Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, November 28, 2014

NOMBOR 23 - BAB 10


Shah Alam, Seksyen 17

MOTOSIKAL kapcai Honda Wave yang Sarjan Yaakob pinjamkan untuk kegunaan Akmal bergerak perlahan melalui Pesiaran Sultan. Apabila terpaksa menunggang dengan kelajuan begini, dia semakin teringatkan Mat Top yang kini sedang ‘bertapa’ di bengkel Seksyen 16. Mujur juga ada kapcai pinjam-pinjaman ini. Itu pun hanya untuk beberapa hari sahaja. Kalau anak saudara Sarjan Yaakob pulang semula dari kampung, terpaksalah dia menumpang orang lain pula.
Sebaik membelok memasuki susur ke Persiaran Selangor dan melalui bulatan di situ, hujan mula turun rintik-rintik. Akmal melajukan tunggangan. Dia mengambil arah pukul tiga menuju bulatan kedua yang bersambung dengan Persiaran Raja Muda Musa. Walaupun hujan kian lebat, dia malas mahu berhenti. Bukan jauh sangat lagi untuk sampai ke rumahnya. Lepas bulatan ketiga, ambil susur ke kanan… akan nampaklah papan tanda bertulis Seksyen 17 terbentang di tepi jalan.
Akmal berhenti di hadapan Blok 3. Dia mengetuk pintu sambil memberi salam. Hari ini dia terlupa membawa kunci rumah. Sementara menunggu emak, dia mengibas seluar yang sedikit lencun akibat terkena air hujan.
Pintu dibuka. Wajah emak tersembul dari dalam. Dan emak terus beristighfar panjang sambil menggeleng kepala apabila melihat Akmal basah.
“Tulah… mak suruh beli kereta lagi sebuah, nak jugak naik motor. Kalau hujan… kan tak dak bumbung! Habih basah! Lepas tu… ada motor pun, abang pi duk langgaq orang…” omel emak dalam loghat utara. Dagunya bergerak-gerak seperti biasa.
Akmal tersengih. “Naik motor baru nampak maco, mak!”
Hmm… banyak la hang punya maco. Maco sangatlah hang kalau naik kapcai pinjam tu!”
Akmal telan air liur. Emak ni, sekali-sekala keluar kenyataan, boleh makan dalam sampai ke tulang hitam. Sabar, Akmal… sabar. Akmal tersengih herot apabila melihat emak tersenyum sungging, bahagia melihat senyuman emak yang begitu.
“Pinjam-pinjaman ni sat saja mak. Seminggu dua lagi, okeylah buah hati abang tu.”
Hmm… macam-macamlah jawapan abang. Lagi satu, fasal maco tulah… sampai la ni hang takdak marka,” sambung emak sambil membuka mangga jeriji besi. Dia membuka pintu itu luas-luas, bergerak ke tepi memberi laluan untuk Akmal.
Selepas menutup pintu, Akmal memimpin emak ke ruang depan. Ayat emak tu dia biarkan tergantung tanpa jawapan. Apabila bercakap tentang jodoh, dia jadi kalah mahu berhujah dengan emak.
Jalan emak sudah tidak berapa kuat. Sejak kematian ayah, kesihatan emak merosot teruk. Emak sudah menggendong penyakit tiga serangkai seperti dihidapi kebanyakan orang yang sebaya usianya. Bukan setakat itu sahaja, emak juga kerap mendapat serangan asma sejak kebelakangan ini. Sebab itulah Akmal berkeras mahu membawa emak mengikutnya berpindah ke Shah Alam. Sudah tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menjaga emak di Pulau Pinang. Kebetulan pula, sebulan sebelum Akmal mendapat arahan berpindah, Syuhada terlebih dahulu mendapat tawaran belajar di UiTM. Emak pada awalnya membantah, terutama apabila mendengar nama Shah Alam itu sendiri. Kata emak, dia tidak betah tinggal di bandar besar, namun dia terpaksa juga mengikut apabila Pak Ngah campur tangan.
Mujur juga, emak nampaknya sudah jatuh suka dengan aktivitinya di sini. Kebetulan… sejak mereka berpindah ke mari, Mak Ngah Limah, isteri Pak Ngah selalu membawa emak menghadiri kelas-kelas agama. Ada yang diadakan di masjid dan ada yang di rumah kawan-kawannya. Kata emak, dia bersyukur sangat kerana sempat juga menambah ilmu akhirat di hujung-hujung usianya.
“Kesian abang, bagi Dada naik kereta, abang pula basah kena hujan.” Syuhada yang baru keluar dari bilik mengelap rambutnya yang basah. Dia menjeling pada seluar Akmal yang sudah basah.
Takpa aih. Abang memang suka main hujan. Kan, mak kan!”
Emak tidak menjawab. Dia hanya ketawa kecil sambil menggeleng kepala.
Syuhada mengambil tempat di sofa sebelah emak. Dia terus menuang air yang sudah sedia terhidang lalu menghulurkan cawan berisi teh ‘o’ panas kepada emak. Dia mengerling ke arah Akmal.
“Sibuknya abang sejak pindah mai sini. Bandaq besaq, tentu jenayahnya pun makin canggih, noo… sampai tiap-tiap malam balik lewat.” Secawan teh ‘o’ turut dihulurkan kepada Akmal.
Akmal menggeleng. “Nak salin seluar dulu. Dada letak tepi. Sat lagi abang minum.” Dia meletakkan kunci motor dan telefon bimbit di atas kabinet bersebelahan televisyen LCD. Kemudian kembali menghadap Syuhada.
Belum sempat menjawab soalan Syuhada, emak terlebih dulu bersuara…
“Abang selalu balik jauh-jauh malam. Mak risau. Mak tau… mak dengan ayah dulu tak banyak ajar abang ilmu agama. Mak minta maaf. Tapi sejak mak ikut Mak Ngah pi belajaq sana-sini, mak sedaq… hidup kita banyak kekurangan. Mak tau mak tak layak nak cakap ni… tapi, kalau abang ada masa, carilah ilmu akhirat untuk diri sendiri. Mak risau… duduk kat sini… banyak sumber hiburan keliling pinggang. Mak tak mau abang ralit. Ralit kerja dan ralit juga dengan dunia. Macam mak dan ayah muda-muda dulu…”
Kata-kata emak buat Akmal terperanjat. Ini pertama kali emak menegur Akmal tentang hal-hal keagamaan. Akmal lihat emak mengesat air mata. Nafasnya nampak seperti mahu semput. Tidak dapat dinafikan, Akmal memang rasa sangat tersentuh dengan teguran emak. Dia sendiri… bukanlah tidak sedar kekurangan diri. Cuma dia rasa masih terlalu awal untuk memikirkan hal-hal seperti itu.
“Mak jangan risau. Abang dah besar… itu dah jadi tanggungjawab abang untuk diri sendiri. Nanti senang-senang… abang ikut Pak Ngah pi mengaji.” Dia urut bahu emak perlahan sebelum berkalih memandang Syuhada. Dia sedar soalan Syuhada tadi masih belum berjawab.
“Kebetulan, pindah mai sini ja, kena handle kes VVIP. Tu yang teruk sikit. Dada ada baca paper minggu lepas?”
“Kes apa, abang?”
Belum sempat Akmal menjawab, emak mencelah lagi sekali, “Kalau abang berurusan dengan orang ada nama, ada pangkat ni, kena hati-hati sikit. Depa ni pandai guna duit depa untuk beli orang lain. Mak tak mau abang dapat susah.”
“Insya-Allah, mak. Abang akan hati-hati. Mak jangan risau. Lagipun bukan semua VVIP macam tu,” balas Akmal. Dia tersenyum mendengar kerisauan emak.
“Kes apa tu?” soal Syuhada sekali lagi.
“Ada orang kena bunuh depan rumah Teratak Nur Karmila, dekat Seksyen 8 tu. Kalau tak silap, berita tu ada dalam paper.”
Prang!
Cawan di tangan emak tiba-tiba terlepas. Air teh ‘o’ yang masih panas mencurah paha emak sebelum cawan mendarat di atas lantai bermarmar lalu pecah berderai. Emak mengurut dada. Nafas emak semakin semput. Muka emak pucat tidak berdarah. Asma emak menyerang lagi nampaknya.
Kelam-kabut Syuhada bergegas ke dalam bilik untuk mencari penyedut Ventolin yang selalu emak gunakan.



AKMAL TERSENYUM. Dia merenung kad nama April yang baru dikeluarkan dari dompet entah untuk kali yang ke berapa? Asyik tengok, simpan, tengok, simpan, belek. Kemudian asyik berfikir mahu telefon atau tidak?
“Hai! Takkan dah angau kut? Sampai tengok kad pun dah senyum!” tegur Syuhada. Tersengih.
“Isy! Jangan kacau abang, boleh tak?”
“Tak kacau… cuma tegur,” balas Syuhada.
“Samalah tu.”
“Dada tak pernah tengok abang ada interest dengan perempuan sampai perlu pakai strategi.” Syuhada tersengih. Dia memperlahankan suara. Matanya menjeling ke arah bilik emak. Akmal turut sama menjengah, melihat kelibat emak sedang berbaring nyenyak di atas katil. Emak tidur aje sejak serangan asma tadi. Moga asma emak akan cepat reda…
Akmal kembali memandang Syuhada yang rupanya sedang tersengih macam kerang busuk. Mulalah tu! Dah datanglah tu angin kepoh mami jarumnya. Tengok cara dia sengih pun… Akmal sudah kenal.
“Apa senyum-senyum? Abang biasa saja. Dada tu yang tersilap tafsir.”
“Hek eleh! Strategi apa abang pakai, nak mengurat perempuan… mulut tak insurans. Lepas tu, sampai pi duk mengaku kita suami isteri? Macam tak pernah dibuat orang! Itu strategi nak melepas namanya tu!”
“Oh! Fasal tu ke? Adalah sebabnya! Dada budak-budak… duk diam-diam!”
“Tapi, perempuan tak suka get involved dengan lelaki mulut longkang dan yang dah beristeri. Kut-kut dia boleh buka ruang… terus dia tutup peluang abang!” Sebaik habis berkata, Syuhada bergerak ke arah dapur kecil yang sekadar muat dua orang tu. Keletak-keletuk bunyi dia membuka dapur gas. Dia sedang memanaskan lauk-pauk siang tadi agaknya.
Akmal garu kepala mendengar pendapat Syuhada.
“Dada ni, sampai hati betullah…” Betul ke mulut dia macam longkang? Akmal termenung, meraba bibirnya. Kalau kata seksi tu, bolehlah juga diterima pakai.
Kalau difikir-fikirkan semula, tak adalah teruk sangat kata-kata dia hari itu. Dia sekadar lahirkan rasa tak puas hati apabila April pura-pura pengsan. April pun salah juga. Asyik tekankan tentang kemampuannya. Tahulah April tu tauke butik, mesti anak orang kaya. Entah-entah anak Datuk atau Tan Sri? Dia pulak cuma anak pesara kerajaan aja. Arwah ayah dulu… cuma bekerja di jabatan kerajaan. Emak pula, suri rumah sepenuh masa. Macam enggang dengan pipit… mana mungkin boleh terbang sama tinggi. Berdiri tidak sama tinggi, duduk pula… mestilah tidak sama rendah.
“Bila nak telefon dia?” soal Syuhada dari dapur.
Soalan itu mematikan terus lamunannya. Amboi! Jauhnya dia mengintai masa depan! Dia menggaru-garu kepala sambil mengintai Syuhada.
“Ah, seganlah, adik! Kita tengok dulu macam mana. Kalau tak teruk sangat… abang tanggung sendirilah semua kos baiki Mat Top abang tu. Kerek sangat pun awek tu. Macam dia sorang aje yang ada duit.”
“Mana boleh macam tu. Hari tu abang yang beria-ia nak minta ganti rugi.”
Sudah… Syuhada sudah berleter, mau sakit telinganya nanti. Malas dia mahu melayan. Kalau sudah terperangkap, nanti terlambat pula dia dan terpaksa batalkan pertemuan dengan Doktor Faiz. Kata Doktor Faiz, dia ada kejutan untuk Akmal malam ini.
Dia bangun dan terus memasukkan kad nama tadi ke dalam dompet duit yang berada di atas kabinet. Kemudian Akmal menyambar tuala yang tersangkut di kerusi meja makan. Dia berjalan melepasi Syuhada yang nampak benar kurang berpuas hati dengan jawapannya kerana Syuhada sedang bercekak pinggang merenung dia.
“Biarlah dulu. Abang nak mandi. Jangan sibuk-sibuk duk fikir hal abang. Boleh?”
Syuhada tarik muka masam.
“Oh ya… lupa pulak. Pagi tadi, abang jumpa Pak Rasyid yang duduk hujung blok ni. Dia cakap, hati-hati dengan acuan Terengganu, kat rumah dia, kerap hilang. Kata dia budak kilang kat sebelah rumah dia pun kompelin perkara yang sama.”
“Acuan Terengganu?”
Akmal angguk kepala. Tersenyum.
“Isy! Seramnya… ada orang miang suka mencuri benda tu ke?”
“Entahlah!” Akmal segera masuk ke dalam bilik air. Nasib baik boleh melepaskan diri daripada leteran kembar Cik Siti Tanjung Perak tu.
Yang dia tak tahu, muka masam Syuhada itu berkerut hanya sebentar. Syuhada tersengih sebaik Akmal menutup pintu sebelum bergegas mendapatkan dompet Akmal dan menyalin nombor telefon yang tertera di kad nama April ke dalam telefon bimbitnya.
Syuhada tersengih sambil buat tangannya buat aksi yes tiga kali.
Entah apalah rancangan yang ada dalam kepala otaknya ketika itu.



The Teapot Deli, SACC Mall

“AKU dah dapat result CT Scan hang tu,” ucap Doktor Faiz dalam loghat Pulau Pinang sebaik pelayan restoran bergerak meninggalkan mereka. Bertemu orang senegeri, mestilah bertutur loghat bahasa ibunda.
“Tu ka? Pasai tu hang nak jumpa aku hari ni? Buat aku suspens saja. Ada ka yang tak kena dengan aku ni?”
Doktor Faiz geleng kepala. Tersenyum.
“Semua okey! Aku rasa… hang tu migrain saja. Tak payah risau. Hang makan ubat yang aku bagi dan ikut saja petua aku tu. Elakkan perkara yang patut hang elak… berkuranglah nanti serangan sakit kepala hang tu.”
Akmal merenung wajah Doktor Faiz, kawan sebiliknya sewaktu sama-sama tinggal di asrama dulu. Kecerdikannya sejak zaman sekolah dulu menjadikan dia seorang doktor hari ini. Walaupun begitu… sifatnya masih sama, masih merendah diri dan sentiasa menghargai kawan-kawan.
“Aku ikut ka, tak ikut ka… sama saja. Lagu tu jugak la sakit kepala aku tu. Kadang-kadang, aku pun naik hairan. Hang ingat kan… dari dulu, sakit kepala dengan aku ni, dah macam kawan baik.” Akmal temukan kedua-dua jari telunjuk kiri dan kanan ketika merujuk pada terma ‘kawan baik’.
Doktor Faiz tersengih.
“Isy, ada ka pulak tak ingat! Kalau hang sakit kepala, dengan aku aku sekalilah rasa macam sakit kepala. Bukan takat aku… habih hang angkut kawan-kawan kita duk gubra kat hang. Salah sorangnya… tu, bro yang duk langkah nak mai sini tu…”
Giliran Akmal pula tersengih macam kerang busuk. Dia berkalih ke arah yang ditunjukkan. Cepat saja dia bangun apabila melihat kelibat orang yang menghampiri mereka. Dia memberikan tabik hormat.
Isy! Tak payah la nak tabik-tabik… kita bukan dalam kerja. Aku dengan hang… bukan satu jabatan lagi. Aku kat Penang, hang kat sini,” balas DSP Hakimi, senior dua tahun sewaktu bersekolah di Sekolah Datuk Onn dahulu. Berbeza dengan mereka berdua, Kimi tidak menghuni di asrama. Dia lebih selesa berulang alik dengan Kak Nina, buah hatinya yang akhirnya hilang tanpa berita.
“Kimi ni baru naik pangkat selepas berjaya selesaikan kes pembunuh bersiri Bougainvillea dulu. Dapat selesai kes, dapat buang kenangan lama dan dapat makwe sekali. Lumayannn…” giat Akmal sambil bersalaman dengan Kimi.
Kimi tersengih, menampakkan aset gigi ketuk yang membuatkan gadis-gadis tidak tidur malam melihatnya. Dia kemudiannya, bersalam dengan Doktor Faiz. “Dia saja nak kipaih aku, ingat aku boleh naikkan pangkat dia ka apa?”
“Aku kena hormat senior. Dua kali senior, senior kat sekolah dan senior kat tempat kerja. Lagipun, hang kan pangkat tinggi daripada aku. Teruk betul Faiz ni… nak berahsia bagai...”
 Faiz tersengih.
“Duk sembang apa? Serius sangat aku tengok dari tadi?” soal Kimi.
Hmm… fasal malaun sekoq ni, sakit kepala dia… tak habih-habih lagi.”
“Ohhh… kisahnya…” balas Kimi pendek.
“Maaflah… susahkan hampa semua. Aku pun tak tau apa yang tak kena dengan aku. Kalau dulu hang dah kata teruk… la ni, lagilah teruk. Sebenarnya, macam yang Kimi dah tahu, beberapa tahun kebelakangan ni, aku kerap dapat sakit kepala kalau ada pembunuhan bakal terjadi dan kes tu… aku yang akan kendalikan. Aku sampai boleh kenal tanda-tandanya, dan telahan aku tak pernah tersasar lagi.” Akmal berhenti sebentar, memandang Kimi yang mengangguk perlahan.
“Cuma sejak pindah ke sini, aku dapat sakit kepala dengan imbasan sekali. Macam kes yang aku tengah siasat la ni. Aku dapat imbasan, dan apabila sampai crime scene… kedudukan mayat dan nature kejadian, sebijik macam yang aku nampak. Lepas tu, aku sakit kepala sampai pengsan. Siap dengan segala panah macam kilat dalam kepala aku ni. Kalau panah asmara… tak apalah jugak! Lepas tu, rasa macam ada benda nak keluar, tapi tak boleh nak keluar. Kepala aku ni, throbbing macam nak pecah!”
Berkerut kepala Doktor Faiz. Kimi tersenyum segaris. Dia sudah biasa sangat dengan masalah Akmal.
Hmm… interesting! Berat juga. Macam psikik pulak hang ni. Cuma hang kena ingat, semua tu tak boleh digunakan untuk bukti kes.” Kimi tersengih.
Akmal angguk. Dia tahu… Kimi bercakap berdasarkan pengalamannya dalam kes Bougainvillea dulu.
“Aku pun tak tau nak komen lagu mana. Tapi, bab panah asmara tu yang buat aku teruja nak tanya…” sambung Kimi tersengih lagi.
Hmm… jangan tunggu lama-lama. Kawan-kawan semua dah ada pasangan. Cuma tinggai hang sorang saja. Cepatlah sikit! Aku nak makan nasi minyak nanti,” usik Doktor Faiz.
Akmal tergelak kecil.
“Nak makan nasi minyak apanya… bakal pengantin pun asyik sakit kepala! Takut kalau pengantin perempuan tau… awai-awai lagi dia dah lari.” Akmal gelak besar. “Kita makan nasi minyak Kimi dengan tunangnya, Deena dulu le gamaknya.”
Doktor Faiz turut tersengih. Mahu menyambung kata tetapi terhenti apabila hidangan sampai. Patutlah Doktor Faiz oder dua fish pie, rupanya satu hidang… untuk Kimi. Akmal pula makan spageti marinara. Malam ini, mereka makan menu orang putih. Tukar selera sekali-sekala. Doktor Faiz yang cadangkan The Teapot Deli ni. Walaupun lokasinya di dalam kompleks membeli-belah, tapi suasananya selesa dan tak sesak sangat.
“Kau dengan Deena… bila nak langsung?” soal Akmal.
“Lambat lagi, baru aje tunang tiga bulan. Dia sambung buat master… aku pun sibuk juga.” Kimi tersenyum simpul. “Hmm… kerap ke sakit kepala hang sejak pindah mai sini?” Tangannya mula mencedok filling pai ikan yang nampak sangat menyelerakan. Sesekali dia memandang Akmal.
“Kerap… macam every week aje, mesti aku kena serangan...”
“Isy, keraplah tu! Nak aku rekomen kau jumpa pakar?” celah Doktor Faiz.
“Isy! Nantilah dulu. Lagipun aku baru sebulan kat sini… kita tengok dulu macam mana nanti.” Akmal tersengih.
“Dia ni memang takut nak jumpa doktor. Kat Penang dulu, demam ke, sakit kepala ke… tetap bersemangat nak kerja,” celah Kimi memandang Akmal dan Doktor Faiz.
Akmal buat muka bodoh. Tak ada kawan yang pernah tahu sejarah dia berjumpa dan mendapat rawatan sakit kepala tu… dah berlangsung sejak sekolah rendah lagi. Buat masa sekarang, mahu jumpa doktor pun macam mahu termuntah saja. Mujur Doktor Faiz ni kawan sekolahnya. Kalau tidak, melihat muka Doktor Faiz pun boleh buat dia rasa macam mahu memuntahkan segala isi perutnya.


Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU