Sambung sedikit cerita tentang CHINTA, BETO dan IKMAL HISYAM yang lama pending... buat membunag sawang yang dah mula nak timbul...

KEBELAKANGAN INI, CUACA PANAS TERIK. Sudah seminggu tiada
setitik hujanpun yang turun. Bumi yang semakin nipis lapisan ozonnya, sudah
tidak mampu mengitar semula kepanasan. Melihat ke luar dari dalam bangunan
berhawa dingin begini, memang membuatkan dia ‘bercinta’ untuk keluar. Sayang
mahu meninggalkan kedinginan yang selesa kepada cuaca panas terik yang
menantinya di luar. Namun tak kanlah dia mahu berkampung di situ! Dia
menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.
Sebaik melangkah keluar dari bank, Chinta mendongak ke langit.
Kemudian mengintai kereta yang diparkir di seberang jalan. Kalau ikutkan hati
tadi, malas betul mahu keluar ke bank. Namun dia terpaksa juga bila memikirkan
betapa lebih merbahaya membawa wang hasil jualan ke sana-sini. Bimbang juga
jika ada yang memerhatikan pergerakannya tanpa dia sedar. Zaman sekarang, ramai
benar orang yang malas bekerja namun mahu memiliki wang dengan cara yang mudah.
Sudahnya… menyamun sahajalah kerja mereka. Dia menggeleng kepala lagi. Entah
untuk kali yang ke berapa dia sendiri pun tak tahu. Sudah menjadi habitnya,
kalau berfikir tentang sesuatu yang tak dapat diselesaikan, akhirnya kepala
secara otomatik menggeleng.
Telefon tiba-tiba berbunyi. Kelam-kabut dia mencari di dalam
beg sandang. Rupanya mama yang telefon. Mama minta Chinta belikan dia mixfruit,
mama mahu buat puding trifle. Hmm… bagus jugak. Itukan puding kegemarannya.
Selesai melayan mama, dia melintas jalan dan mula menapak ke
keretanya yang diparkir di bawah teduh rimbunan pokok sedikit jauh jaraknya
dari jalan utama. Alhamdulillah! Hari ini, dia menang parking dengan ‘aircond’
yang natural ciptaan Allah.
“ Aduhhh… Tolonggg…”
Bunyi suara seperti orang mengerang itu membuatkan dia
terhenti. Dia berkalih. Memerhati sekeliling. Namun gagal mengesan sesiapa.
Hairan! Tadi bunyinya cukup jelas. Takkanlah ada hantu di siang hari begini!
“ Aduhhh… arghhh…”
Lagi sekali, bunyi itu menampar gegendang telinganya. Dia
memerhati sekeliling lagi sekali. Gagal mengesan apa-apa, dia mula bersuara, “siapa
tu? Jangan main-main dengan saya siang-siang ni. Saya tak takut!”
“ Tolong! Saya kat dalam longkang!”
Dalam longkang?
Segera Chinta memandang ke hadapan. Kalau tak silap dia, ada
longkang sederhana besar di situ. Dia segera bergerak ke sana. Biasanya
longkang di kawasan ini kering kontang dan jarang menakung air. Sebaik sampai,
dia menjengok ke dalam. Apa yang dia lihat di dalam longkang itu membuat dia
ternganga.
“IKMAL HISYAM! Macam
mana awak boleh landing kat dalam sana?”
Itu soalan pertama yang terbit dari mulut Chinta sebaik bertinggung
menjengok ke dalam. Hampir tidak percaya apa yang dipandangnya. Longkang itu
tidaklah sedalam mana pun! Namun Ikmal Hisyam seperti jatuh terlentang ke dalam
dan dia kelihatan terbaring memanjang tanpa mampu menggerakkan badannya.
Badannya yang gemuk itu terperosok dan seperti terhimpit memenuhi segenap
ruang.
“ Aduhhh! Saya tersepak akar pokok. Gagal nak imbangkan badan
dan terus masuk ke dalam. Saya rasa tangan kiri saya patah. Tolong saya… tak
tahan rasanya… semutpun dah banyak ni. Aduhhh…”
Chinta garu kepala. Nak buat macam mana ni? Kalau harapkan
dia sendiri mahu menolong, akibatnya nanti… sekali dengan dia terbaring di dalam
sana. Kesian Ikmal Hisyam! Dalam kesian itu, terasa mahu ketawapun ada juga.
Kelakar pula bila melihat Ikmal Hisyam begitu, namun dia sedaya upaya cuba
menahan ketawa itu dari tersembur. Namun dia gagal menyembunyikan senyum yang
terjongket di bibirnya.
“ Awak nak gelakkan saya? Sampai hatinya…”
Dia memandang sekeliling. Ternampak kelibat seorang lelaki India
sedang berjalan memasuki parkir tidak jauh dari situ.
“ Awak tunggu sekejap! Saya dapatkan bantuan.” Tanpa menunggu
jawapan dari Ikmal Hisyam, dia berlalu ke arah lelaki India tadi.
“ Encik! Tolong sekejap… kawan saya terjatuh dalam longkang.
Tangan dia patah.”
“ Patah? Kat mana?” Soalnya. Bergerak setapak ke belakang. Chinta
sedar, orang itu mengambil langkah berjaga-jaga. Mungkin dia fikir, Chinta
berniat jahat. Maklumlah, zaman sekarang… manusia menipu orang dengan berbagai
cara.
“ Kat longkang bawah pokok sana.” Chinta menunding jari,
menunjukkan arah.
Lelaki India tu, buat muka sangsi.
“ Serius. Sumpah! Saya tak tipu!” Dia angkat tangan macam
orang bersumpah. “ Saya rasa… kena panggil ambulan agaknya.” Tanpa menunggu
lebih lama, dia segera menapak kembali ke lokasi dia menemukan Ikmal Hisyam
tadi. Walaupun kelihatan masih sangsi, lelaki India itu akhirnya mengikut
juga dari belakang.
“ Oh my God!” Itu
yang terlafaz dari bibirnya sebaik dia melihat Ikmal Hisyam di bawah sana. “ He must be seriously injured. You said he
broke his hand?” Dia menyoal Chinta.
“ That was what he told me…”
Lelaki India itu tiba-tiba, melompat ke bawah. Dia berdiri di
hujung kaki Ikmal Hisyam. Menghulur tangan dan disambut Ikmal Hisyam lalu dia
cuba menarik Ikmal Hisyam supaya mampu bangun. Sekurang-kurangnya Ikmal akan
lebih selesa jika dia mampu duduk berbanding dibiarkan terbaring begitu.
“ Arghhh… aduh… sakit…” Hanya jeritan tanda sakit yang
kedengaran tanpa badannya beinjak walaupun seinci. Lelaki India itu menggeleng
kepala. Beberapa orang lelaki yang melihat dan mendengar jeritan mula
menghampiri dan menjengok ke dalam.
“ Kena panggil ambulan rasanya… can’t even move him,” komen lelaki India itu, beberapa orang yang
berada di situ, turut mengangguk.
“ Kalau macam tu, saya telefon sekarang.” Dia segera
mengeluarkan telefon. Kesian melihat Ikmal begitu. Waktu itu juga dia terfikir,
kalaulah dia terus-terusan menambah berat badan, suatu hari… siapa tahu,
nasibnya juga mungkin jadi begitu.
Tragisnya…
No comments:
Post a Comment