Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, October 2, 2014

NOMBOR 23 - PROLOG


Di dalam bilik di sebuah pusat jagaan mental…

SEORANG PEREMPUAN terkejut dari tidurnya secara tiba-tiba. Dia menjerit-jerit memanggil nama anaknya. Gagal melihat orang yang dicarinya, dia bangun dari katil lalu cuba membuka pintu. Pintu berkunci.

Dia menjerit lagi… lalu berlari ke arah tingkap. Tingkap itu berjaring besi. Tentu sahaja dia tak mampu membukanya. Jeritannya kedengaran lagi, kali ini lebih nyaring. Dia menggaru-garu kepala dan rambutnya mula berserabut. Tak sampai lima minit, seorang doktor lelaki dan pembantunya segera menerjah masuk ke dalam bilik itu. Mereka cuba untuk mententeramkan keadaannya.

Perempuan itu terus meratap dan meronta tanpa henti.

Setelah berhempas-pulas, doktor berjaya membaringkannya lalu memberikannya satu suntikan. Rontaan dan ratapan itu menjadi semakin kendur selepas itu. Dia kembali menutup matanya dan terus senyap selepas beberapa minit kemudian.

Doktor itu meneruskan kerjanya dengan memeriksa keadaan wanita itu. Dia hanya berhenti selepas dia benar-benar berpuas hati. Dia menyelimut batang tubuh wanita itu dan memandang ke arah wanita itu dengan penuh rasa simpati.

“ Dah okay nampaknya, Dr Farid.” Kata pembantunya, melepaskan nafas kelegaan.

Doktor yang bernama Farid itu mengangguk kepala.

 “ Mizi, saya keluar dulu. Ada apa-apa kecemasan, panggil saya.” Arah doktor itu kepada pembantunya.

Pembantu yang bernama Mizi itu mengangguk. Nafasnya masih tercungap-cungap akibat pergelutan dengan pesakit tadi.

Sebaik menerima anggukan, Dr. Farid berlalu keluar.

Mizi menunggu sehingga pintu mengeluarkan bunyi ‘klik’. Setelah yakin Dr Farid sudah berlalu, dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu terus membuat panggilan. Sesekali dia kembali menoleh kepala ke arah pintu. Dia perlu lebih berhati-hati kerana beberapa hari lepas, Dr. Farid ada menggambarkan kesangsian hatinya tentang perkembangan kesihatan pesakitnya ini. Kata Dr Farid, dia hairan kerana tidak seperti kes-kes lain, pesakit ini langsung tidak menunjukkan perkembangan positif.

Dia menunggu beberapa saat sebelum mula bercakap…

“ Dia menjerit. Ya… dia panggil nama anaknya. Nampak macam dia teringat sesuatu.” Mizi  berhenti sebentar, menjengok ke arah pintu. Risau jika Dr Farid  tiba-tiba muncul di sebalik  pintu itu semula.

Mizi mengangguk-angguk apabila mendengar orang di sebelah sana berkata sesuatu.

” Ya. Saya tahu… ubat tu masih dalam simpanan saya. Sudah lebih seminggu saya berikan pada dia, dia nampak kembali murung. Saya akan berikan padanya bila ada peluang. Jangan risau! Saya tahu kerja saya.”

Dia terdiam lagi seketika. Mendengar lagi.

“ Ya! Baiklah… saya faham. Saya akan hubungi dari masa ke semasa jika ada perkembangan terbaru.”
 
Mengangguk lagi. Kemudian diam dan mendengar.

“ Baik!” Dia akhirnya mematikan talian.

Dia berhenti sebentar memandang pesakit yang masih tidak sedarkan diri di atas katil. Dia tahu apa yang dia buat itu salah… namun apa boleh buat, hanya inilah cara yang dia ada untuk menjamin sumber keewangannya tidak putus.

“ Maaf! Aku terpaksa…” bisiknya perlahan. Dia memasukkan telefon di dalam kocek bajunya.

Tanpa dia sedar, segala perbuatan dan perbualannya tadi telah diperhatian dari sebalik celah pintu yang sedikit terbuka.

Perlahan-lahan pintu ditutup kembali…

Tidak lama selepas itu, telefon Mizi tiba-tiba berbunyi. Dia terkejut. Mengintai skrin lalu menjawab…

“ Ya… baik. Saya ke sana segera.”

Kalut dia bergerak keluar. Akibat tergopoh-gapah, dia terlupa menutup pintu. Dia bergerak melalui koridor, memasuki lif lalu menekan butang untuk turun ke tingkat 2. Namun tak sampai separuh jalan, mukanya tiba-tiba bertukar resah. Dia baru tersedar… dia terlupa melakukan sesuatu.

Segera dia berpatah balik. Berlari-lari anak di sepanjang koridor. Beberapa meter sebelum sampai ke bilik rawatan tadi, dia mula memperlahankan langkah. Muka berubah pucat…

Pintu bilik tersebut ternganga.

Mizi menjengah ke dalam. Dia tersandar di dinding bilik sebaik melihat katil itu sudah kosong.

Matilah dia kali ini.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU