Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, October 15, 2014

NOMBOR 23 - BAB 4


Seksyen 17, shah alam.
ARGHHH!!! Akmal memegang kepalanya. Rasa sakit seperti tertusuk jarum menyerang tiba-tiba. Dia menggelupur di atas katil. Dia melihat panahan cahaya terang seperti ‘zig-zag’ sebelum suatu imej tertayang di minda.
‘Zap!’
      Dia nampak berbalam-balam kelibat dua orang lelaki sedang berdiri bertentang muka di hadapan pintu pagar utama sebuah rumah banglo yang sangat cantik binaannya. Ada sebuah kereta MPV ( Multi Purpose Van) berwarna putih diparkir berdekatan.
      Gelap. Kepalanya berdenyut lagi.
‘Zap!’
      Dia nampak pula tangan seseorang sedang mengeluarkan sepucuk pistol dari jaket kulit berwarna hitam. Apabila imej itu hilang, dia berasa senak hingga ke dalam kepala.
      Gelap lagi.
      Kali ini dia mendesah. Dia mahu berkata sesuatu, namun mulutnya seakan terkunci. Dia mahu bangun, namun sendinya seakan terpasung. Tenaganya seperti diperah keluar. Dia jadi tidak bermaya. Hatta untuk mengangkat jari telunjuknya pun dia sudah tidak mampu.
Arghhh!!! Sakit kepala menyerang lagi. Dia menggelupur lalu terjatuh dari katil.
‘Zap… zap!’
Bayangan itu muncul lagi.
Dia nampak lorong masuk menuju pintu pagar utama.
Dia nampak blok tulisan yang samar-samar, seperti tertulis nama sesuatu. Huruf itu besar dan berkerawang.
Dia nampak kucing menggelupur. Kemudian suasana menjadi gelap. Pekat.
Dia mendesah lagi. Terperosok di tepi katil sambil memegang kepalanya. Ya ALLAH! Sakit sungguh!
‘Zap… zap!’
 Dia nampak objek putih terbaring di atas tar. Itu imej seorang lelaki sedang bertarung nyawa menyedut oksigen. Nafasnya tercungap-cungap.
Gelap lagi.
Arghhh!!! Tidak mampu menahan kesakitan, dia menjerit kuat.
Tiba-tiba dia terasa kegelapan tadi sudah bertukar menjadi terang. Sedar-sedar, tangan Syuhada, sedang memegang kepalanya.
“ Masya-ALLAH! Apa yang jadi pada abang ni?”
“ Abang sakit kepala. Tolong… tolong ambil air dan ubat.”
Pantas sahaja Syuhada berlari keluar kemudian kembali dengan segelas air dan dua  biji Panadol Actifast. Akmal segera menelannya.
“ Badan abang berpeluh. Kuatnya abang jerit. Takkan pasai sakit kepala saja kut? Sebelum ni pun selalu jugak sakit kepala tu, bukan adik tak tau. Tapi tak daklah menjerit macam tadi. Ke abang mengigau hantu?” Sempat lagi Syuhada mengusik.
“ Entahlah. Kali ni sakitnya pelik sikit.” Dia bangun lalu duduk bersandar di tepi katil.
Semuanya seperi mimpi. Namun dia juga yakin, itu bukan mimpi. Bagaimana mahu beritahu Syuhada yang sakit kepala itu disertakan dengan imej bayangan yang entah datang dari mana? Kenapa dengan dia kali ini? Adakah dia dikurniakan dengan ‘super power’?
“ Nak baring ke?”
“ Tak apalah. Sat lagi abang panjat sendiri,” balas Akmal sambil meraup muka. Kepalanya masih sakit berdenyut. Kesan sakitnya menyucuk seperti paku tertanam hingga ke dalam kepala itu masih terasa.
“ Kalau tak ada apa-apa, adik nak tidur dulu. Mujur mak tak terjaga dek jeritan abang tadi.”
“ Pi tidurlah. Tak apa, abang okay.”
Syuhada bangun lalu bergerak ke pintu. Dia berhenti apabila terdengar bunyi telefon bimbit Akmal yang berlagu dari atas katil. Dia berpatah balik dan mencapainya.
“ Inspektor Budin. Nak jawab ke?”
Akmal angguk kepala. Dia hulurkan tangan meminta telefonnya.
“ Assalamu’alaikum!”
Diam sebentar… mendengar. Kata Inspektor Budin. Ada orang mati dibunuh. Akmal dipanggil untuk ke lokasi kejadian.
“ Baiklah. Saya akan segera ke sana. Tolong sms alamatnya.” Katanya sebelum mematikan talian.
“ Sakit kepala macam tu pun, nak keluar juga?” Marah Syuhada dengan nada geram.
“ Tugas adik! Nak buat macam mana?”



Sekitar Seksyen 8, Shah Alam.
PUKUL 3:00 PAGI. Melihat jam di waktu-waktu begini membuatkan Akmal menguap panjang. Dia memicit-micit kepala yang masih berbaki denyutannya.
Dia menguap. Dia tidur agak lewat semalam. Pukul 1:30 baru sampai balik ke rumah. Kawan-kawan ajak meraikan perpindahannya. Mahu menolak tidak sampai hati… akhirnya dia mengikut sahaja. Sebenarnya, sudah hampir sebulan dia berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah, Shah Alam. Sebelum ini, dia bertugas di Pulau Pinang, negeri kelahirannya.
Jalan di hadapannya sesekali nampak kabur. Dia cuba memusatkan pandangan. Otak masih memikirkan bayangan-bayangan seperti mimpi yang dia alami sebentar tadi. Dia sendiri masih tidak faham dengan apa yang sedang terjadi.
Sewaktu di Pulau Pinang dahulu, dia sudah biasa mengalami sakit kepala yang teruk sebelum dihubungi dan dimaklumkan tentang kes terbaru. Dia menggaru kepala. Hairan! Sejak berpindah kemari, serangan sakit kepala  menjadi semakin kerap… boleh dikatakan hampir setiap minggu dia sakit kepala. Sakitnya… hanya ALLAH sahajalah yang tahu bagaimana siksanya. Malam ini, lain pula ceritanya.
Sungguh! Dia rasa sangat terganggu dengan peristiwa tadi.
Papan tanda di sebelah kiri jalan, bertulis Seksyen 8 semakin jelas. Dia sedang menghampiri lokasi kejadian. Dia mencari-cari rumah bernombor 23. Menurut orang bawahannya, lokasi jenayah kali ini terjadi di hadapan rumah seorang hartawan berprofil tinggi. Hisy! Ini yang dia tidak berapa suka. Orang berkedudukan dan berpangkat begini, gemar menggunakan pengaruh dan kuasa mereka. Kalau kena yang begitu, nanti, tak pasal-pasal sakit kepalanya menjadi bertambah teruk.
 Dia memberhentikan kereta sebaik menghampiri tempat tujuan. Dia tahu kerana beberapa buah kereta polis sudah sedia diparkir di bahu jalan. Sebaik keluar dari kereta, dia berdiri memerhatikan suasana di sekelilingnya. Bentuk badannya yang tinggi dan tegap, memang nampak ketara di bawah sinaran lampu jalan. Dia melurut rambutnya ke belakang, kemudian mendongak. Saat matanya memandang kediaman mewah di hadapannya, mulutnya terus ternganga. Mak aih! Besar sungguh! Besar macam istana! Getusnya dalam hati. Saiz rumah itu, mungkin sepuluh kali lebih besar dari apartment yang dia duduki sekarang ini. Bertingkat-tingkat pulak tu!
Dia berdiri menggeleng kepala sambil bercekak pinggang. Sekali lagi dia melurut rambut di bahagian dahi hingga ke belakang dengan menggunakan jari… merenung rumah di hadapannya. Hmm… entah berapa jutalah harga rumah begini?
“ Tuan!”
Dia berkalih ke belakang. Inspektor Budin tersengih.
“ Mana buah hati tuan?”
“ Eh! Awak tak tahu ke?” Soalnya. Inspektor Budin geleng kepala.
“ Saya kemalangan pagi semalam.” Soalan dan jawapan itu membuatkan dia teringat kepada gadis cantik yang menyebabkan Mat Top terpaksa dimasukkan ke dalam bengkel. Teringat juga perselisihan kecil yang mereka lalui pagi semalam.
“ Kemalangan? Tapi tuan elok saja saya tengok. Tak ada pula patah riuk kat mana-manapun.”
“ Alhamdulillah! Saya tak patah riuk, tapi Mat Top saya tu… masuk ICU.”
“ Alahai… lambat lagilah nak sembuh nampaknya. Naik kereta?” Inspektor Budin tersengih.
Akmal angguk kepala. “ Kereta Syuhada. Kat mana lokasi kita?”
“ Lokasi kat seberang jalan, tuan! Ke depan sedikit. Jom!”
“ Awak dari mana?” Soalnya sambil berjalan beriring dengan Inspektor Budin. Sambil berjalan, matanya mengamati rumah-rumah di situ. Sesekali dia menggeleng kepala. Terpegun dengan kekayaan yang mereka miliki.
“ Ambil barang dekat kereta, tuan.” Inspektor Budin tersengih. “ Rumah-rumah kat sini, memang besar-besar, tuan. Macam istana. Setiap kali lalu di sini, sayapun… ternganga juga.” Inspektor Budin tersengih lagi.
“ Manalah depa dapat duit buat rumah besaq lagu ni?”
“ Tang dia buat lagu mana, saya tak tau… saya tau lagu M.Nasir saja, tuan!” Balas Inspektor Budin. Bergurau.
“ Awak jangan dok melawak, sat lagi saya buat lagu karate… awak jadi menangis tak berlagu pulak!” Akmal tersengih.
 “ Aiseh! Bahaya tu…” Inspektor Budin tergelak. “ Dia orang kat sini, kebanyakannya bisnessman dan politician. Lokasi kita kali ni, lagilah besar. Hartawan ternama ni, tuan.”
Akmal tersengih. Matanya merayap ke arah rumah-rumah berdekatan. Geleng kepala sebelum kembali memandang Inspektor Budin.
 “ Awak cukup tidur ke? Saya ni… masih pening lagi.”
“ Samalah, tuan. Semalam, sayapun balik sama waktu dengan tuan jugak. Lagipun saya ni nak kena dengar bini berleter dulu, baru boleh tidur.” Inspektor Budin tergelak kecil.
“ Mujur mak saya tak leterkan saya sebab dia dah tidur. Itulah untungnya jadi orang bujang.” Dia kenyit mata pada Inspektor Budin.
“ Untung kat situ. Ruginya kat lain,” Inspektor Budin kenyit mata kembali. Ketawa.
Inspektor Budin turut tersengih. Geleng kepala.
 “Haa… dah sampaipun. Tuan tengoklah sendiri rumah dia, kita kerja seumur hidup pun, tak akan mampu buat rumah sebesar ni.”
Akmal mengangkat kepala untuk melihat rumah agam di depannya. Saat matanya merenung binaan didepannya, kepalanya berdenyut tiba-tiba. Dia memegang kepala. Terduduk di tebing di tepi jalan. Inilah binaan yang dia nampak dalam imbasan tadi.
“ Kenapa ni, tuan?” Inspektor Budin memegang bahunya.
“ Uh! Sakit kepala ni, tiba-tiba saja datang. Spotlight kat building tu terang sangat agaknya,” balas dia, menyembunyikan perkara sebenar.
“Tuan okay ke?”
“ Awak jalan dulu, okay nanti saya menyusul.” Balas Akmal sambil meraba kocek seluarnya. Mujur ubat penahan sakit jenama Ponstan yang dibelinya beberapa hari lepas masih berbaki. Di rumah tadi, dia hanya menelan dua biji Panadol Actifast. Nampak gayanya, sakit kepalanya masih belum mahu hilang. Tanpa berfikir tentang perutnya yang kosong, dia menelan sebiji Ponstan 500mg tanpa menggunakan air.
Makan ubat, ikut suka hati dia sahaja!



Teratak Nur Karmila
DUA das tembakan. Satu mengenai mangsa. Satu lagi mengenai paha kiri Datuk Khairel. Dia sudah dikejarkan ke SDMC ( Sime Darby Medical Centre).” Ulas Sarjan Yaakob.
Akmal mengangguk. Dia merenung ke arah mayat lelaki yang tertiarap di kiri jalan berhampiran pintu pagar. Kedudukan mayat, sedikit berubah berbanding yang dia nampak di dalam imbasan tadi. Dia menggeleng kepala. Entah apalah yang sedang terjadi dengan dirinya kali ini. Mengadap sakit kepala akibat kes-kes sebelum ini pun sudah tak tertanggung rasanya. Mungkinkah kini, dia mendapat keajaiban baru?
 Dia memandang ke kanan mayat. Muti Purpose Van (MPV) jenis Toyota Estima kepunyaan Datuk Khairel, tuan punya banglo besar itu, masih dibiarkan sepertimana keadaannya sewaktu jenayah terjadi. Sama seperti yang dia nampak di dalam imbasan tadi.
“ Ada saksi?”
“ Ada! Orang kepercayaan Datuk Khairil dan pemandunya.”
Akmal mengangguk. Sekali lagi… tepat seperti imbasan tadi. Dia tertunduk, diam memikirkan keganjilan yang sedang dia hadapi.
Melihat Akmal masih tertunduk, Sarjan Yaakob menyambung, “ menurut mereka, mereka baru pulang dari menjemput Datuk Khairil di KLIA. Kata mereka lagi… mangsa menunggu didepan pintu pagar, menghalang jalan mereka. Sebab itulah kereta Datuk diberhentikan di lokasi sekarang. Mangsa baru mula mahu bercakap apabila tembakan dilepaskan oleh seorang penunggang motosikal.”
“ Dah temui kelongsong peluru?”
“ Sudah! Dekat kepala simpang masuk ke sini. Dan ada bangkai seekor kucing yang turut terkena tembakan.” Celah Inspektor Budin.
Akmal mengangguk. Segalanya semakin jelas. Dia terdiam sejenak. Lagi sekali aksi lurut rambut ke belakang itu dilakukan tanpa sedar. “ Datuk kenal mangsa ke? Saya musykil! Adakah tembakan itu ditujukan pada Datuk atau untuk mangsa sendiri? Kalau untuk mangsa, kenapa dibuat di depan rumah Datuk?”
“ Sayapun fikir macam tu, tuan,” balas Inspektor Budin.
Akmal menghampiri Dr. Hakim yang sedang memeriksa mayat mangsa. “ Hmm…  rasanya tembakan itu tepat mengenai jantung. Tiada dokumen pengenalan diri. Anggaran umur, awal empat puluhan.”
Akmal bangun, berpusing-pusing mengelilingi MPV, kemudian berjalan ke arah tempat kelongsong peluru ditemui. Melihat bangkai kucing yang bersepai kepalanya, kemudian berdiri melihat sudut pandangan dari situ. Ternyata, di sinilah tembakan dilepaskan kerana imbasan inilah yang dia nampak tadi. Dua butir kelongsong peluru telah ditandakan sebagai bukti siasatan. Seterusnya, dia berjalan ke arah lokasi kelongsong yang ketiga. Berhenti di situ… sebelum berjalan balik ke arah lokasi mayat mangsa.
Something is wrong somewhere…” bisiknya perlahan.
“ Maksud, tuan?”
“ Macam ada yang tak kena ni…” Akmal menggeleng kepala.
 Sarjan Yaakob angkat kening. Kemudian menggaru kepala.
“ Hmm… di waktu-waktu macam ni, kalaulah ada poket ajaib Doreamon tu, boleh jugak minta mesin pegimbas masa.” Akmal tergelak kecil. “ Senang kita nak patah balik dan tengok apa yang benar-benar terjadi. Firasat saya… macam ada yang tak kena dengan kedudukan mayat mangsa. Kamu pasti yang mayat ni tak diubah?” Dia mengeluarkan ayat itu berdasarkan imbasan yang dia nampak sebentar tadi.
“ Itu yang saksi beritahu saya.”
“ Tak apa, kita kena pastikan seluruh area ni diperiksa dan tak ada apa-apa yang tertinggal.” Arah Akmal pada orang bawahannya.
“ Baik, Tuan!”
Akmal menjengok ke dalam kawasan banglo. Seluruh rumah sudah diterangi lampu. Setakat ini, belum ada keperluan untuk menyoal keluarga Datuk Khairel dengan lebih mendalam. Esok-esok mungkin akan ada keperluan untuk ke sini lagi. Lagipun dia percaya, segalanya sudah diambil kira oleh anggota bawahannya.
Dia berjalan beberapa tapak sebelum perasan akan tulisan yang menghiasi tembok besar di sebelah kiri pintu gerbang. Rasanya itulah blok tulisan yang muncul dalam imbasan tadi. Tulisan itu diukir dari kayu jati menghiasi marmar granite putih di belakangnya. Dia membacanya perlahan…
“ No 23, Teratak Nur Karmila”
Serentak itu kepalanya kembali berdenyut. Ada lintasan seperti cahaya muncul tiba-tiba dan pandangannya mula berpinar.
Dia cuba mencari tempat berpegang, namun pandangan kemudian terus menjadi hitam.

Gelap. 

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU