Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, February 8, 2013

CERPEN

Lama tak post sumthing kat sini. Ini ada cerpen suka suki, buat membersihkan sawang... harap enjoyyyyy menbacanya. Ini berdasarkan cerita benar yang telah ditokok-tambah. Ngee...



CAKAR


PERKARA yang paling aku sukakan tentang kampong, selain dari emak, famili dan rumah antik aku, tentulah suasana petang hari yang sangat indah begini. Pancaran matahari yang redup membuatkan ianya sangat sesuai jika digunakan untuk agenda makan-makan di atas pangkin yang dibina di bawah pohon ceri bersebelahan dengan parit tali air. Di seberang tali air pula, terbentang sawah yang luasnya saujana mata memandang. Kebetulan, padi tengah menguning menunggu masa untuk dituai… cantik sungguh pemandangannya.

      “Dah buruk sangat rumah kita ni,” kata Kak Nah sambil menunding jari ke arah rumah papan dua tingkat yang nampak sungguh usang. Mulutnya pula sibuk mengunyah mempelam yang dicicah kuah rojak Mak Bee.

“ Tentulah tua, cuba Kak Nah tengok diri sendiri… mak kata rumah ni, sama usia dengan Kak Nah!” Aku mengusik.

Memang betulpun, rumah ini ayah bina selepas emak lahirkan Kak Nah yang sembilan tahun lebih tua dari aku. Mengingatkan ayah membuat hati aku jadi sebak. Walaupun sekadar bersawah dan memelihara haiwan ternakan, ayah mampu mengumpul duit untuk membeli tanah sawah dan membina rumah yang sederhana besar seperti itu.

“ Sedapnya mulut Adik! Mujur kat depan ni cuma kuah rojak Mak Bee, kalau ada cili api… Kak Nah cili mulut Adik sekali,” balas Kak Nah sebelum ketawa mengekek.

“ Amboi garangnya!”

Dia tersengih. Kemudian mukanya menjadi muram.

“ Kenapa?” Soal aku.

“ Teringatkan arwah ayah.”

“ Adik pun. Selalu. Hampir setiap hari adik teringatkan ayah.” Air mata aku mula bergenang.

“ Adik kena balik selalu… kalau tak, rumah kita akan jadi buruk macam rumah Tok Ngah tu,” kata Kak Nah sambil menunding ke arah rumah Tok Ngah yang sudah nampak usang benar. Sejak  Tok Ngah meninggal, tak ada seorangpun anaknya yang sudi mendiami rumah besar itu. Masing-masing lebih selesa tinggal di bandar.

“ Kerja adik menimbun, susah nak dapat cuti selalu… adik balik sebulan sekali ni pun, kira okay le…” aku terdiam sebentar, memandang ke rumah Tok Ngah. “ Kenapalah anak-anak Tok Ngah tak mahu duduk di situ… kalau renovate, sapu cat, akan terserlah cantiknya. Macam masa kita kecik-kecik dulu tu…”

Kak Nah menggeleng.

“ Adik ni, macam tak tahu pulak!”

“ Tahu apa pulak?”

Kak Nah mula dekatkan mulutnya ke telinga aku. Dia berbisik…

“ Rumah tu… berhantu…”

*****

BETUL ke mak?” Soal aku sewaktu makan malam.

Mak berhenti menyuap. Mak pandang Kak Nah sambil jegilkan mata. Kak Nah ambil pinggan kosong yang kebetulan ada di situ lalu menutup mukanya.

Mak geleng kepala sambil menghela nafas. “ Ini mesti kerja Nah. Tak ada kerja lain selain dari bercerita benda yang tak ada faedah tu.”

Kak Nah jegilkan matanya tepat ke arahku.

“ Apa Kak Nah cakap, cuba bagi tahu mak!”

“ Dia cakap rumah tu berhantu… bila orang suruh cerita, dia buat tak tahu pulak! Betul ke mak? Ceritalah pada adik…”

Belum sempat aku menghabiskan ayat, mak bangun membawa pinggannya ke sinki. Dengan membelakangkan kami, dia bersuara, “ sudahlah! Tak payah dok bercerita benda yang tak pasti. Buat menambah dosa saja. Tak payah nak takut-takut pada hantu syaitan, takut pada Allah saja. Allah yang Maha Berkuasa.” Sebaik menghabiskan ayat mak capai tuala untuk mengelap tangan, matanya memandang Kak Nah, “ daripada kamu ceritakan benda tak elok tu, baik kamu tazkirahkan adik kamu ni, suruh dia rajin sikit baca Quran. Liat sangat mak tengok!”

Mak beredar keluar dari dapur. Aku terkedu. Ada rasa sedih seperti meragut tangkai hati aku bila mak ingatkan aku tentang itu. Memang kebelakangan ini, kurang sedikit amalan membaca Quran seperti yang selalu aku lakukan.

“ Padan muka!” Sergah Kak Nah.

Aku bangun bercekak pinggang. “ Tak peduli, Kak Nah dah mulakan… Kak Nah kena cerita jugak. Kalau tak… adik tak nak belikan Kak Nah tudung glamour yang Kak Nah pesan tu!”

“ Mana aci macam tu…”

“ Ikut suka Kak Nah lah!”

“ Ya lah, ya lah… nanti Kak Nah ceritalah!” Kakak kesayanganku itu akhirnya mengalah. Ugut saja mahu catu pemberian, mengalahlah dia! Padahal kalau dia tak bercerita pun, aku akan belikan juga.

*****

“ ADIK ingat Usu Din Bulan? Anak Tok Ngah yang bongsu?” Tanya Kak Nah sewaktu duduk bertentang di dalam bilik aku di tingkat atas. Rumah tinggalan ayah ni, hanya ada dua bilik di tingkat atas. Bilik ini pula cuma dihuni jika aku balik kampong. Mak dan Kak Nah tidur di bilik di tingkat bawah.

“ Mana tak ingat, dia selalu dokong adik masa adik kecil-kecil dulu. Lepas tu, kuat mengusik.” Tentulah aku ingat  anak bongsu Tok Ngah. Orang gelar dia ‘bulan’ sebab ada tanda macam bulan di hidungnya akibat terkena sulur sumbu pelita.

“ Bulan lepas Ucu Din Bulan balik dengan Chu Ita. Dia orang berdua, tidur semalam. Katanya nak bersih-bersih rumah, nanti nak balik duduk di kampong. Tapi, pagi-pagi lagi… dah kalut nak balik. Kak Nah ni buat kepoh pi tanya kenapa, tau apa Chu Ita cakap?”

Aku geleng kepala. Kak Nah ni, tanya soalan macam tu pula!

“ Chu Ita cakap, subuh paginya, dia rasa macam orang gosok badan dia masa tengah berbaring atas katil. Dia ingat Usu Din yang buat. Dia biar saja… lepas tu, dia rasa Usu Din peluk dia dari belakang… pun dia biar la. Suami dia kan!”

“ Ya lah! Suami dia… apa nak salahnya pula!”

“ Kejaplah Kak Nah nak cerita… adik ni, cerita belum habis la!” Kak Nah buat memek muka sebelum menyambung, “dia terlelap sebentar. Lepas tu terjaga bila dengar ada orang ketuk pintu. Bila buka pintu… dia nampak Usu Din kat depan pintu. Dia pun hairanlah. Dia tanya Usu Din bila keluar, pergi mana?”

“ Pergi mana Usu Din tu?” Aku soal Kak Nah balik.

“ Kata Usu Din, dia keluar sebelum subuh lagi, pergi berjemaah di masjid.”

Mata aku membulat. Biar betul Kak Nah ni!

“ Maksud Kak Nah, yang urut dan peluk Chu Ita tu, bukan Usu Din?”

Kak Nah angguk kepala, buat muka saspens.

Aku pandang Kak Nah, bulatkan mata. Lama aku buat begitu kerana cuba menahan gelak. Namun ketawa aku terburai juga akhirnya…

“ Kak Nah ni… Usu Din tu kan kuat mengusik! Mesti dia nak kenakan Chu Ita. Adik tak percayalah… adik ingat lagi macam mana dia usik adik sampai terkencing masa adik kecik-kecik dulu…” dan aku ketawa sambil menggeleng kepala.

Kak Nah bangun sambil bercekak pinggang. Dia nampak geram dengan tindak balas yang aku berikan.

 “ Adik ni, kata suruh cerita… lepas tu gelakkan cerita Kak Nah pula! Malaslah nak cerita lagi!” Sudah merajuklah nampaknya Kak Nah aku yang seorang ni.

“ Alalala… sorilah Kak Nah! Okay… okay… adik tak gelak lagi. Cepatlah sambung cerita yang satu lagi… Kak Nah kata ada dua cerita, kan!”

Kak Nah yang masih bercekak pinggang, memandang aku. “ Baik! Kak Nah habiskan cerita ni, tapi kali ni, kalau adik gelak juga… Kak Nah doakan supaya adik pula kena usik. Biar padan muka adik. Boleh!”

Aku tersengih. “ No problem!” Aku memang bukan jenis yang penakut sangat. Masa kecil dulu, bolehlah menangis bila kena usik dengan Usu Din tu.

Mendengar jawapan aku, Kak Nah kembali duduk di atas katil. Tarik bantal dakap dan memeluknya.

“ Ini pula cerita Uteh Miah masa balik kampong dua minggu lepas.”

“ Uteh Miah balik? Dia kat Sabah kan?” Soal aku. Kak Nah mengangguk.

“ Dia kata, dia balik sebab dengar cerita pelik-pelik dari Usu Din tu.”

“ Sorang-sorang?”

“ Tak! Dengan anak dia Aiman, yang tengah study kat UITM tu. Budak tu dengar kata, memang berani giler.”

“ Entahlah… dah lama tak tengok Uteh Miah. Anak dia, lagilah tak pernah. Apa jadi lepas tu?” Soal aku tidak sabar.

“ Pukul 3 pagi, dia orang datang ketuk pintu rumah kita macam nak roboh. Mujur Kak Nah terjaga. Kau tahu kenapa?” Soal Kak Nah dengan mata membulat. Teruja betul Kak Nah bercerita. Aku menggeleng, kemudian hanya mendiamkan diri, menunggu aja Kak Nah habiskan ceritanya. Kalau aku mencelah nanti, dia marah pula.

“ Dua-dua orang tak boleh tidur! Yang kononnya berani giler tu, sampai terketar-ketar dan terkencing.”

“ Kenapa?” Kali ini aku betul-betul menyampuk.

“ Sejak tengah malam sampai pukul 3 pagi, ada benda yang asyik bermain-main dengan atap zink. Kadang-kadang bunyi macam mencakar, kadar-kadang bunyi macam bertempo… lepas tu, ada bunyi nafas kuat menghembus. Tak tahan dengan semua tu… mereka angkat kakilah. Bila dah sampai sini… dua-dua orang tidur sampai pagi. Kak Nah pula yang tak boleh tidur sebab dah terkejut.”

Aku tersenyum. Kemudian tergelak kecil.

“ Gelak lagi? Jangan cakap adik tak percaya macam tadi!” Kak Nah dah mula tarik muka masam.

Aku gelak. Kelakar bila bayangkan benda alah tu, asyik dok main atap zink macam main gitar. “ Adik kelakar! Hantu pun, pandai main gitar?” Dan, aku terus gelak besar lepas tu.

Kak Nah bingkas bangun, lalu berjalan ke pintu. Sebaik sampai di sana, dia berdiri di muka pintu, bercekak pinggang memandang aku.

“ Malam ni, kalau adik kena usik, Kak Nak tak nak tanggung jawab!” Dia berlalu sebaik menghabiskan kata-kata itu.

Aku masih tergelak kecil mengenangkan cerita tadi.

*****

‘DUM!

Kedengaran bunyi benda jatuh menghentam atap zink. Kuat sungguh!   

Aku terjaga. Mengurut dada sambil telinga mengamati bunyi itu. Kalau tidak silap, bunyi itu datang dari bahagian atap yang betul-betul di atas kepalaku. Kalau ikut kekuatan bunyinya, sudah pasti ia akan meninggalkan kesan lekuk pada atap zink.

Senyap.

Aku pasang telinga lagi. Sayup-sayup kedengaran bunyi salakan anjing yang sungguh sayu dan seram bunyinya. Bunyi salakan yang biasanya dikaitkan dengan kehadiran makhluk halus di kawasan sekitar.

Aku geleng kepala. Menepis ingatan yang sedang mengunjungi minda. Mula menarik selimut kembali. Namun tiba-tiba, bunyi salakan kian galak. Aku mula mendengar dengusan nafas berat seperti dihembus-hembus dari atas atap rumahku. Entah kenapa dada aku jadi berdebar tiba-tiba. Teringat amaran Kak Nah sebelum masuk tidur awal malam tadi. Aku mengurut dada, kemudian meraup muka. Ada peluh renik sedang membasahi muka.

Ya Allah! Makhluk apakah yang sedang bertenggek di bumbung rumahku?

Detik itu juga, bunyi atap zink dicakar mula bergema. Salakan anjing semakin galak bersahut-sahutan. Bunyi dengusan juga makin jelas dalam rentak yang tidak sekata. Kepalaku mula terasa kembang seperti sebesar bakul layaknya. Bulu roma di belakang tengkuk turut merinding. Denyutan jantung mula bergerak dalam rentak yang tidak terkawal lajunya. Aku capai bantal busuk, lalu menarik selimut menutupi keseluruhan badan hingga ke kepala. Dalam keadaan tidur mengiring, bantal busuk tadi aku gunakan untuk menutup telinga. Namun segala bunyi dan rasa itu masih tidak bahu pergi meninggalkan aku.

Suasana senyap tiba-tiba.

Aku tarik selimut yang menutupi muka. Menunggu.

Rupanya suasana senyap itu tidak lama. Bunyi atap digaru datang semula. Aku mula membaca segala ayat yang aku ingat. Entah kenapa, semakin aku cuba membaca semakin kelam kabut dan tak teratur jadinya. Akhirnya… aku cuma berzikir menyebut nama Allah. Di dalam hati, aku sudah berkira kira, jika gangguan ini tidak berakhir dalam tempoh sepuluh minit, aku akan terpaksa angkat kaki turun ke bawah.

Bunyi kuku menggaru atap kian ketara. Seperti kuku itu dibawa bergerak ke kiri dan ke kanan. Semakin kuat dan semakin laju rentaknya. Jantung mula bergetar dan menghentak kerangka dada. Rasa mahu terkencing dan terberak pun ada waktu itu. Dan, aku sedar, aku sudah tidak mampu bertahan untuk menunggu sepuluh minit lagi…

Aku bangun, capai kain selimut dan berlari keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Belum sempat aku ketuk pintu bilik yang Kak Nah huni bersama emak, ia sudah dibuka dari dalam.

“ Masuk!” Kak Nah bersuara dalam gelap suasana.

Ada sinaran lampu picit dinyalakan. Mak yang menyuluh sebenarnya.

“ Tidur di tengah.” Mak memberi arahan, sambil menepuk-nepuk bantal.

Aku baring seperti diarahkan. Tanpa dapat dikawal badan aku bergetar sebenarnya. Aku mula menangis perlahan.

“ Shhh… jangan nangis… Kak Nah dengan mak pun dengar bunyi tu. Baca apa saja yang adik ingat.” Bisik Kak Nah. Walaupun tak mampu mengingati apa-apa ayat, aku hanya mengangguk, lalu berbaring memeluk emak yang sedang mengalunkan ayatul kursi. Terasa tangan Kak Nah merangkul aku dari belakang.

Aku tidak sedar, entah pukul berapa aku tertidur malam itu.

*****

KAK NAH melemparkan senyuman sumbing ketika aku melangkah ke dapur. Aku sedar makna senyuman tu… dan aku sedang bersedia menerima ‘paku buah keras’ dari Kak Nah. Sesungguhnya, aku sudah belajar sesuatu semalam.

“ Adik boleh tidur, lepas tu?”

Aku angguk.

“ Sekarang, adik percaya?”

Aku angguk.”

Mak yang sedang melangkah masuk, mula mencelah. “ Syaitan ada di mana-mana. Dia juga makhluk Allah… dan takutkan Allah. Dia cuma sombong, bongkak. Sebab dia dah sesat, dia nak menyesatkan kita. Dia nak takutkan kita. Jadi adik harus belajar dua perkara … jangan ikut perangai syaitan. Jangan sombong dan jangan lalai dari mengingati Allah. Sebab tu mak suruh adik rajinkan diri amalkan ayat Al-Quran. Tengok semalam tu, baru kena usik sikit… dah lintang pukang. Kalau adik amalkan… tak mungkin jadi macam tu!”

Hmm… panjang lebar mak berleter. Padan muka aku! Aku cuma angguk kerana sudah sedar akan kesalahan sendiri. Kak Nah hanya tersengih di belakang emak.

“ Hmm… lagi satu, kain yang adik sembunyikan kat belakang pintu tu, Kak Nah dah basuh.”

Aku telan air liur. Itu kain akibat terkena air kencing semalam. Niat di hati mahu sembunyikan dan mahu membasuhnya lepas sarapan nanti. Nampaknya sudah ‘kantoi’ dengan Kak Nah lagi sekali.

“ Tu lah! Cakap besar… sekali kena, sampai terkencing!” Kak Nah mengusik. Mak hanya ketawa kecil.

Entah kenapa… nasi lemak Kak Nah yang selalunya sedap di mulut aku, hari ini terasa seperti pasir.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU