PAGI ini memang pagi yang malang untuk aku. Papa Hakim
naik angin kerana terpijak tahi kucing. Habis kasut kulit yang baru dibeli
dengan harga ratusan ringgit itu kotor dan berbau. Bukan salah aku. Cuma
kebetulan aku di situ…akulah yang menjadi sasaran kemarahannya.
“ Berambus kau
dari sini! Aku tak mahu tengok kelibat kau lagi.”
“Pak Meon! Bawa
Tasya keluar dari sini. Saya tak mahu tengok kelibat dia lagi bila saya balik
petang nanti. Faham!” Suara Papa Hakim bagai halilintar, memecah kesunyian
pagi.
Pak Meon cuma
mengangguk…dia kemudian merenungku sambil kepalanya digelengkan.
“ Tapi Tuan,
nanti Puan marahkan saya…”
“ Jangan banyak
soal. Apa kata saya…Pak Meon buat saja!”
Aku terkejut.
Seakan tidak percaya, yang arahan itu keluar dari mulut Papa Hakim. Aku duduk
berteleku di hadapannya…memohon ihsan. Namun tanpa aku duga, satu sepakan
melayang mengenai tubuhku. Aku terhumban ke tengah laman. Sakitnya, hanya Allah
yang tahu.
“ Abang!” Suara
Mama Min meningkah dari belakang. Dia berlari mendapatkan aku. Lantas
dipeluknya aku. Dia menangis. Dia menciumku, mengurut bahagian badanku yang
sedang sakit dan berdarah akibat terkena hujung kasut Papa Hakim.
Aku terharu.
Selama inipun, aku tidak pernah sangsikan kasih sayang Mama Min. Sejak dia
memungut aku di jalanan…kasih sayangnya lah yang memberi kekuatan untuk aku terus
hidup. Sewaktu aku terlantar sakit,dan putus harap dengan kematian ibu, Mama
Min yang merawat aku sehingga aku sembuh.
Aku kerling ke
sudut rumah. Puteri, ahli baru rumah kami tersenyum mengejek. Dia mencebik bibir
ke arahku lantas berjalan memasuki rumah. Gayanya sombong sungguh. Aku tahu
semua ini kerja dia. Puteri lakukan semua ini kerana ingin aku diusir keluar.
Sejak Papa Hakim membawa Puteri pulang ke rumah, dia sudah berani memberi aku
amaran. Dan sejak itu, aku sudah mula menjadi tempat Papa Hakim melepaskan
kemarahan.
“ Tasya akan
terus tinggal di sini. Saya sayang dia.” Mama Min bersuara. Matanya mencerlung
memandang Papa Hakim.
“ Papa tak
suka! Mama tengok, sebab dia…papa terpijak tahi kucing ni. Busuk! Papa tak
tahan.”
“ Tapi kita tak
tahu itu kerja siapa. Mama nak pelihara Tasya! Marsya pun tentu tak suka kalau
papa halau Tasya macam ni…” Mama berkeras.
“ Baiklah, Mama
pilih antara dua…Papa, atau Tasya! Tentang Marsya… biar papa yang cakap dengan
dia.” Dengan ayat itu, Papa Hakim menapak ke kereta tanpa menoleh lagi. Pak
Hassan yang menjadi pemandu Papa Hakim…sudah sedia menunggu. Dia memandang aku
dengan pandangan sayu.
Mama Min
terkejut. Mulutnya ternganga melihat Papa Hakim berlalu. Sebaik kereta yang
membawa Papa Hakim hilang dari pandangan, Mama Min tunduk dan memelukku.
Aku sayang Mama
Min. Namun kalau kehadiranku ini akan menggugat kebahagiaan rumah tangga Mama
Min, aku rela berundur. Aku menangis dan dengan perlahan, aku cium pipi dan
hidung Mama Min. Aku sedar, hari ini…kehidupan dan kebahagiaan aku di rumah ini
sudah menemui nokhtahnya. Aku harus pergi… pergi demi kebahagiaan Mama Min.
*****
‘Pon!!! Pon!!!
Sreeettttt!!!
Aku tergamam
tiba-tiba. Silauan cahaya kereta menyimbah ke segenap badanku. Aku kini, tak
dapat bergerak ke mana-mana. Kaki sudah dipaku ke dataran bertar. Aku seperti
menerima ketentuan seadanya. Akhirnya…aku bakal mengikut jejak ibu, dipanggil mengadap
Allah Yang Satu.
Kereta itu
berhenti mengejut selepas gagal mengelak daripada menghentam badanku. Aku
merasa kesakitan yang amat sangat, badanku tertiarap di atas tar. Ada bunyi pintu
dibuka dan ditutup, lalu ada derap kaki menghampiri.
“ Mati ke?”
Dalam keadaan mata masih terpejam, aku dengar seseorang bertanya.
“ Rasanya tak,”
jawab yang seorang lagi. Tangannya menguis-nguis badanku. “ Berdarah sikit
saja.”
“ Kau angkat
letak tepi sajalah. Nanti adalah orang yang tolong. Kita nak cepat ni…” ulas
suara tadi lagi.
“ Kau gila.
Cantik sangat ni, putih gebu pulak tu. Aku nak bawa baliklah,” tangannya kini
mengurut kepalaku. Aku membuka mata perlahan.
“ Kau ni…masih
macam dulu. Pantang jumpa spesis macam ni…tak berubah langsung.” Kawannya
berdengus. “ Eh! Matanya dah terbuka…”
Sebaik membuka
mata, seorang lelaki dengan wajah sekacak Aaron Aziz, sedang tertunduk
memandangku. Jantung aku berdegup kencang. Mungkinkah ini Aaron Aziz yang
sebenarnya…atau sekadar pelanduk dua serupa? Aaron Aziz yang diminati separuh
gila oleh Marsya. Bilik Marsya, buku Marsya, fail Marsya dan segala yang Marsya
ada, hanya dipenuhi dengan gambar-gambar Aaron Aziz. Entah berapa kali Mama Min
mengugut Marsya supaya dia menghentikan semua tu, tetapi Marsya tidak pernah
perduli. Kalaulah Marsya ada di tempat aku sekarang…tentu dia hysteria. Jeritannya
akan jadi seperti orang separuh gila.
Badan aku
dicepung dan diangkat ke kereta.
“ Mizi! Kau
serius nak bawa balik?” Keras bunyi suara kawannya bertanya.
Oh! Nama dia
Mizi. Sah! Manusia depan aku ni, bukan Aaron Aziz. Sekadar mirip Aaron Aziz.
Namun, aku pasti, kalau Marsya ada…dia pasti menjerit dengan nada yang sama.
Aku tiba-tiba jadi rindu pada Marsya.
“ Kau diam
boleh? Ini kereta aku, dan aku nak bawa dia balik kek rumah aku. Tak ada kena
mengena dengan kau.” Keras juga jawapan yang diberikan Mizi. Kawannya hanya
menggeleng kepala.
Aku merasa
terharu dan bersyukur. Dalam keadaan begini…ada juga orang yang bersimpati padaku. Sekurang-kurangnya, aku akan ada tempat tinggal
dan pastinya akan ada makanan yang menanti.
*****
“ Hai budak comel dan putih gebu! Apa nama kau?” Mizi
merenungku dengan mata kuyu, sebiji gaya meruntun jiwa mirip Aaron Aziz.
“ Tasya.”
Jawapan yang hanya bergema di dalam hatiku.
“ Hmm…tak
kisahlah nama kau apa… Kau dah okay. Lukapun dah sembuh.” Dia mengusap pipiku.
Aku membiarkan sahaja. Rasa bahagia sungguh diperlakukan begitu. Dia
kemudiannya memegang daguku. Mata layunya merenung ke dalam mataku.
“Mulai hari
ni…aku panggil kau Baby. Ok?”
Aku memejam dan
mencelikkan mata. Tanda bersetuju. Dan Mizi terus ketawa. Bagus juga bertukar
nama, Kehidupan baru dengan nama yang baru.
Ting…tong!
Bunyi loceng
beberapa kali membuatkan Mizi bangun menuju ke pintu. Sebaik pintu dibuka,
tersembul seorang perempuan cantik di muka pintu. Dia menolak Mizi ke tepi lalu
menjengah ke dalam.
Kerana takut,
aku lari dan bersembunyi di dapur. Namun masih memberanikan diri mengintai di
sebalik pintu.
“ Mana betina
tu… I tak peduli, I tak suka you bawa orang lain dalam rumah you.”
“ Zita! Apa kes
pagi-pagi ahad datang serang rumah I? Ni hari I rehat…tak ada perempuan mana
pun di sini.”
“ Komeng cakap…
you ada buah hati baru. I tak peduli… I nak you halau dia. Rumah ni daddy I
yang kasi kat you. Namapun belum tukar lagi tau!” Keras bunyi amaran itu.
Nampaknya, kalau melibatkan hak milik dan kuasa veto begitu… scenarionya sama
seperti pertengkaran Mama Min dan Papa Hakim. Keputusan akhir nampaknya, seperti
sudah aku tahu. Pastinya ia tidak akan memihak kepada aku.
Dalam aku sibuk
berfikir dan mencerna situasi yang bakal melanda, tanpa aku sedar Zita sudah
tercegat berdiri merenung aku. Memanglah dia cantik. Namun renungannya yang
seperti harimau itu… melenyapkan apa saja kecantikan yang dia ada.
Aku hanya
memerhatikan dia dengan mata memohon simpati. Tanpa simpati, dia mencekak
belakang leherku. Tanpa rela dia memaksa aku ke depan lalu kami berdiri
mengadap Mizi. Bimbang juga jika dia hilang akal dan mencampakkan aku keluar
dari tingkat 10 kondominuim Seri Angsana ini.
“ Zita!
Lepaskanlah dia… dia bukan lawan kau pun. Aku cuma suka-suka nak simpan dia.
Kat dunia ni… hanya kau sorang jer yang aku sayang. Kau pun tahu kan!” Lembut
suara Mizi mengayat perempuan gila yang sedang mendominasi suasana. Hmm…
melihatkan perangai Mizi begitu, sahamnya di mataku… jatuh merudum. Ini mungkin
spesis lelaki yang hidup atas ihsan perempuan. Mengikut saja kata-kata
perempuan seperti Zita tu.
“ I tak peduli,
samada dia lawan I atau tak. Just get rid of her! I tak suka you berikan
perhatian selain dari untuk I. Apalagi untuk makhluk merempat macam ni.” Setiap
patah yang Zita keluarkan, seperti terjerit-jerit. Gaya perempuan sewel terkena
sawan. Setiap kali Zita menjerit, setiap itu Mizi mememekkan mukanya.
“ You ni… cuba
bertimbang rasa sikit. Dia kan tengah sakit. I tolong dia pun sebab dia
accident.”
“ I don’t care!
I tak nak tengok muka dia lagi bila I datang nanti! Make sure you do that!”
Dengan kata-kata itu, Zita melangkah keluar. Sempat juga dia menolak Mizi
hingga hampir tersandar di dinding.
Mizi menutup
pintu. Kemudian dia berkalih memandangku dengan pandangan yang sayu. Aku
mengangguk faham. Lantas berkalih menapak ke dapur dengan muka merenung lantai.
Sudah tahu apa yang bakal menungguku.
*****
“ PATUTLAH kau sombong sangat masa mula-mula aku jumpa
kau. Baru aku sedar… aku tak setampan Aaron Aziz. Tapi yang funnynya… kau ada
hati nak kan Aaron Aziz!” Donny ketawa kuat. Menggeleng kepala sebelum dia
bergolek-golek di atas simen. Itu versi kelakar tahap gaban yang pernah dia buat di hadapanku.
Walaupun tahu
aku disindir, namun aku tidak ambil hati. Sekadar tergelak kecil mendengar
komennya. Memang pun aku tak sedar diri. Terlalu lama duduk di rumah Papa Hakim
dan dilayan oleh Marsya seperti sahabat sejati… membuatkan aku kadang-kadang
terlupa siapa aku dan asal usul aku.
“ Aku sombong
bukan sebab kau tak kacak. Cuma muka kau tu ganas, aku takut kau cederakan aku.
Lagipun waktu tu… aku keliru, tengah lapar pulak tu.”
“ Muka aku,
memang muka pecah rumah ke?”
“ Tak… muka
pecah tong sampah!”
Donny menampar
kepalaku lembut. Sekadar bergurau. Aku melompat ke atas tembok. Merenung bulan
yang bersinar penuh dari tingkat dua bangunan usang dan terbiar berhampiran
komplek medan selera.
“ Terima kasih
sebab ajar aku hidup macam ni, walaupun kadang-kadang kena ikat perut, kena
usir, kena pukul… tapi aku rasa bebas.” Ucap aku, masih merenung bulan.
“ Hmm… kita
memang terdedah dengan semua tu. Nak buat macam mana… Eh! Tadi, Mat Taiko kena
langgar. Dia dah mati depan mata aku…”
Khabar itu
membuatkan aku terkejut. Walaupun Mat Taiko tu selalu mengganggu aku, cara
kematiannya membuatkan hati aku dipagut pilu. Hari ini… hari dia. Hari aku…belum tahu. Mat Taiko yang setaraf Saleh Dol, Samseng Kampung Pisang itu pun, tumpas dengan kehidupan begini. Aku ini, apatah lagi...
“ Hmm… kesian
dia. Itu nasib dia… nasib kita, belum tentu..” lemah aku menuturkan kata-kata
itu.
“ Kau tak rindu
kehidupan lalu?” Donny menongkat dagu, bertanya soalan itu kemudian menguap
panjang. Buruk betul rupanya waktu itu. Menyeringai seperti Serigala jadian lapar darah. Matanya kian kuyu, menunggu jawapan dari mulutku.
“ Rindu! Aku
rindu dipeluk dan dibelai oleh Mama Min dan Marsya.” Mengingatkan itu,
membuatkan air mataku menitis.
“ Meh sini! Aku
tolong peluk kau.” Donny tersengih mendongak ke arahku. Itu ayat versi gatal pertama yang terlontar dari mulutnya selama aku kenal dia. Memang malam ini, dia seperti hilang akal.
“ Jangan nak
mengada. Pelik karang orang tengok. Kita memang tak sepatutnya berkawan pun!
Betul tak?
“ Alah!
Sekarangkan orang sibuk Satu Malaysia. Kau dengan aku… macam Melayu dengan Cina.
Sekarang ni… kat mana-mana orang bercakap tentang benda tu. Kawin campur ni... dah boleh diterima pakai.”
Aku tergelak
mendengarkan teori Donny. Memang dia benar-benar pening malam ini. Mungkin akibat menyedut lebihan air dari tin minuman keras yang dia temui di luar kelab malam awal malam tadi. Malas mahu menjawab, aku meniti atas tembok dan
melompat ke tembok sebelah. Sekadar bermain-main dan mahu merawat rinduku pada Marsya yang tiba-tiba datang menerpa.
“ Kau ada masa
lalu?” Soal aku sambil memandang Donny.
Mukanya
bertukar riak. Jauh dia melemparkan pandangan.
“ Aku pernah
juga tinggal di rumah besar macam kau. Tapi bila Master Johnny meninggal,
khidmat aku tak diperlukan lagi. Tak ada orang sudi ambil aku. Inilah sudahnya
hidup aku. Tapi sekarang aku happy, sebab kau ada nak temankan aku.” Donny
tersengih memandang aku.
Aku membalas
pandangannya. Hmm… entah bagaimanalah hidup aku kalau tidak bertemu dia hari
itu. Hari bila Cik Zita sewel itu membawa aku dalam keretanya dan mencampak aku
keluar ke tepi jalan.
“ Meh ler
tidur!”
“ Kau tidurlah
dulu. Aku mahu menghayati keindahan malam… entah berapa lama lagi untuk aku
melihat semua ini…” belum sempat habiskan ayat, bunyi dengkur Donny sudah
kedengaran. Aku hanya tersenyum.
Malam ini, kala
melihat bulan, aku jadi betul-betul rindu dipeluk dan dibelai Marsya seperti
selalu. Entah rindu atau tidak Marsya pada aku?
*****
DONNY berlari menghampiri aku. Dia berpusing-pusing
mengelilingiku sebelum berhenti. Terjelir lidahnya akibat kepenatan. Hairan aku
melihat tingkahnya.
“ Kau ni
kenapa? Kena kejar dengan hantu Mat Taiko ke?”
“ Meh! Ikut
aku. Cepat!”
“ Kenapa?
Beritahu aku dulu…"
”
“ Ada budak
perempuan belasan tahun, lekatkan gambar kau merata tempat. Aku rasa… dia cari
kau. Mungkin itu Marsya kau!”
Aku terkejut.
Marsya cari aku?
“ Macam mana
rupanya?”
“ Badan dia
kecil molek, rambut panjang dan putih melepak.” Jawab Donny. Dia kemudian berlari
mengelilingi aku sekali lagi.
Penerangan
Donny itu memang melambangkan Marsya aku. Bahagianya hati aku. Akhirnya Marsya
mencari aku semula.
“ Cepatlah!
Nanti dia berlalu… kau juga yang putih mata” Tanpa menunggu aku, Donny mula
berlari, lantas aku mengikutnya dari belakang.
Sebaik sampai
di hadapan jalan bertentangan medan selera, aku nampak kelibat Marsya. Memang
itu Marsya aku. Ya Allah! Rindunya aku pada Marsya! Aku mahu menjerit memanggil
Marsya, namun aku tidak mampu. Seperti tahu kepayahan aku, Donny mula
mengeluarkan suaranya. Suara yang pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja.
Marsya berkalih. Pandangan kami bertembung.
Aku lihat mata Marsya membulat. Dia terlompat-lompat keriangan.
Aku rindu
Marsya. Rindu pada belaian dan usapan tangannya ketika mendokong aku. Tanpa aku
sedar, kaki aku sudah mula melangkah melintasi jalan yang sibuk. Waktu itu, aku
hanya nampak Marsya, ingin segera dipeluk Marsya. Soal keselamatan diri sudah
tidak ujud dalam minda aku.
“ Tasya
jangan!” Laung Marsya.
“ Tasya
tunggu!” Tempik Donny.
Screeeet!!!
Bum!
Badan aku tiba-tiba terasa melayang. Jatuh menghentam bumbung kereta yang diparkir di bahu jalan. Darah mula mengalir dari telinga, hidung dan mulutku. Terasa sakit di seluruh bahagian badan. Dengan keadaan badan terbaring di situ dan kepala mengadap tempat Marsya berdiri tadi, aku dapat melihat dia terjelepuk menangis di situ. Namun dia gagahkan diri untuk bangun menerpa ke arah tubuhku yang sudah tidak bermaya.
Papa Hakim yang
datang entah dari mana, menarik tubuhku dan meletakkan aku ke dalam pelukan
Marsya. Tanpa bertangguh Marsya mula membelaiku. Airmatanya bercampur dengan
darahku, kian membasahi badan. Akhirnya… doa aku diperkenan olehNya. Rindu yang aku tanggung terubat juga, walaupun di saat-saat akhir sebuah kehidupan.
Mata aku gerakkan memandang Donny. Dia merenung sayu ke arahku. Dengan perlahan imej Donny terpadam…
diganti dengan kegelapan.
*****
“ APEK! Apa pasal
itu anjing?” Tanya penjual buah di kaki lima kompleks makanan.
“ Saya ingat… dia
sakit kut. Makan pun tak mau.”
“ Dia selalu kawan
sama itu kucing betina… sayapun pelik. Mana ada anjing kawan baik dengan kucing.”
“ Sebab
itu kucing sudah mati kena langgar minggu lepas. Sejak itu, dia sudah mogok lapar.
Kesian. Dia macam hilang dia punya cinta.”
Donny terdiam mendengar manusia-manusia itu bercakap. Manusia yang hanya pentingkan poket dan perut mereka sahaja. Manusia yang membina rumah seperti istana, namun lokek mahu memberi perlindungan kepada spesis spesis seperti dia. Manusia yang fikir, dunia ini hanya kepunyaan mereka. Bukan untuk anjing seperti dia dan kucing seperti Tasya.
______________________________________________________________________________
Sekadar menyelam rasa hati haiwan terbiar...
______________________________________________________________________________
Sekadar menyelam rasa hati haiwan terbiar...
4 comments:
Syabas!... sayu hati baca cerita ni.
-s.k
skausari.blogspot.com
S Kausari,
Thanks...kucing binatang yang manja, suka dibelai dan disayang. Saya selalu sedih tengok kucing terbiar... nak bawa balik, kat rumah dah banyak...huhuhu
sayu dan sedih dihati membaca kisah ini....mmg selalu melihat kucing terbiar ...hasrat ingin membantu tapi kurang mampu...cuma boleh memberikan usapan sayang dan kata2 semangat....
Sarah Nadhrah,
Takper, kita buat yang termampu, belai dia... dan share makanan yang kita makan, walaupun kepala ikan pun takper.Tak kisahlah wpun besar manapun. Insyallah ianya bernilai...
Kalau kita lapar... dia pun lapar jugak. Huhuhu....
Post a Comment