“ ADA ORANG NAK JUMPA!” Kata mama sewaktu Chinta sedang
berehat di depan televisyen selepas minum petang.
“ Siapa?”
Mama angkat bahu, muka mama seperti tidak gembira. “ Keluarlah
tengok sendiri. Orang yang Chinta tunggu-tunggu. Mama tak kasi dia masuk, dia
tunggu dekat gazebo taman,” mama segera berlalu untuk masuk ke dapur. Lain macam
saja bunyi suara mama. Macam tak suka aja. Kejap… siapa kawan dia yang mama tak
suka ya? Soal Chinta di dalam hati. Tiba-tiba aja, matanya membulat dan senyum
mula melebar sampai ke telinga.
“ Beto!” Bisiknya sekadar boleh didengari telinga sendiri.
Segera dia bergerak ke depan. Menjengah dari sebalik langsir.
Dari jauh, dia sudah nampak kelibat Beto yang sedang berdiri memandang kolam
buatan di kiri laman. Beto nampak seperti kusyuk berfikir. Mungkinkah dia sudah
menyesal dengan tindakannya semalam?
Chinta tahu, dia tidak boleh mengalah terlalu awal. Dia
memang marahkan Beto, namun di waktu yang sama, dia masih sayangkan Beto. Tak
perlulah tunjukkan yang dia ternanti-nanti kehadiran Beto. Biar Beto fikir dia
sudah mahu buang Beto jauh-jauh dari hidupnya. Dia tersenyum. Hari ini,
terpaksalah dia keluarkan bakat lakonannya yang terpendam sejak sekian lama.
Mesti kalah Rita Rudaini kalau dia jadi pelakon. Akibat gigit jarilah artis
cantik tu. Dia tergelak sendiri.
Dengan muka masam kelat, dia bergerak ke luar menghampiri
tempat Beto sedang berdiri. Seakan menyedari kehadiran Chinta, Beto berkalih.
Saat dia melihat Beto berpaling begitu, dia jadi terpempan. Rasa mahu marah tadi,
terbang ditiup angin semilir petang. Cair lagi dia dengan renungan mata
sedingin salju itu. Tak dapat dinafikan,
pakej lengkap ketampanan Beto… membuatkan dia lupa dengan pelannya tadi, habis
berantakan bakat terpendam yang dia cuba praktikkan tadi. Nasihat mama
nampaknya tidak meninggalkan sebarang bekas langsung.
Dari sebalik jendela tingkap dapur, mama yang merenung
insiden itu segara tunduk melepaskan nafas berat. Dia menggelengkan kepalanya.
Sekali lagi Chinta sudah membuktikan kedegilan dan sifat tak makan dek
nasihatnya. Mama hanya mampu berdoa supaya samada Chinta tersedar sebelum
terlambat, atau Beto yang berubah sebelum mereka diikat oleh satu ikatan perkahwinan.
*****
“ MAAFKAN AKU!” Kata Beto dengan mata sayu merenung Chinta.
Beto meramas jari-jemari Chinta. Chinta biarkan saja
tangannya dipegang begitu. Ia buat Chinta rasa dihargai dan disayangi. Dia lupa
tentang kejadian semalam, lupa tentang halal-haram. Rasa bahagia membuat dia
lupa yang syaitan sedang bersorak kegirangan kerana telah berjaya mempengaruhi anak
Adam untuk melakukan mukhaddimah zina.
“ Sampai hati awak tak pedulikan saya. Awak biar saja saya
jatuh macam tu. Tak tolong saya langsung!” Chinta memuncungkan bibirnya.
Pura-pura merajuk. Sebenarnya bukan pura-pura… memanglah merajuk betul-betul.
Dia mahu Beto tahu apa dia rasa dan dia mahu Beto memujuknya. Rasa disayangi
bila dipujuk Beto begitu.
“ Awak tak faham. Saya terpaksa…” balas Beto sambil
menundukkan kepala. Merenung bunga Ros yang sedang kembang di kiri Gazebo. Muka
Beto nampak sedih. Berlakon sedih sebenarnya. Kalau ada award pelakon popular…
tentu dia yang bakal menang.
Chinta Diam. Menunggu.
Beto juga masih diam. Mungkin menanti respon Chinta.
“ Apa masalah awak! Takkanlah awak takut dengan perempuan
plastik tu?”
Beto angkat muka. Memberi renungan sedingin salju terus ke
mata Chinta. “ Dia masa lalu saya. Awak tahu kan! Masa lalu saya bukan elok
sangat. Tapi awak… awak macam sinar yang merubah hidup saya. Sejak jumpa awak…
saya dah pelan-pelan berubah ke arah yang lebih baik. Awak cinta hati saya… bukan
dia.”
Chinta tersenyum. Dadanya kembang mendengar kata-kata Beto.
Tapi dia masih belum mahu menyerah kalah.
“ Habis tu? Kalau dia masa lalu awak, kalau dia bukan cinta
hati awak… kenapa awak sanggup tinggalkan saya macam semalam?”
“ Bila dia tahu saya bertunang, dia siasat siapa awak. Dia
tahu di mana awak tinggal. Dia ugut… kalau saya tak layan dia, dia tak akan
teragak-agak untuk jumpa ibubapa awak dan ceritakan semuanya tentang
perhubungan kami dulu…”
Chinta tarik tangannya dari genggaman Beto. Dia berkalih
merenung jalan.
Memang dia tahu masa lalu Beto. Memang Beto ada ceritakan
segalanya. Namun mendengar Beto mengulangi kata-kata perempuan plastik itu
begitu… membuatkan otaknya membayangkan perkara yang tak selayaknya
dibayangkan. Walaupun begitu, dia juga sedar… dia sudah mengambil keputusan
nekad untuk menerima Beto seadanya, maka seadanyalah juga Beto akan terus
menghuni hatinya.
“ Kenapa? Awak nak saya buat macam mana? Mak bapak awak kan,
tak berapa suka dengan saya! Walaupun mereka tak pernah cakap… tapi, saya tahu.
Saya boleh baca pandangan mereka… Kalaulah Anne ceritakan semuanya… harapan
saya untuk terus dengan awak akan mati di sini jugak. Mak bapak awak… mesti tak
boleh terima saya lagi…” Beto tundukkan muka, kemudian cuba mencapai tangan
Chinta lagi sekali. Dan sekali lagi… Chinta membiarkan sahaja jemarinya diramas
Beto.
Air mata Chinta mengalir turun. Dia tarik nafas dalam-dalam.
Pandang muka Beto yang handsome tu lama-lama…
Dia tahu… kalau dia lepaskan Beto kali ini, sampai ke tua
pun, dia tak akan dapat mata air sekacak Beto. Hmm… sekali lagi ketampanan Beto
itu dijadikan alasan untuk terus memberi ruang dan peluang pada Beto dan pada
diri sendiri.
“ Boleh awak janji dengan saya?” Soal Chinta.
Beto angguk. Tersenyum.
“ Jangan buat macam semalam lagi. Jangan tinggalkan saya
lagi. Awak tahu kan, saya memang sayangkan awak?”
Mendengar ayat itu, laju aja Beto mengangguk kepalanya. Dia
tersengih lalu meraih jari jemari Chinta. Menggenggamnya erat sambil matanya
merenung tepat ke mata Chinta.
“ I love you too…”
Kata-kata Beto itu buat Chinta rasa mahu terbang ke bintang.
Cuma yang dia tak tahu… kata-kata itu cuma keluar dari mulut, bukan dari hati
Beto yang penipu itu.
No comments:
Post a Comment