Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, May 13, 2011

BAB 36

“ Dah dekat ke? Tuan nak saya sembunyi dulu? “ Soal Sarjan Adli sambil merendahkan badannya di tempat duduk penumpang hadapan.

Kimi mengangguk. Matanya masih merenung ke depan. Dia melirik ke arah jam di papan pemuka kereta. Sudah menghampiri ke pukul 11 malam. Dia sudah terlewat setengah jam. Kereta Zekry sudahpun diparkir di bahu jalan. Bebola matanya bergerak mencari kelibat Zekry…namun tidak kelihatan di mana-mana.

Sengaja diajaknya Sarjan Adli ke situ. Kimi sebenarnya sangsi dengan keikhlasan Zekry setelah melihat kemeja Jeans yang dipakai Zekry semalam .Apalagi dengan sikap Zery yang tiba-tiba berubah ingin berbaik-baik dengannya. Manalah tahu, mungkin pertemuan ini juga adalah satu perangkap.

Kimi memberhentikan kereta dalam jarak 50 meter dari kereta Zekry. Sengaja dia berbuat begitu, supaya kehadiran Sarjan Adli tidak diketahui.

“ Sarjan tunggu dulu kat dalam kereta. Kalau nampak apa-apa yang mencurigakan, Sarjan guna budi bicara sendiri untuk bertindak. OK?” Arah Kimi. Sarjan Adli mengangguk.

Kimi melangkah keluar, dan berjalan menghampiri kereta Zekry. Dia meninjau ke dalam. Zekry tiada di situ. Pandangannya kemudiannya dilontarkan ke arah pohon beringin yang merendang di tepi padang. Mungkinkah Zekry sudah ke situ? Langkah mula diatur menyeberangi jalan. Dia melompat melepasi longkang yang luas di bahu jalan dan bergerak ke arah pokok yang sudah berpuluh tahun umurnya.

Suasana ketika itu amat sunyi. Beginilah keadaan di kawasan kampong, jarang ada kenderaan bertali arus apabila sudah menginjak pertengahan malam. Sesekali sahaja, kelihatan lampu motosikal melintas. Sebaik sampai di bawah pohon yang merimbun itu, dia mula mengelilinginya beberapa kali. Memang sah…Zekry tiada. Hairan! Kalau dia sudah pulang, bagaimana keretanya masih terparkir di bahu jalan.

“ Zekry! Kau ada kat sini ke?” Kimi bersuara memecah kesunyian. Namun tiada balasan. Hmm…entah ke mana perginya Si Zekry ni. Kimi bersoal jawab di dalam hati.

Talipon Kimi tiba-tiba berbunyi nyaring. Tertera nama Sarjan Adli di atas skrin. Pantas Kimi menjawab.

“ Hello! Hmm...nak buang air?” Ada senyum bergaris di bibir sebaik mendengar apa yang diperkatakan Sarjan Adli di hujung talian.

“ Ya lah. Lepas siap, awak datang ke sini. Nampaknya Si Zekry tak ada dekat-dekat sini.” Sebaik mematikan talian, Kimi berdiri memandang ke arah jalan. Menunggu Sarjan Adli sampai.

Sarjan Adli membuka pintu kereta. Dia kemudiannya berkalih ke kiri dan ke kanan sambil melintasi jalan. Namun kemudiannya, dia berhenti tiba-tiba. Ada rumpun pokok kapal terbang di tepi jalan, tidak jauh dari situ. Sesuai juga kalau nak menyembunyikan diri sementara mengosongkan pundi kencing. Dia tidak jadi melintas, tetapi berjalan melepasi kereta Zekry.

Tiba-tiba, kakinya tersepak sesuatu di atas rumput. Talipon bimbit. Sebahagian dari sarung badannya sudah pecah. Hmm…biasalah. Sikap manusia, kalau dah tak boleh digunakan, buang aja kat tepi jalan. Diteruskan sahaja melangkah untuk menunaikan hajatnya tadi.

Sebaik selesai, Sarjan Adli mula melintas jalan. Namun terhenti lagi sekali. Ada limpahan cecair pekat di atas jalan. Dia mengeluarkan talipon bimbitnya dan menyalakan lampu. Cecair merah pekat. Darah!

Sarjan Adli berundur beberapa tapak. Cuba menghitung jarak antara kereta Zekri, talipon bimbit tadi dan tompokan darah itu. Ada rasa tidak enak terbit di benaknya. Sekian lama berkecimpung di lapangan jenayah, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena telah terjadi.

“ Tuan! Sini sekejap!” laung Sarjan Adli, memanggil Kimi.

Kimi berlari-lari anak menghampiri Sarjan Adli. “ Ada apa?” soalnya.

“ Tu…cuba Tuan tengok.” Ujar Sarjan Adli. Dia menunding ke arah tompokan darah di atas jalan sambil bercerita tentang talipon bimbit tadi dan teorinya.

Kimi mula menyuluh permukaan jalan dengan menggunakan talipon bimbitnya. Memang jelas. Cecair itu adalah darah. Terdapat juga kesan tayar kereta yang bersalut dengan darah.

“ Sarjan! Awak ambil kunci ni, bawa kereta dan pasangkan lampu supaya kawasan sekitar ni terang. Mungkin boleh terjumpa apa-apa. Saya rasa tak sedap hati.”

Kunci kereta bertukar tangan. Sarjan Adli mula menapak ke arah kereta mereka.

Kimi tunduk meneliti sekitar kawasan tersebut dengan menggunakan cahaya talipon bimbitnya. Namun pandangannya terhad. Apabila Sarjan Adli memandu menghampiri kawasan itu, perlahan-lahan kawasan itu menjadi terang. Kereta itu diparkir betul-betul di tengah jalan dengan lampu terpasang. Ada sesuatu menyinar berhampiran rerumput di bahu jalan. Kimi bergerak menghampirinya. Dia duduk dalam keadaan bertinggung dan menguis objek tersebut dengan menggunakan ranting kecil. Kimi menggelengkan kepala.

“ Apa yang Tuan jumpa?” tegur Sarjan Adli. Ada lampu picit di tangannya.

“ Jari. Ada cincin yang masih tersarung. Batunya menangkap dan membalikkan cahaya kereta.”

“ Nampaknya…ada orang kena langgar. Baik kita cari di sekitar. Harap-harap, masih boleh diselamatkan.”

Kimi bangun. Mengangguk beberapa kali sebelum bergerak dan cuba mengikut kesan tayar kereta di atas jalan. Di dalam hati Kimi berharap sangat ,semoga orang itu bukan Zekry.

“ Ia menuju ke longkang besar.” Ulas Kimi

Mereka mengatur langkah serentak menghampiri longkang. Kesan darah semakin banyak. Ada juga serpihan isi dan kain di beberapa tempat. Sebaik sampai, Sarjan Adli mula menghalakan suluhannya ke dalam longkang. Cahaya lampu di bawa ke kiri dan ke kanan, dan ia akhirnya berhenti tepat menyuluh ke satu objek.

Kimi dan Sarjan Adli berpandangan.

Sebahagian kaki mangsa terjulur dari dalam longkang yang airnya hitam dan pekat.

*****

Cahaya yang menerangi kawasan laman belakang Rumah Borgenvilla itu, menarik minatnya untuk memberhentikan pemanduan. Kereta itu diperlahankan dan dipandu masuk melalui lorong sempit yang dilatari belukar kecil. Dia memberhentikan keretanya apabila tiba di kawasan lapang yang dipenuhi dengan pohon Cenderai. Redup pepohon itu membentuk satu ruang yang sedikit tersembunyi dari pandangan mata sesiapa sahaja yang melalui lorong itu. Keretanya diparkir tersembunyi di sebalik rimbunan dedaun Cenderai yang terjulur menyentuh tanah.

Encik Mushi2 sudah biasa melakukan semua ini. Sejak Nina masih ada, hinggalah sekarang. Laluan ini sudah menjadi agenda wajib jika dia ingin mengetuk pintu memori silam. Dia melangkah keluar, pintu kereta ditutup, dan dia dengan pantas mengatur langkah menyusuri denai kecil yang membawanya ke kawasan dusun di belakang rumah itu. Dia sudah mahir selok belok di sini, malah boleh sahaja membelah kegelapan dan sampai ke tujuannya tanpa masalah…apalagi jika suasana sekeliling diterangi cahaya bulan yang malas begini.

Langkah diperlahankan sebaik telinganya menangkap suara perempuan berbual. Dia menjengah dari jauh. Kelihatan Deena dan salah seorang kawannya sedang duduk berbual di bangku batu yang mengadap laman belakang. Ada sebiji dulang yang berisi teko dan cawan berserta sepinggan ubi rebus yang masih panas…wap udara panas itu jelas kelihatan di bawah cahaya lampu.

Encik Mushi2 mengatur langkah perlahan,. Dia mencari tempat paling hampir supaya dapat mendengar perbualan mereka. Dia mengambil tempat di sebalik pokok melur yang merimbun, di mana kawasan sekitarnya dipenuhi oleh pokok renek berdaun hijau. Sama seperti yang dia lakukan pada petang sabtu lepas. Waktu itu Deena sedang berbual dengan kawan-kawannya, dan dia dapat melihat dengan jelas bagaimana Zekry sedang mengendap dan mencuri dengar segalanya. Melihatkan riak wajah Zekry berubah, membuatkan dia tahu yang Zekry sudah tahu sesuatu. Waktu itu dia sudah nekad. Zekry mesti dihapuskan. Apalagi bila melihat Zekry berbual dengan Kimi semalam, sesuatu yang tidak pernah dilihatnya selama ini.

Mata dan telinganya dipusatkan hanya ke arah tempat mereka berbual.

“ Apa pendapat kau, Deena. Kau rasa…siapa yang masuk ke bilik kau malam tadi?” Soal Eton, Deena menggeleng kepalanya perlahan.

“ Entah! Aku pun tak tahu. Susah nak cakap. Pelik!”

“ Aku rasa, orang tu, mesti ada kena mengena dengan kehilangan Nina.”

Deena mengangguk. Namun masih membisu. Wajah Deena yang disimbahi cahaya lampu, nampak serupa benar dengan Nina. Ada suatu perasaan yang sedang menjalar di dalam hati Encik Mushi2. Perasaan yang sama, sewaktu memandang wajah Nina beberapa tahun yang lalu. Badannya terasa merinding. Dia membetulkan kedudukannya.

Dari arah pintu, muncul kelibat seseorang yang menutup hampir keseluruhan kepala dan mukanya dengan tudung berwarna hitam. Itu mungkin Bella. Kawan Deena yang ditolaknya di kepala tangga semalam. Padan Muka! Siapa suruh sibuk nak masuk ke bilik waktu itu. Habis hancur misi pencariannya.

“ Ni fesyen apa pulak ni? Gaya wanita bertudung hitam je,” kedengaran Deena menegur sambil tersenyum.

“ Hoi! Bukak la tudung, jangan nak mengusik la. Karang, kalau aku yang usik kau…makin panjang pulak cuti kita kat sini. La ni pun, plan 3 hari dah bertambah jadi 5 hari,” bebel Eton pula.

Waktu itu juga Bella menarik tudung yang menutupi wajahnya. Menampakkan mukanya yang keseluruhannya ditampal dengan bedak sejuk. Rambutnya pula dibiarkan mengerbang ditiup angin malam.

Sebaik melihat wajah Bella, Eton terjerit kecil. Deena pula hampir terbangun untuk melarikan diri. Encik Mushi2 sendiri, turut terkejut hingga tertarik untaian dahan melor dengan tidak sengaja. Pokok itu bergoyang sedikit. Serentak itu, 3 pasang mata terarah ke tempat dia sedang bersembunyi.

“ Tengok tu, burung pun terkejut dengan rupa kau yang macam ni. Buang tebiat ke?” Marah Eton. Bella melabuhkan punggong di sebelah Deena. Encik Mushi2 pula menarik nafas lega.

“ Saja je. Aku tension,” jawab Bella sambil buat muka sepuluh sen. Tangannya pantas mencapai ubi rebus nak menyuap ke mulut.

Deena dan Eton saling berpandangan. Tiba-tiba, Deena menghamburkan tawanya, sambil jari menunding ke arah muka Bella. Kepala digeleng beberapa kali. Eton turut tersenyum.

“ Hish! Tak best la macam ni. Ingat aku ‘Pek lawak’ ka?” Sambil bercakap, Bella memuncungkan mulutnya.

Deena berhenti ketawa, matanya tertancap pada wajah Bella. “ Lama-lama aku pandang kau ni…dah macam gaya Hantu Kak Limah Balik Rumah la pulak.” Sehabis ayat, ketawa mereka bertiga pun pecah berderai.

Encik Mushi2 pula, turut tersenyum. Perasaan yang sama seperti tadi…datang lagi. Matanya tidak lepas dari menatap kecantikan wajah Deena di bawah sinaran lampu. Bila Deena ketawa, nampak sebaris gigi yang teratur cantik. Ada lesung pipit disebelah pipi kanan. Dia terkesima.

“ Sedih pulak. Korang dah nak balik esok,” suara Deena berubah sedih.

“ Ala…jangan la macam tu. Kami pun rindukan emak juga. Aku ni…nak juga balik kampong,” ujar Bella. Eton hanya mengangguk. Mengiyakan kenyataan Bella.

Eton mencapai cawan yang terletak di hadapannya. Dia menghirup seteguk, kemudian meletakkan semula cawan itu. Seketul ubi kayu disuap ke mulut. “ Kau nanti, jaga diri kau. Tak tau kenapa, aku jadi risaukan keselamatan kau. Berhati-hati tau!.”

“ Ya lah! Betul kata Eton tu. Tak mustahil orang tu datang balik. Jangan duduk rumah sorang-sorang.”

Encik Mushi2 tersenyum sinis mendengar pesanan kawan-kawan Deena. Yang mereka tidak tahu, sekali dia inginkan seseorang perempuan…dia belum pernah gagal memiliki mereka. Samada hidup ataupun mati.

“ Alangkah bagusnya kalau korang jadi body guard aku selamanya.”

Eton tersengih memandang Deena. “ Hmm…kau tu, tak payah body guard. Tapi, untuk melindungi kau, walau pun tak pandai pertahanan diri…aku rela. Aku, kalau nak kuntau ka, Taekwando ka…tak pandai la. Tapi…” belum habis bercakap, dia bangun dari kerusi. Eton kemudiannya, tunduk mengutip batu sebesar bola golf. Dia berdiri menimbang-nimbang batu itu di tangan. “ Aku kat kampong dulu, pakar main tuju-tuju, kalau aku baling orang dengan bola, memang mengeliat la jawabnya. Macam ni…” sehabis ayat, batu tadi dilontarnya, tepat ke arah tempat persembunyian Encik Mushi2.

Batu itu hinggap di sebelah kanan kepala Encik Mushi2. Sesuatu yang di luar jangkaan dan menyebabkan dia mengeluarkan jeritan kecil. Serentak dengan itu, sekali lagi, 3 pasang mata merenung ke situ. Dan, di waktu yang sama, muzik ‘Relong Rindu’ memecah kesunyian malam. Mereka tersentak sekali lagi. Bunyi talipon itu mengalih tumpuan mereka ke arah talipon Deena yang sedang bergetar di atas meja.

Deena segera menjawab panggilan itu. Bella pula bangun dan berdiri di belakang Eton yang kini, mengalih semula pandangannya ke arah pohon itu. Mata Eton mula mencerun, cuba menembusi kegelapan malam. Eton mula bergerak menghampiri tempat Encik Mushi2 bersembunyi. Encik Mushi2 menahan nafas. Tangannya masih meyeka darah yang mengalir di kepala. Geram sungguh dia dengan perempuan yang seorang ni. Kalau dia berani mampir…tahulah habuannya nanti. Dia sudah bersedia, kalau perlu…dia akan bertindak seperti semalam. Ataupun, mungkin bertindak lebih jauh dari itu.

“ Apa? Betul ke? Awak jangan nak main-main dengan saya pulak.” Suara Deena yang sedikit kuat mematikan langkah Eton. Dia berkalih memandang Deena yang sudah terduduk di kerusi.

“Ya Allahhhhh! Innalillah….” Ungkapan yang keluar dari mulut Deena menyebabkan mereka berdua bergerak menghampirinya.

“ Baru malam ini ke? Hmm…masih baru…Baiklah. Assalamualaikum.”
Deena mematikan taliponnya. Matanya bulat memerhatikan kedua sahabatnya itu. Ada riak sedih yang cuba ditahan.

“ Kenapa? Siapa yang mati? Soal Eton.

“ Zekry. Kimi jumpa mayat Zekry kat Padang bola di kampong sebelah. Dia dilanggar. Kimi kata…mungkin langgar lari.”

“ Innalillah hiwainna ilaihi rooji’uunn” Bella dan Eton mengungkap kata-kata itu serentak.

“ Zekry yang pendiam tu…kesian. Dia kan tak banyak cakap. Sedihnya….”

Deena mengangguk kepalanya perlahan. Lama dia termenung. Namun tiba-tiba, dia bangun dan mencapai talam berisi makanan dan minuman di atas meja.

“ Jom masuk! Kimi pesan suruh duduk dalam rumah. Kunci pintu.”
Bella dan Eton turut bangun serentak. Mereka bergerak mengekori Deena dan kemudian, menutup pintu dan lampu serentak.

Encik Mushi2 terdiam sebentar. Rupa-rupanya mayat Zekry sudah ditemui…begitu cepat sekali. Hmm…telahannya memang benar. Zekry memang bercadang untuk menemui Kimi di situ. Mujur dia bertindak cepat. Dia mesti pulang segera sebelum orang lain tersedar akan ketiadaannya dan mengaitkan dia dengan kematian Zekry.

*****

Kimi menyimpan taliponnya ke dalam kocek. Rasa lega dapat bercakap dengan Deena dan mengetahui Deena selamat. Mengesyaki kesemuanya berhubung-kait, dia dapat merasakan yang Deena perlu diberitahu. Apalagi bila biliknya dicerobohi semalam. Panggilan untuk Abang Lan juga dibuat untuk memaklumkan berita kematian Zekry. Hanya Abang Lan sahaja saudara terdekat yang Zekry ada. Ternyata Abang Lan terkejut sungguh bila menerima berita itu tadi.

Kawasan sekitar padang itu dipenuhi anggota polis. Pita sekatan berwarna kuning sudahpun diregangkan untuk mengasingkan kawasan jenayah. Beberapa objek kuning diletakkan di beberapa tempat di mana bukti ditemui, dan dilabel dengan angka-angka. Bermula dari kereta Zekry, tempat talipon bimbit ditemui, tompokan darah di atas jalan dan juga sebahagian jari yang tertinggal di bahu jalan. Beberapa orang anggota lapangan jenayah sedang merakamkan gambar keadaan sekitar tempat kejadian. Bunyi gambar dirakam, dan cahaya lampu kamera boleh didengar dan dilihat berselang seli.

Mayat Zekry terbujur di tepi longkang. Ada rasa sebak melintas di hati. Walaupun Zekry memilih untuk memusuhinya, tetapi Kimi tidak pernah mendendami Zekry. Mengesakki itu ada, dan dia tidak pernah menghukum Zekry tanpa bukti. Dia tidak pernah menginginkan kematian yang begini dialami oleh Zekry. Seburuk manapun Zekry, mereka pernah berkongsi saat-saat manis sewaktu membesar…dan padang ini menjadi saksinya. Kimi yakin Zekry dibunuh.

Kimi mengatur langkah dengan perlahan, badannya terasa betul-betul tak bermaya. Dia bergerak menghampiri Inspektor Ganesan yang sedang berdiri tegak di tengah jalan.

“ Tuan!” Sapa Inspektor Ganesan. Kimi hanya mengangguk.

“ Nampaknya, mangsa memang dilanggar dengan tujuan untuk membunuhnya.” Inspektor Ganesan berjalan ke arah kereta Zekry. “ Saya rasa, dia kenal pembunuhnya. Mereka berbual dulu di sini. Tengok! Ada kesan titsan minyak bercampur air di sini. Means, pembunuh memberhentikan keretanya tanpa mematikan enjin. Mungkin tak lama sangat.”

Kimi duduk bertinggung. Jari telunjuk dicuit pada tompokan air dan dilaga-lagakan dengan ibu jari. Dia mengangguk. Membenarkan teori Inspektor Ganesan. “ Hanya enjin kereta lama saja aka nada kebocoran macam ni.”

Inspektor Ganesan kemudian bergerak 10 meter ke hadapan. “ Ini tempat dia dilanggar kali pertama. Kesan tompokan ini membuktikannya. Ada juga kesan tayar akibat kereta diberhentikan tiba-tiba.” Dia menunjukkan kesan itu pada Kimi. “ Dia mungkin cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi, tapi tak sempat,” dia menggelengkan kepala beberapa kali.

Kimi mengeluh berat. Segala penerangan Inspektor Ganesan itu, diterimanya hanya dengan anggukan. Sebenarnya, itu juga yang difikirkannya tadi berdasarkan keadaan tempat kejadian. Dia melontar pandangannya sekali lagi ke arah mayat Zekry. Pengusung mayat sudah tersedia di situ, dan beberapa anggota sedang membentangkan plastik hitam di sebelahnya. Nampaknya mereka sedang berkira-kira untuk memindahkan mayat. Dia mengalihkan pandangannya. Rasa sebak itu masih belum mahu berlalu, masih memberi kesan sesak di dalam dada.

Inspektor Ganesan rupanya sedang memerhatikan gelagat Kimi. Ditepuk-tepuknya bahu Kimi beberapa kali. Kimi hanya membalas dengan senyuman.

“ Tuan Hakimi!” Suara Sarjan Adli menerjah gegendang telinga.

Kimi berkalih, dari jauh kelihatan Sarjan Adli melambaikan tangan. Mungkin ada penemuan baru. Dia dan Inspektor Ganesan melangkah menghampiri lokasi tersebut.

Sarjan Adli yang sedang bertinggung, menunjukkan sepihan nombor plat kereta kepada Kimi. Terdapat palitan darah merah di situ.

“ Mungkin plat kereta itu patah sewaktu perlanggaran,” ulas Sarjan Adli. Cebisan itu dihulur pada Kimi. “ Hanya cebisan bahagian hujung. Ianya nampak seperti dua nombor terakhir, tapi cuma separuh,” sambungnya lagi.

Kimi membelek. “ Nombor pertama, samada 5, 6 atau 8. Nombor kedua, mungkin…1 atau 7.” Kimi menyerahkan semula bahan bukti itu pada Sarjan Adli. Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik lutsinar.

“ Bagus! Periksa betul-betul kawasan sekeliling. Saya tak mahu, ada bukti yang tertinggal,” arah Kimi lagi.

“ Baik, Tuan!” Jawab anggota bawahannya serentak.

Inspektor Ganesan tiba-tiba mencuit bahu Kimi. Dia menunding jari ke arah jalan, lalu Kimipun menoleh pandang. Rupanya Abang Lan sudah sampai dan sedang bergegas menghampiri lokasi di mana mayat Zekry ditempatkan. Kimi turut beredar ke situ dan mengarahkan supaya proses pemindahan dihentikan sebentar.

“ Kimi, betul ke ini Zekry?” soalan itu yang terbit dari mulut Abang Lan. Kimi mengangguk lemah.

Abang Lan kemudiannya terduduk di sebelah mayat Zekry sambil menundukkan kepalanya. Kimi menepuk-nepuk bahu Abang Lan perlahan sebelum tunduk membuka plastik mayat. Sebaik melihat wajah Zekry, Abang Lan menangis tersedu-sedu.

Kimi hanya memandang, rasa hatinya ketika itu bercampur-campur. Ada rasa sedih, simpati dan juga sangsi. Sudah tidak tahu siapa lagi yang mahu dipercayakan. Namun dia berpegang kepada prinsip yang diajar Tuan Rasyid. Seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibuktikan. Yang penting, mencari pembunuh yang sebenar.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU