Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, August 4, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - Bab 3



DIRA berjalan melewati koridor di tingkat bawah Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Kata Ain, bila nampak bilik kaunseling, Dira kena belok ke kiri. Dia mengikut saja arahan yang diberikan Ain melalui talipon tadi. Sebaik sampai di hujung koridor, dia melihat papan tanda bertulis ‘ Unit Bekalan Ubat’.

Dira menguis-nguis hidungnya. Sejak memasuki perkarangan hospital, segala bau ubat-ubatan mula menusuk ke lubang hidungnya. Kalau tidak memikirkan kepentingan bertemu Ain, dia lebih rela menunggu hujung minggu saja. Berjumpa dan makan-makan di mana-mana restoran. Itu lebih baik, dari menyiksa hidungnya dengan segala bau ubat-ubatan macam sekarang.

Hmm… entah kenapa lah Ain ni, sejak dulu dia memang bertekad mahu mengambil jurusan Farmasi sebagai pilihan pertama. Tak glamour langsung. Pernah juga Dira cuba pengaruhi Ain menukar minat ke kursus perubatan, namun Ain tak terpengaruh pun. Ain semacam sudah jatuh hati dengan profesyen itu. Segalanya bermula sejak Ain berkerja sementara di farmasi kawan ibunya di setiap tiba cuti sekolah hujung tahun.

Dira menggeleng kepala sebaik berdiri di hadapan pintu masuk. Dia menjengah kepala ke dalam. Yang dilihatnya hanyalah rak-rak yang penuh dengan ubat-ubatan. Kalau dialah, tak sanggup rasanya nak mengadap kotak-kotak tak bernyawa dan bau-bau yang kurang menyenangkan begini.

“ Di larang menjengah di sini.” Bunyi satu suara tiba-tiba bergema dari belakang telinga Dira, sehingga menyebabkan dia terlompat.

Sebaik menyedari itu adalah Ain, tamparan keras dilayangkan ke bahu Ain. Ain mengerutkan muka, bahunya digosok perlahan. Namun akhirnya, ketawa Ain pecah juga.

“ Padan muka kau. Lain kali buat lagi…” tangan Dira turut mengurut bahu Ain, menyesal pula bertindak melulu.

Ain hanya tersengih. “ Jumpa jugak ye, risau juga aku… takut-takut orang New York sesat dekat Kelang.”

“ Eh! Tolong sikit ek! Aku orang Malaysia tau…” sambil perkataan ‘ aku orang Malaysia’ itu diajuk mengikut telor Susan Lancaster seperti yang selalu disiarkan melalui radio Sinar FM sebagai mempromosi ‘Satu Malaysia’.

“ Jom! Duduk sini dulu…” Ain menarik tangan Dira ke arah deretan bangku di hadapan pintu masuk Unit Bekalan Ubat. Dira hanya mengikut.

“ Apa kes? Sampai tak sempat macam ni. Kok ye pun, tunggulah hujung minggu. Hari ni kan dah Jumaat!”

“ Tak boleh! Ni memang urgent ni.”

“ Apa yang urgent?”

“ Papa aku dah dapat locate address Nini. Kebetulan, masa papa ke Kedah baru baru ni, papa terjumpa mak Nini secara tak sengaja. Kata Mak Chu Kina, Nini sekarang sambung pengajian kat IUCB. Tahun 3. Dia ambil kursus Business Management… macam yang dia impikan dulu,” cerita Dira dengan muka berseri-seri.

“ Uishhh! Universiti apa tu? Tak pernah dengar pun…”

“ International University College of Business, dekat Petaling Jaya. Kolej Swasta kot.”

“ Alhamdulillah! Cepatnya kau kesan dia. Dan, yang paling aku happy, Nini managed to continue her study. Wonder… macam mana dia survive…” muka Ain yang mulanya teruja, berubah menjadi berkerut.

“ Dengan izin Allah… dan, kalau nak tau, kita kenalah jumpa dia.”

“ Kat mana alamat tu?”

“ Dekat-dekat sini aja… Seksyen 17, Shah Alam. Pasal tu aku nak jumpa kau. Aku nak ajak kau cari Nini hari ni jugak.” Dira memaut lengan Ain, meruntun Ain macam budak kecil lapar Ais krim.

“ Ish! Kau ni… ingat hospital ni bapak aku punya ke! Kau tu tak apalah… kompeni bapak kau. Boleh aja suka-suka hati keluar masuk.” Ain mengerutkan muka.

“ Minta time-off tak boleh ke? Hari ni kan Jumaat. Kejap lagi rehat sampai 2:45 petang, lepas tu berapa jam aja nak sampai pukul 5…” Dira memberi idea.

“ Amboi! Amboi! Banyaknya idea kau. Sejak bila kau karang pelan macam ni?”
Dira tidak menjawab, dia hanya tersengih. Kedua-dua telapak tangan ditemukan dan dibawa ke bawah dagu. Merayu Ain supaya setuju.

Ain melepaskan nafas berat. Kepala digelengkan beberapa kali. Dia bangun dan bercekak pinggang merenung Dira yang masih duduk. “ Dari dulu… kau memang macam ni, tak habis-habis merayu. Nantilah, aku cuba tanya boss aku. Tapi aku tak janji tau!”

Dira bangun dan terus memeluk Ain. Dia tahu Ain pasti akan mengalah juga akhirnya. Dira amat berharap dapat bertemu Nini secepat mungkin.

*****

DIRA membelok keretanya memasuki simpang selepas melihat papan tanda yang bertulis ‘Seksyen 17’. Kawasan perumahan kos rendah ini sungguh luas dan padat, dan ini pertama kali Dira ke sini. Matanya memandang ke kiri dan kanan. Kalau ikut alamat yang diberi, rasanya rumah Nini di tingkat bawah sebuah flat. Di sebelah kanan jalan, memang terdapat lebih sepuluh buah flat yang sudah kusam warnanya… harap-harap inilah tempatnya.

“ Kau berenti kat tepi jalan. Bagi aku alamat tu, aku cuba tanya pakcik jual Apom Balik tu. Lebih mudah. Taklah tercangak-cangak kita nanti.” Ain yang asyik diam dari tadi, mula bersuara. Baik betul nasib Ain hari ini, tanpa banyak bersoal-jawab, dia berjaya memperolehi cuti separuh hari.

Dira memberhentikan keretanya di hadapan Seven Eleven. Ain keluar menyeberang jalan, memberi salam dan bertanya alamat yang tertera di kertas yang dihulurkan. Tidak lama kemudian, Ain kembali dan masuk semula ke dalam kereta.

“ Flat yang tepi sekali tu. Yang itu nombor 9. Kalau ikut nombor, kata pakcik tu… rumah kedua dari tepi, di tingkat bawah.”

“ Kita masuk simpang kat depan tu lah agaknya.”

“ Hmm…agaknyalah. Pakcik tu kata, berenti kat tepi jalan aja… pintu rumah tu bercat hijau. Katanya, rumah dia bertentang aja dengan alamat ni. Memang ada dua orang budak kolej yang duduk situ.”

Dira menggenggam tangan Ain. “ Kau rasa… kita akan jumpa Nini tak?”

“ Insyallah! Mudah-mudahan... kau ni, macam nak jumpa buah hati pulak.”

“ Ini lebih dari buah hatilah… ” jawab Dira. Dia mula menekan minyak untuk meneruskan pemanduannya.

Sebaik menghampiri bahu jalan bertentang dengan flat nombor 9 yang dimaksudkan, Dira memberhentikan kereta. Mereka memandang ke arah flat, mencari rumah berpintu hijau, di tingkat bawah. Dan… tanpa perlu tercangak-cangak, ianya sudah jelas di depan mata.

“ Jom!” Ajak Ain sambil terus membuka pintu kereta. Namun, Dira masih membatu, matanya masih tak lepas merenung pintu hijau tu. Ain mula menggeleng kepala, sudah tak tahan dengan olah Dira agaknya.

Tiba-tiba saja, Dira memaut lengan Ain. Mulutnya dimuncungkan ke arah pintu rumah tadi. Terus saja Ain mengalih pandang ke arah yang ditunjukkan Dira. Kelihatan seorang perempuan bertudung sedang membuka pintu, sambil menjinjing beg besar dan memegang kasut di tangan kiri. Perempuan itu kemudiannya membuka jeriji besi dengan menggunakan tangan kanannya, dia melabuhkan punggong di atas simen dan mula menyarung kasut sambil kepalanya ditundukkan.

“ Nini ke?” Dira bertanya, separuh berbisik, matanya dipincingkan.

“ Nampak macam dia. Jom! Cepatlah sikit!” Tanpa menunggu Dira, Ain terus keluar dan meluru ke arah perempuan tadi. Dira mengikut dari belakang. Lambat benar dia mengatur langkah. Melawan rasa di dalam hati, antara teruja, takut, tidak percaya dan segala macam rasa yang ‘libang libu’ di hatinya.

Ain berhenti dalam jarak lima meter dari tempat perempuan tadi sedang duduk. Dia berdiri kaku di situ, dan Dira pula berhenti beberapa langkah di belakang Ain. Kedua-dua mereka hanya terdiam, memandang ke hadapan.

Bagaikan sedar yang ada orang lain selain dia, perempuan tadi mendongakkan kepalanya. Matanya dan mata Ain bertentang, dan Ain melepaskan keluhan berat. Dira yang dari tadi menyembunyikan diri di belakang Ain, turut menjengah. Sebaik bertemu pandang dengan perempuan di hadapannya, mata Dira mula berkaca.

Itu bukan Nini, bukan Nini yang Dira cari. Dada Dira mula sebak, rasa hampa itu tak mampu diluahkan dengan kata-kata, matanya berkaca merenung Ain. Dan, dia akhirnya memeluk Ain dari belakang dan menangis di bahu Ain. Tangisan yang mulanya perlahan namun lama kelamaan menjadi sedu sedan yang tak mampu ditahan.

*****

DIRA memandang Aisyah yang masih termenung. Entah apa yang sedang difikirkannya. Muka Aisyah berkerut, seperti hendak berkata sesuatu, tetapi akhirnya terdiam semula. Sebaik tahu yang Dira dan Ain adalah kawan sekolah Nini, Aisyah tidak jadi untuk keluar. Kata Aisyah, diawal-awal tahun perkenalan mereka, Nini ada juga tersasul memanggilnya dengan nama Dira sekali sekala,. Namun, Nini jarang bercerita siapa Dira sebenarnya.

“ Sebenarnya, saya ni kadang-kadang sangsi juga dengan Nini. Asal malam saja, dia hilang.” Aisyah akhirnya bersuara.

“ Awak tak tahu dia buat apa? Pergi mana?” Ain menyoal.

Aisyah menggeleng. “ Yang tak sedap tu, dia rapat sangat dengan Rasyid. Rasyid tu kaki clubbing. Ish! Risau pulak bila difikir semula…” Aisyah menggaru kepalanya.

“ Kaki clubbing?” Walaupun kata-kata Aisyah itu sangat jelas, namun Dira bertanya sekali lagi… mahukan kepastian. Aisyah mengangguk. Lalu, Dira berkalih memandang Ain. Ain pula, hanya menggelengkan kepala sambil mengangkat bahu.

“ Lagi satu, sejak semalam… saya tengok Nini tu resah semacam aja. Asyik berbalas SMS. Tak lama lepas tu… Rasyid sampai kat depan jalan tu. Saya tengok, mula-mula macam bergaduh, lepas tu baik pulak. Dia balik dengan menjinjing shopping bag, bila saya minta nak tengok isinya, dia tak kasi. Lepas tu… masih menggelisah macam sebelumnya jugak.”

“ Awak tak tanya dia? Dulu-dulu, masa sekolah…dia pun memang very secretive, tapi kalau saya tanya… dia akan beritahu juga.” Soal Dira pula.

“ Hmm… dia tak suka saya sibuk-sibuk hal dia. Selalu kalau kami bergaduh pun pasal tu lah. Saya ambil berat tentang dia, kami sama-sama susah… sama-sama orang kampong. Entah kenapa, hati saya makin tak sedap kebelakangan ni. Saya takut… kerana masalah kewangan, dia tersasar dari jalan yang sepatutnya. Semalam tu…” Nada sedih suara Aisyah bercerita, terhenti tiba-tiba. Dia seperti tidak yakin untuk meneruskan cerita…

“ Kenapa dengan semalam? Please! Bagi tau kami. Saya tahu awak sayangkan Nini, kami berdua pun sayangkan Nini.” Soal Dira lagi, dia memaut lengan Aisyah.

Dira semakin tidak sabar, semakin risaukan Nini. Cara Aisyah bercerita, seperti Nini ada masalah besar. Mengingatkan gambar yang ditunjukkan oleh Ain minggu lepas, membuatkan Dira semakin resah. Mengenali Nini dan keluarganya sejak dulu, pastinya mustahil untuk Nini berpakaian sebegitu. Tanpa tudung kepala pula tu. Namun, lima tahun itu satu jangkamasa yang lama, sedangkan pantai lagi berubah… inikan pula hati manusia. Ya Allah! Dira sangat-sangat berharap, Nini tidak berubah. Dira tahu dia bukan alim sangat. Bertudung pun tak mahu. Namun, dia juga tak mahu Nini berubah, dia rindukan Nini yang dulu. Yang cantik, yang berperibadi mulia dan yang mementingkan agama.

“ Maaf, saya tanya boleh?” Soalan Dira dibalas anggukan oleh Aisyah. “ Nini masih bertudung kan?” Aisyah mengangguk lagi.

“ Itu yang membuatkan saya risau sebenarnya. Semalam, masa dia masuk bilik air… saya curi tengok isi beg yang Rasyid bawa tu. Yang peliknya, kat dalam tu, ada gaun malam yang seksi, tali kecil macam ni…” Aisyah menunjukkan jari kelingkingnya. “ Saya curi baca sms dalam handphone dia… kalau dia tahu, mati saya kena leter…”

“ SMS tentang apa?” Giliran Ain pula bertanya.

“ Dari Rasyid. Pendek saja, dia tulis…’Malam esok, pukul 8 dekat CC’ , tu aja. Tak tahu apa projek dia orang berdua. Ish! Saya sampai tak lena tidur. Risau kalau-kalau Rasyid tu dah pengaruhi Nini buat kerja tak baik.”

“ Pukul 8 malam ni, tapi CC tu apa?” Dira mengerutkan keningnya.

“ Mungkin Concorde. Tempat aku mula-mula nampak dia. Tempat aku snap gambar yang aku tunjukkan pada kau tu.” Ain bersuara, kedengaran yakin dengan jawapannya.

Dira membulatkan matanya. Memandang Ain dan Aisyah bersilih ganti. Nampaknya, apa yang dirisaukan Aisyah ada logiknya. Dira mesti mencari Nini, kalau betul Nini tersasar… Dira kena selamatkan Nini.

“ Kita ke sana malam ni! Kita kena pastikan dapat jumpa dia jugak malam ni.” Matanya merenung Ain, mengharapkan persetujuan Ain.

Ain mengangguk, jawapan yang meyakinkan… walaupun tanpa suara.

*****

DARI suatu sudut tersorok, Dira dan Ain duduk memerhatikan orang yang lalu lalang di lobby hotel. Sudah sekian lama menanti, namun orang yang dicari, belum nampak kelibatnya.

“ Dah lama kita tunggu ni, belum nampak kelibat macam Nini pun…kau rasa telahan kita ni, betul ke tak agaknya…” Dira merungut.

“ Sabarlah…baru 8:05, aku kat sini sejak 7:30. Masa kau solat tadi, aku tak kemana pun. Semua orang lalu kat depan ni, aku perhati… memang tak ada yang nampak macam Nini. Aku rasa, telahan aku tentang tempat ni, tepat.”

“ Kalau Aisyah ikut tadi kan bagus, dia kenal Rasyid tu. Kita mana tahu yang mana, entah-entah yang itu ke, yang itu ke…” Dira membebel, jarinya pula, sewenang-wenang menunding ke sini dan sana. Asal nampak lelaki, ke situlah ditudingnya jari.

“ Dira! Kau ni hilang akal ke apa? Main tunjuk jer… karang, ada yang datang tanya kenapa kau buat macam tu, kau nak jawab apa?” Giliran Ain pula berleter.

Dira tersenyum sumbing. Dia sendiri tak faham kenapa hari ini dia jadi tak betul, macam orang kena sampok dengan Hantu Kak Limah. Resah yang bersarang dalam hati membuatkan dia jadi tak menentu. Namun bila ditegur Ain macam tu, terasa pula nak mengusik Ain…

“ Atau… yang kat situ” Dira menunding lagi, sambil tersengih. Menunding begitu sekadar hentam keromo, namun kali ini… orang yang ditundingnya, membalas pandangannya tanpa berkelip.

Lelaki berkumis nipis itu terus memandang Dira. Lelaki itu nampak macam terkejut. Macam nampak orang yang pernah dikenalinya. Seumur hidup Dira, dia tak pernah dipandang begitu, pandangan sedingin salju, dinginnya menjunam sampai ke hati.

“ Ain… toloooongggg, aku tersilap tunding kali ni…” Dira berpaling ke arah Ain. Mukanya pucat, kalau toreh dengan pisau pun, mungkin tiada darah yang akan keluar. Dira tak berani menoleh lagi.

“ Padan muka kau. Tadi aku dah warning kan! Degil! Yang mana satu? Biar aku pula yang tenung dia.”

“ Kat hujung, dari dalam coffee house tu…”

“ Mana ada, kau merepek!”

“ Ada. Dia duduk sorang-sorang, berkumis nipis.”

“ Aku cakap tak ada, tak ada lah. Ada kerusi kosong aja.”

Dira berkalih perlahan, memandang ke arah tadi. Betul kata Ain, kerusi itu sudah kosong. Kemana lelaki itu pergi? Macam kilat dia menghilangkan diri. Dira menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari kelibat lelaki berkumis nipis tadi, namun lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Hairan!

Tiba-tiba, Ain menarik lengan Dira. Kuat genggaman tangan Ain hingga menyebabkan Dira terasa pedih.

“ Kenapa?”

Ada riak terkejut di muka Ain, dia memuncungkan bibir ke arah kiri lobby. Dira menoleh, mengikut arah pandangan Ain.

Mata Dira membulat, rahang bawahnya jatuh separuh. Tidak jauh dari situ, kelihatan seorang perempuan cantik, tinggi lampai dan berkulit putih gebu. Perempuan itu bergaya seksi dengan gaun malam warna hitam bertali halus. Sekali pandang, gayanya seperti pelakon Nasha Aziz. Cantik. Namun bila dipandang kali kedua, ada debar di dada Dira, jantungnya mula bergerak laju. Dia amat berharap dia tersilap pandang dan tersilap orang…

Dira berkalih memandang Ain, mencari riak di wajah Ain. Lebih tepat lagi, Dira mahu tahu adakah apa yang difikirkannya, sama seperti yang sedang bermain di minda Ain. Dan, Ain hanya mengangguk. Perlahan.

“ Nini?” Soal Dira perlahan. Mahukan kepastian.

Ain mengangguk lemah. Mata Ain berkaca.

Dan, diluar sedar, ada air mata yang mula turun membasahi pipi Dira.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU