Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, June 22, 2012

CERPEN

ZAHIR TAK TERUCAP


BETUL KE APA YANG KITA BUAT NI?” Soal Diah. Buang tebiat agaknya kawannya yang seorang ini. Tak tahu dari mana dia dapat idea yang tak dapat diterima akal begini.

      “Betullah! Apa yang tak betulnya… buat ajer apa yang aku suruh!” Arah Siti Nurlina, sambil bersembunyi di sebalik tiang. Dia nampaknya geram benar dengan Diah.

      “ Aku masukkan ye?” Tanya Diah lagi. Separuh dari sampul berwarna putih itu sudah selamat berada di dalam mulut tong pos. Tinggal separuh yang masih dipegang Diah. Diah berpaling melihat Siti Nurlina.

      Siti Nurlina merenung Diah, tajam. Pasti dia tahu Diah sengaja melambat-lambatkan semua itu. Sengaja mahu mengusik. Namun, sebaik melihat Siti Nurlina merenung marah, cepat-cepat Diah melepaskan pegangan. Kad itu akhirnya selamat mendarat di dalam tong pos berwarna merah.

      Diah menghampiri Siti Nurlina yang masih berdiri di sebalik tiang. Bersembunyi sebenarnya.

      “ Kau kenapa? Aku dah jalankan misi kau. Yang kau sembunyi tu, kenapa?”

      “Aku takut! Manalah tahu… Fahd tu alim orangnya. Kalau Si Fahd tu buat sembahyang hajat nak tahu siapa yang hantar kad tu nanti… muka aku keluar sama dalam tu.”

      Diah yang berjalan mendahului, berhenti. Mahu aja dia ketawa kuat-kuat. Itu saja alasan Siti Nurlina? Sejak berpindah ke tempat kerja baharu, asyik nama Fahd aja yang meniti di bibirnya. Obses sungguh dengan lelaki yang seorang itu. Macam manalah agaknya rupa lelaki malang itu. Diah tersengih lalu berpaling mengadap muka Siti Nurlina.

 “ Kau ni kelakarlah! Susah-susah kau luah perasaan dalam diam buat apa. Lambat karang, Fahd tu berkenan dengan orang lain pulak.  Lagi satu, kad tu aku yang pilih, aku yang tulis dan aku yang tolong kau poskan. Kalau dia nampak muka  aku, dan jatuh cinta pulak kat aku? Kau jangan menyesal kalau melepas!”

          “ Kalau kau berani rampas Si Fahd tu dari aku…. Aku sanggup putus sahabat tau!”

      “ Amboi! Sebab dia, kau sanggup nak putus sahabat dengan aku?” Diah berhenti lagi sekali. Dia bercekak pinggang. Mukanya cemberut gaya orang merajuk.

      Siti Nurlina berkalih memandang Diah lalu memandang terus ke anak mata Diah. “Mestilah aku terpaksa buat semua tu, tak kanlah aku nak senyum mengadap kau yang tengah berbahagia dengan dia? Kau sanggup tengok aku merana?” Bulat matanya merenung Diah.

      Diah tersenyum. “ Kau fikir, aku pula… sanggup buat kau merana?” Soalan itu hanya dijawab dengan senyum segaris. Sahabatnya itu kembali mengatur langkah. Hmm… kerana cinta, tak mustahil itu terjadi sebenarnya. Namun Diah tahu hatinya sendiri. Diah tahu sejauh mana sayangnya pada Siti Nurlina. Dia tak akan merampas kebahagiaan sahabatnya. Lagipun, cinta hatinya sudah pergi lama dahulu. Ingatan pada Si Dia yang sudah lama hilang tiba-tiba seperti meruntun perasaan.

“Kenapa kau diam? Teringatkan seseorang?”

Diah berkalih memandang Siti Nurlina bila mendengar soalan itu. Dia tersenyum malas, sedang berfikir samada mahu bercerita atau tidak.

“ Sudah berapa lama kita tinggal serumah?” Soalan yang dijawab dengan soalan juga oleh Diah.

“ Kau dah tak pandai kira ke? Tiga tahun tinggal serumah, dua tahun bekerja di tempat kerja yang sama,” jawab Siti Nurlina. Tangannya mengisyaratkan supaya mereka berhenti di Café Bawang Merah yang kerap juga mereka kunjungi.

Diah mengangguk. Terasa dahaga pula bila memandang Café itu. Teringat air buah kedondong bercampur asam boi yang sejuk lagi lazat.

“ Aku tak pernah cerita kisah cinta monyet aku, kan?” Soal Diah sebaik mereka mengambil tempat duduk di dalam Café. Siti Nurlina menggeleng.

“ Sejak kau pindah ke tempat baru dan angau dengan bos kau tu, kau buat aku ingat pada orang yang aku suka masa zaman sekolah dulu. Obses kau pada dia, macam obses aku pada budak tu. Aku panggil dia Deen Cacing Kerawit.” Diah tersenyum mengenang cerita lama.

Siti Nurlina tergelak kecil. “ Tak ada gelaran yang lebih sesuai ke?”

Diah geleng kepala. “ Tak, sebab dia kurus panjang dan putih merah. Sebiji macam cacing kerawit.”.

Memang itulah gelaran yang paling sesuai untuk Fakaruddeen Hadi Mahmood Hassan Al-Hakim, ketua kelasnya sejak di tingkatan tiga Sekolah Menegah Sains Bukit Mertajam. Dia yang berketurunan mamak spesis Salman Khan tapi kurus kering itu, sering Diah gelar Cacing Kerawit. Namun di kalangan kawan-kawan, mereka memanggilnya, Deen. Mereka kerap bergaduh, suka usik mengusik hingga akhirnya melahirkan perasaan yang sukar Diah ungkapkan di dalam hatinya waktu itu. Bimbang bertepuk sebelah tangan dan menyedari status sebagai seorang pelajar, Diah cuba menolak perasaan itu jauh-jauh.

Sesuatu yang di luar jangkaan terjadi, Deen kehilangan ibubapanya dalam kemalangan jalanraya ketika umur mereka 17 tahun. Dia berpindah sekolah tiba-tiba kerana dipelihara oleh bapa saudaranya yang ketika itu tinggal di luar negara. Kalau tidak silap Diah, Deen berpindah dan bersekolah di Australia. Sejak itu mereka terputus hubungan. Namun kata-kata Deen di saat akhir pertemuan mereka, terus menghantui dan mengikat perasaan Diah sehingga sekarang.

“ Apa yang dia kata?” Soal Siti Nurlina yang kelihatan teruja. Ini pertama kali dia mendengar Diah bercakap tentang hati dan lelaki.

“ Dia kata…  Diah, saya suka awak dan tak kira apa yang terjadi pada saya, awak akan menjadi satu-satunya perempuan yang saya sukai selama-lamanya. Awak tunggu, saya akan balik cari awak.” Mengulangi kata-kata itu membuatkan hatinya sebak dan nafasnya sesak. Tanpa sedar, beberapa titis airmata mengalir menuruni pipi gebunya.

Siti Nurlina terlopong.

Terharunya aku! Ada juga monyet yang mengucapkan kata-kata berbaur cinta pada kau seawal tu? Ini yang buat aku jelous dan tercabar ni!”  Siti Nurlina tersengih di hujung ayat.

Kata-kata Siti Nurlina itu membuat Diah ketawa." Monyet?" Soal Diah kehairanan.

"Ya lah! Tadi kan, katanya pun cinta monyet." Siti Nurlina ketawa lagi.

“ Monyet itulah yang dah bawa lari hati aku hingga sekarang.” Diah turut ketawa.

Dalam tawa, Diah tahu, rasa yang sama yang menghuni hatinya sejak 10 tahun lalu, tidak pernah mahu pergi meninggalkan hatinya.

*****

PAGI-PAGI LAGI Siti Nurlina sudah sampai ke pejabat. Entah kenapa, sejak buat perkara luar kotak fikiran beberapa hari lepas, dia selalu diburu resah. Dia bimbang jika ada yang perasan betapa sukanya dia pada Encik Fahd. Namun dia juga sedar, pekerja kecil seperti dia, mana mungkin ada tempai di hati ketuanya itu. Dia sekadar melihat kelibat Encik Fahd melintasi hadapan mejanya setiap hari. Bercakap cuma sewaktu ditemuduga tempohari.

Sudah hampir setahun dia menjadi penunggu setia di setiap pagi. Menunggu kelibat Encik Fahd melintas. Dapat memandang wajahnya pun sudah mencukupi. Dapat juga memberi semangat untuknya memulakan hari. Gila! Kata Diah, dia obses dengan Encik Fahd. Diah samakan obses dia dengan obses Diah terhadap Si Cacing Kerawit itu? Mana mungkin!

Hoi! Berangan apa tersenyum sorang-sorang ni?” Sergah Kudin tiba-tiba.

Diah terperanjat. “ Opocot cacing kerawit!” Fail yang dipegang terlepas dari tangan menyebabkan kertas bertaburan.

Di waktu yang sama, Encik Fahd sedang melintasi kawasan itu. Dia terhenti, memandang Situ Nurlina yang sedang kelam kabut memungut kertas yang bertaburan sambil dibantu oleh Kudin. Matilah aku! Fikir Siti Nurlina setelah menyedari akan pandangan tajam Encik Fahd yang sedang merenungnya.

Masalah paling besar adalah, satu-satunya kertas yang tertinggal kini berada di bawah kasut Encik Fahd. Siti Nurlina berdiri menelan air liur. Matanya cuba mencari wajah Encik Fahd. Bimbang mahu memandang kerana takut dia bakal pengsan sebaik matanya mendarat di situ. Selalu hanya memandang dari jauh, hari ini, dalam jarak dekat tak sampai 2 meter. Aduhai hati! Tolonglah berhenti berlari begitu. Doa Siti Nurlina di dalam hati.

Encik Fahd tunduk memungut kertas di bawah kasutnya yang hitam berkilat. Menghulur kertas itu kepada Siti Nurlina.

“ Apa yang kamu latahkan tadi?” Soal Encik Fahd dengan suara yang bergetar penuh geseran.

Siti Nurlina menelan air liur. Mulutnya seakan terkunci. Bukan kerana takutkan Encik Fahd, tetapi kerana nafasnya seperti tersekat akibat jantungnya yang bergerak semakin laju.

Dia jerit, ‘opocot! Cacing Kerawit’. Tu aja.”  Kudin  yang berdiri di belakang mencelah apabila melihat Siti Nurlina dalam keadaan begitu.

“ Hmm… siapa nama kamu?”

Siti Nurlina.”

Buat kerja kamu! Jangan bergurau senda macam tadi!” Encik Fahd berlalu sebaik menghabiskan ayat.

Siti Nurlina terkedu. Dia cuma mampu tunduk mengangguk. Namun matanya tajam menjeling Kudin sebaik Encik Fahd berlalu. Habislah dia! Kudin sudah membuatkan Encik Fahd melontarkan pandangan negatif terhadapnya.

*****

“KENAPA MAMA SENYUM? Diah tengok mama asyik senyum tak berenti. Tak kanlah datang jauh-jauh dari Terengganu sebab nak senyum aja. Mesti ada apa-apa…” soal Diah kehairanan melihat ibunya yang tiba-tiba berada di depan pintu rumahnya. Siti Nurlina yang sedang duduk di sofa sebelah kanan turut tersenyum.

“ Adalah ceritanya, bukan nak tanya mama dahaga ke tidak! Pergi ambil air dulu, nanti mama cerita.” Ibu Diah tersenyum. Mengenyit mata pada Siti Nurlina.

Siti sihat ke? Diah ada buli Siti tak?”

“ Siti sihat makcik, Cuma kena masak selalu sebab Diah paling malas masuk dapur.”

“ Kira Diah buli Siti masaklah kalau macam tu!” Ibu Diah menjegilkan matanya pada Diah.

Diah tersengih lalu segera bergerak ke dapur. Dia keluar selepas 5 minit sambil mematang dulang berisi air limau ais lalu menghidangnya di atas meja. Air ais limau itu, memang kegemaran ibunya.

Ibu Diah terus meneguk air limau yang dibawa Diah.

“ Hmm… lega. Sejuk sampai ke perut. Dah hilang dahaga macam ni, baru boleh bercerita. Nak dengar ke tak?”

“ Mestilah nak…” jawab Diah. Siti Nurlina turut mengangguk.

Ibu Diah tersengih. Menarik nafas dalam-dalam. “ Begini, masa mama dan abah pergi umrah dua minggu lepas, kami terjumpa dengan bapa saudara kawan lama Diah. Alah! Kawan yang sama-sama masa Diah kat Sekolah Sains dulu…” ibu Diah berhenti untuk menunggu tindakbalas Diah.

Kawan Diah? Yang mana satu ni?”

“ Kawan Diah yang kehilangan keluarga dia akibat kemalangan tu, Diah ingat tak?”

“ Maksud mama, Deen?” Bulat mata Diah menerima anggukan ibunya. Dada Diah berdebar tiba-tiba. Dia berkalih memandang Siti Nurlina yang turut tersenyum sambil membuat isyarat bagus.

Betul! Dia kerja di KL ni jugak. Mama dah beri nombor telefon kamu. Rasanya… dia akan telefon kamu bila-bila masa saja. Kata ibu saudara Deen, Si Deen ini memang tak pernah lupakan kamu.”

“ Mama ni… suka-suka beri orang nombor telefon Diah. Kenapa tak tanya Diah dulu?” Diah tarik muka masam.

“ Eh! Diah! Kamu jangan berlakon depan mama tau! Mama yang mengandung dan lahirkan kamu. Jangan kamu ingat, mama tak tahu isi hati kamu. Mama tau… sebab budak Deen tulah, kamu tak kawin-kawin sampai sekarang.”

Diah menelan air liur.

Siti Nurlina ketawa mengekek. Dia menekan perut beberapa kali. “ Betul tu makcik. Siti sokong makcik. Wah! Makan nasi minyaklah kita nanti makcik.”

Bunyi lagu ‘Lau kaana, Bainana’ tiba-tiba berkumandang. Itu lagu nada dering telefon milik Diah. Segera dia menekan butang untuk menjawab.

Assalamu’alaikum!”

“ ‘Alaikum salam! Maaf ini nombor telefon Seri Diah Darwina?”

Betul. Ini Seri Diah cakap. Boleh saya tahu encik siapa?” Jawab Diah. Dia mengangguk walaupun tahu yang orang di sebelah sana tidak dapat melihat aksinya.

Saya kawan lama Diah. Si Cacing Kerawit Fakaruddeen Hadi. Ingat saya lagi?”

Diah ternganga. Dia memandang ibunya dan Siti Nurlina sambil menggerakkan bibir menyebut perkataan ‘Deen’. Ibu Diah dan Siti Nurlina teruja. Mereka melagakan kedua-dua telapak tangan, kemudian melagakan pula ibu jari kanan mereka. Diah geleng kepala melihat gelagat ibunya yang sudah nampak sama sebaya seperti Siti Nurlina.

Diah menelan air liur. Terasa suara seperti tersekat di kerongkong. Namun dia gagahkan juga menjawab soalan Deen tadi.

 “ Ingat. Mana mungkin saya boleh lupakan awak.”

*****

FAKARUDDEEN HADI MENINGGALAKN DIAH 10 tahun dulu dengan sebaris ayat yang cukup bermakna. Ayat itu telah berjaya memegang dan mengikat hati Diah selama ini. Sebaris ayat yang membuatkan Diah percaya tentang adanya cinta di hati orang sebelah sana. Dan, melihatkan Fakaruddeen Hadi yang dipanggil Deen itu duduk berhadapan dengannya membuatkan Diah rasa seperti bermimpi. Diah bersyukur kerana penantiannya selama ini bukan sesuatu yang menghampakan.

“ Ingat ayat terakhir saya?” Soal Deen. Diah mengangguk.

“ Saya suka Diah, ke manapun saya pergi, saya selalu terkenangkan senyuman Diah. Saya selalu berdoa supaya dapat berjumpa Diah semula. Alhamdulillah! Allah telah menjawab doa saya.” Ungkapan itu diiringi pandangan tajam yang tembus ke hati Diah. Ahh! Penampilan Deen memang sudah banyak berubah. Dia semakin kacak. Namun suara dan pandangan mata itu, masih tetap sama.

Diah tersenyum lalu tunduk merenung pinggan berisi lasagna yang dipesannya. Entah kenapa, dia jadi tak mampu bersuara.

“ Selepas 10 tahun, saya masih rindu nak jadi Deen Cacing Kerawit semula.” Deen tersengih menampakkan barisan giginya yang putih.

Diah ketawa kecil. Masih belum mampu menjawab kata-kata Deen. Jantungnya berdetak laju.

“ Rupa Diah masih sama, Cuma… kenapa Diah tak talkative macam dulu? Dari tadi Diah diam sahaja. Diah tak suka jumpa saya semula?”

Bukan tak suka. Diah okey. Diah masih sama macam dulu. Cuma… Diah speechless. Tak sangka dapat jumpa Deen semula. Tak sangka…”

Pelik sebenarnya. Tapi saya kena berterima kasih dengan kad Hari Jadi yang sampai ke meja saya. Tulisan pada kad tu, sebijik macam tulisan Diah yang saya ingat. Saya buat sembahyang hajat… dan hanya nampak muka Diah. Tiga malam berturut-turut, dan hanya Diah yang muncul. Saya pasti Diah tak tahu saya di mana hinggalah mama Diah beri nombor telefon Diah pada makcik saya. Pelik, kan!”

Diah sekali lagi menelan air liurnya. Namun kali ini terasa kesat. Jantung yang sedang berdetak tadi, seperti berhenti tiba-tiba.

Tak! Diah tak tahu pun awak kerja di mana. Apa nama ofis awak?” Soal Diah. Hatinya berdebar menantikan jawapan yang akan keluar dari mulut Deen.

Aimstech Technology. Dekat dengan Petaling Jaya.”

Jawapan yang diberikan itu seperti ledakan bom yang membuatkan pandangan Diah berpinar sebentar. Namun Diah cuba mengawalnya sebaik mungkin. Perasaan teruja sejak beberapa hari kebelakangan ini, terus bertukar menjadi hambar. Diah takut dia tak mampu menahan airmatanya. Diah memicit kepalanya.

Kenapa Diah? Tak sihat?”

“ Entah, tiba-tiba rasa pening. Agaknya sebab siang tadi berjemur panas kut, lepas tu kena hujan pulak petang tadi. Diah rasa… Diah kena baliklah. Nak muntahpun ada.”

“ Kalau macam tu, biar saya hantar Diah pulang.” Deen nampak risau.

“ Tak payah. Diah ambil teksi jer. Tak manis main hantar-hantar. Kita baru aja jumpa. Kalau ikut Diah, jumpa macam ni pun tak manis. Diah setuju sebab kenangkan dah lama tak jumpa Deen.” Diah menjawab sambil tertunduk. Dia harap sangat Deen akan menerima alasan itu. Perlahan dia mengangkat muka. Mata mereka bertentang. Deen mengangguk tanda setuju. Pantas Diah berkalih kerana hatinya diruntun sebak. Terasa seperti mahu menangis sekuat-kuatnya.

Diah pulang dengan dibaluti rasa berbelah bagi. Dia tak pernah sangsikan perasaannya terhadap Deen. Namun dia juga sayangkan persahabatannya dengan Siti Nurlina. Dia sedar, dia perlu memilih satu antara dua.

Sebaik sampai di rumah dan menutup pintu depan, Diah tersandar di pintu. Dia mahu menangis namun membatalkan hasratnya apabila Siti Nurlina tiba-tiba muncul dari pintu dapur dengan secawan minuman di tangan..

Aik! Kejapnya dating! Kenapa balik awal sangat?”

“ Aku sakit kepala, lagipun… Deen tu tak seperti yang aku harapkan… “

Kenapa? Dari cacing kerawit, dia dah bertukar jadi ular ke?” Siti Nurlina gelak besar lalu terus melabuhkan punggong di atas sofa. Diah cuma senyum segaris.

Aku masuk dulu…. Nak baring.” Langkah yang diatur terasa berat. Namun dia tiba-tiba berhenti. Teringat mahu menyoal Siti Nurlina.

“ Boss kau kat Aimstech tu, nama dia Fahd aja ke?”

“ Setahu aku, semua orang panggil dia Fahd. Kuli kecik macam aku, mana nak tahu lebih-lebih. Semua surat menyurat yang aku handle, atas nama syarikat. Tapi… dekat pintu bilik dia tu, memang tertulis besar dengan perkataan ‘ FAHD AL-HAKIM’. Kenapa kau tanya?”

Kawan aku, cari kawan lama dia yang nama Fahd. Tapi itu cuma nama timangan. Entah kenapa aku teringatkan buah hati kau tu. Aku masuk dulu…”

Sebaik menutup pintu bilik Diah bersandar di situ. Lututnya terasa lemah. Serta merta badannya melorot turun hingga terduduk di situ. Dia terus menangis semahu-mahunya.

*****

SITI NURLINA MENGELUH. Dia menghempaskan fail pembelian yang dipegangnya. Emosinya kurang enak beberapa hari ini. Terjangkit dengan orang-orang di sekeliling agaknya. Di rumah, Diah sudah berubah menjadi pendiam sejak bertemu semula dengan Kekasih Awal Dan Akhirnya. Hairan betul Siti Nurlina. Menanti dan mengharap selama 10 tahun, bila sudah berjumpa… begitu pulak jadinya.

Di pejabat pula, 'buah hatinya' pula asyik masam dan marah-marah. Encik Fahd yang kacak dan tenang, sudah bertukar menjadi seperti harimau. Kalau berterusan begini, dia hilang semangat untuk bekerja. Siti Nurlina menarik muka. Kepala digaru sebelum menghempaskan punggong ke tempat duduk.

Kau kenapa? Macam kucing mati anak je?” Kudin tiba-tiba bersuara. Kudin yang sejak kebelakangan ini, ada saja di mana adanya dia.

“ Aku hairan! Tapi kalau aku tanya pun, kau bukannya tahu.”

Try me!” Kudin duduk di hadapan meja Siti Nurlina. Dia mengangkat kening.

Kenapa boss kita tu, lain macam aja kebelakangan ni? Semua orang dia nak herdik.”

“ Oh! Yang itu ke? Aku dah buat siasatan sebenarnya. Yalah! Lepas kena hambur semalam tu.” Kudin menumbuk meja.

“ Kau tahu sebabnya?”

Mestilah! Kata Kak Nur setiausaha dia, Encik Fahd tu putus cinta. Semuanya bermula dengan kad Birthday yang dikirim peminat rahsia. Tulisan kat atas kad tu macam dia kenal. Encik Fahd buat sembahyang hajat dan nampak muka buah hati masa sekolah yang dia cari selama ni. Bila Datok ke Mekah, dia kirim doa. Nak jadi cerita… Datok dan Datin terjumpa pula dengan mak budak perempuan tu. Dipendekkan cerita, mereka berjumpa… tapi cuma sekali. Budak perempuan tu, tukar nombor telefon dan tak dapat dihubungi lagi lepas tu. Macam ‘zahir tak terucap’. Bila tak tahu sebab apa, salah apa… tu yang dia bengang. Begitulah kisahnya.”

Siti Nurlina terdiam. Dia menelan air liur. Memandang Kudin dengan mata membulat.

“ Apa nama sebenar Encik Fahd?”

Fakaruddeen Hadi. Kenapa?

Siti Nurlina mengeluh. Segala teka-teki kepada perubahan emosi Diah sudah terjawab kini. Siti Nurlina menyembamkan mukanya di atas meja.

Kudin garu kepala kehairanan.

*****

“ TERMENUNG JAUH NAMPAK! Apa yang kau fikirkan?” Suara Siti Nurlina menegur dari belakang betul-betul mengejutkan Diah. Diah segera berpaling. Siti Nurlina tersenyum. Entah mimpi apa semalam, dia mengenakan kaca mata hitam petang ini.

“ Oh! Siti! Macam mana kau tahu aku kat sini?” Diah mengalihkan punggong. Memberi ruang untuk Siti Nurlina duduk di sebelahnya. Siti Nurlina mengalih pandang ke arah seorang lelaki bertopi dan bertongkat yang sedang mengambil tempat di kerusi taman di belakang mereka. Siti Nurlina kemudiannya berkalih lalu duduk di sebelah Diah.

“ Kau pernah cakap, kalau susah hati, kau suka renung tasik tu.”

“ Kau memang sahabat sejati aku.” Diah raih bahu Siti Nurlina.

“ Jangan cakap macam tu, kau buat aku malu dengan diri sendiri.” Balas Siti Nurlina.

Diah berkalih memandang Siti Nurlina, hairan. Namun dia hanya mendiamkan diri.

“ Apa masalah kau sebenarnya? Apa jadi pada Cacing Kerawit kau tu?” Soal Siti Nurlina.

“ Tak ada apa-apalah. Dia tak hensem macam aku bayangkan. Dia cacat, pakai tongkat pulak tu. Pendek kata, tak sesuailah untuk aku.” Sebaik habis ayat itu, terdengar tongkat lelaki di belakang mereka terjatuh.” Diah menutup mulut. Matanya membulat. Lelaki itu terasa agaknya dengan kenyataan Diah.

Alamak! Aku silap cakap ke?”

Tak! Kau ni terlalu menjaga hati orang. Sampai orang yang tak kenalpun kau risaukan. Dah tiga tahun kita serumah, kan!”

Diah mengangguk. Dada Diah tiba-tiba sebak. Tiga tahun yang penuh berwarna-warni.

“ Kau tahu… seumur hidup aku, aku tak pernah ada kawan sebaik engkau. Kau sentiasa buat aku ceria. Tak berkira wang ringgit kau. Pinjamkan kasih sayang mama kau yang sporting tu… “ Siti Nurlina berhenti tiba-tiba. Membuka cermin mata hitamnya dan mengesat air mata.

“ Janganlah buat filem Hindustan kat sini. Malu kat orang… Kaupun baik juga. Masakkan untuk aku. Jaga aku masa aku sakit. Macam kakak aku jaga aku.”

Siti Nurlina berkalih memandang Diah. “ Kau dah terlalu baik untuk aku. Tapi janganlah terlalu baik hingga nak korbankan perasaan cinta kau hanya kerana aku pun menyukai orang yang sama”

Kata-kata Siti Nurlina membuat Diah terpempam. Siti sudah tahu? Macam mana Siti tahu? Matanya bulat merenung Siti Nurlina. “ Apa kau merepek ni?”

Jangan berlakon lagi! Aku dah tahu. Fakaruddeen Hadi dan Fahd itu sebenarnya orang yang sama. Kau tahu semua tu pada pertemuan pertama kau, kan! Sebab tu, kau tukar nombor telefon, kau menung sana, menung sini. Kau jadi tak ceria. Kau menzalimi hati kau dan kau menzalimi perasaan Fahd juga.”

“ Aku tak mahu kehilangan seorang sahabat.” Balas Diah berkalih merenung permukaan tasik yang tenang. Berbeza dengan gelora hatinya ketika ini.

“ Bila kau cakap macam tu, macam kau pandang rendah pada aku. Aku cuma syok sendiri dengan boss aku tu. Aku admire dia. Dan, aku cuma bermain dengan perasaan aku tak sampai setahun. Lagipun aku cuma kuli cabuk. Fahd tak sedarpun kewujudan aku.” Siti Nurlina berhenti sebentar. Melepaskan nafas berat. Diah hanya terdiam, tak tahu mahu berkata apa sehingga Siti Nurlina kembali bersuara.

“ Kau pulak sudah hidup menggendong rasa cinta zahir tak terucap kau tu selama 10 tahun. Dan, kau pun tahu Fahd ada rasa yang sama dalam hati dia. Kau fikir teruk sangatkah aku, sampai tak boleh consider semua perkara tu. Kau buat aku sedih tau…” Siti Nurlina mengesat air matanya.

“ Aku minta maaf. Bukan itu maksud aku.” Tutur Diah perlahan.

Siti Nurlina bangun. Berdiri berhadapan Diah yang masih duduk di bangku.

“ Kau sayang aku?” Soal Siti Nurlina. Diah mengangguk.

Kau cintakan Fahd?”

“ Aku suka dia, sejak dulu….”

“ Kalau kau sayang aku, dan kau suka Fahd. Aku nak kau ambillah balik buah hati kau yang cacat dan bertongkat tu. Aku tak nak!” Kata Siti Nurlina sambil menunding jarinya ke arah lelaki berrongkat tadi.

Lelaki itu bangun dalam keadaan membelakangkan mereka. Membuang topi dan berkalih dengan perlahan lalu merenung mereka berdua sambil tersenyum.

 Diah membulatkan matanya. Itu Fakaruddeen Hadi alias Fahd yang Diah panggil Deen. Hati Diah mula ditebak rasa risau.

Kaki awak…”

“ Saya tahu Diah tak akan terima saya sebab saya cacat.”

Diah geleng kepala. “ Diah terima awak dalam apa juga keadaan.” Ucap Diah menundukkan mukanya.

Deen meletakkan tongkat di atas bangku, lalu berjalan mendekati Diah. Kaki itu sebenarnya tidak pernah tercedera. Diah meletakkan tangan di pinggang. Matanya bulat merenung Siti Nurlina dan Deen, pura-pura marah.

“ Itu idea aku. Dan, aku dah ceritakan semuanya pada Encik Fahd.” Ujar Siti Nurlina tersengih.

Kau…”

“ Jangan risaukan aku. Aku hilang 'mata air' buatan sendiri. Tapi aku bertuah kerana Allah kurniakan aku sahabat sejati. Itu lebih penting untuk aku hargai sepanjang hidup aku. Aku gerak dulu…” Siti Nurlina kemudiannya berlalu meninggalkan Seri Diah Darwina dan Fakaruddeen Hadi.

Diah memandang Siti Nurlina berlalu. Kemudian berkalih memandang Fakaruddeen Hadi yang merenungnya dengan pandangan yang amat dirinduinya. Diah sebak. Kalau kata Siti Nurlina dia mendapat sahabat sejati hari ini. Diah pun sama. Siti Nurlina telah membuktikannya. Namun Diah lebih bertuah. Di samping dapat sahabat sejati, Diah dapat semula kekasih awal dan akhir yang Diah nantikan selama 10 tahun.

Deen Cacing Kerawitnya sudah kembali. 

8 comments:

Reeani Annur said...

Beruntungnya Diah dapat jumpa cinta lama dia. Wah! Terharu baca. Best!

o-ReN said...

best3...^_^
kwn yg sejati susah nak cari...heheheh

Unknown said...

terima kasih untuk cerpen yg indah ini..alamak.ayat skema hehe..
sweetnya..
saya dah jumpa teman sejati saya..
bila baca citer ni,terus ingatkan dia.tapi bezanya.dua2 tak dpt haha..

Packy Sidique said...

Salam Emoq a.k.a. Nor,
Thanks sudi jengok dan baca... hehe, cerita berdasar pengalaman sendiri dengan dua sahabat berbeza. Yang pertama, akak tolong poskan kad untuk dia. Yang keduanya... kami sama2 suka orang yang sama, tapi dua2 orangpun melepas.. hahaha..

Packy Sidique said...

Salam O-ren,
Thanks sudi singgah... susah nak cari, tapi akak dah jumpa.. yeay!

Packy Sidique said...

Kkzen,
Thanks atas lawatan dan komen. Akak pun sama, dua2 melepas... hehe

kak cik said...

Kata sorang sahabat...org yg merana putus cinta tu lbh beruntung dsri yg x pernah bercinta sbb dia dah merasa manis nyer cinta...sbb terlepas ni ke yg x minat cite jiwang2. aku ok jer seme suke

Packy Sidique said...

Salam Kak Cik,
Haha... aku setuju dengan point hang tu. Tapi bab tak minat cerita jiwang tu, bukan sebab terlepas... sebab rasa sangat2 tak bertuah. Ish3x

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU