Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, July 15, 2011

KUPU2 TERBANG MALAM - Bab 1



KIPAS siling yang bertema klasik, dan dihias lampu berbentuk kuntuman bunga tulip itu berputar ligat. Namun ia masih belum mampu menghilangkan haba kepanasan cuaca dari luar. Namun Dira tidak kisah, inilah yang dia rindukan sebenarnya. dia sudah jemu dengan dingin salji di perantauan. Bukan tidak ada penyaman udara yang dipasang untuk memberikan keselesaan padanya. Malah, bilik itu lengkap segalanya. Dari lantai parkey yang dipadankan dengan tema klasik, hinggalah kepada perabot-perabot jati dihias serba indah… memang segalanya cantik dan selesa.

Mata Dira masih merenung kipas siling yang tidak penat-penat berpusing. Dia terbaring di atas katil, tak tahu hendak buat apa dan ke mana. Hari ini hari kedua Dira menjejakkan kaki ke tanah air. Sejak pulang, dia seperti kehilangan rentak. Rasa malas menguasai diri. Dia menggolekkan badannya ke kiri dan ke kanan, kemudian kembali merenung kipas yang berpusing.

Lima tahun berada di luar negara, bukanlah dia langsung tidak menjejakkan kaki ke rumah. Ada. Malah sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ayahnya, Datuk Asfani mampu menampung tiket perjalanan itu. Namun, dia tetap rindu pada segala yang ada di sini, papa, mama, adik-adiknya, rumah ini dan juga Nini. Mengingatkan nama Nini sahaja sudah mampu mengundang sebak di hatinya. Lama sungguh tidak bertemu Nini, mungkin sudah lebih lima tahun.

Dira bangun dari katil, bergerak ke tepi almari. Dia membuka beg besar yang baru dibawa pulang semalam. Isi yang sarat itu diselongkar hingga tangannya meyentuh kotak kecil berwarna biru lembut diikat dengan riben putih di atasnya. Dia membukanya. Seutas rantai leher dari emas putih kelihatan bersinar. Nampak cantik bila berlatar belakangkan warna biru lembut dengan tulisan Tiffany and co. jelas kelihatan di situ.

Rantai berserta loket kecil berbentuk hati itu Dira beli sewaktu di Amerika lagi. Mahal! Harganya hampir seribu ringgit. Ada cerita di sebalik lambang hati itu, dan ia mengingatkannya pada Nini. Maka tanpa banyak berfikir… terus dibelinya. Dira memasang niat, kalau berjaya mengesan Nini, dia akan menghadiahkan rantai itu kepada Nini. Tanda yang dia tidak pernah lupakan Nini selama ini. Dira tersenyum lagi. Setelah puas membelek, dia bangun dan menyimpan kotak itu di dalam laci almari.

Dira dan Nini seperti pasangan kembar, sukar hendak dipisahkan Perkenalan yang bermula sejak bersekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah. Namun, sejak meneruskan pengajian ke luar negara, hubungan mereka seperti terputus. Bukan dia yang memutuskan, tetapi Nini yang seperti menjauhkan diri. Semuanya kerana Nini gagal mendapat tempat di Universiti. Dira tidak salahkan Nini menjauhkan diri begitu. Dia kenal benar dengan perangai Nini, selalu merasa rendah diri sejak dahulu. Dira akan buktikan yang dia masih tidak berubah, masih merindui kehangatan persahabatan mereka sama seperti ketika menginjak usia remaja dulu. Sudah banyak kali dia cuba menghubungi Nini, namun dia selalu gagal. Dan, dia menyimpan rasa sedih dan rindu itu selama lima tahun. Sedih apabila Nini seperti sangsi dengan keikhlasan persahabatan yang lahir dari hatinya. Sedih juga apabila Nini langsung tidak memberikan peluang untuk dia membuktikan keikhlasannya.

Dira mengeluh, kedua-dua belah bahu dijatuhkan. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah membuat keputusan nekad, sementara tidak bekerja lagi, masa yang ada akan digunakan untuk mengesan Nini. Tak sabar rasanya untuk menatap wajah Nini semula. Wajah putih mulus yang tenang walaupun selalu dihimpit seribu masalah yang melanda. Wajah yang sudah berkorban untuk memberi kehidupan padanya suatu waktu dulu. Mana mungkin Dira lupa semua itu.


*****


“ MORNING mama”

“ Ya lah tu morning, dah pukul berapa ni?”

“ Hehe… Pukul 3 petang, saja jer nak tengok mama peka ke tak. Komputer mama ok lagi lah tu.”

Ibu Dira, Puan Solehah tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Sudah maklum dengan keletah anaknya itu. Dia menanggalkan cermin mata yang dipakainya, majalah yang masih dipegang itu diletakkan di atas meja. Walaupun sudah melangkau umur empat puluhan, Puan Solehah masih kelihatan muda. Di kalangan kawan-kawan, dia dipanggil Datin Sally. Malah potongan badannya masih seperti anak dara hingga kadang-kadang, ada yang menganggap mereka adik beradik.

“ Nak ke mana pakai cantik-cantik ni?”

“ Cantik ke?” Dira bertanya sambil mengembangkan skirt potongan labuh berwarna biru polos itu. Warna biru dipadankan dengan blouse pendek putih, berlengan pendek dan beropol-ropol. Matanya tersengih memandang Puan Solehah. “ Nak jumpa kawan kejap la, mama.”

“ Siapa?”

“ Amboi mama, macam mata-mata gelap ler pullok. Nak jumpa Ain, kat Burger House.”

“ Aini Hayati? Kawan sekolah menengah Dira dulu, budak Kedah tu?’

Dira hanya mengangguk. Tangannya sibuk membetulkan tali pinggang yang dipakai sekadar sebagai aksesori, dan sengaja dipakai longgar serta senget ke kiri untuk menambah gaya.

“ Dah la tu… dah cantik dah,” komen Puan Solehah. Masih tersenyum. “ Ain tu, kerja di sebelah sini ke sekarang?”

“ Dulu, lepas belajar, dia ambil Pharmacy course kat USM. Sekarang ni, dia buat housemanship dekat Hospital Kelang. Kebetulan hari ni, dia tak kerja, ambil cuti sebab nak hantar adiknya masuk UM.”

“ Hmm… senanglah Dira, sakit demam nanti bolehlah tanya Ain tentang ubat.”

“ Dira pun cakap macam tu kat dia, mama. Dia kata… kalau ada masalah. Bila-bila pun boleh call dia.” Dira memandang ibunya yang mengangguk perlahan.

Bunyi deruman kereta memasuki halaman mematikan perbualan dua beranak itu. Dira dan ibunya bangun meninjau. Kelibat kereta BMW seven series berwarna perak kelihatan melungsur memasuki parkir. Mereka berpandangan sambil tersenyum.

“ Awalnya papa balik hari ni… nak ke mana pulak?”

“ Entahlah!” Puan Solehah mengangkat bahu. Dia kembali melabuhkan punggong di kusyen yang empok itu.

Dira menurut sahaja perlakuan ibunya. Hmm… makin lambatlah dia keluar nanti. Ayahnya akan lebih banyak bersoal jawab berbanding dengan ibunya. Paling Dira tak suka, ayahnya akan bertanya bila dia akan memulakan kerja di Syarikat kepunyaan keluarganya itu. Syarikat yang dibangunkan ayah bersama Datuk Kadir.

“ Hi there… mesyuarat apa dua beranak kat sini?”

“ Papa, borak kosong jer. Awal papa balik…ada hal luar ke?” Soal Dira sambil matanya mengekori pergerakan ayahnya.

Puan Solehah bangun menyambut briefcase dan kot yang dipegang suaminya. Sambil itu, Datuk Asfani pula mengambil tempat di sebelah tempat duduk Puan Solehah.

“ Papa nak ke Kedah. Datuk Kadir nak buat rundingan untuk projek kat sana. Dalam 3 hari jugak baru balik.” Dia tersenyum memandang Dira. “ Dira ni, pakai lawa-lawa, nak ke mana?”

“ Hmm… papa dan mama ni, memang sehati sejiwa. Dua-dua orang pun nak jadi mata-mata gelap. Dira nak jumpa Ain la, kawan sekolah dulu.”

“ Aik! Tanya pun salah. Dira kan anak papa…”

“ Dira tau tu…” sambil buat muka masam macam asam boi.

“ Ada hal apa nak jumpa Ain?”

“ Sebenarnya, Dira nak tanya Ain tentang Nini. Dira nak cari Nini la…” ada airmata bergenang di matanya.

Bila bercakap mengenai Nini dengan ibubapanya, Dira selalu gagal mengawal rasa. Dia tahu, ibu dan ayahnya, turut rindukan Nini. Dira lihat ayah dan ibunya saling berpandangan. Ada riak sedih di wajah mereka.

“ Kami dah cuba cari Nini macam yang Dira minta, tapi tak jumpa. Sejak kita berpindah ke Shah Alam dan Mak Chu Kina berpindah ke Kedah. Kita memang terputus hubungan. Mama pun rindukan Nini. Nini kan dah macam anak mama jugak.”

“ Tadi Dira call Ain, Ain kata dia pernah terserempak dengan Nini kat KL. Sementara Dira tak kerja ni, Dira nak cari Nini sampai jumpa. Papa boleh bagi Dira masa? Dira akan mula kerja bila dah jumpa Nini nanti. Pleaseeee….” Dira merengek sambil melentokkan lehernya. Matanya tepat merenung Datuk Asfani.

Datuk Asfani mengangguk perlahan. “ Kalau untuk mencari Nini, ambillah berapa banyak masa yang Dira mahu. Papa tak kisah. Dira tahu kan, kalau berkenaan Nini, apa saja pun papa dan mama sanggup lakukan. Jasa Nini pada kita tak akan pernah terbalas,” jawab Datuk Asfani sambil tersenyum lembut memandang Dira dan Puan Solehah bersilih ganti.

Puan Solehah mengangguk, mengiyakan kata-kata Datuk Asfani.


*****

BURGER House yang terletak di deretan kedai dua tingkat di seksyen 19, nampak ketara dari jauh. Bangunan bercat merah itu memang tak pernah gagal menarik perhatian. Dira memandu memasuki parkir, bergerak keluar dari kereta dan berdiri di situ. Dia mengeluarkan talipon bimbit dan mendail nombor Ain.

“ Hmm… Hello! Kau dah sampai?”

“ Dah, aku kat tingkat 2, tepi tingkap. Aku boleh nampak perempuan cantik dengan skirt biru labuh dari sini…” ketawa Ain yang gagal dikawal tersembur sebelum menghabiskan ayat.

Dira nampak kelibat orang melambai dari situ. Pasti itu Ain. “ Aku dah nampak kau laa…aku naik sekarang.” Tanpa menunggu jawapan Ain, Dira mematikan taliponnya.

Ain sudah sedia berdiri untuk menyambutnya, mendepangkan tangan dan terus memeluk Dira. Mereka berpelukan erat begitu lama. Nasib baik tidak ramai yang memilih untuk makan ditingkat dua. Kalau tidak, mesti ada yang kehairanan melihat adegan 'luar alam' yang mereka lakukan. Rindu sungguh! Dira akhirnya melonggarkan pelukan, dia berundur setapak ke belakang sambil memerhatikan Ain.

Dira menggelengkan kepalanya. Lima tahun tidak berjumpa, penampilan Ain sudah banyak berubah. Ain kini sudah bertudung. Dan, dia nampak manis dengan seluar hitam dipadankan dengan blouse hijau apple. Ain hanya tersengih.

“ Kau nampak manis bila bertudung.” Komen Dira sambil memicit hidung Ain.

“ Kau pun, kalau bertudung… lagi manis.”

Dira tergelak dan menggeleng kepalanya beberapa kali. Hingga kini, dia belum pernah terlintas untuk bertudung. Entahlah! Bukan tak tahu yang itu adalah wajib. Malah sejak di asrama dulu, ustazah Khadijah sudah puas memberi ceramah. Namun dia tidak pernah terbuka hati. Ain dulu pun sama degil macam Dira juga. Tapi, Ain bertudung juga akhirnya. Hanya Nini yang bertudung sejak sekolah. Nini yang selalu dijadikan contoh wanita muslimah setiap kali ustazah Khadijah bercakap tentang aurat dan peribadi Muslim.

“ Apa yang kau menungkan?” Soal Ain, sambil memetik jari di hadapan muka Dira, terus mengejutkan Dira dari lamunan.

“ Aku belum terlintas nak bertudung. Statement kau tadi buat aku teringat pada Ustazah Khadijah dan Nini.”

“ Leteran ustazah tu betul, Dira. Kita je yang degil. Nini pun dah berbuih suruh kita bertudung masa sekolah dulu. Tak apalah Dira… perlahan-lahan. Aku akan doakan kau.” Ain tersenyum lembut, lantas menarik tangan Dira ke tempat duduk.

Ain merenung Dira tanpa berkelip, “ kau makin cantik sekarang, makin elegan. Dah macam model aku tengok kau. Tadi masa kau pandu masuk dengan BMW dan keluar dengan sunglasses tu, aku sampai ternganga…”

“ Kau tokok tambah cerita, aku mana ada elegan. Aku kan biasa jer.”

“ Kau jer selalu rasa biasa. Selalu tak mau mengaku kelebihan diri.”

“ Melalut lah kau ni. Kau dah order?”

“ Belum, aku tunggu kau sampai dulu.”

“ Nak makan apa, order dulu…lepas tu kita sembang.” Saran Dira, Ain hanya mengangguk.

Dira berkalih mencari pelayan. Bila nampak lelaki dengan seragam Burger House, dia melambaikan tangan. Pelayan itu dengan pantas bergerak menghampiri mereka.

“ Selamat Petang, sedia untuk pesanan?” Soalnya sambil bersiap sedia dengan pen dan nota kecil.

“ Bagi saya, Mini Burger Special, French Fries dan Milo ais,” belum sempat Dira bercakap, Ain sudah mencelah dengan pesanannya.

“ Cepatnya…kau fikir nak makan apa, sejak dari tadi ke?” Soalan Dira dijawab dengan sengihan macam kerang busuk. Dira ketawa kecil, kepala digelengkan beberapa kali. Dia berfikir sejenak sebelum mula membuat pesanan. “ Saya nak Apple Pie, Onion Ring, wedges dan Coleslaw. Minuman… kasi saya Ice Lemon Tea je lah.”

“ Ok! Saya ulang, Cik ni nak Mini Burger Special, French Fries dan Milo ais. Cik pulak nak Apple Pie, Onion Ring, wedges dan Coleslaw dan juga Ice Lemon Tea.” Kedua-dua mereka mengangguk serentak.

“ Aku sebenarnya, tengah lapar gila ni. Lepas hantar adik aku, bawa mak aku balik… terus datang jumpa engkau. Tak sempat makan.”

“ Patut la… kesian kau. Susahkan kau saja. Sebab apa tak order dulu tadi?”

“ Tak apa, aku excited nak jumpa kau. Rindu sangat ni.”

“ Aku punnnn… rindu sangat dengan kau dan Nini.” Jawab Dira dengan nada sedih.

Apabila bersama Ain, makin terasa kehilangan Nini. Semasa bersekolah dan tinggal di asrama dulu, mereka selalu bertiga. Cuma Ain menjadi rapat hanya ketika di tingkatan empat. Itupun kerana dia tinggal di bilik sebelah.

“ Kau memang tak pernah jumpa Nini langsung?” Soal Ain.

“ Tak. Dia yang menjauhkan diri. Aku cuba juga nak contact dia. Aku sayang Nini, dia antara orang yang paling aku sayang selepas keluarga aku. Bukan! Bukan macam tu… sebenarnya, aku sayang dia, macam aku sayang keluarga aku sendiri.” Air mata Dira mula bergenang.

Ain menghulurkan tangan dan menggenggam tangan Dira. Dira tahu, Ain pastinya sudah sedia maklum betapa akrabnya hubungannya dan Nini. Hinggakan ada yang menuduh mereka Lesbian. Namun setelah rapat dengan mereka selama dua tahun terakhir persekolahan. Ain sudah mula faham akan keikhlasan persahabatan mereka. Ada rona sebak di wajah Ain ketika menggenggam tangan Dira.

“ It’s okay. Kau tak perlu terangkan kat aku. Aku tahu macam mana kau dan dia saling menghargai persahabatan. Aku jadi saksi semua tu selama dua tahun,” ulas Ain. Tangan kirinya menggenggam tangan Dira, manakala tangan kanannya menepuk-nepuk genggaman mereka yang bertaut.

“ Thanks, sebab faham aku dan sudi jumpa aku.” Dira yang sudah reda sebaknya, melonggarkan genggaman dengan perlahan. Dia tersenyum memandang Ain.

“ Tak payah nak ucap terima kasih. Aku yang patut cakap macam tu. Bila kenal kau dan Nini, aku kenal erti persahabatan sejati. Sesuatu yang aku selalu take for granted.”

Pesanan makanan akhirnya tiba. Ain segera mencapai burger yang dipesan, menambah sos ke dalamnya dan terus mula mengunyah. Dira yang bersandar memerhatikan Ain, tergelak kecil. Memang nampak nyata Ain sedang kelaparan. Dira mencapai Apple Pie yang dipesan, mencium baunya dan terus menyuapnya ke mulut.

“ Kau masih macam dulu, sebelum makan… mesti nak cium makanan.” Komen Ain.

“ Kau pun sama. Kalau nampak makanan… tak reti nak tunggu, kejap aje dah masuk mulut,” balas Dira. Dan, mereka ketawa serentak.

“ Tapi Nini lain. Dia mesti pastikan semua orang ada makanan, angkat tangan dan membaca doa makan untuk semua orang.” Ayat itu terbit dari mulut Dira perlahan. Terus diletakkan Apple Pie yang dipegang, tiba-tiba dia hilang selera nak makan.

“ Dira, kau jangan risau. Kita akan sama-sama cari Nini.”

“ Kau kata kau pernah terserempak dengan dia. Bila dan di mana tu?”
Soalan Dira mengundang mendung di wajah Ain. Ain Nampak serba salah. Lama dia diam sambil berfikir. Dira menanti dengan sabar.

“ Hmm… entahlah! Aku pun serba salah nak cakap. Aku yakin itu Nini. Tapi bila aku tegur, dia tak mengaku yang dia Nini. Tapi segala yang ada pada dia… memang apa yang ada pada Nini.”

“ Kau biar betul. Tak kan kau tak kenal dengan Nini.”

“ Sebab tu aku cakap aku serba salah. Aku takut aku salah orang. Tapi hati aku ni, yakin seratus persen yang orang tu Nini.”

“ Pelik! Kalau dia Nini, kenapa dia tak mengaku?”

“ Mungkin dia malu kut.”

“ Hmm…” Dira cuba berkata sesuatu, tapi akhirnya terdiam.

Ain tunduk menyelongkar beg tangannya mencari sesuatu. Dia akhirnya mengeluarkan talipon bimbitnya. Ain mendiamkan diri seperti berfikir, di waktu yang sama, matanya tidak lepas memandang Dira. Entah apa yang ingin Ain pastikan dengan merenung muka Dira begitu.

“ Kalau aku tunjukkan photo yang aku snap ni, kau jangan terkejut.”

“ Kau buat aku suspense. Cepat la…” ujar Dira sambil cuba merampas talipon dari tangan Ain. Ain Berjaya mengelak.

Ain mula menekan beberapa butang di talipon bimbitnya, “ Bila perempuan yang aku jumpa ni tak mengaku yang dia Nini, aku tak puas hati. Aku ikut dia dari belakang tanpa pengetahuan dia dan snap gambar ni secara curi. Kau tengoklah sendiri…” ucap Ain sambil menghulurkan taliponnya kepada Dira.

Talipon bertukar tangan. Dira mula merenung skrin I-Phone yang berada di depannya. Mata Dira membulat dan mulutnya perlahan-lahan terbuka. Nampak sangat yang Dira amat terkejut. Mata yang memandang skrin talipon dialihkan ke muka Ain. Lama dia memandang Ain. Dira seperti kehilangan kata-kata.

Dira akhirnya bersuara, “ ini memang Nini. Aku kenal sangat tahi lalat manis di tepi bibir dan parut di lehernya. Parut yang terlekat di situ akibat kesalahan aku…” dan dia mula menangis sebelum menghabiskan ayatnya. Ain hanya memandang. Dia seperti faham kesedihan yang Dira rasai.

“ Tak boleh jadi… aku mesti cari Nini. Kat mana kau jumpa dia?”

“ Masa tu aku ada Seminar on Diabetes Mellitus kat Concorde Shah Alam. By coincidence jer. Kalau kau pergi sana pun, belum pasti kau akan jumpa dia.” Ain cuba membuat Dira berfikir secara rasional.

“ Tak apa, aku akan cuba.” Dira tersenyum. Sekurang-kurangnya, sudah ada petunjuk untuk dia mencari Nini. Walaupun apa yang dilihat tidak menggembirakan, namun dia bersyukur… dan dia yakin Nini akan ditemui nanti.

2 comments:

soul JS said...

menarik jalan cerita yang memberangsangkan....

Packy Sidique said...

Soul JS,
Thanks a lot...

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU