Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, November 10, 2010

BAB 22

Gambar pinjaman


Wakaf yang dicadangkan Amar, sudah tegak berdiri dibawah redup pohon Borgenvilla yang menghiasi pintu masuk. Binaannya kelihatan sangat kemas dan cantik, lebih cantik lagi bila dilatari dengan ukiran kayu pada seluruh tepi bumbung. Wakaf yang tersembunyi di antara pohon Borgenvilla dan Pokok Payung Indonesia itu membentuk padanan yang sangat klasik sekali, tak sabar rasanya nak minum petang dan melepak di atasnya.

" Cantik? Puas hati tak?" Abang Lan bertanya kepada Deena.

Deena cuma mengangguk kecil. Sejak pulang ke rumah semalam, dia selalu meninjau pembinaan wakaf di halaman rumah, dan dari situ, dia mula berbual-bual dengan abang Lan. Hari ini soalan itu ditanya ketika mereka berdiri memandang wakaf yang sudah 90 peratus siap, Zekry pula, kelihatan sedang mengarahkan dua orang pekerja mereka membuat sentuhan terakhir.

Sejak berjumpa di majlis bacaan Yaasin tempoh hari, Zekry memang tak pernah bertegur sapa dengan Deena. Kadang-kadang Deena perasan yang Zekry cuma sering mencuri pandang, untuk menegur, rasanya tak pernah walaupun sekali. Tenungan Zekry pula, mampu membuatkan badan Deena merinding, dan dia tak pernah tahu apa makna renungan sebegitu...tak pasti samada renungan itu lahir dari perasaan suka atau benci. Ahh! Biarlah...setahu Deena, dia tak pernah buat apa2 kesalahan pada Zekry.

Berlainan dari Zekry, Abang Lan pula, cepat mesra dan ramah. Kimi pernah memberitahu Deena, Abang Lan ialah sepupu Zekry dan mereka berkongsi perniagaan, iaitu sebuah syarikat kecil yang mengambil kontrak membina dan membaik-pulih rumah. Personaliti Abang Lan pula berbeza macam langit dan bumi kalau nak dibandingkan dengan Zekry.

" Cantik ukiran kayu untuk kening bumbung tu, Abang Lan buat sendiri ka?

" Tak, Pakcik Mael Peta yang buat, dia memang ada kemahiran mengukir, lama dah dia kerja dengan Abang."

" Mael Peta? Peliknya nama."

Abang Lan tergelak kecil, Zekry yang berdiri tak jauh dari situ, turut tersenyum segaris. Senyuman itu hilang bila dia perasan yang Deena sedang memerhatikannya. Hmm...bukan tak lawa Si Zekry ni kalau senyum, tapi entah kenapa dia ni lokek benar dengan senyuman.

" Pakcik Mael! Mai sat." Abang Lan memanggil salah seorang pekerjanya.

Lelaki separuh umur dan berbadan sedikit gempal, yang sedang menggosok ukiran kayu, bangun dan berjalan mendekati mereka. Abang Lan dan Zekry saling berpandangan sambil tersenyum lagi sekali.

" Pakcik! Anak Encik Hisyam yang cantik dan comel ni nak tau, pasai apa kami panggil Pakcik, Mael Peta."

Pakcik Mael hanya tersengeh sambil menggaru-garu kepala, berkalih ke kiri dan ke kanan, memandang Zekry dan Abang Lan bersilih ganti, airmukanya seperti orang menahan malu.

" Lan, hang la bagitau, malu Pakcik nak habaq." Sehabis ayat dia berkalih dan menyambung semula kerjanya, sekali sekala dia tersengeh memandang Abang Lan. Zekry pula sedang mengulum senyum, tapi bila matanya bertentangan dengan Deena, senyum yang terukir di bibir tiba2 mati. Abang Lan pula terus ketawa mengekek bila melihat Pakcik Mael Peta tu seperti malu2 kucing.

" Apasal yang funny sangat?, tak faham la Deena."

" Zekry! Mai tolong cerita sat kat Deena ni." Kata2 Abang Lan disambut gelengan kecil dari Zekry, renungan matanya yang sejuk macam ketul ais tu, buat Deena rimas.

" Kenapa dengan Zekry tu, macam tak suka kat Deena ja." Deena berbisik pada Abang Lan.

Abang Lan berkalih memandang Zekry yang sedang asyik berkata sesuatu kepada Pakcik Mael Peta, dia kemudiannya memandang Deena semula. " Hmm...Nantilah Abang cerita kisah Pakcik Mael Peta tu." Dia kemudiannya tersenyum segaris, sebelum menyambung semula ayat.

" Si Zekry tu memang macam tu, tapi dia baik hati tau. Sejak Nina hilang...dia jarang cakap dengan orang, dia cakap benda2 penting saja."

" Apa hubungan Zekry dengan Nina? Setahu Deena, Nina berkawan dengan Kimi."

" Memang la...mereka tu berebut Nina, sebab tu sampai la ni bermusuh. Tapi dua2 orang baik hati sebenarnya, cuma depa sama2 ketegar" Abang Lan menghembus nafas berat.

" Abang pun tak tau nak buat macam mana untuk baikkan mereka semula." Kepala digelengkan sehabis ayat.

Deena mengangguk, mula faham senario sebenar. Mungkin selepas ni, dia boleh bertanya dan mengetahui cerita sebenar dari kacamata Kimi pula. Untuk berbual dengan Zekry rasanya mustahil...mungkin masa sahaja boleh mengubah pendirian Zekry. Deena bertekad akan cuba mencari peluang untuk berbual dengan Zekry. Suatu hari nanti, mungkin!

Deena sedar, untuk mengetahui apa yang terjadi pada Nina, dia perlu berbaik dengan semua orang yang mengenali Nina. Dari situ, perlahan-lahan dia akan faham kisah disebalik kehilangan Nina. Hingga kini, dia buntu... bagaimana nak mencari diari merah jambu seperti yang dimimpikannya hampir tiga minggu lepas..

Hmm...sejak mimpi tentang diari merah jambu tu, hingga hari ini...belum ada apa2 yang pelik terjadi. Kepulangan Deena minggu ini pun, sebab terasa nak mencari diari tu, tapi tak tahu nak bermula di mana. Semalam dah cuba-cuba selongkar almari yang ditinggalkan di dalam biliknya, tapi gagal temui apa-apa pun.

" Apa yang dok termenung macam orang susah hati ni? Abang Lan bertanya setelah sekian lama melihat Deena mendiamkan diri. Dia tersenyum segaris.

" Abang kenal Nina?" Soalan abang Lan dijawab dengan satu soalan lain.

" Kenal gitu-gitu aja...tak macam abang kenal Zekry dan Kimi, pasai apa Deena tanya?"

" Hmm...special sangat ka Nina tu, semasa ada hingga hilang sekian lama, Kimi dan Zekry masih sayang dan sanggup bermusuh berterusan kerana dia."

" Dia cantik macam Deena...macam model pulak tu." Itu jawapan abang Lan yang sedikit sebanyak mengundang rasa kurang selesa di hati Deena.

Hmm...sejak kenal nama Nina dan tahu mereka seiras, itulah yang kebanyakan orang katakan. Nina lebih cantik, berkulit lebih cerah, dan lebih tinggi macam model. Segala yang lebih nampaknya dah diambil Nina, dan kekurangan berpihak kepada Deena. Dan dia sedar diri, kekurangan paling ketara ialah, dia tak cukup ketinggian...ramai pula yang anggap dia masih budak sekolah. Agaknya antara dia dengan Nina, macam bumi dengan langit, harapkan muka saja seiras.

Abang Lan mencapai gelas berisi jus oren yang tersedia di dalam talam berhampiran tempat mereka berbual. Lantas menghirup seteguk.

" Abang pula, masa tu...tak terpikat dengan kecantikan Nina?"

Soalan itu mengejutkan abang Lan, hampir tersembur air yang sudah dihirup, lama juga Abang Lan memandang Deena. Namun akhirnya, Abang Lan ketawa kecil.

" Soalan jenis apa yang Deena tanya tu?, buat Abang terperanjat beruk aja."

" Yang pasti, tu bukan soalan matematik tambahan...jadi tak perlu kira. Cepat la jawab, Deena tunggu ni."

Abang Lan termenung, mukanya sedikit keruh. Agaknya sedang berfikir, bagaimana cara terbaik menjawab soalan yang tak disangka-sangka dari Deena. Dia akhirnya menarik nafas dalam-dalam.

" Hmm...abang sebenarnya malas nak ingat cerita yang menyakitkan, tapi sebab Deena nak tau juga...OK lah. Kimi dengan Nina, muda dari abang 8 tahun, Zekry pula...7 tahun. Depa semua masih sekolah masa tu. Abang pula dah kawin, infact masa tu baru dua tahun berkahwin. Bini abang masa tu, cantik juga...so, tak ada sebab abang nak suka Nina. Deena tau bini abang macam siapa?" Abang Lan bertanya, cuba menjadi ceria walaupun mukanya sedikit keruh.

Soalan itu dijawab dengan gelengan kepala dari Deena, malas dia nak fikir. Kalau cantik macam Angelina Jolie pun...dia peduli apa.

" Cantik macam Angelina Jolie...dan buat abang merana." Abang Lan memberikan senyuman plastik.

Deena membulatkan matanya, macam tak percaya...apa yang terlintas di mindanya, itu yang disebut oleh Abang Lan.

" Eleh, ya ke? Kalau betul, hari tu masa majlis, kenapa tak bawa isteri?, boleh Deena jumpa 'Angelina Jolie' tu dan minta autograph."

Deena yang masih tersenyum sehabis ayat itu, memandang ke arah muka Abang Lan, namun apa yang Deena lihat membuat senyumannya mati di situ. Ada kesedihan nampak ketara di situ, walaupun cuba disembunyikan dengan senyuman.

" Hmm...isteri abang dah lama tinggalkan abang, ikut lelaki lain..." Sambil bercakap abang Lan berkalih memandang ke arah Zekry.

Deena terkedu dan rasa amat bersalah, aduh! kenapalah mulut dia ringan sangat bertanya hal peribadi orang. Hmm..sekarang kan dah menyentuh bahagian sensitif kehidupan orang lain. Mungkin itu cerita yang ingin dilupakan abang Lan tapi Deena pula pandai2 mengorek, patut la muka abang Lan dari tadi redup semacam aja.

" Maaf...Deena tak tau, harap abang tak marah." Mukanya dikerutkan ketika bercakap, kemudian terus menundukkan mukanya.

" Its Ok. Hmm...Nampaknya, abang nak kena balik ni. Lain kali kita sembang lagi." Sehabis ayat tu, abang Lan terus berlalu ke arah Nissan Frontier yang di parkir di halaman rumah. Deena pula hanya mampu memandang, hati sarat dengan rasa bersalah.


*****

Deena merasa sedikit resah, gugusan kunci itu disembunyikan di dalam kocek seluar. Dari tadi dia berkira-kira samada wajar atau tidak apa yang akan dia lakukan. Walaupun sudah bertanya dan meminta kebenaran, namun Pak Mat nampaknya, keberatan. Dan Deena...sudah tidak punya cara lain.

Sejak semalam, Deena sudah mengira jumlah keseluruhan bilik di dalam rumahnya, dan pasti yang satu itu memang sentiasa berkunci. Bilik yang terletak di bahagian belakang ruang dapur itu, pintunya dibina mengadap ke luar dan tak boleh dimasuki dari dalam rumah. Menurut emak Deena, itu bilik setor yang menempatkan barangan keluarga Nina, dan itu antara bilik yang tidak termasuk dalam ruangan yang disewa.

Agaknya, bila terlampau banyak menonton cerita berunsur misteri dan penyiasatan, hati jadi berani nak mempraktikkannya. Maka, dengan keberanian yang ala kadar tu, Deena dah berjaya mencuri gugusan kunci kepunyaan Pak Mat, ketika itu Pak Mat sibuk berkebun dan kuncinya ditinggalkan di dalam raga motor...macam 'pucuk dicita ulam mendatang', pantas saja tangan Deena menyusup kunci tu ke dalam kocek seluarnya.

Jantung Deena berdegup kencang sewaktu sedang berdiri mengadap pintu bilik yang sekian lama berkunci itu. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan, bimbang pula jika Pak Mat tiba2 muncul dari belakang dapur. Dengan lafaz 'Bismillah' dan beberapa potong ayat Al-Quran, Deena menjolok anak kunci yang dirasakan tepat itu, dengan sekali pusing saja...sudah terdengar bunyi 'klik' tanda pintu sudah berjaya dibuka.

Deena kemudiannya menutupnya kembali dengan perlahan tanpa menekan tombol kunci. Gugusan kunci tadi dimasukkan kembali ke dalam kocek seluar, dan dia berjalan dengan cepat sambil terhendap-hendap ke arah motosikal Pak Mat. Dengan berhati-hati, dia meletakkan kembali kunci itu di tempatnya, sama seperti kedudukan ia diambil tadi.

Sebungkus plastik berisi buah lemba yang terdapat di dalam raga motor tu, tiba2 menarik perhatian Deena. Semasa kecil dulu, buah inilah yang dia selalu makan kalau ikut Tok Wan masuk ke hutan, rasanya manis dan kalau makan buah lemba ni, dia akan cepat2 minum air telaga, air tu juga akan turut rasa manis. Sudah lama tak melihat buah lemba ni, banyak sungguh memori manis semasa kecil yang berkaitan dengan buah lemba ni...Deena tersenyum sendiri.

Tiba2 Deena tersedar yang dia sudah jauh melalut, fikiran dibawa ke seluruh pelusuk hutan untuk mengimbau kenangan. Ada agenda yang lebih penting sedang menanti, sekilas itu Deena pun berkalih, dan jantungnya tiba2 terasa mahu jatuh, aliran darah seolah-olah terhenti...muka terus jadi pucat. Pak Mat sedang berdiri memerhatikannya dengan pandangan tajam dan mencerlung.

" Buat apa dekat motor Pak Mat?" Sergah Pak Mat, tegas dan tajam. Dan yang lebih menakutkan, ada sebilah parang sedang digenggam di tangan kanannya.

Deena menelan air liurnya, terasa kesat. Tangan dibawa ke kepala lantas menggaru-garu kepala yang tak gatal. Aduh! entah berapa lama Pak Mat sudah memerhati tingkah lakunya...Deena tak tahu. Harap2 aksi dia mencuri kunci tidak dilihat oleh Pak Mat. Mindanya dengan cepat mencerna jawapan yang boleh menyelamatkan keadaan.

" Tak buat apa-apa la Pak Mat, tadi tu...masa lalu tepi motor Pak Mat, Deena ternampak buah lemba dalam bungkus plastik. Sebab dah lama tak tengok buah lemba...tu yang Deena asyik membelek. Itu buah kesukaan Deena masa kecil."

Sambil mulut terkial-kial menjawab, jari jemari dari tangan kanan dan kiri ditemukan dan saling memicit, gaya orang resah. Lebih tepat lagi, lagaknya macam budak sekolah tengah berhadapan dengan Guru Besar dan menunggu dijatuhkan hukuman kerana melakukan kesalahan.

Pak Mat berjalan melepasi Deena tanpa berkata sepatah pun, dia kemudiannya mengambil bungkusan plastik berisi buah lemba tadi dan menghulurkan kepada Deena. Deena terkejut, ingatkan tadi dah nak kena sembur dengan Pak Mat, alih-alih dapat buah lemba pulak. Deena cuba tersenyum, namun tiada balasan.

" Terima kasih lah Pak Mat, dah lama Deena tak makan buah ni. Dulu2 kat rumah Tok Wan, selalu masuk ke dalam hutan nak cari buah ni...", belum sempat habis bercakap, Pak Mat berlalu melepasinya dan terus saja menuju ke arah halaman sebelah kiri.

Mulut yang tengah masuk gear nak bercakap tu, tiba2 saja sedikit terbuka, rahang jatuh separuh...tak mampu nak berkata apa2 lagi. Hmm...apa kes lah orang tua seorang ni, tadi macam nak marah, tiba2 aja tak jadi marah. Bila orang bercakap dengan dia, dia boleh aja jalan tanpa mendengar. Psiko agaknya. Deena menggeleng-geleng kepala, namun kemudian tersenyum bila matanya memandang bungkusan di tangan.

Deena kemudiannya berjalan masuk ke rumah, namun keluar semula mengikut pintu dapur untuk memasuki bilik setor yang sudah dibuka kuncinya.

Sebaik membuka pintu, bau hapak menusuk hidung. Entah berapa lama bilik ini tak dibersihkan, bertahun agaknya, bahagian lantai juga diselaputi habuk. Kalau ikutkan hati nak aja buka tingkap supaya ada aliran udara keluar masuk, tapi bahaya...nanti tak pasal2 Pak Mat terperasan.

Bilik kecil itu diisi dengan bermacam barangan, di bahagian dinding sebelah kiri terdapat beberapa kotak besar yang disusun bertingkat. Entah apa lah yang ada dalam kotak tu, kalau nak mencari diari di dalam bilik yang dipenuhi dengan barang2 begini, alamatnya kena tidur kat sini lah malam ni...heee, tak nak lah. Seram!.

Bahagian dinding sebelah kanan pula diletakkan rak besi bertingkat, ada banyak buku2 dan surat khabar lama yang disusun tak teratur di situ. Manakala ruang tengah yang sebesar tandas itu terbiar kosong...cukup untuk Deena bersila dan menjalankan misinya.

Deena menapak ke arah rak besi tersebut dan mula meneliti buku2 yang diletakkan di sana. Dia menarik salah satu buku, mengibas habuk yang terlekat di kulit dan membelek tajuk buku tersebut, 'Ilmu Pengetahuan Am'. Hmm...buku tingkatan enam, pastinya milik Nina. Buku itu diletakkan semula di tempatnya.

Buku2 yang bersusun di situ di belek satu persatu, namun tiada langsung buku berwarna merah jambu yang menyerupai diari yang dicari. Sambil menyelak, tangan Deena terpegang sebuah album besar, maka ditarik keluar dari susunan yang bertingkat itu. Mata Deena memandang sekeliling, mencari apa saja yang boleh dibuat lapik untuk duduk. Tak sanggup rasanya melabuhkan punggung di atas lantai yang berdebu ni. Dia akhirnya mencapai surat kabar lama untuk dijadikan tikar.

Wajah Nina yang cantik dan ceria merenungnya sebaik album di buka. Nampaknya, ini album peribadi Nina, kerana kesemuanya gambar Nina seorang dengan pelbagai gaya. Memang patutlah semua orang memuji Nina, dia memang cantik dan mempunyai ketinggian seperti model. Nina ni kiranya, Vanida Imran versi Nasha Aziz dan rambutnya pula, lurus, hitam dan panjang macam rambut Fouziah Ghous. Cantik!

Semakin menyelak ke belakang, gambar Kimi mula muncul, gambar berseorangan dan gambar berdua dengan Nina, ada juga gambar masa bersekolah bersama kawan2 sekelas. Deena tersenyum segaris melihat gambar Kimi sewaktu remaja, kurusnya...kalau ditiup angin pasti terbang. Kebahagian jelas terpampang di wajah mereka berdua, rasa cinta juga terzahir di mata. Entah kenapa Deena tiba2 rasa sedih, sebak yang terbuku di hati...kenapa dia rasa begitu, dia sendiri tidak pasti.

Gedebuk!...sebuah buku sederhana tebal tiba2 jatuh dari rak dan terbuka di bahagian tengah. Akibat terlampau asyik meneliti gambar2 di dalam album dalam suasana yang sunyi, bunyi itu membuatkan Deena terlompat ke belakang dan terjerit kecil. Dengan pantas dia memekup mulut sambil tersandar di pintu. Hairan! Macam mana buku tu boleh terjatuh.

Tiba2, mata Deena terbuntang, jantung terasa macam nak keluar dari kerangka dada, sukar nak mempercayai apa yang dilihatnya. Kalau ikutkan hati...sekarang juga nak angkat langkah seribu, tapi, dia sudah berjanji dengan dirinya, walau apa pun yang akan ditemui, dia akan kuatkan semangat di dalam proses merungkai misteri ini.

Prap! Prap! Prerepap!...prap!..., bunyi itu berterusan.

Tanpa ada tanda2 angin bertiup, mukasurat dari buku tadi terselak dengan sendiri, ke depan dan kemudian ke belakang. Mustahil! tak ada satu lubang pun untuk angin memasuki ruang kecil itu. Deena hanya memandang dengan nafas turun naik...terasa macam nak semput. Bunyi dan keanehan itu akhirnya berhenti.

Deena memberanikan diri melangkah setapak ke arah buku tersebut, membongkok untuk meneliti apa yang ada di situ. Nota kecil sebesar separuh kertas A4, terselit di bahagian mukasurat yang terdedah, mungkin dalam bilangan empat atau lima helai dan dikepilkan dengan stapler. Apa yang Deena nampak ialah karangan seperti sajak yang ditulis dengan tulisan tangan yang amat cantik dan kemas.

Telinga Deena menangkap bunyi telapak kaki berderap di luar bilik, mati lah dia kali ni, mungkin jeritannya tadi sudah sampai ke telinga Pak Mat. Kalau nak bersembunyi, tak tahu kat mana lagi...memang tiada ruang langsung. Terperangkaplah nampaknya dia, kantoi! juga kali ni. Cepat2 dicapai nota tadi dan diselit di dalam baju...dan dia sudah bersedia untuk diterjah Pak Mat, atau lebih teruk...oleh ayah atau emak, that's consider a disaster!

Deena duduk membelakangkan pintu dengan hati yang berdebar dan menunggu saja pintu dibuka. Tak lama kemudian, terdengar pintu berkeriuk, dia dengan perlahan berkalih memandang ke arah pintu. Mula-mula matanya menangkap muka Pak Mat yang masam mencuka, dan bila memandang di belakang Pak Mat, wajah ayah tersembul dengan mata mencerun dan bulat memandangnya.

Melihatkan airmuka ayahnya, Deena tahu...itu air muka kecewa. Sejak kecil Deena sudah dididik dan faham, pantang kalau di dalam keluarga Tok Wan ada yang buat perangai bercakap bohong dan tidak amanah. Hati tiba2 rasa sedih kerana telah mengecewakan ayah dan juga emak dengan perangainya itu...tapi dia juga sedar, dia tiada pilihan lain.

Pasti ayah dan emak akan berceramah topik amanah dan kepentingan memegang amanah orang. Dan sessi ceramah tu akan jadi lebih teruk, kalau sampai ke pengetahuan Tok Wan. Yang lebih pasti, hari ini dan hari seterusnya, sebelum balik ke Shah Alam, akan menjadi hari yang payah untuk Deena. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan....

2 comments:

IVORYGINGER said...

sambung lg. bg panjang2 ckit. ceta ni best. hehehe.. ;D

Packy Sidique said...

Salam ivoryginger,
This week rasanya lambat sket sambungan, tergendala ngn raya korban dan tengah nak kembangkan idea yang tak kembang2 nie...hopefully boleh post sooner..hehe...

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU