BRENG! BRENG! BRENG!
Mat memulas minyak motosikal
Yamaha RXZnya sehingga mengeluarkan bunyi bising. Padahal dia masih di simpang
tiga jalan mahu memasuki jalan besar. Motornya bergerak ke depan dan ke belakang
setiap kali dia berbuat begitu. Sejak menonton cerita Mat Rempit dua malam
lepas, terasa benar mahu beraksi seperti apa yang ditontonnya.
Pagi tadi emak sudah pesan,
lepas habis sekolah… mesti pulang awal. Manan pula, mengajak dia melihat kawan-kawan
berlumba motor. Namun bila ingatkan pesan emak… Mat hanya menggeleng apabila
ditanya Manan. Walaupun tidak dapat mengikut Manan melihat orang berlumba motor,
dia tidaklah rasa terkilan sangat… bagi dia mentaati ibubapa itu, lebih utama
dan lebih perlu didahulukan dari segala yang lain. Itu pesan arwah Tok Wan
sebelum ke Mekah dan meninggal di sana.
Dari jalan utama, dia nampak
sebiji motosikal berkuasa tinggi sedang memecut. Hatinya teruja. Dia sangat suka
setiap kali melihat motosikal berkuasa tinggi bergaya di atas jalanraya. Nampak
sungguh gah di matanya. Cuma, dia risau akan kelajuan motosikal itu. Kelihatannya
tersangat laju, sebelum tiba-tiba membelok masuk ke arah simpang tempat dia
sedang menanti…
Dia jadi panik dan hanya
terpempam saat menyedari motosikal itu hilang kawalan dan menuju tepat ke
arahnya.
Dum! Screet…
Terasa tubuhnya dihentam dan terseret
di atas jalanraya…
MAT TERJAGA DARI TIDURNYA. Dia
bangun perlahan.
Kepalanya terasa sakit dan berdenyut.
Dia membawa kedua-dua tangan ke kepala. Berbalut? Dan dia segera teringat
insiden di simpang tiga itu. Dia melihat sekeliling, mencari wajah emak dan
ayah.
Suasana sekeliling nampak sangat
berbeza, di sekelilingnya dipenuhi oleh manusia-manusia berpakaian putih. Yang
lelaki berselepang di dada, seperti pakaian Tok Wan ketika mahu mengerjakan
Haji dahulu Yang perempuan pula semuanya bertelekong. Ada gema ayat-ayat suci
Al-Quran dilagukan memenuhi ruang. Ini bukan hospital. Sudah matikah dia?
Dia bangun mahu mencari ayah dan
emak, berpusing-pusing di antara manusia-manusia yang muka mereka… bercahaya. Semua
orang tersenyum saat matanya menyapa wajah mereka. Melihat mereka, membuatkan
dia merasa tenang. Ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata…
“ Mat cari siapa?”
Dia terkejut lalu berhenti
menatap wajah orang yang bertanya. Terasa amat kenal.
“ Cari mak dengan ayah. Makcik
siapa? Muka makcik macam mak… suara pun macam mak.” Memang benar. Cuma
hidungnya lebih mancung berbanding hidung emak.
Orang di depannya tersenyum. “
Ini Tok Munah, emak kepada mak kamu. Kamu tak kenal sebab kamu tak sempat jumpa
tok.”
‘Tak sempat jumpa?’ Soal dia
dalam hati. Namun kata-kata itu tidak terkeluar dari mulutnya. Sekadar
berlegar-legar di kerangka minda.
“ Jom tok bawa jalan-jalan.”
Ajak Tok Munah.
Dia melihat sekeliling. Di mana
dia sebenarnya? Di alam barzakh? Tanpa mahu banyak bertanya, dia mengangguk
lalu hanya mengikut seperti orang bodoh.
“ MAT KENAL PAKCIK TAK?” Soal
seorang lelaki kepada Mat.
Mat geleng kepala. “ Mat tak
kenal. Kepala Mat ni, macam sakit. Kena bedah agaknya.” Lantas Mat kembali
memegang kepalanya.
“ Tak apalah. Memang Mat tak
kenalpun dengan mamu. Ini Mamu Chet. Adik beradik Mat jugak.” Mamu Chet
tersenyum.
“ Adik-beradik Mat?” Soal dia
perlahan… sekadar mmenyoal tanpa mengharapkan apa-apa jawapan. Dia sedang
bingung sebenarnya.
Dia lihat lagi sekelilingnya.
Tenangnya suasana di sini. Terlalu sukar mahu digambarkan dengan kata-kata.
Kemudian, dia berkalih semula… mahu bertanya satu soalan kepada Mamu Chet. Dia
hampa kerana Mamu Chet sudah tiada di tempat dia berdiri tadi.
“ Kemari, kita teruskan!” Tok Munah menarik
tangannya.
“ Mamu Chet?”
“ Mamu Chet sudah pergi.”
Dia ikut Tok Munah berjalan.
Melalui taman bunga yang teramat cantik. Ada alur-alur sungai yang alirannya
berbunyi tenang. Sehingga perjalanan mereka terhenti apabila bertemu seorang
wanita cantik.
“ Mat?”
Mat mengangguk. Perempuan itu
tersengih, menunjukkan sebatang gigi yang sudah hilang di bahagian depan.
“ Makcik siapa?”
“ Adik beradik Mat juga.”
“ Maaf, Mat tak kenal.”
“ Tak apa,” jawab perempuan itu
tersenyum tenang dan berlalu.
“ Siapa tu Tok Munah?”
“ Nanti Mat akan tahu juga…”
Mereka berjalan lagi,
menghamprir sebuah istana yang binaannya cukup indah. Di keliling istana
terdapat taman-taman indah beraneka warna bunga yang tak pernah dia temui
sebelum ini. Mereka melalui laluan yang di bawahnya ada aliran anak sungai yang
cantik sekali pemandangannya.
“ Rumah siapa ni tok?”
Tok Munah hanya senyum sambil
mengisyaratkan Mat supaya masuk. Mat melangkah masuk, kemudian berpusing-pusing
memandang sekeliling. Terpesona dengan keindahan binaan dan hiasannya. Beberapa
orang puteri yang entah dari mana datangnya bergerak mendapatkan Mat.
Mendudukkan Mat di atas kerusi yang sangat cantik bentuknya.
“ Assalamu’alaikum, Mat!”
Mat dikejutkan oleh seorang
lelaki yang memberi salam tiba-tiba…
‘Yang ini, siapa pula,’ soal Mat
dalam hati.
“ Yang ni, Pakcik Pijun.” Jawab
lelaki itu seolah-olah dapat membaca apa yang sedang difikirkan Mat di dalam
hatinya.
“ Adik-beradik kita juga ke?”
Soal Mat berkalih memandang Tok Munah.
Tok Munah geleng kepala.
“ Bukan. Nanti Mat tanyalah
ayah. Ayah Mat kenal dengan pakcik,” balas lelaki tadi tersenyum lagi.
Mat makin pening. Kenapalah
semua orang nampak misteri tetapi dalam misteri itu, muka mereka… tenang dan
bercahaya.
“ Mat nak makan?” Soal Tok
Munah.
“ Mat tak rasa nak makan. Kalau
ada minuman… boleh juga.”
Bagai silap mata, sehabis Mat
bercakap sudah ada cawan yang sangat cantik bentuknya tersedia di genggaman tangan
kanannya. Mata Mat terbuntang. Dia pandang muka Tok Munah minta penjelasan.
“ Minumlah! Mat kan… dahaga.”
Mat angguk lalu meneguk air yang
tersedia di tangan.
Masya-Allah! Subhanallah! Air
yang diminum itu terasa amat lazat tatkala ia mengalir membasahi kerongkong.
Lazatnya… tiada taranya berbanding dengan segala minuman yang pernah diminum
selama hidupnya.
“ Masya-Allah! Lazatnya…” ungkap
Mat berkalih mencari wajah Tok Munah.
Tok Munah senyum.
“ Kalau macam ni, Mat tak mahu
baliklah… nak duduk di sini sampai bila-bila.”
“ Tak boleh! Sebab… waktu Mat,
masih belum tiba.”
Sehabis sahaja Tok Munah
tuturkan ayat itu, Mat rasa dunia kelilingnya berpusing. Badan Mat terasa
terapong dan ringan. Dia seolah-olah dibawa merentasi terowong masa…
“ Mat… Mat… buka mata, Mat!”
Mat membuka matanya perlahan.
Silau dengan cahaya yang menerangi ruang. Namun perlahan-lahan… dia nampak muka
emak dan ayah, sedang tertunduk merenung ke arahnya. Mata emak berair dan
airmata itu jatuh menitis mengenai wajahnya.
“ BERAPA LAMA MAT KOMA, AYAH?”
Soal Mat suatu hari, seminggu selepas dia sedar dari koma.
“ Tiga minggu. Ayah dan mak… tak
pernah berhenti berdoa untuk Mat” Ayah Mat mengurut kepala Mat yang masih
berbalut.
“ Mak pun, selalu bacakan Mat
yaasin.”
Mat angguk. “ Mak dan ayah nak
tahu?”
Soalan itu buat emak dan ayah
mengangkat muka serentak.
“ Mat dibawa ke alam lain dalam
masa koma tu,” kata Mat lalu mula menceritakan semua yang dilaluinya.
Ayah mendengar dengan khusyuk.
Sesekali, ayah menggosok belakang lehernya. Emak pula, kerap mengesat airmata
yang masih tidak mahu berhenti sejak tiga minggu lalu.
“ Betul ke Tok Munah tu, ibu
mak?”
Emak mengangguk dalam sedu.
“ Macam muka mak, tapi hidung
Tok Munah… lagi mancung.” Mendengar ayat Mat itu, membuatkan emak mengangguk
lalu menangis tersedu di bahu ayah.
“ Mamu Chet tu, siapa?”
Ayah tarik nafas dalam-dalam.
“ Mamu Chet tu, adik ayah. Dia
meninggal sewaktu umurnya sebaya Mat. Kemalangan juga.”
“ Ohh…” Hanya itu yang mampu dia
ungkapkan.
Mat lepaskan nafas berat. Dia teringat
perempuan tanpa gigi sebatang yang dia turut temui di alam sana.
“ Ada sorang perempuan, gigi
atas sebelah sini, tak ada sebatang,” Mat tunjukkan ke arah gigi sendiri. “
Siapa dia?”
Ayah pandang emak. Ayah angkat
bahu tanda dia tidak tahu siapa. Emal pula, pejam mata sambil angguk kepala
perlahan.
“ Kalau tak silap mak. Onyang
mak… ada gigi emas sebatang sebelah yang Mat cakap tu. Masa onyang meninggal…
Pak Ndak Li yang ambil simpan gigi dia tu.”
“ Dia kata dia adik beradik
kita… betullah agaknya tu…”
“ Agaknyalah.” Balas emak perlahan.
“ Kat dalam sana ada istana dan
puteri-puteri yang cantik. Semua cantik. Mereka layan Mat dengan baik.”
“ Bukan puteri, Mat. Itu
bidadari. Mat bertuah… Mat mungkin dibawa melawat salah satu taman-taman
syurga. Wallahhu A’lam.” Ayah menyampuk. Sesekali mengesat matanya yang berair.
Mat tunduk memandang lantai.
“ Oh ya! Ayah! Pakcik Pijun tu
siapa?”
“ Kawan ayah. Mat jumpa dia
juga?”
Mat angguk kepala. “ Dia yang
duduk di istana besar yang ada bidadari tu. Dia cakap, ayah kenal dia.”
“ Pakcik Pijun tu kawan lama
ayah. Selama hayat dia… dia banyak tolong ayah setiap kali ayah dalam
keesusahan. Bukan ayah saja… semua orangpun dia tolong. Allah balas setimpal
dengan amalan yang dia buat…”
“ Subhanallah! Mat dah tengok
apa yang kami tak tengok… kalau Mat nak kekal di sana, Mat kena banyakkan
amalan yang baik. Semua orang yang Allah temukan dengan Mat tu, semuanya orang
baik-baik sewaktu hayat mereka. Contoh dah ada… pilihan ditangan kita. Mahu
buat atau tidak saja…” emak menyampuk setelah lama terdiam mendengar cerita
Mat.
Mat pandang emak. Mata Mat
terasa berair. Mat tiba-tiba teringatkan sesuatu yang belum diceritakan kepada
emak dan ayahnya.
“ Ada lagi satu yang Mat tak
boleh lupa…”
“ Apa dia?” Soal ayah.
“ Mat sebut saja nak minum…
sudah ada air tersedia di tangan. Macam magik. Air tu… masya-Allah, lazatnya
sukar nak dicerita. Lazat selazat lazatnya…”
Emak dan ayah merenung Mat. “ Mat
dah minum air syurga?”
Mat angkat bahu. “ Wallahhu a’lam.”
Mat tiada ilmu. Mat tidak tahu
kenapa dia terpilih untuk melalui peritiwa begitu. Mat juga tidak tahu samada di
mata orang lain, pengalamannya itu boleh dikira anugerah dari Allah atau tidak.
Namun dia percaya… semua itu ada hikmah untuk kehidupannya. Dia sudah
ditunjukkan jalan yang seharusnya dia ikuti. Dan macam kata emak… pilihan di
tangan dia.
TAMAT
Seperti diceritakan kepada saya oleh seorang lelaki yang baru diuji dengan kemalangan anak lelakinya. Saya menambah sedikit rencah untuk menyedapkan cerita. Tetapi secara dasarnya... cerita asal yang cuba disampaikan... tetap tidak berubah! Mohon maaf kepada keluarga yang berkenaan.
Setiap orang berhak mentafsir kenapa dan mengapa ianya terjadi... namun yang pastinya, ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.
1 comment:
Allahuakbar...
Post a Comment