DUAN MENGELUH. Matanya dibawa memerhati deretan kaunter menjual tiket bas di Puduraya. Rasa mahu marah dengan diri sendiri, mahu aje hantukkan kepala ke salah satu tiang yang ada di situ. Tapi nak buat macam mana, benda sudah jadi. Dia buat muka sepuluh sen memandang Fendi yang sedang menggaru kepala.
Entah kenapa, dalam banyak-banyak
perkara penting yang Duan perlu ingat menjelang raya, dia terlupa tentang yang
satu ini. Lagi lima hari! Mana nak cari ni? Duan garu kepala lalu duduk
berteleku di kerusi menunggu yang hampir tercabut sandarnya.
“ Itulah kau! Sebelum aku pergi
kursus haritu, kan aku dah ingatkan kau!” Fendi yang berdiri di sebelahnya
tiba-tiba memulangkan ‘paku buah keras’.
“ Ya lah, aku mengaku, aku
silap. Aku terlupa. Asyik frust sebab Endon yang aku minat, sudah kena kebas
dengan si Zubir budak Pahang tu, buat aku lupa semua benda. Macam mana aku nak
balik kampong ni?”
“ Ulat tiket tak ada spare ke?”
“ Aku tak berani. Karang bukan
saja tak sampai, bas langsung tak ada. Free ajer aku sedekahkan kat dia orang.
Baik aku bagi anak yatim.”
“ Pulak!”
“ KAU BELI banyak-banyak macam
ni? Macam mana nak bawa balik?” Soal Awe teman serumah yang asalnya dari
Kelantan. Belum sempat Duan menjawab, awe tiba-tiba ketawa menekan
perut.
Duan hanya menahan geram. Kalau
tak kenangkan yang Awe sudah setuju mahu pinjamkan motor untuk dia balik ke kampung,
tentu dia sudah debik buang dua tiga das. Boleh gelakkan orang, sampai
terguling-guling di atas lantai. Fendi yang sedang merokok di sebelahnya, hanya
tersengih melihat gelagat Awe.
“ Kau ingat baju raya mak dan adik-adik kau.
Kau ingat nak beli kueh raya segala… yang kau tak ingat nak beli tiket tu, apa
kes sebenarnya?” Soal Awe sambil ketawa lagi.
Duan julingkan mata. Terpaksalah
dia menahan telinga.
“ Mana tak lupa, Endon yang dia
angaukan tu, dah sah jadi makwe si Zubir budak ofis dia tu. Haa… melayan hati
lara, sampai lupa beli tiket bas.” Fendi menyampuk. Sukarela aje mahu jadi
wartawan tak berbayar.
“ Kisahnya… tu lah! Lain kali
kalau sukakan seseorang, make a move!
Jangan dok angau dari jauh jer. Endon tu, bukannya dia tahupun kau sukakan dia!”
Awe sudah keluarkan petua cinta yang sememangnya penuh di dadanya.
“ Aku tahu. Salah aku. Tapi, kau
serius ke nak pinjamkan aku motor kau tu?”
“ Ambillah. Aku balik dengan
abang aku. Tapi janji dengan aku, kau jaga dia baik-baik tau. Satu calar, aku
cas lima puluh ringgit. Tau!”
“ Mak ai! Mahalnya. Kopak aku
nanti.”
“ Kau nak ke tak?”
“ Mestilah nak. Jangan risau!
Aku bawa pelan-pelan. Sampai jer kat kampong tu, terus aku selimutkan dia bawah
rumah. Aku lebih rela beraya pakai kaki daripada menambah calar kat motor kau
ni.”
“ Haa… tau takper!” Awe
tersengih panjang sebelum dia tiba-tiba buat muka hairan.
“ Bab balik kampong dah settle. Tapi, takkan kau nak usung
barang-barang ni naik motor aku tu?”
“ Yang itupun dah settle. Aku tolong dia. Kami kan, selalu
balik raya bersama. Tahun ni aje dia tak dapat cuti awal. Aku balik awal dua
hari dari dia… jadi aku tolong deliver
kat rumah dia. Ada la peluang aku bertentang mata dengan adik dia yang macam
Wawa Zainal tu. Aku ni rela berkorban demi abang ipar aku ni.” Fendi yang asyik
tersengih dari tadi, mencelah.
Amboi! Ada hati mahu jadi adik
ipar dia pula. Buah hati yang Fendi selalu usung naik kereta tu, mahu letak di
mana? Duan tunjuk penumbuk sebiji, membuatkan Fendi dan Awe gelak besar macam
orang lupa dunia.
MALAM INI MALAM RAYA. Lebuhraya
Utara Selatan sudah tidak sesibuk hari-hari sebelum raya, Duan menyusur bahagian tepi
lebuhraya dengan kelajuan yang sederhana. Menunggang motosikal pinjam-pinjaman
begini, kenalah lebih berhati-hati. Hujan yang sejak tadi sekadar rintik-rintik
halus, kini sudah beransur lebat. Segera dia membelok ke arah hentian kecil
untuk penunggang motosikal yang dibina di sisi lebuhraya. Kebetulan sungguh, Ia
seperti wujud tepat sahaja pada waktunya. Dia memberhentikan motosikalnya lalu
berlari mencari perlindungan di bawah binaan berbumbung. Hairan! Kenapalah
motosikal yang lain hanya meneruskan perjalanan. Kalis air agaknya badan mereka
itu.
Duan melabuhkan punggong. Mengeluh. Sepatutnya,
dia sudah berada di rumah dan menolong emak membuat persiapan hari raya. Dia
abang yang sulung dan satu-satunya lelaki di dalam keluarga sejak ayah pergi
meninggalkan mereka. Selalunya kerja-kerja berat dan yang perlu panjat-memanjat,
dialah yang akan lakukan. Entah macam manalah emak dengan Angah lakukan tanpa
dia. Sebak pula rasa di hati.
Sedih itu, memanglah tidak dapat
dinafikan, tetapi dia bersyukur sangat-sangat kerana masih dapat pulang ke kampong
walaupun di saat-saat akhir. Itulah gunanya kawan-kawan dan dia memang sangat
bertuah mempunyai sahabat merangkap rakan serumah yang sedia menghulurkan
pertolongan seperti Fendi dan Awe.
Cahaya lampu dari sebuah
motosikal membelok masuk ke arahnya membuat dia merasa lega.
Sekurang-kurangnya, ada juga teman mahu di bawa berbual sementara menunggu
hujan berhenti.
Sebaik menghampirinya,
penunggang itu menanggalkan topi keledar berpenutup penuh. Hampir tersentak
Duan apabila rambut panjang mengurai, jatuh melepasi bahu pemakainya. Saat topi
keledar di tarik ke kiri, uraian rambut turut jatuh berayun ke kanan. Saling
tak tumpah seperti iklan syampo yang selalu dia tonton di televisyen.
Perempuan rupanya. Dan, perempuan
itu menghadiahkan senyuman yang sangat manis untuk dia.
Cantik! Duan terkesima. Wajahnya
bujur sirih dan putih bersih. Setiap kali dia tersenyum, terserlah lesung pipit
terbenam di pipi kanannya.
“ Boleh tumpang berteduh?”
Gulp! Duan menelan air liur.
Merdunya suara!
“ Bo.. boleh. Ini harta
kerajaan. Bukan harta saya.”
“ Terima kasih.” Perempuan itu
menyapu seluarnya yang basah separuh. “ Dah lama berhenti?”
“ Baru aje. Beraninya awak balik
kampong naik motor malam-malam macam ni. Tak takut ke?”
“ Takut juga. Tapi saya
terpaksa. Tiket bas dah habis.”
“ Senasiblah dengan saya.” Duan
ketawa kecil. Matanya menangkap imej seurat gelang emas di tangan kanan
perempuan itu. Beraninya! Sudahlah pulang beraya naik motosikal bersaorangan,
siap tayang gelang emas besar pula di tangan. Memang mengundang bahaya
betullah. Sudahlah tuan badan pun cantik yang amat!
“ Gelang tu, kenapa tak simpan
aje dalam beg. Bahaya.”
“ Oh! Ini gelang untuk mak saya.
Nak simpan takut ada orang curi beg saya. Sudahnya, saya pakai di tangan. Tak
apa, saya lindung dengan sweater.”
Duan geleng kepala. “ Masih
bahaya. Kalau saya, saya simpan dalam beg atau kocek.”
Perempuan itu hanya tersenyum. “Terima
kasih, saya ikut nasihat awak,” balasnya sambil mengeluarkan gelang dari tangan
lalu memasukkannya ke dalam bekas khas yang dia keluarkan dari dalam beg.
“ Puas hati?” Soalnya sebaik
semua selesai. Duan mengangguk sambil ketawa.
Mereka mula berbual tentang
banyak perkara. Perempuan itu memperkenalkan dirinya sebagai Nadia. Cantik
namanya… secantik orangnya. Rupanya dia staf di UITM Shah Alam. Orang Kepala
Batas.
“ Saya orang Sungai Petani.
Selalu juga pi Kepala Batas tu. Rumah kawan saya dekat Taman Bertam Permai.
“ Eh! Ye ke? Rumah saya dekat
aje dengan Bertam Permai. Kalau awak selalu ke sana, awak perasan tak rumah kampong
berbumbung biru sebelah surau baru buat tu? Dekat dengan Char Koew Teow
Terowong tu?”
Duan mengangguk. Manakan tidak perasan. Dia selalu lepak dengan Pizi
dekat gerai char koew teow itulah.
“ Tu lah rumah saya. Lain kali,
kalau awak lalu situ, singgah tau! Ceh! Macamlah saya ada kalau awak singgah
pun, kan!” Nadia tersengih. Lesung pipitnya ketara lagi.
Duan tersengih. Entah kenapa,
dia terasa seperti jatuh cinta berkali-kali hanya untuk malam itu saja. Nama
Endon tiba-tiba hilang dari ingatan. Sejak pertama kali memandang Nadia tadi,
entah berapa kali hatinya cedera dipanah kilat asmara. Segala yang ada tentang
Nadia semuanya menarik hatinya. Bagus juga kalau pertemuan ini boleh
dipanjangkan menjadi persahabatan. Untung-untung, boleh pula berkongsi hidup suatu
hari nanti.
“ Berangan sampai ke mana?” Duan
terkejut dengan soalan Nadia yang tiba-tiba.
“ Oh! Maaf. Saya tengah fikir.
Apa salahnya, kalau senang-senang, saya singgah rumah awak. Kalau awak tak ada,
saya kenalkanlah diri dengan mak awak. Mungkin boleh kenalkan diri sebagai
kawan lelaki awak?” Duan kenyit mata, Perkataan lelaki itu, dia iringi dengan
membuat koma dengan jari. Kali ini, dia tidak mahu simpan perasaan lagi. Ilmu
yang Awe perturunkan, dia mahu gunakan tanpa was-was.
“ Nadia tersenyum malu. Muka
berubah sedih tiba-tiba. “ Kalaulah saya berjumpa awak lebih awal…”
“ Awak dah ada yang punya ke?
Maaflah! Saya terlebih bergurau.”
“ Tak apa. Saya ngantuk la.
Hujan pun, macam tak ada tanda mahu berhenti. Saya nak lelapkan mata sekejap.”
Sehabis ayat itu, Nadia sandarkan kepala di tiang dan terus lelapkan mata. Soalan
Duan yang terakhir itu, dibiarkan tidak berjawab.
Melihat Nadia mula melelapkan
mata, Duan turut melakukan perkara yang sama. Entah bila dia betul-betul
terlelap dia sendiri tidak pasti.
Apabila dia tersedar. Hujan
sudah berhenti. Kelibat Nadia sudah tiada. Segera dia kemaskan barang-barangnya
dan bergerak menghampiri motosikal Awe. Dia tiba-tiba tersepak sesuatu lalu
tunduk melihat.
Bekas gelang kepunyaan Nadia.
Dia membukanya. Sah! Gelang emas berkerawang yang Nadia pakai tadi masih ada di
dalamnya. Dia tersenyum. Mengetuk-ngetuk bekas itu di tangan. Nampaknya,
pertemuan dengan Nadia tidak sampai di situ sahaja. Kini dia ada sebab kuat
untuk bertamu ke rumah Nadia di hari raya nanti.
“ KAU PASTI KE RUMAH INI?” Soal
Pizi dengan muka takut-takut.
“ Pasti! Dia cakap, rumah
bumbung biru, tepi surau.”
“ Hisy! Aku seganlah. Rumah ni,
kalau hari raya, sentiasa ramai orang. Kereta besar-besar. Kata kawan aku yang
memang asal orang sini. Anak tuan rumah ni, kerjanya besar-besar.”
“ Nadia tu, staf kat UITM jer.”
“ Kau taknak fikir dua kali ke.
Nak pergi gadai ke gelang tu…” usik Pizi sambil tersengih macam kerang busuk.
“ Banyaklah kau punya gadai. Mak
aku yang minta aku hantar jugak-jugak hari ni. Barang orang, tak baik simpan
lama-lama katanya.”
“ Ye lah! Berilah salam!” Pizi
tolak Duan ke depan.
Duan beranikan diri memberi
salam. Selepas dua kali, seorang gadis muncul. Ada mirip Nadia, tetapi nampak
lebih muda. Mungkin adik Nadia barangkali.
“ Wa’alaikum salam. Jemputlah
masuk! Nak cari siapa ya?”
“ Nak jumpa Nadia. Kami kawan
Nadia.”
Ayat itu, buat muka gadis tu
berubah. “ Erk! Duduklah dulu. Saya panggilkan mak sekejap.” Gadis itu
menghilang di sebalik tirai berwarna merah hati.
“ Aku nak jumpa Nadia, bukan
emak Nadia. Kau dengar tak? Dia kata nak panggilkan emak?” Duan kemut-kemutkan
hidung.
“ Alah tak apa. Anggap aje kau
tu nak jumpa bakal mak mertua. Masa kau bercerita tentang Nadia semalam, sampai
perancangan nak pinang dia kalau dia masih solo. Ni kira peluanglah ni. Kau
sendiri cakap yang kau tak mahu simpan rasa macam dulu, senang cerita… kau bagi
tahu mak dia terus yang kau serius dengan anak dia. Kau…” ayat panjang lebar
Pizi itu, terhenti apabila seorang perempuan tua muncul.
Duan dan Pizi bangun berdiri.
Menundukkan badan sedikit, tanda hormat. Ibu Nadia melabuhkan punggung di sofa
bertentangan. Gadis yang mirip Nadia masih berdiri di sisi sofa tersebut.
“ Katanya, anak ni… kawan Nadia?”
Tanya Ibu Nadia kepada Pizi.
Pizi geleng kepala. “ Bukan saya
makcik. Kawan saya ni… dia yang kenal Nadia.”
“ Dah berapa lama kenal Nadia?”
“ Dua hari lepas saja makcik.
Maaflah… macam tak ada adat saya ni. Baru kenal, dah berkunjung ke rumah orang.
Tapi, saya cuma nak pulangkan barang dia yang tertinggal semasa kami sama-sama
berhenti di lebuhraya malam raya baru ni.” Duan keluarkan bekas gelang dari
dalam beg sandangnya lalu menghulurkan kepada Ibu Nadia.
Terketar-ketar tangan Ibu Nadia
menyambutnya. Dia tiba-tiba menangis. Dia serahkan bekas itu kepada adik Nadia
yang kini sudah duduk di sofa bersebelahan. Kotak itu dibuka perlahan… lalu dia
mengangguk perlahan apabila melihat isinya.
“ Sama… sama macam gambar yang
kakak BBM pada adik.” Airmata turun dari matanya macam air terjun.
“ Ambilkan fail kat dalam bilik
mak,”
Adik Nadia bangun lalu
menghilang di sebalik tirai warna merah hati lagi sekali.
“ Semasa berjumpa Nadia, boleh
terangkan dia macam mana?”
Soalan itu kedengaran pelik.
Namun Duan tetap menjawab sambil tersenyum. Segala pemerhatiannya tentang Nadia
dan apa yang mereka bualkan, semuanya diceritakan kepada ibu Nadia.
Ibu Nadia melepaskan nafas
berat. Fail yang dibawa keluar seperti yang diarahkan, kini berada di tangan
ibu Nadia.
“ Ridzuan. Makcik mahu Ridzuan
baca apa yang ada di dalam fail ni. Sebelum tu, makcik nak minta Ridzuan
istighfar banyak-banyak. Makcik percaya, segala yang terjadi, adalah dengan
keizinan dari Yang Maha Esa.”
Fail bertukar tangan. Dengan
lafaz biamillah, Duan membuka fail itu dengan tangan terketar-ketar. Pizi
mengendeng di sebelahnya. Keratan akhbar bertarikh tiga tahun lepas menyambut
pandangannya. Tajuk yang tertera di atasnya membuatkan dadanya berdebar laju;
'Tragedi raya. Kontena hilang
kawalan. Gadis sedang berteduh maut dilanggar'
Duan terus membaca walaupun dia
sebenar sudah dapat mengagak apa isi berita seterusnya. Nama Nadia disebut beberapa
kali di situ. Dia menyelak beberapa helaian seterusnya lalu membaca berita yang
hampir sama. Sesekali dia dan Pizi berpandangan.
Dia akhirnya melepaskan nafas
berat sebelum mengangkat muka. Matanya bertentang dengan ibu Nadia.
“ Susah saya nak percaya.
Segalanya masih jelas. Kami berbual…” Duan gagal menghabiskan ayat. Terus
menggeleng kepala.
“ Dia meninggal serta-merta di
tempat kejadian. Gelang tu… dia belikan untuk mak. Dia ada BBM saya imejnya. Itu
janji dia untuk hadiah hari lahir mak. Kami cuba juga mencari di sekitar tempat
kemalangan. Tapi tak berjumpa. Kami anggap bukan rezeki. Tak sangka… ia
akhirnya kembali kepada yang hak.” Adik Nadia mengulas. Dia mengenggam tangan
ibunya.
“ Terima kasih atas sifat amanah
Ridzuan. Makcik yakin Ridzuan lelaki yang baik. Bertuahlah sesiapa sahaja yang
bertemu jodoh dengan Ridzuan.” Kata-kata Ibu Nadia, membuatkan Duan menggaru
kepala.
“ Dia sebenarnya, sudah jatuh
cinta dengan anak makcik malam tu…” Pizi tiba-tiba mencelah.
Gulp! Duan telan air liur. Dia
jegilkan mata ke arah Pizi yang sedang pura-pura memandang siling rumah.
“ Nadia anak yang baik. Anak
yang cantik. Ramai yang sudah jatuh hati padanya. Cuma umurnya sahaja yang tak
panjang. Makcik bertuah! Walau Nadia sudah tiada, makcik masih ada Natasya. Dia
juga anak yang baik. Anak yang cantik macam kakaknya.” Ucap ibu Nadia penuh
yakin.
Duan beranikan diri memandang ke
arah Natasya. Pandangan mereka bertemu. Duan tersenyum segaris. Natasya
membalas dengan senyuman berhias lesung pipit di pipi kanannya. Terasa seperti
Nadia sedang tersenyum kepadanya.
Duan ketawa. Gurau Fendi itu, ada benarnya.
“ Cantiknya hantu yang kau jumpa tu!” Itu komen Awe sebaik
sahaja Duan habis bercerita.
“ Kenapa? Kau nak jumpa juga ke?”
Duan menduga.
“ Hisy! Tak mahulah aku. Lagipun
aku tak balik jalan tu. Kau kasi kat Fendi ajelah. Itu jalan korang berdua,”
Fendi ketawa mendengar jawapan
Awe.
“ Nak tahu? Hentian motosikal tu
sebenarnya, tak pernah dibina semula selepas kejadian tu. Yang aku nampak malam
tu, sekadar permainan makhluk halus.” Duan menyambung ceritanya. Tersengih
sebentar melihat Awe dengan aksi merindingnya.
“ Seram pulak aku dengar.”
“ Dan lagi satu, bila aku
google, sebenarnya… dah ramai yang kena macam aku ni. Cumanya… kebanyakannya
cuba mengambil kesempatan. Ada yang cuba mencuri gelang tu ketika Nadia tidur.
Ada yang cuba buat tak senonoh padanya. Kesudahan yang itu, mereka memang kena
usik kaw-kaw punya. Mujur aku ni lelaki budiman,” gurau Duan tersengih
memandang kedua sahabatnya.
“ Kau memberi dan menerima
sebenarnya,” celah Fendi.
“ Kenapa kau kata macam tu?”
“ Kau tolong Nadia pulangkan
gelang mak dia. Dia pulak bawa kau berjumpa adik dia. Tak gitu? Wallahhua'lam.”
“ Shasha? Masih terlalu awallah.”
“ Awal konon! Kalau terlepas
karang… aku takut tahun depan, kau terlupa beli tiket lagi. Tak tahulah masa tu
kau nak jumpa siapa,” komen Fendi.
1 comment:
Heee...saya agak mesti ade misteri lagi seram.. betul rupanya.. =)
Post a Comment