semua tu?”

“ Hey! Come on… it’s a win win situation. Kau perlukan wang, aku perlukan komisyen.”

Nini terasa mahu menangis mendengar jawapan Rasyid. ‘ A win-win situation’, ayat itu macam pisau belati. Sememangnya merobek hati naluri.

Nini mencapai begnya, dan terus melangkah untuk berlalu. Sudah tidak betah untuk berada di situ bila hati sudah dilukakan begitu. Namun gerakannya terhenti apabila tangannya disambar kasar oleh Rasyid. Dia ingin menarik semula tangannya, namun genggaman Rasyid terlalu kuat. Mata mereka bertentang. Lama mereka beradu tenung.

“ Kau jangan buat hal, aku sudah janji dengan Jawa.” Keras suara Rasyid member amaran.

“ Kau dengan siapa tu…Jawa, boleh pegi mampos.” Nini menyentap tangannya dari pegangan Rasyid dan terus berlalu. Airmata terjun laju seiring dengan aturan langkah kakinya meninggalkan Rasyid.

*****

NINI menundukkan mukanya, tak mampu membalas renungan tajam dari Dr. Ariff. Sejuk pendingin hawa di dalam bilik itu juga turut menyumbang kepada ketidakselesaannya.

“ Kenapa menangis sampai bengkak mata?”

Soalan dari Dr. Ariff itu dibiar tidak berjawab. Nini sedang cuba memanipulasi keadaan. Alang-alang bengkak dan merah mata kesan pergaduhan dengan Rasyid tadi masih ketara, dia akan menggunakan semua itu sebagai umpan memancing ihsan Dr Ariff.

“ Kamu ada masalah? Cuba ceritakan…”

Nini menggeleng. Dia mengangkat kepala perlahan, memandang tepat ke muka Dr Ariff. Dengan mempamerkan muka kesian tahap maksima, dia menghela nafas panjang dan pura-pura resah.

“ Terima kasih, memang saya ada masalah…” Nini diam sebentar. Sengaja berbuat begitu sebelum menyambung semula, “ tapi, saya sedang selesaikannya sendiri. Saya sebenarnya lebih risau kegagalan saya menyiapkan assignment on time. Saya sedar semua itu menyumbang enam puluh peratus dari keseluruhan markah peperiksaan. Doktor boleh bagi saya tempoh tiga hari?Saya sudah siapkan hampir lapan puluh peratus, Cuma tinggal sedikit saja lagi. Please doktor…” suaranya bernada manja di penghujung, cuba untuk mencairkan hati Dr. Ariff.

Doktor Ariff tersenyum, merenung Nini lama tanpa berkelip.

“ Ada cara lain yang lebih baik. Dan, kamu tak perlu siapkan assignment pun.”

Nini mengalih pandangan yang sedang tertancap ke muka Dr. Ariff. Naik muak memandang senyuman versi ulat bulu itu. Apalagi untuk mengadap tenungan yang seperti mahu meratah setiap inci badannya. Syukur juga dia kini dalam keadaan sedang duduk di sebalik meja besar. Kalaulah waktu itu dia sedang berdiri, mungkin dia sudah berlari dan bersembunyi di sebalik tiang. Sudah ramai lelaki versi ulat bulu yang dia temui, namun tak tahu kenapa… yang seorang ini paling membuatnya ingin termuntah.

“ Hmm… tak pa, Doktor beri aja waktu tambahan 3 hari, saya janji akan siapkan on time.” Jawab Nini pura-pura tidak faham.

“ Tak mahu tahu caranya?” Masih tersenyum gatal.

Nini kehilangan kata-kata dan tidak tahu mahu bereaksi macam mana.

“ Temankan saya, semalam aja . Kita makan-makan, lepas tu …”

“ Maaf! Doktor bergurau saja kan! Tapi… lain kalilah saya makan dengan doctor, buat masa sekarang… saya ada hal besar. Masalah saya belum selesai ni…” Nini menghadiahkan senyuman manis yang pastinya bukan lahir dari hatinya. Senyuman ‘plastik’ yang sekadar untuk memancing kasihan dari pensyarahnya itu.

Doktor Ariff mengetuk-ngetuk meja. Matanya masih melekat di wajah Nini. Nini pula masih mengekalkan senyuman madu versi plastik yang menggoncang iman.

“ Baiklah, kebetulan, saya akan bercuti 3 hari. Jadi, saya bagi kamu 3 hari, kamu kena hantar sendiri ke tangan saya. Lepas tu… saya nak kamu temankan saya makan…”

Ayat yang keluar dari mulut Dr Ariff mengundang lega di hati Nini. Dia bersyukur dalam hati. Matanya bersinar memandang Dr Ariff.

“ Terima kasih…terima kasih…” Nini bangun dari kerusinya sambil masih mengekalkan senyuman manisnya.

Buat sementara ini, dia amat bersyukur kerana masih diberi peluang kedua. Apa yang menantinya selepas ini, biarlah dulu… dia akan fikirkan bagaimana nak mengatasinya kemudian.

*****


Di sudut sebuah restoran, kelihatan seorang lelaki berkumis tipis, merenung lelaki yang lebih muda di depannya. Ada rona kecewa terzahir di wajahnya. Lama dia termenung, dan kemudiannya mencapai gambar yang sudah sedia terletak di atas meja.

“ Kau pasti ini dia?”

Hanya anggukan diterima, dan wajah itu menggambarkan keyakinan yang tak berbelah bagi.

“ Kau salah orang kut. Aku macam tak percaya…mungkin pelanduk dua serupa.”

“ Aku kenal dia. Dan, aku tahu itu dia. Kalau dia pakai guni beras pun aku kenal.”

“ Ke situ pulak engkau. Aku dah lama tak jumpa dia. Dia nampak engkau?”

“ Tidak. Aku snap gambar ni sembunyi-sembunyi. Lagipun tempat aku duduk tu gelap. Dan, dia mungkin dah lupa siapa aku. Tapi aku tak pernah lupa wajah dia.

Lelaki berkumis tipis itu melepaskan keluhan berat. Nampaknya, niatnya untuk berehat sementara waktu selepas pulang terpaksa dibatalkan. Ada agenda yang perlu diselesaikan.

“ Terima kasih. Walaupun berita ini mengecewakan aku. Aku harap, aku belum terlambat.” Gambar di tangan dimasukkan ke dalam kocek baju.

“ Sama-sama. Aku lagi kecewa…tapi, aku harap juga, kau belum terlambat.” Lelaki itu tersenyum tawar.

Lelaki berkumis tipis situ mencapai surat khabar Harian Metro di sebelahnya lalu mengetuk kepala rakannya. Namun, tidak sempat kerana rakannya sempat mengelak.

“ Kau jangan mimpi nak jadi Salih Yaakub. Kau belum layak.” Dia tersenyum cuba berjenaka, namun senyuman segaris itu akhirnya pudar. Rakannya juga begitu. Mereka sama-sama terdiam.

“ Kau kena cepat.”

“ Aku tahu. Dan, aku tahu kat mana nak mula…”

Mereka akhirnya bangun, berjabat tangan dan bergerak keluar.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU