ZAHIR TAK TERUCAP
“Betullah! Apa
yang tak betulnya… buat ajer apa yang aku suruh!” Arah Siti Nurlina, sambil bersembunyi
di sebalik tiang. Dia nampaknya geram benar dengan Diah.
“ Aku masukkan
ye?” Tanya Diah lagi. Separuh dari sampul berwarna putih itu sudah selamat
berada di dalam mulut tong pos. Tinggal separuh yang masih dipegang Diah. Diah
berpaling melihat Siti Nurlina.
Siti Nurlina merenung
Diah, tajam. Pasti dia tahu Diah sengaja melambat-lambatkan semua itu. Sengaja
mahu mengusik. Namun, sebaik melihat Siti Nurlina merenung marah, cepat-cepat Diah
melepaskan pegangan. Kad itu akhirnya selamat mendarat di dalam tong pos
berwarna merah.
Diah
menghampiri Siti Nurlina yang masih berdiri di sebalik tiang. Bersembunyi sebenarnya.
“ Kau kenapa?
Aku dah jalankan misi kau. Yang kau sembunyi tu, kenapa?”
“Aku takut! Manalah tahu… Fahd tu alim orangnya. Kalau Si Fahd
tu buat sembahyang hajat nak tahu siapa yang hantar kad tu nanti… muka aku
keluar sama dalam tu.”
Diah yang berjalan mendahului, berhenti. Mahu aja dia ketawa
kuat-kuat. Itu saja alasan Siti Nurlina? Sejak berpindah ke tempat kerja
baharu, asyik nama Fahd aja yang meniti di bibirnya. Obses sungguh dengan lelaki
yang seorang itu. Macam manalah agaknya rupa lelaki malang itu. Diah tersengih
lalu berpaling mengadap muka Siti Nurlina.
“ Kau ni kelakarlah! Susah-susah kau luah
perasaan dalam diam buat apa. Lambat karang, Fahd tu berkenan dengan orang lain
pulak. Lagi satu, kad tu aku yang pilih,
aku yang tulis dan aku yang tolong kau poskan. Kalau dia nampak muka aku, dan jatuh cinta pulak kat aku? Kau
jangan menyesal kalau melepas!”
“ Kalau kau berani rampas Si Fahd tu dari aku…. Aku sanggup
putus sahabat tau!”
“ Amboi! Sebab dia, kau sanggup nak putus sahabat dengan aku?”
Diah berhenti lagi sekali. Dia bercekak pinggang. Mukanya cemberut gaya orang
merajuk.
Siti Nurlina berkalih memandang Diah lalu memandang terus ke
anak mata Diah. “Mestilah aku terpaksa buat semua tu, tak kanlah aku nak senyum
mengadap kau yang tengah berbahagia dengan dia? Kau sanggup tengok aku merana?”
Bulat matanya merenung Diah.
Diah tersenyum. “ Kau fikir, aku pula… sanggup buat kau
merana?” Soalan itu hanya dijawab dengan senyum segaris. Sahabatnya itu kembali
mengatur langkah. Hmm… kerana cinta, tak mustahil itu terjadi sebenarnya. Namun
Diah tahu hatinya sendiri. Diah tahu sejauh mana sayangnya pada Siti Nurlina. Dia
tak akan merampas kebahagiaan sahabatnya. Lagipun, cinta hatinya sudah pergi lama
dahulu. Ingatan pada Si Dia yang sudah lama hilang tiba-tiba seperti meruntun
perasaan.
“Kenapa kau diam?
Teringatkan seseorang?”
Diah berkalih
memandang Siti Nurlina bila mendengar soalan itu. Dia tersenyum malas, sedang
berfikir samada mahu bercerita atau tidak.
“ Sudah
berapa lama kita tinggal serumah?” Soalan yang dijawab dengan soalan juga oleh
Diah.
“ Kau dah tak
pandai kira ke? Tiga tahun tinggal serumah, dua tahun bekerja di tempat kerja
yang sama,” jawab Siti Nurlina. Tangannya mengisyaratkan supaya mereka berhenti
di Café Bawang Merah yang kerap juga mereka kunjungi.
Diah mengangguk.
Terasa dahaga pula bila memandang Café itu. Teringat air buah kedondong
bercampur asam boi yang sejuk lagi lazat.
“ Aku tak
pernah cerita kisah cinta monyet aku, kan?” Soal Diah sebaik mereka mengambil
tempat duduk di dalam Café. Siti Nurlina menggeleng.
“ Sejak kau
pindah ke tempat baru dan angau dengan bos kau tu, kau buat aku ingat pada
orang yang aku suka masa zaman sekolah dulu. Obses kau pada dia, macam obses
aku pada budak tu. Aku panggil dia Deen Cacing Kerawit.” Diah tersenyum
mengenang cerita lama.
Siti Nurlina
tergelak kecil. “ Tak ada gelaran yang lebih sesuai ke?”
Diah geleng
kepala. “ Tak, sebab dia kurus panjang dan putih merah. Sebiji macam cacing
kerawit.”.
Memang itulah
gelaran yang paling sesuai untuk Fakaruddeen Hadi Mahmood Hassan Al-Hakim, ketua
kelasnya sejak di tingkatan tiga Sekolah Menegah Sains Bukit Mertajam. Dia yang
berketurunan mamak spesis Salman Khan tapi kurus kering itu, sering Diah gelar
Cacing Kerawit. Namun di kalangan kawan-kawan, mereka memanggilnya, Deen.
Mereka kerap bergaduh, suka usik mengusik hingga akhirnya melahirkan perasaan
yang sukar Diah ungkapkan di dalam hatinya waktu itu. Bimbang bertepuk sebelah
tangan dan menyedari status sebagai seorang pelajar, Diah cuba menolak perasaan
itu jauh-jauh.
Sesuatu yang di
luar jangkaan terjadi, Deen kehilangan ibubapanya dalam kemalangan jalanraya
ketika umur mereka 17 tahun. Dia berpindah sekolah tiba-tiba kerana dipelihara
oleh bapa saudaranya yang ketika itu tinggal di luar negara. Kalau tidak silap
Diah, Deen berpindah dan bersekolah di Australia. Sejak itu mereka terputus
hubungan. Namun kata-kata Deen di saat akhir pertemuan mereka, terus menghantui
dan mengikat perasaan Diah sehingga sekarang.
“ Apa yang dia
kata?” Soal Siti Nurlina yang kelihatan teruja. Ini pertama kali dia mendengar
Diah bercakap tentang hati dan lelaki.
“ Dia kata… Diah, saya suka awak dan tak kira apa yang terjadi pada saya, awak akan menjadi
satu-satunya perempuan yang saya sukai selama-lamanya. Awak tunggu, saya akan
balik cari awak.” Mengulangi kata-kata itu membuatkan hatinya sebak dan
nafasnya sesak. Tanpa sedar, beberapa titis airmata mengalir menuruni pipi
gebunya.
Siti Nurlina terlopong.
“ Terharunya aku!
Ada juga monyet yang mengucapkan kata-kata berbaur cinta pada kau seawal tu?
Ini yang buat aku jelous dan tercabar
ni!” Siti Nurlina tersengih di hujung
ayat.
Kata-kata
Siti Nurlina itu membuat Diah ketawa." Monyet?" Soal Diah kehairanan.
"Ya lah! Tadi kan, katanya pun cinta monyet." Siti Nurlina ketawa lagi.
“ Monyet
itulah yang dah bawa lari hati aku hingga sekarang.” Diah turut ketawa.
Dalam tawa, Diah
tahu, rasa yang sama yang menghuni hatinya sejak 10 tahun lalu, tidak pernah
mahu pergi meninggalkan hatinya.
*****
PAGI-PAGI LAGI Siti Nurlina sudah sampai ke pejabat. Entah kenapa, sejak buat perkara luar
kotak fikiran beberapa hari lepas, dia selalu diburu resah. Dia bimbang jika
ada yang perasan betapa sukanya dia pada Encik Fahd. Namun dia juga sedar,
pekerja kecil seperti dia, mana mungkin ada tempai di hati ketuanya itu. Dia
sekadar melihat kelibat Encik Fahd melintasi hadapan mejanya setiap hari.
Bercakap cuma sewaktu ditemuduga tempohari.
Sudah hampir
setahun dia menjadi penunggu setia di setiap pagi. Menunggu kelibat Encik Fahd
melintas. Dapat memandang wajahnya pun sudah mencukupi. Dapat juga memberi semangat
untuknya memulakan hari. Gila! Kata Diah, dia obses dengan Encik Fahd. Diah samakan
obses dia dengan obses Diah terhadap Si Cacing Kerawit itu? Mana mungkin!
“ Hoi!
Berangan apa tersenyum sorang-sorang ni?” Sergah Kudin tiba-tiba.
Diah terperanjat.
“ Opocot cacing kerawit!” Fail yang dipegang terlepas dari tangan menyebabkan
kertas bertaburan.
Di waktu yang
sama, Encik Fahd sedang melintasi kawasan itu. Dia terhenti, memandang Situ
Nurlina yang sedang kelam kabut memungut kertas yang bertaburan sambil dibantu
oleh Kudin. Matilah aku! Fikir Siti Nurlina setelah menyedari akan pandangan
tajam Encik Fahd yang sedang merenungnya.
Masalah
paling besar adalah, satu-satunya kertas yang tertinggal kini berada di bawah
kasut Encik Fahd. Siti Nurlina berdiri menelan air liur. Matanya cuba mencari
wajah Encik Fahd. Bimbang mahu memandang kerana takut dia bakal pengsan sebaik
matanya mendarat di situ. Selalu hanya memandang dari jauh, hari ini, dalam
jarak dekat tak sampai 2 meter. Aduhai hati! Tolonglah berhenti berlari begitu.
Doa Siti Nurlina di dalam hati.
Encik Fahd
tunduk memungut kertas di bawah kasutnya yang hitam berkilat. Menghulur kertas
itu kepada Siti Nurlina.
“ Apa yang
kamu latahkan tadi?” Soal Encik Fahd dengan suara yang bergetar penuh geseran.
Siti Nurlina
menelan air liur. Mulutnya seakan terkunci. Bukan kerana takutkan Encik Fahd,
tetapi kerana nafasnya seperti tersekat akibat jantungnya yang bergerak semakin
laju.
“ Dia jerit,
‘opocot! Cacing Kerawit’. Tu aja.”
Kudin yang berdiri di belakang
mencelah apabila melihat Siti Nurlina dalam keadaan begitu.
“ Hmm… siapa
nama kamu?”
“ Siti Nurlina.”
“Buat kerja kamu!
Jangan bergurau senda macam tadi!” Encik Fahd berlalu sebaik menghabiskan ayat.
Siti Nurlina
terkedu. Dia cuma mampu tunduk mengangguk. Namun matanya tajam menjeling Kudin
sebaik Encik Fahd berlalu. Habislah dia! Kudin sudah membuatkan Encik Fahd
melontarkan pandangan negatif terhadapnya.
*****
“KENAPA MAMA SENYUM? Diah tengok mama asyik senyum tak berenti. Tak kanlah datang
jauh-jauh dari Terengganu sebab nak senyum aja. Mesti ada apa-apa…” soal Diah
kehairanan melihat ibunya yang tiba-tiba berada di depan pintu rumahnya. Siti
Nurlina yang sedang duduk di sofa sebelah kanan turut tersenyum.
“ Adalah ceritanya, bukan nak tanya mama dahaga
ke tidak! Pergi ambil air dulu, nanti mama cerita.” Ibu Diah tersenyum. Mengenyit
mata pada Siti Nurlina.
“ Siti sihat
ke? Diah ada buli Siti tak?”
“ Siti
sihat makcik, Cuma kena masak selalu sebab Diah paling malas masuk dapur.”
“ Kira Diah
buli Siti masaklah kalau macam tu!” Ibu Diah menjegilkan matanya pada Diah.
Diah
tersengih lalu segera bergerak ke dapur. Dia keluar selepas 5 minit sambil
mematang dulang berisi air limau ais lalu menghidangnya di atas meja. Air ais limau
itu, memang kegemaran ibunya.
Ibu Diah
terus meneguk air limau yang dibawa Diah.
“ Hmm… lega.
Sejuk sampai ke perut. Dah hilang dahaga macam ni, baru boleh bercerita. Nak
dengar ke tak?”
“ Mestilah
nak…” jawab Diah. Siti Nurlina turut mengangguk.
Ibu Diah tersengih.
Menarik nafas dalam-dalam. “ Begini, masa mama dan abah pergi umrah dua minggu
lepas, kami terjumpa dengan bapa saudara kawan lama Diah. Alah! Kawan yang
sama-sama masa Diah kat Sekolah Sains dulu…” ibu Diah berhenti untuk menunggu
tindakbalas Diah.
“ Kawan Diah?
Yang mana satu ni?”
“ Kawan
Diah yang kehilangan keluarga dia akibat kemalangan tu, Diah ingat tak?”
“ Maksud mama,
Deen?” Bulat mata Diah menerima anggukan ibunya. Dada Diah berdebar tiba-tiba. Dia
berkalih memandang Siti Nurlina yang turut tersenyum sambil membuat isyarat
bagus.
“ Betul!
Dia kerja di KL ni jugak. Mama dah beri nombor telefon kamu. Rasanya… dia akan
telefon kamu bila-bila masa saja. Kata ibu saudara Deen, Si Deen ini memang tak
pernah lupakan kamu.”
“ Mama ni…
suka-suka beri orang nombor telefon Diah. Kenapa tak tanya Diah dulu?” Diah
tarik muka masam.
“ Eh! Diah!
Kamu jangan berlakon depan mama tau! Mama yang mengandung dan lahirkan kamu.
Jangan kamu ingat, mama tak tahu isi hati kamu. Mama tau… sebab budak Deen
tulah, kamu tak kawin-kawin sampai sekarang.”
Diah menelan
air liur.
Siti
Nurlina ketawa mengekek. Dia menekan perut beberapa kali. “ Betul tu makcik. Siti
sokong makcik. Wah! Makan nasi minyaklah kita nanti makcik.”
Bunyi lagu
‘Lau kaana, Bainana’ tiba-tiba berkumandang. Itu lagu nada dering telefon milik
Diah. Segera dia menekan butang untuk menjawab.
“ Assalamu’alaikum!”
“ ‘Alaikum salam!
Maaf ini nombor telefon Seri Diah Darwina?”
“ Betul. Ini
Seri Diah cakap. Boleh saya tahu encik siapa?” Jawab Diah. Dia mengangguk
walaupun tahu yang orang di sebelah sana tidak dapat melihat aksinya.
“ Saya kawan
lama Diah. Si Cacing Kerawit Fakaruddeen Hadi. Ingat saya lagi?”
Diah ternganga.
Dia memandang ibunya dan Siti Nurlina sambil menggerakkan bibir menyebut
perkataan ‘Deen’. Ibu Diah dan Siti Nurlina teruja. Mereka melagakan kedua-dua
telapak tangan, kemudian melagakan pula ibu jari kanan mereka. Diah geleng
kepala melihat gelagat ibunya yang sudah nampak sama sebaya seperti Siti
Nurlina.
Diah menelan
air liur. Terasa suara seperti tersekat di kerongkong. Namun dia gagahkan juga
menjawab soalan Deen tadi.
“ Ingat. Mana mungkin saya boleh lupakan
awak.”
*****
FAKARUDDEEN HADI MENINGGALAKN DIAH 10 tahun dulu dengan sebaris ayat yang cukup bermakna.
Ayat itu telah berjaya memegang dan mengikat hati Diah selama ini. Sebaris ayat
yang membuatkan Diah percaya tentang adanya cinta di hati orang sebelah sana.
Dan, melihatkan Fakaruddeen Hadi yang dipanggil Deen itu duduk berhadapan
dengannya membuatkan Diah rasa seperti bermimpi. Diah bersyukur kerana
penantiannya selama ini bukan sesuatu yang menghampakan.
“ Ingat
ayat terakhir saya?” Soal Deen. Diah mengangguk.
“ Saya suka
Diah, ke manapun saya pergi, saya selalu terkenangkan senyuman Diah. Saya
selalu berdoa supaya dapat berjumpa Diah semula. Alhamdulillah! Allah telah
menjawab doa saya.” Ungkapan itu diiringi pandangan tajam yang tembus ke hati
Diah. Ahh! Penampilan Deen memang sudah banyak berubah. Dia semakin kacak.
Namun suara dan pandangan mata itu, masih tetap sama.
Diah tersenyum
lalu tunduk merenung pinggan berisi lasagna yang dipesannya. Entah kenapa, dia
jadi tak mampu bersuara.
“ Selepas
10 tahun, saya masih rindu nak jadi Deen Cacing Kerawit semula.” Deen tersengih
menampakkan barisan giginya yang putih.
Diah ketawa
kecil. Masih belum mampu menjawab kata-kata Deen. Jantungnya berdetak laju.
“ Rupa Diah
masih sama, Cuma… kenapa Diah tak talkative
macam dulu? Dari tadi Diah diam sahaja. Diah tak suka jumpa saya semula?”
“ Bukan tak
suka. Diah okey. Diah masih sama macam dulu. Cuma… Diah speechless. Tak sangka dapat jumpa Deen semula. Tak sangka…”
“ Pelik sebenarnya.
Tapi saya kena berterima kasih dengan kad Hari Jadi yang sampai ke meja saya.
Tulisan pada kad tu, sebijik macam tulisan Diah yang saya ingat. Saya buat
sembahyang hajat… dan hanya nampak muka Diah. Tiga malam berturut-turut, dan
hanya Diah yang muncul. Saya pasti Diah tak tahu saya di mana hinggalah mama
Diah beri nombor telefon Diah pada makcik saya. Pelik, kan!”
Diah sekali
lagi menelan air liurnya. Namun kali ini terasa kesat. Jantung yang sedang
berdetak tadi, seperti berhenti tiba-tiba.
“ Tak! Diah tak tahu pun awak kerja di mana. Apa nama ofis awak?” Soal Diah. Hatinya
berdebar menantikan jawapan yang akan keluar dari mulut Deen.
“ Aimstech Technology.
Dekat dengan Petaling Jaya.”
Jawapan
yang diberikan itu seperti ledakan bom yang membuatkan pandangan Diah berpinar
sebentar. Namun Diah cuba mengawalnya sebaik mungkin. Perasaan teruja sejak
beberapa hari kebelakangan ini, terus bertukar menjadi hambar. Diah takut dia
tak mampu menahan airmatanya. Diah memicit kepalanya.
“ Kenapa Diah?
Tak sihat?”
“ Entah,
tiba-tiba rasa pening. Agaknya sebab siang tadi berjemur panas kut, lepas tu
kena hujan pulak petang tadi. Diah rasa… Diah kena baliklah. Nak muntahpun ada.”
“ Kalau
macam tu, biar saya hantar Diah pulang.” Deen nampak risau.
“ Tak
payah. Diah ambil teksi jer. Tak manis main hantar-hantar. Kita baru aja jumpa.
Kalau ikut Diah, jumpa macam ni pun tak manis. Diah setuju sebab kenangkan dah
lama tak jumpa Deen.” Diah menjawab sambil tertunduk. Dia harap sangat Deen
akan menerima alasan itu. Perlahan dia mengangkat muka. Mata mereka bertentang.
Deen mengangguk tanda setuju. Pantas Diah berkalih kerana hatinya diruntun
sebak. Terasa seperti mahu menangis sekuat-kuatnya.
Diah pulang
dengan dibaluti rasa berbelah bagi. Dia tak pernah sangsikan perasaannya
terhadap Deen. Namun dia juga sayangkan persahabatannya dengan Siti Nurlina.
Dia sedar, dia perlu memilih satu antara dua.
Sebaik
sampai di rumah dan menutup pintu depan, Diah tersandar di pintu. Dia mahu
menangis namun membatalkan hasratnya apabila Siti Nurlina tiba-tiba muncul dari
pintu dapur dengan secawan minuman di tangan..
“ Aik! Kejapnya
dating! Kenapa balik awal sangat?”
“ Aku sakit
kepala, lagipun… Deen tu tak seperti yang aku harapkan… “
“ Kenapa?
Dari cacing kerawit, dia dah bertukar jadi ular ke?” Siti Nurlina gelak besar
lalu terus melabuhkan punggong di atas sofa. Diah cuma senyum segaris.
“ Aku masuk
dulu…. Nak baring.” Langkah yang diatur terasa berat. Namun dia tiba-tiba
berhenti. Teringat mahu menyoal Siti Nurlina.
“ Boss kau
kat Aimstech tu, nama dia Fahd aja ke?”
“ Setahu
aku, semua orang panggil dia Fahd. Kuli kecik macam aku, mana nak tahu
lebih-lebih. Semua surat menyurat yang aku handle, atas nama syarikat. Tapi… dekat
pintu bilik dia tu, memang tertulis besar dengan perkataan ‘ FAHD AL-HAKIM’. Kenapa
kau tanya?”
“ Kawan aku,
cari kawan lama dia yang nama Fahd. Tapi itu cuma nama timangan. Entah kenapa
aku teringatkan buah hati kau tu. Aku masuk dulu…”
Sebaik
menutup pintu bilik Diah bersandar di situ. Lututnya terasa lemah. Serta merta
badannya melorot turun hingga terduduk di situ. Dia terus menangis semahu-mahunya.
*****
SITI NURLINA MENGELUH. Dia menghempaskan fail pembelian yang dipegangnya. Emosinya kurang
enak beberapa hari ini. Terjangkit dengan orang-orang di sekeliling agaknya. Di
rumah, Diah sudah berubah menjadi pendiam sejak bertemu semula dengan Kekasih
Awal Dan Akhirnya. Hairan betul Siti Nurlina. Menanti dan mengharap selama 10
tahun, bila sudah berjumpa… begitu pulak jadinya.
Di pejabat
pula, 'buah hatinya' pula asyik masam dan marah-marah. Encik Fahd yang kacak dan
tenang, sudah bertukar menjadi seperti harimau. Kalau berterusan begini, dia
hilang semangat untuk bekerja. Siti Nurlina menarik muka. Kepala digaru sebelum
menghempaskan punggong ke tempat duduk.
“ Kau kenapa?
Macam kucing mati anak je?” Kudin tiba-tiba bersuara. Kudin yang sejak
kebelakangan ini, ada saja di mana adanya dia.
“ Aku
hairan! Tapi kalau aku tanya pun, kau bukannya tahu.”
“ Try me!” Kudin duduk di hadapan meja Siti
Nurlina. Dia mengangkat kening.
“ Kenapa boss
kita tu, lain macam aja kebelakangan ni? Semua orang dia nak herdik.”
“ Oh! Yang itu
ke? Aku dah buat siasatan sebenarnya. Yalah! Lepas kena hambur semalam tu.”
Kudin menumbuk meja.
“ Kau tahu
sebabnya?”
“ Mestilah!
Kata Kak Nur setiausaha dia, Encik Fahd tu putus cinta. Semuanya bermula dengan
kad Birthday yang dikirim peminat rahsia. Tulisan kat atas kad tu macam dia
kenal. Encik Fahd buat sembahyang hajat dan nampak muka buah hati masa sekolah
yang dia cari selama ni. Bila Datok ke Mekah, dia kirim doa. Nak jadi cerita…
Datok dan Datin terjumpa pula dengan mak budak perempuan tu. Dipendekkan
cerita, mereka berjumpa… tapi cuma sekali. Budak perempuan tu, tukar nombor
telefon dan tak dapat dihubungi lagi lepas tu. Macam ‘zahir tak terucap’. Bila
tak tahu sebab apa, salah apa… tu yang dia bengang. Begitulah kisahnya.”
Siti Nurlina
terdiam. Dia menelan air liur. Memandang Kudin dengan mata membulat.
“ Apa nama
sebenar Encik Fahd?”
“ Fakaruddeen
Hadi. Kenapa?
Siti Nurlina
mengeluh. Segala teka-teki kepada perubahan emosi Diah sudah terjawab kini.
Siti Nurlina menyembamkan mukanya di atas meja.
Kudin garu
kepala kehairanan.
*****
“ TERMENUNG JAUH NAMPAK! Apa yang kau fikirkan?” Suara Siti Nurlina menegur dari belakang
betul-betul mengejutkan Diah. Diah segera berpaling. Siti Nurlina tersenyum.
Entah mimpi apa semalam, dia mengenakan kaca mata hitam petang ini.
“ Oh! Siti!
Macam mana kau tahu aku kat sini?” Diah mengalihkan punggong. Memberi ruang
untuk Siti Nurlina duduk di sebelahnya. Siti Nurlina mengalih pandang ke arah
seorang lelaki bertopi dan bertongkat yang sedang mengambil tempat di kerusi
taman di belakang mereka. Siti Nurlina kemudiannya berkalih lalu duduk di
sebelah Diah.
“ Kau
pernah cakap, kalau susah hati, kau suka renung tasik tu.”
“ Kau
memang sahabat sejati aku.” Diah raih bahu Siti Nurlina.
“ Jangan
cakap macam tu, kau buat aku malu dengan diri sendiri.” Balas Siti Nurlina.
Diah berkalih memandang Siti Nurlina, hairan. Namun dia hanya mendiamkan diri.
Diah berkalih memandang Siti Nurlina, hairan. Namun dia hanya mendiamkan diri.
“ Apa
masalah kau sebenarnya? Apa jadi pada Cacing Kerawit kau tu?” Soal Siti
Nurlina.
“ Tak ada
apa-apalah. Dia tak hensem macam aku bayangkan. Dia cacat, pakai tongkat pulak
tu. Pendek kata, tak sesuailah untuk aku.” Sebaik habis ayat itu, terdengar
tongkat lelaki di belakang mereka terjatuh.” Diah menutup mulut. Matanya membulat.
Lelaki itu terasa agaknya dengan kenyataan Diah.
“ Alamak!
Aku silap cakap ke?”
“ Tak! Kau
ni terlalu menjaga hati orang. Sampai orang yang tak kenalpun kau risaukan. Dah
tiga tahun kita serumah, kan!”
Diah mengangguk.
Dada Diah tiba-tiba sebak. Tiga tahun yang penuh berwarna-warni.
“ Kau tahu…
seumur hidup aku, aku tak pernah ada kawan sebaik engkau. Kau sentiasa buat aku
ceria. Tak berkira wang ringgit kau. Pinjamkan kasih sayang mama kau yang
sporting tu… “ Siti Nurlina berhenti tiba-tiba. Membuka cermin mata hitamnya
dan mengesat air mata.
“ Janganlah
buat filem Hindustan kat sini. Malu kat orang… Kaupun baik juga. Masakkan untuk
aku. Jaga aku masa aku sakit. Macam kakak aku jaga aku.”
Siti
Nurlina berkalih memandang Diah. “ Kau dah terlalu baik untuk aku. Tapi
janganlah terlalu baik hingga nak korbankan perasaan cinta kau hanya kerana aku
pun menyukai orang yang sama”
Kata-kata
Siti Nurlina membuat Diah terpempam. Siti sudah tahu? Macam mana Siti tahu?
Matanya bulat merenung Siti Nurlina. “ Apa kau merepek ni?”
“ Jangan berlakon
lagi! Aku dah tahu. Fakaruddeen Hadi dan Fahd itu sebenarnya orang yang sama.
Kau tahu semua tu pada pertemuan pertama kau, kan! Sebab tu, kau tukar nombor
telefon, kau menung sana, menung sini. Kau jadi tak ceria. Kau menzalimi hati
kau dan kau menzalimi perasaan Fahd juga.”
“ Aku tak
mahu kehilangan seorang sahabat.” Balas Diah berkalih merenung permukaan tasik
yang tenang. Berbeza dengan gelora hatinya ketika ini.
“ Bila kau
cakap macam tu, macam kau pandang rendah pada aku. Aku cuma syok sendiri dengan
boss aku tu. Aku admire dia. Dan, aku
cuma bermain dengan perasaan aku tak sampai setahun. Lagipun aku cuma kuli
cabuk. Fahd tak sedarpun kewujudan aku.” Siti Nurlina berhenti sebentar. Melepaskan
nafas berat. Diah hanya terdiam, tak tahu mahu berkata apa sehingga Siti
Nurlina kembali bersuara.
“ Kau pulak
sudah hidup menggendong rasa cinta zahir tak terucap kau tu selama 10 tahun.
Dan, kau pun tahu Fahd ada rasa yang sama dalam hati dia. Kau fikir teruk
sangatkah aku, sampai tak boleh consider
semua perkara tu. Kau buat aku sedih tau…” Siti Nurlina mengesat air matanya.
“ Aku minta
maaf. Bukan itu maksud aku.” Tutur Diah perlahan.
Siti Nurlina
bangun. Berdiri berhadapan Diah yang masih duduk di bangku.
“ Kau
sayang aku?” Soal Siti Nurlina. Diah mengangguk.
“ Kau cintakan
Fahd?”
“ Aku suka
dia, sejak dulu….”
“ Kalau kau
sayang aku, dan kau suka Fahd. Aku nak kau ambillah balik buah hati kau yang
cacat dan bertongkat tu. Aku tak nak!” Kata Siti Nurlina sambil menunding
jarinya ke arah lelaki berrongkat tadi.
Lelaki itu
bangun dalam keadaan membelakangkan mereka. Membuang topi dan berkalih dengan
perlahan lalu merenung mereka berdua sambil tersenyum.
Diah membulatkan matanya. Itu Fakaruddeen Hadi
alias Fahd yang Diah panggil Deen. Hati Diah mula ditebak rasa risau.
“ Kaki awak…”
“ Saya tahu
Diah tak akan terima saya sebab saya cacat.”
Diah geleng
kepala. “ Diah terima awak dalam apa juga keadaan.” Ucap Diah menundukkan
mukanya.
Deen meletakkan
tongkat di atas bangku, lalu berjalan mendekati Diah. Kaki itu sebenarnya tidak
pernah tercedera. Diah meletakkan tangan di pinggang. Matanya bulat merenung
Siti Nurlina dan Deen, pura-pura marah.
“ Itu idea aku.
Dan, aku dah ceritakan semuanya pada Encik Fahd.” Ujar Siti Nurlina tersengih.
“ Kau…”
“ Jangan
risaukan aku. Aku hilang 'mata air' buatan sendiri. Tapi aku bertuah kerana Allah
kurniakan aku sahabat sejati. Itu lebih penting untuk aku hargai sepanjang
hidup aku. Aku gerak dulu…” Siti Nurlina kemudiannya berlalu meninggalkan Seri
Diah Darwina dan Fakaruddeen Hadi.
Diah
memandang Siti Nurlina berlalu. Kemudian berkalih memandang Fakaruddeen Hadi
yang merenungnya dengan pandangan yang amat dirinduinya. Diah sebak. Kalau kata
Siti Nurlina dia mendapat sahabat sejati hari ini. Diah pun sama. Siti Nurlina
telah membuktikannya. Namun Diah lebih bertuah. Di samping dapat sahabat
sejati, Diah dapat semula kekasih awal dan akhir yang Diah nantikan selama 10
tahun.
Deen Cacing
Kerawitnya sudah kembali.
8 comments:
Beruntungnya Diah dapat jumpa cinta lama dia. Wah! Terharu baca. Best!
best3...^_^
kwn yg sejati susah nak cari...heheheh
terima kasih untuk cerpen yg indah ini..alamak.ayat skema hehe..
sweetnya..
saya dah jumpa teman sejati saya..
bila baca citer ni,terus ingatkan dia.tapi bezanya.dua2 tak dpt haha..
Salam Emoq a.k.a. Nor,
Thanks sudi jengok dan baca... hehe, cerita berdasar pengalaman sendiri dengan dua sahabat berbeza. Yang pertama, akak tolong poskan kad untuk dia. Yang keduanya... kami sama2 suka orang yang sama, tapi dua2 orangpun melepas.. hahaha..
Salam O-ren,
Thanks sudi singgah... susah nak cari, tapi akak dah jumpa.. yeay!
Kkzen,
Thanks atas lawatan dan komen. Akak pun sama, dua2 melepas... hehe
Kata sorang sahabat...org yg merana putus cinta tu lbh beruntung dsri yg x pernah bercinta sbb dia dah merasa manis nyer cinta...sbb terlepas ni ke yg x minat cite jiwang2. aku ok jer seme suke
Salam Kak Cik,
Haha... aku setuju dengan point hang tu. Tapi bab tak minat cerita jiwang tu, bukan sebab terlepas... sebab rasa sangat2 tak bertuah. Ish3x
Post a Comment