Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, November 10, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM- Bab 7




KEADAAN  rumah Aisyah tidaklah seteruk yang Dira sangka. Cuma ada beberapa barangan yang berselerak, seperti diusik orang. Agaknya Aisyah terlebih panik. Mungkin juga Aisyah terganggu akibat beberapa peristiwa sejak kebelakangan ini, ditambah pula dengan peristiwa kehilangan Nini, maka dia menjadi tidak tentu arah bila melihatkan perubahan di dalam rumahnya.
   
      “ Kau dah periksa semua bilik?” Soal Ain bila melihat keadaan Aisyah yang masih kelihatan resah.

      Aisyah menggeleng kepala, “ aku takut! Bila buka kunci dan masuk, lepas tu tengok semua ni…terus aku lari keluar dan tunggu kau orang semua.”

      “ Aisyah pasti tak ada orang kat dalam?” Soal Kak Liza pula.

      “Tak tahu, tapi sejak berdiri di luar, tak ada orang yang keluar.”

      Kak Liza melangkah berhati-hati sambil mata memerhati keadaan rumah Aisyah. Gaya begitulah yang sering Dira tonton dalam siri telivisyen berbentuk penyiasatan. Kak Liza mula membuka pintu bilik satu persatu, dan kemudian menuju ke dapur. Dira hanya memerhati setiap pergerakan Kak Liza.

      “ Pintu dapur ni pun berkunci… rasanya tak ada sesiapa di sini. Perasaan Aisyah aja kut…” ujar Kak Liza. Dira mengangguk. Hatinya sendiri sudah copot-copot ketakutan.

       Kak Liza menapak ke meja makan. Tangannya memegang mug yang terletak di atas meja. “Panas lagi ni… ada orang baru aja minum air Nescafe panas ni, “ ulas Kak Liza lagi sambil menghidu aroma baki air di dalamnya.

      Kak Liza kemudiannya menjengah kepala dari laluan masuk ke dapur, cuba mencari wajah Aisyah. “ Cuba Aisyah periksa semua bilik. Ada apa-apa yang hilang ke?"

      Aisyah bergerak masuk ke biliknya, tak lama di situ, dia keluar semula.

      “ Bilik saya OK. Lagipun…kami tak ada apa-apa barang yang boleh dianggap berharga. Yang hairannya, saya pasti sebelum keluar…saya dah kemas semuanya. Bila balik… semuanya berselerak…” Aisyah berhenti sebentar memandang sekeliling, matanya terhenti di pintu bilik yang lagi satu. “ Nini! Nini dah balik kut!” Sehabis ayat, dengan muka yang berubah ceria, dia bergegas ke bilik Nini. Dira turut mengekor dari belakang, diikuti oleh Ain dan Kak Liza.

      Sehelai jaket Jeans terdampar di atas katil. Disebelahnya, terdapat cap berwarna biru, bertulis ‘Hard Rock Café’. Pintu almari Nini terbuka, terdapat beberapa helai baju berselerak di hadapan pintu itu.

      Aisyah mencapai jaket Jeans tadi, “ ini bukan baju Nini. Aku tak pernah tengok dia pakai benda alah ni.” Dia menghidu jaket itu, mungkin cuba mencari bau badan Nini di situ.

      “ Macam bau perfume Nini, tapi tak ler ketara sangat,” ulas Aisyah sambil tangannya menyeluk kocek jaket tersebut.

      Mata Aisyah tiba-tiba membulat, seperti tangannya tersentuh sesuatu. Dengan perlahan, Aisyah mengeluarkan seutas rantai berloket dalam keadaan terjuntai dari pegangan tangannya. Bukan itu sahaja, bersamanya… terdapat dua bentuk cincin bereka bentuk menarik dihiasi batu berwarna merah dan putih.

      “ Aku kenal ini. Ini milik Nini. Rantai dan cincin ni, dia selalu pakai jika keluar malam di hujung minggu. Jadi, rupanya Nini yang balik dan selerakkan rumah ni. Means Nini okay, dia masih selamat.” Muka Aisyah bercahaya. Dia terus memeluk Dira yang kebetulan berdiri di sebelahnya. 

      “ Aisyah pasti?” Kedengaran suara Kak Liza menyoal Aisyah.

      Aisyah meleraikan pelukannya, berkalih memandang Kak Liza dan mengangguk. Lantas Kak Liza mencapai telefon bimbitnya di dalam beg pinggang lalu bergerak ke luar rumah. Mungkin sedang cuba menghubungi Inspektor Kamal.

      “ Nini akan kena tangkap ke?” Tiba-tiba suara Aisyah berubah cemas.

      “ Mungkin jugak. Tapi kalau Nini tak buat semua tu… rasanya lebih selamat kalau dia ditahan,” ujar Ain.

      Dira mengangguk. Dia terdiam lama. Namun kemudian dia mula meraup mukanya. Entah kenapa, dia berasa lega di dalam hati. Sekurang-kurangnya, buat sementara ini… dia tahu yang Nini masih hidup.

*****

NINI berlari pantas. Dua lelaki yang mengejarnya sudah lama hilang dari pandangannya. Namun dia masih belum mahu berhenti. Masih belum merasa betul-betul selamat. Mujur juga dia sudah hafal selok-belok lorong-lorong kecil di sekeliling kawasan perumahan ini. Makanya, mudah saja dia melepaskan diri dari mereka.

      Nini akhirnya berhenti berlari setelah dia merasakan yang dia kini sudah berada cukup jauh. Dia tercungap-cungap sambil tertunduk. Badannya membongkok dengan kedua-dua tangannya memegang tempurung lutut. Kepalanya masih ditoleh ke kiri dan kanan sesekali. Bimbang juga kedua-dua lelaki itu tiba- tiba muncul.

      Setelah yakin tiada sesiapa di situ, dia bergerak ke arah tangga kecil yang hanya mempunyai tiga anak tangga. Itu laluan turun dari bahagian dapur salah sebuah rumah di situ. Lokasi yang sedikit terlindung dari pandangan kerana di kiri dan kanan tangga, terdapat pasu berisi pokok keladi yang tumbuh subur merimbun. Nini terus  melabuhkan punggongnya di situ… melepaskan lelah.

      Harap-harap, tiada orang di rumah buat masa ini. Bimbang juga jika dikejar tuan rumah pula… boleh mati kepenatan dia nantinya. Nini memasang telinga, dan dia yakin yang tiada sebarang tanda yang rumah itu berpenghuni. Mungkin semua orang keluar bekerja dan masih belum pulang lagi. Nini sedar… dia tidak boleh berlama di sini. Siapapun tuan rumah ini, pastinya mereka akan pulang bila-bila masa sahaja kerana hari sudah menginjak petang.

      Nini melepaskan nafas berat. Tiba-tiba sahaja dia berasa sebak. Rasyid sudah mati. Kerana dia Rasyid menemui ajal. Tanpa dapat ditahan, Nini menangis, dan terus menangis lagi tanpa boleh berhenti.

      Nini nampak tajuk muka depan akhbar hari ini tentang pembunuhan Rasyid dan seorang perempuan sewaktu melalui kedai runcit Mamak Din tadi. Sempat juga Nini membeli senaskah sebelum terkocoh-kocoh menapak balik ke rumah. Rasa seperti tidak percaya yang semua ini sedang terjadi dalam hidupnya. Seluruh anggotanya jadi lemah tak bermaya. Dia seboleh mungkin, cuba menahan airmatanya dari jatuh. Dia pasti, perempuan yang mati bersama Rasyid adalah perempuan berbaju merah malam itu. Kalau Rasyid dibunuh, bererti mereka tahu yang dialah saksi kejadian tersebut.

      Sebaik sampai di rumah tadi, Nini menangis semahu-mahunya. Namun tidak lama, kerana Nini tiba-tiba tersedar yang dia tidak boleh berada di sini lagi. Dia bergegas ke bilik dan mula mengisi baju ke dalam beg sandang. Dia harus menghilangkan diri. Mungkin balik ke kampung, atau pergi saja ke mana-mana. Entahlah! Tiba-tiba Nini jadi takut. Tidak pernah setakut ini seumur hidupnya. Mujur juga waktu itu, Aisyah tiada di rumah. Kalau tidak, dia akan terpaksa menjawab soalan Aisyah yang mengalahkan Polis Siasatan Jenayah. 

      Dalam sibuk berfikir, sempat juga dia minum Nascafe secawan. Dan, waktu itulah Nini ternampak kelibat Jawa dan lelaki seiras bintang filem sinetron itu di luar rumah. Jantung Nini berdegup kencang. Hairan! Macam mana mereka tahu di mana dia tinggal? Dia mula mencongak idea untuk memboloskan diri. Maka dengan sengaja dia menjatuhkan barangan di ruang hadapan rumah untuk mengumpan Jawa dan kawannya ke depan. Dengan tindakan itu, dia akhirnya berjaya keluar melalui pintu belakang. Namun kelibatnya dapat dihidu Jawa. Mujur dia dapat melepaskan diri.

      Nini mendongakkan mukanya. Langit sudah bertukar ke warna jingga di ufuk barat. Burung-burung berterbangan dalam kumpulan kecil sudah mahu pulang ke sarang. Petang sudah mahu berlabuh, dan suasana akan bertukar gelap tidak lama lagi. Buat sementara ini, kegelapan adalah rahmat buat Nini. Kegelapan memudahkan dia menyembunyikan diri. Nini tidak pasti apa yang mahu dilakukan.

      Terfikir juga mahu mencari orang yang menyelamatkannya semalam. Namun rasanya, itu mustahil! Orang itu mungkin sudah tidak mampu menolongnya lagi… mungkin mereka juga sudah tahu, rahsia besar mereka sudah diambilnya sebagai tiket menyelamatkan diri.

*****

“ TAK ADA?” Sergah Jawa. Serta merta dia menjegilkan biji matanya. Mata yang merah seperti biji saga.

      “ Betul! Tak ada! Aku dah cari seluruh bilik.” Lelaki seiras bintang Sinetron yang dipanggil Jacko itu menjawab. Tak ramai yang tahu, nama sebenarnya adalah Joko, ibunya berketurunan Sunda. Manakala bapanya orang Malaysia.

      “ Mampos kita kali ni. Tak habis-habis buat kesalahan. Kalau tak ada di situ, kat mana pulak? Aku yang letak di situ dua malam lepas.” Muka Jawa kelihatan tegang. Geram dengan Si Jacko. Kalau disuruh mencari sesuatu, jarang sekali berjumpa. Sudahnya, dia yang terpaksa mencari sendiri.

      “ Kalau tak percaya, kau ajalah cari sendiri…” celah Si Jacko, sudah muak agaknya asyik diarah-arah oleh Jawa.

      Jawa berdengus. Dia menapak ke arah tangga. Dengan sengaja, sempat juga dia melanggar Jacko yang berdiri di kaki tangga. Tindakan yang sekadar memuaskan hatinya.

      Jacko hanya menggelengkan kepala. Namun dia tidak berbuat apa-apa, sekadar bergerak ke kusyen lalu berbaring di situ.

      Entah terkena sampok hantu mana, dalam keadaan Jawa marah-marah… Jacko masih berani mengalunkan lagu Wali Band bertajuk ‘Cari Jodoh’. Sayangnya, suara Jacko tidaklah sesedap penyanyi utama kumpulan Wali itu, tempo dan nadanya lintang pukang. Sumbang. Bak kata juri rancangan realiti, picthingnya sudah lari. Namun mungkin kerana perasan yang suaranya sedap benar, maka dia mula melalak sehingga tak ingat dunia. Satu lagi sisi lain yang kebanyakan orang tidak tahu,  di sebalik wajah kacak seiras bintang Sinetron dan air muka dingin seperti tak berperasaan itu, rupanya Jacko mempunyai sisi kelakar yang hanya diketahui oleh orang-orang terdekat sahaja.

      “ Hoi! Diam! Suara macam angsa tertelan biji nangka, ada hati nak menyanyi!” Tiba-tiba nyanyian Jacko terhenti dek sergahan berapi suara Jawa. Terkocoh-kocoh Jacko bangun dan berdiri.

      Jawa diam memandang Jacko, dia  melagakan rahang atas dengan rahang bawah sambil mengetap gigi. Jika Jawa begitu, bermakna amarahnya sedang menguasai diri. Tangan Jawa yang memegang suatu objek yang diangkat sedikit tinggi. Jacko memandang objek yang sedang ditunjukkan oleh jawa.

      “ Itu sepit rambut yang dipakai oleh budak perempuan yang Rasyid bawa. Aku ingat, sepit tu buat dia nampak berseri. Kat mana kau jumpa?”

      “ Kalau aku kata, kau cari pakai kepala lutut… kau marah. Benda yang ada depan matapun, kau tak nampak. Bahlul!” Sergah Jawa lagi. Hari ini, angin betul dia dengan perangai Jacko.

      “ Masalahnya, tadi… kau bukan suruh aku cari sepit rambut. Kau suruh aku cari buku catatan kau tu…” Jacko cuba mempertahankan diri.

      “ Eh! Kau, kalau bagi jawapan, buat aku tercekik… berasap. Kalau kau jumpa barang yang tak sepatutnya ada di situ, tek reti-reti nak fikir? Harap muka saja lawa. Otak kosong. Zero!” Jawa terus membebel.

      Jacko tersengih macam kerang busuk. Suka hati agaknya kerana dikatakan lawa. Mungkin dia sudah tidak mendengar kutukan yang disebut di belakang ayat itu.

      “ Kau tahu apa maksudnya?” Soal Jawa.

      “ Tahu, sebab rambut dia dah pendek…jadi dia dah tak perlu sepit tu..”

      “ Kepala Hotak kau lah! Mengabiskan masa aku kalau bercakap dengan kau.” Geram benar Jawa dengan perangai main-main sahabatnya itu. Jawa menghayun penumbuk ke arah Jacko. Namun Jacko sempat mengelak, lalu Jawa terdorong ke depan.

      “ Hoi! Aku suruh kerja, bukan bergurau senda.” Suara sergahan Datuk Jay membuatkan kedua-dua mereka berhenti bergaduh.

      Jawa dan Jacko berdiri senyap. Seperti budak sekolah dalam kedudukan ‘senang diri’. Datuk Jay bergerak menghampiri mereka dengan mata mencerlung. Dia berpusing mengelilingi Jawa dan Jacko.

      “ Apa yang tak kena dengan kamu berdua?” Soal Datuk Jay.

      Jawa hanya mendiamkan diri. Dari tadi dia sudah berkira-kira mahu menyelesaikan masalah ini sendiri tanpa pengetahuan Datuk Jay. Dia sedar, kalau Datuk Jay tahu buku catatan tentang kontek dan aktiviti yang disimpannya hilang, pasti ‘masak’ dia dikerjakan nanti.

      “ Jawa jumpa sepit rambut budak perempuan tu, Datuk.” Tiba-tiba Jacko menjawab tanpa sempat dia memberi isyarat.

      Jawa mendesah. Habislah dia kali ini.

      “ Kenapa dengan sepit rambut tu?”

      “ Buku aktiviti tu hilang. Sepit rambut tu ada dalam bilik tempat Jawa simpan buku tu. Jawa agak…perempuan tu dah ambil buku tu sebelum hilangkan diri malam kami bunuh budak-budak tu.” Lancar sahaja jawapan yang diberikan Jacko. Habis hilang kebodohannya tadi sebaik berhadapan dengan Datuk Jay.

      Jantung Jawa pula yang mula berdebar kencang. Terasa mahu saja dia mencepuk Jacko waktu itu juga.

      “ Apa? Buku yang kau bawa ke hulu ke hilir tu hilang?” Datuk Jay terkejut. Dia bercekak pinggang mengadap Jawa yang sudah mula menikus.

      “ Kau tahu apa risikonya?”

      Jawa mengangguk perlahan.

      “ Kalau kau tinggal buku tu kat mana-mana dan tah siapa-siapa terjumpa… aku tak kisah. Tapi kalau yang jumpa tu budak semalam, yang tahu apa kau buat dan boleh agak apa aku buat. Memang aku rasa nak bunuh kau sekarang. Kau faham!”

      Jawa mengangguk lagi. Jacko pula sedang terkulat-kulat di sebelahnya. Barangkali dia sudah sedar kesilapan yang sudah dilakukannya.

      Datuk Jay berkalih membelakangi Jawa. Dia terdiam lama. Jawa pula semakin mendesah. Entah apa yang Datuk Jay sedang fikirkan. Janganlah dia mati di hujung pistol Datuk Jay. Dia tak mahu. Dia tak sanggup.

      Tiba-tiba sahaja Datuk Jay berkalih. Sebiji tumbukan hinggap di muka Jawa. Dia jatuh terlentang ke belakang. Datuk Jay mencelapah ke atas badan Jawa dan beberapa tumbukan menyusul selepas itu.

      Jacko meminggir ke tepi. Setiap kali tumbukan mengenai Jawa, Jacko pula yang beraksi seperti tumbukan itu ditujukan kepadanya. Mukanya berkerut setiap kali Jawa dibelasah. Dan, ada resah menwarnai riak wajah Jacko. Mungkin waktu itu, dia sedang memikirkan habuan yang bakal dia sendiri terima daripada Jawa…

*****

LELAKI berkumis itu terbaring memandang syiling sambil tangan kiri diletakkan di bawah kepala. Tangan kanannya pula memegang telefon bimbit yang melekap di telinga.

      “ Ya, aku faham. Kalau ada apa-apa perkembangan, tolong beritahu aku.”

      Dia mengangguk beberapa kali. Mengiyakan apa saja yang dikatakan oleh orang sebelah sana. Macamlah orang di hujung talian itu boleh memandangnya.

      “ Ok. Baik. Aku tahu…” dan dia terus mematikan talian.

      Lelaki berkumis itu bangun menuju ke tingkap. Dia merenung pemandangan dari tingkat 10 hotel Concorde yang terletak di Shah Alam. Biru langit terbentang itu sepatutnya memberikan ketenangan padanya. Namun hari ini, hatinya resah gelisah. Sudah dua hari dia cuba menjejaki Nini, namun tidak berjumpa. Sejak bertemu Nini malam itu, dan sejak berita tentang pembunuhan teman lelaki Nini tersiar, Nini seolah-olah hilang ditelan bumi.

      Sebentar tadi, dia baru selesai menelefon kawan lamanya. Kawan lama yang memanggilnya dengan panggilan ‘Set’.Sudah lama dia tidak mendengar namanya dipanggil begitu. Kata mereka, dia seiras penyanyi M. Nasir. Bukan hanya pada rupa, tetapi perangai dan tindakannya juga hampir sama. Sudah ramai yang berkata begitu, namun tidaklah sampai memanggilnya dengan nama Set. Dia hanya dikenali dengan nama itu di kalangan kawan-kawan lamanya yang sealiran ketika muda.

      Dari info yang dia dapat, Nini masih berada di sekitar daerah ini. Dan dia sedar, dia perlu mencari Nini segera sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU