Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Monday, October 1, 2012

CERPEN - LABBAIKALLAH...

LABBAIKALLAH...




‘LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK… Labbaikala syari kalakalabbaik…’ Bunyi itu bergema dari sebalik skrin televisyen LCD besar gedabak yang menghiasi rumah temannya, Ayu.

Syikin berkalih. Waktu itu, apa yang dibualkan Ayu, sudah tidak didengarnya lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam, kemudiannya menghembusnya kuat. Berat benar kedengaran bunyinya. Detik mata memerhatikan gerakan jutaan jemaah mengelilingi Kaabah, air matanya meluncur turun dengan laju.

 Sedih dan syahdu! Itu yang dia rasa setiap kali tiba musim haji. Sejak terpaksa membatalkan pemergiannya 3 tahun lepas, musin haji merupakan fasa paling sedih untuknya di setiap tahun. Sejak pulang dari mengerjakan umrah, dia jadi rindu mahu ke sana lagi. Dia teringin untuk segera melaksanakan rukun Islam yang ke lima itu. Namun hanya Allah yang tahu kenapa dia masih belum dijemput…

“ Syikin! Syikin! Laa… patutlah tak jawab pertanyaan aku. Aku berbual, dia menonton tv!” Bebel Ayu bila menyedari semua itu.

“ Kau tanya apa?” Soal Syikin berkalih sambil tangan menyapu airmata.

“ Kau menangis? Kenapa?”

Syikin menggeleng lalu terus terdiam. Menahan sebak yang sedang sarat menghuni hatinya. Kalau dia terus cuba bercakap dan bercerita, pasti airmata sahaja yang akan berkata-kata.

Ayu tidak memaksa, namun matanya mengerling ke arah skrin televisyen, sebelum kembali berkalih memandang Syikin.

“ Aku sedih setiap kali tiba musim haji. Lihat kawan-kawan dijemput, lihat gambaran manusia mengerjakan rukun Islam kelima tu… buat aku sebak dan tak mampu nak tahan airmata aku ni. Kau tahu, kan! Aku dapat panggilan 3 tahun lepas?”

Ayu mengangguk. “ Hmm… aku musykil juga. Kau ada beritahu aku masa tu, tapi lepas tu diam ajer. Musim orang pergi haji, kau masih ada kat Malaysia. Aku ingat… aku tersilap dengar. Kau pun tahu,kan! Telinga aku ni… memang ada problem sikit.” Komen Ayu. Dia mengetuk-ngetuk telinga kirinya dengan jari telunjuk.

Syikin kembali merenung skrin televisyen. Waktu itu seorang ustaz sedang bercakap tentang bagaimana mahu melakukan saie. Hatinya sebak lagi. Dia kembali memandang Ayu.

“ Waktu tu… duit dah cukup. Panggilan pun dah dapat. Akupun dah pergi kursus. Tapi tup-tup… ada hal berbangkit pula. Mungkin masa untuk aku ke sana, belum sampai…”

Syikin mengangkat muka merenung ruang kosong di hadapannya…

*****
Tiga tahun lalu…

“MAK INGAT, DUIT YANG MAK DAPAT TU… MAK NAK BUAT RUMAH.” Kata-kata tu terbit dari mulut emak semasa Syikin dan Kak Cik duduk berbual di atas tangga batu, di hadapan rumah. Sejak dua tiga minggu kebelakangan ini, itulah yang emak ulang-ulang menyebutnya seperti tidak pernah ada rasa letih.

Semua itu bermula selepas Kak Cik bawa emak ke pejabat tanah untuk urusan pembahagian harta pusaka yang tertangguh sejak bertahun-tahun. Emak akhirnya mendapat sejumlah RM 60 ribu untuk bahagiannya.

Syikin pandang Kak Cik. Kak Cik sekadar angkat bahu.

“ Mak, duit tanah tu, mana cukup nak buat sebiji rumah… mak simpan dululah duit tu. Nanti kita fikir macam-mana.” Balas Syikin, sekadar cuba untuk memberhentikan emak dari bercakap perkara yang sama. Itu juga ayat yang sama yang dia ulang, juga selama dua-tiga minggu berturut-turut.

Sejak arwah ayah meninggal, memori emak turut bertambah lemah. Emak kerap lupa apa yang dia buat. Emak lupa apa yang dia makan sehingga kadang-kadang, seperti perlu bergaduh untuk menyuruh emak makan. Emak akan berkeras mengatakan yang dia sudah makan, walaupun belum menjamah apa-apa. Emak juga lupa apa yang dia sudah katakan. Hingga selalunya, emak akan berulang-ulang bertanya dan bercerita perkara yang sama.

Syikin tidak kisah jika dia perlu bercakap dan menjawab soalan emak walau seratus kali pun. Dia juga tidak kisah jika perlu mendengar emak bercerita kisah yang sama juga sampai seratus kali. Sejak emak begitu, dia dan Kak Cik memang sudah mangli. Mula-mula dulu, ada jugak mereka berkeluh-kesah. Namun dia belajar untuk tidak merungut lagi sejak menonton iklan ‘Burung Murai’ sempena Hari Raya beberapa tahun lalu. Sungguh! Iklan itu cukup terkesan di hatinya. Maka setiap kali ada ahli keluarga yang merungut dengan perangai emak, dia akan berkata, ‘ ingat burung murai! Ingat burung murai!’. Dan sejak itu, mereka saling memperingati antara satu sama lain.

Pun begitu, dia risau jika emak bertegas untuk kemahuannya yang satu ini. Jika emak terus-terusan meminta mereka menurut kemahuannya, bagaimana? Di mana hendak dicekau lebihan duit itu nanti. RM 60 ribu mana cukup untuk membina rumah di zaman ini, hatta jika hanya rumah sederhana besar pun… belum tentu mampu didirikan.

“ Ayah kamu dulu, bukan kerja besar mana… dapat juga bina rumah besar macam ini. Mak bukan apa, risau tengok rumah ni dah tua. Mak fikirkan nasib kamu berdua nanti, sudahlah tak kawin sebab nak jaga mak… takkan nak duduk rumah buruk ni pulak nanti.” Muka emak sedih merenung wajah Syikin dan Kak Cik. Matanya kemudia dibawa merayap meniti dinding rumah yang sudah dimakan anai-anai.

Mata Kak Cik berkaca. Syikin pula menahan sebak. Dalam tak ingat emak tu, masih juga mahu fikirkan kebajikan mereka. Kak Cik tiba-tiba bangun…

“ Kak Cik nak ambil baju di jemuran,” ucap Kak Cik sambil bangun menuju ke arah ampaian berhampiran pohon rambutan. Syikin tahu itu alasan Kak Cik untuk melarikan diri. Dia nampak Kak Cik menyeka airmata sebaik menarik sehelai kain batik dari ampaian.

“ Jom, mak! Kita masuk ke dalam. Cuti-cuti ni, Syikin ada buat goreng pisang. Air teh pun masih panas lagi. Kita makan dululah!” Ajak Syikin. Dia mahu mematikan isu yang emak timbulkan. Begitulah selalu yang dia dan Kak Cik buat untuk menyelamatkan keadaan.

Emak bangun mengikut Syikin tanpa banyak karenah. Sebaik masuk ke dalam rumah, emak duduk di sofa berhadapan tv. Syikin bergegas ke dapur untuk membawa hidangan petang ke depan. Sebelum mengangkat talam berisi hidangan, Syikin angkat tangan berdoa, moga emak akan lupa apa yang dibangkitkannya tadi. Kalau buat sementara pun, jadilah. Kalau emak lupa terus tentang isu tu, lagilah bagus.

“ Haa… sedap ni mak. Gorang pisang hasil kebun Kak Lang. Dia yang hantar pagi tadi. Mak ingat tak?” Soal Syikin pada emak sebaik meletakkan talam di atas meja.

Emak geleng kepala. “ Kak Lang kamu, ada datang ke sini ke?” Soal emak. Emak… emak.. pagi tadi, dia yang paling rancak berbual dengan Kak Lang, petang hari, dia sudah lupa. Emak kelihatan bingung.

“ Mak dah tua, Allah dah ambil balik kurniaannya satu persatu. Khudrat, iradat, ilmu… yang tinggal cuma hayat. Tu pun tak tahulah Allah nak pinjamkan selama mana?”

Sebak hati Syikin mendengar keluhan emak. Syikin hulurkan teh ‘O’ panas pada emak. Emak menyambutnya lalu minum seteguk sebelum meletakkan kembali cawan tersebut di atas meja. Emak kembali memandang Syikin.

“ Mak ingat, duit yang mak dapat tu… mak nak buat rumah.” Dan, kata-kata itu keluar lagi dari mulut emak.

Syikin tersandar di sofa, matanya bertentang dengan mata Kak Cik yang sedang melangkah masuk menggendong kain dari jemuran. Dia yakin… Kak Cik juga mendengar apa baru emak tuturkan.

*****

KAK CIK HULUR SAMPUL SURAT YANG BARU DITERIMA PETANG TADI PADA SYIKIN. Syikin sudah tahu isinya. Kak Cik sudah maklumkan hal tersebut melalui telefon tadi. Teruja sungguh dia. Syikin pun begitu juga. Namun ada perkara yang sedang bermain di kotak fikiran yang perlu mereka bincangkan. Kerana itulah Abang dan Kak Lang dipanggil kemari. Mereka mahu berbincang untuk membuat keputusan.

Sampul yang dihulur Kak Cik tu, Syikin hulur pada Abang. Abang membukanya sebaik berada di tangannya.

“ Korang berdua dapat ke Mekah? Kak Long dengan Kak Ngah pun dapat sekali?” Soal Abang. Syikin dan Kak Cik mengangguk serentak. Memanglah, awal tahun lagi mereka berempat sudah menghantar surat rayuan untuk ke sana.

“ Pergilah! Nak risaukan apa pulak?” Komen Abang, dia memandang Syikin dan Kak Cik.

“ Memanglah nak pergi. Tapi… mak tu, macam mana? Abang pun tahu, ingatan dia tu… bukan elok sangat. Makan pun nak kena ingatkan.” Celah Kak Cik.

“ Kami risaukan mak. Kalau…” sambung Syikin, namun dipintas Abang sebelum sempat menghabiskan ayatnya.

“ Pasal mak jangan risau, aku, Kak Lang, Kak Chaq dan Dik Na… boleh jaga. Bukan lama pun, sebulan lebih jer.”

Syikin pandang Kak Cik lagi sekali. Mereka yang menjaga emak, dan hanya mereka yang lebih masak dengan kerenah  dan pantang larang emak. Nampaknya Abang belum faham apa yang ingin mereka sampaikan.

“ Kalau nak jaga mak, kena ada yang makan tidur di sini. Mak tu, bukan Abang tak tahu… mana boleh berenggang dengan rumah tinggalan ayah ni.” Syikin membentak. Kak Cik mengangguk. Mengiyakan apa yang Syikin katakan.

“ Kalau nak makan tidur di sini, payahlah sikit. Masing-masingkan ada commitment. Kerja, anak sekolah… macam-macam lagilah! Alah, bukan lamapun… mak boleh duduk rumah kami bergilir-gilir…” balas Abang lagi.

“ Betul tu, aku pulak… kena jaga cucu sampai 3 orang. Mak bapak dia orang kerja, susah aku nak tinggal dan datang tidur di sini.” Celah Kak Lang yang hanya mendengar sejak tadi.

Syikin tahu, malah dari awal lagi dia sudah berbincang dengan Kak Cik, Kak Long dan Kak Ngah. Memang semua orang ada tanggung-jawab masing-masing, tapi… mereka kena sedar, emak bukan orang yang mudah mengalah. Terutama dalam keadaan ingatannya macam sekarang. Kalau hitam kata emak, maka hitamlah yang perlu diikut. Kalau putih kata emak, maka putihlah yang perlu diturut.

“ Tak apa… nanti aku cakap dengan mak elok-elok. Insyallah! Dia okay kut!” Abang tersenyum. “ Kalau anak jantan dia pujuk, mesti jalan,” sambung Abang lagi sambil tersengih macam kerang.

Bagai tahu namanya disebut dan dibincangkan, emak terjengol keluar sebaik selesai solat Asar. Dia tersenyum melihat anak-anaknya berbual. Emak mengambil tempat di sofa sebelah Abang. Sebaik emak duduk, Abang mengurut lembut bahu emak.

“ Bila Abang sampai?” Soal emak.

“ Dah setengah jam. Mak sihat?” Soal Abang. Emak mengangguk.

“ Bincang apa, riuh mak dengar dari dalam?”

Mendengar soalan emak, Abang membetulkan duduk. Dia dalam posisi memandang emak. Matanya menjeling Syikin, terus ke muka Kak Cik dan akhirnya memandang Kak Lang.

“ Mak tahu kan, Syikin dan Kak Cik dapat ke Mekah sekali dengan Kak Long dan Kak Ngah?”

Mak mengangguk. “ Alhamdulillah! Mak pun seronok sangat bila Kak Cik beri tahu semalam.”

“ Hmm… sebab tulah kami duduk berbincang sekarang ni. Kak Chaq dengan Dik Na tak boleh datang. Jadi ada kami berempat saja. Mak tahu kan, kerja Haji tu… ambil masa sebulan lebih?”

Emak mengangguk.

“ Jadi, masa tu nanti, tak ada orang nak teman mak di rumah. Kami ingat… nak bawa mak duduk rumah kami secara bergilir. Mula-mula rumah Abang, lepas tu rumah Kak Lang, Kak Chaq dan akhir sekali Dik Na. Boleh kan, mak?” Lembut sungguh Abang berbahasa cuba memujuk emak.

Emak terdiam. Dia pandang muka Abang, Kak Lang, terus ke Kak Chik sebelum menatap wajah Syikin lama. Emak melepaskan nafas berat.

“ Mak nak duduk rumah ni jugak! Mak boleh duduk sendiri. Kamu hantar makanan saja hari-hari. Mak sihat lagi, boleh jaga diri Mak sendiri. Lagipun… mak tak selesa nak duduk rumah kamu semua.”

Abang nampak kecewa. Syikin pandang Kak Chik. Hanya mata mereka yang berbicara tanda mereka sudah menjangka jawapan yang emak bakal beri.

“ Tapi mak…” Abang cuba memujuk emak, tetapi emak mengibas tangannya. Itu tanda dia sudah nekad dengan keputusannya.

“ Hmm… kebetulan kamu dah ramai-ramai ni, mak nak cakap sikit.” Emak bersuara memandang anak-anaknya.

“ Ada apa mak?” Kak Lang mencelah.

“ Mak ingat, duit yang mak dapat tu… mak nak buat rumah. Mak nak Abang cari tukang rumah cepat-cepat… mak takut nanti duit tu habis macam tu saja.” Dan, kata-kata itu keluar lagi dari mulut emak untuk kesekian kali. Mungkin kali ini… ianya sudah masuk yang ke seribu kali. Dan, kali ini juga, bunyinya seperti arahan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan.


*****

“ JADI, KAU TOLAK PANGGILAN KE MEKAH TU, sebab mak kau berkeras tak nak duduk rumah sesiapa?” Soal Ayu setelah Syikin habis bercerita. Dia baru menambah air teh ‘o’ ke dalam cawan Syikin. Masuk yang ini, sudah tiga cawan Syikin minum sambil bercerita sejak tadi.

Syikin mengangguk. “ Mula-mula macam tu ler. Cuma Kak Long dan Kak Ngah yang pergi. Itulah namanya perancangan Allah. Asalnya, kami berdua yang sepatutnya diamanahkan menjaga kebajikan Kak Long dan Kak Ngah yang dah berumur dan sakit-sakit tu. Tau-tau… hanya mereka berdua yang lepas ke sana. Alhamdulillah! Ibadah mereka dipermudahkan.”

Ayu tersenyum, mengangguk. “ Kau tak buat rayuan pulak ke, tahun-tahun lepas tu?” Soalnya.

“ Tu lah yang buat aku sedih tu. Nampaknya harapan aku nak ke sana terbengkalai buat sementara waktu. Dan aku tak tahu entah bila… mungkin tidak untuk beberapa tahun ni.” Jawab Syikin. Airmata mula bergenang. “ Sebab tulah, setiap kali aku tengok apa-apa yang berkenaan dengan haji jer… aku rasa sensitive sungguh! Airmata aku… macam tak boleh nak tahan.” Sambung Syikin lagi. Beberapa titis airmata meluru turun.

“ Kau dah ada duit, dah pergi kursus… kau cuma perlu hantar surat rayuan untuk dipertimbangkan. Kenapa kau macam putus harap jer?” Tanya Ayu lagi.

Syikin tersenyum lemah. “ Nak pergi macam mana, duit untuk belanja haji aku dah habis, duit simpanan dalam akaun aku pun dah susut. Tak cukup dengan tu… loan bank akupun bertambah. Hutang aku keliling pinggang.”

Ayu berhenti mengunyah. Biskut Chipsmore yang sudah masuk separuh ke dalam mulut tu diletakkan kembali di atas pinggan. “ Means, korang memang ikut kehendak mak kau buat rumah tu? Dan kau yang tambah biaya lebihan tu?”

Syikin mengangguk. Dia terdiam lama…

“ Memang terpaksa buat jugak. Selagi tak buat mak aku asyik sebut itu jer. Aku tahu niat dia baik. Tapi, rumah lama tu, walaupun buruk… boleh lagi diduduki, boleh tahan 10 tahun lagi pun. Tapi nak buat macam mana, kan! Dah itu kehendak dia. Lepas bincang-bincang, kami sepakat untuk penuhi keinginan mak tu. Nak gembirakan mak sebelum mak menutup mata. Cuma, semua orang ada commitment dengan keluarga masing-masing. Last-last, aku gunakan sumber yang aku ada, Kak Cik tolong sikit-sikit dengan duit vss yang dia dapat.” Syikin berhenti sebentar, meneguk air yang ditambah oleh Ayu tadi.

“ Yang lebih membuat semuanya complicated, kontraktor lari lepas rumah 70 persen siap. Mak susah hati pulak. Macam selalu… hari-hari tanya tentang rumah. Dia malu dengan orang kampong sebab rumah tak siap. Dalam keadaan memori mak macam tu, dia tak boleh susah hati. Lagi mak susah hati… lagi dia kerap tanya soalan yang sama berulang-ulang. Sumber yang ada dah habis digunakan. Terpaksa buat personal loan pulak, lepas tu terguna duit dalam akaun bisnes aku. Tapi, yang membuatkan aku rasa terkilan, after all the hassle, dan bila rumah tu siap... mak berkeras nak duduk rumah lama jugak. Rumah baru tu, kami cuma buat rumah rehat untuk adik-beradik dan saudara waktu balik ke kampung. Hmm… serba salah pulak bila aku cerita semua ni. Bunyi macam merungut pulak. Aku bercerita pun sebab kau yang tanya…” Syikin berhenti lagi. Kali ini dia meraup wajahnya dengan telapak tangan.

“ Tak apa, aku faham. Kau pun, bukan bercerita dengan semua orang.”

“ Sekarang, aku tengah alami masalah kewaangan yang teruk. Akaun bisnes aku di tahap kritikal. Hujung bulan aja, aku keluh kesah nak cukupkan baki dalam bank. Kalau dah macam tu, kau rasa… berapa tahun lagi aku perlu ambil untuk buat simpanan semula? Aku cuma doa tiap-tiap hari, minta Allah permudahkan segalanya untuk aku.”

Ayu geleng kepala perlahan. Dia capai tangan Syikin lalu menggenggamnya erat.

“ Menggembirakan hati emak, memang dituntut dalam Islam. Kau dah buat yang terbaik. Aku yakin, Allah akan mempermudahkan segalanya untuk kau. Anggaplah ini ujian untuk keimanan kau.”

“ Hmm… entahlah! Bila fikir-fikir balik. Mungkin aku belum cukup sempurna dan bersedia untuk ke sana. Mungkin aku perlu perbaiki diri aku. Tingkatkan keimanan aku dan perbetulkan niat aku. ”

Memang benar, sejak semua tu terjadi, Syikin banyak bermuhasabah diri. Orang kata, kalau gagal ke SANA, pasti ada yang tak kena dengan diri sendiri. Allah Maha Berkuasa, perancanganNya mengatasi segala perancangan manusia. Ada orang, sudah cukup segala, sudah pun dapat panggilan. Alih-alih, ada saja aral melintang. Dan, ada pula hamba Allah yang tak punya apa-apa, tak pernahpun memohon untuk ke SANA dek kerana kekurangan itu. Tahu-tahu, ada pula yang berbesar hati menaja segala perbelanjaannya.

Maka kerana itu dia akur. Dia redha. Dan, dia tak akan mahu berhenti berdoa di setiap kesempatan yang ada. Dalam doanya dia meminta, Ya Allah! Tunaikanlah permintaan hambaMu ini. Aku ingin menunaikan fardhu haji. Permudahkanlah aku Ya Allah! Berikanlah kecukupan wang ringgit, kesihatan tubuh badan, kelapangan masa dan keringanan hati untuk mengadapmu ya Allah! Perkenankanlah Ya Allah!

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU