
KERETA MERCEDES yang dipandu oleh Encik Hisyam meluncur laju di laluan Lebuh Raya Utara
Selatan menuju ke utara. Deena melihat ke arah Amar yang sedang tertidur di
tempat duduk sebelah pemandu. Kepalanya terlentok ke arah cermin. Agaknya kalau
ikut pantang larang orang tua-tua, kalau gemar makan leher ayam… macam itulah
gayanya apabila bersanding. Kononnyalah. Dia tersenyum melihat aksi tanpa sedar
Amar itu.
Puan Nora duduk di bahagian belakang bersama Deena. Mereka becok berbual.
Sambil berbual, tangan mereka pula sibuk mengopek kacang tanah, mulut pula
sibuk mengunyah. Mulut tu, sepatutnya penat apabila perlu membuat dua kerja
dalam satu masa, tetapi sejak mula bertolak, makan dan sembang menjadi agenda
berterusan hinggalah sekarang.
Tiba-tiba saja, Encik Hisyam mengajak mereka semua pulang ke kampung.
Katanya, dia mahu mereka sama-sama memilih rumah yang bakal diduduki. Dia
mahukan persetujuan semua orang.
“Ayah, kat mana rumah yang dia orang nak beri kita duduk tu? Dekat ke
dengan rumah Tok Wan?” Deena mula bertanya ayahnya sambil tangannya sibuk
mengupas kulit kacang tanah yang dibeli di Hentian Rehat dan Rawat (R&R)
tadi. Kacang tanah rebus bersaiz besar tu lemak sungguh rasanya, tapi
kadang-kadang terselit juga kacang yang rasanya seperti sudah berhari-hari
direbus.
“Sebenarnya ada dua buah rumah yang dicadangkan untuk ayah. Sebuah di
sebelah pulau dan sebuah lagi di daerah Seberang Perai. Kalau dari rumah Tok
Wan, mungkin dalam dua puluh minit perjalanan kereta agaknya.” Encik Hisyam
menjawab sambil menjeling cermin pandang belakang. Dia cuba mencari wajah
Deena. Sebuah senyuman terlakar di bibir apabila melihatkan telatah Deena
mengunyah kacang tanah tersebut. Terkumit-kumit macam ikan Pirana pula gayanya.
“Kalau macam tu, duduk kat Seberang Perai la, kalau boring senang Deena nak
pergi ke rumah Tok Wan, bolehlah selalu jumpa Ana, Dayah dan Nadia.” Balas
Deena.
Deena memang rapat dengan sepupu-sepupunya sejak kecil. Waktu kecil dulu,
semasa musim cuti sekolah, selalu juga mereka bermain pondok-pondok kalau Deena
berkampung di rumah Tok Wan. Apabila menginjak remaja
pula, sepupu-sepupunya itulah yang menjadi tukang ‘mengayak’ Deena ke sana ke
mari dengan motosikal setiap kali dia balik ke kampung.
“Tak perlu buat keputusan lagi. Kita tengok dulu keadaan rumah, lokasi dan
kemudahan sekeliling. Lepas bincang, kita buat keputusan. Sebab tu ayah nak
pandangan anak-anak ayah dalam membuat keputusan.” Balas ayah.
“Betul tu Deena, kalau ikut mak, memanglah mak nak duduk dekat-dekat dengan
rumah Tok Wan. Tapi kita tengok dulu keadaan kedua-dua buah rumah tu,” Puan
Nora yang hanya mendengar sejak tadi, mula mencelah.
“Deena okey je. Lagipun, tak lama
lagi Deena cuti akhir semester dua bulan… sebelum memulakan tahun akhir kat
kolej tu.” Deena tersengih memandang emaknya.
“Yalah tu….” Puan Nora tersenyum pada Encik Hisyam melalui cermin pandang
belakang.
Deena kemudiannya terus mendiamkan diri. Suara mak dan ayahnya semakin lama
semakin jauh kedengaran. Matanya leka memerhatikan keindahan landskap
bukit-bukau yang menghijau di sepanjang lebuh raya.
Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak sedar sehinggalah dikejutkan
oleh Puan Nora. Kata Puan Nora, mereka sedang menghampiri rumah Tok Wan.
Deena teruja apabila rumah kampung separuh kayu dan separuh bata bersimen
nampak jelas di pandangan mata. Rindu sungguh pada rumah ini dan penghuninya.
Suasana nampak berseri apabila melihat deretan pokok bunga kertas sarat
berbunga beraneka warna. Tok memang rajin berkebun, apa saja yang kena sentuhan
tangan Tok Yam dan Tok Wan, pasti akan tumbuh subur.
Kelihatan kelibat Tok Wan sedang bertinggung di bawah rumah. Ruang terbuka
di bahagian bawah rumah itu cuma dipagari oleh pagar besi dan telus di
pandangan. Ia tempat Deena melepak dengan Tok Yam dan Tok Wan kalau balik
kampung. Selesa sungguh tempat itu, sebab apabila cuaca panas, tiupan angin
semula jadi akan menyejukkan ruang. Bahagian bawah itu lengkap dengan kusyen
dan kerusi malas. Itu tempat Tok Wan menghabiskan masanya apabila berada di
rumah.
Ayah Deena menurunkan cermin tingkap kereta sebaik menghampiri rumah Tok
Wan. Suara Tok Wan mengusik Comel, kucing peliharaannya jelas terdengar.
“Eh ceh ceh ceh... kore koche kore
koche....” Tok Wan menggeletek Comel yang menggeliat dengan gaya manja. Tok
Wan kemudiannya berdiri apabila tersedar akan kehadiran kereta menghampiri
kawasan rumahnya.
“Yam! Oh Yam! Anak cucu hang dah sampai ni.” Tok Wan berdiri sambil
tersenyum. Manis sungguh senyuman Tok Wan. Tambah berseri dengan muka Tok Wan
yang putih bersih tu. Rasanya, semasa muda-muda dahulu, Tok Wan memang termasuk
kategori lelaki kacak. Kiranya macam ‘Jejaka Idaman Malaya’ la. Wajah Tok Wan
tampan, mirip seperti orang Arab. Ini kerana Tok Wan memang mempunyai susur
galur daripada keturunan Arab dalam salasilah keluarganya.
Amar terus membuka pintu kereta dan memeluk Tok Wan. Tok Yam yang baru
melangkah keluar dari dapur tersenyum memandang. Tok Yam mengangguk ke arah
emak, jelas tergambar rasa suka di wajah Tok Yam. Emak bergerak mendapatkan Tok
Yam lantas bersalam dan mencium kedua belah pipi Tok Yam.
“Mak apa khabar? Sihat noo?” soal
emak tersenyum.
“Alhamdulillah! Sihat. Masuklah dulu, makan tengah hari dah siap masak. Kak
hang dua orang tu duk jadi cef kat dapur... depa kata masak spesel.”
“Wah! Mak dengar tu, Tok dak pandai speaking
London....” Deena mengusik, disambut dengan ketawa semua orang. Deena
mendapatkan Tok Yam dan terus bersalam sambil mencium tangan dan kedua-dua pipi
Tok Yam. Begitu juga, perkara yang sama dilakukan terhadap Tok Wan.
“Dahlah tu. Jomlah masuk. Hangpa pun dah penat berjalan jauh.” Tok Yam
bersuara, mengajak semua orang masuk ke dalam rumah. Setelah ayah dan emak
Deena bersalaman dengan kedua-dua Tok Wan dan Tok Yam, beg pakaian diangkat ke
dalam rumah.
Deena tidak mengikut yang lain-lain masuk, tetapi masih berpusing-pusing di
laman lalu berjalan ke tepian bendang. Dia berdiri mendepakan tangan, mata
dipejamkan dan udara nyaman itu dihirup sedalam mungkin. Meniru gaya Kate
Winslet dalam filem Titanic. Cuma
kalau Kate Winslet berdiri di buritan kapal, dia berdiri di tepi bendang yang
berselut kerana musim menanam baru saja habis. Nafasnya dilepaskan
perlahan-lahan sambil mata dibuka dan Deena tersenyum. Sungguh bahagia.
Deena berkalih semula memandang rumah Tok Wan. Rumah ini sentiasa buat hati
Deena tenang. Suasananya tenang, udaranya tenang, auranya pun tenang… setenang
wajah Tok Wan dan Tok Yam. Ketenangan hasil amalan harian yang selari dengan
suruhan Islam. Sungguh, dia bersyukur kerana masa remajanya banyak dihabiskan
di rumah Tok Wan dan dia diasuh mengikut acuan Tok Wan. Tok Wan selalu
menekankan keperluan bersolat sejak kecil. Kerana dari awal terdedah melihat
Tok Yam dan Tok Wan bersolat, dia menurut tanpa bantahan.
Apabila di asrama atau di rumah emaknya, ada juga dia cuba mengelat... tapi
rasa resah dan rasa berdosa itu datang sendiri. Kalau musim cuti sekolah,
kadang-kadang terasa malas untuk balik ke rumah emak. Dia lebih rela menghuni
tingkat atas rumah Tok Wan berseorangan. Tingkat atas itu cuma ada dua bilik
tidur dan satu ruang yang Tok Wan gunakan untuk beribadat. Paling Deena suka
apabila tidur di sini ialah selalu juga tidur malamnya akan dikejutkan bunyi
merdu suara Tok Wan bersolat malam dan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.
Deena sekadar jadi pendengar. Belum kuat iman agaknya untuk sama-sama beramal
macam Tok Wan.
Kalau ada yang bertanya siapa yang paling Deena sayang dalam keluarga?
Rasanya payah baginya untuk memberi jawapan. Kadang-kadang, Deena rasa… dia
lebih sayangkan Tok Yam dan Tok Wan menandingi sayangnya pada emak dan ayahnya.
Cuma, semua rasa tu Deena simpan dalam hati sahaja. Tak perlulah nak beritahu
semua orang. Takut-takut juga kalau emak dan ayah dengar, nanti kecil pula hati
mereka.
DEENA BEREHAT di bawah rumah sambil bermain-main dengan Si Lembek, kucing Mak Lang.
Kucing memang binatang yang paling Deena sayangi. Tok Yam kata, Deena macam Tok
Wan, pantang nampak kucing! Mungkin, itulah antara sifat Tok Wan yang Deena
warisi.
Dulu-dulu, sewaktu tinggal di rumah Tok Wan, Deena selalu terdengar Tok Yam
berleter setiap kali Tok Wan pungut kucing jalanan balik ke rumah. Kata Tok
Yam, sudah terlalu banyak bilangannya. Tok Yam tak larat nak buang berak
kencing kucing yang merata-rata tu. Tapi Tok Wan pula ada alasan tersendiri.
Kesian katanya. Kucing tu cuma nak menumpang makan. Kata Tok Wan lagi, apa
salahnya berkongsi rezeki yang Allah beri. Lagipun kucing kan binatang
kesayangan Rasulullah. Apabila Tok Wan berhujah begitu, Tok Yam terus terdiam.
Akur dengan kata-kata Tok Wan. Sejak itu, Tok Yam tak pernah membangkitkan isu
kucing lagi.
Bunyi derap kaki dari tingkat atas rumah kayu itu mengalihkan perhatian
Deena. Rasanya, itu bunyi Tok Wan bergerak untuk turun ke bawah. Deena berkalih
merenung tangga kayu yang menyambungkan tingkat bawah dan tingkat atas, dia
nampak kelibat Tok Wan di situ. Baru selesai sembahyang asar agaknya. Tok Wan
menggeleng kepala bila melihat Deena begitu asyik menghadap Si Lembek.
“Deena! Pi solat dulu... jangan tangguh solat!”
“Tadi Deena dah jamak waktu zuhur, Tok Wan!” Dia tersenyum memandang Tok
Wan.
Tok Wan membalas senyuman Deena. Pandangan Tok Wan pada Deena sarat dengan
kasih sayang.
“Bertuah cucu Tok Wan ni, sekali ajar terus lekat.”
“Tok Guru Deena kan bagus, walaupun kadang-kadang garang macam rimau, kan!”
Tok Wan dan Deena ketawa serentak.
“Baguslah tu… macam Tok Wan bagi tau dulu-dulu, Allah dah bagi kelonggaran
nak mudahkan kita masa musafir, ambillah peluang tu. Kalau kita duk sombong tak
mau ambik peluang... macam kita sombong dan tak tau nak hargai kurnia
Allah.”
“Faham Tok Wan. Apa yang Tok Wan ajar, Deena ingat sampai mati.”
Dalam mendidik, selalunya Tok Wan mengajar dengan lembut serta gemar
menekankan rasional sesuatu perkara itu dilakukan. Namun, jika sudah
berkali-kali ditegur masih tidak mahu berubah, Tok Wan boleh bertukar menjadi
garang seperti harimau. Tak mustahil juga jika rotan kecil yang diselitkan di
celah atap rumah akan hinggap ke mana-mana bahagian badan. Maka akan
menggeliatlah dia dengan sepupu-sepupunya jika rotan kecil itu singgah di
badan.
Tok Wan tersenyum memandang Deena. Deena membalasnya kembali. Deena sayang
Tok Wan dan paling suka melihat Tok Wan tersenyum manis. Senyuman manis yang
akan sentiasa Deena simpan dalam hati dan mindanya. Selamanya.
No comments:
Post a Comment