KEK CAWAN, FARMASI CHINTA
GADIS
MANIS DENGAN RAMBUT BEROMBAK MELEPASI BAHU dan diwarnakan mengikut trend
terkini itu sedang asyik memandang ke arah kedai di seberang jalan. Dia menghirup perlahan air Nescafe panas kurang manis
hingga ke dasarnya. Pinggan berisi roti canai bersama kuah kari ikan di
hadapannya sudah kosong. Semuanya sudah selamat mendarat di dalam perutnya sebentar
tadi sewaktu bersarapan bersama sahabat baiknya Mawar. Mawar kini, sudahpun
menyeberang jalan ke premis bertentangan. Premis dengan papan iklan bertulis,
‘FARMASI CHINTA’, bersebelahan dengan premis ‘ QASEH CUPCAKES AND DELI’.
“
Chinta!”
Dia terperanjat lalu berkalih. Seorang
lelaki warga Bangladesh sedang tersenyum memandangnya sambil kepalanya digerakkan
ke kiri dan kanan, ke atas dan ke bawah. Perkerja kedai Mamak Maideen ini
memang gemar mengusiknya… malah hampir setiap pagi jika dia bersarapan di situ.
“ Mau apa!” Soalnya. Tiada jawapan
yang diterima, hanya isyarat jari yang dilakar bagi menunjukkan bentuk cinta. Dia
menggelengkan kepalanya. Matanya dijegilkan. Mulutnya separuh terbuka seperti
selalu dibuat…
“ Mamak Maideeeeennnnn!” Dia menjerit.
Jeritan itu membuatkan lelaki tadi susup sasap berlari ke belakang.
Mamak Maideen sudah siap tercegat di
hadapannya sebaik dia habis menjerit. Ketawa kecil dari beberapa orang pekerja dan
pelanggan di situ kedengaran di sana-sini. Mereka sudah biasa dengan olahnya
yang begitu bila diusik.
“ Mamak! Ittu Anne, sekali lagi usik saya… saya mogok makan sini!” Dia
bangun, jari telunjuk diangkat lalu kepalanya digerakkan sama seperti yang
sedang dilakukan Mamak Maideen ketika itu. Lucu betul gayanya.
“ Eceh! Tangkici, apapasal taroh itu nama ‘Chinta’? Semua orang mau usik. Mamak tara salah…” jawab Mamak Maideen.
Kernyihnya sudah sampai ke telinga. Aura gatal mahu mengusik membuatkan dia
mengenyit matanya pada Chinta.
“ Mamakkkkk… Gerammmnyerrrr!!!”
Chinta melepaskan nafas berat. Bahunya
dijatuhkan lalu berkalih dan terus menyeberang jalan tanpa memandang ke kiri
dan kanan. Mujur waktu itu, tiada kereta yang lalu lalang.
Geram betul! Bukan salah dia kalau
namanya Chinta. Bukan juga dia tidak biasa dengan usikan yang mengiringi tahun-tahun
yang mematangkan dia. Sudah lali sebenarnya. Namun tidak dapat dinafikan, jika
selalu begitu... adakalanya akan naik muak juga.
Nama Nur Chinta Aliya itu sudah
terpahat di atas sijil kelahirannya sejak 29 tahun yang lalu. Nak buat macam
mana! Nama yang terlahir sebagai tanda kukuhnya ikatan cinta antara mamanya,
Nur’ain dan babahnya Ali Nawari. Bukan hanya nama dia yang begitu, nama kakak
sulungnya juga bunyinya serupa, Nur Qaseh Aliya. Begitu juga nama adik
lelakinya yang bongsu, Muhammad Nur Habibi Ali. Cuma nama abang sulungnya aja yang
lain sedikit bunyinya iaitu Muhammad Nur Nawari. Semuanya menjadi ‘mercu tanda’
betapa kuatnya kasih dan cinta Nur pada Ali. Dia tahu dan sedar, dia sepatutnya
berbangga menjadi ‘mercu tanda’ itu. Cuma kadang-kadang sahaja dia menjadi
tidak tahan dengan usikan yang keterlaluan seperti yang dialaminya tadi.
Sebaik sampai ke seberang, dia
mendongak melihat papan iklan premis berwarna merah muda dengan tulisan kuning di
hadapannya. Farmasi Chinta ini milikinya bersama Mawar. Itu hasil kerja keras
mereka berdua memohon pembiayaan dari PUNB sebaik dia tamat housemanship dan compulsory service di hospital. Dia selaku kongsi utama dan
memiliki 70 peratus syer. Mawar pula memegang 30 peratus berdasarkan profit sharing sejak 3 tahun beroperasi.
Mawar sahabat baik yang sudah dianggap keluarga. Juga merangkap rakan kongsi
dan pekerjanya juga. Perniagaan itu seperi pengikat kepada persahabatan yang
usianya sudah melewati 25 tahun, sejak mereka sama-sama di pra-sekolah lagi.
Kesian Mawar! Tidak seperti dia yang
mampu melanjutkan pengajiannya dalam bidang Sains Farmasi di USM, Mawar
terkandas sewaktu di tingkatan 5. Semuanya kerana peristiwa malang yang meragut
nyawa kedua ibubapanya ketika usianya 17 tahun. Dia yang tinggal sebatang kara
turut mengalami kemurungan akibat peristiwa itu. Mama dan babah yang
sememangnya menyayangi Mawar terus sahaja mengambilnya sebagai anak angkat.
Sementelah pula, mereka memang tinggal berjiran sejak sekian lama.
“ Hai! Menung apa lagi kat luar tu?”
Suara Mawar yang terjengol di sebalik
pintu kaca itu, menyedarkan Chinta dari mengimbau masa lalu. Dia tersengih
tanpa berkata apa-apa. Memandang Mawar yang sentiasa manis dengan tudung yang
dililit dengan gaya terkini.
“ Ada sales rep nak jumpa!” Ungkap Mawar dari sebalik pintu.
Dia mengangguk lalu masuk ke dalam.
Namun kebelakangan ini, cermin itu seperti
‘senjata makan tuan’. Malah dia seboleh
mungkin cuba mengelakkan dari melalui kawasan itu. Alat memancing pelanggan itu
kini, seperti mentertawakan dan mengejeknya.
Ah! Lantaklah! Namun sekuat mana hati
cuba menafikannya, sekuat itu jugalah dia diam-diam merasakan yang fizikalnya
sudah banyak berubah. Namun dia masih buat tidak kisah… selagi Si Beto itu
tidak pernah kompelin tentang penampilannya.
“ Chinta ada?” Itu suara Abang Nan,
buah hati kak Qaseh dari kedai sebelah.
“ Ada! Kat sini… Kenapa Abang Nan?”
Dia menjengah dari sebalik gondolar. Mawar tersengih di belakang kaunter.
“ Qaseh cakap, yang ditunggu bakal
tiba… Special punya tau!” Jawab Abang Nan. Dia kernyeh di hujung ayat. Macam kerang
busuk. “ Jangan tengok cermin tu lama-lama, nanti tension!” Kata-kata Abang Nan
disambut ketawa kuat oleh Mawar. Cepat saja Abang Nan melangkah keluar selepas
itu. Takutlah tu! Takut kena ‘kuntau mulut’ dengan Chinta.
Hmm… asal ada peluang, semua orang nak
kenakan dia. Geram betul! Adakalanya isu nama. Kekadang terbit pula isu berat
badannya yang semakin bagai dipam-pam layaknya. Itu belum masuk isu hubungannya
dengan Beto.
“ Chinta! Sudah-sudahlah kau layan
nafsu kau tu. Tadi pagi dah pekena roti canai 2 biji. Nak makan benda alah tu
lagi? Cuba kau renung imej kau dalam cermin tu lama-lama… Aku takut lama-lama nanti,
Beto bukan Kushairy kau tu, lari,” bebel Mawar dari belakang kaunter.
Hmm... masuk kali ini sudah lebih sepuluh kali Mawar keluarkan ‘ayat lapar pelempang’ itu. Tak sayang mulut betullah! Yang hairannya, dia selalu tunjuk muka bersalah setiap kali mengungkapkan ayat tersebut. Namun bila ditanya sebabnya, dia lebih suka mengangkat bahunya.
Hmm... masuk kali ini sudah lebih sepuluh kali Mawar keluarkan ‘ayat lapar pelempang’ itu. Tak sayang mulut betullah! Yang hairannya, dia selalu tunjuk muka bersalah setiap kali mengungkapkan ayat tersebut. Namun bila ditanya sebabnya, dia lebih suka mengangkat bahunya.
“ Barang-barang yang sampai tadi dah
habis tag?” Chinta membulatkan matanya sambil tangan bercekak pinggang. Leha
dan Nurul yang sedang mengemas barangan di atas rak tergelak kecil. Mawar
melepaskan nafas berat lalu membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Namun
dia tiba-tiba menjerit bila Chinta mencubit pinggangnya. “ Lagi sekali kau
sebut ayat tu, aku cekik kau!”
Sudah biasa bergurau begitu, Chinta
yakin Mawar tahu dia tidak bermaksud apa-apa. Mawar ketawa kecil sambil
mengenyitkan mata.
“ Termasuk engkau, dah dua orang
kenyit mata dengan aku pagi ni.”
“ Siapa yang lagi sorang tu?”
“ Hmm… Mamak Maideen tadi. Entah
termakan seafood dan dapat allergik apa tah, dia boleh kenyit mata pada aku
tadi. Ingat nak hantar Piriton buang
sekeping dua. Buat ubat gatal badannya tu…”
Cerita itu disambut ketawa kuat dari
Mawar. Leha dan Nurul, turut tersenyum sama. Mawar menggeleng kepala.
Sambil masih tersenyum, Chinta bergerak
masuk ke dalam pejabatnya. Melabuhkan punggong di kerusi empuk sambil menarik
keluar fail akaun dari atas rak. Dia mula membuat senarai pembayaran yang perlu
dikeluarkan menjelang hujung bulan. Huh! Banyaknya figura yang terpamer sebaik
dia selesai menjumlahkan semuanya. Nampaknya bulan ini, terpaksalah dia membuat
pembelian berhemah. Mawar juga perlu diingatkan tentang itu.
Tiba-tiba, dia berhenti bekerja. Hidungnya
dikemut-kemutkan tanda dia terbau sesuatu. Dia menghirup bau enak itu
dalam-dalam lalu bangun dari kerusi dan keluar ke kaunter.
“ Kau orang bau tak?”
“ Mulalah tu… pantang bau tu datang,
mulalah duduk tak senang!” Komen Mawar yang sedang menyusun invois dan
mengepitnya dengan pengepit kertas.
“ Tadikan Abang Nan cakap dah on the way…” Leha, pekerja yang tinggi
lampai turut menyampuk.
“ Aku ke sebelah kejap. Kau orang
semua… kerja rajin-rajin tau!” Dengan tersengih-sengih, Chinta melangkah ke
premis sebelah. Dia pasti, tentu Qaseh ada sesuatu yang istimewa untuknya. Dia
tidak sedar akan pandangan sayu Mawar yang sedang mengiringi langkahnya. Yang
pasti ada sesuatu yang Mawar cuba sembunyikan dari Chinta.
QASEH MENGALIHKAN KEK CAWAN yang baru
dikeluarkan dari oven lalu meletakkannya di atas rak wayar berjaring. Pantas
sungguh dia melakukan semua itu dengan menggunakan pengepit besi. Selepas siap
semuanya, dia berkalih ke arah dulang yang menempatkan kek cawan yang sudah
sejuk. Ini resepi kek cawan Red Velvet yang dijanjikan untuk Chinta. Kek ini
antara kegemaran Chinta selain kek
Hazelnut Coklat.
Dia mencapai mangkuk pengadun Kenwood
yang mengandungi Krim keju yang sudah
siap diadun sebentar tadi. Warna dan kelembutan krim keju itu memang menggamit
selera. Sebab itulah agaknya, Chinta tidak mampu melawan kehendak nafsu
makannya.
“ Itu untuk Chinta lagi?” Soal Mak
Teh, ibu saudara juga merangkap rakan kongsi dalam bisnes kek cawannya. Qaseh mengangguk.
Mak Teh, ibu saudara sebelah mama itu merupakan adik mama. Dia tua sepuluh
tahun dari Qaseh namun masih belum bertemu jodoh. Kalau ikut terma sekarang…
orang gelar perempuan macam dia, Andalusia.
Kedengaran Mak Teh menghembus
nafasnya. Dia menggeleng kepalanya perlahan. “ Masih tak dapat nak hentikan ketagihannya
pada cup cakes? Qaseh pun satu… asal dia minta aje, Qaseh buatkan.”
“ Qaseh sayang adik. Tak sampai hati
bila dia merengek. Ini pun Qaseh buat upon
request jer. Kalau Qaseh jual kat kedai… mau hari-hari Chinta makan cup cake ni. Dia ajelah yang jadi
pelanggan,” jawab Qaseh sambil melurut-lurut bekas ising supaya krim mampat ke
bawah. Dia memulas bahagian atas bekas ising itu sambil menalakan nozel ke muka
untuk melihat krim yang keluar di hujung acuan berukuran 2cm. Jika krim keluar,
bererti krim sudah padat ke bawah dan sedia untuk digunakan. Setelah puas, dia
mula mengepam krim lalu membuat beberapa putaran mengelilingi bahagian atas kek
cawan. Tak sampai seminit, kek sudah terhias dengan krim keju berlengkar
menunjuk ke siling.
“ Sayang tu… semua orang, sayang! Tapi
mesti kena pada tempatnya. Mak Teh tengok, badan Chinta tu dah macam dipam-pam
sejak kita buka kedai kat sini. Dia tu, bukannya tinggi sangat…” kata-kata Mak
Teh itu terhenti bila pintu ruang dapur ditolak.
Wajah ceria Chinta menjengah di
sebalik pintu. Mak Teh menelan air liur.
“ Kak Qaseh! Mak Teh! Wahhh!!! pesanan
Chinta dah siap ek?” Ceria sahaja suaranya bertanya walaupun semuanya sudah
jelas di depan mata. Dalam duduk bersembang dengan Mak Teh, sudah siap sepuluh
biji kek berhias krim putar di atas dulang. Qaseh memang cekap membuat kerja
dapur.
Bulat mata Chinta melihat kek cawan yang
sudah berhias itu. Dia menelan air liur. Qaseh memandang Mak Teh. Mereka
sama-sama menggeleng kepala.
Panjang sungguh umur Chinta. Baru aja
menyebut namanya. Dia sudah muncul di depan mata. Qaseh suka melihat keceriaan
Chinta. Rasa puas hati setiap kali memenuhi keinginan Chinta. Namun memenuhi
permintaan Chinta yang satu ini, sering mengundang rasa bersalah dalam dirinya.
Ya lah! Seperti kata Mak Teh, badan Chinta memang naik mendadak sejak mereka
beroperasi di sebelah kedai Chinta. Chinta jadi ketagih makan kek cawan hampir
setiap hari. Sudah puas dinasihati, namun acara makan kek cawan itu seperti
tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Nama saja ahli farmasi, dia sendiri
sepatutnya lebih tahu akan kesan buruknya. Namun degilnya tak boleh ditegur.
Inginnya tak boleh dibantah. Tanpa sedar, Qaseh mengeluh perlahan.
“ Kenapa mengeluh! Teruk sangat ke nak
buat tempahan untuk Chinta?” Sambil menyoal, tangan Chinta pantas mencapai
sebiji kek cawan di hadapannya dan terus menggigit separuh. Sebaik mengunyah,
dia memejamkan matanya. Menggayakan aksi penuh nikmat seperti yang dilakukannya
setiap kali menjamah kek cawan kegemarannya. Qaseh geleng kepala lagi,
memandang Mak Teh… memohon pengertian.
“ Bukan teruk, Kak Qaseh cuma rasa
bersalah. Akibat asyik makan kek cawan Kak Qaseh, badan Chinta dah jadi bulat
macam bola. Mak Teh pun rasa bersalah juga,” ulas Mak Teh. Dia memicit-micit
lengan Chinta yang berisi tu, “ tengok, dah pejal isi kat sini, tak cantik
kalau pakai baju, lengan jadi besar. Beto tak kisah ke, kamu gemuk macam ni?”
“ A’ah! Beto tak kisah ke? Jangan nanti
dia cari yang lain pulak, menangis tak berlagu kau nanti. Dah berapa kali kau
orang berdua tangguh nikah?” Celah Qaseh. Entah kenapa, dia sangsikan kejujuran
Beto. Sudah masuk tiga kali Beto tangguhkan nikah. Dari Chinta kecil molek,
sampailah Chinta sudah jadi gempal begini. Dari Qaseh single tak ada kekasih
sampailah dia bertemu jodoh dengan Abang Nan.
“ Beto kata, makin Chinta berisi…
makin cute,” jawab Chinta tersengih selepas menghabiskan baki kek tadi. “
Tentang kawin tu, dia bukan sengaja nak tangguh. Dia nak kukuhkan kedudukan
kewangannya dulu. Chinta okay aja.”
Qaseh sudah biasa mendengar ayat tu,
namun dia malas mahu mengulas. Dia terus terus saja menekan beg ising dan menghias
baki kek. Kalau Chinta tak kisah, dia mengikut aja. Namun kalau Beto berani
memungkiri janjinya pada Chinta, siaplah Beto nanti! Mahu menguatkan kedudukan
kewangan konon. Yang Qaseh tahu, sudah beberapa tahun Beto asyik bertukar-tukar
kerja. Pantang ditegur sedikit oleh majikan, terus dia hantar surat berhenti.
Memanglah mak bapak Beto tu orang kaya, tetapi takkanlah nak bela Chinta dengan
ihsan harta mak bapak dia. Itu bukan ciri-ciri lelaki baik dan bertanggung
jawab. Namun dia hairan kenapa Chinta jadi terlalu buta.
“ Suka hati kaulah Chinta. Jangan
nanti, kamu kata kami tak mengingatkan kamu, menegur kau. We’ve done our part, the rest is yours to decide!” Ujar Mak Teh
yang terkenal dengan sikap terus terangnya.
‘Ting!’
Bunyi itu kedengaran dari oven sebelah
kanan. Itu tanda puding roti yang Mak Teh bakar sudah siap masak. Mak Teh
bangun untuk meneruskan kerjanya.
“ Chinta faham, Mak Teh dengan Kak
Qaseh ambil berat hal Chinta. Tapi Chinta kenal Beto. Chinta tahu dia serius
sayangkan Chinta.”
“ Kalau Chinta dah yakin, okaylah tu.”
Qaseh mengiyakan kata-kata Chinta. Buat habiskan air liur aja kalau bercakap
hal Beto.
“ Kak Qaseh masukkan 10 biji dalam box, Chinta kena balik ni. Nak ke bank pulak
petang nanti.” Pinta Chinta sebelum berkalih ke arah Mak Teh. “ Mak Teh,
mintalah puding roti tu barang sebekas, boleh?” Chinta buat muka kesian. Dia
nampak terliur merenung barisan bekas aluminium berukuran 5 x 3 cm siap berisi pudding roti yang memang sudah
terbukti keenakannya.
“ Kirim salam aku nak bagi! Dengan
Qaseh, bolehlah kau buat lembik tengkok. Aku tak akan termakan dengan muka
kesian kau tu. Aku tak mahu tambah kilo pada badan kau yang dah terlebih kilo
tu… Tolonglah sedar dan jaga pemakanan kau tu. Kau tu, jual ubat. Kau kena
tunjuk tauladan dan appearance yang sihat…”
leteran Mak Teh terhenti bila melihat Chinta menutup telinga dengan jari
telunjuknya.
Qaseh ketawa kecil. Sejak dulu, antara
mereka berlima beradik… hanya Chinta yang tak pernah takut dengan leteran Mak
Teh. Malas mahu melayan mereka, dia bangun mendapatkan kotak seperti yang
diminta Chinta.
“ Asal aku berleter, itulah yang kamu
buat. Suatu hari… kamu akan tahu yang aku berleter nipun, sebab sayangkan kamu.”
Komen Mak Teh dengan nada merajuk.
Qaseh yang sedang memasukkan kek cawan
valvet ke dalam bekas, menyembunyikan senyumnya. Pandai merajuk juga orang tua
yang seorang ni. Dia mengerling ke arah Chinta. Chinta mengenyit mata. Hmm…
adalah yang sedang terbit dalam otak tak betulnya itu. Beg berisi kek cawan Red
Velvet itu dihulurkan kepada Chinta.
Beg sudah bertukar tangan. Chinta
bergerak ke arah Mak Teh dan mencium pipi kanan Mak Teh tanpa sebarang amaran.
Mak Teh menjerit kecil. Dia kemudian memeluk pinggang Mak Teh dari belakang
lalu mencium pipi sebelah kiri pula.
“ Saaayaaaannnggg, Mak Teh!” Ucap
Chinta sebelum berlari ke pintu.
“ Bertuah punya budak! Dapur ni, bukan
tempat bergurau senda. Ada benda panas dan mudah pecah!” Jerit Mak Teh berkalih
sambil memegang sudip kayu. Namun Chinta sudah bergerak dengan pantas menuju ke
pintu. Dia tersengih di situ.
Qaseh ketawa mengekek. Mak Teh pula
menggeleng kepala.
Chinta berhenti di depan pintu. “ By the way Mak Teh, thanks untuk
ini….”katanya sambil mengeluarkan sebekas pudding roti yang entah waktu bila,
berjaya di’culik’ dari pengawasan Mak Teh. Tanpa menunggu tindak balas dari Mak
Teh, Chinta ketawa sambil mengenyit matanya pada Qaseh lalu terus hilang di
sebalik pintu.
Mak Teh memandang Qaseh yang sedang
cuba mengawal gelak, tangannya sedang menutup mulut. Mulut Mak Teh pula ternganga.
Rahang jatuh separuh. Tangan menggaru kepala kehairanan. Mak Teh mahu berkata
sesuatu namun akhirnya terduduk di kerusi. Hanya matanya yang memandang Qaseh
tanpa sebarang kata.
“ Kan Qaseh dah kata… payah untuk
tidak memenuhi kehendak dia…” ulas Qaseh lalu bangun menatang dulang kek untuk
diletakkan di ruang depan.
1 comment:
lama tak jengah sini..ada cerita baru rupanyer..kupu2 malam tu dah siap ker?
Post a Comment