KATA ORANG PUTIH, home is
where the heart is. Begitulah juga yang dia rasakan tentang rumah besar ini
dahulunya. Dia tidak pernah mahu meninggalkan rumah ini, hatta untuk menyambung
pelajarannya sekalipun. Rumah ini terlalu sentimental untuknya. Terlalu
bermakna. Ia tempat tinggal yang sarat dengan kasih sayang. Ia juga tempat
membesar yang mengajarnya erti kehidupan. Dan yang lebih penting… rumah ini
sarat dengan kenangan bersama arwah mama dan papa.
April Nur Karmila berdiri di muka
pintu. Merenung ruang yang selama ini menjadi bilik tidurnya sejak hampir 20
tahun yang lalu. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan sayu. Ini mungkin kali
terakhir matanya meneroka ruang. Siapa tahu, kan? Rumah ini bukan rumahnya
lagi. Dia bukan siapa-siapa lagi untuk terus kembali ke sini. Entah kenapa, dia
merasa sangat keseorangan, macam puisi Orang Putih yang dia pernah baca, pendek
baitnya tetapi sangat dalam maksudnya…
How does it feel
To be without a home
Like a complete unknown
Like a rolling stone?
Terasa bahunya ditepuk sewaktu
tangan leka menyeka airmata. Dia berkalih. Bertemu mata dengan Acik yang memandangnya
sayu.
“ Bilik ini akan tetap jadi bilik
adik.”
Dia geleng kepala. Airmata
semakin laju mengalir. Mudah untuk Acik mengungkapkan. Namun dia tahu, dia
harus sedar diri.
“ Rumah ini sudah jadi milik
Along dan Kak Risha.” Dia mengungkapnya perlahan. Kalau rumah ini milik Acik,
dia tentu tidak sesedih ini.
“ Ti’ah, Mek Ani dan Ayah Su… dah
sampai.”
April mengangguk. Akur yang dia
perlu berlalu. Berlalu dari kenangan masa lalu yang terbina di rumah ini.
Dadanya terasa sesak sungguh. Seperti separuh dari dirinya mati bersama kenyataan
ini. Seperti separuh dari hidupnya, hilang bersama hilangnya identiti diri yang
dia pegang dan percaya sejak bertahun lamanya.
“ Jom!” Dia akhirnya bersuara.
Mengangkat dua beg yang masih berbaki dari yang dibawa turun sebelum ini. Acik
merampas lembut beg itu dari tangannya dan dia hanya membiarkannya. Mengekori
Acik turun ke tingkat bawah.
Selepas mama meninggal, dia
banyak menghabiskan masa dengan papa. Dua tahun, rumah besar itu hanya ada dia,
papa dan Acik. Along dan Kak Risha masih di luar negara waktu itu, Angah pula
berkahwin dan menetap bersama keluarga mertua. Papa pernah berkata, hidup ini
penuh kejutan yang kita tidak pernah jangkakan. Maka kita kena selalu bersedia
untuk menerima kejutan itu dengan redha. Kata papa lagi, kejutan itu mungkin…
kita ini bukan seperti yang kita sangkakan. Mungkin juga orang sekeliling itu
bukan seperti apa yang kita tahu dan kenal. Maka adakalanya kita akan merasa
keseorangan. Cuma kata papa, jika itu yang kita rasakan nanti… kita perlu sentiasa
ingat yang kita ada TUHAN. Dan TUHAN
kita itu semestinya ALLAH yang di tangan-Nya terletak segala perencanaan. Dan
hanya Dialah yang mengetahui segala yang terbaik untuk hamba-Nya.
Nasihat papa banyak berkisar
tentang kejutan dalam kehidupan. Secara tidak sedar, papa sebenarnya mempersiapkan
dia untuk semua ini… naifnya dia waktu itu. Pernah juga papa berkias, kata
papa, dalam hidup ini kita mungkin tidak selalunya berada di atas. Seperti
roda, adakalanya kita akan terjunam ke bawah. Maka jika itu yang kita hadapi,
bersabar dan bersyukurlah…
Waktu itu April bertanya pada
papa, “ kalau jatuhpun, kena bersyukur juga ke papa? Tak ke itu kira musibah
untuk kita?”
Terbayang senyuman papa waktu
itu. “ Ya, bersyukur. Kerana sama seperti waktu di atas, ketika kita di bawah
juga… kita mendapat pengajaran yang berbeza. Yang tidak ternilai harganya.
Kalau kita rasa kita susah, ada orang hidupnya lebih susah dari kita. Jika kita
rasa kita malang, ada orang yang hidupnya lebih malang dari kita. Kalau kita
rasa kita sudah patah riuk, luka dan berdarah… ada orang lain yang kepalanya mungkin
sudah pecah akibat terlanggar steamroll.
Macam tulah lebih kurang maksudnya…” dan papa tersenyum lagi. Tersenyum dengan
perbandingan yang entah apa, namun cukup mendalam maksudnya.
Mengingatkan senyuman papa, tanpa
sedar, bibirnya tersenyum kelat. Rasa rindu itu membuatkan matanya kembali
berkaca. Dan airmata itu tumpah lagi ketika dia menjejakkan kaki ke ruang
bawah. Dia berhenti, berdiri memerhati segenap ruang.
“ Janganlah macam tu. Jangan buat
macam adik tak akan balik ke sini lagi.”
“ Adik harus sedar diri.” Dia
menjawab perlahan, melangkah mendahului Acik ke arah pintu. Natrah, kawan baik berstatus lima bintang,
yang lebih selesa dipanggil Ti’ah sudah sampai dan sedang memasukkan beg ke
dalam booth kereta Honda City milik
April.
April keluar dan segera menyalami
Mek Ani. Kemudian, sekadar mengangguk kepala kepada Ayah Su. Sehormat manapun
dia pada Ayah Su, mereka tetap bukan mahram dan bersalam itu tetap tidak
dibenarkan.
“ Dah siap semua?” Soal Ayah Su. April
mengangguk, tersenyum lemah.
“ Terima kasih mek, Ayah Su,
benarkan Ti’ah ikut.” Ucap April.
“ Hal kecil aje. Kitakan dah
bincang.”
Dia mengangguk. Tersenyum
segaris.
Waktu itulah, Along dan Kak Risha
keluar dari dalam rumah. Mungkin mahu tunjuk baik di depan tetamu. Bersalaman
dengan keluarga Ti’ah dan terus berdiri memerhati. Sebenarnya, hati mungkin sudah
tidak sabar mahu melihat April pergi. Agaknyalah!
“ Dah nak pergi?” Soal Along. Kak
Risha hanya menjeling. Riak wajahnya ketara dengan rasa tidak suka. Tak apalah,
mereka tidak akan tinggal sebumbung lagi. Dia tahu, itu yang Kak Risha mahukan
selama ini.
“ Sudah siap.” Dia menjawab
perlahan. “ Ada barang adik yang masih belum habis kemas. Maaf.” Nafasnya
tersekat di kerongkong.
“ Jangan risau. Along tak akan
kacau bilik tu.” Jawapan Along melegakan dia. Namun rasa lega itu terpadam
apabila melihat jelingan tajam Kak Risha.
“ Eloklah kamu bertolak awal.
Kuala Lumpur tu, bukannya dekat. Sekarang dah pukul 8:10 pagi. Mungkin pukul 4
atau 5 petang nanti baru kamu sampai,” celah Ayah Su. Mukanya kelihatan risau.
“ Harap-harap… taklah hujan.”
“ Kalau macam tu, kami bertolak
dululah.” April mengangguk kepalanya pada Acik dan Along. Bersalaman dengan Kak
Risha yang hanya mempertemukan hujung jarinya. Seterusnya bersalaman dan
memeluk Mek Ani. Erat sungguh pelukan Mek Ani, hangat dan mesra seperti pelukan
mama.
“ Ingat! Jaga diri baik-baik.
Kamu kena jaga antara satu sama lain. Kalau Ti’ah degil kamu tolong nasihatkan.
Kalau kamu pulak buat hal, Ti’ah nasihatkan. Duduk elok-elok, jangan
gaduh-gaduh. Ada apa-apa hal… jangan lupa telefon Acik atau mek dan ayah.
Faham?”
“ Yang selalu buat hal tu… April lah.
Ti’ahkan budak baik.” Usik Ti’ah tersengih.
“ Banyaklah kamu punya baik.” Mek
Ani bercekak pinggang. April hanya tersenyum melihat.
“ Nanti Acik menyusul adik di
sana… insya-Allah dalam minggu ni jugaklah.”
Dia hanya mengangguk. Mengucapkan
salam dan melangkah masuk ke kereta diikuti Ti’ah. Dengan lafas ‘Bismillah’ dia
berdoa dengan doa menaiki kenderaan, memohon agar selamat di perjalanan sebelum
memulakan pemanduan.
“ Kau okay?” Ti’ah yang suka
bergurau itu, kini nampak serius benar wajahnya.
“ Sedang belajar untuk okay,”
balas April perlahan. Matanya mengerling rumah yang semakin jauh ditinggalkan.
Hatinya dipagut sayu.
Syahdu.
Sementara itu, di Seksyen 17, Shah Alam
AKMAL FIRDAUS melempar tuala
pengelap motor ke dalam baldi. Duduk bertinggung mengadap motosikal berkuasa
tinggi jenis Yamaha YZF-R1 berwarna putih campur merah. Itu motor kesayangan yang
dia gelarkan Mat Top sejak mula memilikinya tiga tahun lalu. Hari ini, Mat Top
sudah nampak bergemerlapan dari jauh. Dia mengangguk. Puas hati. Hmm… sesuai sangat kalau dibuat model
iklan krim pengilat motor. Bukan dialah yang modelnya, tetapi tentu sahajalah Mat
Top, kan!
“ Haa… elok sangatlah tu. Bini tak mau cari! Rumah tak mau beli! Hari
cuti saja, asyik duk perati motor tu
saja!” Suara emak tiba-tiba bergegar macam halilintar.
Akmal terduduk di atas tar. Ternganga melihat emak
bercakap. Setiap kali emak bercakap, dagunya digerak-gerakkan ke kiri ke kanan.
Kemahiran yang emak dapat setelah berjiran dengan Mami Saira Banu sejak 10
tahun lalu.
Dia terdiam. Garu kepala yang
memanglah tidak gatal.
Aduh! Emak sudah lupa agaknya,
mereka bukan tinggal di kampong lagi. Ini apartment
kos rendah yang rumahnya sebelah menyebelah. Kalau bercakap kuat sedikit,
masing-masing boleh dengar. Bukan hanya orang sebelah, orang atas yang beberapa
tingkat itupun sudah pasti boleh mendengar suara emak. Terus dia buat isyarat
diam dengan membawa jari telunjuk ke bibir. Kemudian jari telunjuk itu jugalah
dia pusing-pusingkan keliling. Isyarat itu membuatkan emak menutup mulut.
Mengangguk dan terus menghilang ke dalam rumah.
Dia merenung pintu masuk ke ruang
kecil yang kini dia panggil rumah. Rumah bernombor 111 itu, dihuni bersama adik
perempuannya, Syuhada dan juga emaknya, Hajjah Melati. Ayah pula, sudah lama
pergi meninggalkan mereka. Rumah itu sedikit ketara kecilnya berbanding rumah
tinggalan ayah di Pulau Pinang. Tetapi syukurlah. Mujur ada rumah untuk
berteduh. Percuma pulak tu!
Apartment kecil 3 bilik itu,
sebenarnya milik Pak Ngah, adik emak.
Kebetulan ia kosong apabila arahan berpindah diterima Akmal. Kecilnya
sekadar cukup untuk dihuni 3 orang. Duduklah dahulu sementara mencari rumah
yang lebih besar. Yang lebih tidak sedapnya, Pak Ngah enggan menerima wang
sewa. Kata Pak Ngah, emak itulah satu-satunya kakak yang dia ada. Lagipun kata
Pak Ngah lagi, anak ‘menakan’, macam anak sendiri saja. Maka kecil-kecilpun… tetap
namanya rumah juga. Bersyukurlah! Besar kecilnya rumah, belum tentu menjamin
bahagia. Tak gitu?
“ Cuci motor pagi-pagi Ahad, nak
ke mana?” Suara Syuhada menyoalnya dari belakang.
Akmal berkalih. Melihat Syuhada
lengkap dengan dengan baju sukan sedang berkiam tangan merenung ke arahnya.
“ Jogging?”
“ Tak! Berenang.”
“ Cis!” Akmal percik air kotor
dari bekas mencuci motornya. Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak.
Syuhada menjerit. “ Kotorlah
abang!” Dia mengibas-ngibas tudung kepalanya.
“ Padan muka!”
Syuhada tersengih. “ Orang tanya,
abang nak ke mana? Cuci motor bagai…”
“ Nak ke Cyberjaya. Ada hal sikit
dengan kawan.”
“ Pukul berapa balik?”
“ Empat atau lima petang…
bergantung. Kenapa?”
“ Adik tak pergi mana, nak naik
kereta?”
“ Tak payahlah. Naik motor lebih macho.” Dia kenyit mata. Kereta Waja
milik dia itu memang sengaja dibeli untuk kemudahan Syuhada dan emak.
“ Uekkk! Nak muntah. Macolah
sangat.” Syuhada ketawa. “ Sebab maco tulah sampai la ni abang tak ada marka…”
Aik! Kena lagi dia? Tadi emak, sekarang
Syuhada pula? Tak boleh jadi ni…
“ Malangnya nasib badan. Asyik kena kutuk
sebab tak ada marka. Mat Top, kau
tengok budak Dada ni, dia pandang rendah dekat kita!”
“ Eleh! Macamlah Mat Top tu boleh
tolong abang. Dah tiga tahun abang dok usung Mat Top tu, satu marka pun tak sangkut.” Kenen Syuhada.
Dagunya bergerak macam cara emak bercakap tadi. Orang Pulau Pinanglah katakan…
Akmal buat muka sedih. Angkat tangan berdoa, “
ya Allah! Moga aku dan Mat Top terlanggar mana-mana perempuan dalam perjalanan
nanti. Dan akibat perlanggaran tu… hati kami bertaup, cinta kami bersemi dan
jodoh kami bersatu… Aminnn.” Dia menyapu muka. Tersengih memandang Syuhada.
“ Eee… gila ke apa abang pi doa
lagu tu?”
“ Hisy! Ini projek abang dengan
Mat Top. Cabar abang lagi!”
“ Itu bukan caranya menyahut
cabaran,” marah Syuhada menjegilkan matanya sebelum berlalu masuk ke rumah.
Akmal garu kepala. Betul juga!
Itu bukannya cara menyahut cabaran. Mahunya patah riuk Mat Top dalam perjalanan
nanti, habislah dia. Cinta dan sayangnya pada Mat Top, mengatasi cintanya pada
wanita. Kecualilah… dua orang wanita yang kat dalam rumah kecil di hadapannya.
Dua orang yang sentiasa menduduki
carta tertinggi di hatinya.
4 comments:
jalan cerita yang menarik.....cm misteri ja citer ni.....
Salam Sis Packy,
Waiting for your next 'baby'. Bougainvillea memang mendapat tempat di hati saya. Ingatkan penulisnya lelaki,sekali tengok.owh seorang wanita rupanya. Tahniah utk Bougainvillea...:)
Emyliana,
Terima kasih sudi singgah. Memang nak tulis cerita misteri... hopefully, menjadi. Ngee
AimieAfifah,
Thanks sebab sudi baca buku Kak Packy. Hehe... memang ramai yang agak penulis lelaki... Encik Sidique. Muahahaha...
Post a Comment