Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, November 14, 2014

NOMBOR 23 - BAB 9


Utara Subang Jaya
APRIL melangkah turun dari tingkat atas. Menjengah ke dapur, mencari kelibat Ti’ah. Kemana Ti’ah pagi-pagi begini? Jengah di bilik dia tadipun, dia tidak ada. Terdapat seteko air dan dua bungkus nasi lemak sudah sedia terhidang di atas meja makan. Bersama itu, ada sekeping nota bertulis,

‘Aku dah buatkan air dan belikan nasi lemak. Makanlah!’

April geleng kepala. Biarlah dulu. Dia belum ada selera mahu makan. Kebelakangan ini, dia seperti hilang semangat mahu meneruskan hidup. Namun dia tahu dia perlu kuat untuk merungkai segala kekusutan.
Dia bergerak ke ruang tamu. Menjengah keluar.
Ti’ah rupanya sedang menyiram pokok-pokok pasuan di ruang hadapan rumah. Nampak jelas yang Ti’ah sedang menikmati apa yang dilakukannya kerana dia kelihatan sedang menyanyi-nanyi kecil. Tidaklah menghairankan sangat kerana rumah Mek Ani di Kelantan pun, memang dipenuhi dengan berbagai spesis bunga-bungaan. Ke mana lagi Mek Ani mahu perturunkan ilmu ‘gardening’ yang dimilikinya, kalau bukan kepada Ti’ah? Ti’ah tu, memang menurun Mek Ani dalam serba serbi perangainya.
April tersenyum melihat gelagat Ti’ah. Dia tahu dia sangat bertuah kerana ada sahabat sebaik Ti’ah. Sahabat Lima Bintang. Itu yang selalu dia gelarkan Ti’ah. Yang setia di sisinya sejak kecil, dan masih setia menemaninya di saat-saat dia hilang arah begini. Siapa sangka, ini yang menantinya sebaik menamatkan kursus diploma fesyen di Kolej Fesyen Faizah. Dari anak Datuk Abdul Rahman yang kaya raya, dia rupanya hanya anak angkat. Dan kini… dia anak hasil rogol!
Mengingatkan itu, buatkan lutut April terasa lemah. Dia mengambil tempat di atas sofa berhampiran tingkap. Segala yang dia bualkan dengan Ti’ah dua minggu lalu sebelum kematian papa, masih jelas di ruang ingatannya…
“ Apa plan kau lepas ni?” Soalan tu Ti’ah tanyakan pada April sebaik mereka keluar dari dewan peperiksaan.
“ Entahlah! Buat sementara ni, aku nak tonton cerita Hindustan banyak-banyak. Biar sampai termuntah.”
“ Heran aku, apa sangatlah kau suka dengan cerita Bollywood tu, terdedah sana… terdedah sini. Kalau menari tu… siap tukar baju dan guling-guling. Hisy! Tak faham aku!”
April renung Ti’ah yang sedang tersengih. “ Dah aku suka!”
 Ti’ah julingkan mata ke atas.
 “ Serius ni, soalan aku tadi tu, perlukan jawapan ilmiah, bukan jawapan santai. Maksud aku perancangan kerjaya.”
April kemutkan hidung. “ Hmm… mungkin aku kerja kat mana-mana butik dulu kut. Cari pengalaman. Kau?”
Ti’ah tersengih. “ Lagi mau tanya ka? Aku mestilah ikut kau ke mana saja!”
Dan kata-kata Ti’ah itu memang terbukti benar. Hari ini, Ti’ah sedia berkorban tinggalkan Mek Ani dan keluarganya untuk temankan April menjejaki asal usul dan masa lalu yang dia tidak pernah tahu tentang kewujudannya. Dia tidak tahu apa yang menantinya di sini, namun dia rasa lega kerana dia tahu dia ada seorang sahabat baik yang akan sedia membantu.
April teringat tentang perbualan mereka di atas buaian berhadapan rumah Ti’ah seminggu lalu…



Imbas kembali,
Pengkalan Chepa, Kelantan.
 “ KENA pergi ke Kuala Lumpur jugak ke?” Soal Ti’ah dengan mata membulat.
April angguk kepala. Mukanya cemberut.
 Ya! Mahu atau tidak, itulah yang perlu dia lakukan. Dia tiada pilihan lain. Kebelakangan ini hidup sudah tidak menjadi seperti yang dirancangkannya.
“ Hairan! Kenapa ye? Sampai buku catatan tu pun ada kat safe deposit box kat K.L nun! Sekurang-kurangnya, buku tu letak le kat sini. Boleh kau ambil dulu dan baca sebelum kau ke sana.” Komen Ti’ah lagi sambil kakinya menunjal tanah untuk menggerakkan buaian yang sudah semakin perlahan. Mukanya nampak redup.
“ Entahlah!” Balas April pendek.
Mata April merayap ke sekeliling kawasan rumah Ti’ah. Dia mendongak melihat binaan wakaf yang menempatkan buaian kayu jati dan juga pokok bunga kertas yang dibiarkan tumbuh menjalar mengelilinginya. Buaian hadiah dari mama untuk Mek Ani sebagai penghargaan kerana mengajar April ilmu agama. Inilah tempat yang dia paling suka. Tempat dia menghabiskan masa bersama Ti’ah sejak mereka sekolah menengah rendah lagi.
Seumur hidupnya, dia tidak pernah berangan untuk keluar dari negeri tempat tumpah darahnya ini. Selama ini, di sinilah dunianya, bersama arwah papa dan mama, abang-abangnya dan keluarga Ti’ah. Dia pasti akan rindukan segala yang berada di sini.
“ Kenapa diam saja, macam ada masalah besar aja…” tegur Mek Ani, yang tiba-tiba muncul menatang dulang berisi air dan sepinggan kueh akak. Mek Ani cuma mengenakan kaftan batik buatan Kelantan. Mek Ani meletakkan dulang di atas meja berhampiran buaian. “ Minumlah April, Mek baru buat ni, panas-panas lagi. Ti’ah, ajak April makan!”
“ Mek! Duduk kejap deh!” Ucap Ti’ah, menggamit ibunya.
Mek Ani tidak jadi masuk ke dalam. Dia mengambil tempat duduk di kerusi berhampiran meja.
“ Memang masalah besar ni, mek! April kena pergi KL, macam Ti’ah beritahu mek semalam, papa April tinggalkan harta, tapi semuanya kat sebelah sana. Rumah April sekarang, sudah jadi milik Along. Mahu tak mahu, April memang kena tinggalkan kita. Macam mana ni mek, Ti’ah macam patah kakilah nanti, dah tak ada kawan nak temankan Ti’ah nanti.” Ti’ah merengek sambil memeluk tiang buaian. Matanya berkaca.
Mek Ani pandang April. Dia bulatkan mata. Isyarat mahukan kepastian.
April mengangguk lemah. “ Itu yang Tuan Haji beritahu,” kata April ringkas. Airmata mula meleleh turun ke pipi. Dia menyekanya perlahan. Namun semakin diseka, semakin laju pula turunnya. Dia gagal menahan rasa lalu segera tunduk menyembamkan mukanya di atas paha sendiri. Hari ini dia rasa sedih sungguh.
Dia sudah lama hilang mama, kemudian papa. Kini dia terpaksa pula tinggalkan semuanya. Selain Acik… Ti’ah dan Mek Ani adalah sumber kekuatannya. Bagaimana mahu teruskan hidup di tempat baru tanpa mereka semua?
 Ti’ah pegang bahu April. Dalam cuba menenangkan April, dia sendiri nampaknya tidak mampu menahan airmata sendiri. Dia menyapu mata yang basah itu dengan telapak tangan. Saat itu, pandangan Ti’ah bertembung dengan ibunya. Dia memohon simpati. Ketara sangat yang di saat itu, dia seperti tidak tahu mahu buat apa.
Mek Ani buat isyarat minta Ti’ah bangun. Kemudian dia menggantikan tempat Ti’ah. Dia paut bahu April lalu memeluknya erat.
“ Shhh… jangan nangis sayang. Mek kan ada!” Mek usap kepala April. Sedu-sedan April, semakin ketara.
“ Sejak dulu, Mek macam sudah ada anak kembar. Di mana Ti’ah ada, di situ April ada. Apa Ti’ah makan, itulah yang April makan bila kamu berdua di rumah Mek. Mek sudah lama anggap April macam anak sendiri…” Mek berhenti di situ. Nampaknya, Mek Ani sendiripun sedang cuba menahan sesak di dada.
April sembamkan muka di atas paha Mek Ani. Dia merasa jemari Mek Ani mula mengusap rambutnya perlahan. Usapan tangan Mek Ani, lembut. Macam belaian mama. Sejak mama tiada, dengan Mek Anilah April menumpang kasih.
“ April… bangun!” Kata Mek Ani tiba-tiba.
April angkat muka memandang Mek Ani.
Mek Ani pegang kedua-dua pipi April dalam telapak tangannya.
“Berhenti menangis. Mek tahu April sebenarnya kuat. Dari kecil, kalau Ti’ah menangis… April yang jadi tukang pujuk. Kalau Ti’ah jatuh… April yang tolong angkat. Kalau ada budak lelaki kacau Ti’ah… April yang jadi tukang gaduh…” kata-kata Mek Ani disambut ketawa kecil dari Ti’ah.
Ti’ah sedang ketawa dalam menangis. “ Dia jadi gangster pukul orang…”  
Walau sedang sedih, kata-kata Ti’ah itu buat April tersenyum. “ Itu dulu, sekarang… kau yang jadi gangter sebab asyik nak kuntau mulutkan orang.”
Tiah tersenyum kelat. Mek Ani geleng kepala.
Dengan keadaan kedua-dua tapak tangan masih di pipi April, Mek Ani kesat baki airmata di pipi April dengan kedua-dua ibu jarinya.
 “ Mek tak tahu langsung cerita ‘anak angkat’ ni. Tapi Mek kenal sangat dengan papa dan mama April. Mereka orang baik-baik. Apa yang mereka buat, pasti bersebab dan sebab itu pasti akan membawa kepada kebaikan. Kalau itu yang mereka mahukan, April tunaikanlah!”
April geleng kepala. Lama dia termenung merenung ke bawah.
“ Mana tahu, kehidupan di sana lebih baik. Rezeki lebih murah… dan April akan lebih bahagia?” Sambung Mek Ani lagi.
April diam. April  turunkan kedua tangan Mek Ani dari pipinya.
“ Ya lah! Mana tahu, kau jumpa lelaki idaman kau kat sana. Jumpa Inspektor Sahab macam dalam cerita Bollywood yang kau minat tu. Walaupun aku sedih nak lepaskan kau, tapi kalau itu yang terbaik untuk kau… kau pergilah!”
April capai kedua tangan Mek Ani dan bawa kedua-duanya mendekati mulut. Dia menciumnya sebelum memandang muka Mek Ani, “ April tak mahu tinggalkan Kelantan. April tak mahu tinggalkan pusara papa dan mama. Rumah tempat April membesar dan Acik yang selalu ceriakan April. April juga tak sanggup nak tinggalkan Ti’ah dan Mek. April tak kisah kalau tak dapat harta pun. Tak jumpa Inspektor Sahab pun tak apa…” dia tergelak kecil sebelum menyambung semula, “ April kerja aje kat mana-mana butik… janji April masih boleh tinggal di sini…” dia tiba-tiba terdiam. Termenung lagi.
“ Cuma.. kata Tuan Haji, papa mahu April tunaikan amanat arwah ibu kandung April. Semua amanat ibu sudah papa tuliskan dalam buku catatannya. Ada surat yang ibu tulis sebelum dia meninggal juga. Dan semuanya ada di K.L.”
Mek Ani menarik nafas dalam-dalam. Dia mengisyaratkan Ti’ah supaya duduk di sebelahnya di atas buaian. Ti’ah hanya menurut.
“ Nak dengar pendapat mek?” Soal Mek Ani sambil memandang April.
April angguk kepala. Ti’ah juga begitu.
Mek Ani membetulkan duduk. Dia kini memaut bahu kedua-dua anak kesayangannya sambil memandang ke depan. Lama dia terdiam seperti menimbang-nimbang perkataan yang bakal keluar dari mulutnya.
“ April tak teringin nak kenal siapa ibu April?”
April angguk kepala.
“ April tak ada rasa ingin tahu kenapa? Maksud mek, kalau ibu April tinggalkan amanat dan papa pula bersungguh menjaga amanah tu. Kemudian papa bersusah payah merahsiakan status April dan mahu ia kekal sebagai rahsia… pastinya ia sesuatu yang besar yang melibatkan masa lalu April…”
“ Rasa ingin tahu dan rasa sayangkan tempat ini sama kuatnya, Mek. April keliru! Lagipun April takut nak tinggal di sana, sorang-sorang. April takut tak kuat menghadapai segalanya nanti…”
Mek Ani paut bahu April dan Ti’ah. Dia menghela nafas.
“ Siapa kata Mek nak biarkan anak mek ke sana sorang-sorang?”
April angkat muka memandang Mek Ani. Ti’ah juga seperti terkejut. Kedua-duanya terkebil-kebil memandang Mek Ani.
“ Maksud mek?” Soal April.
“ Mulai hari ni, secara tak rasmi di pihak mek, mek lantik Ti’ah sebagai pembantu peribadi April. Maka mek tugaskan Ti’ah ikut April ke K.L. dan akan sentiasa ada di sisi April walau apapun terjadi. Ada sesiapa yang tak bersetuju dan nak bangkang keputusan mek?” Mek Ani mengulum senyum di hujung ayat.
Biji mata April membulat macam bola golf.
Ti’ah pula menutup mulutnya dengan tangan. Matanya turut membesar. Mereka macam tak percaya dengan apa yang keluar dari mulut Mek Ani.
“ Mek serius benarkan Ti’ah ikut April” Soal Ti’ah kehairanan. “ Ti’ah memang sedih nak lepaskan April pergi, tapi Ti’ah juga sedih nak tinggalkan mek. Nanti, siapa nak temankan mek?”
“ A’ah, nanti mek sorang-sorang…”
“ Ayahkan ada! Lagipun Naurah kan dah nak habis belajar? Dia ada nak temankan mek. Jangan risau… mek dah tua, pandailah mek jaga diri. Inikan kampung kita, apa nak dirisaukan.” Mek Ani masih mengulum senyum.
April pandang Ti’ah, kemudian pandang Mek Ani.
“ Sebenarnya, idea tu ada jugak terlintas di otak sejak awal, tapi takut mek tak benarkan. Maklumlah… K.L. tu kan, jauh! April tak boleh pentingkan diri. Tapi kalau mek yang cakap sendiri, kecil tapak tangan… stadium bola Sultan Muhammad ke IV, April tadahkan. Ti’ah macam mana?”
Ti’ah diam sebentar…
Hmm… mek suka-suka lantik Ti’ah tanpa tanya persetujuan. Dapat kerja P.A pun main belasah ajer tanpa interview. Tapi kalau boss nak bayar gaji tiga empat ribu… Ti’ah pun nak tadah padang bola jugaklah.” Ti’ah ketawa mengekek di hujung ayat.
Cepat saja tangan Mek Ani piat telinga Ti’ah. “ Ti’ah kalau kerja, asyik nak berkira. Minta gaji tu, tak berpada pulak tu!”
Ti’ah menjerit. “ Ti’ah gurau sajalah, mek!” Lalu dia ketawa lagi.
April sebenarnya rasa sangat terharu. Airmatanya mula bergenang. Dia menarik tangan Mek Ani. Bila pandangannya dan pandangan Mek Ani bertembung, dia bersuara…

“Terima kasih Mek. Terima kasih sebab sayangkan April dan jaga April walaupun April bukan anak mek. Terima kasih, Ti’ah. Sebab sudi ikut April ke Kuala Lumpur.” Dia memeluk Mek Ani selepas menghabiskan ayatnya. Mek Ani membalas pelukannya. Dan dia dapat rasakan tangan Ti’ah turut sama merangkul mereka. 

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU