Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, October 26, 2014

NOMBOR 23 - BAB 6 ( babak 3 dan 4)


Imbas kembali, hari yang sama
Kawasan Perkuburan, Taman Murni.

“ ACIK dah agak, pasti adik akan ke sini. Puas Acik cari keliling rumah. Tanya Ti’ah tadi, diapun tak tahu…” Suara Acik tiba-tiba bergema dari belakang April.
April menoleh sekilas. Diam.
Surah Yasin yang sudah habis dibaca tadi dimasukkan ke dalam beg tangannya. Dia menyapu baki airmata yang membasahi pipi. Bangun dan memaksa dirinya untuk tersenyum sekilas pada Acik.
Sebaik habis sesi pembacaan wasiat tadi, dia bergegas meninggalkan rumah. Tak tahu mahu menuju ke mana? Tak pasti kepada siapa mahu dicurah segala resah? Dia akhirnya membelok ke arah kawasan perkuburan dan menangis di kuburan mama. Sedih sungguh! Namun dia sedang belajar untuk redha.
“ Dah berapa lama Acik sampai?” Tanya dia lemah.
“ Sempatlah habiskan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas. Sempat juga tengok adik menangis sambil baca Yasin tadi.”
“ Adik sedih… tak tahu nak cakap macam mana.” Mata April berlaga dengan mata Acik.
“ Acik faham,”  balas Acik. Tangannya menyentuh bahu April lembut.
Diam.
“ Apapun status adik, adik tetap adik kesayangan Acik. Jom! Acik belanja makan dekat Pantai Irama. Banyak yang Acik nak ceritakan pada adik. Lagipun, ada amanat papa yang perlu Acik tunaikan untuk Adik.”
April kemutkan hidung. “ Amanat apa lagi?”
“ Adalah… itu rahsia yang Acik dengan papa aje yang tahu. Tak melibatkan orang lain dan tidak termasuk dalam wasiat.”
April buat muka hairan lalu menggeleng kepala.“ Tak payah pergi jauh-jauhlah. Kita berbual dekat bawah pokok kat luar pagar tu ajalah. Kat tepi kereta adik tu. Adik tak ada mood nak pergi jauh-jauh.”
Acik angkat bahu dengan keadaan kedua-dua tangannya masih di dalam kocek baju Melayu. Dia  mengangguk.
April senyum segaris sebelum melangkah diikuti Acik yang beriringan di sebelahnya.
“ Kenapa semua orang rahsiakan dari adik? Hampir dua puluh tahun… macam tak percaya semua orang boleh simpan rahsia sekuat tu.” April memulakan pertanyaan. Sejak tadi, itu yang berlegar-legar di kepalanya. Tak ada satupun aksi dan perlakuan yang menunjukkan dia anak angkat. Cuma dia perasan, sejak dulu, Along dan Angah tidak berapa sukakan dia. Mereka tidak semesra Acik dalam melayannya.
“ Itu arahan papa dan mama. Siapa berani buka rahsia… papa ugut dengan balasan setimpal. Tapi dia tak pernah cakap nak buat apa, atau bagaimana dendanya. Yang Acik ingat, adik… anak Kak Siti yang menumpang di rumah. Dia meninggal sewaktu melahirkan adik. Ingat kubur Mak Iti yang mama selalu bawa adik ziarah di Pasir Mas tu?” Soal Acik.
April mengangguk perlahan.
Sebaik sampai di kawasan parkir kereta, dia mengambil tempat duduk berhampiran pangkal pokok cemara tua. Acik menurut saja.
April menghela nafas. Manakan boleh lupa aktiviti yang sudah menjadi rutin setiap tahun untuk mereka. Memang selama hayat mama, setiap kali Hari Raya, mereka pasti ke Pasir Mas melawat pusara Mak Iti. Mama selalu ajar April berdoa untuk kesejahteraan Mak Iti. Tak sangka… Mak Iti itulah ibu kandungnya.
 “Masa Adik lahir, Acik darjah satu. Angah dan Along, duduk di asrama. Sebab tu mereka tak rapat dengan adik. Lepas tingkatan lima, dua-dua orang ke oversea. Jadi antara dia orang dengan adik macam ada gap.”
April mengangguk. Dia semakin faham.
“ Sebab tulah, Angah dengan Along macam tak sukakan adik?”
Acik menggeleng. “ Bukan tak suka. Mereka cuma tak banyak masa bersama Adik. Tak macam Acik yang asyik berkepit dengan adik sejak dulu…” dia tersengih. “ Lagipun, Along dengan Angah tu, tersilap pilih isteri.”
 “ Patutlah…”
“ Patutlah apa?” Soal Acik kehairanan.
“ Patutlah papa selalu suruh adik jaga aurat depan abang-abang. Bila adik cakap, kita mahram… papa geleng kepala. Papa cuma cakap, mahram pun lelaki juga, lebih manis jika adik jaga yang mana patut.”
Acik mengangguk. “ Adik dah boleh terima semua ni?”
April angguk. Sebelum diam yang agak lama.
Matanya merenung rumput di kaki. Sekumpulan semut, sedang mengangkat bangkai rama-rama tidak jauh dari situ. “ Adik sedang belajar menerima. Sedih kat dalam hati adik, hanya adik dan ALLAH yang tahu. Tapi adik ambil nasihat Tuan Haji tadi, adik kena berbalik kepada takdir dan ketentuan ALLAH. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Lagipun, Adik tahu papa sayangkan adik. Dibesarkan dengan kasih sayang papa dan mama pun… dah cukup untuk Adik. Dapat rumah sebiji tu pun… dah cukup syukur. Maka adik kena tunjukkan rasa terima kasih adik dengan cara meredai segala tindakan papa selama ni.”
“ Sebenarnya, ada yang lain lagi.”
“ Maksud Acik?”
“ Papa ada mulakan bisnes butik untuk Adik. Tapi tak sempat tukar nama. Sementara ni, semua di bawah nama Acik. Tapi papa dah pesan supaya Acik berikan pada Adik walaupun semua tu termasuk dalam faraid bahagian Acik…”
April membulatkan mata. “ Butik?” Dia teruja. Namun mukanya kembali redup kemudiannya. “ Tapi tak payahlah. Itukan Acik punya…”
“ Acik tak kisahpun. Adik terimalah. Nanti Adik mulakan hidup baru kat sana. Rumah dengan butik tu dekat-dekat saja. Papa sudah plan semuanya untuk adik supaya adik dapat tinggal, bekerja dan diwaktu yang sama… tunaikan amanat ibu adik tu.”
“ Amanat ibu?”
Acik mengangguk. “ Itu yang papa cakap. Nanti adik akan tahu melalui catatan papa agaknya. Acik cuma menyampaikan amanat.”
“ Adik tak tahu nak cakap apa. Sejak bila papa plan? Kenapa Adik tak pernah tahu apa-apa?”
Hmm… dah 2 tahun tau! Itu idea dari mama sebelum dia meninggal. Papa dan Acik laksanakan masa adik mula-mula daftar dekat kolej fesyen tu. Sebab tu papa mahu adik ke oversea buat fesyen di sana, tapi adik tak mahu tinggalkan rumah. Butik tu, Acik yang uruskan kebanyakan proses permulaan tu. Cantik! Mesti adik suka.”
 “ Acik yang manage butik tu?”
“ Oh! Buat sementara… papa employ pekerja kat situ. Kami cuma letak baju ready made. So far… okey. Especially, during festive season. Lepas ni, terserah Adik mahu bawa bisnes tu ke mana… jangan jual baju Bollywood sudahlah!” Acik tersengih, cuba menceriakan April.
April senyum segaris. Cuma untuk sebentar.
“ Adik okay ke?”
April angguk lagi. Kemudian termenung… hatinya sudah kebas tanpa rasa. Tidak tahu yang mana perlu rasa sedih dan yang mana perlu gembira.
“Acik…”
Hmm…
“ Ibu Adik tu, macam mana orangnya?”
“ Acik ingat-ingat lupa. Tapi… dia baik. Cantik, putih dan lembut macam adik. Sebenarnya, rupa Adik memang seiras dengan rupa arwah ibu adik tu. Copy and paste version. Kalau tak silap, kata papa, ibu adik tu pun… suka kemutkan hidung sebijik macam yang Adik selalu buat tu.”
April kemutkan hidung. Acik ketawa.
“ Bapa Adik?”
Acik angkat bahu. Dia mengerutkan mukanya.
 “ Entah! Banyak perkara yang Acik tak tahu tentang asal usul adik. Baik papa atau mama, tak pernah berbincang atau bercerita dengan kami. Mungkin rahsianya ada dalam buku catatan papa? Acik rasa, papa ada sebab kuat untuk merahsiakannya dan mahu ia kekal menjadi rahsia walaupun selepas dia tiada.”
April menghela nafas dalam-dalam, kemudian melepaskannya.
Dia mendongak merenung jaringan dedahan pohon cemara yang merendang di atas kepala. Sehelai daun jatuh melayang dan berayun-ayun ditiup angin petang.
“ Adik hairan…”
“ Apa yang dihairankan?” Soal Acik, dia turut mendongak ke atas.
“ Kenapa Subang Jaya? Bisnes di Subang Jaya, rumah jugak di Subang Jaya? Kenapa tak di Kelantan saja?”
Acik hanya mengangkat bahu lalu berkalih. “ Mungkin di situlah sejarah adik bermula?” Balas Acik merenung tepat ke wajahnya.
April melepaskan nafas berat.
Menggeleng kepala. “ Jom! Kita balik saja.”
Dia bangun dan berjalan menghala ke kereta. Tiba-tiba jiwanya rasa kosong. Fikiran juga kosong.
Zaman kanak-kanak sehingga menginjak dewasa yang dilalui seperti terpadam tiba-tiba.
Dia kini perlu mencari kembali asal-usulnya.



Sekarang, USJ 4…

Gambar itu diturunkan. Dia memandang wajahnya di cermin.
 Lama dia berbuat begitu. Kenapalah dia tidak pernah terfikir, yang dia tidak serupa langsung dengan mama? Matanya tiba-tiba terasa panas dek air yang sudah mula bergenang. Dia menggeleng kepala,  berkalih lalu kembali melabuhkan punggong di atas katil.
Sampul surat warna coklat tua terdampar di tengah-tengah muka surat pertama buku catatan papa. Ianya dikepilkan bersama gambar tadi. Setelah sehari semalam, dia menguatkan hati untuk membukanya dengan tangan yang terketar-ketar.
Tulisan tangan yang halus teratur menyambut pandangan matanya…
25 Mac 1994

Assalamu’alaikum anakanda Nur Karmila,
Sekiranya anakanda membaca surat ini, bererti bonda sudah tiada lagi di dunia ini. Namun bonda yakin, bonda tinggalkan anakanda di bawah jagaan orang yang tepat.
Sudah tentu anakanda tertanya-tanya, siapa anakanda sebenarnya? Sesungguhnya, amat payah untuk bonda menerangkan segalanya… namun bonda akan cuba sebaik mungkin untuk memahamkan anakanda. Bonda cuma mahu anakanda tahu dan sentiasa ingat, bonda tidak pernah menyesal mengandungkan anakanda dan menggendong perut ini selama 9 bulan 10 hari. Oleh itu, anakanda juga sepatutnya tidak menangisi nasib diri dan menyesali ketentuan ALLAH untuk kita.
Jangan tanya bonda siapa bapa anakanda, kerana bonda sendiri tidak tahu. Pelik bukan? Tapi itulah yang sebenarnya terjadi. Anakanda adalah benih yang bonda dapati akibat dirogol ketika sedang tidur di rumah majikan bonda, di Teratak Nur Karmila. Bonda tidak nampak dan tidak jelas siapa pelakunya. Walaupun jauh di sudut hati bonda dan di minda bonda tertera satu nama, namun bonda tidak ingin menyatakannya kerana bimbang ketidakjelasan itu akan mengundang fitnah yang berpanjangan.

Sampai ke ayat itu, April berhenti. Dia cuba menahan tangis. Kesannya bahunya mula tersentap-sentap. Airmata yang cuba ditahan, mengalir laju menuruni pipi.
Dia anak luar nikah! Dia anak perogol! Dia anak yang tidak sah taraf! Hinanya dia. Kotornya dia. Terasa seperti mahu lari ke hujung dunia. Dan dia akhirnya merintih dan meraung…
Bunyi pintu diketuk kedengaran dari luar…
“ April! Kau okay ke?” Suara Ti’ah bertanya dengan nada risau.
Diam.
“ April! Kau okay ke?” Soal Ti’ah lagi. Jelas sekali dia risaukan April.
“ Aku okay… Biarkan aku sendiri!”
“ Okay! Kalau perlukan aku, kau tahu mana nak cari…”
April menyeka airmata. Dalam sedu, dia kembali meneliti surat tadi, lalu menyambung pembacaan…

Terlalu banyak perkara yang terjadi yang tak dapat bonda nyatakan di sini kerana bonda tiada bukti. Namun yang pasti, ada tangan-tangan ghaib yang telah menggoncang ketenangan Teratak Nur Karmila sehingga bonda dan beberapa orang yang lain terpaksa meninggalkan Teratak Nur Karmila kerana bimbangkan keselamatan anak-anak yang masih kecil.
 Seutas rantai dan sebentuk cincin diberikan sebagai bekal perbelanjaan jika kami terpisah. Ianya masih ada dalam simpanan bonda. Tolong pulangkan kepada yang hak. Iaitu kepada Puan Nur Amelia. Tolong  rahsiakan identiti anakanda jika terpaksa kembali ke Teratak Nur Karmila sehingga anakanda yakin ianya selamat. Berhati-hatilah ... semoga ALLAH melindungi anakanda.
Salam kasih sayang dan peluk cium dari bonda untuk anakanda. Ingat pesan bonda! Jangan sesali takdir kita, kerana ALLAH tidak pernah akan menzalimi hambanya. Jadilah anak yang baik kepada Encik Abdul Rahman dan Puan Rohani kerana merekalah yang menyelamatkan bonda…
Ikhlas,
Bondamu. Siti Nur Saleha.

Surat itu dihiasi oleh tompokan dakwat kembang di beberapa tempat. Mungkin ibu menulis surat itu dalam keadaan sedang menangis. Kasihan ibu! Suratan nasib kehidupan ibu, penuh dugaan. Berbanding dia, walaupun status dirinya begitu, dia hidup dibelenggu kemewahan dan dilimpahi kasih sayang papa dan mama. Maka selayaknyalah dia bersyukur dan tidak menyesali takdir hidup.
Dia membuka buku catatan papa. Menyelak halamannya satu persatu. Di dalamnya terdapat keratan akhbar dengan tarikh lebih awal. Ia dilekatkan pada mukasurat berselang-seli dengan catatan papa. Dia menahan sebak, memegang dadanya sebelum kembali menyelak helaian pertama. Tidak seperti membaca surat dai ibunya, melihat tulisan papa sahaja, membuat dadanya sarat dengan rindu terhadap papa.

 Assalamu’alaikum anakanda Nur Karmila…
Buah hati, pengarang jantung dan Intan Payung papa. Jangan menangis jika membaca catatan papa kerana itu tandanya papa sudah kembali dijemput Yang Esa. Jangan sangsikan kasih sayang kami, kerana anakanda adalah anugerah terindah yang tidak ternilai harganya. Berlapang dadalah, kerana sesungguhnya perancangan ALLAH adalah yang terbaik untuk kita.Semestinya ia mengandungi hikmah yang tersendiri.
Semestinya saat membaca catatan ini, anakanda sudah mengetahui dan mengerti mengapa dan kenapa semua ini terjadi…
Papa akan cuba menulis sekadar apa yang papa tahu untuk rujukan anakanda di sini. Semoga ia akan memberikan sedikit pencerahan siapa diri anakanda dan apa sebenarnya sejarah yang membawa kepada lahirnya April Nur Karmila.
Maafkan papa dan mama atas segala kekurangan selama membesarkan anakanda, hanya inilah yang terbaik yang mampu papa buat untuk anakanda.
Sayang selamanya,
Papa.

Dia mengesat airmata. Terasa seperti papa sedang bercakap dengannya. Terbayang senyuman papa, wajah papa yang sentiasa tenang dan usikan papa yang sentiasa menyerikan hidupnya. Dia tidak pernah sangsikan kasih sayang papa dan mama. Tak pernah!
 Setelah membelek beberapa tajuk pada keratan akhbar, dia menutupnya kembali. Biarlah dulu. Dia perlu fasa bertenang untuk menyerap setiap kejutan yang bakal mendatang. Apa yang dia tahu sebentar tadi, sudah cukup untuk membuatkan jantungnya belum mahu berhenti berdetak dan hati menjadi tidak keruan.

Ya! Hatinya sedang walang sebenarnya.

1 comment:

eija said...

sedihnya.. sbug lg

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU