SS 15, Subang Jaya. Dua jam selepas itu.
APRIL berlari-lari anak menuju ke arah kereta yang diparkirnya
berhampiran Maybank Seksyen 15, Subang Jaya. Beg sandang besar berjenama Gucci
dikepitnya di bawah ketiak rapat-rapat. Seakan bimbang jika beg itu akan hilang
direntap individu tidak bertanggung-jawab. Buat sementara ini, itulah harta
paling berharga miliknya berbanding dengan segala yang lain yang dia ada.
Dia memegang dadanya yang laju berdebar
sejak tadi.
Kelibat Ti’ah menaikkan ‘central
lock’ dari dalam kereta kelihatan samar-samar. Berdetap bunyi kunci dibuka
secara automatik. April membuka pintu lalu melabuhkan punggongnya di tempat
duduk sebelah pemandu. Sejak terlanggar lelaki bernama Akmal tadi, dia sudah
hilang semangat mahu memandu. Kaki rasa terketar-ketar sewaktu mahu menekan
pedal minyak. Sudahnya… Ti’ah terpaksa mengambil alih pemanduan.
Dia menghirup segar sejuk
pendingin udara dalam-dalam. Tidak terus berkalih ke arah Ti’ah tetapi cuma
diam memandang ke ruang hadapan. Ke arah deretan rumah kedai yang melatari
jalan. Beg sandang jenama Gucci itu masih dipeluknya hingga melekap ke dada.
Diamnya sangat lama. Menyebabkan
Ti’ah berkalih merenungnya.
April akhirnya menyembamkan
mukanya ke papan pemuka kereta lalu menangis. Entahlah! Ada rasa syahdu yang
sedang mengetuk hatinya kini. Dia menjadi terlalu sensitif sejak kebelakangan
ini. Terasa tangan Ti’ah mengelus bahunya lembut.
“ Kau okay ke? Kenapa menangis
macam ni?”
Soalan itu tidak dijawab. April angkat
kepala. Mengesat baki airmata.
“ Comotnya! Macam perempuan gothic.” Ucap Ti’ah tergelak. Dia
mengesat tubir mata April. April segera memeriksa wajahnya melalui cermin
pandang belakang.
Hmm… memang comotpun. Dia tersenyum kelat. Maskara yang dipakainya
sudah bercampur airmata. Memang benar, macam perempuan gothic pulak apabila maskara sudah menghitamkan keliling mata. Dia
mencapai tisu, terus membersihkannya.
“ Apa yang buatkan kau sedih
sangat? Kau dah baca buku tu kat dalam sana ke? Puas aku tunggu kat luar…
bimbang jugak aku. Takut kau pengsan kat dalam sana. Sudahlah tadi tu pengsan
dekat tempat kemalangan tu.”
April geleng kepala. Kemutkan
hidung. “ Belum baca. Belum ada kekuatan.”
“ Tak rasa excited nak tahu ke?”
“ Mahunya tak. Tapi, menggendong kotak
ni kat dalam beg pun macam gendong beban berat yang sesakkan dada aku.”
“ Kotak?”
“ Ya, kotak yang dalamnya ada
diari papa dan keratan akhbar berserta sekeping surat. Nanti malamlah aku baca.
Masa tenang-tenang kat rumah tu.”
Ti’ah kerutkan muka. Dia nampaknya…
risaukan keadaan April.
“Kita tengok rumah dulu… aku set address ni kat GPS,” April mula menyelongkar beg, mencari alamat
rumah yang Acik beri. Setelah selesai, Ti’ah mula membetulkan duduk lalu
memasukkan gear mengundur. Kedengaran alat Global
Positioning System (GPS) mula berbunyi memberikan arahan…
‘ Keep to your left, in 100 meter turn to your left’
Walaupun serik dengan insiden
tadi, mereka menurut sahaja. Nak buat macam mana lagi? Mereka memang kurang
mahir dengan jalan di Subang Jaya ini. Dulu, kalau datang ke Kuala Lumpur,
selalunya, April cuma jadi ‘Mem Besar’ di tempat duduk belakang.
Ti’ah menjengah ke langit.
Kemudian tersengih memandang April. “ Mujur cuaca cerah. Aku bimbang GPS ni recalculating tengah-tengah jalan macam
tadi. Mau kelam kabut kita dibuatnya.”
April senyum segaris. Walaupun
impak perlaggaran tadi masih terasa, namun impak hatinya yang terlanggar tadi,
lebih kuat. Copot jantung ketika itu, masih berbaki hingga kini. Sungguh dia
tak sangka, dia bertemu seseorang yang mempunyai cirri-ciri lelaki idamannya di
sini. Cuma, yang tak sedapnya… orang tu lasernya
boleh tahan. Mulutnya pula, macam longkang. Dan yang lebih malang, dah ada isteri
pula.
Tapi, tak akan rugi apa-apapun
kalau tak dapat lelaki yang tak sensitif macam tu.
Kan?
DENGAN bantuan GPS, mereka keluar ke Pesiaran Jengka, melalui Jalan
Kemajuan. Dari situ terus masuk ke Pesiaran Tujuan lalu menghala ke Utara
Subang Jaya (USJ) 4. Tak sampai lima belas minit, April sudah memberhentikan kereta berhampiran
Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Selangor apabila GPS menyatakan ‘ you have reach the destination’.
“ Rumah nombor 14.” Kata April
sambil menjengah rumah yang bertentang dengan kedudukan keretanya.
“ Dua tingkat, depan sekolah.
Senang anak kau nak sekolah nanti.” Ti’ah tersengih.
April kemutkan hidung dengan
turut kerutkan bibir ke sebelah kiri pipi. Selalunya itu tanda dia sangat tak
setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan.
“ Ke situ pulak kau. Aku kuntau
karang, baru tahu!” Sergah April.
Ti’ah angkat tangan mohon ampun.
“ Macam pernah aku dengar ayat tu.” Kata-kata Ti’ah buat April tersenyum. Mana
pula tak pernah dengar, itulah ayat kuntau yang Ti’ah sendiri selalu pakai
kalau marahkan orang. April sekadar mahu mengusik.
“ Jomlah!”
April keluar dari kereta.
Berjalan mengelilingi kereta lalu berdiri bersandar di situ. Dia menarik nafas
dalam-dalam. Dia mengerling Ti’ah yang sudah berada di sebelahnya. Mereka
sama-sama mengangguk kepala lalu melangkah melintasi jalan. Menghampiri rumah
berpagar kayu yang didirikan sedikit tinggi dan dihiasi pohon Akar Dani yang menjalar
berbunga oren kemerah-merahan. Kebetulan waktu itu bunga sedang ramah
berkembang. Memang nampak cantik sungguh.
Sebaik pintu pagar dibuka, ruang
parkir yang boleh memuatkan dua biji kereta menanti mereka di sebelah dalam.
Suasana nampak redup kerana selain berbumbung penuh, ia dikelilingi oleh
pasu-pasu bunga berdaun hijau dari berbagai jenis spesis.
“ Ada pangkin
kayu jati. Walaupun kecil, boleh juga buat rehat-rehat dekat luar.” Komen Ti’ah
sambil menunding jari ke sudut kanan rumah.
April sekadar mengangguk. Dengan
lafaz Bismillah, April memutar anak kunci perlahan. Dia menguak daun pintu.
Ruang sederhana besar berjubin motif parkey menyambut kehadiran mereka. Gelap
lantai itu disederhanakan dengan sofa tona krim ala English dan langsir tingkap
bermotif bunga-bunga kecil dengan campuran hijau apple dan juga krim .
“ Cantiknya! Aku suka hiasannya.”
Kata April sambil melabuhkan punggong di sofa. Mata dibawa menyeluruhi ruang. Ti’ah
ambil tempat di sofa bertentangan.
April tunduk merenung lantai.
Matanya sudah mula digenangi air. Dia mengesatnya perlahan. “ Hari ini, aku rindu sangat-sangat pada mama
dan papa…” dia berhenti sebentar menahan sebak lalu memandang sekeliling sekali
lagi. Terasa seperti papa masih ada bersamanya walaupun sudah dua minggu papa
pergi.“ Dan, mulai hari ini juga… inilah rumah aku. Walaupun tak sebesar banglo
papa di Kelantan, tapi inilah pemberian berharga mama dan papa untuk aku,”
ucapnya lagi, memandang Ti’ah.
Ti’ah mengangguk.
April membalas dengan segaris
senyum. Anggukan itu sudah cukup menandakan Ti’ah faham.
Dan dia tahu, Ti’ah akan sentiasa
berada di sisinya.
No comments:
Post a Comment