TENGKU FARHAN menghempas punggung di kerusi empuk
pejabatnya. Henyakan itu membuatkan tangannya yang masih terpasang anduh, sakit
berdenyut. Kedengaran bunyi mengaduh keluar perlahan dari bibirnya. Mukanya
berkerut. Kesakitan itu membuatkan keinginannya semakin kuat untuk mencari
gadis yang telah menyelamatkan nyawanya dua minggu lepas.
Dia masih ingat gadis itu.
Walaupun kecil molek, khudrat dan semangat gadis itu mengheret dia keluar dari
kereta yang sedang terbakar, sangat mengkagumkan. Mereka hanya berselisih maut
apabila berjaya keluar dan bergerak menjauh. Sekelip mata, satu letupan kuat
kedengaran dari belakang yang mencampakkan mereka ke dalam longkang dan
sekaligus menamatkan riwayat BMW kesayangannya.
Tompokan darah mengotori
bajunya. Itu yang dia nampak sebaik mengagahkan diri bangun dari dalam longkang
besar dengan kedudukan badannya menghempap badan gadis itu. Mujur longkang itu
kering. Sangkanya itu luka yang dia alami sebelum tersedar yang lengan gadis
itulah yang terluka dalam garisan yang memanjang seperti disiat pisau.
“ Tangan kamu… luka teruk.”
“Mungkin terkena bingkai cermin
tadi …” balas gadis itu.
Dan dia masih ingat wajah itu,
mata itu dan lesung pipit yang dalam terbenam ketika gadis itu memaksa dirinya
untuk tersenyum.
Hanya itu. Tanpa nama dan tanpa
apa-apa yang membolehkan dia mencari gadis itu untuk menyatakan rasa terima
kasihnya yang tak terhingga. Sedar-sedar, kelibat gadis itu hilang disaat
ramainya manusia yang mengerumuni tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.
Bunyi pintu diketuk dari luar
mematikan lamunannya.
“ Masuk!” Jerit Tengku Farhan.
Selajur itu,, pembantu peribadinya, Ahmad Naufal melangkah masuk.
“ Dah jumpa apa-apa?” Soalnya
Ahmad Naufal menggeleng kepala.
“ Kita sudah gunakan semua alat yang boleh, surat khabar, tv dan juga internet
pages. Yang ada… cuma yang palsu seperti yang Tengku sedia maklum.”
“ Luka di lengannya perlukan
jahitan. Itu aku pasti.”
“ Kita juga
sudah gunakan pengaruh orang kuat Persatuan Perubatan Malaysia, meminta
kerjasama ahli-ahlinya melapurkan kes yang seperti itu. Dan maaf lagi sekali.
Setakat ini… tak ada maklum-balas, Tengku.”
Tengku Farhan melepaskan nafas
berat. Kenapa gadis itu tidak mahu ke depan. Ganjaran sudah diumumkan. Bukan
calang-calang angka yang bakal diberikan. Tidak cukup dengan itu, dia juga
menjanjikan ganjaran untuk sesiapa sahaja yang boleh memberikan maklumat. Namun
hingga kini dia tetap hampa.
*****
“ DARLING! Pandanglah muka I,”
rengek Tunku Putri Nur Zara.
Tengku Farhan berkalih,
memandang wajah Zara dengan hati dibalut seribu rasa jelak. Perempuan ini
sememangnya tidak mahu faham kedudukan mereka. Sudah berbuih mulutnya
mengingatkan Zara apa yang sudah terjadi di antara mereka.
“ You tahu kan, I risaukan you.
Tak payahlah you cari perempuan tu. Tak ada faedahnyapun.”
“ You lupa? Berapa kali I nak
ingatkan you? Kita dah putus sebulan yang lalu. Sebelum I kemalangan lagi.
Kenapa you tak mahu faham?” Jelak dengan Zara, dia mengambil ‘remote control’
lalu menghidupkan televisyen. Dia rimas apabila Zara hampir setiap hari
menganggu dia di pejabat.
“ I masih sayangkan you.”
“ Selepas I terserempak dengan
you bercium dengan Mat Salih kat dalam kereta? Dan you nak I tutup mata macam
tu aje? No! It’s over Zara. O.V.E.R” Tengku
Farhan mengeja perkataan ‘over’ itu dengan kuat.
“ I dengan dia tak ada apa-apa… Please!”
“ Tak ada apa-apa sampai boleh
bercium mulut? Kalau ada apa-apa, mungkin you bawa dia sampai ke katil agaknya.
Sudahlah! My decision is final.
Terima ajerlah!”
“ I tak akan mengalah
senang-senang tau! I akan pastikan kita kahwin jugak nanti.”
“ Terserah! You nampak tak pintu
ofis I tu? Tolong keluar sekarang!”
Tunku Zara menghentak kaki
sebelum berlalu menuju ke pintu.
Tengku Farhan menarik nafas lega
selepas kelibat Zara hilang di sebalik pintu. Hilang segala keserabutan minda.
Dan dia tiba-tiba sahaja terbayangkan wajah gadis manis berlesung pipit yang
ditemuinya di lebuhraya.
Di manakah gadis itu sebenarnya?
*****
TENGKU FARHAN memandang wanita
separuh abad yang sedang resah di hadapannya. Wanita itu menundukkan kepala
setiap kali dia cuba merenung ke dalam matanya. Dia tidak suka orang yang takut
untuk beradu pandangan. Bagi dia… aksi begitu menunjukkan yang orang itu
selalunya tidak boleh dipercayai.
“ Kamu pasti?”
“ Saya, Tengku. Saya nampak
parut pada lengannya.”
“ Dia beritahu kamu bagaimana
dia dapat parut tu?”
“ Tak! Saya tak tanya dia, saya
tanya rakan sekerjanya. Dari situlah saya tahu, dia kemalangan sekitar waktu yang sama dengan
Tengku.”
“ Bagaimana rupa orangnya? Boleh
kamu gambarkan?”
Wanita itu menelan air liur. “
Boleh Tengku. Ehm… orangnya kecil. Pakai tudung, mukanya bujur sireh, bermata
bundar dengan alis lentik. Ada lesung pipit dalam terbenam di kedua-dua belah
pipi. Dia..”
“ Stop! Di mana kamu jumpa dia. Boleh berikan alamatnya?”
*****
“ INI SEMUA gambar-gambar
Azzahra yang berjaya kami rakam. Ini pula Kafé Buku, perniagaan yang dia kongsi
dengan rakan baiknya.” Ahmad Naufal menunjukkan imej yang berjaya dirakam dan
sudah dimuatnaik di dalam komputer.
Tengku Farhan mengangguk.
Akhirnya pencariannya berakhir juga. Dia merenung sekeping gambar wajah Azzahra
dari jarak dekat. Tidak salah lagi. Itulah orang dicarinya selama beberapa
bulan ini.
“ Dia sudah berkahwin?”
“ Masih bujang. Berumur 30
tahun.”
“ Hairan! Apa yang menghalang
dia dari datang ke depan dan menerima ganjaran.”
“ Saya juga hairan. Untuk
pengetahuan Tengku, dia nyaris diisytihar muflis sebelum berjaya menjual
perniagaan butik miliknya. Berderet-deret hutang bank yang ditanggungnya.
Sewaktu Tengku mengumumkan ganjaran… dia sedang bergelut dengan bebanan hutang.
Rasanya, dia boleh sahaja muncul dan mengambil kesempatan.”
“ Hmm… pelik. Ada juga orang yang tak mahukan duit?”
“ Ya, ada. Namanya Azzahra
Azimuddin.”
“ Kalau begitu, saya mahu jumpa dia personally.”
*****
RALIT TENGKU FARHAN memerhatikan
Azzahra yang hanya menundukkan muka di hadapannya. Tidak salah lagi, inilah
orang yang dia cari selama ini. Masih jelas betapa terkejutnya Azzahra sewaktu
menerima kunjungan darinya tadi. Ternyata selama ini, Azzahra memang tahu dan
sedar yang dia sedang dijejaki.
“ Puas saya cari awak. Kenapa
awak sembunyikan diri?”
Azzahra tersenyum. Jelas sekali
lesung pipit itu. “ Saya tak pernah sembunyikan diri. Saya sekadar tak mahukan
ganjaran yang Tengku janjikan.”
“ Saya hanya mahu membalas budi
awak… kalau tidak kerana awak…”
“ Bukan! Bukan kerana saya.
Kerana ALLAH. Dia yang menyelamatkan Tengku dengan membuatkan saya berada di
tempat yang betul, di masa yang tepat dan melakukan perkara yang sepatutnya
dilakukan oleh semua orang. Jadi rasanya, tak adalah besar sangat budi saya
pada Tengku, kan?”
Tengku Farhan sebenarnya
terkejut dengan tindakan Azzahra memintas percakapannya. Tidak ada orang yang
berani melakukan begitu selama ini. Dia kagum. Orang sekecil itu, punya
keberanian yang sangat besar.
“ Hmm… interesting! Ya, saya harus akui, apa yang kamu katakan itu
benar. Namun saya masih merasakan yang kamu patut diberi ganjaran. Kamu
menggadai keselamatan kamu untuk menyelamatkan nyawa saya. Bagi saya, ia sangat
besar dan tidak boleh dipandang remeh.” Dia berhenti menghela nafas.
“ Kamu ada masalah kewangan kan?”
Azzahra terpempan. Dia menelan
air liur. “Maaf, itu masalah saya. Tengku tak berhak untuk tahu.”
“Ini ada sekeping cek kosong, tulislah berapa
kamu suka.”
Selepas meletakkan cek kosong di
atas meja, dia bangun lalu keluar dari Kafe Buku milik Azzahra. Hairan, dengan perniagaan
kecil dan daif begini, Azzahra masih sombong mahu menerima pemberiannya. Dia
mahu tunggu dan lihat, berapa nilai yang Azzahra akan isikan di slot yang
kosong pada cek tersebut. Itu tidak merisaukan dia kerana dia yakin, Azzahra
yang selama ini mengelak untuk diberi
ganjaran sudah tentu bukan seorang yang suka mengambil kesempatan.
“ Tengku!” Panggil Azzahra.
“ Ya,” balasnya, berkalih sambil
mengangkat kening sebelah.
“ Bagaimana kalau saya isikan
sejuta?”
“ As you wish!”
Dan dia terus berlalu
meninggalkan Azzahra tanpa mahu melihat riak di wajahnya.
*****
“ KENAPA BELUM tunaikan cek itu?”
Soal Tengku Farhan memandang Azzahra yang seperti selalu, akan sentiasa menjaga
pandangannya dengan menundukkan kepala. Jarang sekali dia mahu bertentang mata.
Kecuali jika dia dalam keadaan sedang marah. Azzahra masih diam. Air Apple Asam
Boi di hadapannya ditenguk perlahan.
Ya. Sudah hampir sebulan dan cek
kosong yang dia berikan, belum lagi ditunaikan.
“ Saya sudah cakap… saya tak
perlukan duit tu.”
“ Saya tak kisah, tulislah kalau
kamu mahu sejuta pun! Kamu ingat saya tak ada duit?”
“ Saya tahu Tengku orang kaya.
Tapi saya tak mahu. Tengku tak faham ke? Saya rimas bila Tengku asyik datang ke
sini dan tanyakan soalan yang sama. Cukuplah sekadar ucapan terima kasih. Saya
lebih rasa berbaloi dengan apa yang saya buat.”
Tengku Farhan menggeleng. Kalau
Azzahra tegas, dia juga mahu bertegas. Dia mula sukakan kedegilan dan ketegasan
Azzahra. Sesungguhnya, dalam jangkamasa sebulan berulang-alik kemari, dia sudah
mula sukakan segala-galanya tentang Azzahra.
“ Selagi kamu tidak mahu
menerima apa-apa ganjaran berbentuk wang atau sumbangan, selagi itu saya akan
datang mengganggu kamu. Pilihan di tangan kamu.”
Azzahra mengeluh. Dia
menjatuhkan bahu sambil menjulingkan mata merenung siling. Tengku Farhan
sukakan aksi itu. Azzahra nampak comel sungguh.
“ Baiklah. Saya mengalah. Saya
sudah banyak berfikir kebelakangan ini. Kita melihat situasi ini dengan
pandangan yang berbeza. Saya akur. Saya tahu, Tengku tahu keadaan saya yang
dibebani hutang. Sebab itulah Tengku bersungguh mahu saya menerima wang dari
Tengku. Saya boleh saya minta itu ini, minta rumah, minta kereta, atau tulis
saja nilai satu juta dalam cek kosong tu. Tapi saya tak mahu lari dari prinsip
hidup saya dan jadi orang lain.” Dia berhenti sebentar, menghela nafas.
“ Where do all these lead us to?”
“ Tunggu… I’m
getting there. Saya ada satu permintaan, dan saya mahu Tengku berjanji,
kalau saya minta yang ini, kita kira kita seri. Tengku tak ada hutang apa-apa
dengan saya. Apa yang saya akan minta nanti nilainya lebih dari segala hutang
piutang, rumah kereta atau apa sahaja yang ada di dunia ini. Dan kalau Tengku bersetuju
untuk tunaikan permintaan saya yang ini, sayalah orang yang paling bahagia.”
Tengku Farhan mengangkat kening.
Terkejut kerana akhirnya, Azzahra mengalah. Kalau apa yang dia mahu melebihi
segala… adakah ia melebihi nilai sejuta? Takkanlah dia mahu minta sebanyak itu?
“ Baiklah! Saya setuju.”
“ Okay. Janji lepas ni, kita
seri?”
“ Ya! Kita seri. So, apa kamu
mahu sebenarnya?”
Azzahra tersenyum. Matanya
bercahaya. Tidak pernah Tengku Farhan melihat mata Azzahra bersinar cantik
seperti itu. Sudah pastilah apa yang bakal dimintanya sangat-sangat bermakna
untuk dirinya.
“ Saya mahu ke Mekah. Mahu
melaksanakan umrah.” Azzahra berhenti tiba-tiba. Suaranya sebak. Matanya
berair.
Tengku Farhan membeliakkan
matanya. Tersilap dengarkah dia? Nak pergi umrah? Berapa ribulah sangat? Dia
tahu dia tidak boleh mempertikaikan pilihan Azzahra. Maka dia akan pastikan
Azzahra mendapat pakej yang mewah dan terbaik.
“ Kalau macam tu, saya akan aturkan
pakej yang terbaik untuk kamu.”
“ Tak perlu. Saya cuma perlukan
pakej sederhana yang bersesuaian dengan kesederhanaan hidup saya.”
Azzahra bangun, melangkah ke
kaunter berdekatan. Apabila dia kembali, dia mengeluarkan beberapa helai kertas
dari sampul surat.“ Sebenarnya, saya sudahpun membuat pengesahan dengan Medina
Travels. Saya sudahpun membuat bayaran dan mendapat tarikh yang sesuai. Maka kerana
Tengku berkeras mahu saya menerima ucapan terima kasih Tengku dengan cara menerima
ganjaran dari Tengku, sudilah kiranya Tengku menaja pemergian saya dengan bayaran
sebanyak RM 7000.00.”
“ Itu saja?”
“ Ya. Itu sahaja. Remember? Kita seri?”
Tengku Farhan tiada pilihan.
Sekadar mengangguk perlahan.
*****
“ DIA BIJAK!” Ucap Tengku Farhan
ketika Ahmad Naufal melangkah masuk ke dalam kereta lalu mengambil tempat duduk
di sebelahnya.
Ahmad Naufal mengangguk.
“ Dia bijak, cantik, educated, sederhana dan…” Tengku Farhan
berhenti tiba-tiba.
Ahmad Naufal angkat kening,
isyarat bertanya.
“ Dia sudah mencuri hati saya…”
Ahmad Naufal ketawa kecil. “
Wanita begitu sukar ditemui. Kalau saya, saya tak akan lepaskan dia macam itu
aje.”
Tengku Farhan melepaskan nafas
berat. “ Dia wanita yang sukar didekati dan difahami. Dia memilih ganjaran yang
kecil berbanding ganjaran besar yang saya mahu beri. And of all the places, dia pilih ke Mekah?”
“ Mekah itu impian setiap umat
Islam. Mungkin sekarang Tengku terpaksa menerima pilihan dia, tetapi di masa
hadapan… mungkin Tengku boleh memberikan ganjaran yang lebih besar setelah
Tengku mengenali dia dan memahami kenapa dia memilih apa yang dia pilih hari
ini. Ganjaran yang sudah tentu lebih besar maknanya.”
“ Maksud kamu?” Tengku Farhan
mengerutkan muka.
“ Ganjaran cinta.” Ahmad Naufal
ketawa.
Mata Tengku Farhan bersinar
mendengar cadangan Ahmad Naufal.
“ Brilliant!” Ungkapnya sambil ketawa gembira.
4 comments:
NICE.....N I LIKE
Brilliant!
Haiii.. cakkk...
Done follow sini no. 88,
Jom follow me back.. salam kenal.. heee..
http://tengkubutang.blogspot.com/
n my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/
X de smbungan ke
Post a Comment