Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Tuesday, September 6, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - Bab 4



NINI menarik tangannya dari pegangan Rasyid. Dia tidak suka bekerja dengan rasa terpaksa begini. Dan, entah kenapa… sejak semalam dia rasa tidak sedap hati. Kalau ikutkan hati, dia sudah mahu menarik diri. Namun Rasyid memang pandai memujuk. Kata Rasyid, dia sudah terlanjur berjanji, dan mahu Nini menolongnya untuk sekali ini saja.

 “ Kau cantik hari ni.”

 “ Sudah-sudahlah Rasyid. Baik kita keluar dari sini. Aku tak sedap hati… macam ada mata sedang memandang aku.”

 “ Kau cantik. Mestilah orang nak pandang.”

 “ Aku rasa tak selesa la… siapa yang pilih baju macam ni?” Nini mengurut bahunya yang terdedah. Baju hitam bertali kecil itu terlalu seksi untuknya.

 “ Aku lah, siapa lagi? Padan muka kau. Semalam tu, kau sombang sangat tak mahu ikut. Aku pilih ikut selera aku…” Rasyid tersenyum sinis, kemudian mula mencebik bibir. Tangannya mula memaut semula lengan Nini.

Nini menarik lengannya, tidak mahu Rasyid berlebih-lebih. Hari ini, dia rasa sebal betul dengan Rasyid.

 “ Kau kata cuma nak jumpa orang tu, tak kan dah nak kena pakai macam ni? Aku belum setuju nak ikut tau. Entah apa bentuk ‘service’ yang dia orang maksudkan… kita belum tahu.”

 “ Malam ni, ada dua tiga orang yang tak kurang pentingnya akan ada sekali. Kita kena tunjukkan yang kau memang layak. Dengar dulu apa yang mereka nak kau buat. Lepas tu, kita buat keputusan.”

 Nini menarik muka masam, cara Rasyid berfikir bagi pihak dirinya seperti dia milik Rasyid, seperti dia hanya barang dagangan yang boleh diletak harga, dibuat ikut suka. Dia sudah muak dengan karenah Rasyid yang kebelakangannya ini yang seolah-olah cuba menentukan hidupnya. Dan kadang-kadang, terfikir juga Nini, adakah Rasyid cuma sekadar mengambil kesempatan? Menyesal pun ada kalau mengingatkan kembali bagaimana dia boleh terjebak sejauh ini.

 “ Kenapa kau diam?”

 “ Aku tak mahu buat lebih dari apa yang aku buat sekarang… kau jangan libatkan aku dengan perkara yang lebih teruk. Aku dah rasa cukup teruk sekarang.”

 “ Kau fikir, aku buta hati?"

 “ Entahlah! Aku rasa aku semakin tak kenal engkau lagi…”

 Rasyid terdiam. Dia memandang Nini lama. Namun akhirnya, dia berkalih dan mula melangkah ke arah lif.

Nini mengekor dari belakang. Belum sempat beberapa tapak bergerak, Nini terdengar namanya dipanggil. Mulanya perlahan, namun panggilan itu semakin kuat, hingga menyebabkan Nini memberhentikan langkahnya.

Nama ‘Nini’ itu, hanya untuk orang terdekat, dan orang-orang dari masa lalunya. Nini kaget. Dia berdiri membatukan diri, takut untuk berpaling. Suara itu. Oh! Tidak! Nini rasa dia kenal suara itu.

 Nini tahu, dia tidak boleh melarikan diri lagi. Apa yang ditakuti selama ini, kini benar-benar terjadi. Dia ‘kantoi’ juga akhirnya. Dan, lebih teruk lagi… ketika sedang berpakaian begini. Pakaian yang dia sendiripun rasa ralat menyarungnya.

Namun Nini juga tahu, dia tak mampu berbuat apa-apa lagi, selain menghadapi detik ini secara orang dewasa. Sebaik berkalih, matanya menangkap imej dua orang sahabat yang dirinduinya sekian lama. Dira sedang berdiri di hadapannya dan merenungnya dengan mata berkaca. Ain pula berdiri tak jauh di belakang. Pasti Ain yang memberitahu Dira tentangnya. Nini masih ingat bagaimana dia terserempak dengn Ain beberapa bulan sebelumnya.

 Nini hanya membalas pandangan Dira. Dia cuma berdiri seperti jasad tanpa perasaan. Sudah lama tak bertemu, Dira semakin cantik dan elegan, walaupun cuma bergaya ringkas. Dira yang sentiasa menduduki tempat teristimewa dalam hidupnya. Dira yang selama ini memiliki hati seputih salju. Dan, Nini yakin, hati itu tidak pernah akan berubah walaupun setelah melihat dia begini.

 Nini tahu Dira tentu sedih kerana tentunya dia sudah dapat meneka jalan mana yang Nini pilih. Dira tentu tertanya-tanya kenapa dia jadi begitu. Cuma Dira tak tahu, kalau Dira sedih…Nini sebenarnya, jauh lebih sedih. Sedih dengan apa yang dia terpaksa buat untuk memastikan segulung ijazah berada di genggaman.

 “ Nini…” suara Dira tersekat, air mata mula turun di pipinya.

 Nini tak tahu mahu bereaksi macam mana, dia tak mahu Dira tahu kelemahannya. Dia sudah banyak terhutang budi dengan Dira dan keluarganya. Dan, dia juga telah menghampakan mereka. Dia cuma ingin buktikan yang dia juga mampu berjaya.

 “ Kau silap orang. Aku bukan Nini.” Entah kenapa, perkataan itu yang keluar dari mulutnya. Sedangkan Nini tahu, dia tak akan mampu menipu Dira. Sejarah dia dan Dira sudah bermula terlalu lama. Mana mungkin Dira tidak mengenalinya kalau sudah berhadapan begitu.

 “ Kau tahu, kau tak boleh tipu aku…kenapa Nini? Kenapa jalan macam ni yang kau pilih?” Soalan itu terlontar dari mulut Dira. Ada nada terkilan di situ.

 Kalau ikutkan hati, Nini mahu meraung di situ. Namun Nini sedar, ini bukan masa yang sesuai untuk dia bersedih dan mempertahankan diri. Bagaimana mungkin orang lain mampu mengerti apa yang dia tanggung. Dan, bagaimana pula dia mampu membuatkan Dira faham. Nini tak tahu. Biarlah! Tunggulah! Suatu hari nanti, Dira pasti mengerti.

 Nini mahu membuka mulut, namun terhenti bila lengannya ditarik dari belakang. Rasyid rupanya, Nini hampir terlupa kewujudan Rasyid yang nampaknya seperti tidak sabar menanti lebih lama.

 “ Cepat Nini! Kita tak ada banyak masa.”

 “ Jangan Nini! Please! Jangan ikut dia. Balik dengan aku ke rumah papa.” Dira merayu Nini bila Nini mula melangkah mengikut Rasyid. Dira segera menarik tangan Nini, membuatkan Nini terpaksa berkalih merenung Dira.

 “ Kau baliklah. Aku dah tak layak jadi kawan kau. Aku perempuan kotor.”

 “ Aku tak pernah anggap kau macam tu…” ungkapan yang terhenti separuh jalan. Dira tak mampu menahan tangisnya. Ain mendekati Dira dari arah belakang menepuk bahu Dira dan cuba mententeramkan Dira.

 Tangan Nini direntap kasar oleh Rasyid. Matanya terbuntang merenung Dira. Nampak riak marah di wajahnya. “ Korang berdua! Boleh belah dari sini tak! Orang dah tak sudi, tak reti-reti nak berambus!” keras bunyi suara Rasyid melepaskan kemarahan.

 Melihatkan Rasyid sudah naik hantu, Nini segera beredar menjauh. Dia tak mahu Dira dikasari, kerana seumur hidup dia mengenali Dira, Dira tidak pernah meninggikan suara padanya. Walaupun sepanjang detik itu, dia di pihak yang terpaksa bergantung hidup dengan keluarga Dira.

 “ Sudahlah Rasyid! Jangan marah dia. Dira! Kau baliklah dulu, nanti aku cari kau…” belum sempat menghabiskan ayat, Rasyid merentap tangan Nini lagi sekali. Rasyid mengheret Nini memasuki lif, dengan keadaan kepala Nini masih tertoleh memandang Dira.

 Lif terbuka sebaik sahaja mereka menghampiri. Rasyid mengheret Nini, melangkah ke dalam. Dia menekan butang untuk menutup pintu lif. Namun sebaik lif hampir tertutup, ia tiba-tiba terbuka semula.

 “ Ahh! Siapa pulak ni?” Rasyid merengus.

 Imej Dira yang sedang berdiri di hadapan pintu lif menyambut pandangan mereka. Rasyid segera menumbuk dinding lif. Melepaskan amarahnya. Namun Dira berdiri di situ dengan muka selamba. Dira menghulurkan bungkusan yang sudah sedia berada di tangannya kepada Nini. Nini hanya memandang kotak kecil berwarna biru lembut itu. Tak tahu mahu apa yang patut dia lakukan.

 “ Ambillah! Aku beli ni sejak di US. Memang niat nak bagi engkau. Aku nak Nini yang dulu. Aku rindu Nini yang dulu.” Terketar-ketar Dira menuturkan ayat itu. Dan setiap patah perkataan yang diungkapkan Dira, menyentuh hati kecil Nini pada sudut yang paling dalam.

 Nini menyambut huluran itu. Kotak kecil warna biru itu kini, sudah bertukar tangan. Dengan itu, Dira melangkah setapak ke belakang, menekan butang lif dan pintu lif mula tertutup perlahan.

Semuanya berlaku dengan pantas, Nini tidak sempat pun mengucapkan terima kasih. Yang Nini nampak hanya wajah sedih Dira dengan senyuman yang dipaksa serta pandangan mata yang penuh keikhlasan.

 Nini merenung kotak kecil di tangannya. Dia berundur hingga tersandar di dinding lif, rasa tak bermaya menguasai tubuh badannya. Rasa sedih dan terkilan pula menguasai perasaan. Dia akhirnya tersepuk di lantai dan menangis semahu-mahunya.

 ***** 

 NINI menyeka airmatanya. Matanya tak lepas memandang rantai leher dengan loket berbentuk hati itu. Serta merta dia teringat peristiwa bersama Dira dulu. Hati Nini makin sebak, kerana dia tahu…Loket itu tandanya, Dira masih Dira yang dulu. Tidak pernah berubah. Yang berubah hanya dia.

 “ Sudahlah tu. Lupakan sekejap pasal tadi. Hentikan menangis tu. Nanti kau nak jumpa orang-orang tu, kau nak dia tengok muka kau macam ni?” Rasyid akhirnya bersuara setelah sekian lama membiarkan Nini tenggelam dalam emosi.

 “ Ada aku kisah! Ini semua plan engkau…bukan aku.”

 “ Sudahlah tu. Aku mengaku, aku salah. Kita buat ni pun, sebab aku dah terlanjur berjanji. Aku janji…ini yang pertama dan terakhir. OK?” Nini hanya mencebik. Malas mahu memanjangkan perbualan. Dia peduli apa dengan janji Rasyid yang tak boleh dipakai tu.

 “ Haa…No 20. Here we are …” Rasyid akhirnya bersuara, sebaik membelok memasuki lorong itu. Keretanya mula dipandu memasuki ruang kosong di bahu jalan.

 Nini menjengah keluar tingkap, terpesona dengan kecantikan banglo yang tersergam indah diterangi dengan lampu tumpu yang dihalakan ke pagar berwarna putih. Kombinasi yang amat cantik. Hmm… tak merasa lah nak menghuni rumah sebegini, walaupun hanya di dalam mimpi. Rumah yang paling besar pernah dia huni satu ketika dahulu, cuma rumah Dira. Itupun, ia cuma rumah kolonial yang menjadi penempatan Pegawai Daerah.

 Rasyid membuka pintu kereta dan mengisyaratkan Nini supaya keluar. Nini cuma mendiamkan diri, sangsi untuk bergerak keluar. Ada rasa tidak enak di dadanya, jantungnya berdetak semacam. Kalau lepas berlari pecut 100 meter pun, mungkin tak sekuat ini jantung berdebar. Terasa seperti hendak berpatah balik, namun dia tahu… mustahil Rasyid akan setuju.

Dia melangkah malas ke arah pintu pagar dan berdiri di situ. Pintu pagar yang dikawal suis otomatik itu terbuka dengan sendiri. Nini nampak kelibat dua orang lelaki berbadan tegap dan berkot hitam berjalan menghampiri. Rasyid segera bergerak ke arah mereka.

 “ Jawa! Puas aku pusing cari rumah ni.”

 “ Aku ingat kau tak jadi datang. Nahas kau kalau kau berani…” Lelaki yang dipanggil Jawa membalas. Namun mata ganasnya mula menjeling ke arah Nini. Dia tersenyum dan merenung Nini atas dan bawah sebelum mengangkat ibu jarinya kepada Rasyid.

 “ Aku dah janji, aku datanglah…kenalkan, Nurul. Nurul, ini Jawa.” Nini hanya menganggukkan kepala. Dia dan Rasyid sudah ada perjanjian untuk menggunakan nama Nurul sahaja, bukan Nini. Ini kerana nama Nini itu sudah sinonim dengannya sejak kecil.

 Melihat Nini hanya mengangguk, Jawa mula menghulurkan tangannya. Mahu tidak mahu, Nini terpaksa menyambutnya. Hujung tangan Nini digenggam separuh, dan Jawa mula mengucup lembut belakang tangan Nini sambil matanya merenung Nini tajam.

Mata ganas itu membuatkan Nini mendesah. Kini barulah Nini faham, kenapa Rasyid merayu-rayu supaya dia datang juga malam ini. Hati Nini semakin tidak sedap, entah dengan samseng manalah Rasyid bergabung kali ini, dan yang paling dia geram, Rasyid melibatkannya dalam semua ini tanpa mengambil kira persetujuannya.

 “ Silakan…” Jawa mempersilakan mereka masuk. Jawa mendahului mereka, diikuti Rasyid, Nini dan seorang lagi lelaki yang mendiamkan diri sejak tadi berada di belakang sekali.

Ruang luas seperti yang selalu dilihat di dalam filem-filem Bollywood menyambut kedatangan mereka sebaik mereka melepasi pintu utama. Susun atur yang bergaya ekklusif dapat dilihat di mana-mana. Ada beberapa orang lelaki separuh umur sedang berbual, di tangan masing-masing memegang gelas berisi minuman berbuih. Ada juga beberapa orang wanita sebaya Nini, yang pakaian mereka jauh lebih seksi dari apa yang dipakai Nini. Nini mencongak-congak… ada lebih sepuluh orang di situ.

 Mereka dibawa menemui lelaki gempal separuh abad yang sedang memeluk erat gadis berbaju merah...yang lebih layak dipanggil anaknya. Lelaki gembal berkulit sawo matang yang Nini yakin seratus peratus berketurunan Melayu itu, memandang Nini tanpa berkelip. Gaya harimau mahu menerkam mangsanya.

Nini menggenggam tangan Rasyid… makin tidak suka dengan apa yang dilihatnya.

 “ Datuk Jay, kenalkan Rasyid dan Nurul.” Jawa memperkenalkan mereka.

 Lelaki yang dipanggil Datuk Jay tersenyum, berjabat tangan dengan Rasyid dan kemudian menyambut tangan Nini dan menciumnya. Sama seperti apa yang dilakukan oleh Jawa tadi. Naik geli geleman Nini, kalau di tempat biasanya, tahulah bagaimana nak mengelak dari semua ini, namun di sini, dia cuma jadi Pak Turut… tak mampu mengelak.

 “ Hmm… cantik. Namanya pun cantik.” Datuk Jay ketawa memandang Jawa.

 Nini menjeling Rasyid. Kalau ikutkan hati… mau saja dia menumbuk muka Rasyid, biar senget sebelah. Kenapalah Rasyid melibatkan dia dengan semua ini. Melakukan agenda malam di tempat biasa selama inipun sudah cukup menyiksakan untuknya, apa lagi bila terpaksa berkerja dengan manusia-manusia sebegini. Datuk Jay berkalih ke belakang, menepuk bahu seorang lelaki yang membelakangkan mereka.

 “ Kau, tak nak kenal dengan prospek baru?”

 Lelaki yang sedang mengambil gelas minuman berisi air oren itu berkalih...

 “ Prospek baru? Kau tak cakap apa-apa tentang prospek baru pun tadi…” sambil bercakap dengan Datuk Jay, dia mengalih pandang ke arah Nini.

 Di saat mata mereka bertentang, mereka sama-sama terdiam.

Nini terkejut.. Dan, Nini rasa seperti mahu lari waktu itu juga, tidak mahu memandang ke belakang lagi. Namun dia tahu itu mustahil. Dia kenal lelaki itu, dan tahu yang dia tidak tersilap langsung.

 ***** 

 TERKEJUT.

Memang Nini terkejut yang amat sangat. Bagaimana dia boleh bertemu dengan lelaki tadi di sini. Di kalangan orang-orang sebegini. Selepas berjabat tangan, Nini cuba bergerak menjauh. Orang itu pun sama. Dia hanya memandang Nini dari jauh. Mereka sama-sama berpura tidak mengenali.

 Letih dan rimas bergerak ke sana dan ke mari dan diperkenalkan kepada kawan-kawan Datuk Jay. Namun Nini masih mempamerkan senyuman plastik, senyum terpaksa yang membuatkan otot pipinya lengoh. Tak tahan dengan semua tu, Nini akhirnya meminta diri ke bilik air.

Rimas sebenarnya bila berada di kalangan manusia-manusia hipokrit begini. Ada dia antara wajah-wajah lelaki separuh abad yang berada di situ, seperti pernah dilihatnya. Mereka merupakan orang yang membawa nama baik dalam masyarakat, namun di sini… sikap mereka adalah sebaliknya.

 Nini perlu berseorangan untuk berfikir secara lebih rasional. Dia perlu menimbang dan mempersiapkan diri dengan jawapan-jawapan yang perlu jika mereka bercakap tentang tawaran kerja. Melihatkan suasana di sini, Nini sudah ada jawapan yang ingin diberi. Setakat ini, Datuk Jay mahupun Jawa belum bercakap apapun tentang bentuk perkhidmatan yang mereka ingin tawarkan. Namun bila melihat tindak-tanduk gadis-gadis yang sebaya di sekelilingnya, Nini semacam boleh mengagak. Memang dia biasa dengan kerja melayan lelaki, namun itu sekadar di kelab. Nini menggelengkan kepalanya. Ini semua salah Rasyid, pandai sangat berjanji hingga melibatkan dirinya.

 Nini berjalan memasuki lorong menuju ke bilik air, dan dia perlu melalui beberapa bilik tidur. Telinganya menangkap bunyi-bunyian tidak enak dari dalam. Dadanya makin bergetar. Ini bukan kerja yang dia cari. 

Bilik air yang dicari berada di hujung lorong, sedikit tersorok dari pandangan depan. Di sebelah kiri bilik air, ada ruang beranda yang menghala ke sebuah taman yang cantik dan penuh tumbuh-tumbuhan yang nampak separa hijau di sinari cahaya lampu.

Sedang Nini leka memerhati semua tu, tiba-tiba dia dia ternampak kelibat seorang gadis berlari keluar dari sebuah pintu di tingkat bawah, terus menuju ke tengah taman. Itu gadis berbaju merah yang bersama Datuk Jay tadi. Dua orang lelaki sedang mengejarnya dengan pisau terhunus di tangan. Dan, dia yakin, itu Jawa dan lelaki tanpa senyuman tadi.

 Namun, apa yang lebih mengejutkan Nini selepas itu ialah, di saat pinggang gadis itu berjaya dirangkul Jawa, saat itu juga pisau di tangan Jawa menusuk perut gadis itu tanpa belas kasihan. Suara jeritan gadis itu tak sempat didengar kerana mulutnya sudah ditutup oleh tangan kasar Jawa.

 Akibat terkejut, Nini mengeluarkan jeritan kecil dan tindakannya itu menarik perhatian Jawa dan lelaki tanpa senyuman tadi. Nini panik, hilang arah untuk berlari ke mana. Namun tiba-tiba, ada tangan kasar yang sempat memekup mulut Nini dan menarik badannya ke tepi, tepat sewaktu mata Jawa singgah di beranda itu.

Walaupun tiada kelibat yang dilihat di situ, riak di wajah Jawa menandakan yang dia tahu, ada saksi yang telah memerhatikan segalanya. Jawa segera berlari ke atas. Dan, waktu itu juga Nini merasa badannya ditarik kasar masuk ke dalam salah sebuah bilik yang berdekatan.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU