Ibu Pejabat Polis Daerah, Shah Alam.
ASISTANCE SUPERINTENDENT POLICE (ASP) AKMAL FIRDAUS berdiri
memandang rakan sekerja dihadapannya. Melihat Tuan Bakarin dan Tuan Zulfakri sedang
berpandangan. Dan antara yang ramai itu, ada Inspektor Budin, Sarjan Yaakob, Detektif
Rama, Detektif Mat Pet yang juga berasal dari Pulau Pinang dan beberapa anggota
polis yang lain. Kesemuanya sedang menunggu dia menyambung penerangan kes yang
terhenti tiba-tiba kerana terasa sesak di kepala. Dengan menggunakan jejarinya
dia menolak rambutnya ke belakang. Kemudian memicit bahagian tengah kepala.
Sakit kepalanya kebelakangan ini… seperti payah mahu hilang. Bunyi dia sendawa
angin tiba-tiba memecah kesunyian.
“ Ops! Maaf… makin banyak angin
sejak kebelakangan ni,” ucap Akmal dengan muka selamba.
“ Nasib baik keluar ikut sendawa,
kalau keluar ikut bawah… mahu pengsan habis kami kat sini,” gurau Sarjan
Yaakob.
DSP Bakarin (Deputy Superintendant Police) tersenyum sumbing.
“ Kata Inspektor Budin, kamu
diserang sakit kepala dua kali semasa di lapangan beberapa hari lepas. Sampai
pengsan! Kamu dah jumpa doktor? Ini kes penting, melibatkan VVIP. Saya tak mahu
masalah kesihatan kamu mengganggu siasatan. Polis apa lembik sangat macam tu!
Nanti saya juga nak kena menjawab dengan bos besar kat atas nun...” DSP Zul
mencerlung ke arah Akmal.
“ Sudah, tuan! Dah jumpa kawan
saya, doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Dia ada advice saya buat beberapa ujian. Saya ni, sebenarnya… memang ada
masalah migrain sejak zaman Tok Nadok lagi. Sejak pindah kemari, jadi semakin
teruk pulak. Mungkin faktor cuaca yang tersangat panas kebelakangan ni. Tapi
tuan jangan risau. Insya-ALLAH! Saya masih boleh kerja.” Akmal angkat tangan gaya orang
bersumpah.
DSP Zul mengangguk. Dia kembali
melihat lakaran yang dibuat Akmal pada papan putih. Lakaran tentang kedudukan
mangsa bunuh, lokasi bahan bukti dan kawasan sekitarnya. Lama dia meneliti
sebelum menggeleng kepala.
“ Siapa kena tembak dulu, Datuk
Khairel atau mangsa?”
“ Kalau ikut apa yang diceritakan,
mangsa kena tembak dulu. Tembakan kedua rasanya ditujukan pada kucing yang mati
tu. Yang ketiga tersasar mengenai Datuk,” celah Inspektor Budin.
“ Something is wrong somewhere!” DSP Zul menggeleng.
ASP Bakarin kembali menyorot
lakaran di papan putih, kemudian pada gambar di tangannya. Dia mengangguk
perlahan.
“ Itulah yang saya rasa, memang ada
yang tak kena. Kedudukan mayat mangsa tak selari dengan cerita saksi kita.
Begitu jugak dengan kesan tembakan di badan mangsa.” Akmal mengiyakan
kesangsian ketuanya.
Dia masih ingat, kalau mengikut
imej imbasan yang dia nampak, mangsa tembakan berdiri mengadap jalan. Tetapi
takkanlah mahu ceritakan tentang itu? Seboleh
mungkin, imbasan yang dia nampak, biarlah menjadi rahsia dia seorang. Mana
mungkin ada yang percaya. Kemungkinan untuk kena gelak lagi tu… adalah! Maka
kalau ikut logik, tembakan dari depan… akan menyebabkan peluru tembus dari depan. Namun dia juga tahu… dalam
keadaan panik dan kelam-kabut, macam-macam boleh terjadi.
Akmal mula menconteng…
“ Mengikut teori kami, kalau
dilihat dari kedudukan kereta dan maklumat yang diperolehi, Datuk akan keluar
dari sini.” Dia melukis anak panah bermula dari tempat duduk sebelah kiri
kereta ke arah kiri pintu pagar. “ Menurut kata saksi, mangsa menunggu di hadapan
pintu pagar. Jadi kedudukan mangsa mengadap jalan, sedangkan Datuk membelakangi
jalan.” Akmal menconteng lagi.
DSP Zul mengangguk, “ saya
setuju.”
“ Kata pemandu, mangsa approach Datuk. Ketika mangsa baru mula
hendak bercakap, tembakan dilepaskan. Mereka tak perasan apa yang jadi lepas tu
sebab mereka sibuk mahu selamatkan Datuk. Yang lebih pelik, peluru sebenarnya tertanam
di dada kiri mangsa dari arah belakang, bukan depan. Ia tepat mengenai jantung
dan terus membunuh mangsa. Maksudnya… mangsa sebenarnya yang membelakangi
penembak, bukan Datuk.” Akmal memberikan perincian.
“ Itu yang saya nampak sebenarnya. Rakaman
CCTV, macam mana?” DSP Zul mencelah.
“ Kameranya dirosakkan. Kebetulan
pula, kata ketua security… mereka
terlupa nak on CCTV, jadi rekod rakaman sebelum detik tu pun, tak dapat kita
tengok sebagai rujukan.” Inspektor Budin menjawab bagi pihak Akmal.
“Looks
like they are hiding something? ASP Bakarin mengetuk meja perlahan.
“ Betul tu. Macam ada yang cuba
palsukan bukti, hala siasatan kita ke arah lain.” DSP Zul nampak kurang senang
dengan permulaan kes yang begini.
“ Okay, begini tuan, saya dan Akmal akan cuba
temubual Datuk. Inspektor Budin! Awak soal pembantu peribadi Datuk. Sarjan
Yaakob boleh soal siasat pemandu Datuk. Kita tengok samada cerita mereka selari
atau tidak. Sementara tu, yang lain-lain cuba dapatkan maklumat dari informer
awak. Kalau ini melibatkan pembunuh upahan, semestinya akan ada orang yang
terdengar sesuatu. Kamu tahu kat mana nak cari info macam ni, kan?” ASP Bakarin
mula menentukan tugas yang perlu mereka laksanakan.
“ Baik, Tuan!” Mereka menjawab
serentak.
“ Lagi satu, dah dapat jenis
senjata?”
“ Dah dapat. Kelongsong peluru
dari senjata jenis Smith and Wesson.”
Tuan Bakarin mengangguk kepala.
Hidungnya terkemut-kemut tiba-tiba. Seperti orang terhidu sesuatu. DSP Zul juga
kelihatan resah. Jarinya dibawa menutup hidung.
Akmal juga terhidu sesuatu yang
busuk. Macam bau kentut. Hisy! Memang
bau kentut ke? Siapa yang melepaskan bom atom tahap loji kumbahan macam ini? Dia
memandang semua orang di depannya. Ada yang mengemut hidung dan ada juga yang
sedang menutup hidung dengan jari.
“ Siapa yang kentut ni? Tahap bau
loji kumbahan ni!” Ayat itu keluar dari mulut Akmal tanpa sedar.
“ Ya, siapa yang punya angkara
ni?” DSP Zul bangun lalu keluar dari bilik mesyuarat diikuti oleh ASP Bakarin.
Yang lain-lain menurut kemudiannya. Tercungap-cungap mereka menarik nafas
apabila sampai di luar.
“ Jen, awak masuk tutup aircond
dan buka tingkap.” Arah ASP Bakarin.
“ Saya tuan? Hisy! Kalau saya pengsan kat dalam tu, siapa nak jawab?”
“ Jawab sendirilah, Jen,’ celah
Inspektor Budin diiringi ketawa semua orang.
“ Sebab mulut kamu cabul sangat
cakap pasal kentut tadi, jadi… kamulah orang yang paling sesuai.” DSP Zul
mencelah. “ Saya minta diri dulu. Tuan Bakarin akan teruskan dengan kamu nanti.
Sebaik DSP Zul berlalu, mata
semua orang menghala ke arah Sarjan Yaakob, maka dia memang tiada pilihan. “
Tuan Akmal, tadi angin sendawa bukan main, bukan tuan punya angin ke yang
keluar ni?”
“ Yang saya tahu, bau tu mula
dari tempat kamu-kamu. Saya yang akhir sekali terperasan bau tu. Takkanlah saya
pula,” balas Akmal. Ya, dia memang tahu bukan dia sendiri yang melepaskan bau
busuk itu.
“ Tunggu apa lagi Jen?” Usik
Akmal.
Sarjan Yaakob mengangkat tangan
seperti orang sedang berdoa sebelum masuk ke dalam. Tidak sampai 5 minit, dia
keluar semula dengan aksi seperti orang tercekik leher hingga membuatkan semua
orang ketawa.
Sepuluh minit kemudian, mereka
kembali mengambil tempat duduk seperti sebelumnya. Misteri siapakah yang sudah
melepaskan bom atom itu masih belum terjawab. Siapapun yang melakukannya,
sangat pandai menyembunyikan riak mukanya.
“ Kat mana kita tadi?” Soal ASP
Bakarin.
“ Peluru dikenalpasti dari pistol
Smith and Wesson.” Akmal mengulangi ayat terakhir yang mereka bincangkan
sebelum ini.
“ Maklumat tentang mangsa?”
“ Belum, Tuan! Sedang diusahakan.
Sudahpun buat semakan dengan laporan ‘orang hilang’. Juga sudah cuba trace cap jari mangsa, belum ada padanan
dengan kes-kes sebelumnya. Nampaknya, dia tiada rekod jenayah. Kita sedang cek
dengan Jabatan Pendaftaran Negara.”
“ Sudahlah kita tak ada suspek.
Info kitapun macam banyak tanda soalnya. Kalau macam tu, kita bersurai di sini.
Akmal, lepas lunch nanti… kita ke
hospital”
“ Baik, Tuan.” Akmal mengangguk.
Sebaik ASP Bakarin bergerak ke
pintu, anggota lain pun, turut bangun dan bercakap sesama sendiri.
Masing-masing tuduh-menuduh tentang isu kentut tadi.
“ Lagi satu!” Suara ASP Bakarin
bercakap dari muka pintu.
“ Ya, tuan!” Sahut Akmal. Yang
lain-lain tegak menunggu ASP Bakarin menyambung.
“ Selain kes TNK ni… TNK stands for Teratak Nur Karmila, okay?”
Dia melihat orang bawahannya mengangguk. “ Tuan Zul arahkan kamu semua
selesaikan satu lagi kes.”
“ Isy! Ada kes baru ke, tuan?”
Tingkah Sarjan Yaakob.
“ Ya… kes siapa tuan punya kentut
tahap loji tu.” ASP Bakarin tersengih di hujung ayat. Semua yang mendengar,
ketawa kuat. Gamat sungguh bunyinya.
“ Kalau dapat tangkap, kita nak
denda dia buat apa, tuan?” Detektif Mat Pet galak menyampuk. Tersengih macam
kerang busuk.
“ Kita paksa dia belanja kita
makan tengahari di kedai mamak. Kita pilih hanya udang dan sotong besar-besar.
Setuju?”
“ Setuju, tuan!”
Gamat bunyi gelak ketawa mereka
selepas itu. Akmal tersengih. Dia tidak tahu mahu mengagak itu angkara siapa.
Yang dia tahu, akan tirislah kocek siapa yang berkenaan itu kalau tembelang
orang itu pecah nanti.
2 comments:
Cite ni ade undur mistik ye??tertanya2...ternanti...tumb up writer
Unsur mistiknya dalam 20 persen saja agaknya, yang lain2 tu more to misteri dan penyiasatan...
Post a Comment