Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, July 1, 2012

CERPEN - SAAT KUINTAI CINTA



SAAT MATA TERPANDANG DIA, jantung menjadi laju berdetak tiba-tiba. Aku segera bergerak meminggir. Bersembunyi di sebalik tiang roman yang di bina untuk mencantikkan ruang. Berdiri memerhatikan dia dari sudut itu sambil tangan ku bawa ke dada. Detak dan rentak itu masih sama seperti sepuluh tahun lalu. Tari degupnya masih serupa.

Tajul Arifin kah itu? Mataku terus memerhatikan dia. Fizikalnya tiada yang berubah. Tiada tambahan lemak di mana-mana. Senyuman yang meruntun jiwa itu masih dihiasi lesung pipit yang terbenam. Melihat dia bercakap dan tersenyum sekali gus melalui telefon di tangannya, membuat aku kembali merindukan saat saat bersamanya dahulu. Aku segera menggelengkan kepala. Tunduk merenung lantai. Menghalau rasa itu jauh-jauh.

 Yakin dengan kekuatan hati, aku kembali mencari wajahnya. Detik itu, aku dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita cantik, bertudung dengan gaya moden di sebelahnya. Aku terkesima. Ada rasa sengal yang hadir seperti menusuk-nusuk ke jantung hatiku. Apalagi ketika melihat pautan tangan di pinggang yang kelihatannya seperti tidak mahu dilepaskan. Aku menelan air liur. Terasa kesat dengan nafasku bagai tersekat di kerongkongan. Masih ujudkah rasa itu di sudut hatiku yang paling dalam? Masih adakah cinta yang cuba aku lontarkan jauh-jauh suatu ketika dulu? Wajarkah aku untuk merasai apa yang aku rasakan sekarang? Pertanyaan demi pertanyaan di dalam hati itu hanya menghadirkan titisan air mata yang kemudiannya berubah laju menuruni pipiku.

Tiang roman tempat aku bersembunyi, kini menjadi tempat sandarku mencari kekuatan. Teruji dengan goyahnya hatiku sendiri. Hati yang aku rasakan telah kuat setelah aku bawa pergi menjauhi dia, nyata ia sebenarnya tidaklah sekuat mana. Segera aku mencari kertas tisu di dalam beg sandang. Mengelap lelehan yang pastinya telah mencomotkan wajahku ketika itu. Mata kembali ku bawa merayap sekitar ruang, mencari kelibat dia. Kelibat yang seakan tak mahu aku lepaskan dari pandangan.

Saat mataku bertemu susuk tubuhnya, aku menjadi kaget. Ruang di antara kami seperti terhenti dan sunyi. Dia kini sedang berdiri memandang ke arahku. Seperti dia sendiri menerima kejutan yang tidak pernah dia sendiri sangka dan duga.

Aku segera berundur perlahan. Saat dia mula mengatur langkah ke arahku, aku terus berkalih lalu susup sasap membelah kumpulan manusia yang memenuhi pasaraya besar itu. Detik itu juga, aku nampak kelibat Mimi yang sedang bergerak menghampiriku. Pantas aku raih tangannya memaksa dia turut berlari bersamaku. Kecoh mulut Mimi bertanya kenapa, namun aku diamkan saja. Yang penting, aku harus segera menjauh dari bertemu Si Dia. Barisan kedai yang berderet di situ seakan penyelamat padaku. Pantas aku heret tangan Mimi lagi, masuk ke dalam lalu bersembunyi di sebalik deretan baju kurung dan jubah yang bergantungan.

Dia mencari aku. Berpusing-pusing dan berlegar-legar di situ. Ketika merenung aksinya dari sebalik cermin kedai, debar di dada semakin kencang rentaknya. Aku lihat ada rona kerisauan di wajahnya. Mimi yang sedang berdiri di sebelah, turut memerhati. Mulutnya ternganga.

Siapa?” Bisiknya.

Buah hati lama…” balasku. Dia mengangguk tanda faham.

Tajul Arifin berlalu setelah wanita cantik tadi menghampirinya. Ada riak tidak puas di wajahnya. Saat tangan ditarik menjauhi, kepalanya masih tercangak-cangak mencari. Aksinya menghadirkan sebak di hatiku, membuatkan mataku kembali berkaca.

*****

BUAH HATI LAMA KAU? Kenapa aku tak tahu pun!” Mimi membeliakkan biji matanya.

Soalan itu terbit setelah Mimi memberhentikan keretanya di kawasan parkir Taman Tasik Tengku Anis. Dia mungkin bungkam dengan tangisku yang tidak mahu berhenti sejak tadi. Diajak makan, aku menolak. Di beri soalan, aku menggeleng. Agenda membeli-belah yang dia rencanakan sejak beberapa minggu sebelum kedatangan aku ke sini turut habis berantakan.

“ Cerita lama, sebelum aku kenal kau lagi…” balas aku lemah. Pintu kereta aku buka lalu menapak ke arah gazebo yang dibina berhampiran tasik. Mimi mengikut dari belakang. “ Cerita sewaktu umur aku 20 tahun. Hubungan itu pula berlangsung 2 tahun.” Sambung aku sebaik melabuhkan punggong.

“ Sejak kenal engkau 8 tahun lalu, aku tak pernah tengok kau macam ni. Kau pun tak pernah bercerita tentang lelaki. Dasyat betul penangan dia pada kau!”

Aku mengangguk. Ya! Memang dasyat! Kerana hingga kini, belum ada yang mampu mencuri hatiku seperti yang dilakukannya. Semuanya bermula dengan agenda biasa dan membawa kepada permasalahan yang tak terduga dalam hidupku.

Dia gemar mengusik. Dan, aku pula tidak pernah kisah diusik. Tiada apa yang hadir di hatiku ketika itu kerana aku maklum dengan statusnya.

“ Saya suka datang membeli di sini.” Guraunya suatu hari. Aku tersenyum. Cakapnya cukup lembut seperti berbisik. Kata Maza rakan sekerja aku, bunyinya seperti ‘ cakap orang dalam kelambu’. Komennya membuat aku ketawa. Benar, suara serak-serak basah dan romantik itu  semakin lama semakin menggetarkan hatiku.

Datanglah! Tak ada siapa yang larang. Lagipun barang-barang kat sini, memang lengkap. Nak apa, semua dapat.” Balasku. Dia tersenyum. Lesung pipit terbenam itu dapat ku lihat dengan jelas.

“ Saya suka datang, buka sebab barang. Sebab saya suka tengok muka awak yang cantik dan menawan.” Setiap kali berbual, dia memandang tepat ke dalam mataku.

Kekerapan dia mengunjungi tempat kerjaku selalunya bukan kerana mahu membeli barangan. Sekadar berlegar-legar di situ sambil mengusikku. Kadang-kadang dia hanya berdiri memandang. Membuatkan berdiri aku seperti mahu tumbang dan duduk aku keluh kesah tak keruan. Kata Maza, lelaki itu memang pakar mengayat perempuan. Gayanya sahaja sudah membuktikan. Aku sedar semua itu. Namun tiada apa yang mampu aku lakukan.

Pandangan dan usikan yang dari sehari ke sehari itu, akhirnya telah meghadirkan rindu di dalam diri. Jika dia tidak datang, aku diam-diam menanti. Ya! Gadis muda seperti aku di ketika itu, mana mungkin mampu melawan usikan dan godaan yang berterusan.

Aku tewas. Tewas menghalang hati aku dari mengasihinya walaupun aku tahu status diri yang tak pernah disembunyikannya. Kami mula berhubungan melalui telefon. Kadang-kadang, aku keluar makan dengannya, Pandanganku tentang berkongsi kasih telah berubah selepas itu. Kalau sebelum itu, aku membantah poligami, kini… aku adalah penyokong kuat. Aku sudah rela berkorban apa sahaja. Hanya satu masalahnya… selama 2 tahun mengenalinya, aku tidak pernah tahu siapa isterinya. Mereka tidak pernah datang bersama hinggalah suatu hari, aku terserempak mereka membeli-belah di pasaraya besar yang tidak jauh dari tempat aku bekerja. Sungguh! Aku amat terkejut.

“ Kau kenal isteri dia?” Soal Mimi. Kakinya sudah di angkat dalam kedudukan sila.

Aku mengangguk. “ Kenal. Selalu jugak dia datang ke tempat kerja aku membeli barangan dapur. Dia selalunya datang waktu kerja. Suami dia pula, selepas waktu kerja.”

“ Apa reaksi dia sewaktu terserempak dengan kau?”

Dia buat biasa. Siap kenalkan aku pada isteri dia, beritahu yang aku bekerja di sekian-sekian tempat. Isteri dia tentunya cakap yang dia sudah kenal aku. Ya lah, aku hanya pekerja mini market di taman perumahan mereka.”

Kau cemburu?”

Aku terkilan. Cemburu bukan masalahnya. Aku kan sudah bersedia berkongsi kasih!” Balasku sambil merenung jauh ke tengah tasik. Mimi terdiam. Setia menunggu kisah aku seterusnya.

“ Aku kenal Kak Mazni, isteri dia. Sama lama macam aku kenal dia. Kak Mazni tu sebaik-baik perempuan yang pernah aku jumpa. Cantik, peramah, mudah tersenyum dan sentiasa menasihati aku tentang hidup setiap kali kami berjumpa. Anak-anak mereka yang 4 orang tu pun comel-comel. Kau fikir, aku sanggup lukakan hati dia?” Soalku pada Mimi. Mimi mengangkat bahu.

“ Kau rasa, dia tahu tak…. Kau dengan suami dia?”

 Aku senyum lalu menggeleng kepala. Entah kenapa, aku tiba-tiba berasa malas mahu menyambung cerita. Terasa penat sungguh mengenang kisah yang satu ini. Mungkin sebab itu aku tidak pernah bercerita tentangnya pada Mimi. Buat masa ini, aku cuma rasa mahu balik dan berbaring sahaja di rumah Mimi. Ketenangan yang aku idamkan dari percutian ini telah membuat hati aku berubah gundah gulana.

“ Jomlah balik!” Aku bingkas bangun.

Tak nak! Cerita kau belum habis!” Bantah Mimi.

“ Kalau kau nak tunggu di sini sampai petang pun, belum tentu aku ada mood mahu menyambung cerita…” balasku. Ayat itu membuat Mimi bangun lalu mencekik leherku. Bergurau seperti yang selalu dibuatnya. Aku hanya ketawa hambar.

*****

HARI KETIGA DI RUMAH MIMI, aku telah bertembung dengan Tajul Ariffin. Peristiwa itu membuatkan aku takut untuk keluar. Maka petang ini, setelah lima hari di sini, aku mohon Mimi tinggalkan aku sendirian tatkala dia mengajakku keluar makan bersama tunangannya, Imran. Aku cuma berpesan supaya dia belikan aku Nasi Ayam. Ketiadaannya membuatkan aku terbaring merenung siling, kembali mengenang kisah lama.

Sungguh! Aku hairan. Perempuan secantik dan sebaik Kak Mazni masih belum mampu membuat Tajul Ariffin setia. Anak-anak yang keletah dan comel itu juga tidak mampu mengikat dia kepada keluarga. Apa yang dia cari di luar sebenarnya? Aku cuma gadis biasa yang naïf kalau mahu dibandingkan dengan Kak Mazni waktu itu. Dan kini, selepas 10 tahun, aku temui dia bersama perempuan lain. Mungkinkah perempuan itu juga terperangkap dan asyik dengan usikan dan godaannya? Di manakah kedudukan Kak Mazni sekarang? Masihkah dia menjadi isteri Tajul Arifin yang sah? Kalau boleh, aku amat ingin mengetahui semuanya.

Bunyi kunci bergerak tanda pintu dibuka mengejutkan aku. Mimi sudah balik agaknya. Leka termenung, ditambah pula dengan bunyi TV membuatkan aku tidak sedar akan kepulangannya. Aku bangun dari pembaringan. Serentak dengan itu, Mimi masuk dengan muka teruja. Matanya bulat bersinar memandangku. Melihatnya begitu dan mengenalinya sekian lama, membuatkan aku dapat meneka… ada berita yang ingin disampaikannya padaku.

“ Kau mesti tak percaya siapa yang aku jumpa,” ucapnya tanpa sabar. Bungkus nasi ayam dihulurkan kepadaku.

“ Siapa?” Soal aku bersahaja. Entah artis mana pula yang dia jumpa. Selalunya kalau terjumpa artis, begitulah jadinya.

“ Aku jumpa Tajul engkau. Aku masih ingat rupa dia. Dia makan kat situ dengan anak dia. Tapi, aku tak nampak perempuan yang boleh dipanggil isteri,” beritahu Mimi.

Anak? Berapa orang?” Soalku kembali. Dadaku berdebar kembali. Turut teruja mendengar berita yang disampaikan.

Empat. Tiga lelaki, seorang perempuan.” Balas Mimi. Aku mengangguk. Betullah itu anaknya. Anak-anak yang comel dan riang itu, pastinya sudah besar panjang. Namun, di mana Kak Mazni agaknya?

“ Aku ada lagi satu berita… tak tahu berguna ke tidak untuk engkau,” ucap Mimi lagi. Dia memandang tepat ke wajahku. Mencari riak di wajahku. Aku angkat kening bertanya tanpa suara.

“ Kebetulan, masa aku dalam kereta nak balik. Dia orang pun keluar. Aku minta Imran ikut kereta Tajul. Ikut sampai ke rumah dia. Tak jauh pun! Cuma selang satu taman perumahan dari sini.” Terang Mimi perlahan. Dia berhenti memandangku.

Tak jauh?” Tanyaku. Entah kenapa ada debar dalam hatiku.

Mimi mengangguk. Dia sedang menanti apa yang bakal terlontar dari mulutku.

Aku melepaskan nafas berat. Aku perlu tahu, dan untuk mengetahui, aku perlu pergi ke sana mencari jawapannya.

“ Kau bawa aku ke sana lepas Asar, boleh?” Soalku sambil memandangnya mohon pengertian. Dia tersenyum mengangguk.


*****
TIDAK SAMPAI 15 MINIT, Mimi sudah memberhentikan keretanya di bawah sepohon pokok yang rendang daunnya. Dari situ, dia menunding jari ke arah rumah teres berkembar dua tingkat yang saiznya sederhana besar dan dipisahkan oleh padang permainan dengan tempat kami memberhentikan kereta. Petang-petang begini, padang permainan itu dipenuhi dengan kumpulan kanak-kanak bermain. Selalunya begitulah aktivitinya, walau di manapun jua.

“Itulah rumahnya,” kata Mimi memandang ke arahku. “ Kau nak pergi terjah ke?” Soalnya lagi.

Kau gila! Penat-penat aku hilangkan diri, tak kanlah aku nak muncul macam tu aja.” Aku jeling dia di sebelahku.

Tu yang aku tak faham! Kau sayang Tajul. Kau larikan diri. Then, kau nampak ambil berat tentang isteri dia. Suruh aku bawa kau datang sini. Tak kanlah sebab nak tengok rumah ni saja!" Dia berhenti memandang aku sebentar. " Kau ni masih waras ke tidak?” 

Aku tersengih. Sejak terserempak dengan Tajul, baru hari ini aku terasa ingin tersenyum.

Tolong aku boleh?”

Mimi buat muka hairan. Namun mengangguk perlahan.

Aku ambil telefon bimbit dari dalam beg sandang. Mencari nombor Tajul yang sudah lama tersimpan di situ. “ Kau tolong dail nombor ni. Tak tahulah sama ada dia dah tukar nombor atau belum. Masa aku larikan diri dulu, aku yang tukar nombor…”

Kau gila! Kalau dia tanya, apa aku nak cakap?”

“ Kau cakap, konon-konon nak cari Puan Mazni. Kalau nasib baik, dia terus bagi dekat isteri dia. Tapi kalau dia tanya lagi, kau temberang ajalah. Pura-pura macam kau silap nombor.”

Mimi menelan air liur. “ Gila ke apa? Aku mana pandai berlakon!” Dia membeliakkan matanya.

“ Please!” Aku temukan kedua-dua tangan di depan dada. Pamerkan muka sedih. “ Buat untuk aku! Kau pasang speaker. Aku tolong kau berlakon.”

Mimi akhirnya setuju. Menarik nafas dalam-dalam sebelum menghidupkan speaker telefon bimbitnya. Dia memandang tajam ke arahku sambil mengangkat dagu, isyarat bertanya nombor telefon tadi. Dengan rasa berdebar aku bacakan nombor dan dia terus mendail. Sambil menunggu, mata kami berlaga.

“ Hello!” Itu suara Tajul. Dia masih menggunakan nombor yang sama rupanya.

“ Hello! Boleh cakap dengan Kak Mazni?” Tanpa perlu diajar, itu yang terbit dari mulut Mimi.

“ Kak Mazni? Sekejap!” Dia berhenti sebentar seperti sedang bercakap sesuatu dengan seseorang. “ Awak ni siapa sebenarnya? Macam mana boleh ada nombor saya?” Tanya dia kemudiannya.

Mimi angkat kening. Aku terlopong. Mendengar suara Tajul membuatkan aku tak mampu berfikir dan hanya terlopong memandang Mimi.

Ermm… Saya Piah! Safiah. Dariemm dari syarikatsyarikat tapis air. Nak tanyahaa…. Nak tanya tentang oder yang dia buat.” Tersekat-sekat Mimi menjawab. Dia garu kepala sebelum mengepal penumbuk ke arah aku.

“ Kamu ni nak berlakon apa? Tersekat-sekat…” belum sempat Tajul habiskan ayat, Mimi mencelah…

Maaflah encik! Agaknya saya silap nombor agaknya! Saya minta maaf jer lah,” balas Mimi lalu mematikan telefon. Dia segera menampar bahu aku. Mencorong matanya memandang aku kemudiannya. Namun dia tiba-tiba ketawa. Ketawa yang amat kuat sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dan, aku akhirnya  turut ketawa sebelum aku berhenti tiba-tiba apabila terpandang sesuatu di seberang sana.

“ Kenapa?” Soal Mimi yang kehairanan melihat aku begitu.

Aku menunding ke seberang padang. Ke arah seorang perempuan yang sedang bangun dari bangku di pinggir taman. Seorang budak lelaki belasan tahun yang sedang berdiri berhampiran pagar, segera bergerak mendapatkannya. Perempuan itu berjalan perlahan dengan dibantu sebatang tongkat.

“ Itu Kak Mazni. Alhamdulillah! Mereka masih bersama. Hmm… nampaknya, dia masih tak dapat berjalan seperti biasa…” ayat yang akhir itu membuat dada aku  menjadi sebak.

“ Aku semakin tak faham.” Komen Mimi. Menggeleng kepala.

Jomlah, balik. Nanti aku ceritakan.”

Mimi mengangguk. Memasukkan gear lalu segera memandu pulang.

*****

      TAJUL ARIFIN TIDAK PERNAH memburukkan isterinya sejak dia tahu aku mengenali isterinya. Malah, dia selalu memuji Kak Mazni. Itu memang menghairankan aku, terfikir juga, habis aku ini untuk apa? Pernah juga aku bertanya kenapa, namun jawapannya cukup ringkas dan ikhlas. Katanya, setiap wanita diberi Allah keistimewaan tersendiri. Dalam sepuluh kriteria wanita yang menarik hatinya, Kak Mazni mempunyai lima, dam aku menepati yang selebihnya. Kedua-dua kami menyempurnakan dan mewarnai hidupnya. Lagipun, Allah memberi kelonggaran untuk lelaki memiliki lebih dari seorang isteri. Kebetulan, dia adalah lelaki yang kaya dengan kasih sayang. Itu antara guraunya waktu ituKatanya lagi, dia serius mahu memperisterikan aku dan pada waktu yang sama tidak pernah terniat mahu menceraikan isterinya. Namun, dia mahu perkahwinan itu dilakukannya secara rahsia.

“ Kau setuju waktu itu?” Soal Mimi. Dia menguap, entah untuk  kali yang ke berapa.

Aku mengangguk. “ Aku jadi makin sayang padanya. Adakala aku cuba menduga hatinya. Aku ugut mahu bersemuka dengan Kak Mazni. Tapi dia melarang. Kesian katanya. Dia tak sanggup melukakan hati Kak Mazni.”

“ Dia cuma ayatkan kau aja agaknya…” komen Mimi.

Aku geleng kepala. “ Aku yakin dia serius. Kami sudah merancang untuk ke sempadan dan berkahwin di sana. Namun apa yang terjadi sehari sebelum tarikh tu, buat aku berfikir semula dan mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Menghilangkan diri sebenarnya.”

“ Kau suka buat aku tertanya-tanya… ceritakan ajalah!” Dia membeliakkan matanya.

Aku senyum. Merenung Mimi. “ Kau nampak tadi, kaki Kak Mazni cacat, kan!” Soalku, Mimi mengangguk. Aku menghela nafas lalu menggelengkan kepala. “ Dia jadi begitu, sebab nak selamatkan aku dari dilanggar. Dia tak sempat ke tepi dan dia yang menerima akibatnya. Semuanya terjadi di depan tempat aku bekerja.”

Mimi membetulkan sandarnya. Dia memandang aku, sayu. “ Kau korbankan perasaan kau kerana membalas budinya? Kau pergi sebab kau tak mampu undurkan diri selagi kau asyik bertemu Tajul? Ya lah! Dia kan pakar ayat perempuan!” Aku mengangguk kerana tekaan Mimi itu memang betul.

“ Tapi aku rasa, kau sebenarnya telah menyelamatkan diri kau dari lelaki seperti Tajul. Tengoklah! Hari kita jumpa dia tu… dia keluar dengan perempuan cantik, kan!”

Aku mengangguk. Walaupun aku tahu aku masih belum mampu melupakan dia sepenuhnya. Namun aku yakin… aku sudah melakukan perkara yang betul untuk diri aku sendiri, dan untuk Kak Mazni juga.

“ Kau tahu, hingga hari ini, aku tak pernah sangsikan kasih-sayang dia pada aku. Melihat cara dia memandang aku hari itu, bagaimana dia mencari aku… aku tahu, dia juga masih gagal melupakan aku. Tapi, aku tak akan berpatah balik. Aku tak mahu merampas kasih sayang Kak Mazni. Dia wanita yang baik dan aku rasa dia juga wanita yang tabah.  Hari ini, lepas lihat semua tu, aku rasa aku juga tak cukup kuat untuk menerima perangai Tajul yang begitu. Perangai lelaki yang sarat kasih sayangnya.” Aku tergelak di hujung ayat.

Mimi turut ketawa. Dia menguap lagi. Matanya berair kerana menahan rasa mengantuk. Dia bangun menunjuk ke arah bilik tidurnya. Aku hanya mengangguk. Aku sudah tak berhutang apa-apa cerita dengannya. Segalanya sudah diketahuinya.

*****

MIMI MEMELUK AKU ERAT. Dia mencium pipiku di kiri dan kanan lalu memegang bahuku.

“ Lepas ni, kau tak akan datang sini lagilah?” Soalnya. Aku menangguk. “ So, akulah yang terpaksa ke sana nampaknya.” Dia mengerutkan muka.

“ Kalau aku jumpa orang yang boleh curi hati aku, boleh buat aku lupakan Tajul, aku tak kisah untuk datang. Tapi lambat lagilah nampaknya.” Gurau aku.

“ Aku akan sentiasa doakan kau. Kau cantik, mesti ramai yang sukakan kau. Masalahnya, selama ini, kau yang tutup hati kau. Sekarang, kau dah nampak apa yang lebih baik untuk hidup kau. Aku yakin… aku yakin…” Mimi mengangguk-angguk kepala. Dia melepaskan bahu aku. Meraih tangan aku lalu menggenggam erat.

“ Bas dah nak jalan. Aku naik dulu.”

Dia mengangguk. Melepaskan tanganku. Aku angkat tangan, separuh melambai. Pantas aku menapak naik menuju tempat dudukku.

Hmm… nampaknya ada lelaki di tempat duduk sebelah. Dia tersenyum. Aduhai! Ada lesung pipit. Aku membalas senyumannya sebelum melabuhkan punggong. Aku kurang gemar dengan orang yang terlebih ramah. Harap-harap dia bukan spesis yang begitu. Kalau ya pun, aku harap sangat, dia tidak mengajak aku berbual sepanjang jalan.

“ Nak ke mana?” Soalnya.

“ Sungai Petani.” Jawab aku.

Bagus tu. Destinasi kita sama. Saya tak pernah ke sana. Ini kali pertama.” Sambungnya lagi. Aku hanya senyum. Tidak berminat mahu jadi penunjuk jalan atau apa saja untuk dia. Sungai Petani bukanlah besar sangat. Aku yakin dia boleh hidup tanpa pertolongan aku. Biarlah kalau dia mahu kata aku sombong.

Menerima layanan dingin dari aku membuat dia terdiam sebentar. Namun tidak lama sebelum satu soalan lagi mencecah telinga aku…

“ Awak dah kahwin ke? Maaf kalau saya terlebih ramah.”

Aku geleng kepala.

“ Single?”

Aku mengangguk memandangnya. Dia tersenyum. Lesung pipit itu semakin jelas.

“Macam tak percaya wanita cantik macam awak masih single.” Makin galak dia bercakap.

“ Ramai orang tak percaya saya masih sendiri sebab saya cantik. Tapi saya cakap… sebab saya cantiklah saya tak mahu beri hati saya kepada sebarang lelaki hanya untuk ditipu, dilukai, disakiti dan dikecewakan.” Entah kenapa, ringan benar mulut aku memberikan jawapan begitu. Sedangkan, aku baru saja bertemu dengannya.

Dia tersenyum lagi. “ Kalau begitu, saya rasa… awak telah bertemu orang yang betul. Saya seorang doktor, selain merawat penyakit hati, saya juga boleh merawat dan menjaga hati awak. Itupun kalau awak benarkan.” Dia ketawa sebaik menghabiskan ayat. “ Jangan marah ya! Saya cuma bergurau. Saya Doktor Izlan. Bakal bertugas di Hospital Sungai Petani. Selamat berkenalan. ”

Aku terkedu. “ Saya Umaira. Saya cuma supervisor kecil di Guardian Pharmacy. Dan dia ketawa mendengar jawapanku. Entah kenapa, aku jadi suka melihat gayanya yang bersahaja. Mungkinkah aku patut membuka ruang untuk sesuatu yang lebih bermakna… 

6 comments:

Anonymous said...

cerita yang menarik, tapi kenapa suka menghina diri dengan kata "supervisor cabuk!, mcm tidak berterima kasih dgn. rezeki yang tuhan berikan... sekadar pendapat

Packy Sidique said...

Hehe.. anonymous, dah agak ada orang akan komen. Saya cuma tulis ikut cara budak2 sekarang bercakap. Kalau nak banding dengan status doktor, kira kerja dia tu kureng sikit. Nanti ada supervisor Guardian yang marah kat saya... niaya...
Ya ampuuunnnnnn! Peace no war...

Packy Sidique said...

Untuk anonymous.. lupa nak say thanks atas teguran. Saya akan berhati-hati nanti....

Emoq said...

Dah lama tak menulis cerpen cinta. Cerpen Kak Packy bagaikan megasak-asak semula perasaan tu. Hehehe.

Nor suka cerita ni. Best! Lepas ni bolehlah kita berjiwang karat bersama-sama ya. Hahaha.

Packy Sidique said...

Nor, haha... mood tengah ada, idea tengah mari, tangan pulak tengah laju.. jadi belasah aja...

Tulih, jangn tak tulih. Kita asah bakat yang tak seberapa nie... jiwang berkarat... muahahaha...

fazi syah said...

meakutkan betol org yg telebih kasih sayang ni..hehe

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU