Saya memang lemah bila datang bab memberi tajuk kepada cerita atau cerpen. So... saya main belasah aje. Selamat membaca cerpen kat bawah ni. Kisah ini adalah adaptasi dari cerita sebenar dan ditambah perisa untuk menyedapkan cerita. Tentunya ia berkenaan dengan yang hidup dan kebanyakan yang terlibat... masih panjang umur.
Sekadar hiburan dan renungan dalam menempuh ranjau kehidupan.
CINTA BUAYA
AKU tekan minyak kuat-kuat, sambil mulut aku menyumpah
kereta Honda Civic warna hitam yang bersaing di sebelahku. Gila! Dari tadi,
bila aku pandu perlahan untuk memberi ruang supaya dia memotong… dia pun pandu
berlahan. Bila aku tekan minyak macam Micheal Schumacher… dia pun pandu dengan
cara yang sama. Dan, bukan hanya hari ini dia begitu, dia seperti mengekoriku
setiap pagi sewaktu aku mahu ke tempat kerja. Yang tak sedapnya… aku hanya
nampak kelibat dia di sebalik cermin gelap keretanya.
Gila! Terasa macam nak sondol
aja kereta dia!
Huh! Mujur ada kereta datang
dari depan. Kalau dia masih degil nak bersaing dengan aku, dia akan berdepan
dengan ‘head on collision’! Pilihan di tangan dia!
Aku kaget, mulut hampir
ternganga kerana dia seperti enggan mengalah.
Hampir mahu masuk ‘wad
kecemasan’ jugalah jantung aku bila dia cuma mengelak di saat-saat akhir. Entah
bagaimana dia melakukannya, tahu-tahu… dia sudah mengekor aku di belakang. Kali
ini… cuma mengekor saja hingga ke tempat kerja aku.
Gila! Dia memang gila!
“ CIK SUFFI SOFEA BT MUHAMMAD
SOFFIAN!” Tanya seorang seorang lelaki yang sedang menggendong jambangan bunga
ros merah.
“ Ya, sayalah orangnya,” jawab
aku tersenyum.
“ Bunga ni untuk cik Sofea.
Tolong sain kat sini.”
Aku membulatkan biji mata.
Bunga? Untuk aku? Siapa yang hilang akal main hantar bunga untuk aku ni? Aku
pandang staf aku, Nini, di sebelah. Dia buat isyarat ‘thumbs-up’. Aku mencebek.
“ Untuk saya? Adik tak salah address ke?”
“ Betullah ni! Cuba akak tengok,
ini yang diisi oleh penghantar.”
Aku tenung resit penghantaran.
Memanglah alamat aku, siap dengan nombor telefon ofis sekali. Akur, aku mengangguk
perlahan, menurunkan tandatangan dan jambangan itu pun bertukar tangan.
“ Wah! Bos ada peminat!” Jerit
Nini. Disambut dengan laungan ‘yeay’ dari Yana yang sedang membersihkan
barangan di rak.
Aku buat muka ‘boring’. Walaupun
hati aku waktu itu turut kembang berbunga seperti jambangan yang aku terima. Orang
perempuan, kalau dapat bunga… tentulah suka. Seperti diberi penghargaan yang
tak terkira besarnya. Cuma… yang membuatkan rasa itu hambar kembali ialah
kerana aku tak tahu siapa pengirimnya.
“ Banyaknya kuntuman! Jap! Nak
kira,..” dan Nini mula menghitung. Aku hanya memerhatikan gelagatnya.
“ Berapa kuntum?” Laung Yana
dari belakang.
“ Tiga belas! Apa maksudnya?”
Soal Nini perlahan.
“ Ada maksud ke?” Soal aku. Aku
memang lemah kalau masuk bab bercinta dan segala erti dan lambang cinta.
Yana bergerak ke depan. Dia
turut membelek jambangan itu sambil tersengih. “ Kalau 13 kuntum, maksudnya…
orang yang hantar tu, minat dengan bos.” Dia tersengih.
“ Isy! Siapalah yang nak
minatkan saya ni? Bukan versi wanita idaman lelaki pun!” Balas aku cuma mahu
mematahkan usikan mereka. Tapi itu kenyataan yang cuba aku pegang. Aku sedar
diri, aku bukanlah cantik sangat. Aku cuma macam kata P. Ramlee… ‘lawa tiada
manis ada’. Manispun, bukanlah setara gula. Sekadar manis-manis buah aja.
Ring! Ring! Ring!
Telefon berbunyi dari dalam ofis
kecilku. Aku segera bergerak sambil menggendong jambangan yang baru aku terima.
“ Hello! Assalamu’alaikum!”
Ucapan biasa ketika menjawab telefon itu aku lafazkan.
“ Wa’alaikum Salam!” Jawab orang
sebelah sana. “ Dah dapat bunga kiriman saya?” Soalnya kemudian.
‘Dug dag dug dag’, dada aku
berdebar tiba-tiba. Namun aku cuba mengawal diri. “ Oh! Jambangan ros tu, awak
yang kirim? Saya kenal awak ke? Banyak duit awak hantar sampai13 kuntum!”
“ Awak kira? Awak tahu apa makna
13 kuntum tu?”
“ Staf saya yang kira. Entah!
Saya malas nak ambil tahu. Anyway,
terimakasihlah… sebab baik hati sangat kirim bunga untuk saya.”
“ Bunga tu, ada dua makna. Satu…
tanda saya meminati awak. Dan kedua, sebagai tanda permohonan maaf.”
“ Mohon maaf? Awak ada buat salah
kat saya ke?”
“ Sebab sayalah orang yang selalu
ikut awak tiap-tiap pagi waktu awak pergi kerja tu.”
Aku terdiam. Dia rupanya.
“ Helo! Helo!” Suara dia bergema
di sebelah sana.
“ Ya… saya masih di sini. Awak owner Honda Civic warna hitam tu?”
“ Sayalah orangnya.”
“ Hmm… lain kali kalau awak ikut saya macam pagi tadi, saya langgar
kereta awak biar kemek!” Tanpa menunggu dia menjawab, aku meletakkan gagang
telefon.
Aku tersenyum sendiri. Dada
menjadi kembang tiba-tiba. Aku ada peminat rupanya.
Biar betul! Macam susah nak
percaya!
AHMAD SHAUKI. Itu nama dia. Nama
yang dia perkenalkan pada aku. Kalau dia tipu, maka tertipulah aku. Dia tidak
pernah mengalah dan tidak nampak tanda-tanda mahu mengalah walaupun puas aku
cuba menolak salam perkenalan darinya. Sehingga hari ini, aku masih menolak
untuk mengenali dan menatap wajahnya. Kacakkah dia? Rongakkah dia? Aku tidak
ingin ambil tahu.
Bukan aku tidak tersentuh dengan
kiriman bunga dan ‘teddy bear’ besar yang mengiringi kesungguhannya. Bukan aku
tidak terbuai dengan usikan dan jenakanya lewat panggilan yang dibuat ke tempat
kerjaku. Harus aku mengaku… rasa itu kadang-kadang menjelma juga.
Mengusik-ngusik minda. Cuma… aku memang jenis yang tidak mudah percayakan
lelaki. Pengalaman kawan-kawan dan cerita-cerita yang aku baca, membuatkan aku
sangat berhati-hati terutamanya terhadap seorang lelaki seperti dia. Naluri
hati aku kuat mengatakan yang dia spesis ‘buaya darat’ yang memang mahir
mengayat. Pakar jual ‘minyak urat’. Kalau dia boleh melakukan semua itu pada
aku, dia boleh saja melakukan perkara yang sama kepada gadis-gadis lain.
“ Bos fikir apa?” Soal Yana
tiba-tiba dari belakangku.
Terperanjat aku. Si Yana ni
memang suka muncul tiba-tiba di mana-mana. Macam magik pula kadang-kadang.
“ Tak ada yang serius… tengah
mengadap nasi ni, otak mula ingat itu, ingat ini,” balasku.
Dia tersengih. “ Lama tak dapat
call dari secret admirer, rindu kut!”
Giat Yana. Nini yang sedang duduk di kaunter depan ketawa mengekek.
Haila… staf aku ni, potong gaji
nanti, baru tahu!
Tak dapat dinafikan, telahan itu
ada benarnya. Kalau dia terlalu telefon… aku muak kerana aku seperti dapat
mengesan aura buaya darat dalam setiap ayat yang dituturkannya. Bila dia senyap…
aku seperti tertunggu-tunggu suaranya. Pelik! Sedangkan aku sedar… itu memang
modul operandi pakar ayat se antero dunia.
“ Bos! Ada customer nak jumpa!” Teriak Nini dari kaunter depan.
Aku bangun, dengan tangan belum
berbasuh… bergerak ke depan. Tangan itu aku sembunyikan di belakang badan.
Seorang pelanggan lelaki sedang
tersenyum ke arahku. Matanya menyorot tangan yang aku sembunyikan.
“ Maaf! Saya sedang makan.”
Teruknya aku! Kenapalah tak basuh tangan dulu?
“ Mengganggulah saya ni, ya!”
Aku tersenyum. “ Ada apa yang
boleh saya bantu?”
“ Saya nak beli ubat untuk baby sakit mulut. Lidah dia putih dan
dia tak selesa nak menyusu.”
Selepas bertanya soalan yang
perlu, aku berikan dia ubat yang sesuai dan kembali menyambung makan tengahari.
Sebaik bangun untuk mencuci tangan, telefon pejabat berbunyi. Aku isyaratkan
Yana menjawabnya.
“ Untuk bos!” Dia tersengih.
Dan, aku faham makna sengihan tu, tentu dia kenal siapa di talian dan sedang
mengusik aku.
Aku sambut gagang dari tangan
Yana, lalu buat aksi seperti mahu mengetuk kepalanya. Dia ketawa mengekek lalu
berlari ke depan. Inilah penangan kalau tidak meletakkan garisan sempadan
antara perhubungan majikan dan pekerja.
“ Assalamualaikum!”
“ Alaikum salam. Tengah rindukan
saya?”
“ Mana ada… kirim salamlah nak
rindukan awak.”
“ Tapi saya nampak isyarat rindu
di mata awak tadi.”
“ Tadi? Awak mengendap saya dari
mana?”
“ Tak mengendaplah. Saya baru
aja keluar dari kedai awak.”
Mulut aku ternganga. Baru keluar
tadi itu maksudnya…
“ Awak yang beli ubat untuk baby tu? Baby awak ke?”
“ Isy! Itu yang buat saya suka. Soalan
yang belakang tu berbunyi cemburu…” giatnya.
“ Ye lah tu, tak ada maknanya!”
“ Handsome tak saya?”
“ Bolehlah… macam orang. Ada
mata… ada hidung.” Balas aku bersahaja. Cuma dalam hati berkata, kalau
pelanggan yang tadi tu… boleh tahanlah juga.
Erk! Boleh tahan aja ke? Aku
garu kepala.
SUDAH SEBULAN BERLALU selepas
bermula fasa mengenali hati budi antara aku dan dia. Fasa yang aku syaratkan
padanya, setelah dia tidak henti-henti mengganggu aku. Aku setuju untuk memberi
ruang dan peluang. Tapi fasa pertimbangan itu aku tetapkan selama 3 bulan.
Bunyi macam perasan sangatlah aku, kan! Aku bukan perasan, aku cuma mahu
berhati-hati dan menjaga diri. Tiga bulan itu, aku kira… cukuplah masa untuk
aku membuktikan rasa cuak di hati.
Setelah siri kiriman bunga dan
hadiah-hadiah, dia mengharapkan sebuah pertemuan. Sesuatu yang aku tidak gemar
untuk lakukan. Namun aku mengalah, berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah.
Dan aku katakan… jika dipertemuan pertama ini, aku dapati hati aku tidak boleh
menerimanya… aku mahu dia akur. Berhenti mengganggu aku dan biarkan aku lalui
hidup aku dengan tenang.
Dia menerimanya kerana katanya
dia yakin, yang aku akan terus jatuh cinta padanya.
“ Kenapa diam?” Soalnya ketika
aku duduk bertentangan dengannya di restorant The Original Chicken Chop.
Aku tersenyum segaris. Tak tahu
bagaimana mahu menjawab. Aku sudah sejam berdua-duan dengannya di sini. Aku
perhatikan bagaimana dia melirik matanya, cara dia tersenyum dan gaya dia
melayani aku. Entah kenapa, aku merasakan segala yang aku sangsikan, yang aku
bimbangkan… ada kebenarannya.
“ Apa pendapat Sofea tentang saya? Saya mahu
jawapan telus dan jujur.”
Aku berdehem. Tersenyum segaris.
Diam sebentar seperti berfikir.
Dia mengangkat kening.
“ Harus saya akui, awak lelaki
yang ada karisma, kacak dan pandai melayan wanita.” Dia tersengih bila aku
berhenti di situ. “ Cuma… setiap kali melihat awak… saya seperti melihat seekor
buaya yang terkodek-kodek ekornya. Serius! Awak nampak macam pakar mengayat
perempuan!” Aduh! Macam mana aku boleh beri jawapan tanpa berlapik langsung!
Dan, waktu itu juga… aku nampak jiran kakak aku, Kak Syida baru melangkah
memasuki pintu restoran.
Kak Syida seperti terkejut
melihat aku, aku angkat tangan melambai! Dia senyum. Tapi… kenapa aku rasa
senyumnya seperti terpaksa aja?
“ Siapa?” Soal Ahmad Shauki
membuatkan mata aku berkalih memandang dia.
“ Jiran kakak saya.” Balasku
menunding ke arah itu.
Hairan! Kelibat Kak Syida hilang
tiba-tiba.
“ LAMA KENAL AHMAD SHAUKI?” Soal
Kak Syida melalui panggilan yang dibuatnya kepadaku petang hari yang sama.
“ Tak lama. Kenal gitu-gitu
aja.”
“ Serius ke dengan dia?” Ada
nada risau dalam suaranya.
“ Taklah! Baru aja kenal. Yang
akak nampak tadi tu… pertemuan pertama. Kenapa?”
Aku dengar dia melepaskan nafas
kelegaan.
“ Thanks God! Dia ada ayat
Sofea?”
“ Ada… siap bagi bunga dan hadiah. Akak macam risau.
Kenapa dengan dia?”
Diam. Hanya kedengaran deru
nafasnya.
“ Akak! Saya tanya kenapa dengan
dia?”
“ Dia suami kawan baik akak.
Kawan akak tu, baru sebulan bersalin. Pantangpun belum lepas.” Walaupun aku
sudah dapat mengagak perangai sebenar Ahmad Shauki, namun aku masih terperanjat
mendengar kenyataan itu.
“ Oh! Dia ada beli ubat sakit
mulut untuk baby… anak dialah tu…” balas aku mendatar.
Aku masih memegang telefon
selepas Kak Syida mematikan talian. Apa aku rasa? Aku sendiripun tidak pasti.
Namun aku bersyukur… kerana Allah telah memberikan aku jawapan yang aku minta. Kini
aku ada alasan kukuh untuk mengakhiri segalanya.
Dua belas tahun kemudian;
Aku terpempan tatkala melihat
dia melangkah masuk ke premis kepunyaanku. Terkejut sebenarnya. Dia juga nampak
terkejut. Di sebelahnya ada seorang remaja perempuan dalam umur 12 tahun.
“ So… finally, you start your
own business!”
Aku tersenyum. “ Just a small
business. Nak beli apa?”
“ Demam, I mean ubat demam…
untuk anak,” sambil memegang bahu anak perempuannya.
Aku senyum segaris. “ Berapa
umurnya?”
“ Dua belas tahun.” Jawabnya
ringkas.
Aku mengangguk. Di dalam kepala
mula mencongak. Kalau ikut umurnya, inilah ‘baby’ yang sakit mulut 12 tahun
yang lalu. Aku cuba sembunyikan senyum yang mula terukir di bibirku.
Setelah selesai urusan pembelian,
dia melangkah keluar. Aku memandang dia berlalu sambil tersenyum.
Alhamdulillah! Perhubungan yang dia mulakan dulu, berjaya aku akhiri dengan
menggunakan kebijaksanaan kurniaan Allah. Dia tidak pernah tahu yang aku tahu
status dirinya. Aku cuma katakan yang, aku sudah berjumpa dengannya dan sudah
ada pandangan sendiri tentang dia. Aku enggan meneruskan apa yang dia mulakan
dan mohon diberi ketenangan menjalani hidup aku dengan aman.
Alhamdulillah juga, dia menurut
tanpa sebarang masalah. Dan, kami tidak pernah terserempak hinggalah selepas 12
tahun.
Aku tidak pernah marahkan dia.
Aku juga tidak pernah mendendami dia. Perhubungan itu berakhir tanpa
meninggalkan apa-apa kesan pada hati aku. Cuma… ia membuatkan aku amat
berhati-hati untuk menerima salam perkenalan dari makhluk bernama lelaki.
Terlalu berhati-hati sebenarnya.
4 comments:
kalau dah nampak muncung panjang, gigi tajam dan ekor terkedek2.. kalau bukan buaya apa pulak lagi kan?
Menyampah betul kalau ada lelaki macam ni. Dah ada isteri dan anak masih nak menggatal mengurat perempuan lain. Pernah mengalami hal yang sama tapi syukurlah tak hanyut. Nice Kak Packy.
Nash,
Hee... nak kata apa lagi, sudah terang lagi bersuluh.
Nor,
Ramai yang macam tu la... depa macam boya, nak tunggu ngap jer kalau ada yang sudi masuk perangkap.
Post a Comment