
Sepuluh tahun kemudian,
Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.
Sepuluh tahun kemudian.
SEORANG LELAKI India berdiri memandang ke langit. Dia kemudian menyeka peluh di dahi. Guni
yang separuh terisi digalas di bahu kiri manakala tangan kanannya pula memegang
sebatang besi panjang sebesar ibu jari. Hari ini, pencariannya kurang berhasil,
tidak seperti selalu. Dia mendesah. Kalau pulang dengan tangan kosong, pasti
dia akan dimarahi oleh isterinya. Isteri cantik yang mirip pelakon Aishwarya
Rai sewaktu mudanya dahulu memang amat disayanginya.
Dia menguis sampah yang berlonggok dan tidak sekata di sana sini. Setelah
melakukannya beberapa kali, akhirnya terdengar bunyi berdenting seperti besi
berlaga. Rona wajahnya yang tadi sugul bertukar menjadi sedikit jernih. Dia
menguis lagi sekali. Bunyi itu datang daripada plastik bungkusan uncang beras
yang terikat kemas. Dia tersenyum melihat hasil yang bakal diperoleh. Di
dalamnya terdapat banyak tin susu dan juga tin minuman ringan bercampur-campur.
Dia menundukkan badan lalu menarik
bungkusan itu lantas memasukkannya ke dalam guni. Isi yang separuh sudah
menjadi hampir penuh. Dia kemudiannya mendongakkan mukanya ke arah langit.
Matahari sudah tinggi rupanya. Apabila memandang sekeliling, kelihatan beberapa
orang kawan yang senasib masih tekun mencari. Seorang lelaki Melayu, yang
merupakan kawan yang selalu menceriakan hidupnya, melambaikan tangan. Dia
membalas lambaian tersebut.
Lelaki India itu menyeka peluh yang bercucuran jatuh di bahagian dahi dan
pipi dengan tuala Good Morning yang sudah hampir kusam. Bekerja di bawah
panahan cahaya matahari memang memenatkan. Namun dia tiada pilihan. Hanya itu
sahajalah kerja yang terdaya dia lakukan dengan keadaan kesihatannya sekarang.
Dia mengeluh. Banyak mulut yang perlu disuap, duit untuk persekolahan anak-anak
dan belanja yang lain-lain. Kehidupannya, ibarat kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang… entah bila akan berubah.
Matanya terarah kepada longgokan sampah yang baru dibuang di hujung sebelah
kirinya. Nampaknya timbunan itu masih belum terusik. Dia mula melangkah ke arah
itu dengan perlahan dan berhati-hati. Di dalam longgokan sampah sebegini,
bermacam-macam benda berbahaya boleh ditemui. Tidak ubah seperti jerangkap
samar.
Kawasan yang dituju itu, sedikit terpinggir dari seluruh tapak pembuangan.
Ada belukar kecil memagari kawasan itu. Ada juga pepohon sederhana tinggi di
sana sini. Boleh juga dibuat tempat berlindung apabila penat berjemur nanti.
Dia kemudiannya berdiri sambil bercekak pinggang. Harap-harap nasibnya
bertambah baik. Mungkin lebih baik daripada tadi. Dia kemudiannya mula menguis
ke sana ke mari.
Tidak sampai setengah jam, tiba-tiba terasa pundi kencingnya yang penuh,
minta dikosongkan. Tubuh badan terasa merinding, dia tak mampu menahan lagi.
Perlahan dia melangkah ke arah belukar berdekatan. Mencari sudut yang sedikit
tersembunyi lalu melepaskan hajatnya. Hmm…
lega. Tiba-tiba telinganya menangkap suatu bunyi berdengung. Seperti bunyi
lalat menghurung sesuatu. Selajur itu juga hidungnya mula terhidu bau busuk
yang amat kuat. Hairan! Kenapa tadi dia tidak perasan langsung?
Lelaki India itu mengemaskan seluar. Setelah itu, dia mula tercangak-cangak
mencari arah bunyi itu. Baru melangkah beberapa tapak, dia ternampak bungkusan
putih seperti cadar membaluti sesuatu terlindung di sebalik semak. Dadanya mula
berdebar kencang. Hati berasa tidak enak. Minda pula seperti sudah dapat meneka
apa yang menanti di sebalik balutan cadar yang berbentuk seperti bantal peluk.
Dia menoleh mencari kelibat kawannya yang masih ada di hujung sebelah
kanan. Dia tidak mahu melakukannya berseorangan, dia mula melaung.
“Pak Dollah! Pak Dollah! Mai sini sekejap.” Dia melambai. “Cepatlah sikit!”
Suaranya sedikit cemas.
“Kenapa Maniam? Aku tengah buat kerja ni!”
“Mai la… cepat sikit!” Dia melaung lagi. Kali ini lebih keras bunyinya.
Lelaki yang dipanggil Pak Dollah itu bergerak menghampirinya. Dia mula
menutup hidung apabila semakin menghampiri. Matanya bulat memandang lelaki India
yang bernama Maniam itu. Dagu diangkat beberapa kali isyarat bertanya. Matanya
terarah ke tempat yang dituding oleh Maniam tu.
Muka Pak Dollah berona sangsi. Jari telunjuk dan ibu jari semakin ditekan
ke hidung. Tidak tahan menghidu bau yang meloyakan itu. Maniam mula menarik
tangan Pak Dollah, mengajaknya mengatur langkah menghampiri bungkusan cadar
itu.
Mereka akhirnya berdiri pada jarak dua langkah dari bungkusan yang
mengeluarkan bau busuk itu. Pak Dollah memberanikan diri bergerak setapak ke
hadapan, menundukkan badan dan menyelak hujung cadar. Hampir luruh jantungnya
apabila melihat tapak kaki manusia terjulur di sebalik cadar tersebut.
Maniam dan Pak Dollah berpandangan. Muka masing-masing berubah pucat. Tanpa
berlengah, mereka terus mengambil langkah seribu seperti sedang dalam acara
larian 100 meter.
AMIRUL HAKIMI Ahmad Kamal berdiri merenung
landskap yang terbentang luas di hadapan matanya lalu melepaskan nafas berat.
Setiap hari, dia cuba memenuhi harinya sebaik mungkin. Menyibukkan diri
sehingga menjelang malam. Tujuannya cuma satu, dia tidak mahu memberikan masa
kepada minda dan hatinya untuk mengenang perkara lama. Namun dia juga tahu,
walau sekuat mana dia mencuba… beban yang membelenggu dirinya sejak sekian lama
masih belum mahu pergi. Kata emak, dia masih terpenjara dalam tembok kenangan
yang dia bina sendiri.
Namun bagi Kimi, emak atau sesiapa saja pun… tak mungkin akan faham.
Kenangan pahit itu ialah sebuah cerita yang tak pernah mahu meninggalkan
mindanya. Semuanya seperti cerita yang penuh tanda soal dan jawapannya tak
pernah dia temui hingga kini. Persoalan itu membuatkan dia merasa terkilan lalu
terus mengikat dirinya dengan masa lalu.
“Kimi… Kimi. Aku rasa, kau lebih baik bekerja daripada bercuti. Apabila
cuti aja, macam tulah kau. Menung sana, menung sini. Sudah-sudahlah kau fikir
perkara lama tu….” Zuki tiba-tiba bersuara dari arah belakang.
Kimi berkalih menghadap Zuki. Dia melontarkan senyum nipis. Kata-kata Zuki
itu sudah diulang siar berpuluh kali. Kalau diibaratkan perakam kaset, rasanya
sudah lama rosak kerana terlalu kerap dimainkan semula. Dan dia tahu… tak ada
gunanya dia menjawab.
“Ke mana pula kau kali ni?” soal Kimi apabila melihat Zuki sudah siap
berpakaian lengkap dengan beg sederhana besar.
“Dubai. Tiga hari saja. Nak meeting
sekali dengan close deal dengan
kompeni kat sana.” Jawab Zuki masih tersenyum. “Kau cari je buah hati sorang. Lama-lama, kau lupalah semua tu. Apa... kau
nak aku rekomen ke?” soal Zuki tersenyum nakal.
“Kau tak faham… dan tak ada sesiapapun akan faham,” jawab Kimi ringkas.
“Lagipun, kalau kau nak bagi aku salah sorang daripada stok makwe kau yang keliling pinggang tu… terima kasih
ajalah. Aku tak mau!” Kimi tersengih.
“Aku tahu tu. Kau tu… bukannya payah sangat kalau nak cari. Dengan muka kau
yang iras-iras Rashidi Ishak, badan yang tinggi dan tegap macam Salman Khan tu…
berlambak minah-minah yang akan rela
keluar dengan kau. Kau aja yang tak nak. Kalau kau tersengih dengan gigi ketuk
kau yang terjulur keluar tu dan dengan pandangan mata sedingin salju tu, bukan minah-minah kat luar tu saja yang
terpikat tau. Aku pun naik terpikat jugak.”
Zuki tersengih di hujung ayat.
“Isy kau ni, buat aku seram. Dahlah aku menumpang kat rumah kau ni. Buatnya
kau buang tabiat betul-betul…” Kimi buat aksi seram sejuk. Zuki ketawa
berdekah-dekah sampai terhinggut-hinggut bahunya.
“Dahlah! Aku gerak dulu. Flight
aku pukul satu petang, takut tak sempat pulak.”
“Nak aku hantar?”
“Tak payah! Abang Pian dah standby
kat bawah,” jawab Zuki sambil mula menarik beg berodanya. Kimi mengangguk dan
mereka bersalaman.
Usai Zuki berlalu, Kimi kembali berdiri di beranda kondominium kepunyaan
Zuki di tingkat sebelas. Mata Kimi tertancap ke arah hamparan laut membiru yang
melatari pandangan di hadapannya. Dari jauh, jelas kelihatan Jambatan Pulau
Pinang berdiri tegak merentasi selat. Lambang kemegahan dan merupakan mercu
tanda negeri Pulau Pinang. Bangunan kondominium ini dibina di atas tanah tebus
guna di pesisiran pantai. Maka, sememangnyalah ia menjanjikan pemandangan yang cantik
dan udara yang menyegarkan.
Hmm…
kalau dikira pendapatannya sekarang, mana mungkin Kimi mampu menghuni di sini.
Mahunya dia makan pasirlah di setiap hujung bulan. Dia sekadar memenuhi ajakan
Zuki, anak Datuk Mat Labis yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Perlis. Kata Zuki, rumah ini terlalu luas untuk dihuni berseorangan. Zuki tak
pernah kisah tentang bayaran. Sementelah pula, Zuki kerap juga keluar negeri
atas urusan kerja. Maka kadang-kadang, rumah ini dibuat seperti harta mak bapak
Kimi sendiri.
Kimi sebenarnya tak kisah sangat sama ada hendak tinggal di sini, atau
berulang-alik dari rumah ibunya di kampung. Rumah di kampung pun, bukanlah jauh
sangat. Cuma perlu menyeberangi Jambatan Pulau Pinang saja.
Kalau tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, paling cepat, setengah
jam… dia sudah mampu meletakkan keretanya di bawah pokok rambutan di hadapan
rumah.
Keperluan untuk menghuni berdekatan dengan tempat kerja cuma datang jika
dia terpaksa bekerja tidak tentu masa. Kadang-kadang sehingga awal pagi. Itu
pun jika terdapat kes-kes berbangkit yang perlu diberi perhatian lebih dan
diselesaikan segera. Makanya, ajakan Zuki itu, seperti orang mengantuk
disorongkan bantal. Rumah ini sudah jadi seperti rumah kedua untuknya.
Kimi menggeleng kepala dan menghela nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya
semula. Hembusan itu kedengaran berat. Seperti cuba melepaskan segala yang
bersarang di hati. Tiba-tiba dia teringatkan perbincangannya dengan Zuki
sebentar tadi. Sudah berkali-kali perkara itu dibincangkan. Dia sudah lelah,
sudah penat mahu membuat orang lain faham.
Kimi tahu niat Zuki baik dan dia sendiri bukan tidak pernah mencuba.
Pernah! Malah berkali-kali. Namun setiap kali mencuba, setiap kali itu dia
gagal.
Kimi sedar, selagi belum mendapat jawapannya, selagi itu dia tak akan
pernah tenang. Entah bagaimana mahu membuat orang lain faham yang buat
sementara ini, hatinya sudah tertutup untuk semua perempuan. Cinta dan hatinya
sudah dibawa pergi… lama dahulu.
Suara Marc Anthony yang tiba-tiba mengalunkan lagu My Baby You, mengejutkan Kimi. Itu bunyi nada dering telefon
bimbitnya. Kimi bergerak masuk ke dalam, menjenguk sekilas pada skrin. Dia
menggelengkan kepala sebelum menjawab panggilan itu.
“Helo! Ya, saya. Kat mana tu? Okey... saya akan sampai secepat mungkin.”
Kimi segera masuk ke bilik untuk
bersiap. Tak sampai sepuluh minit, dia sudah lengkap berpakaian. Dicapainya
kunci kereta dan telefon bimbit lalu terus melangkah keluar. Hatinya rasa
senang tiba-tiba. Kalau orang lain, mungkin sebal apabila cuti-cuti begini
diganggu. Namun bagi Kimi… lebih baik bekerja daripada duduk termenung mendera
jiwa.
Sebaik melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu, dia menghidupkan enjin
serta penyaman udara. Automatik kedengaran lagu Imran Ajmain berkumandang. Lagu
Seribu Tahun itu, cukup dia suka.
Lagu yang menggambarkan penantiannya selama ini. Dia menyandarkan kepala di
kusyen kereta sambil memejamkan mata. Tiba-tiba, makin terasa sesak dadanya.
Gusar memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menantinya di sana… dia terus
saja menekan butang ‘off’. Suasana menjadi senyap.
Dia menggelengkan kepala. Lagu itu tidak sesuai didengar buat ketika ini.
Ketika hati dan minda telah dikocak ketenangannya oleh berita yang baru
diterima.
Tangannya kemas memegang stereng kereta. Mata pula memerhati jalan yang
bakal dilalui, namun mindanya sudah berkelana merentas masa. Tanpa sedar, dia
sudah menghampiri tempat tujuannya. Dia memperlahankan kereta Waja yang
dipandunya sebaik sahaja menghampiri Pantai Teluk Bahang. Kelihatan beberapa
buah kereta polis diletakkan berderet di bahu jalan. Dia memberhentikan
keretanya, keluar dan terus berdiri sambil bersandar di pintu. Dia tidak terus
melangkah. Sekadar berdiri memandang ke hadapan dan menarik nafas dalam-dalam
sebelum melepaskannya perlahan.
Setiap kali ada penemuan mayat wanita, Kimi diburu resah. Rasa hati
berperang di dalam. Antara teruja, sayu dan marah. Segala rasa itu
bercampur-campur, sukar untuk diluahkan. Menghadapi kes-kes sebegini,
membuatkan hatinya seperti dihempap oleh benda yang teramat berat. Dia bimbang,
dan pada waktu yang sama, tidak pasti bagaimana untuk menghadapinya jika mayat
itu adalah orang yang ditunggunya selama ini….
Lama Kimi termenung di situ. Dia akhirnya berjalan memasuki lokasi
pembunuhan yang dipagari pita berwarna kuning. Memandang sekeliling. Menyorot
kelibat Inspektor Ganesan yang sedang menyoal dua orang lelaki di bawah pokok
yang berhampiran jalan. Jauh berhampiran semak, Sarjan Adli seperti sedang
mencatatkan sesuatu, sambil matanya merenung ke arah apa yang ditunjukkan oleh
Dr. Ray, pakar forensik yang bertugas dengan pasukan polis.
“Selamat tengah hari, ASP Hakimi.” Inspektor Ganesan menegur sebaik sahaja
dia melihat Assistant Superintendent of
Police (ASP) Hakimi menghampiri.
“Selamat tengah hari! Inspektor
Ganesan, macam mana? Apa kata orang yang temui mayat?” Kimi bertanya sambil
memandang ke arah dua orang lelaki yang sedang ditemu bual.
“Mereka cuma pencari besi buruk, tuan. Lelaki India tu jumpa mayat masa nak
buang air kat semak sana. Yang lagi sorang tu, beranikan diri buka cadar,
apabila nampak kaki… mereka lari lintang-pukang sebelum buat aduan.”
Kimi cuma mengangguk, kemudian berjalan menghampiri lokasi mayat ditemui.
Sarjan Adli yang sedang memegang buku nota dan pen tersenyum ke arahnya.
Beberapa orang anggota lapangan jenayah yang berada di sekeliling tempat itu
untuk mencari bukti cuma menganggukkan kepala.
Sarjan Adli memberikan salam dan Kimi menjawabnya perlahan.
“Ada apa-apa penemuan penting?”
“Mayat seorang wanita. Lingkungan umur dua puluhan. Mungkin sudah dibuang
lebih daripada tiga hari. Mayat dibungkus dengan cadar, so… kita akan proses bukti pada mayat di makmal. Ada kesan tapak
kasut di atas tanah. Bekas tapak kasut tu nampak jelas juga.”
Kimi tunduk memandang mayat yang sudah mula berbau. Dadanya mula berdebar.
Dr. Ray, pakar forensik yang sedang memeriksa mayat mendongakkan mukanya
memandang Kimi. Dia menyelak penutup mayat hingga menampakkan muka mangsa. Kimi
terdiam. Dia merasa lega.
Sah! Perempuan itu bukan Nina yang dia cari.
“Sesak nafas akibat dicekik, tengok ni…” Dr. Ray menunjukkan kesan lebam
pada leher mangsa. “And this… she doesn’t
give up easily I guess.” Dr. Ray mengangkat tangan mangsa dan menunjukkan
kesan darah pada kuku mangsa. Kimi mengangguk faham.
“Anything else doc?”
“The rest, I will tell you
when I finish with her in my office….” Dr.
Ray tersenyum ke arah Kimi.
Kimi bangun meninjau sekeliling. Kawasan ini terletak lima puluh meter dari
tempat pembuangan. Daripada pemerhatiannya, mayat mungkin dibawa dan dibuang
sendiri oleh pembunuh tersebut. Bukan datang daripada lori sampah. Ada kesan
tapak kasut jelas kelihatan di atas tanah. Mungkinkah kesan tapak kasut itu
memang milik orang yang membuang mayat itu ke sini?
“Hmm… nampak jelas sekali. Tapi print yang sebelah kanan… nampak lebih
dalam. Kalau tak silap saya… anggarannya saiz sepuluh atau sebelas,” ujar Kimi
sambil tersenyum kepada ahli lapangan jenayah yang sedang memfoto kedudukan
tapak kasut itu.
“Hmm… saya pun rasa begitu,
tuan,” balasnya. Kimi hanya menganggukkan kepalanya, lantas berkalih dan
bergerak ke arah Dr. Ray.
“Any ID?” Kimi bertanya lagi mengenai pengenalan diri pula.
“So far none, but she’s
definitely a Malaysian. Here… a BCG scar,
sangat jelas.” Dr. Ray menunjukkan lengan mayat yang berparut kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG). Kimi
tunduk memerhati dan mengangguk kepalanya perlahan.
“Okay, I’ll wait for the
report then.” Kimi mengangguk ke arah Dr. Ray, dibalas anggukan
juga. Mereka sudah faham bidang tugas masing-masing setelah bekerjasama selama
beberapa tahun kebelakangan ini. Kimi tahu, Dr. Ray memang seorang yang sangat
teliti dalam melakukan kerjanya.
TOK! TOK!
TOK!
Kimi menjenguk ke dalam makmal Dr. Ray.
Dr. Ray sedang menundukkan mukanya sambil memeriksa mayat yang terbaring di
atas meja. Dia mendongakkan kepalanya. Sekilas dia tersenyum memandang ke arah
Kimi dan kembali menyambung kerjanya.
Kimi bergerak menghampiri Dr. Ray. Mayat gadis yang baru ditemui itu
dipandangnya dengan pandangan yang sayu. Kesian! Umur semuda ini, sudah menjadi
mangsa manusia berhati syaitan.
Setiap kali menerima kes wanita mati dibunuh dan melihat mayat mereka
seperti sekarang, pasti akan mengundang rasa syahdu di hati Kimi. Serta-merta
wajah Nina berlegar dalam ruang mindanya. Dia amat berharap, moga ini bukanlah
nasib yang sudah dilalui oleh Nina. Rasa sesak nafas hingga ke kerongkong mula
menjalar. Dada mula sebak. Dia menggelengkan kepala, mengusir rasa yang
tiba-tiba menjengah.
“Hmm… dah tak sabar nak tunggu
repot saya?” Dr. Ray tiba-tiba bersuara sambil tergelak kecil.
“I wanna start with
something, what I have with me now, leads me to no where.” Kimi berdiri betul-betul di sebelah mayat tersebut.
“Actually, I was planning to give you a call,
you might wanna see this.” Sambil bercakap Dr. Ray
berjalan ke meja sebelah. Dia mendapatkan peket plastik lut sinar berisi
sesuatu. Kimi hanya memerhati, memberi peluang kepada Dr. Ray menjelaskan
penemuannya.
“Butang baju dan seurat benang, tergenggam di tangan kiri mangsa. And… come and see this.” Dia menarik
tangan kiri mangsa yang tergenggam dan membukanya sedikit. “Nampak macam nombor
telefon. 016-4353931, masih boleh dibaca walaupun sedikit kabur. This will leads you to somewhere… I really
hope so.” Dr. Ray tersengih.
Kimi turut tersengih sambil
menunjukkan isyarat bagus. Plastik
berisi butang tadi dimasukkan ke dalam kocek bajunya. Buku nota kecil ditarik
dari dalam kocek yang sama.
“Hmm… lets hope so.”
Kimi menyalin nombor tersebut. Mencapai telefon di kocek seluar dan terus
mendail nombor Sarjan Adli. Dia memberikan nombor tersebut dengan arahan supaya
siasatan dibuat segera.
Dr. Ray tersenyum ke arah Kimi. Dia membuat isyarat bagus, lalu mengangguk
kepala sekali gus. Kimi tergelak kecil.
“Kena pantas. It’s part of our responsibility. Lagipun, bukan you tak tahu
perangai Tuan Rasyid tu. He wants
everything to be fast and perfect.”
“Betul tu.” Dr. Ray tergelak kecil sebelum berkalih menghadap mayat tadi
semula. “Come! Lets see this….” Dr. Ray mengambil lampu kecil seperti sebatang
pen. Tangan kirinya menyelak kelopak mata mangsa dan menyuluh ke situ. “As you can see, there are small red
splotches in the eyes, dan ada juga sedikit pada mukanya. Saya pasti akan
ada benda yang sama kalau kita investigate
the lung… petechial hemorrhages.”
“Mangsa dicekik, macam you cakap masa kita kat dumping site,” ujar Kimi sambil matanya masih memerhatikan mangsa.
Dr. Ray mengangguk.
“I’ll pass to you the rest of the
report, especially on stomach contents and time of death, later.”
Kimi mengangguk. “Okey! Lebih cepat, lebih bagus.”
Dr. Ray mengangguk lagi. Untuk kali kedua, tangan diangkat memberi isyarat
bagus lagi sekali. Kimi cuma tersengih sambil mula beredar dan membuka pintu
untuk keluar.
SEKEMBALINYA ke bilik, Kimi mendail nombor Inspektor Ganesan. Lama menunggu, namun
panggilan tidak dijawab. Gagang telefon diletakkan semula.
Sambil melabuhkan punggung di kerusi, bungkusan plastik tadi dikeluarkan
dari kocek baju. Dia mengamati isi kandungannya. Hmm… kelihatannya seperti butang dan benang daripada pakaian jean.
Warna biru pudar begitu, memang sinonim dengan fesyen jean.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan di pintu membuatkan Kimi mengangkat mukanya. Daun pintu
dibuka separuh. Kepala Inspektor Ganesan terjengul di situ.
“Tuan panggil saya tadi? Masa tu…
kat dalam tandas. Macam tak sedap nak jawab,” ucapnya sambil tersengih.
Kimi menggamit, mengisyaratkan supaya Inspektor Ganesan masuk ke dalam.
Belum sempat Inspektor Ganesan duduk dengan selesa, Sarjan Adli pula tiba dan
berdiri di muka pintu.
“Hmm… eloklah tu. Dua-dua orang
dah ada. Senang sikit kerja saya. Tak payah cakap dua tiga kali. Sarjan,
masuklah. Kita ada banyak benda nak kena bincang.”
Sarjan Adli dan Inspektor Ganesan berpandangan dan berbalas senyum. Sambil
itu, Sarjan Adli bergerak mengambil tempat di sebelah Inspektor Ganesan.
“Okey! Sarjan, macam mana dengan nombor telefon yang saya bagi tadi. Dah
siasat?”
“Dah, tuan. Ia milik seorang wanita. Katanya dia yakin tidak ada ahli
keluarganya yang hilang. Tapi, ada menerima panggilan daripada adik kawannya
beberapa hari lepas. Belum sempat nak bercakap banyak, talian terputus.”
“Hmm… kalau macam tu, awak kena
pergi dapatkan dia. Tunjukkan gambar mangsa, mungkin dia boleh membuat
pengecaman. Kalau betul, lebih cepat kita tahu latar belakang mangsa.”
“Baik, tuan.”
Kimi mengangguk, manakala tangannya mencapai paket plastik kecil yang
diletakkan di atas meja sejak tadi. “Okey! Ganesan. Saya nak minta awak hantar
sampel ni ke makmal untuk di proses.” Peket itu diserahkan kepada Inspektor Ganesan.
Peket yang dihulurkan itu, dicapai dan dibelek. Sarjan Adli turut sama
menyendengkan badannya untuk memerhatikan isi kandungan plastik. “Hmm… nampak macam benang dan butang baju
daripada jenis kain jean. Dapat daripada mangsa ke?” tanya Inspektor Ganesan
sambil menyerahkan paket itu kepada Sarjan Adli.
Kimi mengangguk.
“Ya, memang tak salah lagi,” celah Sarjan Adli.
“Ia tergenggam dalam tangan mangsa. Dapatkan jenis material. Kalau boleh…
jenamanya sekali.” Arah Kimi lagi.
“Baik, tuan. Agaknya, mangsa tertarik butang tu semasa pergelutan.
Harap-harap, ini permulaan yang bagus untuk siasatan kita,” sambung Inspektor
Ganesan lagi.
“Hmm… harap-harap, macam tulah.
Satu lagi, esok, saya dan Tuan Rasyid akan ke Bukit Aman untuk menghadiri
mesyuarat. Jalankan siasatan dulu, kalau ada apa-apa masalah… beritahu saya.
Sebelum Tuan Rasyid panggil kita menghadap, kena pastikan kita dah ada
perkembangan.”
“Baik, tuan. Ada apa-apa lagi?” soal Inspektor Ganesan. Kimi hanya
menggelengkan kepala. Kedua-dua pegawai bawahannya mengangguk dan mula bergerak
keluar.
4 comments:
Elmariachi...maaf.saya delete komen u sebab bila kemas kini semula, bab 1 yang sekarang n yang dulu tak sama. Komen sudah jadi tak relevan.
menarik...tapi suspen tu xder.. kalu boleh buat nampak lebh ada adegan2 suspen dan jga unsur humor supaya lebh menarik..apa pun dah ok..
Soul Js,
Thanks...huhu, tak pandai nak humor, but will try masukkan sikit2..
Post a Comment